Selasa, 25 Februari 2014
TPM: Tiada arahan tukar guru tentang PBS
Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya dan Kementerian Pendidikan juga tidak pernah menganiaya mana-mana guru malah golongan itu bebas bersuara dalam menyatakan pendapat masing-masing.
"Saya tak keluarkan apa-apa arahan untuk mengambil tindakan (menukar) terhadap guru yang menentang PBS. Kalau ada (ditukar) mungkin berlaku melibatkan peringkat pentadbiran daerah, (tetapi tidak pasti) sama ada tindakan itu dibuat atas fakta lain atau hanya sebab guru berkenaan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PBS.
"Saya sudah memperjelaskan pendirian saya dan kementerian. Kita tidak mahu menganiaya sesiapa, kita bersikap adil dan tidak mahu dilihat zalim," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Kampung Bukit Dukong, Kajang dekat sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan menukarkan seorang guru, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari selaku Pengerusi Penaja Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) akan ditarik balik selepas kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaan PBS.
Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof mengumumkan guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga perkara itu diputuskan oleh kementerian dalam masa terdekat.
Muhyiddin berkata, walaupun guru bebas bersuara, tetapi perkara itu perlu mengikut prosedur bersesuaian berdasarkan pekeliling tertentu.
"Bagi saya, yang penting ialah kita dalam peringkat untuk menemukan cara baharu yang mampu memberi keadaan lebih baik kepada semua pihak jika dilaksanakan kelak.
"Ini (pelaksanaan PBS) akan kita umumkan apabila kementerian meneliti semua aspek," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau ketika ditanya tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pencatuan air bagi kawasan yang terjejas di negeri itu berkata, perkara tersebut sepatutnya dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Ini (merujuk SPAN) tertakluk kepada undang-undang yang mana boleh diputuskan selepas SPAN berpuas hati jika situasi di peringkat kritikal. Ini mungkin dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet oleh menteri bertanggungjawab tetapi belum ada keputusan mencatu.
"Jadi, kalau dibentangkan nanti kata paras air menurun, ada cara-caranya. Kita tidak mahu menyusahkan rakyat kata esok kita nak catu, kerana ini mesti ada persiapan. Kalau nak catu, maknanya pengguna (orang ramai) perlu ada persiapan," katanya.
Beliau berkata, makluman mengenai pencatuan air juga perlu dinyatakan melalui notis awal.
"Tetapi saya tidak tahu jika Menteri Besar ada kuasa, tetapi setahu saya, itu diletakkan di bawah SPAN dan ini diputuskan dalam mesyuarat Kabinet," tambahnya.
Utusan Online: 25 Februari 2014
Isnin, 13 Januari 2014
P. Kamalanathan ditumbuk bapa mertua guru minta pindah sekolah
Menurut laporan laman web Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional, insiden diberlaku pada jam 2.30 petang ketika ayah pemuda berkenaan berjumpa dengan Kamalanathan untuk memohon supaya menantu beliau yang mengajar di Johor ditukarkan ke Hulu Selangor.
Namun, ahli Parlimen itu memberitahu hanya boleh memberi sokongan sahaja kerana menantu beliau mengajar Bahasa Inggeris dan sukar mendapat kelulusan bertukar.
Dalam laporan polis beliau di balai Bukit Sentosa, Kamalanathan mendakwa pemuda itu kemudian berjumpanya dengan sekumpulan pemuda lain di pejabat beliau melepaskan satu tumbukan ke bahagian lehernya.
Polis Kuala Kubu Bahru juga mengesahkan menerima laporan timbalan menteri itu.
Astro Awani: 13 Januari 2014
Isnin, 6 Januari 2014
Nasional Lebihan guru punca pertukaran dibeku
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Kelantan mencatat jumlah lebihan guru paling ramai, iaitu 30,000, diikuti Terengganu dan Kedah, masing-masing mempunyai lebihan 10,000 guru.
Katanya, ramai guru berasal dari tiga negeri terbabit bertugas di luar terutama di Sabah dan Sarawak, memohon bertukar ke negeri kelahiran mereka, tetapi terpaksa ditangguhkan atas alasan itu.
“Antara masalah lain ialah mereka yang memohon tidak memenuhi kekosongan opsyen (aliran) yang diperlukan.
Ramai pemohon daripada aliran Bahasa Melayu, sedangkan keperluan ialah guru Bahasa Inggeris atau pemohonnya guru Sejarah tetapi keperluan adalah untuk mengajar Sains,” katanya.
Masyuarat khas
Sehubungan itu, Idris berkata, mesyuarat peringkat kementerian akan diadakan pertengahan bulan ini bagi membantu guru yang mempunyai alasan kukuh untuk bertukar seperti ibu atau ayah sakit, hendak bersama isteri atau suami yang sudah lama tinggal berjauhan selain masalah keselamatan atau sakit.
“Kementerian bersimpati dengan masalah yang disuarakan guru terbabit, terutama masalah keluarga seperti suami isteri yang berjauhan dan kesihatan ibu bapa,” katanya selepas menyampaikan bantuan pendidikan antara RM500 hingga RM1,000 kepada pelajar miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di sini, semalam.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, Kementerian Pendidikan akan menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di kantin sekolah seluruh negara bagi memastikan tiada kenaikan melampau yang boleh membebankan ibu bapa serta pelajar.
“Setakat ini, kementerian tidak menerima sebarang aduan daripada pentadbir sekolah atau ibu bapa mengenainya.
