Jumaat, 30 April 2010

SIP: Pendidikan berkualiti tanpa kompromi

PETALING JAYA 29 April - Guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan khusus kepada mana-mana guru sekiranya kaedah pengajaran mereka kurang berkesan untuk meningkatkan prestasi pelajar.

Pendekatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) yang bermatlamat untuk memperluaskan akses kepada pendidikan yang bermutu dan berkemampuan secara konsisten.

Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang dilancarkan hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya merupakan salah satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu mempunyai tiga komponen utama iaitu pertama, membabitkan penarafan tahap pencapaian sekolah berdasarkan Skor Komposit Sekolah.

Menurut beliau, melalui mekanisme itu setiap sekolah akan mengetahui kedudukan masing-masing dari segi prestasi akademik murid dan kualiti pengurusan sekolah secara keseluruhan.

"Dengan adanya maklumat ini, pihak sekolah akan dapat menentukan garis mula proses peningkatan prestasi sekolah dan menetapkan sasaran yang realistik.

"Komponen kedua pula, setiap sekolah akan dibekalkan dengan tool kit pembangunan prestasi sekolah, iaitu instrumen penilaian kendiri secara talian terus yang akan membantu sekolah menilai prestasi semasa.

"Melaluinya, pihak sekolah mampu mengenal pasti bidang-bidang yang perlu ditambah baik dan menyediakan pelan penambahbaikan secara terarah," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Tambah Muhyiddin, penilaian pencapaian sekolah secara kendiri bermaksud guru besar atau pengetua dapat mengesan kelemahan murid dalam mata pelajaran tertentu.

Justeru, langkah seterusnya, kata beliau, mengenal pasti punca kelemahan tersebut dan merancang tindakan susulan bagi mengatasinya.

"Jika kelemahan itu berpunca daripada kaedah pengajaran kurang berkesan, maka guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan untuk guru-guru mata pelajaran berkenaan dan memantau perkembangannya dari masa ke semasa," katanya.

Komponen ketiga, kata Muhyiddin, dikenali sebagai service line iaitu program sokongan di mana kementerian akan memberi bantuan tambahan kepada sekolah-sekolah yang paling memerlukannya terutama sekolah berprestasi rendah.

Katanya, maklumat keperluan sekolah itu dapat dikenal pasti melalui aplikasi tool kit yang diberikan.

Bantuan itu katanya, seperti menyediakan bimbingan kepada pengurusan sekolah, melaksanakan program pembinaan keupayaan guru dan membekalkan alat bantuan mengajar tambahan mengikut keperluan.

"Keunikan program ini ialah pihak sekolah tidak akan dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk melonjakkan prestasi dan mengatasi kelemahan masing-masing," katanya.

Jelas Muhyiddin, SIP tidak bermaksud menggantikan sebarang bentuk program pembangunan prestasi sekolah sedia ada, tetapi ia berfungsi sebagai pelengkap kepada usaha-usaha murni yang sedang dilaksanakan.

"Saya berharap SIP akan merapatkan jurang pencapaian antara sekolah terutama bandar dan luar bandar,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 30 April 2010

Kaji semula sukatan pelajaran sekolah agama


Sultan Sharafuddin Idris Shah menandatangani plak perasmian Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin sambil disaksikan oleh Muhyiddin Yassin, Khalid Ibrahim (dua dari kanan) dan Mohamed Khusrin Munawi (kanan) di Jalan Kota Raja, Klang, semalam. – Utusan/Saharuddin Abdullah


KLANG 29 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya mengkaji semula sukatan pelajaran sekolah agama di negeri itu.

Baginda bertitah, langkah berkenaan bagi memastikan sekolah tersebut tidak hanya menumpukan kepada pelajaran agama tetapi turut memasukkan sukatan pendidikan Sains, Matematik, Sejarah dan lain-lain.

Titah baginda, dengan demikian sekolah aliran agama akan dapat mengeluarkan murid-murid yang cemerlang dalam bidang agama dan juga ilmu keduniaan.

''Beta berharap supaya generasi masyarakat Islam pada masa akan datang menjadi sebuah masyarakat berpendidikan tinggi, seimbang di antara dunia dan akhirat serta mempunyai ciri-ciri insan cemerlang.

''Sebagai ketua agama di negeri ini, beta bertanggungjawab untuk memastikan sistem pendidikan Islam berkembang dengan baik dan umat Islam mendapat pendidikan yang sempurna," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin yang dulu dikenali dengan nama Sekolah Agama Menengah Tinggi, Jalan Kota Raja Klang di Kampung Jawa di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Dalam pada itu, baginda turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah membantu pembangunan sekolah-sekolah aliran agama Islam di Selangor.

Titah baginda, selama ini Kerajaan Persekutuan telah membiayai pembinaan dan penyelenggaraan bangunan sekolah, penempatan dan gaji guru serta geran pengurusan pendidikan.

Tambah baginda, sekolah-sekolah yang mendaftar dengan Kementerian Pelajaran juga mendapat pelbagai bantuan dan faedah.

''Jadi beta mengingatkan JAIS agar memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran," titah baginda.

Utusan Malaysia Online: 30 April 2010

Pensyarah merungut kerjaya memalukan diri sendiri

2010/04/30

SAYA ingin merujuk surat bertajuk ‘Beban tugas paksa pensyarah IPGM kerja lebih masa’ seperti disiarkan di ruangan ini kelmarin kiriman ‘Pensyarah penat’.

Pada pendapat saya, adalah sesuatu yang amat menjengkelkan sekiranya seseorang pendidik termasuk guru atau pensyarah seperti beliau merungut di atas penat lelah yang ditabur ketika melaksanakan tugas diamanahkan kepada mereka.

Bagi saya, ia adalah sesuatu yang amat memalukan kerana mereka sendiri yang memilih bidang berkenaan, malah secara kuantitatifnya, mereka dibayar setiap bulan untuk mengajar ditambah dengan elaun yang lebih tinggi bagi yang berkhidmat di pedalaman.

Saya berikan satu contoh yang amat mudah difahami... katakan seorang jurutera geoteknikal yang dibayar oleh Petronas untuk melaksanakan sebarang proses kejuruteraan struktur di pelantar minyak sejauh Miri atau Kerteh selama sebulan di tengah lautan dalam dan langsung tidak bertemu dengan keluarga selama tempoh itu, saya yakin sepenuhnya bahawa jurutera itu tidak akan membantah atau mengeluh.

Ini kerana jurutera itu sendiri yang memilih pekerjaan berkenaan dan dibayar untuk melakukannya walaupun risiko untuk kehilangan nyawa adalah tinggi.

Sikap merengek manja di kalangan pendidik dan pensyarah dan juga seluruh kakitangan awam mestilah dielakkan agar bidang terbabit tidak menjadi gurauan sinis kononnya sifat tidak ikhlas dan malas itu sudah sebati dalam budaya rakyat Malaysia.

Bak kata bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad ‘Malaysia memiliki prasarana kelas dunia dengan mentaliti kelas ketiga’. Inilah mentaliti yang cuba kita ketepikan dengan bekerja bersungguh-sungguh serta melaksanakan semua tanggungjawab yang diamanahkan dengan ikhlas dan efisyen.

MOHAMMAD SHAFIQ SOHOT,
Kuala Lumpur


Berita Harian Online: 30 April 2010

Guru disiplin perlu sokongan bukan dipersalahkan

2010/04/30

MERUJUK kepada artikel oleh Datuk Rejal Arbee dalam ruangan rencana kelmarin bertajuk ‘Hukuman melampau bukan cara mendidik’, secara dasarnya saya bersetuju dengan saranan beliau agar guru perlu bijak dalam menangani masalah disiplin di sekolah.

Namun agak mengecewakan apabila berlaku kes salah laku disiplin, pihak sekolah terutama guru disiplin akan dipersalahkan. Ya, tidak dinafikan ada segelintir guru disiplin yang melakukan kesilapan sedemikian namun harus diberi perhatian dalam beberapa perkara yang saling berkait rapat mempengaruhi tindakan guru berkenaan. Antaranya:

  • Apakah punca guru mengambil tindakan yang sedemikian? Adakah ia berpunca daripada bebanan tugas (masih lagi dalam kajian) atau masalah lain. Apakah guru berkemampuan untuk menyelesaikan semua masalah yang berlaku, bagaimana pula peranan kaunselor di sini?
  • Apakah wajar guru dipersalahkan sekiranya berlaku kes disiplin di sekolah, sedangkan di dalam penjara sekali pun tetap berlaku rusuhan dan pergaduhan;
  • Adakah guru akan melaksanakan hukuman sesuka hati. Kalau begitu cuba bayangkan sekiranya ada pelajar memaki hamun anda di dalam kelas ketika anda mengajar. Apa reaksi anda? Kalau anda dimaki hamun di restoran sekali pun adakah anda akan tersenyum? Guru juga manusia yang ada perasaan... jangan lupa.
Untuk membuat tuduhan memang mudah. Hasil siasatan juga tidak semestinya tepat kerana banyak faktor yang perlu diambil kira. Kadang-kadang sikap pelajar itu sendiri yang mengundang padah. Ada yang teraniaya tetapi tidak bersuara, yang tahu menyembunyikan fakta, sudah tentu menyukarkan guru untuk menyiasat.

Perlu kita ingat tugas utama guru bukan menyiasat kes. Cuba anda bayangkan bagaimana untuk menyelesaikan kes curi yang berlaku di sekolah jika tiada yang tampil memberi maklumat. Kita harus ingat bahawa anak-anak sekarang cukup bijak dan mereka ini terdedah dengan pelbagai unsur negatif dalam masyarakat kita hari ini.

Apakah pula peranan pihak universiti dalam hal ini, adakah cukup sekadar kajian ilmiah semata-mata. Apa salahnya pakar kita turun padang dan bantu guru dalam menangani masalah disiplin di sekolah, bukan sekadar memberi cadangan dan teori saja dan menyalahkan orang lain.
Bagaimana pula dengan masalah sosial dan jenayah yang dilakukan oleh siswa dan siswi, siapa pula yang harus dipersalahkan?

Perlu ditegaskan sekali lagi, jawatan guru disiplin tidak ada apa-apa keistimewaan, hanya sukarela atau terpaksa rela. Tanpa bayaran khas, namun diharapkan mereka tetap berdedikasi mendidik anak bangsa dan berhati-hati dalam sebarang tindakan, kerana keburukan itu lebih senang dicari berbanding kebaikan.

Pada pendapat saya, apa yang pihak sekolah perlukan ialah bantuan dan sokongan daripada masyarakat, bukannya meletakkan beban mendidik digalas guru saja dan untuk dipersalahkan semata-mata.

SHAHRULIMAN,
Bangi

Berita Harian Online: 30 April 2010

Proses pembayaran semua tuntutan pemeriksa SPM 2009 bulan ini


2010/04/30

KAMI merujuk kepada aduan melalui SMS bertajuk ‘Kami pemeriksa kertas subjek EST SPM berpusat di SMK Bukit Tinggi masih belum mendapat elaun’ yang disiarkan akhbar ini 22 April lalu.

Lembaga Peperiksaan (LP) amat berbesar hati dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengadu di atas khidmat dan bakti yang beliau curahkan untuk Lembaga Peperiksaan khususnya dan Kementerian Pelajaran (KPM) umumnya, bagi memastikan calon peperiksaan SPM 2009 memperoleh keputusan tepat pada masa ditetapkan.

Sukacita dimaklumkan bahawa LP sedang memproses semua tuntutan pemeriksa SPM 2009. Ini kerana LP menerima lebih 44,000 tuntutan pemeriksa SPM 2009 yang meliputi bayaran tuntutan perjalanan dan bayaran tuntutan iktisas. Kesemua tuntutan ini sudah kami terima secara serentak.

Di samping itu, kelewatan bayaran pada tahun ini juga disebabkan oleh LP menerima tuntutan yang lengkap daripada pemeriksa pada akhir Februari 2010 manakala waran peruntukan juga hanya diterima pada Februari 2010.

Bagaimanapun, pihak LP sedang berusaha keras memproses semua tuntutan berkenaan secara berperingkat. Proses pembayaran ini dijangka akan selesai dibayar kepada semua pemeriksa peperiksaan SPM termasuk kertas EST pada akhir April 2010 ini.

