Jumaat, 31 Julai 2009

Pangkat guru besar, pengetua berdasar KPI

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my




Kenaikan ambil kira prestasi sekolah, bukan faktor kekananan

KUALA LUMPUR: Kenaikan pangkat pengetua dan guru besar di sekolah seluruh negara pada masa depan tidak akan lagi tertakluk kepada faktor kekananan, sebaliknya berdasarkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata KPI berkenaan kini dalam proses pemurnian dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

"Apabila inisiatif terbabit dilaksanakan nanti, sebarang kenaikan pangkat untuk pengetua dan guru besar akan dibuat berdasarkan pencapaian KPI mereka, tidak lagi bersandarkan faktor kekananan," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membabitkan enam teras, iaitu mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan meliputi agenda kerajaan menawarkan Ba'iah baru kepada semua pengetua serta guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Alimuddin berkata, antara elemen utama dalam KPI pada peringkat sekolah rendah ialah semua murid normal yang bersekolah dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) sebelum memasuki Tahun Empat, sasaran 100 peratus murid celik huruf serta kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

"Pada peringkat sekolah menengah pula, KPI akan menumpukan perhatian antara lain kepada bidang kebitaraan (nitch area) masing-masing serta kejayaan yang dicapai, termasuk pada peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, ketika dihubungi pula berkata, pihaknya menyokong penuh enam NKRA berkenaan yang disifatkan sebagai langkah bijak serta tepat pada masanya.

"Berkaitan pendidikan, GMGBM amat bersetuju dan bersedia memikul tanggungjawab. Mengenai ganjaran berasaskan pencapaian sekolah, ia adalah satu insentif dan pengiktirafan daripada kerajaan.

"Cuma, disarankan biarlah pelaksanaan itu telus, akses terbuka serta memberi peluang sama rata kepada majoriti guru besar dan pengetua," katanya.

Berita Harian Online: 31 Julai 2009

Khamis, 30 Julai 2009

Sekolah tutup ikut nasihat

SHAH ALAM: Tindakan menutup sekolah bagi mengelak penularan wabak Influenza A (H1N1) dibuat selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan negeri yang terbabit, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Katanya, arahan penutupan sekolah untuk sementara bukan dibuat sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan maklumat dan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri serta daerah.

"Kita tidak menutup sekolah sesuka hati kerana setakat ini sudah banyak sekolah ditutup sementara bagi mengelak penularan wabak H1N1," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Gamuda 2009 kepada 28 penuntut universiti di sini, semalam.

Wee mengulas rungutan sesetengah ibu bapa yang tidak faham mengapa penutupan sementara itu tidak dibuat secara menyeluruh kerana ada sekolah yang masih berjalan seperti biasa walaupun ada pelajarnya menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus baru itu.

Katanya, Pengarah Pelajaran Negeri dan daerah sudah diarah menyemak kehadiran pelajar di setiap sekolah setiap hari untuk tindakan awal jika ada sekolah mencatatkan kehadiran yang mencurigakan.

"Ini sebagai persediaan jika ada ibu bapa yang mempersoalkan mengapa sekolah tidak ditutup. Kita perlu bersedia secara profesional," katanya.

Wee berkata, penting bagi Pengarah Pelajaran Negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) memastikan Unit H1N1 pada peringkat sekolah berfungsi dan bersedia bertindak jika ada pelajar menunjukkan tanda jangkitan.

Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana penularan wabak itu di sekolah masih terkawal tetapi pelajar yang dikuarantin mesti mematuhi arahan dengan tidak melakukan aktiviti di luar rumah.

Sementara itu, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) mengarahkan semua sekolah di negeri ini menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala H1N1 bagi mempertingkatkan tindakan pencegahan, pengawalan dan kesedaran terhadap virus itu.

Pengarahnya, Datuk Abdullah Muhammad, berkata penubuhan jawatankuasa itu penting terutama selepas dua sekolah diarah tutup.

"Jawatankuasa itu akan ditugaskan mempertingkatkan semua usaha memastikan H1N1 tidak merebak dan meminta sekolah yang mempunyai kemudahan asrama mempertingkatkan tahap kebersihan," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian Online: 30 Julai 2009

18 resolusi untuk tindakan Kementerian Pelajaran

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my




SEBAHAGIAN besar guru biasa di sekolah rendah khususnya di kawasan luar bandar tidak berminat memegang jawatan guru penolong kanan, malah menolak jika dilantik berikutan faedah yang tidak setimpal, selain berdepan beban tugas pentadbiran yang berat.

Mendedahkan perkara itu, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM), Ruslan Madun, berkata fenomena itu berlaku kerana gred DG32 yang dipegang penolong kanan ketika ini sama dengan gred guru biasa selepas 10 tahun berkhidmat dengan hanya perlu lulus minimum Peperiksaan Tahap Kecekapan.

Katanya, perbezaan tangga gaji antara jawatan itu juga terlalu kecil dengan hanya kelebihan elaun tambahan RM60 yang diperoleh penolong kanan, selain kebimbangan mereka ditukarkan ke sekolah lain sekiranya menerima jawatan berkenaan.

“Menyedari perkara itu, MGBM mencadangkan jawatan guru penolong kanan dilantik secara hakiki di semua sekolah rendah pada gred DG34, sekali gus menarik minat mereka yang layak menyandang jawatan itu.

“Selaras cadangan penetapan Gred DG34 kepada penolong kanan itu, MGBM turut memohon Kementerian Pelajaran mewujudkan gred sisipan DG36 khusus untuk guru besar,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perkara itu adalah sebahagian 18 resolusi Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia kali ke-15 anjuran MGBM yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Resolusi berkenaan diserahkannya kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim pada majlis penutup konvensyen itu.

Ruslan menjelaskan, resolusi lain ialah menambah 1,500 lagi jawatan guru besar cemerlang DG38 dengan 20 peratus daripadanya diperuntukkan kepada pengelola yang bertugas di Kementerian Pelajaran, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah.

Katanya, penambahan itu perlu kerana ketika ini hanya 1,530 guru besar cemerlang sedang ramai yang berkelayakan, khususnya di luar bandar.

“Malah, MGBM berpendapat jawatan guru besar cemerlang DG38 Khas Untuk Penyandang wajar dihakikikan bagi membolehkan pelantikan atau penggantian dibuat sekiranya penyandang tamat perkhidmatan atau berubah gred perkhidmatannya.

“Selain itu, resolusi turut memohon pertambahan nilai bantuan perkapita sekolah ditingkatkan sebanyak 40 peratus supaya kemudahan pembelajaran lebih kondusif dan realistik dapat disediakan,” katanya.

Beliau menjelaskan, keberkesanan amalan sekolah sebagai institusi masyarakat turut terkandung dalam resolusi itu dengan menyatakan sokongan penuh kepada pelaksanaan konsep 1Malaysia.

Berita Harian Online: 30 Julai 2009

RM310.5j tingkat prasarana sekolah luar bandar

BENTONG 29 Julai - Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM310.5 juta bagi mewujudkan kemudahan dan prasarana di sekolah luar bandar dan kawasan pedalaman seluruh negara sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan itu termasuk bagi menyalurkan bekalan elektrik, air, bangunan sekolah dan lain-lain prasarana.

Katanya, keutamaan diberi kepada sekolah luar bandar terutama di kawasan pedalaman Sabah yang sebahagian besar masih lagi ketinggalan khususnya dalam menikmati bekalan elektrik dan air.

"Sebahagian besar sekolah di pedalaman Sabah masih jauh ketinggalan berbanding sekolah di Semenanjung yang sebahagian besarnya sudahpun dilengkapi dengan prasarana, bilik pembelajaran termasuk pusat komputer yang lengkap.

"Kita akan memberikan tumpuan utama bagi melengkapkan kemudahan sekolah pedalaman terutamanya bekalan elektrik kerana tanpanya sukar bagi kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan tidak boleh menyalurkan pendidikan berasaskan teknologi maklumat (IT)," katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Portal e-Pembelajaran di Sekolah Menengah Sulaiman Bentong di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan memerlukan peruntukan yang lebih besar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) supaya para pelajar dan guru dapat belajar serta mengajar dalam keadaan lebih selesa selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan rakyat berilmu dan berkualiti.

Katanya, kementerian mahu merapatkan jurang digital agar pelajar di kawasan pedalaman dan bandar menerima pembelajaran dan pendidikan yang sempurna terutamanya berasaskan IT.

''Bagi mengatasi masalah sekolah-sekolah pedalaman Sabah yang tidak mempunyai bekalan elektrik, kementerian akan membekalkan generator.

''Dengan adanya bekalan elektrik, kita berharap sekolah-sekolah di pedalaman sabah dapat menikmati kemudahan IT sama seperti sekolah di kawasan bandar," katanya.

Utusan Malaysia Online: 30 Julai 2009

Semua peperiksaan diteruskan

KUALA LUMPUR 29 Julai - Semua peperiksaan kebangsaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak akan ditangguhkan walaupun jangkitan influenza A (H1N1) semakin membimbangkan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, peperiksaan itu terutamanya UPSR pada September ini akan tetap diteruskan dan mungkin dilakukan di hospital jika perlu.

"Peperiksaan-peperiksaan ini berpusat, maka kita tidak boleh tukar tarikh sewenang-wenangnya. Antara pilihan yang kita ada ialah melakukan peperiksaan di hospital untuk calon yang sedang dirawat atau melakukannya di sekolah masing- masing tanpa kehadiran pelajar lain yang bukan calon peperiksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alimuddin berkata, pihaknya akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara mengenai kaedah terbaik menjalankan kesemua peperiksaan itu dalam masa terdekat.

Sebanyak 10 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah ditutup kurang daripada seminggu akibat penularan penyakit itu. Setakat ini, terdapat empat kematian akibat penyakit itu.

Alimuddin juga berkata, alat seperti topeng mulut dan hidung serta cecair nyahkuman akan diedar ke semua sekolah tidak lama lagi bagi mencegah penularan virus itu.

UPSR akan diadakan dari 8 hingga 10 September, PMR dari 7 hingga 9 Oktober dan SPM dari 19 November hingga 16 Disember. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 30 Julai 2009

Rabu, 29 Julai 2009

Ustaz dituduh kelucahan melampau

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Tertuduh didakwa merangsang 2 pelajar

MUAR: Seorang ustaz sebuah sekolah menengah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam terhadap dua pertuduhan merangsang untuk melakukan kelucahan melampau dan melanggar kesopanan terhadap dua pelajarnya yang menumpang tidur di rumahnya di Jalan Khalidi di sini, bulan lalu.

Kamarul Nizam Ahmad Untong, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan meminta supaya dibicarakan.

Majistret Lydiana Mansor menetapkan 29 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu dan memerintahkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan sementara menunggu tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abdul Aziz dan tertuduh diwakili peguam, Farid Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, Kamarul Nizam didakwa merangsang seorang pelajar berusia 13 tahun untuk melakukan satu perbuatan kelucahan melampau ketika tidur di rumahnya selepas menyertai kegiatan kokurikulum, dalam kejadian antara jam 2 pagi hingga 3 pagi, bulan lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua di tempat dan masa yang sama, dia didakwa melanggar kesopanan apabila melakukan perbuatan supaya kanak-kanak berusia 14 tahun melakukan perbuatan kelucahan melampau dan didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

Berita Harian Online: 29 Julai 2009

Timur: Guru simpan komputer riba elak murid salah guna

Oleh Noor Aznida Alias
bhkt@bharian.com.my

Perisian khas akan dibuat elak muat turun benda tak manfaat

KUALA TERENGGANU: Pelajar yang dikesan menyalahgunakan buku elektronik atau e-book, tidak akan dibenarkan membawa pulang komputer riba mini itu, sebaliknya akan disimpan guru dan hanya digunakan ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata tindakan itu terpaksa diambil bagi mengelakkan pelajar menggunakan e-book yang diberi untuk tujuan tidak bermanfaat dan memberi pengaruh negatif kepada mereka.