Pengusaha kantin sekolah tidak sepatutnya menaikkan harga makanan dan minuman atas alasan kenaikan harga barangan seperti gula sehingga membebankan pelajar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua ADUN dan Ahli Parlimen melaporkan kepada kementerian jika ada pelajar yang bermasalah dan tidak dapat bersekolah kerana dibelenggu kemiskinan.
Berita Harian: 6 Januari 2014
Sabtu, 28 Disember 2013
Tetapkan tempoh penempatan guru di pedalaman
Pontian, Johor
Kementerian Pendidikan dikatakan tidak menetapkan sebarang tempoh tertentu bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman.
Namun, elok jika ditentukan suatu tempoh perkhidmatan yang munasabah di kawasan pendalaman bagi seseorang guru supaya kita berlaku adil.
Tidak timbul masalah kekurangan guru jika diamalkan sepenuhnya peraturan ikut giliran. Guru yang baharu menamatkan pengajian ditempatkan di kawasan pedalaman untuk menggantikan guru yang memohon bertukar terutama yang sudah memenuhi tempoh mengajar di pedalaman.
Memang benar guru boleh memohon bertukar setiap tahun, namun dasar penempatan guru di pedalaman akan menjadi lebih jelas dan telus.
Guru boleh merancang dalam mengemukakan permohonan pertukaran. Mungkin ada guru berjaya menyesuaikan diri atau guru tempatan dan bersedia berkhidmat di pedalaman lebih lama dari tempoh yang ditetapkan.
Elaun khas mengajar di pedalaman bukan menjadi daya tarikan utama guru. Yang penting penetapan tempoh mengajar di pedalaman yang tidak terlalu lama boleh mendorong guru bersikap lebih terbuka dan bersedia ditempatkan di kawasan pedalaman.
Utusan Malaysia: 26 Disember 2013
Jumaat, 20 Disember 2013
Lebih 36,000 guru mohon pertukaran tahun lalu
Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan berkata jumlah itu merangkumi 19,678 permohonan guru sekolah rendah dan 16,455 guru sekolah menengah.
"Daripada jumlah ini hanya 18.93 peratus permohonan diluluskan iaitu merangkumi 2,778 guru sekolah rendah dan 4,063 sekolah menengah," katanya menjawab soalan Senator Ahamat@Ahamad Yusop di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Ahamat ingin tahu kriteria yang diguna pakai dalam penentuan kelulusan permohonan pertukaran guru dan statistik permohonan yang diterima serta peratusan diluluskan dan ditolak untuk lima tahun lalu.
Kamalanathan berkata, keperluan perkhidmatan dan kekosongan opsyen yang terdapat di negeri-negeri merupakan kriteria utama yang diambil kira dalam penentuan penempatan guru baharu dan kelulusan pertukaran guru.
Kementerian juga katanya bersedia menimbang permohonan pertukaran guru yang mempunyai alasan kukuh seperti ancaman keselamatan, sakit kronik, mengikut pasangan dan cukup tempoh perkhidmatan, mengikut keperluan dan kekosongan jawatan di negeri yang dipohon.
Katanya, bilangan guru di sesebuah negeri tidak boleh melebihi jumlah yang diluluskan mengikut waran perjawatan negeri berkenaan.
"Kementerian ini juga perlu memastikan keperluan opsyen yang kritikal diisi dengan guru opsyen berkenaan agar murid mendapat tenaga pengajar yang kompeten dan mencukupi," katanya.
- BERNAMA
Berita Harian: 20 Disember 2013
Selasa, 31 Julai 2012
Guru tunggu penempatan
Muar, Johor
Kalau diikutkan selepas tamat program KPLI ini, sepatutnya anak saya terus ditempatkan di sekolah di mana dia menerima latihan. Namun, ia disekat sementara kerana perlu menghadiri satu temuduga di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) supaya ditempatkan semula ke sekolah dengan gred DG 41.
Namun sehingga hari ini tiada satu pun kata putus dapat diberikan oleh mana-mana pihak berkaitan selain perkataan 'tunggu'. Baik pihak Kementerian Pelajaran atau SPP hanya memindahkan masalah ini daripada satu pihak ke pihak lain.
Anak saya ini sudah berkeluarga dan sepatutnya dia sudah ada kerja yang dapat menyara hidupnya sekeluarga. Tetapi sebaliknya terpaksa menunggu bagaikan menunggu durian jantan berbuah. Tiada satu pun tanda-tanda pihak Kementerian Pelajaran atau SPP akan memberi tarikh bila penempatan akan dibuat.
Saya ini hanya seorang pesara, tidak mampu untuk menanggung anak saya yang sudah berkeluarga itu. Dia sudah berusaha menjadi guru tuisyen yang hanya menjana pendapatan RM500 hingga ke RM700 sebulan.
Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2012
Khamis, 21 Jun 2012
Jawatankuasa khas tangani isu guru SJKC, SJKT
Beliau berkata jawatankuasa khas bagi menangani isu kekurangan guru di kedua-dua sekolah itu dipengerusikan secara berasingan oleh dua Timbalan Menteri Pelajaran.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu turut dianggotai wakil persatuan dan pertubuhan bagi masyarakat Cina dan Tamil serta kesatuan guru bagi membincangkan secara terperinci isu berkenaan serta mengenal pasti pendekatan terbaik mengatasi masalah itu.
Bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran, beberapa langkah turut diambil, antaranya memastikan guru mempunyai kelayakan dwibahasa termasuk bahasa Cina atau Tamil untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan Inggeris Tahap 1.