LP sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan/aduan/pendapat semua pihak dalam usaha penambahbaikan pengendalian peperiksaan di Malaysia. Walaupun bayaran tuntutan ini lambat diterima, LP berharap pihak pengadu dan rakan-rakan akan terus menabur bakti kepada anak didik kita semua.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 30 April 2010

Talian bantu lahir murid cemerlang

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2010/04/30

Khidmat bantuan pertingkat keupayaan sekolah menerusi SIP

SUBANG JAYA: Kementerian Pelajaran akan menyediakan talian khidmat bantuan dan sokongan untuk membantu guru besar, pengetua dan guru meningkatkan keupayaan sekolah dalam melahirkan murid cemerlang menerusi program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) yang dilaksanakan di semua 10,000 sekolah di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bantuan itu dari segi pembangunan kapasiti seperti menambahbaik kemahiran, latihan semula dan kaunseling, bahan sokongan termasuk garis panduan perancangan dan bahan pengajaran preskriptif serta sumber tambahan seperti menaik taraf prasarana.

“Bantuan tambahan akan disalurkan kepada sekolah yang paling memerlukan, ter-utama sekolah berprestasi rendah, termasuk membimbing kepemimpinan sekolah, melaksanakan program pembinaan keupayaan guru dan membekalkan alat bantuan mengajar tambahan,” katanya berucap pada majlis pelancaran SIP di Sekolah Kebangsaan Wawasan USJ 15 di sini, semalam.

Ucapan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dibacakan oleh timbalannya, Datuk Wee Ka Siong.

SIP adalah satu mekanisme bagi membantu sekolah berprestasi rendah meningkatkan keberhasilan murid secara konsisten. Ia adalah satu daripada inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.

Ia mempunyai tiga komponen bagi membantu sekolah meningkatkan prestasi, iaitu penyenaraian prestasi sekolah, pembekalan ‘tool kit’ pembangunan prestasi sekolah bagi sebagai instrumen penilaian kendiri secara online yang membantu sekolah menilai pencapaian semasa dan mengenal pasti bidang yang perlu ditambah baik serta menyediakan pelan tindakan penambahbaikan secara terarah.

Fasa pertama program itu membabitkan semua 7,700 sekolah rendah, manakala bakinya membabitkan sekolah menengah.
Muhyiddin berkata, menerusi program ini, guru besar atau pengetua dapat mengesan kelemahan murid dalam mata pelajaran tertentu dan seterusnya mengenal pasti punca kelemahan serta merancang tindakan susulan untuk mengatasinya.

“Jika kelemahan berpunca daripada kaedah pengajaran yang kurang berkesan, mereka boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan untuk guru dan memantau perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita Harian Online: 30 April 2010

Khamis, 29 April 2010

Aduhai pensyarah penat...

SAYA ingin menarik perhatian Pensyarah Penat dari Kota Bharu pada Isnin 26 April 2010 yang mengatakan kerjaya pendidik tidak sama seperti kerjaya lain.

Saya sama sekali menyangkal kenyataan Pensyarah Penat tersebut. Sebab pernahkah beliau bekerja dan mempunyai pengalaman terhadap kerjaya lain? Bagaimana dengan mereka yang bekerja selama 12 jam di kilang-kilang dan bekerja di bawah panas terik di ladang, kebun atau pekerja kontrak membuat jalan?

Apa sangatlah yang mahu dirungutkan oleh Pensyarah Penat yang bekerja di dalam bangunan yang sejuk berhawa dingin dengan gaji yang setimpal. Biasalah kerja lebih masa di mana-mana jabatan pun.

Pensyarah Penat mempertikaikan selain mengajar, mereka terpaksa menyemak tugasan pelajar dan lain-lain lagi. Tidakkah itu termasuk bidang tugas mereka, mengapa harus dipertikai? Biasalah kalau mahu balik awal tapi kerja tidak dapat disiapkan, bawalah balik rumah atau sambung sahaja keesokkannya.

Mungkin Pensyarah Penat ini seorang yang tidak rajin atau jenis yang suka bertangguh dan membuat kerja pada minit terakhir. Saya syorkan Pensyarah Penat mengikuti kursus pengurusan masa kerana banyak lagi jabatan lain yang lebih sibuk dari kerjaya Pensyarah tapi mereka tidak merungut dan mengeluh di akhbar dengan harapan agar satu negara tahu mereka paling teruk bekerja. Janganlah memalukan pensyarah-pensyarah lain.

Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Pensyarah Penat tidak perlulah membohongi satu Malaysia dengan bebanan tugas yang kononnya teramat teruk sangat kerana abang saya juga seorang pensyarah di IPG dan saya tahu kerjaya mereka tidaklah teruk sangat.

Mereka masih mempunyai masa terluang kerana bukan sepanjang masa perlu masuk ke kelas, hanya waktu-waktu tertentu sahaja ditambah pula dengan mengajar murid-murid dewasa. Bahan power point pula tidak perlu dicari setiap hari, hanya guna yang sama setiap tahun, cuma hanya perlu ditokok-tambah sedikit untuk bahan terkini.

Fikirkanlah nasib mereka yang bekerja di penjara, pusat serenti di mana mereka berdepan dengan banduan, penagih dadah ditambah pula dengan yang mempunyai pelbagai penyakit seperti TB, HIV dan pelbagai lagi risiko penyakit dan ancaman keselamatan serta rusuhan yang tidak terjangka sedangkan tiada langsung elaun kritikal diberikan, hanya berserah pada Tuhan diiringi doa dan tawakal.

YANG TENAT MENDENGAR

Kuala Lumpur


Utusan Malaysia Online: 29 April 2010

Beban tugas paksa pensyarah IPGM kerja lebih masa

2010/04/29

PADA Sabtu, 10 April lalu saya ada membaca artikel disiarkan di muka depan Berita Harian bertajuk ‘Seksa jadi guru’ dan dalam laporan sama juga menyatakan sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengkaji bebanan guru.

Syabas diucapkan kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) atas keprihatinan terhadap bebanan guru sebagaimana dikongsi dalam surat pembaca Berita Harian, juga bertarikh 10 April 2010.

Saya akui cabaran berada dalam bidang pendidikan bukannya mudah kerana saya juga seorang pendidik. Oleh itu, saya hendak menarik perhatian Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) juga berdepan masalah sama. Kemuncaknya apabila kami terpaksa bekerja lebih masa setelah Maktab Perguruan di seluruh negara dinaik taraf ke Institut Pendidikan Guru pada 2008.

Untuk makluman, kerjaya pendidik tidak seperti kerjaya lain. Sebagai pensyarah, tugasan kami tidak selesai di dewan kuliah malah bersambung di rumah pada sebelah malam. Selain mengajar, kami terpaksa mencari bahan untuk pengajaran pada keesokan hari, menyemak tugasan pelajar, menggubal kertas soalan di samping melaksanakan tugasan dalam jawatankuasa di IPGM termasuklah kerja perkeranian.

Kebanyakan tugas ini terpaksa dilakukan di rumah kerana waktu pejabat digunakan untuk membantu pelajar, penyeliaan praktikum, seminar, menguruskan acara di IPGM, latihan pembangunan staf, mesyuarat dan pelbagai lagi.

Kadang-kadang saya berasa tertekan apabila memikirkan rutin yang terpaksa saya lalui.

Sebagai pendidik, kami sedar tanggungjawab kami. Segala khidmat bakti dicurah dengan ikhlas demi melihat kejayaan anak bangsa.
Saya kira sudah tiba masanya pihak yang bertanggungjawab mengkaji kembali dasar kerja lebih masa yang dilaksanakan sama ada ia membantu meningkatkan kualiti kerja pensyarah di IPGM atau sebaliknya.

PENSYARAH PENAT
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 29 April 2010

Kaji semula syarat layak pemilihan guru lelaki

2010/04/29

SAYA ingin mengulas keluhan saudara Amin dari Setiu, Terengganu yang disiarkan ruangan ini kelmarin, mengenai kegagalan anak lelakinya ditemuduga bagi kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Peratus secara rawak menunjukkan bahawa nisbah antara guru lelaki dan perempuan ternyata tidak seimbang dengan kaum hawa mendominasi lebih 50 peratus daripada jumlah guru di Malaysia. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sejak Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, isu gender sudah dipertikaikan tetapi barangkali tidak ada langkah efisen yang mahu diambil pihak berwajib.

Saya tidak bermaksud mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi saya percaya dengan kebejatan sosial dan masalah disiplin pelajar sekolah yang kian mencabar institusi pendidikan negara pada hari ini, pertimbangan dari aspek gender perlu diberikan sedikit perhatian.

Barangkali sudah tiba masanya pihak berwajib mempertimbangkan kuota bagi kemasukan guru lelaki ke IPGM atau mengikuti kursus pendidikan di IPTA. Perkara ini demi menyeimbangkan nisbah guru lelaki dan wanita pada masa akan datang.

Kudrat lelaki sememangnya diperlukan bagi mengawal tingkah laku pelajar yang semakin membimbangkan pada hari ini, lalu tidak ada jalan lain yang lebih baik selain menambah bilangan guru lelaki.

Untuk permulaan saya menggesa agar syarat kemasukan bagi guru lelaki dikaji semula secara telus dan adil.

Perkara ini penting, demi mewujudkan satu sistem pendidikan negara yang dinamik, holistik dan berkesan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang dicanangkan Kementerian Pelajaran.

ZULFAZLAN JUMRAH,

Universiti Putra Malaysia

Berita Harian Online: 29 April 2010

Hukuman melampau bukan cara mendidik

Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org
2010/04/29

Jabatan Pelajaran patut pantau tindakan guru disiplin sekolah

APAKAH sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita? Beberapa perlakuan guru sekolah terhadap murid mereka dalam tempoh beberapa hari ini menimbulkan persoalan mengenai tahap kualiti guru. Apa tidaknya jika seorang murid berusia 14 tahun yang dirogol bukan saja tidak mendapat simpati daripada pengurusan sekolahnya, malah dihukum pula dengan menurunkan kelasnya.

Tidak cukup dengan itu, statusnya sebagai seorang pengawas pun ditarik balik. Akibatnya, bukan saja gadis malang ini menghadapi trauma dirogol, malah sekolahnya sendiri menghukumnya dan memencilkannya hingga membuatnya berat untuk kembali ke sekolah. Apa jenis pengurusan sekolah yang kita ada sekarang ini?

Apakah yang boleh kita harapkan untuk anak kita sekiranya wujud pengurusan jelek seperti ini yang bukan saja tidak berperikemanusiaan, malah memberi gambaran bahawa tidak berhati perutnya mereka itu.

Dalam pada itu, ada pula berita mengenai sikap ganas dan tidak berhati perut seorang guru disiplin terhadap muridnya yang didapati bersalah kerana lambat masuk sekolah atau mengenakan pakaian yang dianggap tidak mematuhi peraturan. Satu kes ialah mengenai seorang pelajar Tingkatan Lima yang menghadapi pelbagai masalah di rumah berikutan kematian bapanya yang memberikan tekanan untuk hidup bagi keluarga malang ini.

Gadis itu mempunyai hanya dua ‘camisole’, satu berwarna putih dan satu lagi berwarna merah muda. Pada satu hari dia terpaksa memakai pakaian dalamnya itu yang berwarna kerana yang putihnya belum kering selepas dibasuh. (Murid ini mempunyai hanya dua helai pakaian itu saja). Disebabkan kesalahan ini, dia ditampar dan dipaksa menanggalkan camisolenya yang digantung dalam bilik guru itu untuk tatapan ramai.

Seorang lagi rakannya yang memakai coli berbintik dipaksa oleh guru disiplin itu menanggalkan colinya dan terpaksa berada dalam kelas tanpa coli. Tidak diberitakan pula apakah sekolah itu sekolah perempuan atau sekolah bercampur. Jika peristiwa itu berlaku di sekolah perempuan hukumannya itu tidaklah seteruk ia berlaku di sekolah campuran.
Tidakkah guru ini prihatin terhadap maruah seseorang hatta muridnya? Bagi saya orang macam ini tidak layak menjadi guru disiplin. Malah tidak layak jadi guru pun. Dia ini tidak tahu untuk bertindak sebagai seorang pendidik.

Menghukum seseorang murid tidak kiralah bagaimana teruk sekali pun kesalahannya bukanlah dengan cara memalukannya. Ini bukanlah satu usaha mendidik namanya. Lebih baik guru disiplin ini cari kerja lain saja.