"Kita sudah arahkan guru untuk pantau aktiviti murid dan jika ada pelajar didapati menyimpan benda tidak elok, dia tidak akan dibenar membawa pulang e-book ke rumah sebaliknya disimpan oleh guru dan hanya dikeluarkan untuk digunakan pelajar berkenaan ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

"Sekarang ini ramai murid yang terlalu 'advanced' dengan komputer, kita bimbang mereka akan muat turun banyak benda yang tidak bermanfaat. Jadi kepada mereka yang menyalahgunakan e-book kita tidak akan bertolak ansur," katanya selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, semalam.

Ahmad Razif berkata, bagi mengatasi masalah penyalahgunaan e-book, kerajaan negeri sedang membangunkan perisian khas yang akan dimuat turun ke dalam semua buku elektronik (e-book) yang diberikan kepada 23,000 murid Tahun Lima di negeri ini.

Katanya, melalui perisian khas itu, guru yang menyelia penggunaan e-book pelajar dapat memantau dan mengunci laman web tertentu yang kerap diakses murid terutama ketika waktu persekolahan.

"Bagaimanapun, pembangunan perisian berkenaan dijangka membabitkan peruntukan yang agak tinggi dan memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

"Daripada kajian yang dijalankan, kerajaan menjangkakan sebanyak RM30 juta diperlukan bagi membangunkan perisian itu sebelum boleh dimuat turun kepada semua 23,000 murid Tahun Lima seluruh negeri yang menerima kemudahan itu ketika ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap ibu bapa dan guru dapat memantau penggunaan e-book di kalangan pelajar bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kemudahan yang diberi itu.

Berita Harian Online: 29 Julai 2009

Bahasa Malaysia perlu diperkasa pada peringkat sekolah rendah

SAYA amat terkejut kerana banyak pihak bersetuju Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hendak dihapuskan. Persoalan saya kenapa dan sebab apa? Adakah kita menilai generasi muda kita kepada peperiksaan?

Saya ingin kemukakan cadangan bahawa kertas bahasa Malaysia UPSR ada dua kertas iaitu pemahaman dan penulisan, sedangkan kertas bahasa Inggeris ada kertas 1, 2 dan 3. Persoalan saya di sini, guru yang mengajar bahasa Malaysia terbeban dengan kertas pemahaman dan penulisan.

Saya syorkan kertas pemahaman juga dibahagikan kepada kertas 1, kertas 2 dan kertas 3. Berdasarkan pengamatan saya, murid perlu menghafal dan mengenal banyak ayat tetapi kena menjawab 40 soalan saja. Saya fikir tidak logik.

Mengapa saya berkata demikian kerana kertas bahasa Malaysia pemahaman terutama di SJKC dari soalan 1-30 berkaitan pemahaman kata. Bagi soalan 31-40 berkaitan ayat betul dan salah, petikan dan sebagainya.

Saya juga amat hairan kenapa kertas bahasa Melayu penulisan ada satu kertas saja. Sepatutnya kertas itu dibahagikan kepada kertas 1, 2 dan 3. Saya berpandangan murid terbeban membina lima ayat dalam bahagian A kertas penulisan sedangkan markahnya 10. Jadi, bahagian A digantikan dengan kertas 1.

Bagi bahagian B karangan hanya ada tiga tajuk saja dengan markah penuh 30. Saya mencadangkan bahagian B diganti dengan kertas 2 dan bahagian C nilai murni/pengajaran/ amalan baik perlu digantikan dengan kertas 3.

Matlamat pendidikan di Malaysia satu usaha berterusan untuk membangunkan potensi individu secara harmonis dan seimbang berdasarkan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Saya amat memuji usaha dibuat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan mengalu-alukan langkah Kementerian Pelajaran mengembalikan pengajaran sains dan matematik ke dalam bahasa Malaysia.

Cuma saya kurang bersetuju pengajaran Sains dan Matematik di sekolah SJKC dan SJKT dibuat dalam bahasa Ibunda. Ini kerana apabila murid ini menjadi pelajar di sekolah menengah, mereka akan lemah dari segi penguasaan kedua-dua subjek ini.

NORHAIDI MOHD NORDIN,
Ketereh, Kelantan.

Berita Harian Online: 29 Julai 2009

Sayangi sekolah: Strategi kejayaan

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Malaya, Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris (dua dari kanan) melancarkan buku You Should Read This: From Teens To Teens di SMKBB Sungai Buloh, baru-baru ini.

SMKBB Sungai Buloh amal konsep pemasaran latih pelajar berdikari, capai kecemerlangan

MENERAPKAN konsep pemasaran bagi membangunkan keupayaan pelajar pelbagai latar belakang menjadi strategi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh (SMKBB Sungai Buloh), Selangor.

Menerusi strategi itu, pelajar dianggap sebagai pelanggan manakala guru pula digalak melaksanakan pendekatan terkini dan bersesuaian bagi memenangi hati pelanggan mereka.

Pengetuanya, Abdul Hakim Kassim, berkata guru juga berperanan meyakinkan pelajar bahawa pengetahuan dan kemahiran diberikan menerusi setiap mata pelajaran serta kegiatan kokurikulum penting sebagai bekalan menghadapi cabaran hidup kini dan akan datang.

“Sebagai sekolah harian, kepelbagaian latar belakang pelajar memberi cabaran tersendiri dan tidak dinafikan 70 peratus daripada mereka memerlukan bimbingan khusus dalam mencapai kecemerlangan menyeluruh.

“Bagi melaksanakan usaha murni ini, guru disaran menerapkan konsep pemasaran iaitu menganggap pelajar sebagai pelanggan. Oleh itu, guru perlu bijak merangka strategi bagi meyakinkan pelanggan mereka supaya menerima sepenuhnya ilmu dan kemahiran diberikan.

“Pelaksanaan strategi ini berjaya memperbaiki pencapaian akademik dan kokurikulum hingga sekolah ini dinaikkan taraf daripada gred B ke gred A pada 1998. Prestasi itu terus diperkukuh dengan kerjasama dan komitmen pelajar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru,” katanya.

Abdul Hakim memberi contoh, langkah panitia bahasa Inggeris mempelbagaikan pendekatan berjaya menyuntik minat pelajar menguasai bahasa kedua itu, termasuk menerbitkan buku kompilasi karangan pendek 33 pelajar Tingkatan Lima bertajuk ‘You Should Read This: From Teens To Teens’ yang dilancarkan baru-baru ini.

Katanya, pelajar diberi kepercayaan mengusahakan sendiri projek penerbitan buku itu selama enam bulan, mulai Januari lalu membabitkan proses menyenarai pendek 990 karangan kepada 42, penyuntingan serta penganjuran program pelancaran.

“Semua karangan itu adalah tugasan diberikan guru, Shantini Keralasingam kepada setiap pelajar Tingkatan Lima Arif iaitu menghasilkan 30 karangan menggunakan bahasa Inggeris bertema kehidupan, pengalaman dan luahan hati mereka, pada cuti akhir tahun lalu.

“Bagi mengelakkan hasil penulisan terbiar begitu saja, guru berkenaan mencadangkan mereka menerbit dan memasarkannya supaya dapat dijadikan bahan bacaan umum khususnya remaja.

“Projek ini berjaya menyuntik semangat pelajar terbabit terus berusaha menguasai bahasa Inggeris sebagai persediaan menghadapi pengajian tinggi yang lebih mencabar,” katanya.

Menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum juga, katanya, menjadi strategi bagi menanam sikap kecintaan mereka terhadap ilmu dan kemahiran di sekolah.

Justeru, pilihan kegiatan kokurikulum dipelbagaikan merangkumi lapan badan beruniform/waja diri, lapan persatuan akademik/kurikulum, 12 persatuan akademik kemanusiaan dan 11 kelab permainan.

“Antara kegiatan menarik perhatian pelajar ialah kadet polis, kadet remaja sekolah, silat, Persatuan Kemahiran Hidup, Persatuan Seni Kreatif, Kelab Kebudayaan, Kelab Pencinta Alam, Kelab Multimedia, bola sepak, hoki dan bola baling,” katanya.

Berita Harian Online: 29 Julai 2009

Kementerian ambil tiga tindakan atasi masalah pelajar sesak di sekolah

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

TIGA tindakan mengikut kesesuaian dan keperluan diambil kementerian bagi mengatasi masalah kesesakan pelajar dalam kelas, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, tindakan terbabit ialah menyediakan bilik kabin, bangunan tambahan dan sekolah baru, manakala pembinaan jenis kemudahan infrastruktur itu berdasarkan keadaan semasa.

Beliau berkata, tindakan membina kabin diambil apabila keperluan segera dan mendesak, tambahan pula ia mengambil masa singkat iaitu sekitar sebulan untuk disiapkan.

“Langkah lain ialah membina bangunan tambahan, bagaimanapun ia mengambil masa lama sedikit sekitar setahun hingga 18 bulan.

“Bagi kawasan membangun dan dikenal pasti keperluan tinggi contohnya Puchong dan Rawang, sekolah baru dibina.

“Dalam hal ini, pihak kami sentiasa menerima laporan daripada pegawai pelajaran daerah mengenai kawasan ramai penduduk dengan jumlah sekolah sedikit untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai kesesakan bilik kelas yang disifatkan tiada kesudahan dan dianggap antara kepincangan dalam sistem pendidikan negara.

Alimuddin berkata, masalah kesesakan bilik kelas majoriti di Lembah Klang dan beberapa bandar besar membabitkan kawasan pinggiran bandar contohnya Kajang, Sentul, Puchong, Rawang, Klang dan Subang.

Katanya, keadaan itu berlaku antara lain kerana pembangunan projek perumahan yang begitu pantas di kawasan terbabit.

Sambil menjelaskan permasalahan itu tidak berlaku di tengah bandar kerana jumlah penduduknya tetap, beliau berkata, kementerian sentiasa berusaha mengatasi masalah berkenaan.

“Kita sentiasa memantau dan sedia maklum mengenainya melalui mesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan.

“Buat masa ini, tindakan diambil mengikut kesesuaian, ada sekolah baru siap, sedang dibina tidak kurang pula dalam perancangan pembinaan,” katanya.

Berita Harian Online: 29 Julai 2009

100 dipilih sekolah berprestij

PETALING JAYA 28 Julai – Kementerian Pelajaran akan memilih 100 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara termasuk sekolah harian dan sekolah berasrama penuh untuk diberi taraf sebagai sekolah berprestij tinggi (SBT).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, guru-guru dan pengetua yang memimpin sekolah itu akan diberikan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan penanda aras yang ditetapkan.

‘‘Saya yakin SBT akan memberikan daya saing yang tinggi di kalangan pengetua.

