Isnin, 20 Januari 2014
Perlu pengalaman dan kaedah mantap
Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai penawaran tangga gaji lebih tinggi kepada guru yang mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) menunjukkan betapa komitednya kerajaan menaikkan martabat guru.
Biarpun mungkin segelintir pihak melihatnya tidak adil, secara positif ia bakal meningkat taraf profesion pendidik.
Ia juga dianggap pencetus semangat kepada guru lain mengejar taraf pendidikan serupa bagi menikmati ganjaran ditawarkan.
Bagaimanapun, masih boleh dipersoalkan taraf dan kualiti guru itu sama ada mampu mempunyai kelebihan berbanding guru bertaraf ijazah sarjana muda, diploma atau sijil.
Adakah mereka yang lebih tinggi kelayakan ini boleh memberi impak lebih besar kepada dunia pendidikan negara dengan sumbangan idea lebih jitu serta menggalas tanggungjawab lebih komited.
Atau hanya sekadar tinggi kelayakan, namun kredibiliti masih di takuk lama?
Dekan Pusat Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata kelayakan dan ganjaran yang lebih tinggi perlu diiringi dengan pencapaian lebih hebat dan berkualiti.
Beliau berkata, biarpun ada segelintir menganggap kelulusan tidak dapat menggambarkan secara tepat kemampuan sebenar, secara logik mereka yang mempunyai ijazah sarjana atau Phd memiliki kelebihan ilmu.
“Justeru dengan kelebihan ini, pastinya tahap intelektual mereka lebih ke hadapan dengan idea atau cara pembelajaran lebih baik.
“Ini berpadanan dengan kelayakan disandang serta ganjaran diperoleh selain memanfaatkan demi kesejahteraan menyeluruh,” katanya.
Bagaimanapun, perkara itu adalah subjektif kerana terpulang kepada mereka untuk mentafsirkan kelebihan atau kebolehan masing-masing.
“Sebenarnya terpulang pada individu (guru) untuk menunjukkan kebolehan atau kelebihan semasa proses pembelajaran dan pengajaran.
“Namun, pastinya mereka yang mempunyai kelayakan lebih tinggi mempunyai lebih banyak keistimewaan.
“Dalam konteks ini, dua aspek perlu dilihat sama ada melalui kandungan atau pedagogi (kemahiran) guru sendiri ketika melaksanakan tugasan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam berkata kelayakan atas sekeping kertas bukan penentu kejayaan total kemampuan guru.
“Rasionalnya belajar untuk memperoleh sijil, diploma dan ijazah sarjana muda prosesnya tidak akan sama untuk memperoleh ijazah sarjana atau PhD.
“Di situ wujud kelebihan dan perbezaan.
“Bagaimanapun, untuk menjadi guru yang baik bukan saja memerlukan kelayakan, tapi elemen lain seperti pengalaman dan kaedah pembelajaran mantap,” katanya mengakui ganjaran diberikan itu sepatutnya menaikkan semangat guru untuk gigih berusaha.
“Guru adalah golongan istimewa yang jasanya sukar dibalas.
“Dan, kerana keistimewaan itu mereka perlu diletakkan pada satu tahap istimewa untuk lebih dihormati.
“Penghargaan penting bukan saja untuk menghargai jasa mereka, malah mengembalikan kegemilangan golongan itu yang semakin tercalar kebelakangan ini,” katanya.
Mengenai andaian kemungkinan wujud konflik perbezaan darjat antara kedua-dua pihak di sekolah, beliau berkata ia tidak mungkin berlaku.
“Sesiapa saja boleh belajar untuk memperoleh kelayakan dan ganjaran itu. Tiada halangan berbuat demikian.
“Jika rasa kelayakan sedia ada sudah memuaskan hati (tidak perlu menyambung pengajian). Begitu juga sebaliknya.
“Namun, sebagai guru mereka perlu profesional dan tahu meletakkan keperluan mana lebih penting,” katanya.
Guru masa kini juga katanya perlu sentiasa ada keinginan tinggi untuk meningkatkan pencapaian diri.