Dalam pada itu, berita mengenai wujudnya golongan samseng di sekolah juga tidak putus-putus mendapat ruang dalam akhbar. Terakhir mengenai bagaimana seorang murid Tingkatan Dua yang juga seorang anak yatim dikelilingi rakan sekelasnya (perempuan) ketika kawan rakannya itu merogolnya dalam bilik darjah.

Diberitakan juga, itu bukanlah kali pertama dia dirogol. Murid malang itu kemudian dimasukkan sebatang pensel pula dalam kemaluannya. Apa sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita ini? Kononnya mahu memantapkan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan. Apakah begini caranya untuk mendapatkan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kebangsaan?

Yang utamanya ialah memastikan semua guru sekolah itu terdiri daripada mereka yang benar-benar berdedikasi dan boleh diharapkan menjadi pendidik berwibawa dan tahu bagaimana hendak menangani pelbagai kerenah murid.

Tetapi apabila ada segelintir saja guru yang sebenarnya tidak layak menjadi guru yang boleh memberikan didikan terbaik bagi murid mereka, maka nama baik sesebuah sekolah itu hatta nama baik keseluruhan sekolah kebangsaan sendiri boleh tercemar. Guru tidak prihatin ini boleh diumpamakan sebagai nila yang setitik itu.

Inilah masalahnya apabila sekolah mempunyai guru seperti itu. Mereka ini bukan saja tidak tahu bagaimana hendak mendidik, tidak tahu bagaimana hendak berikan motivasi dan dalam pada itu, tidak prihatin pula terhadap masalah yang terpaksa dihadapi murid khususnya yang mengharungi kesempitan hidup kerana menghadapi pelbagai kekurangan.

Umum mengetahui kerjaya ini bukanlah menjadi satu profesion pilihan di kalangan ramai yang menjadi guru. Ada antara mereka ini menjadi guru bukan kerana mahu menjadi pendidik, tetapi kerana tidak berjaya mendapatkan pekerjaan lain.

Begitu pun, apabila sudah diterima masuk jadi guru, dia hendaklah sedaya upaya berusaha menjadi seorang guru dan pendidik berwibawa dan penuh dedikasi. Saya akui memang ramai berusaha ke arah demikian untuk menjadi guru yang amat dedikasi dan berusaha memberikan pendidikan terbaik kepada murid mereka.

Malangnya ada pula sejumlah guru yang tidak langsung tahu bagaimana hendak menjadi pendidik jauh sekali pendidik berkaliber. Seperti guru disiplin ini yang sedikit pun tidak tahu bagaimana hendak menjaga maruah muridnya. Malah dia ini sengaja pula mahu memalukan mereka itu.

Ini juga menimbulkan persoalan bagaimana seseorang guru itu dipilih menjadi guru disiplin. Khabarnya buat masa ini pemilihan bergantung kepada guru besar atau pengetua sesebuah sekolah. Tidak tahulah pula apakah sudah ada kriteria yang harus diikuti sekolah apabila hendak melantik seseorang guru menjadi guru disiplin.

Katanya, pemilihan dibuat mengikut urutan mukanya apakah dia seorang yang berperwatakan cenge dan kelihatan garang. Jika inilah kriterianya, maka tidak hairanlah kenapa guru ini hanya tahu menghukum saja. Bukan untuk mencari sebab musabab murid membuat kesalahan dan berusaha menangani masalah dihadapi murid dan memberikan kaunseling.

Mungkin bagi guru ini dia tidak bertanggungjawab mencari punca kenapa seseorang murid bertindak demikian. Diakui majoriti guru memang berdedikasi.
Tetapi apabila wujud watak yang jelas tidak langsung prihatin terhadap kesulitan murid atau tidak mahu tahu latar belakang dan pelbagai hal yang murid terbabit terpaksa tempuhi, apakah ini tidak menampakkan bahawa ada guru yang tidak patut terus membabitkan diri dalam profesion ini?

Dalam pada itu, timbul pula persoalan mengenai Jabatan Pelajaran. Ini adalah kali ketiga dalam bulan ini saya menulis mengenai pelajaran dalam kolum ini. Malangnya tiada sedikit pun reaksi jabatan itu terhadap pelbagai persoalan yang ditimbulkan. Kita lihat pula apakah akan ada reaksi terhadap apa yang dibangkitkan kali ini.

Jika tidak ada juga apa pun reaksi mereka, jelaslah mereka ini tidak ambil kisah atau kata orang tidak ambil ‘pot’ terhadap apa yang dibangkitkan. Tulislah apa yang kamu mahu kami tidak peduli. Apa sangat ia hanyalah satu pandangan oleh seorang yang sudah bersara yang tidak mempunyai apa-apa pun pengaruh.

Kami akan tetap terus saja dengan apa yang kami lakukan selama ini. Apakah ini yang sedang berlaku di Jabatan Pelajaran dan sekolah kita?

Datuk Rejal Arbee ialah Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian Online: 29 April 2010

Johor: Kurang murid

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/04/28

SRK Peserian rekodkan penurunan kemasukan murid sejak 2006

BATU PAHAT: Beberapa sekolah di kawasan Semerah kini mencatatkan kemerosotan pelajar secara tetap setiap tahun sehingga diisytiharkan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) oleh Kementerian Pelajaran berikutan penghijrahan warga muda ke kawasan bandar bagi mendapatkan pekerjaan dan peluang hidup lebih baik.

Sehingga kini dua sekolah di kawasan Semerah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Lubok dan SRK Cina Pei Cun sudah secara rasmi dikategorikan sebagai SKM oleh kementerian, manakala SRK Peserian pula berada dalam senarai pemantauan berikutan terus merekodkan penurunan kemasukan murid sejak 2006.

Tinjauan di SRK Peserian mendapati wujud ketidakseimbangan murid di beberapa kelas menyebabkan ada kelas yang mengalami kekurangan murid dan ada pula kelas tertentu yang agak sesak.

Ia berikutan syarat Kementerian Pelajaran menetapkan setiap kelas perlu mempunyai lebih 52 pelajar untuk membolehkan mana-mana sekolah membuka atau memecahkan kelas terbabit kepada dua kelas daripada darjah yang sama.

Guru Besar SRK Peserian, Khalidi Senan, berkata sekolah berkenaan mencatatkan penurunan jumlah pelajar secara konsisten sejak 2006 sehingga kini sehingga menyebabkan bukan saja ada sesetengah kelas menjadi sesak, malah menyukarkan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran setiap murid disebabkan jumlah pelajar agak ramai di sesebuah kelas.

Beliau berkata, pada 2006 sekolah berkenaan mencatatkan 315 murid, 2007 (302), 2008 (289), 2009 (277) dan tahun ini pula seramai 265 murid, padahal kapasiti sekolah itu boleh menampung sehingga 400 murid.
“Disebabkan kekurangan murid, pihak sekolah hanya menggunakan tujuh daripada sembilan kelas yang ada. Namun, ia menimbulkan masalah apabila pelajar Tahun 4 di sini mencatatkan jumlah pelajar 44 murid tetapi tidak boleh dipecahkan kepada dua kelas berikutan peraturan kementerian, selain masalah kekurangan guru jika dibuka kelas baru.

“Ia menyebabkan guru sukar memberi perhatian terhadap semua pelajar di dalam kelas Tahun 4 kerana kesuntukan masa dan ini sesungguhnya merugikan murid terutama pelajar lemah yang sudah tentu memerlukan lebih masa untuk ditunjuk ajar.

“Masalah sama menimpa murid Tahun 6 sekolah ini tetapi berikutan mereka akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi menyebabkan saya memutuskan memecahkan kelas ini kepada dua masing-masing antara 23 hingga 21 pelajar setiap kelas bagi memudahkan guru mereka memberi perhatian kepada setiap pelajar,” katanya ketika ditemui, di sini.

Khalidi berkata, walaupun guru Tahun 6 yang ditugaskan mengajar di dua kelas terbabit tidak menerima elaun sepatutnya diterima berikutan tidak mengikuti peraturan ditetapkan kementerian untuk pemecahan kelas, guru terbabit rela berkorban demi kejayaan anak muridnya menduduki UPSR.

“Ini kerana berkat dedikasi guru di sini tahap kelulusan UPSR yang jika dulu hanya mencatat 50 peratus kini naik kepada antara 70 hingga 75 peratus. Bagi mengatasi masalah kekurangan murid berkenaan, pihak sekolah akan memfokuskan kepada aktiviti kokurikulum termasuk pembangunan sukan seperti kriket bagi menarik lebih ramai murid belajar di sini.

“Malah, Kementerian Pelajaran menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan memindahkan sekolah ini ke kawasan lain bagi memberi laluan kepada pembangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah yang terletak di bahagian depan sekolah ini,” katanya.

Berita Harian Online: 29 April 2010

Rabu, 28 April 2010

SBT berperanan kembangkan budaya kecemerlangan - Muhyiddin

JOHOR BAHRU 27 April - Kesemua 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) berperanan memberi tunjuk ajar dan berinteraksi dengan sekolah-sekolah yang masih di tahap sederhana bagi mengembangkan budaya kecemerlangan pelajaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah berkenaan penting bagi membolehkan lebih banyak sekolah biasa meningkatkan lagi prestasi untuk turut diiktiraf sebagai SBT pada masa depan.

"Kita mahu dengan adanya sekolah sebegini (SBT) budaya prestasi cemerlang boleh diperluaskan bukan kepada sekolah ini sahaja tetapi dengan pengalaman dan bimbingan yang ada, budaya itu boleh dikembangkan.

"Sebab itu salah satu rancangan SBT ialah peranan sekolah itu dalam usaha untuk membantu sekolah lain yang belum capai tahap kecemerlangan seperti ini, maknanya sekolah itu boleh mengembangkan budaya ini ke sekolah lain," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda (2) di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengetua sekolah itu, Fuziah Hassan.

Pada awal tahun ini, kerajaan mengumumkan sebanyak 20 sekolah diiktiraf sebagai SBT dengan dua daripada jumlah itu adalah di Johor dan SK Bandar Uda (2) adalah salah satu daripadanya.

Muhyiddin memberitahu, pada masa yang sama sekolah-sekolah biasa itu perlu menjadikan SBT berkenaan sebagai contoh dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah.

Tegasnya, interaksi antara SBT dan sekolah lain perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi berkongsi pandangan dan memberi bimbingan untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah biasa itu.

Menurutnya, ia termasuk pertemuan dan perbincangan di antara pemimpin dan guru-guru sekolah untuk memberi bimbingan dan berkongsi pandangan.

"Sesebuah sekolah menjadi cemerlang dan diiktiraf sebagai SBT bukan sebab ia sekolah elit tetapi ia adalah sekolah biasa yang bertaraf tinggi pencapaiannya," katanya.

Beliau berkata, peranan SBT ke atas sekolah lain itu juga mampu membantu kejayaan pelajar dengan lebih cemerlang dalam tempoh yang singkat.

Tambahnya, kejayaan SBT membuktikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan sekolah dan warganya yang cemerlang hingga mencapai tahap antarabangsa.

Namun, katanya, guru-guru SBT tidak boleh leka kerana sudah diiktiraf sebagai SBT sebaliknya perlu berusaha keras menggunakan keistimewaan dan kelonggaran yang diberi untuk mengekalkan prestasi.

"Kalau kita tak urus, jaga, ia (prestasi) mungkin menurun dan kalau menurun SBT itu tidak akan kekal selama-lamanya.

"Sebab itu kita nak tahap yang kita ada sekarang dipertahankan malahan mesti dipertingkatkan prestasi cemerlangnya pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, antara keistimewaan itu ialah sekolah menggunakan autonomi untuk mengubah suai jadual secara lebih fleksibel untuk meningkatkan mata pelajaran yang perlu lebih diberi tumpuan.

Contohnya, katanya, jika mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan sudah mantap maka jadual waktu mengajar mata pelajaran itu mungkin boleh dan dipindahkan kepada mata pelajaran lain seperti Sains dan Matematik yang tidak mencukupi.

Beliau berkata, selain itu, komitmen dan kerjasama antara ibu bapa dan guru amat penting kerana mereka adalah punya peranan dalam usaha menambah baik prestasi secara lebih terperinci.

Katanya, mereka boleh membincang inisiatif baru dengan cadangan dan analisis terperinci bagi meningkatkan mutu pencapaian dan melengkapkan pelbagai prasarana fizikal.