‘‘Mesyuarat mengenai SBT baru bermula hari ini dan konsep serta modus operandi mengenainya akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Menteri Pelajaran pada 31 Julai ini,’’ katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Kali Kedua dan Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Pengetua Cemerlang DG52 Tahun 2009 di Hotel Summit di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Tambah Mohd. Puad, selain konsep SBT perkara lain yang akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri pada 31 Julai ini adalah pendidikan prasekolah sebagai pendidikan kebangsaan.

Sementara itu Noor Rezan ketika ditanya sama ada SBT akan melibatkan sebarang peruntukan, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai peruntukan untuk SBT.

Pada majlis yang sama, Mohd. Puad turut melancarkan buku Amalan-Amalan Terbaik Pengurusan Pendidikan yang dikeluarkan oleh Majlis Pengetua Kanan Kebangsaan.

Utusan Malaysia Online: 29 Julai 2009

100 dipilih sekolah berprestij

PETALING JAYA 28 Julai – Kementerian Pelajaran akan memilih 100 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara termasuk sekolah harian dan sekolah berasrama penuh untuk diberi taraf sebagai sekolah berprestij tinggi (SBT).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, guru-guru dan pengetua yang memimpin sekolah itu akan diberikan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan penanda aras yang ditetapkan.

‘‘Saya yakin SBT akan memberikan daya saing yang tinggi di kalangan pengetua.

‘‘Mesyuarat mengenai SBT baru bermula hari ini dan konsep serta modus operandi mengenainya akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Menteri Pelajaran pada 31 Julai ini,’’ katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Kali Kedua dan Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Pengetua Cemerlang DG52 Tahun 2009 di Hotel Summit di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Tambah Mohd. Puad, selain konsep SBT perkara lain yang akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri pada 31 Julai ini adalah pendidikan prasekolah sebagai pendidikan kebangsaan.

Sementara itu Noor Rezan ketika ditanya sama ada SBT akan melibatkan sebarang peruntukan, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai peruntukan untuk SBT.

Pada majlis yang sama, Mohd. Puad turut melancarkan buku Amalan-Amalan Terbaik Pengurusan Pendidikan yang dikeluarkan oleh Majlis Pengetua Kanan Kebangsaan.

Utusan Malaysia Online: 29 Julai 2009

Selasa, 28 Julai 2009

UPSR tidak relevan?

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my




APABILA ada pihak mahu memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ia seperti sesuatu yang tidak kena kepada sistem peperiksaan itu.

Jika sebelum ini, UPSR menjadi kayu pengukur kepada pemilihan murid ke sekolah asrama penuh, apakah ia masih relevan untuk murid sekolah rendah?

Ada mendakwa UPSR hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan murid lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh.

Bagaimanapun, ini dikatakan tidak membantu menentukan tahap sebenar akademik murid.

Ujian penilaian itu tidak menggalakkan murid mengambil berat mendalami subjek lain seperti Sejarah dan Pendidikan Islam kerana subjek itu tidak menjadi syarat lulus dalam ujian berkenaan.

Walaupun kerajaan belum bercadang memansuhkan peperiksaan itu, tetapi ia memerlukan pengubahsuaian dan penambahbaikan bagi mengelak ia dianggap tidak relevan.

Tokoh Guru Negeri Perlis 2009, Kamarudin Che Kassim, berkata UPSR masih relevan dan tidak harus dimansuhkan.

Beliau berkata, UPSR adalah penilaian murid di sekolah rendah dan bukannya satu peperiksaan besar seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

"Masyarakat perlu tahu, UPSR diwujudkan bagi melihat pencapaian murid selepas enam tahun di sekolah rendah.

"Melalui UPSR kita dapat menilai mereka dari segi pelajaran, sahsiah dan kebolehan selain kesediaan melangkah ke sekolah menengah.

"Justeru, tidak ada sebab UPSR perlu dimansuhkan sebaliknya perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Mengimbas kembali sejarah UPSR, ia bermula pada 1957 dengan pengenalan Malayan Secondary School Entrance Examination (MSSEE).

Ia kemudiannya dimansuhkan dan digantikan dengan Penilaian Darjah Lima (PDL) yang berlanjutan sehingga 21 tahun sebelum dimansuhkan pada 1988.

Pada 1973, Ujian Darjah Tiga (UDT) dimulakan untuk tempoh sembilan tahun sehingga dimansuhkan pada 1982.

Dengan ketiadaan PDL dan UDT, peperiksaan peringkat sekolah rendah digantikan dengan UPSR pada 1988 sehingga kini.

Kamarudin yang menjadi pendidik selama 33 tahun, berkata masyarakat terutama ibu bapa faham tujuan UPSR di laksanakan.

"Sepanjang menjadi pendidik, ada ibu bapa yang merungut anak mereka hanya mendapat dua A dalam UPSR.

"Dalam situasi ini, ibu bapa menyalah tafsir UPSR dengan menekan anak-anak belajar termasuk menghantar ke kelas tambahan semata-mata untuk mendapatkan A dan memasuki asrama penuh.

"Tidak salah memberi galakan kepada anak untuk memperoleh keputusan yang cemerlang, tetapi jangan membebankan kerana mereka masih mentah," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPSM), Mohd Nordin Awang, berkata UPSR masih relevan terutama menilai pencapaian murid di sekolah rendah.

"Jika UPSR dimansuhkan, murid-murid akan belajar sambil lewa kerana tidak ada peperiksaan besar perlu hadapi.

"Mereka juga tiada daya saing untuk mendapat pencapaian yang lebih baik," katanya.

Menurutnya, cadangan memansuhkan ujian penilaian itu mungkin disebabkan ada berpendapat UPSR itu hanya digunakan untuk menentukan murid ke asrama penuh.

"Pandangan itu tidak tepat kerana jika mereka memberi alasan itu, lambat-laun PMR juga akan dimansuhkan kerana lulus atau gagal seseorang pelajar itu, mereka tetap meneruskan persekolahan," katanya.

Nordin meminta masyarakat tidak melihat UPSR sebagai tiket ke sekolah berasrama penuh semata-mata sebaliknya mengambil kira keseluruhan kokurikulum dan sahsiah murid terbabit.

Walaupun UPSR tidak penting seperti PMR dan SPM, ia perlu dilaksanakan kerana dengan adanya peperiksaan, murid lebih bersemangat dalam pelajaran, katanya.

myMetro: 28 Julai 2009

RM3.6j beli alat cegah wabak di sekolah

JOHOR BAHRU 27 Julai - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta kepada sekolah di seluruh negara untuk membeli peralatan pencegahan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pembelian peralatan seperti termometer, penutup mulut dan hidung serta sanitizer itu diluluskan Kementerian Pelajaran dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) minggu lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dalam tempoh terdekat untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.

''Setiap sekolah akan mendapat satu termometer. Jumlah penutup mulut dan hidung serta sanitizer yang akan diberi itu bergantung kepada jumlah pelajar,'' katanya selepas mendengar taklimat berkenaan H1N1 di JPN Johor di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian tidak akan menangguhkan peperiksaan biarpun terdapat beberapa sekolah yang terpaksa ditutup akibat wabak tersebut.

Kata beliau, sekiranya sekolah itu dijangkiti H1N1, Lembaga Peperiksaan telah mengatur alternatif untuk mengendalikan peperiksaan berkenaan.

Menurut Ka Siong, kementerian memaklumkan kepada setiap negeri dan dari semasa ke semasa Lembaga Peperiksaan akan menghubungi pihak sekolah termasuk pengawas peperiksaan untuk mengambil langkah sewajarnya termasuk membuka bilik khas.

''Kita awal-awal lagi telah membuat persiapan bagi menghadapi wabak penyakit yang mengancam perjalanan peperiksaan.

''Jika ada pelajar dihantar ke hospital, dia akan dimasukkan ke dalam bilik khas. Pembatalan atau penangguhan peperiksaan adalah jalan terakhir. Kita tidak akan membuat pilihan tersebut seandainya kita dapat lakukan kesemua ini,'' katanya.

Peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berlangsung 8 hingga 10 September, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 7 hingga 9 Oktober, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 19 Oktober - 16 Disember, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 19 - 27 Oktober dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari 18 November hingga 10 Disember.

Sementara itu, Ka Siong memberitahu, mulai hari ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru ditutup selama seminggu kerana tiga daripada pelajarnya disyaki positif H1N1.

Sebelum ini, Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru ditutup selama seminggu bermula 24 Julai lalu kerana 59 pelajarnya disyaki menghidap penyakit serupa influenza (ILI).

Utusan Malaysia Online: 28 Julai 2009

RM3.6j beli alat cegah wabak di sekolah

JOHOR BAHRU 27 Julai - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta kepada sekolah di seluruh negara untuk membeli peralatan pencegahan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pembelian peralatan seperti termometer, penutup mulut dan hidung serta sanitizer itu diluluskan Kementerian Pelajaran dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) minggu lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dalam tempoh terdekat untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.

''Setiap sekolah akan mendapat satu termometer. Jumlah penutup mulut dan hidung serta sanitizer yang akan diberi itu bergantung kepada jumlah pelajar,'' katanya selepas mendengar taklimat berkenaan H1N1 di JPN Johor di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian tidak akan menangguhkan peperiksaan biarpun terdapat beberapa sekolah yang terpaksa ditutup akibat wabak tersebut.

Kata beliau, sekiranya sekolah itu dijangkiti H1N1, Lembaga Peperiksaan telah mengatur alternatif untuk mengendalikan peperiksaan berkenaan.

Menurut Ka Siong, kementerian memaklumkan kepada setiap negeri dan dari semasa ke semasa Lembaga Peperiksaan akan menghubungi pihak sekolah termasuk pengawas peperiksaan untuk mengambil langkah sewajarnya termasuk membuka bilik khas.

''Kita awal-awal lagi telah membuat persiapan bagi menghadapi wabak penyakit yang mengancam perjalanan peperiksaan.

''Jika ada pelajar dihantar ke hospital, dia akan dimasukkan ke dalam bilik khas. Pembatalan atau penangguhan peperiksaan adalah jalan terakhir. Kita tidak akan membuat pilihan tersebut seandainya kita dapat lakukan kesemua ini,'' katanya.

Peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berlangsung 8 hingga 10 September, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 7 hingga 9 Oktober, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 19 Oktober - 16 Disember, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 19 - 27 Oktober dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari 18 November hingga 10 Disember.

Sementara itu, Ka Siong memberitahu, mulai hari ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru ditutup selama seminggu kerana tiga daripada pelajarnya disyaki positif H1N1.

Sebelum ini, Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru ditutup selama seminggu bermula 24 Julai lalu kerana 59 pelajarnya disyaki menghidap penyakit serupa influenza (ILI).

Utusan Malaysia Online: 28 Julai 2009

Isnin, 27 Julai 2009

Fokus: Sekolah sesak

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


BILANGAN murid yang padat dalam kelas menjejaskan tumpuan pengajaran dan pembelajaran.

Tampung lebihan 1,000 murid, berbanding kemampuan hanya 2,400 pelajar sahaja

MASALAH kesesakan pelajar di sekolah dikenal pasti antara kepincangan dalam sistem pendidikan negara yang bagaikan tiada kesudahannya.

Biarpun pelbagai langkah penyelesaian dilaksanakan kerajaan, masalah itu bagaikan kudis apabila semakin menular di kebanyakan sekolah bukan saja di bandar, malah luar bandar.