“Kita bukan semakin bergerak ke belakang tapi ke depan. Apa yang berlaku pada masa depan termasuk dalam sektor pendidikan tidak dapat dijangka.
“Guru sepatutnya tidak boleh selesa dengan keadaan diri. Peluang sudah ada kenapa tidak memanfaatkannya untuk mempertingkatkan taraf diri.
“Jika halangan masa atau kekangan tanggungjawab menjadi penyebab itu bukan alasan yang baik,” katanya.
Berkenaan pelbagai ganjaran diberikan kepada guru, beliau berkata ia perlu dilihat dalam pelbagai konteks berbeza.
“Ada yang melihatnya sebagai satu penghargaan, tapi ada juga sebaliknya.
“Pandangan peribadi saya, untuk menjadi guru perlu ada keinginan dan minat yang tinggi.
“Malangnya tidak semua sanggup menjadi guru, mungkin tiada pekerjaan lain atau sebab peribadi, mereka memilih guru,” katanya.
Malah, dengan nisbah 1:13 iaitu satu guru untuk 13 pelajar, katanya, negara memiliki antara teramai guru di dunia.
“Ini menunjukkan kita boleh melahirkan ramai guru berkualiti, berkelayakan serta mampu menjadi tenaga pengajar terbaik.
“Guru pula perlu melihat cabaran dunia perguruan dengan cara berilmu sebab itu anda dipanggil guru.
“Jangan lagi dibuai tanggapan kerjaya guru ini mudah sebab bergelar guru hari ini hanya untuk mereka yang berminat dan tabah berdepan sepak terajang dunia perguruan,” katanya.
myMetro: 20 Januari 2014
Rabu, 18 Julai 2012
Kecewa elaun guru pedalaman Sarawak dibatal
Bintulu, Sarawak
Setiap kali berjumpa rakan-rakan guru di Semenanjung dan sesiapa sahaja yang mengetahui lokasi pekerjaan guru di pedalaman Sarawak pasti mereka akan berkata: "Mereka bergaji besar, elaun banyak, pastinya dapat mengumpul duit yang banyak..." Itulah saban kali ayat yang sering dilontarkan kepada kami.
Namun sejauh manakah kenyataan ini benar? Bagi kami guru-guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman Sarawak dan yang mengalami sendiri pengalaman tersebut, nyata terasa betapa sukarnya untuk meneruskan kehidupan di sini.
Apabila berbicara soal elaun, yang amat menyedihkan kami guru-guru di kawasan pedalaman Sarawak ialah pembatalan Elaun Perumahan Wilayah (EPW) oleh Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Sarawak terhadap kami sejak tahun lalu tanpa sebab konkrit.
Majoriti daripada kami para guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman Sarawak tidak menduduki kuarters guru, apatah lagi rumah kerajaan. Kami cuma diberikan rumah yang dibina hasil gotong-royong penduduk kampung (masyarakat Iban). Rumah tersebut tidak dianggap sebagai rumah kerajaan. Malah bekalan air bersih juga tidak ada hanya mengharapkan bekalan air dari bukit dan air hujan serta sungai semata-mata.
Kalau merujuk kepada surat edaran bertarikh 26 September 2011 daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan surat edaran Pejabat Pelajaran Daerah Tatau bertarikh 11 Oktober 2011, telah sah menyatakan bahawa pembayaran imbuhan tetap perumahan kepada pegawai yang bertukar wilayah dan disediakan kemudahan perumahan yang tidak dianggap sebagai rumah kerajaan di kawasan pedalaman akan dilaksanakan.
Kemusykilan kami para guru di sini ialah kami menduduki rumah yang disediakan secara gotong-royong oleh masyarakat Iban hingga secara langsung menyebabkan kami tidak layak menerima EPW yang sebelum ini telah kami nikmati bertahun-tahun lamanya.
Jika ini yang berlaku, alangkah beruntungnya kawan-kawan kami yang menduduki kuarters guru di pekan-pekan. Sebuah rumah hanya seorang sahaja yang akan dibuat pemotongan, malah kemudahan bekalan air bersih juga turut disediakan. Sedangkan kami terpaksa berjuang demi mendapatkan setitis air. Betapa peritnya mengangkut air dari sungai, mencatu bekalan air agar bekalan sentiasa ada, jika tidak, tidak berasaplah dapur dan tidak mandilah kami di sini.
