Rabu, 1 Jun 2011

Kenapa dibenar tukar opsyen?

ARKIB : 31/05/2011

Langkah kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk merealisasikan 60 peratus guru-guru sekolah rendah mempunyai ijazah menjelang 2015 adalah langkah yang amat disanjung tinggi.

Program Pensiswazahan Guru (PPG) telah mula diiklankan pada penghujung tahun 2010. Calon PPPBS (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah) yang berjaya mendapat tempat telah memulakan pengajian mereka mengikut institusi masing-masing secara mod PJJ bermula Mac dan Jun ini.

Walaupun begitu saya terpanggil untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak KPM berhubung pertukaran opsyen atau bidang calon semasa memohon program ini.

Mengikut syarat-syarat utama dalam iklan tawaran PPG, calon sama sekali tidak boleh menukar opsyen atau bidang mereka. Opsyen asal mereka mestilah kekal seperti di dalam sijil/diploma semasa pengajian di maktab.

Bagaimanapun ada di antara mereka yang memohon PPG tetapi tidak mengikut opsyen asal berjaya mendapat tawaran dengan opsyen yang baharu. Contohnya, opsyen utama di maktab ialah Sains tetapi memohon PPG opsyen Bahasa Melayu, dan berjaya ditawarkan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian(Bahasa Melayu Pendidikan Rendah).

Sehubungan itu saya merasakan pengambilan PPG secara besar-besaran ini tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan sendiri oleh pihak KPM. Saya juga antara ribuan calon yang berjaya mendapat tempat untuk PPG ini tidak berani melanggar syarat-syarat utama pengambilan kerana bimbang permohonan akan ditolak.

Jesteru saya dan rakan-rakan yang lain ingin mendapat kepastian dan penjelasan daripada pihak KPM adakah kami boleh atau layak membuat rayuan untuk bertukar opsyen bagi program ini?

Juga saya ingin tahu adakah mereka yang ditawarkan opsyen baru untuk program ini dapat menggugurkan opsyen lama mereka setelah tamat pengajian tahun 2015 nanti?

Saya amat berharap pihak KPM dapat mengambil perhatian dan meneliti perkara ini semula demi keadilan kepada semua calon, dan juga tidak akan berlaku kekurangan dan lambakan opsyen-opsyen tertentu apabila berakhirnya program ini tahun 2015 nanti.

Utusan Malaysia Online: 1 Jun 2011

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tu satu hal...dah benar tukar opsyen tu bagus juga, tetapi bila dah dilantik ke DG 41, opsyen terbaru itu perlu diambil kira dlm penemapatan guru.

Ini tak, dah tukar opsyen, tapi bila urusan penemapatan f\guru, opsyen lama masa kat maktab itulah yg diambil kira.

Guru kecewa berkata...

Saya lagi menarik...Mendapat ijazah sarjana muda sains fizik(kepujian), ditawarkan melanjutkan pelajaran KPLI dalam opsyen sains sekolah rendah...kemudian di postingkan ke sjkc. Oleh itu, saya tidak dapat mengajar sains kerana sjkc menggunakan buku teks dalam bahasa cina walaupun mendapat diploma pendidikan opsyen sains dan menamatkan dengan cemerlang.

Apabila minta pindah ke SK, jawapannya tiada kekosongan tetapi apa yang menarik perhatian, peluang conversion ke sains atau matematik masih lagi dibuka. Pelikkan?Tiada kekosongan atau JPN malas untuk menguruskan ....