Masalah kesesakan pelajar bukanlah isu baru kerana sebelum ini, ia sering memenuhi dada akhbar dan media apabila timbul rungutan atau aduan ibu bapa yang membangkitkan masalah anak masing-masing yang terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa.

Tinjauan Berita Harian ke Sekolah Kebangsaan Saujana Utama (SKSU), Sungai Buloh, Selangor mendapati kesesakan pelajar jelas meruncing apabila berlaku lebihan 1,000 murid berbanding kapasiti sekolah yang hanya mampu menampung 2,400 berdasarkan kemudahan infrastruktur yang ada.

Selain penduduk sekitar Taman Saujana Utama, sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar itu turut menjadi tumpuan dua taman perumahan berdekatan iaitu Sri Pristana dan Desa Coldfield.

BLOK bangunan baru satu tingkat terpaksa dibina di kawasan padang sekolah bagi menampung pertambahan murid.

Lebihan murid berlaku disebabkan peningkatan mendadak jumlah penduduk di kawasan itu, sekali gus menyebabkan berlaku kesesakan murid dalam kelas. Majoriti murid terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa berikutan purata kelas di sekolah berkenaan ialah 45 murid.

Jumlah 43 kelas belum mencukupi biarpun pihak sekolah terpaksa mengorbankan sebahagian kecil kawasan padang yang dikongsi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama untuk membina dua blok bangunan satu tingkat.

Malah, ruang lapang di bawah bangunan sekolah yang sebelum ini dijadikan tempat perhimpunan murid juga terpaksa diubahsuai menjadi bilik darjah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Rahimi Dollah, berkata ketika ini, masalah di yang berlaku di sekolah berkenaan akan menjadi lebih buruk apabila hampir 900 murid baru Tahun Satu dijangka mendaftar, tahun depan.

“Tahun ini, sekolah terpaksa membuka 16 kelas bagi menempatkan 618 murid Tahun Satu dan bayangkan apa yang berlaku dalam kelas jika 900 murid baru mendaftar tahun depan.

“Maknanya, setiap kelas mungkin terpaksa menempatkan hingga 60 murid kerana kita tidak nampak jalan penyelesaian, malah tiada lagi kawasan atau ruang di sekolah yang boleh diguna atau diubahsuai menjadi kelas.

“Keadaan itu menjadikan murid mangsa keadaan apabila hilang tumpuan atau minat untuk belajar, malah menggugat keupayaan guru untuk mengajar dengan baik. Lebih parah, sekolah mungkin berdepan kekurangan guru, sekali gus menjejaskan pembelajaran,” katanya.

Beliau mendakwa, Kementerian Pelajaran sudah pun meluluskan pembinaan dua sekolah baru, masing-masing di Sri Pristana dan Desa Coldfield, namun pembinaannya baru saja bermula dan dijangka siap pertengahan tahun depan dengan kemasukan pelajar pada 2011.

Justeru, katanya, pihak sekolah terpaksa berdepan masalah kesesakan untuk jangka masa dua tahun lagi, sekali gus memburukkan keadaan sedia ada.

Mengulas isu itu, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata proses pembangunan fizikal di sesebuah kawasan tidak boleh dilihat secara mendatar kerana setiap tahun ada saja projek perumahan baru dibangunkan di kawasan terbabit.

Dalam tempoh lima hingga 10 tahun, katanya, jumlah penduduk akan meningkat berlipat kali ganda dan jika perancangan pembinaan sekolah tidak dibuat secara sistematik, ia menyebabkan masalah kesesakan pelajar timbul malah menjadi lebih teruk jika tidak ditangani secara berkesan.

“Masalah ini tidak boleh dianggap remeh kerana implikasinya cukup besar kepada pelajar dan sekolah, malah boleh menjejaskan usaha menjana kecemerlangan pendidikan negara,” katanya.

Biarpun mengakui penyelesaiannya bukan boleh dicapai dalam tempoh singkat, beliau mencadangkan pembangunan prasarana sekolah diberi keutamaan dalam agenda perancangan Kementerian Pelajaran yang perlu disegerakan setiap tahun.

“Sebelum ini, kementerian ada meletakkan sasaran 25 peratus daripada hampir 10,000 sekolah di negara ini melaksanakan sistem persekolahan satu sesi sepenuhnya tahun depan sebaik berakhir tempoh lima tahun Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

“Jika dicongak, kita hanya ada masa beberapa bulan saja untuk melangkah ke tahun depan dan melihat kepada situasi kesesakan di kebanyakan sekolah yang memaksa kepada pelaksanaan sekolah dua sesi, mungkin sukar untuk pihak kementerian merealisasikan sasaran itu,” katanya.

Berita Harian Online: 27 Julai 2009

Karnival Hari Guru UKM meriah

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my

PENGANJURAN Program Karnival Hari Guru 2009 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini, berjaya mengeratkan hubungan warga Fakulti Pendidikan universiti itu dengan masyarakat menerusi aktiviti dijalankan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa program berkenaan, Siti Sarah Udzir, berkata menerusi 20 gerai pameran dibuka sempena karnival itu, pengunjung mendapat pendedahan mengenai pelbagai hasil penyelidikan dan kegiatan dijalankan fakulti.

Katanya, pelajar dan guru dari sekolah sekitar Bangi turut dijemput memeriahkan karnival menerusi penyertaan dalam acara sukaneka dan karaoke.

“Pembabitan pengunjung khususnya warga sekolah dalam karnival sehari ini membolehkan bakal guru yang dihasilkan UKM membiasakan diri bergaul dengan masyarakat supaya mereka tidak kekok apabila berkhidmat nanti.

“Menerusi pameran pula, pengunjung mendapat pendedahan hasil penyelidikan dilakukan warga fakulti sebagai sumbangan mereka dalam memajukan sektor pendidikan negara,” katanya.

Antara gerai pameran yang mendapat sambutan adalah Pendidikan Sains yang memberi peluang pelajar melakukan pelbagai aktiviti interaktif sains, selain menonton rakaman angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di angkasa lepas.

Sementara itu, Pensyarah Bahagian Penyelidikan Kurikulum dan Penilaian Pendidikan Sains, Prof Datuk Dr T Subahan Mohd Meerah, berkata turut mendapat sambutan pengunjung katanya, adalah Modul Pendidikan Sains Angkasa Untuk Sekolah Rendah yang sedang diguna pakai sebagai sebahagian latihan guru di institusi pendidikan guru, ketika ini.

“Modul ini kami hasilkan sebagai sebahagian usaha menyemarak sambutan International Year of Astronomy 2009 (IYA 2009) yang bertujuan mengukuhkan pendidikan bidang Sains Angkasa di seluruh dunia,” katanya.

Berita Harian Online: 27 Julai 2009

Guru didakwa cabul pelajar ditahan

DUNGUN: Guru pendidikan jasmani yang didakwa terbabit kegiatan seks luar tabii terhadap dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Paka ditahan ketika melapor diri di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di sini, kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Suspek berusia 32 tahun dari Kampung Nibong di sini, yang mengajar di sekolah berkenaan sejak Mac lalu direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 377B dan 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan hubungan seks luar tabii dan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata pihaknya akan membuat siasatan rapi terhadap suspek yang masih bujang termasuk membuat pemeriksaan pakar perubatan bagi mendapatkan laporan seksualnya.

“Setakat ini, seorang daripada mangsa berusia 14 tahun sudah menjalani pemeriksaan pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan masih ditempatkan di hospital itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan guru itu.

myMetro: 27 Julai 2009

Sekolah, asrama tutup seminggu

KUALA TERENGGANU: Dua lagi institusi pendidikan di negeri ini ditutup selama seminggu mulai semalam apabila 23 pelajarnya dikesan dijangkiti demam selesema ringan (Influenza Light Illness).

Sebanyak 10 kes dikesan membabitkan pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun dan 13 kes lagi di Asrama Pertubuhan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata ujian saringan ke atas pelajar terbabit sudah dilakukan bagi mengesan sama ada mereka dijangkiti wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) dan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat.

“Sebagai tindakan awal, kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup institusi pengajian terbabit dan mengarahkan pelajar pulang ke kampung masing-masing” katanya, semalam.

myMetro: 27 Julai 2009

RM30j tapis e-Book, pantau kelas



AHMAD RAZIF melihat pelajar menggunakan e-Book semasa melawat Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.



KERATAN Kosmo! kelmarin.


KUALA TERENGGANU - Murid Tahun Lima di Terengganu tidak lama lagi akan mendapati mereka bukan sahaja disekat daripada memuat turun bahan-bahan dari Internet khususnya gambar lucah tetapi juga semua perilaku mereka dalam kelas dipantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Siri tindakan baru itu diambil beberapa hari selepas Kosmo! mendedahkan e-Book 12 murid di sebuah sekolah di Gong Badak, Kuala Terengganu menyimpan bahan seperti video dan gambar lucah.

Kos melaksanakan projek memasang perisian khusus pada 25,000 buah e-Book dijangka dilakukan oleh pengeluar mikrocip terkemuka dunia, Intel Corporation (Intel) dengan kos RM30 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Intel bagi menentukan masa yang sesuai untuk memasang perisian berkenaan.

"Perisian itu juga akan memudahkan guru-guru mengesan aktiviti pelajar yang menyimpan dan menonton bahan-bahan dilarang," katanya semasa membuat lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak di sini pagi semalam.

Kosmo Online: 27 Julai 2009

Ahad, 26 Julai 2009

Pelajar 5 sekolah di Sarawak dikhuatiri terlibat

KUCHING 25 Julai - Pelajar dari lima buah sekolah di negeri ini dikhuatiri dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1), kata Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Dr. Julaihi Bujang.

Beliau berkata, sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kuching, Matang; SMK Bako, Kuching; SMK Medamit, Limbang;SMK Bakong, Miri dan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Traoh, Samarahan.

"Mereka dipercayai mempunyai simptom jangkitan selesema babi dan Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil sampel mereka untuk ujian makmal,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya masih menunggu keputusan ujian itu dan sekiranya berlaku kes positif H1N1, pelajar terbabit akan diarahkan menjalani pengawasan rumah.

Julaihi memberitahu, setakat ini, empat buah sekolah telah ditutup tetapi dua daripadanya telah dibuka seperti biasa.

Sekolah yang telah dibuka semula ialah SMK Agama Limbang dan SMK Sains Kuching manakala SMK Patiambun dan SMK Kubong di Limbang akan dibuka pada 29 Julai ini.

Utusan Malaysia Online: 26 Julai 2009

Sabtu, 25 Julai 2009

Guru didakwa cabul dua pelajar lelaki

Oleh Nurul Mardiana Abdul Alim
bhkt@bharian.com.my

Perbuatan terkutuk dilakukan ketika waktu persekolahan

KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki didakwa mencabul dua pelajar lelaki dengan melakukan seks oral dan onani terhadap mangsa berulang kali di dalam stor serta bilik persalinan di sebuah sekolah menengah di daerah Dungun, Terengganu.

Guru berusia 31 tahun itu yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani, dipercayai melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa berusia 14 dan 15 tahun pada waktu persekolahan sejak Mei lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kedua-dua mangsa yang tidak tahan dengan nafsu songsang guru terbabit membuat laporan di Balai Polis Dungun kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

"Polis sudah mengenal pasti identiti suspek termasuk sekolah tempat dia mengajar dan akan menahan guru terbabit dalam masa terdekat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan hubungan seks di luar tabii dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun," katanya.