"Ini bermakna dengan adanya gandingan kerjasama dan sokongan semua pihak maka sekolah boleh mencapai status kemajuan yang boleh dibanggakan.

"Saya berharap sekolah-sekolah yang banyak lagi yang masih belum sampai ke tahap ini boleh mengambil perkara ini sebagai contoh," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 28 April 2010

Pensyarah, guru jangan merungut

Saya merujuk kepada tulisan bertajuk Pensyarah perguruan mengadu penat, letih kerja tulisan Pensyarah Penat yang disiarkan dalam ruangan ini kelmarin. Selain itu akhbar juga sudah banyak menyiarkan keluhan oleh para guru yang juga penat dengan tugas mereka sebagai pendidik.

Keputusan panggilan temuduga guru untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru diumumkan dan anak saya gagal dipanggil untuk temuduga tersebut. Saya agak kecewa tetapi redha kerana keputusan SPMnya tidak sebaik pelajar lain. Tetapi yang lebih mengecewakan ialah mereka yang telah bekerja sebagai guru dan pensyarah masih merungut tentang beban kerja mereka.

Para guru dan pensyarah di zaman sekarang perlu menerima keadaan semasa. Mereka perlu sanggup menerima beban kerja yang semakin bertambah seiring dengan zaman yang mencabar sekarang. Apalah sangat sekiranya terpaksa bekerja hingga lewat petang atau malam. Anda masih bernasib baik kerana kerja dan pendapatan anda amat terjamin. Tidak perlu risau kehilangan kerja. Anak-anak terjamin ada tempat tinggal dan makan minum. Bayaran ansuran kereta anda juga terjamin dapat dibayar walau untuk sembilan tahun lagi.

Bandingkanlah dengan mereka yang dulunya sama-sama memohon ingin menjadi guru seperti anda tetapi gagal dan sekarang terpaksa bekerja di syarikat swasta. Mereka terpaksa bekerja bertungkus lumus supaya tidak dipecat. Ada yang sanggup mengambil beban kerja yang lebih semata-mata tidak ingin dipecat dan membantu syarikat mengharungi keadaan yang sukar. Malam pula terpaksa buat kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

Jika kita lihat sekarang mana ada kerja yang mudah. Semua orang terpaksa bertungkus lumus untuk mencari pendapatan dan bekerja dengan lebih kuat. Ini bermaksud kita terpaksa menerima beban kerja yang bertambah. Tidak ada masa lagi untuk balik rumah untuk berkebun atau memancing.

Sesuatu yang menghairankan, ada segelintir guru dan pensyarah yang sempat membuat jualan langsung dan ada juga yang cuba menjadikan pelajar mereka sebagai ejen bawahan mereka. Masih ada masa pula.

Arwah bapa saya juga adalah seorang guru. Saya pernah melihat beliau membawa pulang kerja sekolah untuk diselesaikan di rumah dan bekerja hingga malam. Apa yang menghairankan, beliau tidak pernah merungut tentang beban kerja tersebut.

Sepanjang tugas beliau selama lebih 20 tahun beliau tidak pernah mengambil cuti sakit. Beliau pernah ke rumah pelajar yang ponteng dan memaksa pelajar tersebut ke sekolah. Ini adalah kerja lebih yang beliau sendiri rela lakukan untuk kebaikan pelajarnya. Adakah ini bebanan kepada cikgu sekarang? Menyelesaikan tugasan bukanlah bebanan tetapi tanggungjawab.

Guru-guru dan pensyarah tidak dihalang untuk berhenti sekiranya tidak sesuai dengan kerja tersebut. Berhentilah dan marilah bersama kami di luar ini yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tak kais, tak makan.

Guru dan pensyarah yang membuat jualan langsung dan perniagaan berhentilah dan marilah bersama kami mengharungi kehidupan ini di dalam dunia perniagaan. Di masa itu mungkin baru anda akan sedar kerja anda sekarang membebankan atau tidak.

Belajarlah tentang pengurusan masa dan keutamaan kerja, atau sekiranya anda rasa ditindas oleh jabatan atau kementerian anda, buatlah laporan ke Jabatan Buruh sekiranya anda benar.

Bersyukur dan berterima kasihlah dengan rezeki yang ada. Pesan bapa saya, kita perlu taat dengan kerja kita, pasti hati akan merasa tenang.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada sekelian guru saya dan guru anak-anak saya yang mengajar tanpa jemu dan penuh dedikasi. Apa yang anda lakukan adalah lebih daripada apa yang kami harapkan. Terima kasih cikgu!

Utusan Malaysia Online: 28 April 2010

Dewan Negara: Pendidikan seks bukan subjek khas di sekolah

2010/04/28

MATA pelajaran pendidikan seks tidak akan diajar sebagai subjek khas di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, pendidikan seks yang juga dikenali sebagai Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di negara ini sudah diperkenalkan di sekolah menengah pada 1989, manakala sekolah rendah pada 1994.

Katanya, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial sudah diajar menerusi mata pelajaran Pendidikan Kesihatan, Biologi, Sains, Sains Tambahan, Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam.
“Dalam melaksanakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, Kementerian Pelajaran sudah membuat persediaan melatih guru di sekolah rendah dan menengah menjadi Jurulatih Utama (JU) di peringkat kebangsaan dan mereka ini akan melatih guru di peringkat negeri.

"Kursus JU berhasrat untuk memberi pendedahan mengenai pelaksanaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial dan mencari pendekatan pengajaran serta pembelajaran (P&P) yang sesuai untuk diterjemahkan ke dalam P&P di dalam kelas seperti yang dihasratkan dalam kurikulum," katanya ketika menjawab soalan Senator Doris Sophia Brodi di Dewan Negara, semalam. Doris Sophia ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan subjek pendidikan seks di sekolah dan kajian yang dijalankan berkenaan subjek itu dan bila ia akan dilaksanakan.

Puad berkata, pembabitan ibu bapa akan memastikan keberkesanan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di sekolah.

Beliau berkata, sikap keterbukaan ibu bapa dalam membincangkan hal berkaitan seks dengan anak-anak mereka sendiri dan sokongan mereka kepada guru secara tidak langsung akan dapat membantu keberkesanan kurikulum mata pelajaran itu.

Berita Harian Online: 28 April 2010

Guru ingin tahu perkembangan jawatankuasa

2010/04/28

SUDAH hampir sebulan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan ditanggung guru di seluruh negara seperti diumumkan sebelum ini. Ia perkhabaran gembira buat warga guru, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan berkaitan penubuhan jawatankuasa khas itu.

Guru ingin tahu apakah metadologi kajian yang akan digunakan jawatankuasa khas itu dan mengharapkan mereka dibabitkan secara langsung supaya permasalahan guru sebenar sampai ke jawatankuasa khas ini.

Permasalahan ini seharusnya diselesaikan segera berikutan ia merugikan guru dan pelajar. Justeru, guru seluruh negara amat mengharapkan transformasi dalam profesyen perguruan akan diumumkan.

NORHISYAM MOHAMAD,
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Kedah

Berita Harian Online: 28 April 2010

Kecewa anak gagal temu duga IPGM

2010/04/28

SAYA mewakili anak saya dan ibu bapa yang lain kecewa kerana anak lelaki kami gagal mendapat temu duga ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) walaupun mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 lalu.

Kami meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula syarat kemasukan pelajar lelaki ke IPGM bagi membolehkan lebih ramai pelajar lelaki mendapat tempat di institut itu.

Hasrat kerajaan mahu melihat keseimbangan pelajar lelaki dan perempuan di IPGM tidak akan tercapai sekiranya pelajar lelaki yang cemerlang dalam SPM, gagal mendapat temu duga.

Syarat sebenar untuk mendapat temu duga ke IPGM tidak diketahui kerana ada antara pelajar yang mendapat keputusan 5A berjaya mendapat tempat dan ada yang tidak. Jika kursus yang dipohon punca kegagalan itu, bahagian pengambilan IPGM boleh menentukan kursus apa yang mereka layak.

Apakah ada ‘kesilapan’ dalam pemilihan temu duga ke IPGM itu sehingga mereka yang agak cemerlang dalam keputusan SPM dan berminat untuk menjadi guru tercicir dalam senarai temu duga.

Tetapi jika keputusan 5A itu belum layak mendapat tempat di IPGM, pihak kementerian perlu mengkaji syarat kemasukan lelaki ke IPGM supaya lebih ramai lelaki akan berkhidmat sebagai guru.

Berita yang menyatakan hanya 20 peratus saja pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan yang memohon memasuki IPGM menguatkan lagi persoalan mengapa pelajar lelaki yang mendapat keputusan 5A gagal mendapat tempat temu duga ke insitut itu.

Saya merayu Kementerian Pelajaran memanggil semula pelajar yang dianggap layak untuk ditemuduga kerana mereka begitu berminat untuk menjadi guru walaupun layak untuk mendapat kursus yang lebih baik di universiti tempatan.

AMIN,
Setiu, Terengganu


Berita Harian Online: 28 April 2010

Pensiswazahan guru

Oleh Ismail Supandi

2010/04/28

26 pegawai pelajaran dapat ilmu, tingkat kemahiran

SERAMAI 26 guru besar dan pegawai Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran menerima ijazah Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, dalam satu majlis, baru-baru ini.

Program tiga tahun anjuran Institut Aminuddin Baki dengan kerjasama UKM itu, adalah usaha kementerian menaik taraf kualiti pendidik dan juga pegawai yang sedang berkhidmat dalam usaha meningkatkan profesion perguruan negara.

Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, berkata pihaknya yakin guru yang baru tamat pengajian sudah tentu dapat memberikan perkhidmatan terbaik di tempat masing-masing.

Usaha ini katanya selaras dengan hasrat kementerian menjadikan pendidikan sebagai wadah dalam memenuhi aspirasi negara melahirkan generasi muda berilmu dan berakhlak mulia.

“Program tiga tahun itu memberi peluang peserta mendalami ilmu dan pengetahuan yang diharap dapat meningkatkan profesionalisme mereka sebagai pendidik berdedikasi,” katanya dalam satu majlis baru-baru ini.

Sementara itu, Guru Besar dari Sarawak, Idahap @ Mashor Busrah, 47, berkata program pengajian tiga tahun yang diikuti amat bermakna baginya sebagai pendidik.
“Walaupun terpaksa berulang alik dari Sarawak ke UKM, Bangi namun ia tidak menghalang hasrat saya untuk mendalami ilmu pengetahuan dan menamatkan pengajian.

“Berbekalkan kesungguhan, keazaman serta kecekalan, saya gigih belajar kerana ilmu yang diperoleh itu dapat dikongsi bersama guru dan murid dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

S Kannan, 46, dari Negeri Sembilan berkata, langkah kementerian kerana memberi peluang kepadanya melanjutkan pelajaran ke menara gading sangat dihargai.

Pengorbanan tiga tahun katanya, tidak sia-sia kerana banyak ilmu dan pengalaman baru diperoleh dan ia dapat membantunya meningkatkan kualiti pengajaran dan pengurusan di sekolah.

Berita Harian Online: 28 April 2010

Selasa, 27 April 2010

Guru Bahasa Inggeris dari England di IPG

TANAH MERAH 26 April - Sekumpulan 360 orang guru Bahasa Inggeris dari England akan diambil dan ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara Jun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, guru berkelulusan sarjana itu akan berada di semua IPG terbabit selama tiga tahun bagi mengajar bahasa berkenaan kepada guru-guru pelatih.

''Mereka akan menggunakan modul khas bersifat interaktif melibatkan pembacaan, penulisan dan kemahiran.

"Kita mahukan guru-guru mempelajari Bahasa Inggeris daripada 'penutur jati' iaitu mereka yang sememangnya menggunakan bahasa tersebut dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2009 peringkat Parlimen Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing di sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang.

Seramai 791 pelajar menerima anugerah masing-masing pada majlis itu.

Mohd. Puad berkata, usaha membawa guru berkenaan menunjukkan keprihatinan kerajaan tentang kepentingan untuk memartabatkan bahasa itu di kalangan pelajar.

Menurutnya, ini kerana para pelajar perlu didedahkan dengan pelbagai corak pembelajaran Bahasa Inggeris bagi melengkapkan mereka dengan cabaran kerjaya masa depan.

