Isnin, 15 Mac 2010

Kementerian kena ambil tahu kebajikan pendidik luar bandar

Oleh Azeem Daniel

2010/03/15

DUNIA pendidikan memang tidak lepas daripada pelbagai isu sama ada membabitkan guru, pelajar mahupun ibu bapa. Sekarang heboh pula isu guru enggan bertugas di luar bandar hingga memaksa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran mewajibkan mereka bertugas di luar bandar, sekurang-kurang tiga hingga lima tahun.

Penulis seorang guru yang bertugas di pedalaman sudah hampir sepuluh tahun. Bertugas di pedalaman adalah suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Pengalaman selama tempoh itu mematangkan kerjaya penulis sebagai guru.

Namun yang menjadi isu sekarang ini apabila ada kalangan lepasan maktab enggan bertugas atau dihantar ke luar bandar dan pedalaman khususnya di Sarawak serta Sabah kerana momokan rakan seperjuangan mengatakan kedua-dua negeri itu keadaannya sangat perit. Ada yang mengambil jalan pintas dengan segera mendirikan rumah tangga menjelang akhir semester pengajian di institut perguruan dengan harapan mereka tidak dihantar ke pedalaman.

Ada yang terpaksa memikirkan berpuluh alasan untuk tidak ke sana kerana bimbang tidak mampu hidup di kawasan itu. Saya tidak menyalahkan bakal guru kerana kebimbangan mereka ada asas. Ini kerana bertugas di luar bandar atau pedalaman memerlukan kekuatan mental serta fizikal.

Kita perlu berkorban segala-galanya jika berada di luar bandar. Ketiadaan kemudahan asas adalah satu kenyataan yang perlu ditelan ketika melangkah ke kawasan itu. Hanya berbekalkan generator dan air sungai, guru perlu segera menyesuaikan diri.

Ada sekolah tidak mempunyai kemudahan telefon atau jaringan komunikasi. Penulis sendiri pernah mengalaminya. Hendak menelefon keluarga pun terpaksa menggunakan telefon atur atau terpaksa memanjat apa saja asalkan dapat menghubungi keluarga.
Begitu besar pengorbanan guru di luar bandar. Tambahan pula, ada kawasan tidak mempunyai kemudahan klinik. Kalau demam pun terpaksa menelan ubat yang dibeli di farmasi. Kalau hendak ke klinik akan memakan masa. Kecuali keadaan kesihatan yang serius maka terpaksa juga menggagahkan diri ke bandar untuk mendapatkan rawatan.

Ada kalangan kami yang ke bandar tetapi tidak mempunyai tempat penginapan. Kami terpaksa bermalam di hotel atau rumah tumpangan. Tidak mengira keselamatan diri, guru perempuan yang tidak mempunyai saudara mara di bandar terpaksa tinggal di hotel terutama apabila menghadiri kursus kerana jabatan tidak menyediakan tempat penginapan.

Apatah lagi sekarang ini adalah zaman penjimatan di mana setiap kursus perlu dilakukan di premis pendidikan sendiri. Terpaksalah guru luar bandar mencari alternatif untuk menjimatkan perbelanjaan daripada duduk di hotel beberapa hari.

Apa yang membimbangkan adalah sistem pengangkutan di luar bandar. Terpaksa naik perahu berjam-jam lamanya. Apa yang lebih memeritkan, penulis dan rakan terpaksa memberanikan diri menahan mana-mana kenderaan yang lalu lalang untuk ditumpangi ke bandar.

Begitulah peritnya hidup seorang guru di luar bandar. Namun, kami sangat terharu apabila kerajaan mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500 hingga RM1,500 untuk guru yang berkhidmat di luar bandar.