Manoharan berkata, guru terbabit juga boleh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebat.

Sementara itu, Manoharan berkata, polis menahan seorang suspek yang dipercayai memukul seorang warga emas berusia 78 tahun dalam satu kejadian pagi, kelmarin.

Katanya, mangsa yang dipukul suspek yang juga anak saudaranya patah tangan kiri dan cedera di beberapa bahagian badan.

Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira jam 4.30 petang di sebuah kedai berhadapan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan ketika ditahan dia sudah membeli tiket bas ke Ipoh dipercayai untuk melarikan diri.

Berita Harian Online: 25 Julai 2009

Bahasa Kadazan Dusun ditawar dalam PMR

KOTA KINABALU 24 Julai - Kementerian Pelajaran akan mula menawarkan mata pelajaran Bahasa Kadazan Dusun dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk sekolah-sekolah di negeri ini bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr. Haili Dolhan berkata, mata pelajaran bahasa itu juga akan ditawarkan di tingkatan empat menjelang tahun 2010.

Menurutnya, usaha itu dilakukan untuk memartabatkan lagi bahasa itu di negeri ini.

Beliau memberitahu, pada masa ini bilangan pelajar yang mengambil subjek Bahasa Kadazan Dusun di sekolah rendah sudah menjangkau 18,424 orang dan di sekolah menengah seramai 1,962 orang.

"Langkah itu selaras dengan objektif pengajaran dan pembelajaran bahasa Kadazandusun iaitu supaya pelajar boleh bertutur dalam bahasa itu dan menyambung warisan tradisi dan budaya turun-temurun mereka.

"Jadi, harapan Kementerian Pelajaran supaya jumlah pelajar yang mengambil dan menduduki peperiksaan subjek Bahasa Kadazan Dusun akan bertambah dari tahun ke tahun," katanya semasa berucap pada majlis penutupan Kolokium Kadazandusun di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahasa dan Kesusasteraan Kementerian Pelajaran, Dr. Lee Boon Hua.

Menurut Haili, pengajaran dan pembelajaran bahasa Kadazandusun telah bermula di sekolah rendah di negeri ini sejak 1997 dan di sekolah menengah pada 2006.

Jelasnya, jumlah sekolah rendah yang menawarkan subjek Bahasa Kadazan Dusun adalah sebanyak 260 buah manakala sekolah menengah pula 53 buah.

Beliau berharap, para guru subjek Bahasa Kadazan Dusun dapat mempelbagaikan cara pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat lebih ramai pelajar mengambil subjek bahasa itu.

"Memandangkan pelajar di sekolah rendah begitu aktif sekali, pelajar akan berasa seronok jika pembelajaran mereka dibuat secara tidak bersahaja umpamanya melalui permainan tradisi yang hampir dilupakan,'' ujarnya.

Selain itu jelasnya, dalam era ledakan teknologi maklumat, para guru juga boleh mewujudkan laman web untuk penulisan puisi Kadazan Dusun.

Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2009

Simpan maklumat murid dalam pangkalan data

PULAU PINANG 24 Julai - Sistem Maklumat Murid (SMM) versi 4 dibangunkan bagi membolehkan semua data murid yang memasuki alam persekolahan disimpan dalam pangkalan data dan digunakan sebagai rujukan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, sistem yang melalui proses penambahbaikan dan pengubahsuaian itu menggabungkan SMM dan Borang Maklumat Murid (BMM) menjadikannya lebih terkini.

Katanya, SSM versi 4 merupakan satu kejayaan penyelarasan bagi operasi kutipan data dan maklumat murid dari peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan kementerian.

Menurut beliau, untuk sampai ke tahap aplikasi yang terkini itu bukanlah sesuatu yang mudah.

''Kita telah menambah medan-medan maklumat baru seperti cita-cita, kumpulan darah, masalah kesihatan dan sebagainya.

''Ini antara lain untuk meringankan tugas guru supaya tidak perlu mengisi borang berkali-kali. Mereka hanya perlu memilih maklumat yang diperlukan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran sistem tersebut di sini hari ini.

Menurut Noor Rezan, sistem itu juga akan membolehkan semua maklumat tersebut diakses dan dianalisis untuk pelbagai kegunaan bukan hanya untuk bidang pendidikan sahaja.

Katanya lagi, kemudahan itu kini digunakan di kira-kira 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

''Dengan adanya sistem pangkalan data tunggal, ia dapat menjadi sejarah yang mana negara mempunyai pangkalan data setiap rakyat dan boleh digunakan untuk perancangan serta pelaksanaan program dan projek- projek pembangunan negara.

''Selain itu, kita berhasrat untuk menjadikan SMM satu aplikasi canggih dengan satu sentuhan jari untuk mengakses semua maklumat yang dicari dalam memacu tahap pendidikan negara bertaraf dunia," katanya.

Noor Rezan berkata, beliau berharap warga pendidik yang terlibat secara langsung dengan aplikasi SMM versi 4 berusaha mempertingkatkan ilmu dan kemahiran teknologi maklumat agar sistem itu dapat digunakan dengan lebih berkesan.

Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2009

Jumaat, 24 Julai 2009

85 peratus lokasi sekolah berbahaya


Say Kiong (kiri) melihat papan tanda berhenti yang dipegang oleh seorang warden trafik di hadapan SKBK2 di Kota Kemuning, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Kajian mendapati 85 peratus daripada 9,586 sekolah kebangsaan dan menengah di seluruh negara dikategorikan sebagai berbahaya kerana terletak di tepi jalan raya utama.

Keadaan itu mengakibatkan lebih lima juta murid dan pelajar di sekolah-sekolah berkenaan terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Sim Say Kiong berkata, hasil kajian sehingga Oktober tahun lalu mendapati kebanyakan jalan raya di kawasan sekolah sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan.

Keadaan tersebut, jelasnya, menyebabkan pelajar yang berjalan kaki untuk melintas jalan menuju ke sekolah pada setiap hari persekolahan sentiasa 'bergadai nyawa' semata-mata untuk sampai ke kawasan sekolah.

"Pembangunan pesat dengan pertambahan projek-projek naik taraf bagi sesebuah kawasan khususnya berdekatan sekolah menyebabkan aliran lalu lintas di hadapan sekolah semakin tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya 'SafetyThon' di Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2 (SKBK2) di Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini semalam.

Kosmo Online: 24 Julai 2009

129 sekolah bertanding robotik

SEREMBAN 23 Julai - Sebanyak 79 buah sekolah menengah dan 50 sekolah rendah di sekitar negeri ini menyertai Pertandingan Robotik Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan 2009 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri dekat sini semalam.

Kolej Tunku Kurshiah di sini muncul johan kategori sekolah menengah atas (tingkatan empat hingga tingkatan lima) manakala Sekolah Menengah Teknik Juasseh di Kuala Pilah dinobat johan kategori sekolah menengah bawah (tingkatan satu hingga tingkatan tiga).

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Port Dickson di Port Dickson mengungguli kategori sekolah rendah dalam pertandingan anjuran bersama Sasbadi Sdn. Bhd. dan Jabatan Pelajaran negeri itu.

Tiga sekolah di sekitar daerah ini muncul johan kategori lain iaitu SMK Mantin (robot energizing); SMK Chun Wa (robot planting) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Hua (robot recycling).

Kesemua johan menerima hadiah berupa trofi dan sijil penghargaan sumbangan Sasbadi Sdn. Bhd. serta akan mewakili negeri ini dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan pada penghujung tahun ini.

Hadiah kepada kesemua pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Jamali Salam. Turut hadir Pengetua Kanan SMK Puteri, Azizah Mohd. Nor dan Pengarah Jualan Sasbadi Sdn. Bhd., Kevin Wan.

Dalam ucapannya, Jamali berkata, penganjuran pertandingan robotik dengan melibatkan pelajar sekolah perlu diteruskan bagi memupuk minat mereka dalam aplikasi sains dan teknologi.

''Inisiatif tersebut turut berupaya memperkembangkan potensi, kreativiti dan kemahiran membuat keputusan serta menyelesaikan masalah," jelas beliau.

Utusan Malaysia Online: 24 Julai 2009

Khamis, 23 Julai 2009

R&D: Masalah guru kaunseling

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


PRODIGY mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan dan pendedahan di Geneva.

Penyelidik UPSI hasilkan Prodigy bantu kaunselor tingkat kemahiran, jalan tugas lebih berkesan

BEBAN tugas banyak, kurang mahir menjalankan program serta tidak mempunyai bahan atau maklumat bagi mengendalikan perkhidmatan adalah antara masalah dihadapi guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan tanggungjawab mereka.

Justeru, sekumpulan penyelidik Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diketuai Ab Aziz Mohd Yatim menghasilkan modul perisian interaktif bersepadu bimbingan dan kaunseling, Prodigy, bagi merungkai segala permasalahan itu.

Ab Aziz berkata, perisian itu dibangunkan bagi membantu kaunselor melengkapkan diri dengan kemahiran berkaitan supaya dapat menjalankan tugas lebih cekap dan berkesan.

Menerusi dua kandungan utamanya, iaitu pengurusan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta modul latihan kursus, beliau berkata:

“Pengurusan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling mengandungi penyediaan kertas kerja program, analisis, penerbitan buletin, carta Gantt, soal selidik program, perancangan program, e-kaunseling, jadual, laporan, penyediaan sijil, buku program dan borang berkaitan.



“Kandungan modul latihan kursus pula membabitkan ice-breaking, energizer, kemahiran belajar lima domain, motivasi tenaga bawah sedar (subconscious), kemahiran komunikasi P, A, C, (parents, adult, child).

“Selain itu, pengendalian disiplin alternatif, kasih sayang tanpa syarat (Agape Love), kepemimpinan, kerjaya, personaliti, bina pasukan (team building), relaksasi, kembarun, penghasilan video serta modul pemikiran kreatif.”

Menggunakan modul pengurusan perkhidmatan, beliau berkata, masalah penulisan laporan, kertas kerja, sesi kaunseling dan perancangan bulanan dapat dilakukan lebih sempurna kerana proses dokumentasinya boleh disiapkan dalam tempoh singkat.

Ab Aziz berkata, ketidakupayaan guru bimbingan dan kaunseling menjalankan kursus atau program pula dapat diatasi menerusi modul latihan kursus yang membolehkan mereka melihat kaedah pengendalian modul tertentu melalui VCD dibekalkan.

“Dengan memiliki modul ini, kaunselor akan dapat mengendalikan kursus mengikut kepelbagaian keadaan pelajar seperti nakal, cemerlang, kepemimpinan, lemah pelajaran, kursus bina pasukan, keibubapaan dan kemahiran belajar tanpa pergantungan tinggi terhadap perkhidmatan perunding motivasi luar,” katanya.

Mengenai pendekatan modul itu, beliau berkata, ia lebih mesra pelajar seperti Ice Breaking mengandungi permainan kreatif menggalakkan pelajar menonjolkan potensi dan aspek positif dalam diri seperti rasa hormat kepada rakan, toleransi dan persaingan sihat.

Modul kemahiran belajar lima domain pula, katanya, antara lain membimbing pelajar menggunakan konsep sinergi dan kreativiti untuk merangsang otak kanan bekerja supaya dapat belajar dengan berkesan serta mengingati kandungan pembelajaran dengan lebih mudah.