Untuk pengetahuan, pembatalan EPW yang dibuat oleh Jabatan Pelajaran Sarawak telah dilakukan secara berperingkat-peringkat membabitkan hampir lebih 100 guru di kawasan pedalaman. Bagi guru di daerah Mukah telah dihentikan sejak November tahun 2011; Miri dan Kapit pada bulan Disember 2011; Tatau bermula Januari 2012 dan kawasan Bintulu bulan Mei lalu.
Kami juga telah membawa perkara ini ke pengetahuan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kesatuan Perguruan Malaysia (NUTP) baru-baru ini. Namun sehingga hari ini tiada tindakan susulan dari kedua-dua pihak ini. Justeru kami mengharapkan penjelasan dan pembelaan yang sewajarnya berhubung dengan perkara ini.
Utusan Malaysia Online: 18 Julai 2012
Selasa, 12 Jun 2012
Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/06/12
KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Jawatankuasa Bersama,
Persatuan Guru Sabah dan Sarawak menggesa pihak pengurusan sekolah
menyelesaikan segera isu guru dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di
Semenanjung gagal menikmati pelbagai imbuhan.Segelintir guru terbabit mendakwa mereka masih belum dibayar elaun ditetapkan Kementerian Pelajaran yang didakwa berpunca kegagalan pembantu tadbir sekolah menjalankan tugas dengan dedikasi.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah mengambil tindakan segera membela nasib pendidik termasuk memastikan kerani atau pembantu tadbir menunaikan amanah mengurus dokumen kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan segera.
“Kerani di sekolah asal guru berkenaan juga hendaklah melengkapkan dokumen mengenai pendidik terbabit bagi memudahkan sekolah baru mereka menguruskan penyaluran kemudahan elaun berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan mengenai ada guru dari Sabah dan Sarawak yang berpindah ke Semenanjung gagal menikmati pelbagai kemudahan elaun iaitu elaun gangguan, ITP, EPW dan COLA selepas lebih setahun bertukar.
Elaun Gangguan sepatutnya dinikmati pada tempoh tiga bulan selepas berpindah, namun belum dinikmati pada tempoh setahun enam bulan serta lebih malang mereka gagal menikmati kemudahan lain termasuk bonus tahunan.
Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana menjadi tanggungjawab pentadbir menguruskan segala urusan berkaitan elaun dengan kadar segera dengan mengetepikan sentimen kenegerian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Gani Bina, berkata pihaknya mengharapkan sekolah mengambil perhatian serius termasuk memantau tugas kerani yang gagal menjalankan amanah ini.
Katanya, jika kerani gagal menunaikan amanah, Pengetua dan Guru Besar hendaklah bertindak membela guru terbabit dengan membawa masalah mereka kepada pengetahuan pihak PPD dengan segera.
Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.
“Negara kita sudah 55 tahun merdeka tahun ini, ibarat seorang penjawat awam yang berada di ambang persaraan, namun masih ada rakyat negara ini yang kolot dan bersikap kenegerian,” katanya yang enggan namanya disiarkan.
Berita Harian Online: 12 Jun 2012
Isnin, 28 Mei 2012
Jumaat, 27 April 2012
Perbezaan elaun wilayah guru akan disemak
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui ia merupakan isu lama yang sering dibangkitkan di kalangan guru-guru terutama daripada Sabah yang dihantar bertugas di Semenanjung.
"Ada pendapat mengatakan elaun wilayah ini tidak seharusnya berbeza. Mungkin ada asasnya mengapa terdapat perbezaan.
"Saya akan semak dan buat kajian dan akan buat penjelasan sedikit masa lagi," katanya pada Majlis Ramah Mesra Menteri Pelajaran Bersama Warga Pesara Guru Sabah di sini hari ini. - UTUSAN
Utusan Malaysia Online: 27 April 2012
Rabu, 21 Mac 2012
Guru menunggu gaji baru tidak kunjung tiba
Dungun, Terengganu
TULISAN ini mewakili ramai lagi pengetua dan guru penolong kanan di sekolah menengah yang tertunggu-tunggu bila kerajaan akan mengotakan janjinya yang diumumkan semasa sambutan Hari Guru tahun lepas yang dibuat sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehingga kini, ia umpama menunggu durian yang tak gugur sedang sudah lama diumumkan.