Akan tetapi, kami berasa dipinggirkan apabila terpaksa berjuang pula untuk mendapatkan insentif itu kerana sekolah kami mudah dihubungi menurut pandangan pegawai yang melakukan pemantauan. Kami sangat kecewa pada masa itu, memandangkan sekolah kami tidak mempunyai bekalan elektrik, perlu menaiki perahu, menggunakan jalan tanah merah malah tiada kemudahan telefon. Paling menambahkan beban, elaun perumahan ditarik balik memandangkan kami tinggal di kuarters sekolah walaupun kuarters itu sangat daif dan usang.

Sudah jatuh, ditimba tangga pula. Biarpun demikian, kami sangat berbesar hati apabila kerajaan memberi elaun balik kampung kepada kami memandangkan harga tambang untuk pulang ke kampung bernilai sebulan gaji.

Cadangan kerajaan mewajibkan guru bertugas di luar bandar bagi tempoh tiga hingga lima tahun adalah cadangan cukup baik. Namun kementerian perlu memastikan guru terbabit dapat berpindah ke negeri asal selepas tamat tempoh berkenaan.

Jangan jadi seperti penulis yang tidak kisah berkhidmat di luar bandar tetapi untuk tempoh selama sepuluh tahun ia memang memeritkan. Sepuluh tahun berkhidmat di sekolah sama begitu menekan. Apabila penulis memohon ke bandar, pelbagai alasan dikemukakan jabatan kepada penulis. Sebab itu, ramai bakal guru yang enggan ke luar bandar kerana bimbang akan terkandas di sana selama berpuluh tahun.

Ada rakan sejawat penulis pernah bertugas di luar bandar selama 15 tahun barulah jabatan buka mata untuk memindahkan mereka. Itupun selepas mereka bertikam lidah dengan pihak berkenaan. Alasan yang selalu diberikan pihak berkenaan adalah tiada kekosongan di tempat yang diminta.

Selepas ini, penulis berharap urusan perpindahan guru diuruskan dengan lebih sistematik pihak terbabit. Sebagai guru, kami tidak kisah berkhidmat di mana-mana saja kerana sudah termaktub dalam ikrar kami sebelum menjadi guru. Akan tetapi, kebajikan kami perlu juga dijaga khususnya guru di luar bandar.

Hasrat kerajaan menambah insentif kepada guru di luar bandar sangat dialu-alukan supaya lebih ramai guru berminat untuk ke sana. Pemberian elaun hidup susah adalah contoh terbaik yang amat menggembirakan kami di luar bandar.

Cadangan penulis supaya setiap sekolah dibekalkan dengan bot laju atau van siap dengan pemandu bagi kemudahan guru berulang-alik ke bandar. Dan diharapkan generator yang ada di sekolah dapat membekalkan bekalan elektrik 24 jam tanpa sebarang masalah. Kadang-kadang ada sekolah yang mempunyai generator tetapi tidak boleh digunakan kerana rosak atau tiada bekalan minyak. Kasihanilah guru di luar bandar.

Penulis ialah guru di pedalaman Sarawak

Berita Harian Online: 15 Mac 2010

1 ulasan:

Credit Loan Solution berkata...

Are you tired of seeking loans and Mortgages,have you been turned down constantly By your banks and other financial institutions,We offer any form of loan to individuals and corporate bodies at low interest rate.If you are interested in taking a loan,feel free to contact us today,we promise to offer you the best services ever.Just give us a try,because a trial will convince you.What are your Financial needs?Do you need a business loan?Do you need a personal loan?Do you want to buy a car?Do you want to refinance?Do you need a mortgage loan?Do you need a huge capital to start off your business proposal or expansion? Have you lost hope and you think there is no way out, and your financial burdens still persists? Contact us (gaincreditloan1@gmail.com)

Your Name:...............
Your Country:...............
Your Occupation:...............
Loan Amount Needed:...............
Loan Duration...............
Monthly Income:...............
Your Telephone Number:.....................
Business Plan/Use Of Your Loan:...............
Contact Us At : gaincreditloan1@gmail.com
Phone number :+44-75967-81743 (WhatsApp Only)