"Selain memastikan guru kelas pemulihan mempunyai kelayakan dwibahasa, kementerian menempatkan 98 graduan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mempunyai kepujian bahasa Cina ke SJKC dan 18 graduan yang mempunyai kepujian dalam bahasa Tamil ke SJKT pada 23 Mei lalu," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan M. Manogaran (DAP-Telok Intan) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - BERNAMA
Utusan Malaysia Online: 21 Jun 2012
Selasa, 19 Jun 2012
Kekurangan guru akan diatasi
Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran tidak dapat memenuhi tuntutan sebenar keperluan guru di sekolah-sekolah apabila rayuan diterima daripada guru setiap kali arahan perpindahan dikeluarkan.
"Guru adalah golongan yang dekat dengan masyarakat dan apabila telah tinggal lama di sesuatu tempat, sudah bersuami atau beristeri dan beranak-pinak.
"Apabila kami memerlukan pertukaran berlaku atau penempatan semula di tempat-tempat yang berlaku kekurangan guru, kami menghadapi masalah," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain rayuan daripada guru berkenaan, kadang-kadang wujud campur tangan orang politik yang memberikan surat sokongan supaya perpindahan tidak dilakukan.
Kosmo Online: 19 Jun 2012
Rabu, 13 Jun 2012
5,500 guru interim patut diserap ikut subjek
2012/06/13
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta supaya menyerap 5,500 guru interim sebagai guru tetap di sekolah yang masih lagi mengalami kekurangan guru mengikut keperluan subjek kritikal.Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu meneliti secara terperinci penempatan guru supaya ia dilakukan secara seimbang bagi menampung kekurangan guru.
Kelmarin, akhbar melaporkan kira-kira 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temu duga antara Januari hingga Mac akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai bulan ini.
Selain itu, NUTP turut meminta pihak kementerian supaya memberi tumpuan berhubung kenaikan gred lebih 10,000 guru yang sudah mendapat ijazah, namun, masih lagi menikmati gaji peringkat diploma.
Berita Harian Online: 13 Jun 2012
Selasa, 12 Jun 2012
5,500 guru interim diserap
Oleh Mohamed Farid Noh
2012/06/12
Surat tawaran penempatan graduan ke seluruh negara sedang diagihBATU PAHAT: Seramai 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temuduga antara Januari hingga Mac lalu akan ditempatkan di sekolah seluruh negara, mulai bulan ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata surat tawaran penempatan kepada semua graduan berkenaan yang sebelum ini dilantik sebagai guru interim (guru sementara) itu sedang diagihkan.
“Jika boleh tidak perlulah membuat rayuan untuk mendapatkan sekolah berhampiran rumah... jika dapat mengajar di Sarawak atau Sabah, terimalah dengan berlapang dada, demi mendidik anak bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian peruntukan RM1 juta kepada Sekolah Menengah Tinggi Cina Chong Hwa Rengit, dekat sini, semalam.
Mac lalu, Berita Harian melaporkan Kementerian Pelajaran giat mengumpul rekod terkini kekosongan guru di sekolah seluruh negara daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi calon graduan berkenaan yang selesai sesi temu duga oleh SPP, berakhir 16 Mac lalu.
Disember tahun lalu, 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).
Mereka mendakwa kementerian menganaktirikan mereka dan lebih mengutamakan GSTT untuk diserap sebagai guru tetap.
Sementara itu, Puad ketika ditanya sama ada pihaknya ada menerima permohonan pertukaran sekolah daripada guru yang sudah menerima surat tawaran penempatan itu berkata, buat masa ini tiada lagi permohonan sedemikian.
“Mungkin semua guru ini mempunyai semangat berkobar-kobar dan tidak kisah bertugas di mana saja mereka ditempatkan dan itulah yang kita harapkan daripada mereka,” katanya.
Berita Harian Online: 12 Jun 2012
Selasa, 22 Mei 2012
Sukarnya guru J-Qaf dapat kelulusan berpindah
Bintulu, Sarawak.
Pada tahun ini genaplah tujuh setengah tahun saya mengajar di Sarawak. Saya tidak dapat bertahan lagi untuk terus berada di sini.
Mengapakah sukar guru J-QAF diberikan peluang untuk bertukar berbanding dengan penjawat awam yang lain?
Saya mencadangkan apabila menawarkan program J-QAF ini, berikan syarat kepada pemohon baru dengan syarat mesti mengajar 10 tahun ke atas di negeri tersebut barulah akan dapat bertukar.
Tidakkah dihargai pengorbanan kami yang sanggup datang ke sini? Kalau diberikan had masa pada setiap orang untuk berkhidmat di sini, saya yakin setiap orang akan mengajar dengan penuh ikhlas dan dedikasi di samping menimba pengalaman di negeri orang.
Baru-baru ini terdapat pegawai- pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang menabur janji kami guru J-QAF ambilan 2005. Contohnya seperti sekolah saya sendiri, KPM telah menghantar lima guru J-QAF baru menjadikan jumlah kami sembilan orang. Janjinya guru J-QAF 2005 akan dipindahkan.
Tetapi pada 19 Mei 2012, tiada seorang pun guru J-QAF dari sekolah saya yang dapat berpindah. Tidakkah ada belas kasihan dari JPN Sarawak sendiri terhadap permasalahan kami dan tidak adakah pegawai pegawai J-QAF di sana untuk membantu?
Sampai bilakah pula nasib begini akan diwarisi kepada adik-adik J-QAF kami yang seterusnya jika kami terus dirantai di sini?
Saya mohon fahamilah dan berikan perhatian pada permohonan kami. Juga dengan kehidupan kami yang sudah berkeluarga untuk membina kehidupan yang sempurna. Tambahan pula kemudahan kargo telah ditarik balik oleh kerajaan. Apa yang kami dapat setelah bertahun-tahun bekerja kerana barang yang dibeli terpaksa ditinggalkan atau dijual dengan harga yang murah?