Dalam ucapan sempena sambutan Hari Guru 2011 Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan berita yang menggembirakan terutama kepada pengetua dan guru penolong kanan sekolah menengah. Mulai 1 Januri 2012, gred gaji mereka dinaikkan.
Gred gaji pengetua dinaikkan kepada DG 52 manakala gred gaji guru penolong kanan kepada DG 48. Berita sensasi itu menjadi tajuk berita utama yang dimuatkan hampir semua akhbar utama ketika itu.
Ekoran pengumuman itu, pengetua dan guru penolong kanan mulalah memasang anganangan bahawa mulai 1 Januari 2012, gred gaji mereka dinaikkan. Namun sehingga kini, sudah masuk bulan Mac, ia masih menjadi satu tanda tanya.
Mengapa arahan Muhyiddin mengambil masa lama untuk dilaksanakan? Apakah pihak bertanggungjawab itu gagal mengambil tindakan segera? Kini timbul pertanyaan, apakah pengumuman yang dilakukan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri itu betul-betul akan dilaksanakan ataupun hanya satu pengumuman sahaja?
Utusan Malaysia Online: 21 Mac 2012
Ahad, 11 Mac 2012
Segerakan pelarasan gaji baharu guru - Muhyiddin
KULAIJAYA 10 Mac - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta melaksanakan pelarasan skim perkhidmatan perguruan secepat mungkin selaras dengan pembatalan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan Kementerian Pelajaran mengetahui mengenai kedudukan terperinci pelarasan tersebut.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengumuman Perdana Menteri itu disambut baik oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan kira-kira 480,000 warga pendidik yang merangkumi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan penjawat awam di negara ini.
"Pada masa ini, kita belum mengetahui tentang perincian perubahan pelarasan itu. Jadi, kita berharap pihak JPA dapat menyelesaikan ia dengan segera," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Sayang 1Malaysia Wanita UMNO di Kem Bina Negara Gunung Pulai, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita UMNO Johor, Senator Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
Beliau berkata, biarpun SBPA tidak diteruskan, namun dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang baharu, kedudukan guru adalah lebih baik dan tawaran pada golongan pendidik adalah sesuatu yang diharapkan, malah hampir semua perkara diambil kira.
Justeru, Muhyiddin berharap dengan pelaksanaan pelarasan baharu itu, guru-guru akan lebih bersemangat dan memberikan tumpuan yang lebih baik untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di seluruh negara.
Kelmarin Perdana Menteri mengumumkan pembatalan SBPA dan kembali kepada SSM yang ditambah baik dengan pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.
Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2012
Isnin, 13 Februari 2012
Bukan semua pelatih guru dapat elaun
Kajang, Selangor.
SAYA ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), Sabah, kerana menulis berkaitan dengan BB1M seperti yang disiarkan dalam akhbar ini baru-baru ini.
Kepada rakan Kesang Boy, saya juga mengucapkan terima kasih dengan reaksi anda tetapi fakta yang diberikan perlu diulas dengan lebih terperinci.
Untuk makluman, terdapat dua kategori pelajar di IPG. Pertama, pelajar sepenuh masa (PPSIMP, PISMP dan DPLI) dan kedua, pelajar Kursus Dalam cuti (KDC), Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) serta pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ).
Sememangnya benar bahawa pelajar sepenuh masa PPISMP dan PISMP telah menerima elaun buku. Oleh itu, saya yakin pelajar IPG yang menulis bukanlah daripada program sepenuh masa.
Kami, pelajar separuh masa (KDC, LPBS, PGSR, KDPM & PPG) yang belajar di IPG tidak menerima elaun buku seperti yang diterima oleh pelajar sepenuh masa. Justeru itu, kami juga perlu membeli buku rujukan untuk pengajian kami.
