• Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin
1 / 1
KUALA LUMPUR - Kerajaan tetap bertegas untuk meneruskan segala perakuan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, pentingnya kerajaan melakukan sedemikian untuk melaksanakan PPPM itu demi pendidikan negara.

"Saya selaku Menteri Pendidikan yang diberi amanah kerajaan tidak akan berdolak dalih. Kerajaan akan terus bersikap tegas untuk laksanakan segala perakuan yang telah  dibuat dalam plan ini.

"Tidak kira suara yang datang dari pihak manapun kerana tujuan matlamat digariskan dalam plan ini untuk mengangkat martabat masyarakat Malaysia agar kedudukan sistem pendidikan negara kita berada lebih tinggi," katanya dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau turut menyarankan Biro Pendidikan Umno yang sudah lama tertubuh di semua bahagian mengambil peranan utama kehadapan dalam plan tersebut.

"Bukan setakat mengetahui wujudnya PPPM ini tetapi terlibat secara langsung untuk diterjemahkan di semua peringkat akar umbi.

"Kerana tiada anggota kita terkecuali mendapat faedah dengan pelan ini," katanya.

Dalam ucapannya, beliau juga menyarankan agar Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dijadikan dasar utama untuk menyebarluaskan ilmu dan kefahaman tentang Islam.

"Saya telah berbincang dengan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak agar Kolej Komuniti diperluaskan peranannya sebagai Kolej Komuniti Islam mengenai Pendidikan Islam.

"Di mana program latihan khusus dilaksanakan sebagai sebahagian pendidikan sepanjang hayat dapat diintegrasikan dengan program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat," katanya.

Beliau berkata, setakat kini telah wujud 85 Kolej Komuniti dan program-pogram yang berkaitan Pendidikan Islam justeru beliau sarankan akan pendekatan itu dimasukkan dalam program kolej-kolej yang berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, modul pendidikan islam Ulul Albab juga akan diperluaskan perlaksanaannya bermula tahun hadapan.

"Setakat ini ada empat sekolah bantuan kerajaan di Terengganu telah laksanakan modul ini. Untuk luaskannya, kerajaan akan libatkan sebuah sekolah agama setiap negeri pula bermula tahun 2014," katanya.

"Menerusi modul ini, pelajar bukan sahaja belajar pelajaran biasa tetapi mereka sasarkan khatam hafazan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya pelajar bukan sahaja memiliki ilmu dunia tetapi juga penghayatan Islam," katanya.

Sinar Harian: 7 Disember 2013