Belum lagi pelbagai masalah seperti berjauhan dengan suami, anak dan isteri seperti diambil enteng oleh pihak KPM dan JPN Sarawak.
Saya amat berharap berilah perhatian kepada permohonan kami.
Janganlah membuat penilaian seperti 'mencurah air ke daun keladi'. Fikirlah jika masalah seperti ini berlaku kepada anak-anak kalian sendiri.
Janganlah biarkan masalah ini terus diwarisi kerana banyak pihak yang teraniaya.
Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2012
Khamis, 10 Mei 2012
Beri nombor giliran calon gagal
Kota Bharu, Kelantan.
Mengambil sempena siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteeri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 April lalu, saya ingin memberi cadangan penambahbaikan dalam aspek pertukaran guru. Ini sebagai usaha memartabatkan profesion perguruan dan memartabatkan sistem pendidikan negara.
Rasionalnya, pada setiap sesi permohonan pertukaran guru (sama ada pada sesi Januari atau Jun setiap tahun) bagi sesebuah negeri, terdapat sejumlah guru yang layak dipertimbangkan untuk bertukar masuk.
Bagaimanapun mereka gagal dalam permohonan bagi sesi tersebut, walaupun menepati syarat pertukaran (seperti mengajar opsyen subjek yang terdapat kekosongan di sesebuah negeri), kerana situasi kekosongan tempat yang terhad bagi sesebuah negeri.
Ini jelas dapat dilihat bagi kes-kes permohonan masuk ke negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang dikategorikan sebagai kritikal.
Oleh itu, bagi kumpulan guru yang 'layak tetapi gagal' dalam sesi permohonan pertukaran semasa, seharusnya diberikan nombor giliran sebagai keutamaan untuk diluluskan permohonan pertukarannya dalam sesi permohonan pertukaran akan datang.
Pemberian nombor giliran kepada setiap guru yang memohon pertukaran ini boleh dipraktikkan, dengan syarat permohonan yang dibuat oleh seseorang guru tersebut adalah konsisten, iaitu melibatkan sebuah negeri yang sama sahaja pada setiap sesi permohonan.
Saya berharap agar Bahagian Pengurusan Sekolah Harian yang menguruskan permohonan pertukaran guru bagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), dapat mencuba idea untuk menyediakan sistem nombor giliran atau ranking bagi permohonan pertukaran guru antara negeri.
Pengenalan sistem ini diharap mampu meredakan prejudis dan tohmahan kepada KPM yang dikatakan mementingkan 'kabel', dan pelbagai lagi tuduhan tidak benar dalam soal menguruskan permohonan pertukaran guru.
Selamat Menyambut Hari Guru 2012.
Utusan Malaysia Online: 10 Mei 2012
Ahad, 6 Mei 2012
Dong Zong undur tidak beri kesan
2012/05/06
Isu atasi kekurangan guru CinaKUALA LUMPUR: Keputusan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) untuk menarik diri daripada jawatankuasa khas mengatasi kekurangan guru di sekolah rendah Cina tidak akan menjejaskan tugas jawatankuasa itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.
Beliau berkata, jawatankuasa khas itu yang ditubuhkan atas arahan Kabinet akan meneruskan tugas bersama pihak berkepentingan lain kerana ia dibentuk dengan niat jujur mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Kelmarin, Pengerusi Dong Zong, Yap Sin Tian mengumumkan bahawa pergerakan pendidikan Cina itu menarik diri daripada menyertai jawatankuasa itu sambil mendakwa tidak guna menyertai 'jawatankuasa yang bukan badan pembuat dasar' dan 'tidak berupaya menangani masalah penting' yang dihadapi sekolah Cina.
Yap juga mendakwa jawatankuasa itu hanya boleh menangani isu teknikal dan menyelesaikan masalah berdasarkan kes demi kes.
Wee bagaimanapun menerangkan bidang kerja jawatankuasa khas itu sudah diperjelaskan untuk mengendalikan masalah guru, tidak kira sama ada ia berbentuk teknikal atau di peringkat dasar.
Beliau berkata jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh beliau setakat ini telah menjalankan pelbagai usaha mengikut pelan lapan perkara untuk menyelesaikan isu itu termasuk menghantar guru yang tidak mahir berbahasa Mandarin mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.
Berita Harian Online: 6 Mei 2012
Rabu, 2 Mei 2012
Upah samseng halau cikgu
am@hmetro.com.my
PETALING JAYA: Seorang guru wanita yang mengajar di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Damansara di sini, mendakwa hidup dalam trauma dan ketakutan selepas diganggu serta diugut sekumpulan samseng yang dipercayai diupah ibu bapa pelajar yang tidak berpuas hati mangsa mengajar di sekolah berkenaan.
Menurut sumber, guru berkenaan yang berusia 40 tahun menerima lima ugutan sejak 10 April lalu dan ugutan terbaru diterima ketika berada di tempat letak kereta rumahnya, jam 10 pagi, Sabtu lalu.
“Ketika kejadian itu, mangsa yang menuju keretanya dihampiri seorang lelaki tidak dikenali dan memarahinya kerana masih mengajar di sekolah itu walaupun beberapa kali diberi amaran supaya berpindah.
“Lelaki terbabit yang juga orang sama mengganggunya sebelum ini mengugut dengan mengeluarkan perkataan ‘esok akan mati jika kau berdegil’ dan berpindah dari sekolah berkenaan,” katanya, semalam.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Damansara. Sumber berkata, sekumpulan samseng terbabit turut mengekori guru berkenaan ke mana saja mangsa pergi termasuk membuat gangguan di rumah pada waktu malam apabila pintu rumah diketuk berulang kali.