Selama ini saya hanya menggunakan perkhidmatan fotostat kerana saya perlu berjimat dalam pengajian memandangkan saya dan rakan lain tidak menerima elaun lain, kecuali hanya ditaja yuran pengajian sahaja.
Saya inginkan penjelasan daripada pihak berkenaan, mengapa kami tidak layak untuk menerima bantuan BB1M ini? Mengapa pula rakan kami program daripada Sarjana Muda Perguruan (SMP) dan Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang ditaja oleh KPM tetapi belajar di IPTA serta IPTS dibantu dengan baucar BB1M ini?
Lebih menghairankan saya ialah pelajar yang ditaja oleh JPA melalui Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) peringkat sarjana dan doktor falsafah di IPTA turut dibantu dengan baucar BB1M.
Mereka juga telah menerima elaun buku dengan jumlah RM1,000 hingga RM1,800 setahun. Justeru itu, apa kurangnya mereka dan lebihnya kami sehingga tidak diberi bantuan itu?
Saya mohon Rektor IPGM dapat melihat perkara ini dan mengambil tindakan proaktif dengan sewajarnya dalam usaha menyelesaikan isu ini.
Utusan Malaysia Online: 13 Februari 2012
Sabtu, 11 Februari 2012
Kerajaan akan semak semula elaun guru besar
IPOH 11 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah.
"Saya janji perkara ini kita akan semak semula. Pada prinsipnya saya setuju tapi bukan saya nak bayar duit itu. Yang bayar, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya bagi menjawab soalan seorang guru besar pada Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini hari ini.
Semasa sesi itu, guru berkenaan membangkitkan kepada Muhyiddin bahawa guru besar hanya menerima elaun sebanyak RM100 sebulan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perkara itu perlu dikaji dengan teliti kerana ia melibatkan kewangan kerajaan.
"Jika amount (peruntukan) tidak besar boleh diambil kira," katanya. - BERNAMA
Utusan Malaysia Online: 11 Februari 2012
Selasa, 7 Februari 2012
Guru mengadu elaun tuntutan luar dipotong
Perak
KAMI para pendidik cukup kecewa apabila tuntutan tugas luar dipotong hinggakan dibayar kurang daripada perbelanjaan sebenar.
Alasannya kilometer tidak sama, tidak layak menerima elaun makan dan sebagainya.
Hal ini cukup mengecewakan kami di kalangan guru-guru. Saya pasti dan amat pasti semua kakitangan kerajaan dan guru-guru khususnya guru sukan bersependapat dengan saya.
Apabila kami menerima surat dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengarahkan kami menjalankan tugasan luar yang melibatkan penjayaan sesuatu program sukan, mesyuarat dan sebagainya, seseorang guru perlu menghadirinya.
Namun adakah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), JPN atau PPD sedar apabila kami berkursus, bertugas sebagai pegawai kejohanan sukan dan sebagainya kami terpaksa keluar dalam satu jangka masa yang tidak menentu dan kadang-kadang hingga sebulan.
Apatah lagi yang melibatkan murid. Tanggungjawab guru apabila bertugas di luar cukup besar. Kamilah menjadi ibu bapa buat mereka, doktor, pemandu ambulans, tukang masak dan sebagainya.
Namun adakah layak buat kami apabila membuat tuntutan tugasan rasmi jumlahnya dipotong ikut sesuka hati mereka yang berada di JPN dan PPD?
Pernahkah pihak-pihak yang terlibat dengan pembayaran tuntutan ini fikir semua itu?
Sudah lama perkara ini menjadi buah mulut semua guru-guru.
Ke mana sahaja saya pergi untuk bertugas di luar soalan dan perbualan yang sama dari rakan-rakan negeri yang lain iaitu tuntutan yang tidak dibayar mengikut pekeliling sedia ada dan jumlah tuntutan tidak setimpal dengan apa yang dibelanjakan. Perkara ini sudah hampir empat tahun dari tahun 2009 hinggalah sekarang masih lagi tidak dapat diatasi.
Kami harap Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri dapat membaiki keadaan ini.
