SELAMAT HARI GURU

SELAMAT HARI GURU
ULASAN/ KOMEN YANG MEMPUNYAI RUJUKAN EMAIL/BLOG/WEB AKAN DISIARKAN

Jumaat, 3 Februari 2012

Lambakan 13,000 guru Sains, Matematik

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/02/03

Pendidik mula terima kesan kekurangan pelajar sehingga terpaksa mengajar subjek lain

TANJUNG MALIM: Seramai 13,000 graduan mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pelajaran perlu menghantar graduan ke universiti untuk dilatih kemahiran baru bagi mengelak berlaku pengangguran.
“Kalau kita hantar mereka ke sekolah untuk mengajar Sains dan Matematik sedangkan pelajar tidak berminat, keadaan itu tidak wajar,” katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Assari Mohamed Nor.

Mohamed Khaled mengulas taklimat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara yang dihantar ke universiti itu untuk latihan semula.

Turut menyumbang masalah ialah perubahan dasar persaraan wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.
Bagaimanapun, Zakaria berkata, masalah itu tidak berlaku di UPSI berikutan usahanya menawarkan subjek minor seperti Sejarah kepada pelajar jurusan Sains dan Matematik bagi mengelak berlaku pembaziran tenaga pengajar.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.

Mohamed Khaled pada amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini.

Keadaan itu berterusan ke peringkat universiti, jika berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya bangga UPSI muncul universiti pertama menubuhkan sekolah makmal yang menempatkan sekolah bermula prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas di kawasan universiti.

Katanya, ketika ini 70 murid berpeluang mengikuti sesi belajar peringkat prasekolah dan pengambilan pertama murid Tahun Satu bermula sesi pengajian tahun depan, membabitkan 50 murid yang dibahagikan kepada dua kelas.

Katanya, pelaksanaan sekolah makmal ini adalah secara berperingkat dan apabila dilaksanakan sepenuhnya kemasukan keseluruhan pelajar adalah 600 orang.

Berita Harian Online: 3 Februari 2012

Khamis, 2 Februari 2012

Tak perlu beri elaun

PUTRAJAYA: “Tak perlu beri elaun bulanan kalau nak tarik minat pelajar,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud mengulas mengenai cadangan Majlis Profesor Negara (MPN) supaya kerajaan memberi elaun bulanan kepada pelajar aliran sains di sekolah bagi menarik lebih ramai meminati bidang itu.

Katanya, ini berikutan banyak pendekatan lain boleh digunakan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar memilih aliran sains di sekolah. “Malah, kerajaan juga ada pendekatan sendiri untuk mengurangkan jurang perbezaan bilangan antara pelajar aliran sains dan sastera di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT). “Ini termasuk Dasar 60:40 iaitu 60 peratus pelajar aliran Sains dan 40 peratus Sastera pada peringkat sekolah dan IPT bagi mengurangkan jurang perbezaan itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Sebelum ini, MPN memencadangkan supaya kerajaan memberi elaun bulanan kepada pelajar aliran sains di sekolah bagi menarik lebih ramai pelajar memilih bidang itu. MPN juga menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menambah bilangan biasiswa untuk mereka yang mengikuti bidang sains di institut pengajian tinggi (IPT) supaya lebih ramai yang berminat mengikuti jurusan itu.


Cadangan penuh menerusi Kluster Sains dan Matematik MPN itu dikemukakan memandangkan hanya 20 peratus pelajar sains di sekolah berbanding sasaran 60 peratus.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, pendekatan lain seperti memberi pendedahan awal mengenai peluang kerjaya dan manfaat diperolehi daripada ilmu yang dipelajari boleh menggalakkan pelajar memilih jurusan sains.

myMetro: 2 Februari 2012

Rabu, 1 Februari 2012

Banyak kerenah di IPG?

SAYA ingin mendedahkan beberapa masalah pensyarah dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) berkenaan kerenah birokrasi. Teguran ini terpaksa dibuat secara terbuka kerana teguran dalaman tidak berkesan.

Saya salah seorang pensyarah IPG yang telah 15 tahun berkhidmat. Saya dapati terlalu banyak kerenah diamalkan. Amalan kerja tidak berperancangan, tidak mengikut prosedur atau peraturan, tergesa-gesa, dan sebagainya yang diamalkan semasa IPG di bawah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) masih menjadi amalan oleh pegawai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK).

Walaupun IPGK dinaikkan ke taraf universiti, amalan mementingkan populariti, urusan remeh-temeh, kerenah birokrasi terus menjadi tonggak pentadbiran.

Setiap aktiviti perlu dihadiri oleh semua pelajar dan pensyarah, sedangkan aktiviti itu tiada kaitan. Ini menyebabkan berlaku pembaziran masa dan tenaga. Pelajar yang tidak hadir akan dileteri dan pensyarah pula diminta beri surat tunjuk sebab.