Namun begitu tambahnya, kerajaan sama sekali tidak mengetepikan usaha untuk mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Utusan Malaysia Online: 27 April 2010

Cikgu songsang

Oleh Alias Abd Rani

2010/04/27

KUCHING: Pengakuan tiga daripada 12 pelajar tingkatan tiga dipercayai terbabit mengambil pil nospan dan ganja, membuka rahsia pengedaran dadah itu didakwa dilakukan guru berusia 26 tahun dan isterinya.

Segalanya terbongkar apabila pelajar sekolah menengah di Pusa dalam bahagian Betong itu dipanggil mengadap pengetua kerana masalah disipilin dan tiga daripadanya mengakui pernah mengambil pil nospan yang dibeli daripada seorang guru.


Susulan itu, gerakan mengesan guru yang menjadi dalang pengedaran itu dilakukan dan suspek ditahan ketika mendapatkan bekalan di bandar raya Kuching, jam 3.30 petang kelmarin.


Ketua Polis daerah Betong, Deputi Superintendan, Bukhori Saffai berkata, pelajar terbabit mengakui perkara itu ketika Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membuat pemeriksaan mengejut di sekolah berkenaan.


“Modus operandinya menjadikan hujung minggu untuk mendapat bekalan. “Biasanya ada kelas tuisyen di sekolah pada hujung minggu dan kesempatan itu diambil pelajar untuk mendapatkan bekalan. Pelajar berkenaan kini digantung sekolah seminggu.


“Kami belum mendapat maklumat mengenai harga dadah itu kerana siasatan masih berjalan. Biasanya, ia dijual dalam kuantiti kecil kerana populariti pil itu masih rendah,” katanya.


Guru dari Kedah dan mempunyai anak berusia setahun lapan bulan itu ditahan bersama isterinya, kelmarin dan direman empat hari bermula semalam.


Serbuan dilakukan Cawangan Narkotik dari Ibu Pejabat Polis daerah Betong jam 3.30 petang selepas intipan empat jam dan menemui kotak berisi daun kering mampat dipercayai 10 gram ganja yang dibungkus dengan plastik lutsinar di bahagian depan kereta.


Turut ditemui botol putih berlabel dextromethorphan mengandungi 1,482 pil nospan disembunyikan di tempat letak kaki bahagian belakang kenderaan suspek.

Pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki ganja serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana memiliki pil nospan.


Sementara itu, Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Julaihi Bujang ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pegawai pelajaran daerah itu.


“Jabatan belum memutuskan mengenai kedudukan guru itu selagi kes tidak dibawa ke mahkamah,” katanya.

myMetro: 27 April 2010

Lebih ramai guru lelaki diambil berkhidmat

KUALA LUMPUR: Lebih ramai guru lelaki diperlukan bagi menjalankan tugas sebagai guru disiplin, memudahkan penghantaran ke sekolah pedalaman dan sesuai dengan hasrat menjadikan sukan elemen penting mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata disebabkan faktor itu pihaknya akan mengambil lebih ramai guru lelaki, malah berusaha untuk memastikan pengambilannya seimbang, dengan masing-masing 50 peratus di antara guru lelaki dan perempuan.


Menurutnya, sehingga April 2010, nisbah guru lelaki dan perempuan di sekolah rendah dan menengah kerajaan serta bantuan kerajaan di seluruh negara ialah pada kadar 1:2.


“Sebab itu antara faktor kita mahu seimbangkan guru wanita dan lelaki, kerana guru lelaki ini kita dapat tumpukan mereka untuk menjalankan tugas sebagai guru disiplin, untuk memudahkan penghantaran mereka mengajar di sekolah pedalaman, sebab guru lelaki lebih sesuai dihantar ke pedalaman kerana faktor keselamatan.


“Kita akan menjadikan sukan sebagai elemen penting mulai tahun depan, sebab itu kita memerlukan lebih ramai guru lelaki,” katanya, menjawab soalan Senator Datuk Azizah Abd Samad mengenai kuota pengambilan dan masalah kekurangan guru lelaki, dalam soalan lisan, di Dewan Negara, di sini, semalam.


Menurutnya, sehingga kini guru lelaki berjumlah 126,580 orang dengan 70,808 di sekolah rendah dan 55,772 orang di sekolah menengah manakala guru perempuan berjumlah 279,650 membabitkan 160,064 orang di sekolah rendah dan 119,586 orang di sekolah menengah.

myMetro: 27 April 2010

Isnin, 26 April 2010

Kerajaan kaji naikkan elaun, naik taraf kuarters guru di pedalaman

2010/04/26

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keperluan menaikkan elaun tambahan guru-guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman terutama di kawasan yang dikategorikan sebagai pedalaman 2 (P2) dan pendalam 3 (P3), kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi.

Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada langkah yang ditimbangkan kerajaan bagi memastikan guru-guru di kawasan itu yang kebanyakannya terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak, mendapat kemudahan yang sewajarnya.

"Memang saya akui guru-guru ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, sebagai contoh di Kinandut apabila mereka yang keluar membeli barang di Pensiangan kadang-kadang tersadai sehingga dua hari apabila pemandu lupa mengambil mereka dan ini menyebabkan mereka tidak dapat mengajar manakala kos mereka pergi balik naik bot pula lebih kurang RM500.

"Memang saya akui guru-guru ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, sebagai contoh di Kinandut apabila mereka yang keluar membeli barang di Pensiangan kadang-kadang tersadai sehingga dua hari apabila pemandu lupa mengambil mereka dan ini menyebabkan mereka tidak dapat mengajar manakala kos mereka pergi balik naik bot pula lebih kurang RM500

"Sebab itu guru-guru di kawasan P3 di beri elaun tambahan RM1,500, P2 RM1,000 dan P1 RM500. Oleh itu kerajaan sedang berusaha untuk mengkaji semula sama ada elaun ini boleh dinaikkan atau pun tidak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Ahamat@Ahamad Yusop yang mahu tahu langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian bagi memastikan guru-guru di pedalaman Sabah dan Sarawak mendapat kemudahan sewajarnya.

Puad berkata kerajaan juga sedang berusaha menaik taraf kuarters guru-guru di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bagi memastikan keselamatan mereka yang mendiaminya terjamin.

"Kerajaan akan pastikan kuarters penginapan guru-guru ini selamat untuk diduduki dan akan naik taraf supaya ia sesuai dan selamat terutama untuk guru-guru wanita yang bertugas di pedalaman. Kerajaan akan pastikan bangunan itu selamat, kukuh, pintunya kuat dan berpagar," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pengambilan guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini berjumlah 7,079 orang.
"Bagi KPLI 1,435 calon lelaki dan 2,270 calon wanita dipanggil untuk temuduga bagi mengisi kekosongan 1,878 tempat. Manakala KPLSM 5,030 calon lelaki dan 5,118 calon wanita dipanggil untuk temuduga bagi mengisi 5,201 kekosongan," katanya.

Mengenai nisbah pengambilan guru yang akan diseimbangkan mengikut jantina iaitu 50 peratus lelaki dan 50 peratus wanita mulai tahun ini, beliau berkata ini disebabkan kerajaan kini memerlukan guru lelaki sebagai guru disiplin dan sebagai tenaga pengajar di kawasan pedalaman.

"Guru lelaki lebih sesuai sebagai guru disiplin bagi mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar. Mereka juga sesuai untuk dihantar ke pedalaman atas faktor keselamatan dan sebagai memenuhi aspirasi kementerian yang mahukan sukan dimasukkan sebagai elemen penting dalam kurikulum persekolahan," katanya.

Puad berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Azizah Abd Samad yang ingin tahu langkah kementerian dalam mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar lelaki dan jumlah calon mengikut gender yang memohon untuk menjadi guru bagi tahun ini. - Bernama

Berita Harian Online: 26 April 2010

SMK Kubang Rotan perlu derma besarkan surau

ALOR SETAR 25 April - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan di sini memerlukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan projek membesarkan surau di sekolah berkenaan.

Setiausaha surau tersebut, Zul Ahmad Tarmizi berkata, pihak sekolah telah menggerakkan usaha untuk mengumpul dana bagi tujuan berkenaan tetapi masih memerlukan kira-kira RM200,000 untuk menyiapkannya.

Katanya, surau berkenaan perlu dibesarkan bukan sahaja untuk memudahkan pelajar Islam dan guru menunaikan solat tetapi bagi menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan keagamaan termasuk membudayakan pembacaan al-Quran selain dijadikan sebagai pusat kegiatan ibadat.

"Surau yang ada sekarang cuma boleh memuatkan kira-kira 30 orang pada satu masa sedangkan sekolah memerlukan surau yang lebih besar dan mampu memuatkan lebih ramai jemaah.

"Namun, kami masih menghadapi kekurangan dana dan berharap masyarakat dapat menghulurkan sumbangan untuk menyiapkan projek tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zul Ahmad, oleh kerana ruang surau sedia ada agak sempit, aktiviti seperti majlis bacaan surah Yasin yang diadakan dua minggu sekali di sekolah tersebut terpaksa diadakan di tapak perhimpunan atau di padang sekolah.

Katanya, pihak sekolah telah berbincang dengan Majlis Agama Islam Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk membesarkan surau tersebut dan telah mendapat kebenaran daripada mereka.

Jelasnya, jumlah peruntukan yang diperlukan agak tinggi kerana ia akan melibatkan projek pembesaran surau sekolah yang lebih selesa dan boleh menampung sehingga 700 jemaah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zul Ahmad di talian 019-5118146 atau berkunjung sendiri ke sekolah berkenaan untuk maklumat lanjut.

Utusan Malaysia Online: 26 April 2010

Pensyarah perguruan mengadu penat, letih kerja

PADA Sabtu, 10 April 2010, saya ada membaca sebuah artikel bertajuk Seksa jadi guru dan dalam laporan yang sama juga turut menyatakan sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengkaji bebanan tugas guru.

Saya juga hendak mengucapkan syabas kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) atas keprihatinan persatuan itu terhadap bebanan guru sebagaimana dikongsi dalam ruangan pendapat pada 10 April 2010.

Saya akui cabaran berada dalam bidang pendidikan bukannya mudah kerana saya juga seorang pendidik walaupun bukan guru. Saya hendak menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bahagian Pendidikan Guru bahawa kami, pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) juga berhadapan dengan masalah yang sama.

Kemuncak kepada beban itu kami terpaksa tanggung dengan bekerja lebih masa setelah Maktab Perguruan di seluruh negara dinaikkan taraf kepada Institut Pendidikan Guru pada tahun 2008.

Untuk makluman, kerjaya pendidik tidak sama seperti kerjaya lain. Sebagai pensyarah, tugasan kami tidak selesai di pejabat, malah dibawa ke rumah.

Selain mengajar, kami terpaksa menyemak tugasan pelajar, menggubal kertas soalan, mencari bahan dan membuat power point untuk pengajaran pada keesokan hari, di samping melaksanakan pelbagai lagi tugasan dalam jawatankuasa di peringkat IPGM.

Lazimnya tugasan yang tidak sempat disiapkan di pejabat akan disiapkan di rumah. Bayangkan kami habis bekerja di IPGM pada pukul 5 petang setiap hari dan terpaksa pula melalui lebuh raya dalam keadaan jalan raya sesak pada waktu kemuncak, sehinggakan pukul 6.30 petang pun saya dan kebanyakan rakan sekerja belum tentu lagi dapat memijak tangga rumah.

Kami bertolak dari rumah ke pejabat seawal 6.30 pagi dan sampai ke rumah pula paling awal 7 malam. Inilah rutin yang terpaksa kami hadapi setiap hari.

Seperti yang telah saya katakan, masalah kami tidak banyak bezanya dengan guru di sekolah, malah mungkin lebih.

Paling menyedihkan, saya berasa seolah-olah tidak ada pihak yang berjuang atau prihatin dengan masalah kami, walaupun kami juga membentuk anak bangsa dan berada dalam bidang pendidikan sebagaimana guru yang nasibnya mendapat pembelaan Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP).

Kadang-kadang saya berasa terlalu tertekan apabila memikirkan rutin yang terpaksa saya lalui sehinggalah saya pencen kelak. Apa salahnya jika kami di IPGM dibenarkan pulang seperti sediakala pada jam 1.30 tengah hari?