Utusan Malaysia Online: 7 Februari 2012
Isnin, 9 Januari 2012
Bayaran Gaji Jan 2012 Penjawat Awam Berdasarkan SSM
Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan Isnin, perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibayar pada 31 Jan ini.
"Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Jan 2012 berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Dis 2011 kepada 15 Jan 2012," katanya.
Menurut kenyataan itu, pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA akan dibuat seperti biasa mengikut jadual mulai Februari.
-- BERNAMA
BERNAMA: 9 Januari 2012
Jumaat, 30 Disember 2011
Jadual Pergerakan Gaji Baru SBPA Guru









Disalin daripada Laman Rasmi Sekolah Kebangsaan Jitra Kedah DA
Rabu, 28 Disember 2011
Perbincangan JPA-CUEPACS isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam berhasil
PUTRAJAYA 27 Dis. - Perbincangan hampir lima jam antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini membawa hasil apabila markah prestasi untuk kenaikan gaji dan markah pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) diselaraskan serta-merta dalam mesyuarat itu.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, JPA bersetuju untuk menurunkan markah penilaian prestasi bagi kenaikan gaji di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) daripada 75 kepada 65.
"Di bawah SBPA yang asal kalau prestasi di bawah 75 markah maka tak ada kenaikan gaji berlaku, tetapi kita telah mengubahnya kepada 65 markah.
"Untuk pelaksanaan Dasar Pemisah pula, markah diubah daripada 70 kepada 60. Ini bermakna penjawat awam hanya akan dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah kalau gagal mencapai 60 markah," katanya selepas perbincangan itu yang melibatkan pegawai kanan JPA termasuk Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh lebih 100 Ahli Majlis dan pemimpin CUEPACS dari seluruh negara.
Mengulas lanjut Omar berkata, JPA pada masa sama telah bersetuju untuk mengkaji cadangan-cadangan CUEPACS yang melibatkan implikasi kewangan atau peruntukan tambahan kerajaan.
"Perkara-perkara yang tidak melibatkan soal kewangan seperti markah prestasi telah diputuskan dalam perbincangan hari ini. JPA bagaimanapun memerlukan masa untuk mengkaji cadangan lain.
"Semua perkara yang dibangkitkan akan dikaji dalam tempoh tiga bulan sehingga perundingan seterusnya yang dijadualkan pada hujung Februari tahun depan, ini termasuk isu gaji maksimum dan gred jawatan yang tertinggal," katanya.
Omar berkata, setiap gred perkhidmatan awam akan dikaji secara teliti dan beliau meminta supaya penjawat awam mengemukakan sebarang masalah yang timbul kepada CUEPACS untuk dibawa kepada JPA.
Beliau bagaimanapun menegaskan SBPA secara keseluruhannya adalah baik untuk masa depan perkhidmatan awam negara.
"Tetapi SBPA mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang perlu dikaji semula dan ditambah baik," katanya.
Utusan Malaysia Online: 28 Disember 2011
Selasa, 27 Disember 2011
SBPA: Skim gaji perkhidmatan guru perlu diperbaiki
Hulu Terengganu.
SAYA mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA. SBPA secara umumnya memang mendatangkan banyak kebaikan kepada semua pihak. Contoh ketara ialah peningkatan gaji mati bagi guru iaitu antara 19.34% hingga 56.78%. Perkiraan ini adalah berasaskan gaji mati P1T3 @ P1T2 mana yang berkenaan di gred gaji SSM dengan gaji mati SBPA.
Gaji mati SBPA ini berdasarkan kutipan maklumat dari blog-blog yang boleh dipercayai. Ini kerana laman web JPA setakat ini belum memaparkan jadual gaji SBPA. Namun maklumat ini sangat boleh dipercayai kerana berdasarkan pengalaman gaji saya sendiri yang diuar-uarkan di blog tersebut adalah sama dengan tawaran opsyen SBPA yang saya terima. Terima kasih kepada kerajaan dan syukur kepada Allah.
Namun, disebabkan SBPA ialah sistem ciptaan manusia pasti terdapat beberapa kekurangan. Izinkan saya berkongsi perasaan dan pendapat bersama pembaca sambil mengharapkan mendapat respons positif daripada pihak-pihak yang berkenaan.