“Siri gangguan terhadap mangsa bermula selepas isu penggunaan bahasa Melayu di sekolah berkenaan ditimbulkan segelintir ibu bapa pelajar yang tidak sependapat dengan pentadbiran sekolah pada hujung tahun lalu.
“Mangsa yang mengajar subjek Bahasa Melayu menyediakan kertas ujian pelajar dalam bahasa itu dan tindakan itu menyebabkan ibu bapa pelajar terbabit tidak berpuas hati. “Mangsa yang tidak tahan dengan gangguan itu membuat laporan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Utama dan memohon untuk ditukarkan sekolah lain kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadapnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
myMetro: 2 Mei 2012
Jumaat, 27 April 2012
Muhyiddin: Graduan pendidikan IPTA akan diserap ke sekolah mulai Mei ini
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 29 daripada 4,859 graduan pendidikan yang berjaya dalam temuduga berfasa yang diadakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) telah diberi penempatan di Pusat Anak Permata Negara sejak 8 April lepas.
"Baki seramai 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa dengan penempatan Fasa Satu akan dilaksanakan pada 23 Mei ini dengan melibatkan 4,671 graduan.
"Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata baki 159 orang graduan pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa Dua pada Julai ini.
Muhyiddin berkata kesemua graduan yang berjaya itu merupakan antara 5,510 graduan IPTA yang mendapat panggilan temuduga daripada SPP mulai Januari lepas.
Daripada jumlah itu, SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap, sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila tidak hadir temuduga, katanya.
Beliau berkata kesemua mereka merupakan graduan daripada Universiti Utara Malaysia (90 orang), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017).
Universiti Putra Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).
Muhyiddin juga berkata kementerian telah melantik seramai 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan tersebut sebagai guru interim bagi memenuhi keperluan guru di Sekolah Menengah.
"Berikutan penempatan ini, perkhidmatan guru interim tersebut akan ditamatkan. Walau bagaimanapun, guru interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei ini berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT," katanya.
Muhyiddin berkata bagi 2,484 graduan J-QAF Institut Pendidikan Guru yang akan menamatkan pengajian pada Jun ini, mereka akan melalui temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata urusan temuduga dan pengambilan graduan dari institusi pengajian tinggi swasta tidak dapat dijalankan pada masa ini kerana kementerian memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah dianjurkan oleh kementerian itu lebih awal kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
"Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan Kementerian Pelajaran," katanya.
Para graduan boleh melayari laman web www.spp.gov.my bagi mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan kementerian sedikit masa lagi.- Bernama
Sinar Harian: 27 April 2012
Isnin, 9 April 2012
Guru Pendidikan Islam kecewa JPN Kelantan mungkir janji?
Ulu Kelantan
SAYA adalah antara kumpulan Guru Pendidikan Islam (GPI) yang dihantar berkhidmat ke dua daerah pedalaman di Kelantan iaitu Kuala Krai dan Gua Musang bagi sesi 2010.
Sewaktu di arah bertukar, secara hitam putih tidak dinyatakan sebab-sebab kenapa kami ditukarkan walaupun telah puluhan tahun berkhidmat di daerah masing-masing.
Setelah diberi janji mulut bahawa pertukaran kami adalah di bawah program pertukaran JPN Kelantan yang membuat giliran guru di bandar dimestikan bertugas selama dua tahun di kawasan pedalaman.
Sebelum ini program tersebut berjalan baik, walaupun ramai juga guru yang tidak sanggup berkorban diri dengan membatalkan surat pertukaran atas kapasiti politik. Namun apabila tiba giliran kumpulan kami, janji tersebut bagai sengaja dimungkiri dengan alasan bilangan guru di pedalaman yang kritikal.
Kami menjadi mangsa keadaan kerana memo pertukaran dikeluarkan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), sedangkan urusan pertukaran kini adalah di bawah Sektor Pengurusan Sekolah sepenuhnya. Sudah hilangkah data perkhidmatan kami untuk dilihat kembali?
Sepatutnya apabila cukup tempoh dua tahun pada akhir tahun lepas, kumpulan guru lain pula sepatutnya ditukar ke kawasan pedalaman ini bagi menggantikan kumpulan kami, jika dasar 'kesusahan sama dirasa' dipraktikkan dengan adil.
Pihak JPN barangkali memandang remeh bakti kami selama dua tahun di kawasan ulu Kelantan, walaupun ramai antara kami yang sudah memiliki keluarga dan kediaman tetap di PPD asal. Ada yang terpaksa berulang alik dengan kenderaan sendiri, bas dan kereta api seawal jam 4 pagi ke tempat bertugas.
Urusan keluarga sudah menjadi tidak terurus kerana terpaksa turun awal dari rumah dan pulang pada lewat petang atau hanya sempat menjenguk keluarga pada setiap hujung minggu sahaja, itu pun jika tidak ada aktiviti di sekolah.
Saya mewakili rakan-rakan senasib memohon jasa baik JPN Kelantan untuk memberi perhatian terhadap kes kami ini, semoga program murni ini dapat diteruskan dengan sebaik-baiknya.
Utusan Malaysia Online: 9 April 2012
Jumaat, 6 April 2012
Timbalan Perdana Menteri jawab isu sekolah Cina
JAWATANKUASA khas yang telah ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran untuk menangani isu kekurangan guru di SJKC sebagaimana yang diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri adalah bukti kerajaan benar-benar komited dan serius dalam menyelesaikan isu tersebut dengan segera dan efektif.
Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, langkah-langkah sistematik, dasar yang seragam dan berterusan telah dan sedang pun diambil untuk menangani isu kekurangan guru di SJKC.
Oleh itu, saya berharap masyarakat Cina menyambut baik langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang yang diumumkan oleh jawatankuasa tersebut pada 20 Mac lalu kerana sekolah rendah jenis kebangsaan tidak pernah diasingkan daripada sistem pendidikan negara kita.
Langkah yang diambil ini juga bukan kerana tekanan yang dibuat oleh mana-mana pihak dan kesimpulan bahawa kerajaan telah mengambil langkah tersebut hanya setelah tekanan dibuat oleh pihak-pihak tertentu adalah tidak benar.
Isu ini perlu diperjelaskan agar gambaran sebenar dapat diberikan untuk menangkis dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap kerajaan dan Kementerian Pelajaran.
Dalam usaha memastikan proses pembelajaran dan pengajaran SJKC di seluruh negara berjalan lancar setiap tahun, Kementerian Pelajaran telah berusaha bersungguh-sungguh mengisi kekosongan guru-guru di SJKC.
Pada tahun 2009 terdapat kekurangan guru seramai 4,991, pada tahun berikutnya jumlah ini telah dikurangkan kepada 3,043, pada tahun 2011 jumlahnya menurun kepada 2,720 dan akhirnya pada tahun ini kekurangan guru di SJKC adalah hanya seramai 1,874.
Daripada jumlah ini, Kementerian Pelajaran telah melantik sejumlah 1,482 guru interim untuk mengisi kekosongan tersebut. Baki kekurangan di SJKC hanyalah tinggal 392 orang yang mana Guru Besar SJKC diberi kebenaran mencadangkan calon guru interim untuk dilantik oleh Jabatan Pelajaran Negeri.
Kementerian Pelajaran telah memperuntukkan sejumlah 38,047 jawatan guru bagi SJKC. Sehingga 31 Januari 2012 seramai 36,173 guru terlatih telah ditempatkan di semua sekolah SJKC.
Sebanyak RM1.8 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk membayar gaji guru-guru dan operasi-operasi mengurus di SJKC di seluruh negara.
Pada masa ini terdapat 1,294 buah SJKC di seluruh negara. Dari 1,294 sekolah, sebanyak 455 adalah sekolah kurang murid (kurang 150 murid).
Saya menyeru kepada semua pihak supaya berhenti mempolitikkan isu-isu pendidikan Cina dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan kualiti dan kemajuan pendidikan di semua sekolah, sama ada sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan dengan tujuan menambah daya saing kita bagi menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang.
Jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong telah mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan pendidik Cina dan pemegang amanah lain untuk menangani masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Cina. Ini telah menghasilkan pelan lapan perkara yang telah dipersetujui oleh kerajaan.
Jawatankuasa ini telah empat kali bermesyuarat dengan pihak yang berkepentingan dan telah menerima segala input diberikan oleh semua pihak.
Mesyuarat tersebut telah diadakan pada:
* 5 Mac 2012 bersama-sama Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Persatuan Guru Besar SJKC
* 8 Mac 2012, BPPDP, BPG, SPP, IPGM, BPSH, Persatuan Guru Besar SJKC , Dong Zhong, Jiao Zhong, Hua Zhong, dan National Union of the Teaching Profession (NUTP)
* 16 Mac 2012, BPPDP, BPG, SPP, IPGM, BPSH, Persatuan Guru Besar SJKC, Jiao Zhong, Hua Zhong, dan NUTP ( Dong Zhong- tidak hadir)
* 23 Mac 2012, BPPDP, BPG, SPP, IPGM, BPSH, Persatuan Guru Besar SJKC, Jiao Zhong, Hua Zhong, dan NUTP ( Dong Zhong- tidak hadir)
* 2 April 2012, BPPDP, BPG, SPP, IPGM, BPSH, Persatuan Guru Besar SJKC , Jiao Zhong, Hua Zhong, NUTP dan Dong Zhong
Untuk memastikan keputusan Jawatankuasa itu dilaksanakan seperti mana yang dipersetujui, satu mesyuarat penyelarasan tindakan Susulan Jawatankuasa Khas Menangani Guru SJKC telah diadakan pada 27 Mac 2012 bersama-sama BPPDP, BPG, IPM, NUTP, dan BPSH (sebagai urusetia).
Untuk permasalahan kekosongan jawatan guru di SJKC
Bagi mengatasi masalah kekurangan guru, sebanyak 1,482 guru interim telah pun diagihkan kepada semua negeri, manakala baki 392 guru interim dibenarkan dilantik pada 1 April 2012 lalu.
Guru-guru interim ini akan berkhidmat sehingga pengisian oleh guru terlatih dapat dilaksanakan sepenuhnya dan tertakluk kepada kekosongan sebenar berdasarkan Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan diluluskan.
Pada 27 Mac 2012, Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan surat pelanjutan perkhidmatan guru-guru interim di SJKC. Bagi melaksanakan agenda tersebut, pihak guru besar SJKC boleh mencalonkan guru-guru yang memenuhi syarat dan pelantikan akan dilakukan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.
Untuk permasalahan guru pemulihan yang tidak mempunyai kelayakan dwibahasa
Tentang permasalahan guru pemulihan yang tidak mempunyai kelayakan dwibahasa, Lembaga Pengelola SJKC berpendapat tindakan memindahkan 100 guru tersebut adalah wajar kerana guru-guru tersebut tidak boleh bertutur dan menulis menggunakan bahasa itu.