IPGK juga kerap menganjurkan perhimpunan dan setiap perhimpunan itu wajib dihadiri oleh pelajar dan pensyarah. Kerap kali terjadi perhimpunan diadakan sehingga dua atau tiga kali sehari. Akibatnya, sesi pengajaran dan pembelajaran terpaksa dibatalkan.

Sepanjang pemerhatian saya, pihak pentadbir IPGK tidak mengutamakan akademik baik aktiviti pelajar mahupun pensyarah, dan kepakaran bidang. Jika anda membuat kajian, anda akan temui pensyarah yang pakar dalam Jabatan A ditempatkan atau disuruh mengajar di Jabatan B. Akibatnya, pelajar akan menjadi mangsa kerana pensyarah berkenaan tidak dapat menyampaikan ilmu dengan baik.

Di samping itu, pensyarah IPGK juga dibebankan dengan urusan birokrasi daripada IPGM. Misalnya, bebanan tugas pengurusan pihak pentadbir atau mengisi maklumat sama dalam pelbagai borang.

Satu hal yang malang ialah sikap pentadbir IPGK dan IPGM yang tidak mempedulikan kebajikan pensyarah. Misalnya, semua pensyarah dilonggokkan dalam satu bilik dengan meja kerja yang kecil dan kemudahan yang terhad.

Di situlah tempat pensyarah bekerja dan menyimpan tugasan pelajar. Kalau anda mengunjungi bilik kerja pensyarah, suasananya tidak ubah seperti stor tempat menyimpan barangan terpakai.

Semoga teguran ini diterima dan mendapat maklum balas sesuai dengan cita-cita IPG mahu bertaraf dunia.

Utusan Malaysia Online: 1 Februari 2012

SK Tanah Melintang juara hoki

KUALA PILAH 31 Jan. - Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Tanah Melintang, Kuala Pilah muncul juara kategori lelaki kejohanan hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah peringkat daerah ini yang dilangsungkan di SRK Ampang Tinggi, dekat sini semalam.

Kejohanan yang turut disertai oleh 10 sekolah rendah sekitar daerah itu turut menyaksikan pasukan tuan rumah menjadi johan bagi kategori perempuan.

Pengetua SRK Ampang Tinggi, Kamarudin Said berkata, kesemua peserta kejohanan terdiri daripada murid lelaki dan perempuan berusia bawah 12 tahun yang mewakili sekolah masing-masing.

"Program ini merupakan acara tahunan sekolah. Kita wujudkan platform ini bagi membolehkan murid bergiat aktif selain mencungkil bakat pemain hoki bagi mewakili daerah atau ke peringkat negeri," katanya di sini hari ini.

Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Pilah, Adnan Abu Hasan bersama Timbalan Pegawai Pelajaran daerah, Zainal Abidin Ahmad.

Sementara itu, menurut pemain SRK Tanah Melintang, Mohamad Azri Hakim Zaidi, 12, kekuatan sesebuah pasukan tidak bergantung kepada bakat individu, sebaliknya memerlukan kerjasama dari seluruh anggota pasukan.

"Kejayaan ini semua hasil daripada latihan gigih dan komitmen yang diberikan oleh setiap pemain dalam pasukan ini.

"Saya bangga kerana pasukan kami dapat menjuarai kategori lelaki dan pencapaian ini akan dikongsi dan dijadikan dorongan kepada murid lain di sekolah kami," ujarnya.


Utusan Malaysia Online: 1 Februari 2012

Guru bebas tuduhan liwat murid

SHAH ALAM: “Selepas ini saya mahu pergi menunaikan umrah,” kata seorang guru sekolah rendah selepas dibebaskan Mahkamah Sesyen, di sini, daripada dua pertuduhan meliwat dan melakukan seks oral terhadap bekas anak muridnya, di Klang, dekat sini, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Badrul Akmal Ishak, 33, yang mengajar Matematik di sebuah sekolah rendah itu berkata, dia mungkin menukar haluan selepas ini. “Bidang ini terlalu banyak dugaan...,” katanya ketika ditemui selepas prosiding keputusan kesnya, semalam.


Terdahulu, Hakim Slamat Yahya membebaskan Badrul Akmal selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh. Slamat berkata, mahkamah mendapati keterangan mangsa bertentangan dengan keterangan saksi pendakwaan lain termasuk ahli kimia dan keterangan pakar perubatan. Beliau berkata, laporan perubatan dikemukakan di mahkamah juga menyatakan tiada tanda mangsa diliwat.

Manakala keterangan pakar bedah, Dr S Manimaran menyatakan tiada kesan luka pada bahagian dubur pelajar itu.