Pulang pada waktu itu, bukan bermaksud kami boleh bergoyang kaki, tetapi supaya kami dapat menyegarkan diri dan menyambung semula tugasan dalam keselesaan suasana di rumah.

Ini kerana walaupun berada di IPGM sehingga jam 5 petang, sebaik sahaja matahari berada tegak di atas kepala, kami tidak lagi produktif dan hilang daya tumpuan. Buktinya ada yang mengambil masa rehat sesingkat satu jam dari jam 1 tengah hari hingga 2 petang untuk tidur.

Pada pendapat saya, lebih baik masa tersebut digunakan secara berkualiti dengan bekerja di rumah mengikut kesesuaian waktu kami sendiri.

Saya juga berharap agar masyarakat, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat menunjukkan keprihatinan yang sama kepada kami, pensyarah di IPGM.

Besarlah harapan kami agar NUTP dapat menimbangkan untuk membawa pensyarah di seluruh negara berpayung di bawah kesatuan keguruan terbesar itu.

Ini kerana ramai juga dalam kalangan kami ketika menjadi guru, sebelum berkhidmat di IPGM, mendaftarkan diri dalam NUTP dengan harapan nasib kami yang berada dalam bidang pendidikan mendapat pembelaan sewajarnya.

PENSYARAH PENAT

Kota Bharu

Utusan Malaysia Online: 26 April 2010

Pensyarah perguruan mengadu penat, letih kerja

PADA Sabtu, 10 April 2010, saya ada membaca sebuah artikel bertajuk Seksa jadi guru dan dalam laporan yang sama juga turut menyatakan sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengkaji bebanan tugas guru.

Saya juga hendak mengucapkan syabas kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) atas keprihatinan persatuan itu terhadap bebanan guru sebagaimana dikongsi dalam ruangan pendapat pada 10 April 2010.

Saya akui cabaran berada dalam bidang pendidikan bukannya mudah kerana saya juga seorang pendidik walaupun bukan guru. Saya hendak menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bahagian Pendidikan Guru bahawa kami, pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) juga berhadapan dengan masalah yang sama.

Kemuncak kepada beban itu kami terpaksa tanggung dengan bekerja lebih masa setelah Maktab Perguruan di seluruh negara dinaikkan taraf kepada Institut Pendidikan Guru pada tahun 2008.

Untuk makluman, kerjaya pendidik tidak sama seperti kerjaya lain. Sebagai pensyarah, tugasan kami tidak selesai di pejabat, malah dibawa ke rumah.

Selain mengajar, kami terpaksa menyemak tugasan pelajar, menggubal kertas soalan, mencari bahan dan membuat power point untuk pengajaran pada keesokan hari, di samping melaksanakan pelbagai lagi tugasan dalam jawatankuasa di peringkat IPGM.

Lazimnya tugasan yang tidak sempat disiapkan di pejabat akan disiapkan di rumah. Bayangkan kami habis bekerja di IPGM pada pukul 5 petang setiap hari dan terpaksa pula melalui lebuh raya dalam keadaan jalan raya sesak pada waktu kemuncak, sehinggakan pukul 6.30 petang pun saya dan kebanyakan rakan sekerja belum tentu lagi dapat memijak tangga rumah.

Kami bertolak dari rumah ke pejabat seawal 6.30 pagi dan sampai ke rumah pula paling awal 7 malam. Inilah rutin yang terpaksa kami hadapi setiap hari.

Seperti yang telah saya katakan, masalah kami tidak banyak bezanya dengan guru di sekolah, malah mungkin lebih.

Paling menyedihkan, saya berasa seolah-olah tidak ada pihak yang berjuang atau prihatin dengan masalah kami, walaupun kami juga membentuk anak bangsa dan berada dalam bidang pendidikan sebagaimana guru yang nasibnya mendapat pembelaan Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP).

Kadang-kadang saya berasa terlalu tertekan apabila memikirkan rutin yang terpaksa saya lalui sehinggalah saya pencen kelak. Apa salahnya jika kami di IPGM dibenarkan pulang seperti sediakala pada jam 1.30 tengah hari?

Pulang pada waktu itu, bukan bermaksud kami boleh bergoyang kaki, tetapi supaya kami dapat menyegarkan diri dan menyambung semula tugasan dalam keselesaan suasana di rumah.

Ini kerana walaupun berada di IPGM sehingga jam 5 petang, sebaik sahaja matahari berada tegak di atas kepala, kami tidak lagi produktif dan hilang daya tumpuan. Buktinya ada yang mengambil masa rehat sesingkat satu jam dari jam 1 tengah hari hingga 2 petang untuk tidur.

Pada pendapat saya, lebih baik masa tersebut digunakan secara berkualiti dengan bekerja di rumah mengikut kesesuaian waktu kami sendiri.

Saya juga berharap agar masyarakat, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat menunjukkan keprihatinan yang sama kepada kami, pensyarah di IPGM.

Besarlah harapan kami agar NUTP dapat menimbangkan untuk membawa pensyarah di seluruh negara berpayung di bawah kesatuan keguruan terbesar itu.

Ini kerana ramai juga dalam kalangan kami ketika menjadi guru, sebelum berkhidmat di IPGM, mendaftarkan diri dalam NUTP dengan harapan nasib kami yang berada dalam bidang pendidikan mendapat pembelaan sewajarnya.

PENSYARAH PENAT

Kota Bharu

Utusan Malaysia Online: 26 April 2010

SK Wakaf perkenal 'ala rekrut'


HUSAIN Bustari Awang Lah (tengah) melihat guru displin, Abdullah Ibrahim (kiri) menggunting rambut Waie Irsyad Rosdi sementara Guru Penolong Kanan 1, Abdul Hamid Ismail pula menggunting rambut Amirul Amin Aziz pada Program Mendisplinkan Pelajar Berambut Pendek di Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu, Tumpat, semalam. - BERNAMA


TUMPAT 25 April - Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu dekat sini melaksanakan program mendisiplinkan pelajar dengan mewajibkan semua murid lelaki berambut pendek dengan gaya potongan ala rekrut.

Guru Besar sekolah itu, Husain Bustari Awang Lah berkata, program itu bertujuan memberi identiti sekolah menerusi gaya potongan rambut pendek yang kelihatan lebih kemas.

Ia juga bagi membolehkan murid kelihatan bergaya dan menjimatkan perbelanjaan ibu bapa untuk menggunting rambut anak setiap bulan.

"Inilah kali pertama sekolah kami mengadakan program disiplin ini yang bertemakan "guru cakna murid ceria"," katanya selepas perhimpunan mingguan di sekolah itu hari ini.

Sebagai gimik kepada pelancaran itu, Husain Bustari bersama guru disiplin sekolah itu, Abdullah Yusoff, dan Penolong Kanan I sekolah itu, Abdul Hamid Ismail, memotong rambut sebahagian pelajar terbabit.

Keputusan untuk menggunting rambut pelajar dengan potongan ala rekrut itu dipersetujui oleh ibu bapa semasa mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, 13 Mac lepas, kata Husain.

Program mendisiplinkan pelajar berambut pendek itu melibatkan 450 murid lelaki, daripada sejumlah lebih 900 murid sekolah itu.

"Langkah itu juga boleh mengelakkan murid-murid terikut-ikut dengan trend rambut yang pelbagai bentuk atau diwarnakan, selain meletakkan murid sekolah ini beridentiti tersendiri," katanya. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 26 April 2010

Jeyarawara pembestarian SK bermula


Dr. Ismail Zain menyampaikan ceramah mengurus perubahan sempena Jeyarawara Pembestarian Sekolah SMK Al-Irshad di Pulau Pinang, baru-baru ini.


KEPALA BATAS 25 April - Pengurus Kanan Jabatan Sekolah Bestari Pebadanan Kemajuan Multimedia (MDeC), Dr. Norrizan Razali pernah menekankan bahawa pelajar bukanlah isu yang besar kepada pelaksanaan dasar pembestarian sekolah.

Isu yang perlu ditangani - yang akan menentukan berjaya atau gagalnya program pembestarian sekolah ialah penerimaan dan persepsi ibu bapa, pentadbir sekolah dan masyarakat setempat.

Bertitik tolak kepada kepercayaan itu, MDeC memulakan gerakan Jeyarawara Pembestarian Sekolah ke enam buah negeri mulai tahun ini. Jeyarawara merupakan istilah nusantara bagi perkataan bahasa Inggeris roadshow atau istilah umumnya, jelajah.

Bagi tujuan itu, Pulau Pinang menjadi negeri pertama, dengan tuan rumah dipillih ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad, sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan, baru-baru ini.

Tahniah kepada MDeC yang menjalankan inisiatif tersebut yang berjaya menarik perhatian masyarakat setempat, melalui penyusunan pelbagai aktiviti dan pameran oleh beberapa rakan kongsinya.

Isu seperti memupuk perasaan saling percaya mempercayai antara ibu bapa, guru dan pihak sekolah, menyemarakkan semangat perkongsian dan menambah pengetahuan, menjadi inti pati kepada program Jeyarawara.

Usaha MDeC itu sebenarnya merentas dasar kerajaan yang mahu melonjakkan kuasa guna perkakasan dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di seluruh negara melalui pelbagai inisiatifnya seperti jalur lebar, gerbang maklumat, pelepasan cukai perkakasan ICT dan banyak lagi.

Inisiatif itu juga sejajar dengan usaha menyediakan subsidi komputer buku kepada para pelajar yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 dengan hasrat untuk melihat 50 peratus rakyat di negara ini mempunyai akses kepada Internet.

Usaha oleh MDec itu juga diharapkan dapat memantapkan kitaran pengunaan ICT di sekolah melalui mekanisme SSQS, termasuk keperluan asas seperti e-mel, integrasi, pedagogi dan sebagainya.

Namun, ada kekangan di sana-sini yang mungkin memperlahankan usaha murni tersebut.

Sebagai contoh, projek sekolah terbengkalai di Pulau Pinang membantutkan usaha Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) itu menggapai ranking lima bintang di bawah penarafan SSQS program Pembestarian Sekolah.

Kata Pengarah Pelajarannya, Ibrahim Mohamad mengakui kekangan itu, sambil menambah bahawa kini penarafan program pembestarian sekolah di negeri itu menunjukkan pencapaian Pulau Pinang telah mencecah 97.7 peratus bestari, menghampiri 100 peratus daripada kriteria pelaksanaan program itu.

''Kita tidak mampu mencapai 100 peratus kerana terbantut oleh projek yang terbengkalai walau geran telah dilancarkan,'' kata beliau.

Ujar beliau, beberapa data pula tidak boleh dikemaskinikan oleh guru besar kerana kekangan itu.

''Laluan Internet melalui SchooNet juga agak lembab ekoran laluan yang sempit digunakan oleh pengguna yang banyak,'' katanya.

Selain pameran, program tersebut turut diisi dengan ceramah dan taklimat pembestarian sekolah oleh pakar motivasi dan penasihat Portal Pendidikan Utuuan Malaysia, Dr. Ismail Zain dan Pegawai Meja Program Sekolah Bestari Luar Bandar Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Saiful Nizam Ramlee.

Pogram taklimat diatur untuk pentadbir, guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam empat sesi sepanjang dua hari. Dr Ismail dalam sesinya menjelaskan tentang keperluan kepada perubahan paradigma minda ke arah pembestarian sekolah, selain amalan terbaik dan sokongan pemimpin setempat untuk menjayakan program yang murni itu.

Sementara itu, antara pempamer rakan usaha Jeyarawara ialah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Pulau Pinang, Multimedia Synergy Coorporation Bhd. (MMSC), Telekom Smart School (TSS) dan Portal Pendidikan Utusan Malaysia.

Pengurus Jabatan Sekolah Bestari MDEC, Sofia Akmal Abu Bakar memberitahu, pengetua, guru besar dan guru dari 25 buah sekolah mengikuti taklimat dan ceramah motivasi mengurus perubahan itu.

Bagi sesi komuniti pada hari kedua, wakil PIBG dari sekitar Kepala Batas dan Tasik Gelugor serta kawasna lain sekitar Daerah Seberang Prai Utara mengikuti program berkenaan.

Menurut beliau, tiga buah sekolah di Pulau Pinang merupakan perintis bestari di negeri itu iaitu SMK Dato' Onn (Butterworth), Sekolah Menengah Sains (SMS) Tun Syed Sheikh Shahabuddin dan SMK Abdullah Munshi.