Beliau berkata, pemupukan kasih sayang dalam komuniti pula diwujudkan menerusi modul Agape Love yang menggalakkan peserta mengamalkan sikap positif itu tanpa mengira agama, bangsa dan kaum sejajar semangat Satu Malaysia.

“Selain kegunaan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah, Prodigy juga boleh dimanfaat kaunselor pelajar institusi pengajian tinggi serta pengendali program latihan bagi membangun potensi diri golongan sasaran,” katanya.

Prodigy mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya pingat perak pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi (Itex 2009), Anugerah Inovasi UPSI 2005, selain turut didedahkan pada Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Produk dan Teknik Baru 2006 di Geneva, Switzerland.

INFO: 10 teras Modul

1) Modul Ice Breaking- Permainan kreatif menggalakkan pelajar menonjolkan potensi dan aspek positif mereka.

2) Modul Kemahiran Belajar Lima Domain- Gaya pembelajaran membabitkan lima domain, iaitu audio, visual, kognitif, afektif dan psikomotor.

3) Modul Agape Love (Kasih Sayang Tanpa Syarat)- Perkongsian cerita dan pengalaman bersama peserta bagi mewujudkan suasana kasih sayang dalam komuniti.

4) Modul Subconscious (Tenaga Bawah Sedar)- Perkongsian cerita dan pengalaman bagi menimbulkan kesedaran peserta mengenai kekuatan dalaman untuk dimanfaat bagi meningkat pencapaian akademik ke tahap cemerlang.

5) Modul Kembarun- Aktiviti luar yang menguji tahap kekuatan sesebuah kumpulan bagi menyedarkan peserta bahawa dalam mengharungi kehidupan mesti ada halangan dan cabaran serta setiap kejayaan ditempa mesti menempuh kesusahan

6) Modul Komunikasi- Ceramah mengenai kemahiran komunikasi melalui pendekatan komunikasi Transaksional dipelopori Erick Berne, iaitu parent, adult dan child (PAC).

7) Modul Personaliti- Peserta didedahkan ciri personaliti diri melalui ujian personaliti bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka.

8) Modul Inteam- Menguji kekuatan sesuatu kumpulan dalam mengharungi permasalahan organisasi bagi memberi kesedaran pentingnya kerja berpasukan, selain meningkatkan semangat kekitaan dan kerjasama.

9) Modul Kerjaya- Ujian Inventori dibekalkan kepada peserta bagi mengenali diri dan potensi diri melalui enam jenis personaliti dan persekitaran kerja.

10) Modul Relaksasi- Ceramah pengurusan tekanan bagi membolehkan peserta menghadapi dan mengendali tekanan terutama pada saat genting seperti peperiksaan atau mengalami masalah peribadi.

Berita Harian Online: 23 Julai 2009

Tren shuttle selesakan perjalanan ke sekolah


PELAJAR Sekolah Menengah Dabong, Kuala Krai, Kelantan perlu berada di stesen sebelum pukul 6 pagi supaya tidak terlepas kereta api yang membawa mereka ke sekolah dengan jarak 40 kilometer.





BANGUN seawal pukul 4 pagi merupakan sesuatu yang biasa bagi Mohamad Hakim Hakimi, 13. Tetapi mengapa pelajar tingkatan satu ini perlu bangun begitu awal sedangkan sekolah sesi pagi hanya bermula jam 7.15 pagi?

Sebabnya, Mohamad Hakim perlu berada di perhentian kereta api Bukit Abu, Kuala Krai sebelum pukul 6 pagi untuk ke sekolah di Dabong, yang jaraknya 40 kilometer (km) dari situ.

Ketika rakan sebayanya yang tinggal di bandar masih diulit mimpi, pelajar Sekolah Menengah Dabong, Kelantan itu, bersama rakan-rakan yang lain terpaksa meredah gelap subuh dengan berjalan kaki antara dua hingga empat km untuk ke perhentian kereta api.

Seandainya terlewat sampai dan terlepas kereta api, maknanya mereka terpaksa ponteng sekolah pada hari itu.

Ketika sampai di perhentian itu, Mohamad Hakim dan rakan-rakannya yang lain sempat menunaikan solat Subuh. Ketika di dalam gerabak kereta api, dia sempat meneliti kerja sekolahnya.

Di sudut koc yang lain, cuaca dingin di dalam koc membuatkan ada pelajar yang sempat melelapkan mata sebelum sampai ke sekolah.

Hampir sejam kemudian, kereta api berhenti di stesen Dabong dan lebih 200 pelajar sekolah turun untuk ke sekolah-sekolah berhampiran.

Mungkin sukar untuk kita bayangkan pengorbanan pelajar sekolah yang tinggal di pedalaman Kelantan itu. Namun, bagi mereka itulah kehidupan sebenar yang dilalui sejak sekian lama.

Mereka tinggal di Kuala Bukit Abu, Temangan, Ulu Temiang dan Kampung Baru Sungai Mengkuang yang meniti alam persekolahan dengan penuh kepayahan dan ketabahan.

Kereta api merket

Kereta api dianggap sebagai nadi pengangkutan bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Ia bukan sahaja untuk ke sekolah tetapi untuk keluar ke bandar terdekat seperti Kuala Krai dan Pasir Mas.

Faktor kelembapan kereta api bukan menjadi masalah bagi mereka kerana inilah satu-satunya pengangkutan yang mereka ada. Setiap hari gerabak atau koc kereta api akan penuh dengan penumpang termasuk pelajar sekolah.

Kereta api yang datang dari Tumpat seawal pukul 3 pagi itu seakan-akan tidak jemu membawa pelajar terbabit pada setiap hari dan kini kereta api yang dulunya dikenali sebagai kereta api merket (kereta api pasar) diberi nafas baru oleh pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menyelami kepayahan pelajar kerana kereta api sebelum ini tidak dilengkapi penghawa dingin dan tidak mempunyai sistem cahaya yang cerah di dalam koc, KTMB mengorak langkah menaik taraf kereta api sedia ada.

Idea untuk melengkapkan kereta api atau tren dengan penghawa dingin dan lampu yang mencukupi itu dicetuskan oleh Pengarah Urusan KTMB, Datuk Abdul Radzak Abdul Malek. Beliau mahu pelajar di pedalaman berada dalam keadaan selesa ketika menaikinya.

Naik taraf

"Pelajar sebelum ini terpaksa berpanas apatah lagi terpaksa berasak dengan para peniaga atau tok peraih.

"Saya telah mengarahkan supaya kereta api pasar ini dinaik taraf dan juga diwujudkan tren shuttle yang khusus bagi membawa pelajar pergi dan balik dari sekolah dengan selesa," kata Abdul Radzak ketika ditemui.

"Sebelum ini pelajar pulang dari sekolah dengan menaiki tren lain pada pukul 3.10 petang tetapi perkhidmatan tren terbaru itu akan bertolak dari Dabong pada pukul 2.10 petang iaitu awal kira-kira sejam masa menunggu berbanding sebelum ini," kata Abdul Radzak.

Mohamad Hakim merupakan antara pelajar yang begitu gembira apabila kereta api sedia ada itu dinaik taraf. Mereka tidak lagi mengeluh merasai bahang panas sepanjang perjalanan dan juga kini dia boleh menelaah pelajaran dalam keadaan selesa.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Dabong, Hazama Ismail berkata, pelajar sekarang boleh dikatakan beruntung kerana banyak kemudahan diberikan terutama kepada pelajar luar bandar seperti Dabong berbanding zaman persekolahannya dahulu.

Hazama yang yang berasal dari daerah Dabong berkata, beliau amat bersyukur dengan pengenalan tren baru oleh KTMB yang merupakan pengangkutan utama pelajar di pedalaman.

"Langkah ini patut dipuji kerana ia membantu pelajar pulang dari sekolah lebih awal. Lebih menggembirakan, pelajar tidak perlu lagi bersesak dengan tok peraih yang sememangnya menggunakan kereta api," katanya. - Bernama

Kosmo Online: 23 Julai 2009

Cukupkah sekadar pendidikan 3M?

PELAN Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 sedang disemak semula supaya sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat. Tindakan ini memang perlu dan penting demi kesejahteraan dan pembangunan pendidikan negara.

Malah semakan terhadap PIPP ini juga jelas memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan pendidikan luar bandar dan juga pendidikan rendah, sesuatu yang akan menentukan kejayaan sistem pendidikan negara.

UNESCO pada 2001 menetapkan Matlamat Pembangunan Pendidikan Millennium Kedua (MDG) untuk memastikan semua kanakkanak yang berumur tujuh tahun bersekolah di seluruh dunia pada 2015. Sehingga 2006, data menunjukkan lebih 115 juta pelajar tidak bersekolah manakala lebih 150 juta lagi keciciran atau tidak berjaya menamatkan pengajian di sekolah rendah di seluruh dunia.

Di Malaysia sahaja, data kementerian mengenal pasti terdapat seramai 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur tujuh tahun tetapi masih belum berpeluang ke sekolah rendah.

Kajian oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkaitan kadar pulangan pelaburan pendidikan mendapati, pendidikan sekolah rendah memberikan pulangan modal perseorangan dan modal sosial yang paling tinggi berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan untuk sekolah menengah dan universiti.

Maksudnya setiap ringgit yang dibelanjakan untuk menjayakan pendidikan rendah akan menyebabkan masyarakat mendapat pulangan hasil yang lebih tinggi termasuk penjimatan kos pengurusan, misalnya pendidikan menangani masalah sosial seperti penagih dadah dan jenayah.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan penekanan kepada pendidikan rendah. Sesetengah orang tidak dapat membezakan antara pendidikan asas dan sekolah rendah.

Apakah yang dikategorikan sebagai pendidikan asas? Tentulah bidang ilmunya dan bukan status sekolah tersebut. Maknanya pelajar diberikan ilmu asas bukannya ilmu rendah. Ilmu asas di sekolah rendah boleh sahaja menjadi sangat mustahak, penting dan tinggi nilainya berbanding ilmu di sekolah menengah atau di universiti sekalipun. Penting pada pelajar dan lebih-lebih lagi pada pembangunan negara.

Jika ilmu asas tidak kukuh, maka ilmu lanjutan yang dipelajari di sekolah menengah dan universiti tentunya tidak jelas atau berkualiti tinggi di dalam diri pelajar. Kebetulannya di kebanyakan negara, pendidikan asas dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah, maka kekeliruan ini berterusan di dalam masyarakat.

Pendidikan asas sebenarnya satu komponen ilmu yang diberikan kepada individu meliputi asas-asas kehidupan sama ada sebagai seorang individu manusia dan sebagai seorang ahli dalam sebuah negara.

Maka itu, pendidikan asas sering kali dikaitkan dengan akronim 3M (membaca, menulis dan mengira).

Sebenarnya pendidikan asas lebih daripada itu kerana pendidikan asas juga meliputi soal pendidikan kesihatan dan penjagaan diri, kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi serta berkaitan dengan pembangunan moral dan agama. Oleh itu apabila pendidikan rendah hanya menekankan soal pendidikan berkonsepkan 3M maka matlamat pendidikan asas gagal dicapai sepenuhnya semasa di sekolah rendah.

Pendidikan asas juga seharusnya tidak melibatkan satu proses pengaliran (streaming) yang rigid. Malah penilaian yang dilakukan kepada pelajar untuk pendidikan asas bukanlah sepatutnya melihat siapa yang paling pandai tetapi tumpuan sepatutnya diberikan untuk setiap pelajar mencapai tahap-tahap yang sepatutnya dicapai sepanjang program pendidikan asas.