Menurutnya, DNA mangsa juga tiada di bilik tertuduh, selain tiada bukti kehadiran mangsa dalam bilik tempat kejadian liwat berlaku.


Mengikut pertuduhan, Badrul Akmal meliwat dan melakukan seks oral terhadap mangsa berusia 14 tahun di sebuah rumah di Rantau Panjang, Klang, dekat sini, pada 1 pagi dan 3 pagi 24 Ogos 2008. Dia didakwa mengikut Seksyen 337A dan 377B Kanun Keseksaan setiap satu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

myMetro: 1 Februari 2012

15 lagi diiktiraf Sekolah Kluster Kecemerlangan


ABDUL GHAFAR (tiga dari kiri) bermesra dengan sebahagian pengetua pada majlis pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Sebanyak 15 buah sekolah lagi diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) apabila memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, sebanyak tujuh buah sekolah menengah dan lapan sekolah rendah telah dipilih untuk fasa enam pengiktirafan itu.

“SKK merupakan salah satu laluan yang akan menjurus kepada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di mana SKK yang cemerlang akan dipilih sebagai calon SBT.

“Daripada 52 buah sekolah yang telah diiktiraf sebagai SBT, 31 daripadanya terdiri daripada SKK,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan SKK di sini semalam.

SKK merupakan sekolah-sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya berasaskan aspek akademik, kokurikulum, sahsiah, pengurusan sekolah, budaya, hubungan dengan pihak luar, pembangunan modal insan dan sumber yang ada.

Ia juga dikategori berdasarkan lokasi seperti bandar, luar bandar atau pedalaman serta jenis sekolah dan tahapnya.

Menurut Abdul Ghafar, pada masa kini antara SKK yang menyerlah sehingga ke peringkat antarabangsa ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson dari Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Perak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

Kosmo Online: 31 Januari 2012

Isnin, 30 Januari 2012

Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2012/01/30

Menafikan peluang kenaikan pangkat cikgu

KESATUAN guru membantah klausa khas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang membuka peluang kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) membolot jawatan Penolong Kanan di sekolah menengah.

Jika PTD dibenarkan mengisi jawatan berkenaan, dikhuatiri sebanyak 2,282 jawatan Penolong Kanan pada Gred DG48 akan diisi PTD sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat guru.
Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melihat kemasukan PTD khas untuk memegang jawatan Penolong Kanan (Pentadbiran) tidak akan menyelesaikan isu pengurusan sekolah yang dikatakan tidak profesional.

Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata ketika ini guru pada Gred DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan (DG48) menguruskan hal ehwal kewangan (pentadbiran) dan juga akademik.

“Penolong Kanan sekarang menjaga dua bahagian pengurusan dan banyak tugas perlu diselesaikan hingga didakwa PTD sebagai tidak profesional.

“Jika PTD memasuki sekolah dengan hanya menjaga bahagian pentadbiran atau kewangan, guru pun boleh melakukan tugas ini kerana sekarang pun mereka sudah menjalankan dua tugas sekali gus.
“Lebih baik Kementerian Pelajaran membuka dua jawatan Penolong Kanan kepada guru, satu untuk pentadbiran dan satu lagi untuk akademik supaya pengurusan lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) meminta warga pendidikan bersifat terbuka dengan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka jawatan di sekolah dan institusi lain di bawah Kementerian Pelajaran untuk pegawai daripada skim bukan pendidikan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata pelantikan pegawai bukan skim pendidikan bertujuan menggunakan kepakaran mereka bagi penambahbaikan sistem penyampaian di sekolah dan institusi lain seperti institut pendidikan guru atau Pejabat Pelajaran Daerah.

Beliau berkata, ketika ini, PTD sudah diterima di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan memegang jawatan Ketua Sektor (Pengurusan).

“Ini strategi lautan biru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksimumkan kepakaran pegawai jabatan lain dengan diminta bertugas di jabatan baru yang bukan secara tradisinya tempat mereka bertugas.

“Pada masa sama, kita berharap pegawai kanan Kementerian Pelajaran daripada skim pendidikan (DG) juga diterima bertugas di kementerian lain jika ada keperluan berbuat demikian,” katanya.

Namun, Hashim berkata, PTD yang sudah ditempatkan di JPN atau Kementerian Pelajaran perlu membuktikan mereka mahu memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya.

Beliau berkata, KPPK menerima banyak aduan daripada guru bahawa PTD di Bahagian Kewangan enggan meluluskan tuntutan guru yang bergerak ke luar daerah.
Keengganan itu katanya dengan alasan guru berkenaan sepatutnya bertugas di dalam daerah penempatan masing-masing sedangkan guru berkenaan perlu menjalankan tugas rasmi.

Berita Harian Online: 30 Januari 2012