Sabtu, 27 November 2010

Kurikulum Sejarah Perlu Dikaji Semula - NUTP

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kurikulum sejarah Sekolah Menengah perlu dikaji semula sebelum mewajibkan pelajar lulus dalam mata pelajaran itu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) Hashim Adnan.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula kurikulum sejarah di mana fakta-fakta dalam mata pelajaran itu perlu diubah suai dengan lebih realistik selain menggalakkan teknik pengajaran yang lebih menarik supaya menarik minat pelajar.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco KPPK di sini, Hashim berkata banyak perkara perlu diperbetulkan dahulu sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan.

Ini termasuk masalah sekolah yang kurang guru, guru berlebihan dan tenaga pengajar yang mengajar sejarah yang bukan subjek opsyen mereka, katanya.

Beliau berkata untuk itu adalah tidak adil bagi pelajar diwajibkan lulus dalam mata pelajaran tersebut tanpa sebarang pembaharuan dilakukan.

"Pelajar mesti dapat guru terbaik dalam mata pelajaran ini dan kemudian barulah dijadikan subjek wajib lulus dalam SPM.

"Sejarah tidak boleh menjadi penghalang mereka mendapatkan sijil kelak," katanya.

Hashim berkata KPPK akan menghadiri satu mesyuarat dengan Bahagian Kurikulum Kementerian Pelajaran berkaitan isu tersebut bulan depan bagi mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki.

Katanya, KPPK bukan menolak dasar yang diperkenalkan itu, tetapi ia perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum melaksanakannya.

BERNAMA:27 November 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mata pelajaran sejarah wajib tunjukkan fakta sebenar dan jangan ada yang disembunyikan .fakta mestilah menyeluruh tanpa ada kesangsian,keraguan,penipuan,dan sebagainya sehingga sesuatu itu diterima oleh semua bangsa di Malaysia

Tanpa Nama berkata...

Hari ini ramai yang mengalami penyakit buta sejarah.Orang yang buta sejarah lebih menyusahkan dari orang yang buta matanya.Orang yang buta sejarah mampu meruntuhkan sejarah dan peradaban sesuatu bangsa.Orang yang buta sejarah mampu menggadaikan tanahairnya kepada orang lain.Jika kita di zaman raja-raja dahulu,orang yang buta sejarah ini mungkin patut disula kerana memporak-perandakan salasilah dan hikayat bangsa.Jika anda bertemu dengan ular dan orang yang buta sejarah pada masa yang sama,anda patut ketuk kepala orang yang buta sejarah ini dahulu ;D