Oleh itu, penggredan yang terlalu ketat melalui peperiksaan 'membunuh' potensi pelajar di dalam sistem pendidikan asas. Penilaian sepatutnya mengukur tahap-tahap yang telah dan belum dicapai tanpa membandingkan dengan ahli kumpulan yang lain.

Maka tidak hairanlah ada negara yang menggunakan istilah "sekolah asas" berbanding sekolah rendah. Pendidikan asas adalah satu konsep yang besar dan luar.

Tanpa mengira usia atau ruang, pendidikan asas boleh sahaja bermula sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti atau di usia tua.

Maka pendidikan untuk orang dewasa juga meliputi aspek ilmu asas. Jika seseorang dewasa ingin mempelajari asas komputer dan teknologi maklumat maka kurikulum pendidikan asas sepatutnya menyediakan peluang pendidikan tersebut, berbanding pendidikan sekolah rendah yang hanya tertumpu kepada kanak-kanak semata-mata.

Justeru itu, ke manakah golongan dewasa yang buta huruf perlu pergi jika mereka ingin belajar? Apakah kita akan menghantar mereka ke sekolah rendah untuk mempelajari pendidikan asas membaca, menulis dan mengira?

Malangnya masyarakat sering melihat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai sangat penting tetapi melihat ujian asas seperti kebolehan membaca, menulis dan mengira atau sebarang peperiksaan untuk pendidikan asas tidak begitu penting.

Malah ujian kebolehan bertutur, membaca, menulis dan mengira dianggap sebagai remeh dan tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Jika ditanya berapakah peratus rakyat kita yang benar-benar buta huruf, separa buta huruf atau tahap-tahap kemahiran mengira, sukar untuk dijawab dengan pasti oleh pihak kementerian hatta ahli akademik dalam bidang pendidikan sekalipun.

Media massa juga sangat kurang memberikan perhatian kepada pencapaian pendidikan asas berbanding keputusan peperiksaan di sekolah. Begitu juga guru sekolah rendah dikategorikan sebagai kurang penting berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.

Lihat sahaja kelulusan yang diperlukan untuk menjadi guru sekolah rendah dan gred tangga gaji mereka berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.

Maka itu sistem pendidikan asas perlu dipantau oleh pihak Kementerian Pelajaran agar tidak seorang pelajar pun tercicir daripada mendapat peluang pendidikan asas.

Jika kita tidak membuat persiapan dengan mengemaskan pendidikan asas dikhuatiri akan ada anak-anak yang tertinggal di peringkat sekolah rendah dan akan terus tercicir dalam mendapat peluang pendidikan di peringkat pendidikan yang lebih tinggi.

Di peringkat pendidikan asas, anak-anak ini akan belajar pelbagai perkara, bukan untuk tujuan dinilai di dalam peperiksaan tetapi didedahkan dengan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. Kemajuan mereka dipantau secara dalaman oleh guru, dilakukan modifikasi tingkah laku dan strategi meningkatkan kognitif jika diperlukan.

Apakah guru kita terlatih untuk melakukan semua itu? Apakah latihan guru mempunyai topik penyelesaian masalah atau hanya sekadar mendedahkan bakal-bakal guru kepada teori-teori psikologi lama pendidikan yang sebahagiannya diragui oleh pakar pendidikan kontemporari?

Maka selepas pendidikan asas, anak-anak ini akan meneruskan pendidikan di peringkat pendidikan menengah dan tinggi.

Di peringkat asas, selain 3M yang menjadi keutamaan, kemahiran interpersonal, agama, nilai moral, jari diri kewarganegaraan, pendidikan kesihatan dan sukan serta keselamatan diri sepatutnya turut dilaksanakan.

Para pelajar juga seharusnya didedahkan kepada alam serta hubungannya dengan kehidupan manusia, seni dan muzik serta sains asas. Semua elemen ilmu asas ini digabung jalin dan tidak seharusnya terlalu terikat mengikut disiplin akademik tetapi satu bentuk kurikulum yang lebih berpusatkan pembangunan pelajar.

Kurikulum juga perlu lebih hidup dan menepati keperluan para pelajar untuk menguasai dan menguruskan kehidupan mereka.

Pakar-pakar kurikulum seharusnya lebih bijak untuk menentukan isi kandungan pelajaran, tahap serta pedagogi yang sesuai untuk melaksanakan pendidikan asas kepada para pelajar. Penggabungan kurikulum secara holistik akan lebih memberikan makna kepada pelajar berbanding sistem pendidikan sekarang yang terlalu terikat kepada disiplin ilmu yang khusus.

Matlamat akhir pendidikan asas ialah jika seorang anak di bandar besar seperti Kuala Lumpur boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, maka perkara yang sama juga boleh dilakukan oleh pelajar di sekolah pedalaman.

Jika anak-anak di Damansara tahu bahawa menjaga gigi itu penting untuk kebersihan diri, perkara yang sama juga perlu diketahui oleh pelajar di Long Pasia atau Long Batu.

Semua ini hanya boleh dilakukan jika pendidikan asas diselia dan dirancang dengan teliti. Guru-guru seharusnya mempunyai garis panduan pembelajaran dan pengajaran dan diberikan peluang untuk membina kurikulum sendiri berasaskan garis panduan tersebut.

Maka kita akan dapat melihat nanti anak-anak di Pulau Langkawi menjalankan pembelajaran mereka berasaskan kehidupan tempatan - suatu tempat yang rapat dengan kehidupan mereka.

Sementara anak-anak di Kuching pula akan juga mempelajari sesuatu yang rapat dengan mereka. Jika mereka belajar tentang pencemaran air, maka setiap anak-anak ini akan berpeluang untuk melihat pencemaran di sungai yang berdekatan. Jika mereka belajar tentang tempat bersejarah, maka mereka berpeluang menyelaminya sendiri di bandar atau daerah mereka.

Anak-anak ini pada peringkat asas belum lagi perlu untuk mempelajari sesuatu yang "jauh" dari mereka. Mereka bukan sahaja belum mengalami perkembangan kognitif yang lengkap sehingga umur mencecah 11 tahun (itulah pandangan umum para pakar teori perkembangan kanak-kanak), malah kurikulum yang di luar lingkungan bukan sahaja sukar tetapi tidak dapat menarik perhatian serta motivasi pembelajaran kanak-kanak.

Albert Einstein pernah berkata: "Jika ditanya pada anda apakah maksud pendidikan? Maka jawablah, pendidikan ialah perkaraperkara yang masih tertinggal di dalam ingatan seseorang apabila beliau sudah melupakan hampir semua perkara yang dipelajari semasa di sekolah dahulu".

Jika diingat-ingat kembali tentunya pembaca boleh bersetuju bahawa sebahagian besar perkara di dalam pendidikan asas bukanlah perkara yang mudah untuk kita lupakan.

PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Utusan Malaysia Online: 23 Julai 2009

Prasekolah: Pastikan guru, prasarana cukup

KUALA LUMPUR 22 Julai - Prasarana yang mencukupi serta penyediaan guru terlatih perlu sekiranya mahu menjadikan pendidikan prasekolah sebagai dasar pendidikan negara.

Pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Daud berkata, cadangan itu merupakan satu langkah yang bijak, bagaimanapun ia perlu disokong oleh kedua-dua perkara tersebut.

"Kerajaan perlu memastikan kelas prasekolah dilengkapi dengan pelbagai alat bantuan mengajar.

''Jika sekadar papan hitam serta cara mengajar bercakap biasa sahaja tidak memadai. Perlu ada alat pembelajaran yang ke hadapan seperti yang kita lihat di luar negara,'' katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mengenai cadangan pihak kerajaan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada dasar pendidikan negara.

Langkah berkenaan bagi memastikan proses pemantapan bahasa Inggeris dapat dimulakan di peringkat awal.

Dalam pada itu, kata Abdul Rahman, langkah menjadikan prasekolah sebagai dasar pendidikan negara juga mampu mengatasi isu kemunduran pelajar.

"Sebelum ini memang tiada satu sistem untuk prasekolah sedangkan ada bermacam-macam prasekolah yang disediakan oleh pihak swasta serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Bagaimanapun, ada kanak-kanak yang mahu pergi dan ada yang tidak.

"Apabila wujud sistem yang seragam ini pastinya tidak boleh dielak oleh semua kanak-kanak,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hasan berkata, pelaksanaan sistem prasekolah tersebut perlu menitikberatkan kanak-kanak di kawasan luar bandar.

"Jika sistem prasekolah ini dilakukan, perhatian yang lebih mesti diberikan terhadap kanak-kanak di pedalaman. Kalau mahu memastikan semua pelajar di usia muda cemerlang jangan abaikan mereka.

"Melihatkan situasi sekarang pun, pelajar di luar bandar masih lagi ketinggalan. Jadi pastikan dalam pelaksanaan prasekolah ini mereka tidak ketinggalan, jika tidak sia-sia sahaja apa yang ingin dicapai," katanya.

Selain itu, katanya, sekiranya sistem prasekolah dapat diselaraskan antara sekolah kerajaan dan swasta, ia mampu mengurangkan jurang pendidikan.

"Kalau boleh selaraskan tadika swasta dan kerajaan.

''Itu lebih baik kerana selalunya apa yang kita boleh lihat sekolah swasta ini menyediakan prasarana yang lebih baik,'' jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 23 Julai 2009

Bahasa etnik subjek elektif?

KOTA KINABALU 22 Julai - Kerajaan bersedia menyenaraikan bahasa etnik dan Orang Asli seperti Iban, Kadazandusun dan Semai sebagai subjek elektif di sekolah tambahan kepada beberapa bahasa antarabangsa yang boleh dipelajari kini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu bertujuan mengiktiraf kepentingan bahasa pelbagai kaum di negara ini setanding bahasa asing seperti Perancis, Jerman dan Jepun.

Bagaimanapun beliau menegaskan, keputusan itu bergantung kepada kesediaan guru untuk mengajar bahasa berkenaan.

''Kerajaan sedia membantu kerana untuk menyediakan buku teks, memang kita sudah ada kemampuan.

''Untuk bahasa antarabangsa seperti Perancis dan Jepun memang sudah diperkenalkan di sekolah berasrama penuh," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Puralan Boros Kadazandusun Id Sikul (Pelajaran Bahasa Kadazandusun di Sekolah) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bahasa Kadazandusun, Tan Sri Simon Sipaun.

Mohd. Puad berkata, berdasarkan trend semasa, pengajaran bahasa etnik sebagai subjek elektif masih belum menyeluruh dan hanya bertumpu di kawasan atau daerah yang mempunyai ramai penutur bahasa berkenaan.

Bagaimanapun beliau menambah, pengajaran bahasa Kadazandusun sebagai subjek elektif telah menunjukkan peningkatan apabila seramai 700 pelajar yang mengambil kertas ujian bahasa berkenaan akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini.

''Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 20,000 pelajar di negeri ini yang mengambil subjek Bahasa Kadazandusun sebagai elektif," katanya.

Berdasarkan statistik, Sabah kini mempunyai seramai 17,000 murid mengambil subjek Bahasa Kadazandusun di 205 sekolah kebangsaan manakala, 1,900 pelajar di sekolah menengah.

Selain itu, terdapat sebanyak 701 guru subjek Bahasa Kadazandusun kini bertugas di 621 sekolah rendah dan 80 sekolah menengah di negeri ini.

