Isnin, 5 Disember 2011

NUTP sifatkan syor 'elaun kesusahan' tak wajar

2011/12/05

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan cadangan pemberian ‘elaun kesusahan’ kepada guru yang bekerja di kawasan pedalaman sebagai tidak wajar kerana mereka sudah pun dibayar elaun khas ketika ini.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata ketika ini Guru Pedalaman Satu menerima elaun khas RM500 sebulan, Guru Pedalaman Dua mendapat RM1,000, manakala Guru Pedalaman Tiga dibayar RM1,500, sekali gus menunjukkan kerajaan prihatin terhadap mereka yang bertugas di kawasan luar bandar.

“Cadangan ini bukanlah baru dan hanya akan meningkatkan beban kewangan sekiranya ia dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan UMNO Negeri Sembilan ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, kelmarin, supaya kerajaan memberi ‘elaun kesusahan’ kepada guru bertugas di kawasan pedalaman.

Wakilnya, Mustapha Naoor, berkata kemudahan pendidikan di pedalaman amat daif sehingga guru terpaksa menempuh perjalanan jauh dengan menaiki bot dan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke sekolah.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerajaan sepatutnya memberi elaun kos sara hidup (Cola) kepada guru mengikut tempat tinggal dan bukannya berdasarkan kepada lokasi mereka ditugaskan.

“Contohnya, ada guru mengajar di Gopeng tetapi menetap di Ipoh, maka mereka tidak layak mendapat Cola RM200, sebaliknya hanya memperoleh RM100 kerana Gopeng dianggap sebagai kawasan pedalaman. Ia akan menjadi beban kepada guru di kawasan luar bandar,” katanya.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, turut berpendapat elaun kesusahan bagi guru tidak perlu kerana kerajaan sudah pun mewujudkan elaun khas pedalaman untuk mereka.

“Ketika ini elaun pedalaman adalah antara RM500 hingga RM1,500 dan dibayar mengikut kategori kawasan pedalaman, iaitu Pedalaman P1, P2 dan P3.

“Kementerian tidak bercadang untuk menaikkan lagi jumlah elaun pedalaman itu seperti mana yang diminta oleh sesetengah pihak kerana nilai yang diberikan itu masih lagi relevan,” katanya selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Berita Harian Online: 5 Disember 2011

6 ulasan:

Guru Siswazah berkata...

sudah ada Elaun Pedalaman, elaun Perumahan wilayah, apa lagi mahu Elaun Kesusahan!!. Sepatutnya pihak-pihak tertentu memikirkan bagaimana mengurangkan bebanan guru-guru di bandar dan kawasan pekan khususnya kesusahan guru mencari tempat tinggal dibandar dan kawasan pekan. Untuk makluman pihak tertentu sewa rumah di kawasan bandar antara RM800.00- RM1300.00. Sewa satu bilik sahaja pun mencecah RM200.00- RM400.00. Dikawasan pekan guru-guru terpaksa sewa rumah orang perseorangan atau di taman-taman perumahan sebanyak RM500.00 - RM800.00. Ini tidak termasuk bayaran bil air dan bil elektrik. Bayangkan penderitaan guru-guru di kawasan bandar dan kawasan pekan. Tapi, keperitan hidup di kawasan ini tiada YB-YB yang prihatin. Mereka asyik tertumpu kawasan pedalaman sahaja sedangkan dari segi kos hidup disana rendah malah boleh bercucuk tanam dan bagi guru-guru yang mengajar di pulau-pulau, hujung minggu mereka boleh pergi ke laut menangkap ikan, bagi mereka di pedalaman, mereka boleh masuk hutan memburu dan menangkap ikan. Aktiviti mereka di pulau-pulau dan di pedalaman adalah satu bentuk rekreasi bahkan dapat menikmati makanan segar. Dikawasan bandar dan pekan semua benda kena beli jadi pendek cerita segala-galanya duit. kenapa perkara ini tidak diwar-warkan??? Sepatutnay YB-YB kena memberikan keadilan kepada semua pihak...inilah kelemahan kita asyik pandang guru-guru pedalaman sahaja sedangkan guru-guru di bandar dan pekan terbiar...tapi yang sebok bekerja ialah guru-guru bandar dan pekan.

Tanpa Nama berkata...

PERWAKILAN UMNO yg bagi cadangan tu ketinggalan zaman. Buat malu saja...

Guru Borneo berkata...

Kepada Guru Siswazah..
Ko cubalah masuk sekolah pendalaman cukupla P2 betapa azabnye nak keluar dengan masuk ke sekolah. Elaun pedalaman itu habis bayar untuk pengangkutan keluar dan masuk. Itu tak campur lagi nak tinggal hotel. Untuk pengetahuan sewa bot nak keluar pedalaman ada mencecah Rm500 sebab kos minyak dan sebagainya. Mana ada cikgu masuk hutan memburu bercucuk tanam tu kat pedalaman. Mana ada masa nak buat. kalau setakat memancing tu memang ada. Harga barangan dalam kawsan pedalaman adalah terlalu mahal. Contoh 1 tin air minuman berharga RM3.50. itu disebabkan kos pengangkutan untuk membawa barangan tersebut.
Itu belum lagi bab suami atau isteri yang berjauhan. kemudahan klinik dan awam terpaksalah pergi ke pekan atau bandar yang berdekatan yang jaraknya 2-3 jam perjalanan.
belum lagi bab tambang kapal terbang lagi. Walaupun kerajaan ada bagi percuma setahu sekali tapi tahankah anda jika hanya balik kampung setahun sekali lebih-lebih lagi guru yang sudah berkeluarga.
ELAUN KESUSAHAN ini memang wajib diebri kepada guru-guru di PEDALAMAN.

Tanpa Nama berkata...

Yang duduk di bandar pun susah juga la.. Trafik jem sana sini, bil pelajar terlalu ramai dalam satu kelas, pelbagai aktiviti/program di sekolah

Tanpa Nama berkata...

Kalau kerajaan BN bangunkan betul-betul Borneo, takde la istilah pedalaman. Kan kan.

Guru Borneo berkata...

Satu sahaja yang saya hendak cakapkan cubalah masuk dahulu sekolah pendalaman ni cukuplah hanya P2, orang-orang yang diatas yang pandai cakap sahaja itu akan tahu menilainya nanti betapa SYUKURNYA dapat tinggal di bandar. Siapa orang moden sekarang yang sanggup mandi, makan guna air hujan sepenuhnya. Guna generator sampai pukul 10 malam sahaja. Meredah sungai 2 jam, jalan balak@jalan tar yang rosak 1-2 jam semata-mata hendak dapatkan kemudahan-kemudahan awam dan hiburan serta bekalan kehidupan seharian.
Sesiapa yang pernah datang ke Sabah dan Sarawak cukup tahu bagaimana harga barangan di sana terutamanya di bahagian pedalamannya.