Kategori luar bandar untuk sekolah bestari di negeri itu yang dipilih ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Mah Hua dan SMKA Al-Irshad.

Sebuah sekolah kategori bandar yang baru sahaja mendapat anugerah lima bintang ialah SMK St. Mark di Butterworth.

Utusan Malaysia Online: 26 April 2010

Johor: PPKKPS beri impak besar kejayaan guru, pelajar

2010/04/25

KOTA TINGGI: Jabatan Pelajaran Negeri Johor terus memacu nilai penambahbaikan sistem pengurusan di kalangan barisan pentadbir pendidikan mengikut prosedur yang lebih bersistematik melalui kelangsungan Perancangan Strategik (PS) 2009 – 2011.

Pengarahnya, Sufaat Tumin berkata, usaha mencapai prestasi cemerlang dalam pentaksiran dan penilaian bagi menentukan pencapaian kedudukan lima teratas dalam semua peperiksaan awam terbukti berkesan melalui keputusan peperiksaan awam yang memberangsangkan akhir-akhir ini.

Katanya, bermula 1 Mac lalu, kesemua 10 daerah pendidikan diaudit bawah Program Pemantauan Kualiti Pengurusan dan Kepimpinan Pengurus Sekolah (PPKKPS) berjadual bagi tujuan penjimatan yang dilaksanakan secara berpusat di daerah masing-masing oleh satu panel 37 pegawai kanan sektor dari jabatan itu dan Pejabat Pelajaran Daerah.

“PPKKPS yang masuk ke tahun ketiga pelaksanaannya menampakkan impak besar terhadap kejayaan guru dan pelajar sama ada dalam bidang inovasi, dan kreativiti mahupun pencapaian kokurikulum,” katanya pada PPKKPS daerah Kota Tinggi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab dan SMK Laksamana di sini.

Mengulas mengenai PPKKPS, katanya, keputusan penilaian pengurusan semua sekolah di negeri ini yang berakhir di Sekolah Integrasi Iskandar Mersing pada 14 April lalu akan dikumpul.

Katanya, mengikut rekod, sejumlah 115 buah sekolah mencapai penarafan Gemilang (markah 90% ke atas) bidang pengurusan pada 2008 dan tahun berikutnya meningkat kepada 237 buah daripada jumlah keseluruhan 1,129 buah sekolah menengah dan rendah negeri ini.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Hwa, Kota Tinggi, Lee Gin Chee berkata, PPKKPS amat bermakna bagi meningkatkan kualiti kepemimpinan dan pengurusan.
“Melalui penarafan yang dilakukan pihak pentadbir dapat berkongsi kepelbagaian pengalaman dan kejayaan pengurusan sekolah lain bagi meningkatkan kepimpinan pengurusan sekolah di kalangan pentadbir, penolong kanan, guru dan semua kakitangan sebagai budaya memperkasakan kepemimpinan sekolah masing-masing” katanya.

Berita Harian Online: 26 April 2010

Guru edar pil khayal kena tahan

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2010/04/26

Suspek berusia 24 tahun guna rangkaian pelajar sebagai orang tengah

BETONG: Kegiatan seorang guru lelaki dari Semenanjung menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, terbongkar apabila polis menahannya bersama 1,862 pil nospan, di sini, petang semalam.

Dalam tangkapan di Jeti Sungai Saribas, Pusa, kira-kira jam 4.30 petang semalam, suspek yang berusia 24 tahun dan berasal dari Kedah dalam perjalanan pulang ke Beladin bersama isteri dan seorang anaknya selepas dipercayai mengambil bekalan dadah dari Kuching.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang bertugas di sebuah sekolah di Beladin, dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar kawasan berkenaan.

“Ketika ditahan, suspek cuba melawan dan cuba melarikan diri namun terpaksa menyerah selepas dikepung anggota polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah.

“Selain sejumlah pil nospan yang dianggar bernilai lebih RM1,000, turut ditemui dadah jenis ganja seberat 10 gram. Suspek dan keluarganya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Difahamkan, suspek yang berkahwin dengan isterinya, seorang warga tempatan, bertugas lebih lima tahun di sekolah berkenaan selain kerap ke Kuching bagi mendapatkan bekalan dadah pelbagai jenis bagi dijual kepada pelajar sekolah.
Bukhori berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mempercayai suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di Beladin sejak setahun lalu dan mempunyai rangkaian pelajar yang dijadikan orang tengah.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa individu tempatan lagi yang dipercayai menjadi orang tengah kepada suspek.

“Siasatan ke atas suspek sedang dilakukan mengikut Seksyen 6 dan 30 Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan perintah tahanan reman akan dibuat esok (hari ini) di Mahkamah Majistret Betong,” katanya.

Tangkapan ini adalah yang pertama di Betong membabitkan guru yang bertugas di kawasan pedalaman mengedar dadah.

Bulan lalu, seorang bekas guru berasal dari Kedah ditahan di Kuching kerana cuba menyeludup daun ketum.

Berita Harian Online: 26 April 2010

Guru Muet hadapi dilema isu kenaikan pangkat

2010/04/25

SAYA ingin merujuk kepada rungutan 'Guru Muet' yang disiarkan ruangan ini 22 April lalu mengenai Pegawai Jabatan Pelajaran Selangor yang prihatin dan profesional dalam mengendalikan kes beliau.

Malang bagi saya menerima nasib sama, tetapi tidak serupa. Kes saya begini. Saya juga seorang guru Malaysia University English Test (Muet) yang mengajar subjek ini sejak 2002 sehingga kini (tiada putus).

Pada Disember 2009, saya mendapat surat tawaran pemangkuan dari DG41 ke DG44. Malangnya, pada 24 Januari lalu, JPN Perak meminta pengetua memulangkan semula surat itu (dengan kata lain, tawaran ditarik semula) tanpa memberitahu saya.

Saya berjumpa dengan pegawai dari Unit Naik Pangkat, JPN Perak untuk mendapatkan penjelasan. Beliau memaklumkan bahawa nama saya tidak tersenarai dalam senarai calon yang diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) dengan alasan saya tidak masuk ‘time base’ lagi.

Perkara ini juga saya adukan kepada NUTP dan juga Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran, namun saya mendapat jawapan amat mendukacitakan kerana sebab sebenar tidak diberitahu.

Menurut Pekeliling dikeluarkan kementerian untuk guru Tingkatan 6, saya sudah memenuhi semua syarat yang ada (tiada pun syarat kena masuk time base). Saya masih tertanya-tanya adakah LKPPP sengaja mengada-adakan syarat tambahan untuk menyusahkan guru Tingkatan 6.

Kalau betul kena tunggu masuk ‘time base’ baru dapat dinaikkan, maka bukanlah ‘fast track’ namanya yang digembar-gemburkan oleh kementerian. Di sekolah ini, hanya dua dari 11 guru Tingkatan 6 dilantik.
Mengikut pekeliling yang ada, mereka semuanya layak untuk dinaikkan pangkat. Tetapi sehingga kini, masih tertanya-tanya kedudukan kami. Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan?

GURU MUET,
SMKRS, Perak

Berita Harian Online: 26 April 2010

Ahad, 25 April 2010

Kementerian tubuh majlis bincang isu pendidikan

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/04/25

MUHYIDDIN mengambil makanan selepas majlis penutup Program Menara Ilmu Kecemerlangan Pendidikan 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali,  semalam.
MUHYIDDIN mengambil makanan selepas majlis penutup Program Menara Ilmu Kecemerlangan Pendidikan 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, semalam.

Pendapat orang luar diteliti sebelum laksana dasar: TPM

KUALA KUBU BHARU: Kementerian Pelajaran akan menubuhkan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan untuk mengambil kira pendapat pelbagai pihak mengenai isu pendidikan negara dan mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata majlis penasihat yang dianggotai pegawai kementerian dan pakar pelbagai bidang itu akan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum melaksanakan sesuatu dasar berkaitan sistem pendidikan Malaysia. Beliau turut menjelaskan buat kali pertama, kerajaan akan menubuhkan majlis penasihat berkenaan yang dianggotai pelbagai pihak, bukan seperti sebelum ini yang hanya membabitkan orang kementerian semata-mata.

“Kita akan ajak pakar pelbagai bidang duduk dengan pegawai kerajaan untuk fikirk langkah lain yang boleh diambil untuk selesai masalah dan dasar apa yang boleh diperkenalkan dalam sistem pendidikan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis penutup Program Menara Ilmu Kecemerlangan Pendidikan 2010 anjuran Yayasan Nurul Yaqeen di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga pengerusi yayasan itu, berkata transformasi pendidikan yang dilakukan kerajaan ketika ini seharusnya berterusan supaya sistem pendidikan negara sentiasa relevan dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum yang menekankan aspek penerokaan ilmu secara mendalam melalui pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Sehubungan itu, katanya, program 1Murid 1Sukan akan diperkenalkan semula bagi memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan sukan satu bidang yang diminati murid akan tercapai.

“Kementerian sedang dalam usaha melantik lebih ramai guru sukan untuk dihantar ke sekolah. Walaupun penekanan aspek sukan bukan perkara baru di sekolah, tetapi adalah penting untuk merancakkannya semula.

“Saya dengar di sekolah kadar obesiti agak ketara. Dengan menekankan pentingnya sukan, saya berharap ia mengelakkan masalah itu di kalangan anak kita,” katanya.

Berita Harian Online: 25 April 2010

Sabtu, 24 April 2010

Tambah peluang guru ambil PhD wajar: PIBGN

2010/04/24

KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyifatkan langkah kerajaan menambah tempat kepada guru yang mahu melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dan sarjana adalah suatu yang wajar untuk meningkatkan status akademik tenaga pengajar.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata langkah itu memberi satu galakan dan motivasi kepada guru yang mempunyai potensi untuk berjaya tetapi tidak berpeluang berbuat demikian lebih awal disebabkan pelbagai masalah.

“Peluang yang diberikan ini akan menjadikan mereka seorang pemimpin berkaliber dalam dunia pendidikan selaras dengan matlamat negara untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Pada masa sama, guru juga perlu meningkatkan ilmu pengetahuan. “Justeru, kita berharap tempat bagi guru untuk melanjutkan pelajaran perlu ditambah lagi pada masa depan... bukan hanya setakat 30 tempat untuk peringkat PhD dan 70 untuk sarjana,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Kementerian Pelajaran meluluskan 30 tempat bagi guru melanjutkan pelajaran ke tahap PhD dan 70 untuk peringkat sarjana bagi memberi peluang lebih ramai kepada guru meningkatkan status akademik mereka.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya menerima peruntukan tambahan bernilai RM972.6 juta melalui peruntukan tambahan yang diluluskan Dewan Rakyat, minggu lalu.

Mohamad Ali berkata, bagaimanapun, pihaknya berharap penawaran tempat itu bukan hanya untuk PhD dan sarjana yang dilakukan di universiti semata-mata sebaliknya turut dianjurkan oleh badan profesional seperti institut akauntan, insurans, farmasi serta institusi bank. Beliau berkata, pihaknya menggalakkan guru diberi peluang mengikuti kursus yang dianjurkan badan profesional kerana ia berkait rapat dengan tugas seharian mereka sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Guru yang mahu mengajar prinsip akaun tidak semestinya kena ada PhD dalam bidang itu dan tidak semestinya mereka mengikuti pengajian di universiti semata-mata kerana guru terbabit boleh mengikuti kursus yang ditawarkan badan profesional.

“Bagi saya, kebanyakan kursus yang ditawarkan di badan profesional ini amat mementingkan latihan industri dan saya menganggap ia lebih relevan untuk meningkatkan bukan saja pengetahuan tetapi kemahiran dan kepakaran guru terbabit,” katanya.

Berita Harian Online: 24 April 2010

Guru perlu kreatif didik pelajar isu seksual

2010/04/24

SEBAGAI seorang ahli masyarakat, saya juga agak sedih dengan isu buang bayi dan zina sebelum berkahwin. Saya tertarik untuk membincangkan cadangan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil untuk memperkenalkan pendidikan Sains dan Reproduktif sebagai satu mata pelajaran di sekolah.

Saya sebagai seorang guru merasakan bahawa mata pelajaran biologi, sains menengah rendah dan pendidikan jasmani serta kesihatan sebenarnya mampu memberikan pendidikan seks dan reproduktif kepada remaja kita.