Pada mereka persoalannya adalah bagaimanakah guru-guru ini dapat berinteraksi dengan murid-murid pemulihan yang sudah tersedia lemah.
Kementerian Pelajaran telah membuat penyemakan terperinci di atas dakwaan lebih kurang 100 orang guru pemulihan tiada kelayakan bahasa Cina dan mendapati ada dalam kalangan guru-guru ini mempunyai kredit dalam Bahasa Cina.
Seramai tujuh orang guru didapati mempunyai kelayakan Bahasa Cina iaitu 2 orang di Melaka (SJKC Chabau dan SJKC Pay Hsien), 2 orang di Sarawak (SJKC Chung Hua, Sibuti dan SJKC Chun Hua Serian), seorang di Selangor (SJKC Hin Hua) dan 2 orang di Johor (SJKC Sengkang, Kulaijaya dan SJKC Ban Foo)
Oleh itu, Kementerian Pelajaran menetapkan guru-guru yang mempunyai kelayakan bahasa Cina akan terus kekal di sekolah tersebut sementara guru-guru lain akan ditempatkan semula ke sekolah kebangsaan mulai 16 April 2012 sebagaimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kekurangan Guru SJKC pada 2 April 2012.
Untuk permasalahan guru-guru opsyen kajian sosial yang tidak berkelayakan Bahasa Cina
Seramai 17 orang guru Kajian Sosial dengan minor Bahasa Melayu telah ditempatkan di daerah Klang, Selangor. Semakan dibuat oleh Kementerian Pelajaran mendapati seorang daripada mereka mempunyai kelayakan Bahasa Cina dan akan dikekalkan di sekolah sedia ada (SJKC Chung Hua).
Sementara itu, 16 orang guru ini akan dipindahkan ke sekolah kebangsaan. Seorang guru Kajian Sosial yang ditempatkan di Melaka telah diganti dengan seorang guru pengajian Cina (SJKC Chabau) manakala seorang lagi guru di SJKC Chung Hwa, Subis. Semua guru ini akan dipindahkan berkuat kuasa pada 16 April 2012.
Untuk permasalahan kelayakan dwibahasa guru opsyen Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
Pengajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di Tahap 1 di SJKC Gred A dan B akan diajar oleh guru yang berkelayakan mengajar Bahasa Cina sekurang-kurangnya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia .
Bagi Sekolah Kurang Murid pula , bagi tahap 1 dan 2 bagi pengajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris akan diajar oleh guru-guru yang berkelayakan Bahasa Cina sekurang-kurangnya peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Inisiatif jangka panjang bagi menangani kekurangan guru SJKC
BPG dan IPGM sedang merangka Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) untuk guru-guru bukan opsyen BM/BI dan mengajar mata pelajaran selain Bahasa Cina lebih dari 5 tahun.
Kursus ini dijangka bermula selewat-lewatnya akhir tahun ini, supaya tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Kerajaan telah mengemukakan perancangan mengikut keperluan di SJKC dan mekanisme untuk melatih bukan sahaja guru-guru yang terlatih di dalam Bahasa Cina tetapi juga penambahan pensyarah-pensyarah Pengajian Cina.
Buat masa ini terdapat 72 pensyarah Pengajian Cina di IPG seluruh Malaysia. Kementerian Pelajaran telah bersetuju untuk mengambil 30 lagi pensyarah Pengajian Cina bagi mempertingkatkan kapasiti latihan guru.
Permohonan untuk menjadi pensyarah di IPG, termasuk jawatan pensyarah Pengajian Cina telah dilaksanakan mulai 13 Mac hingga 30 Mac 2012.
Pada ketika ini pihak urus setia di IPGM Kementerian Pelajaran sedang memproses permohonan dan pengambilan akan dibuat pada 1 Jun 2012. Pengambilan pensyarah dilaksanakan secara berterusan.
Iklan untuk pengambilan pensyarah ini telah pun ditutup pada 30 Mac lalu.
Sebagai langkah penambahan guru terlatih di SJKC, Kementerian Pelajaran juga telah menyemak dengan SPP dan mendapati dalam kalangan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam yang telah ditemu duga, terdapat seramai 105 orang yang mempunyai kelayakan BC di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Oleh itu, Kementerian Pelajaran telah bersetuju akan melantik mereka untuk berkhidmat di SJKC dalam tempoh yang terdekat.
Langkah-langkah yang diambil ini jelas menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam menyelesaikan isu yang dianggap berlarutan oleh masyarakat Cina.
Walau bagaimanapun, saya telah mengarahkan supaya Jawatankuasa ini terus mengadakan sesi perbincangan dan maklum balas serta mengumpul input dengan kesemua pihak yang berkepentingan dan melihat semua pandangan diutarakan dengan mengambil kira semua aspek dan mencari jalan penyelesaian jika ada isu-isu lain yang diketengahkan.
Utusan Malaysia Online: 5 April 2012
Isnin, 2 April 2012
e-mel anda: Pensyarah kokurikulum tiada pendidikan sukan
SAYA pensyarah Kolej Matrikulasi di selatan tanah air yang bertugas sejak ia ditubuhkan. Untuk pengetahuan semua, syarat kemasukan menjadi pensyarah kokurikulum di Kolej Matrikulasi mesti berkelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan atau Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).
Sesuatu yang menghairankan saya, bagaimana terdapat pensyarah baru bukan opsyen Sains Sukan atau PJK boleh di tempatkan di Unit Kokurikulum Kolej Matrikulasi?
Malah, terdapat juga pensyarah baru berkenaan tidak tahu langsung hal berkaitan sukan.