Perkara pertama yang ingin saya kongsikan ialah perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA yang sangat ketara. Kami guru DG44/ DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu dari RM2,982.99 ke RM1,985. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan guru DG54/DG1-6 iaitu sebanyak RM1,857.46 bersamaan 35.94% iaitu dari RM5,167.64 ke RM7,025.00.
Malah terdengar desas-desus peningkatan gaji JUSA dan kumpulan Premier pula lebih RM3,000 sebulan. Saya tidak dapat memastikan kesahihannya kerana JPA seolah-olah cuba menyembunyikan jadual gaji SBPA daripada menjadi tatapan umum.
Untuk tujuan perbandingan tersebut, saya telah menggunakan kaedah yang sangat adil iaitu berdasarkan gaji permulaan bagi kedua-dua gred yang dibandingkan.
Saya mengharapkan agar gaji permulaan SBPA bagi guru DG2-3, DG2-5, DG1-2 DG1-4 dan DG1-5 disemak semula. Jurangnya hendaklah dirapatkan. Kami mengharapkan sekurang-kurangnya 10% kenaikan.
Perkara kedua ialah mengenai tempoh kenaikan pangkat secara time-based. Jika dihayati ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaikkan pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4).
Tapi mengikut SBPA kami menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara time-based ke DG1-4.
Formula 8+8+6+3. Tempoh Kenaikan Pangkat. Dipetik daripada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 tahun 2011. Jika diikutkan maksud ucapan PM, formula tersebut sepatutnya jadi 7+8+6+4. Kami sangat mengharapkan agar dasar ini dikaji semula.
Perkara ketiga yang ingin saya utarakan juga berkaitan dengan perkara di atas. Sebahagian daripada guru siswazah adalah asalnya seorang guru bukan siswazah/lepasan diploma. Kami dinaikkan pangkat ke guru siswazah secara lantikan atau Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL).
Dalam SBPA kaedah ini dikenali dengan nama Peningkatan Secara Lantikan (PSL). Jika mengikut SSM kami diberi formula 3+7 iaitu menggunakan tempoh perkhidmatan sebagai guru bukan siswazah untuk diambil kira sebagai tempoh perkhidmatan untuk proses kenaikan pangkat ke DG44 atau DG48.
Formulanya ialah setiap tiga tahun perkhidmatan sebagai guru lepasan diploma sebagai setahun perkhidmatan sebagai guru siswazah dengan had maksimum yang boleh digunapakai ialah 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.
Di bawah SBPA kami tidak mendapat apa-apa maklumat mengenainya. Kami mengharapkan agar dasar tersebut dipanjangkan di bawah SBPA dengan diberi penambahbaikan iaitu dengan menghapuskan had maksimum 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.
Rasionalnya permintaan ini ialah, kebanyakan guru KPSL/PSL ini sudah berumur. Jika dihadkan kepada 9 tahun perkhidmatan sahaja yang diambil kira maka kebanyakan guru ini akan sentiasa ketinggalan dari segi insentif berbanding guru baru. Hargailah jasa guru lama ini.
Perkara keempat adalah cadangan baru dari saya sendiri. Saya mencadangkan agar gred gaji guru KPSL/PSL diasingkan daripada guru lantikan pertama. Saya mencadangkan diwujudkan gred baru. Contohnya DG1-1A, DG1-2A, DG1-4, DG1-5A dan DG1-6A. Jumlah gajinya dicadangkan 10% lebih tinggi berbanding gaji DG1-1, DG1-2, DG1-4, DG1-5 dan DG1-6. Cadangan ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang dilantik pada Januari 2001 ke PPPS DG3/41 dengan mendapat kenaikan kurang daripada RM30.
Pada Julai 2007 kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 15% kepada kumpulan pengurusan dan profesional manakala kumpulan sokongan 1 (iaitu kumpulan saya sebelum itu) diberi kenaikan 25%.
Kesannya gaji saya lebih rendah berbanding dengan rakan saya yang sama-sama dilantik sebagai guru bukan siswazah dengan kelulusan SPM pada tahun 1990. Luahan kami tidak diambil tindakan yang sewajarnya.