Dalam sukatan mata pelajaran itu, terkandung hal-hal mengenai organ pembiakan, masalah pembiakan, proses kehamilan dan cara mencegah kehamilan. Jika guru yang mengajar dapat mengolah strategi, kaedah dan teknik pengajaran contohnya pengajaran secara konstekstual, pelajar dapat menghubungkait fakta yang dipelajari di sekolah dengan kehidupan sebenar dan diri mereka sendiri. Yang lebih penting ialah pelajar perlu mengetahui kesan tindakan mereka. Alangkah malangnya bagi seorang pelajar yang sudah mengalami haid, belajar mengenai kitaran haid dalam tingkatan tiga tetapi tidak tahu bahawa jika mereka melakukan hubungan seks, mereka boleh mengandung.

Ini adalah akibat daripada proses pengajaran dan pembelajaran untuk mengejar kecemerlangan akademik saja menyebabkan guru lupa untuk menerapkan nilai murni. Kita mungkin sudah lupa Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mempunyai matlamat untuk menghasilkan insan yang seimbang dan harmonis dalam semua aspek jasmani, rohani, intelek, emosi dan sosial.

Saya dapati seolah-olah tidak ada rasa gerun di kalangan mereka. Setakat ini saya belum baca atau banyak dengar pesalah ini dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka. Semua salah orang lain.

IBU GURU, Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 24 April 2010

Aktiviti gotong-royong 15 Mei ganggu sambutan Hari Guru

2010/04/24

APABILA disebut Hari Guru, semua orang akan teringat akan tarikhnya iaitu pada 16 Mei setiap tahun. Seperti juga apabila kita meraikan sesuatu majlis keraian, kita perlu membuat persediaan awal sehari sebelum perayaan.

Itu sudah menjadi kebiasaan yang diamalkan selama ini. Bagaimanapun, perayaan Hari Guru tahun ini sedikit ‘diganggu’ oleh aktiviti bergotong-royong di sekolah di seluruh negara yang akan diadakan pada 15 Mei nanti.

Persoalannya, mengapakah pihak Kementerian Pelajaran mahu menetapkan tarikh bergotong-royong pada 15 Mei dan kenapakah bukan sebelum 15 Mei atau selepas kita meraikan perayaan Hari Guru? Ini memandangkan perayaan Hari Guru amat bermakna bagi seluruh warga pendidik di Malaysia. Tidakkah aktiviti gotong-royong ini akan menjejaskan perasaan mereka kerana sehari selepas itu, adalah Hari Guru, hari mereka yang sangat bermakna?

Kalaulah kita menghargai jasa dan pengorbanan guru, nescaya kita tidak akan menetapkan tarikh gotong-royong sehari sebelum perayaan Hari Guru. Ia akan memberi kesan terhadap perasaan semua warga pendidik bahawa kita seakan-akan mengambil tindakan untuk ‘mendera’ mereka dengan mengadakan kerja gotong-royong dulu baru kita hendak meraikan Hari Guru.

TSAI JIN,
Padawan, Sarawak

Berita Harian Online: 24 April 2010

Terkejut dibuang sekolah

Oleh Zainuddin Muhammad
am@hmetro.com.my
2010/04/24

KUALA TERENGGANU: Akibat kerap datang lewat ke sekolah, seorang lagi pelajar tingkatan lima di sini mengadu sering ditampar guru disiplin, dihalau pulang dan akhirnya pada minggu lalu, dia dibuang sekolah.

Farahanin Othman, 17, berkata guru kelasnya menunjukkan kepadanya surat pembuangan sekolah bermula 14 April dan memberitahunya salinan surat itu akan dihantar ke alamat kediaman keluarganya di Kampung Manir, dekat sini.


Namun, sehingga kini dia belum menerima surat yang dimaksudkan dan mula risau dengan statusnya kerana akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini.


“Saya sebenarnya terkejut apabila diberitahu dibuang sekolah kerana sudah beberapa tahun kerap hadir lewat ke sekolah kerana saya kini hanya bergantung dengan perkhidmatan bas awam yang memang terkenal dengan jadual waktu tidak menentu,” kata anak bongsu daripada tujuh beradik yang tinggal bersama ibunya, Wan Zawibah Wan Mohamad, 50, dan kakak, Nurul Hidayah, 19.


Katanya, ayahnya, Othman Mat Zain, yang sebelum ini bertugas sebagai Pengetua SMK Belara, sudah meninggal dunia hampir tujuh tahun lalu manakala abang dan kakaknya yang lain kini menetap di luar Terengganu.


“Kesihatan ibu pula tidak berapa baik dan dia tidak dapat menguruskan masalah saya hadapi, saya teringatkan arwah bapa kerana sekiranya dia masih hidup, mungkin saya tidak akan hidup merana seperti sekarang.


“Sebenarnya saya kurang gembira berada di rumah pada sesi persekolahan walaupun ia jauh lebih baik daripada apa terpaksa saya tempuhi ketika berada di sekolah,” kata gadis itu apabila ditemui di rumah kawan sekolahnya, Engku Noor Wahidah Engku Anuar, di Taman Desa Putra, Manir, kelmarin.


Engku Noor Wahidah turut dibuang sekolah kerana datang lewat dan kisahnya disiarkan kelmarin.


Farahanin berkata, dia mungkin dibuang sekolah kerana ada bersama Engku Noor Wahidah ketika bapa kawannya itu datang berjumpa guru disiplin dan pengetua sekolah Selasa minggu lalu untuk menyelesaikan masalah rakannya itu selepas didakwa lewat ke sekolah.

“Sebelum ini saya tidak pernah dibuang sekolah walaupun terpaksa menerima pelbagai hukuman yang menyakitkan dan memalukan di dalam bilik guru disiplin ataupun di khalayak ramai.


“Sebenarnya guru disiplin pernah memaksa saya menanggalkan baju dalam (camisole) di depan pelajar lain kerana saya memakai pakaian dalam berwarna merah jambu dan bukannya putih,” katanya.


Katanya, semua pakaian dalamnya dan pelajar lain termasuk coli bercorak bintik (polka dot) akan dirampas dan dipamerkan dalam bilik guru disiplin dan tidak dipulangkan kepada pelajar semula.


“Guru disiplin itu juga kerap menyelak tudung kami untuk melihat warna rambut kami dan sekiranya kami didapati menggunakan pewarna rambut yang bukan hitam, dia akan terus merobek rambut kami dengan gunting yang sentiasa berada di tangannya.

“Kalau nak diikutkan hati, ada baiknya juga saya dibuang sekolah kerana kini saya tidak lagi menjadi bahan kutukan dan penderaan guru disiplin sekolah yang saya anggap tidak berhati perut,” katanya yang pada masa sama mengaku risau dengan masa depan persekolahannya.


Bagaimanapun, katanya, dia mahu meneruskan pelajarannya sehingga selesai peperiksaan SPM kerana dia bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik yang baik dan memahami masalah dihadapi pelajar.


“Saya diberitahu memerlukan surat pembuangan sekolah untuk memohon belajar di sekolah lain, namun takut ke sekolah untuk bertanyakan hal ini kerana kemungkinan besar akan ditampar lagi guru itu,” katanya.


“Saya mengaku saya mungkin seorang pelajar yang kurang pintar dan mempunyai banyak masalah disiplin, namun saya juga seorang insan yang dahagakan pelajaran dan sedikit kasih sayang untuk berjaya seperti pelajar lain yang sempurna kehidupan mereka,” katanya.


Sementara itu, usaha mendapatkan komen pengurusan sekolah dan pejabat pendidikan negeri kelmarin gagal.


Namun, Pengerusi Jawatan Kuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata akan berusaha bertemu pelajar dan pihak pengurusan sekolah dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

myMetro: 24 April 2010

Pelajar kecewa diejek rakan

2010/04/24

KANGAR: Tertekan diejek rakan kerana cinta ditolak dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini, cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah terbabit, semalam.

KECOH...pelajar terbabit cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah, semalam.
KECOH...pelajar terbabit cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pelajar lelaki yang baru kematian bapa sebulan lalu bertindak nekad keluar dari bilik darjah dengan memecah cermin tingkap dan berdiri hujung koridor bangunan setinggi sembilan meter.


Dia bertindak demikian selepas tidak tahan diejek rakan sekelas dan aksi dramatiknya menyebabkan pelajar dan guru sekolah kelam-kabut. Tambahan pula ketika itu pelajar bersiap untuk pulang.


Ibu pelajar itu yang juga guru sekolah berkenaan serta datuknya turut berada di tingkat tiga bangunan berusaha memujuknya, tetapi tidak berhasil. Bagaimanapun, anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Kangar bertindak pantas menangkap pelajar dari belakang selepas mengumpan air.


“Saya difahamkan dia sebelum itu mengancam memukul dua pelajar perempuan di kelas sama apabila cintanya ditolak. Perbuatannya diperhati pelajar lelaki yang kemudian mengejeknya.


“Tambahan pula pelajar perempuan terbabit bercadang mengadu perbuatannya kepada guru hingga menyebabkan dia hilang kawalan lalu memecah cermin tingkap dan keluar untuk terjun tingkat tiga bangunan kelas,” kata seorang pelajar yang enggan dikenali.


Menurut pelajar itu, rakannya juga mengalami kerunsingan selepas kematian bapanya yang juga seorang pensyarah sebuah institut perguruan di Kangar, sebulan lalu.


Anggota pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira sejam memujuk sebelum menyelamatkan pelajar berkenaan.


Ketua Polis Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin yang berada di tempat kejadian berkata, remaja terbabit beberapa kali mengancam dengan mengangkat kaki untuk terjun bangunan hingga menimbulkan rasa cemas pasukan penyelamat dan guru.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk memujuknya supaya kembali ke bilik darjah, tetapi tidak berhasil. Selepas sejam, pasukan penyelamat menangkapnya daripada belakang.


“Dia meronta-ronta sambil menjerit dan cuba melepaskan diri untuk terjun semula, tetapi dihalang pasukan penyelamat,” katanya.


Menurutnya, siasatan lanjut dilakukan bagi mengetahui punca pelajar terbabit cuba terjun bangunan, tetapi tidak menolak berpunca akibat tekanan.

myMetro: 24 April 2010

Jumaat, 23 April 2010

30 tempat untuk guru lanjut pengajian PhD

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/04/23

Kementerian lulus 70 peluang sehingga peringkat Sarjana

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran meluluskan 30 tempat bagi guru melanjutkan pelajaran ke tahap ijazah kedoktoran (PhD) dan 70 untuk peringkat Sarjana bagi memberi peluang lebih ramai guru meningkatkan status akademik mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi berkata, pihaknya menerima peruntukan tambahan bernilai RM972.6 juta melalui peruntukan tambahan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu. “Penambahan peruntukan itu membolehkan kementerian mengisi beberapa perancangan untuk memantapkan sistem pendidikan negara kita termasuklah menggunakan RM1.2 juta bagi menawarkan 100 lagi tempat bagi guru melanjutkan pelajaran sama ada di peringkat PhD mahupun Sarjana.

“Malah, guru yang menyambung pengajian mereka itu juga akan menerima cuti belajar bergaji penuh,” katanya selepas majlis penyampaian bayaran elaun sara hidup nelayan Batu Pahat, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, RM15.3 juta lagi akan digunakan bagi menampung bayaran elaun sara hidup dan perjalanan guru membabitkan pertukaran, penempatan guru baru serta pengagihan semula guru.

“Ini juga termasuk bagi menyediakan elaun balik kampung bagi guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman kerana sebelum ini ramai guru yang ditempatkan di pedalaman terpaksa mengeluarkan belanja yang besar jika mahu pulang ke kampung.
“Kementerian juga memperuntukkan RM50 juta bagi menampung tuisyen 150,000 murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini,” katanya.

Puad berkata, kementerian turut memperuntukkan RM144 juta untuk memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan termasuk menambah 1,033 lagi kelas prasekolah di seluruh negara.

“Sehingga kini, hanya ada 7,511 kelas prasekolah yang dibuka di seluruh negara dan dengan peruntukan ini, penambahan lebih banyak kelas pra sekolah dapat dilakukan menjelang 2012.

“Dengan penambahan kelas prasekolah ini, kementerian mensasarkan 87 peratus generasi muda negara ini berpeluang mendapat pendidikan peringkat awal bermutu menjelang 2012 ini,” katanya.

Berita Harian Online: 23 April 2010