Sementara itu Mohd. Puad berkata, Kesusasteraan Inggeris yang akan diperkenalkan pada sesi persekolahan Januari depan diyakini lebih berkesan melahirkan pelajar fasih berbahasa Inggeris berbanding pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ini kerana, jelasnya, subjek itu menjurus kepada 'didik hibur' yang lebih diminati pelajar dan dengan sendirinya memudahkan mereka mendalami bahasa antarabangsa itu.

Utusan Malaysia Online: 23 Julai 2009

Rabu, 22 Julai 2009

Prasekolah jadi sebahagian sistem pendidikan negara

Oleh Ziauddin Sharuddin, Saufi Hamzah dan Hussain Said
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN bertanya sesuatu kepada pelajar ketika melawat SMK Senawang dan SMK Senawang 3, Senawang, semalam. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri), Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Guru terlatih disedia mantap penguasaan BI: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Pendidikan prasekolah bakal dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) bermula daripada peringkat awal, sekali gus memantapkan penguasaan bahasa itu di kalangan murid.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi tujuan itu, prasekolah akan dibekalkan guru BI terlatih sebagai usaha mencapai sasaran apabila ia dilaksanakan kelak.

"Ramai ibu bapa menghantar anak ke prasekolah. Dalam jangka waktu yang sesuai dengan guru terlatih, mungkin dalam masa dua tiga tahun saja kita boleh kuasai bahasa itu," katanya pada majlis perjumpaan khas Menteri Pelajaran bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan menyedari kebimbangan sesetengah pihak jika syarat wajib BI dilaksanakan sekarang, ramai pelajar terutama di luar bandar akan terkandas.

"Dalam peperiksaan SPM 2008, hanya 26.9 peratus calon luar bandar lulus BI. Ia bermakna 73.1 peratus pelajar di luar bandar akan gagal memperoleh sijil jika ia dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, 394,000 warga pendidik perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI bagi menjamin masa depan pelajar dan keupayaan menguasai ilmu untuk membolehkan mereka menjadi sumber manusia berkualiti atau mampu bekerja sendiri.

"Ia memerlukan komitmen sepenuhnya, bukan separuh hati. Kita tidak akan ada rasa berbelah bagi dan tak nak ada pro dan kontra," katanya sambil mengulangi pemansuhan PPSMI bukan keputusan politik sebaliknya memerlukan iltizam politik yang tinggi untuk dilaksanakan.

Muhyiddin berkata, walaupun ada suara membantah terutama menerusi akhbar dan blog, kumpulan majoriti yang tidak bersuara juga harus diambil kira.

Beliau berkata, strategi Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah dasar baru yang menjadi sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan negara.

Di SEREMBAN, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memberi insentif tambahan kepada guru BI yang berkhidmat di luar bandar bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan apabila strategi memperkukuhkan penguasaan bahasa itu dilaksanakan pada 2012.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada guru Bahasa Inggeris cemerlang berkhidmat di luar bandar kerana Bahasa Inggeris adalah antara mata pelajaran paling rendah pencapaiannya di kalangan pelajar luar bandar.

"Bentuk insentif belum diputuskan kerana memerlukan penelitian lanjut," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke-15 dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke-2.

Berita Harian Online: 22 Julai 2009

Minda Pengarang: Kajian mendalam atasi masalah tercicir alam persekolahan

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa lebih 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur persekolahan tercicir daripada alam persekolahan, memerlukan penyelesaian yang serius dan segera. Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan walau-pun mereka dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang sepatutnya tidak dipinggirkan dalam apa juga kemudahan yang diberikan untuk rakyat, apatah lagi soal pelajaran. Awal tahun lalu, dilaporkan 83,000 pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima tercicir daripada sistem persekolahan negara. Keciciran selepas gagal dalam peperiksaan bukanlah perkara yang menghairankan. Tetapi, menafikan hak kanak-kanak menikmati alam persekolahan setelah mereka berusia tujuh tahun, tidak sewajarnya berlaku apatah lagi dengan status Malaysia yang akan menjadi negara maju pada 2020 nanti. Jika masalah ini berpunca daripada kemiskinan atau kekurangan prasarana, ia adalah alasan yang tidak boleh diterima. Pihak berkenaan perlu menyelidiki dengan mendalam faktor yang menjadi punca kepada masalah ini seperti sikap pelajar itu sendiri, keluarga dan persekitaran. Kabinet pada 16 Januari tahun lalu sudah memutuskan bahawa semua kanak-kanak tanpa sijil kelahiran di seluruh negara layak mendapat akses pendidikan kerana tidak mahu mereka terus tercicir daripada arus pendidikan hanya disebabkan tidak dapat didaftarkan di sekolah, semata-mata kerana proses permohonan sijil lahir yang agak rumit dan mengambil masa agak panjang.

Oleh itu, sesuatu harus dilakukan termasuk mengenal pasti siapa dan di mana kanak-kanak itu berada. Kerahkan semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan bantuan Pejabat Daerah serta agensi kerajaan berkaitan untuk menemui keluarga kanak-kanak terbabit dengan kerjasama penghulu kampung dan sebagainya.

Kementerian Pelajaran dan Unesco dalam satu kajian pada 2003 mendapati 84.6 peratus pelajar yang tercicir daripada sekolah rendah adalah daripada keluarga golongan sosio-ekonomi yang rendah. Sememangnya ada kes bagi rakyat yang benar-benar miskin untuk memberi pendidikan kepada anak terutama di kawasan yang jauh dari sekolah, Mereka lebih rela anak mereka mengikut jejak langkah mereka daripada memberi pendidikan kepada anak. Namun, ini tidak semestinya benar kerana ramai anak miskin ini kini berada di Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan sebagainya. Dicadangkan supaya siasatan dan kajian lanjut dijalankan untuk mengetahui sama ada mereka ini benar-benar tercicir atau mereka ditempatkan di sekolah-sekolah lain.

Kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran sudah merangka banyak program termasuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang antara lain bagi mengatasi kadar keciciran pelajar. Kita berharap kerajaan memastikan semua rakyat berpeluang mendapat akses kepada pendidikan. Kementerian Pelajaran hendaklah menyediakan infrastruktur, terutama kepada sekolah luar bandar. Ini selaras dengan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu setiap negara di dunia memastikan pendidikan untuk peringkat masyarakat dapat dilaksanakan secepat mungkin tanpa seorang pun tertinggal atau dinafikan haknya.

Berita Harian Online: 22 Julai 2009

Sayangi Sekolah: Pendidik prihatin

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


JURULATIH goalball SMPK Setapak, Abdul Karim Rahan (kanan) melatih pelajar yang akan mewakili negara ke Kejohanan Sukan Kurang Upaya Paralimpik 2009 di Tokyo.

Guru SMPK Setapak gigih berusaha lahir pelajar istimewa cemerlang, capai sasaran sekolah terbilang

BERPEGANG cogan kata Berusaha dan Berdikari, guru Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala Lumpur, berusaha keras bagi merealisasikan visi melahirkan pelajar cemerlang dan muncul sekolah terbilang menjelang 2010.

Pengetuanya, Che Fatimah Che Abdullah, berkata sekolah itu juga bercita-cita tergolong dalam kumpulan Sekolah Kluster dengan kebitaraan tersendiri pada masa akan datang.

Bagi mencapai matlamat itu, guru sekolah berkenaan tanpa mengenal erti jemu mengajar dan bersabar menghadapi segala kesulitan serta cabaran menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik di sekolah pendidikan khas itu.

“Antara cabaran dihadapi ialah mengendalikan pelajar mengalami kecacatan tambahan seperti kanser, hiperaktif, sakit jantung serta ketumbuhan, tambahan pula kurang bahan bantu mengajar, buku teks braille dan guru pendidikan khas terlatih.

“Sikap segelintir ibu bapa yang tidak menghiraukan anak mereka di sini dan membeza-bezakan pelajar juga antara cabaran guru di sini.



“Semuanya ditangani dengan matang dan kami mendidik mereka secara individu. Semua pelajar Tingkatan Satu hingga Lima tinggal di asrama dan diberi pendidikan agama dan moral sebaiknya,” katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau berkata, sekolah diterajuinya sejak 2004 itu menerima kebanyakan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Batu, Kuala Lumpur; SK Pendidikan Khas (Penglihatan) Alma, Pulau Pinang; SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor dan SK Pendidikan Khas (Buta) Kuching, Sarawak.

Pada awal pembukaannya pada April 1974, Che Fatimah menjelaskan sekolah itu berperanan sebagai asrama pusat bagi murid cacat penglihatan dari seluruh negara dan pelajar Brunei bersekolah di sekitar Kuala Lumpur melalui program Rancangan Percantuman.

Bagaimanapun tiga tahun kemudian, katanya, ia bertukar menjadi satu-satunya sekolah menengah khas cacat penglihatan sehingga sekarang.

“Kini, kami mempunyai 129 pelajar dengan 41 guru, selain 21 kakitangan sokongan. Selain itu, pelajar Tingkatan Enam yang meneruskan pengajian menerusi program Rancangan Percantuman di Sekolah Menengah St John turut ditempatkan di sini,” katanya.

Mengenai usaha dilakukan bagi meningkatkan peranan sekolah itu, beliau berkata, antaranya melatih guru baru atau yang kurang mahir dengan tulisan braille oleh lima guru cacat penglihatan dan menghasilkan buku nota braille sendiri.

Dalam bidang kokurikulum, Che Fatimah berkata, sekolah itu giat melatih pasukan Goalball dan olahraga untuk mewakili negara ke Kejohanan Sukan Kurang Upaya Paralimpik 2009 di Tokyo pertengahan September depan.

“Goalball sukan paling menonjol di sekolah ini, ia adalah sejenis permainan untuk golongan cacat penglihatan menggunakan bola berloceng sebesar bola jaring seberat 1.25 kilogram yang dibaling ke gol pihak lawan.

“Pasukan Goalball kami pernah menduduki tempat kedua Piala Datuk Bandar Majlis Perbandaran Petaling Jaya tahun lalu. Selain itu, pasukan sekolah kami pernah menewaskan pasukan dewasa normal.

“Ketika menyertai Sukan Sea lalu, pelajar kami meraih emas acara catur bagi kategori paralimpik, manakala di peringkat kebangsaan pula johan keseluruhan olahraga pendidikan khas kategori cacat penglihatan," katanya.

Sepanjang 22 tahun penubuhan sekolah itu, banyak kejayaan dicapai sama ada di peringkat jabatan, negeri dan kebangsaan.

Antaranya Sekolah Cemerlang Pendidikan Khas (2006), Guru Cemerlang Pendidikan Khas (2006), Guru Cemerlang Kokurikulum (2007), Murid Cemerlang Kokurikulum (2007), 50 Koperasi Terbaik Seluruh Negara (2006 dan 2008).

Johan Tilawah al-Quran (Perempuan-2008), Johan Anugerah Nilam Kategori Pendidikan Khas (2008), Calon Murid Cemerlang Penilaian Menengah Rendah Calon Istimewa (2007) dan Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia Terbaik Sekolah Berpotensi (2007).

Walaupun kekurangan dari segi penglihatan, Che Fatimah berkata, ramai daripada mereka berjaya ke menara gading seterusnya menjadi peguam, pensyarah, tahfiz al-Quran dan guru.

Berita Harian Online: 22 Julai 2009