Selasa, 10 Mac 2009

Ibu bapa perlu, hormati tugas guru




IBU bapa perlu akur tugas guru bukan hanya mengajar mata pelajaran untuk lulus peperiksaan, tetapi turut mendidik pelajar menerusi penerapan nilai murni, selain jati diri, disiplin serta sahsiah terpuji.

Pakar Motivasi, Nawawi Yusoh, berkata jika ibu bapa tidak memberi kepercayaan kepada guru dan menganggap hukuman yang dikenakan terhadap anak mereka sebagai mendera serta masih mempertahankannya walaupun bersalah, lambat laun menjejas rasa hormat mereka terhadap guru.

Katanya, kebanyakan ibu bapa mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata dan bukan sahsiah yang baik menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur walaupun melakukan kesalahan.

“Terdapat juga ibu bapa tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah dan tidak mengaku kesilapan dilakukan. Mereka perlu berbincang terlebih dulu dan jangan terburu-buru menyerang pihak sekolah atau membuat pendedahan kepada media.

“Didik anak mengikut peredaran masa dan guru perlu menghukum pelajar yang melakukan kesalahan dengan bijaksana.

“Mungkin rotan yang dibalut dengan kertas boleh digunakan, bunyinya deras, mampu mendatangkan gerun kepada pelajar, namun ia tidak menyakitkan,” katanya.

Pakar motivasi dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata dalam membentuk disiplin, tugas guru lebih mencabar berbanding pensyarah universiti kerana mereka mendidik murid di peringkat kanak-kanak lagi, manakala pensyarah untuk orang dewasa.

Katanya, hukuman dikenakan adalah proses mendidik dan bukan memalukan pelajar, sekali gus memberi keinsafan dan kesedaran terhadap salah laku yang dilakukan.

“Setiap hukuman harus dibincangkan kewajarannya berlandaskan etika, melainkan guru itu sendiri tidak profesional dengan sengaja melepaskan emosi kepada pelajar.

“Ibu bapa yang sering menyebelahi anak hanya akan menjejaskan pemikiran pelajar berkenaan.

“Tidak salah memanjakan anak untuk menghargai mereka, tetapi mereka yang melakukan kesalahan tetap dihukum dengan hukuman setimpal,” katanya.

Berita Harian Online: 9 ac 2009

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Murid2 perlu diberikan pendedahan agama yang lebih tentang menghormati guru. Jangan nanti, dosa menderhaka kpd guru akan dibawa hingga ke akhir hayat.

View Profile: Rantong™

su berkata...

Harap2 ibu bapa lebih sedar tujuan guru2 marah pd anak2 diorg...