Saya pelik bagaimana pensyarah baru mahu mengajar sedangkan mereka tidak tahu langsung hal sukan.
Saya berpeluang berbual dengan mereka, macam mana berminat memasuki matrikulasi?
Alangkah terkejut saya apabila diberitahu mereka masuk ke Kolej Matrikulasi disebabkan pelawaan orang tertentu di Bahagian Matrikulasi di Kementerian Pelajaran Malaysia hanya untuk memenuhkan kuota perjawatan DG 48 yang terdapat di kolej matrikulasi.
Persoalannya sekarang, kenapa perkara ini berlaku? Saya harap pihak berkenaan menjelaskan terutama pihak Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran berkaitan hal ini.
PENCINTA KMNS
myMetro: 2 April 2012
Sabtu, 31 Mac 2012
Sekolah Cina, Tamil tidak dipinggir
utusanN9@utusan.com.my
KUALA PILAH 30 Mac – Kementerian Pelajaran mengulangi ketegasan tidak pernah meminggirkan mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebaliknya sentiasa berusaha untuk menangani segala isu yang timbul dengan cara terbaik.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menjelaskan, pihak kementerian telah melaksanakan pelbagai cara termasuk menyediakan guru berkelayakan di kedua- dua sekolah berkenaan menerusi penyelesaian jangka pendek dan panjang.
‘‘Kita memanggil semua pihak untuk memberikan pandangan termasuk Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong), mereka tidak perlu mengadakan demonstrasi kerana kita telah mengemukakan penyelesaian.
‘‘Penyelesaian kita dari segi jangka masa pendek adalah dengan melantik guru interim mengisi kekurangan guru sama ada di SJKC atau SJKT, selain kita telah pun beritahu kita akan laksanakan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).
‘‘Sementara jangka panjang pula, kita akan cuba mengatasi kekurangan guru di sekolah terbabit yang mana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bersetuju untuk terima guru sementara yang memegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), namun ia tidak mencukupi,” katanya.
Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Perkhemahan Integrasi Pasukan Badan Beruniform Agensi Bukan Kerajaan Sekolah Menengah Peringkat Negeri dan Perasmian Surau Kem Rimba Ilmu di Kampung Terusan dekat sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab tuduhan salah guna kuasa dan kronisme oleh pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin melalui sesi debat.
Tegas beliau, terlalu banyak isu dan tuduhan dilontarkan oleh Raja Petra dilaporkan dalam Malaysia Today yang memerlukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjelaskannya termasuk isu saman Bank Hong Leong melibatkan perjanjian kemudahan pinjaman bersindiket berjumlah RM445 juta, kira-kira 14 tahun lalu.
‘‘Beliau seringkali menuduh kerajaan mengamalkan kronisme dan ketelusan. Jadi apabila tuduhan ini dikeluarkan oleh Raja Petra, Anwar perlu menjawabnya dengan cara gentlemen dan tidak perlulah hendak berdebat dengan Perdana Menteri sedangkan banyak lagi isu yang beliau perlu jawab.
‘‘Pada saya ia jelas membuktikan kronisme dan salah guna kuasa berlaku semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dan ini amat serius kerana melibatkan kepentingan peribadi dan keselamatan negara,” katanya.
Utusan Malaysia Online: 31 Mac 2012
Rabu, 28 Mac 2012
Tambah guru kaunseling
“PERANAN guru kaunseling besar. Mereka bukan saja membimbing pelajar supaya tidak tercicir dalam pendidikan, malah memahami hala tuju kerjaya pada masa depan,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, bidang tugas guru kaunseling pula meliputi empat aspek iaitu pembangunan dan pengembangan sahsiah diri, peningkatan disiplin, pendidikan kerjaya, serta psikososial dan kesejahteraan mental pelajar.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia menyasarkan setiap guru kaunseling di sekolah memberi kaunseling kepada lima pelajar secara individu atau lapan hingga 10 pelajar bagi satu kumpulan setiap minggu.
“Ia selaras dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai setiap guru untuk meningkatkan bilangan pelajar yang perlu diberi kaunseling,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas isu keciciran pelajar dari peringkat sekolah hingga universiti, Dr Mohd Puad berkata, sebenarnya berlaku intervensi iaitu pelajar melanjutkan pelajaran mengikut hala tuju kerjaya, antara lain memasuki pusat kemahiran, kolej matrikulasi serta kolej komuniti.
Mengenai masalah disiplin pelajar yang berkaitan peranan guru kaunseling, Dr Mohd Puad berkata, kadar gejala itu merosot kepada 2.06 peratus pada 2009 dan 2010 berbanding 2.10 peratus pada 2007, sebelum menurun lagi kepada 2.05 peratus tahun lalu.
Terdahulu ketika menjawab pertanyaan asal Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus), beliau berkata, sehingga 30 Januari lalu, 9,713 guru kaunseling di seluruh negara iaitu 4,033 di sekolah rendah dan 5,680 lagi sekolah menengah.
Menurutnya, nisbah guru kaunseling sepenuh masa (GKSM) ialah seorang GKSM bagi 350 hingga 850 pelajar di sekolah rendah dan seorang GKSM bagi 500 pelajar di sekolah menengah.
“Kementerian bercadang mengurangkan nisbah ini kepada sekurang-kurangnya seorang guru kaunseling bagi 300 pelajar.
“Kita sudah mengemukakan kertas cadangan itu kepada Bahagian Sumber Manusia, tetapi belum ada keputusan kerana ini membabitkan soal perjawatan dan faktor kewangan,” katanya.
myMetro: 28 Mac 2012