Jawapan standard daripada Pegawai Perhubungan Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia ialah tidak boleh membandingkan gaji PPPS DG41 dengan PPPLD DGA32 dan menyarankan kami membandingkan gaji PPPS DG41 dengan gaji PPPLD DGA29.
Suka dimaklumkan PPPS DG41 yang membandingkan gaji mereka dengan gaji PPPLD DGA32 adalah guru KPSL@PSL yang mana jika kami tidak dilantik ke PPPSDG41 maka kami sepatutnya mendapat gaji sebagaimana PPPLD DGA32.
Di sinilah wujudnya anomali iaitu di mana pegawai yang dinaikkan pangkat mendapat gaji yang kurang. Satu lagi hujah Pegawai Perhubungan Korporat KPM yang sangat kami benci mendengarnya ialah menyarankan kami melihat secara keseluruhan iaitu elaun-elaun yang diterima.
Saya akui, jika diambil kira elaun yang diterima, jumlah emolumen yang kami terima adalah lebih berbanding PPPLD32 tapi ia masih tidak berbaloi. Perlu diambil ingatan, elaun tidak diambil kira dalam pembayaran pencen dan gratuiti.
Saya sangat mengharapkan agar semua kesatuan guru mengambil tempoh lanjutan ini untuk mengadakan perbincangan dengan JPA supaya skim perkhidmatan perguruan diperbaiki.
Utusan Malaysia Online: 27 Disember 2011
Isnin, 5 Disember 2011
NUTP sifatkan syor 'elaun kesusahan' tak wajar
2011/12/05
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan cadangan pemberian ‘elaun kesusahan’ kepada guru yang bekerja di kawasan pedalaman sebagai tidak wajar kerana mereka sudah pun dibayar elaun khas ketika ini.Presidennya, Hashim Adnan, berkata ketika ini Guru Pedalaman Satu menerima elaun khas RM500 sebulan, Guru Pedalaman Dua mendapat RM1,000, manakala Guru Pedalaman Tiga dibayar RM1,500, sekali gus menunjukkan kerajaan prihatin terhadap mereka yang bertugas di kawasan luar bandar.
“Cadangan ini bukanlah baru dan hanya akan meningkatkan beban kewangan sekiranya ia dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Wakilnya, Mustapha Naoor, berkata kemudahan pendidikan di pedalaman amat daif sehingga guru terpaksa menempuh perjalanan jauh dengan menaiki bot dan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke sekolah.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerajaan sepatutnya memberi elaun kos sara hidup (Cola) kepada guru mengikut tempat tinggal dan bukannya berdasarkan kepada lokasi mereka ditugaskan.
“Contohnya, ada guru mengajar di Gopeng tetapi menetap di Ipoh, maka mereka tidak layak mendapat Cola RM200, sebaliknya hanya memperoleh RM100 kerana Gopeng dianggap sebagai kawasan pedalaman. Ia akan menjadi beban kepada guru di kawasan luar bandar,” katanya.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, turut berpendapat elaun kesusahan bagi guru tidak perlu kerana kerajaan sudah pun mewujudkan elaun khas pedalaman untuk mereka.
“Ketika ini elaun pedalaman adalah antara RM500 hingga RM1,500 dan dibayar mengikut kategori kawasan pedalaman, iaitu Pedalaman P1, P2 dan P3.
“Kementerian tidak bercadang untuk menaikkan lagi jumlah elaun pedalaman itu seperti mana yang diminta oleh sesetengah pihak kerana nilai yang diberikan itu masih lagi relevan,” katanya selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.
Berita Harian Online: 5 Disember 2011
Khamis, 20 Oktober 2011
Semak semula gaji Pengetua SABK
KAMI Pengetua-pengetua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) memohon pihak Kementerian Pelajaran menyemak semua kedudukan kami.
Kami kini berada di Gred DG 41 dan ada yang DG 29 kemungkinan pihak Menteri Pelajaran tidak dimaklumkan kedudukan gred kami sebagai pengetua.
Kami mendaftar dengan Kementerian Pelajaran pada tahun 2006 dan 2007. Kami semua telah diberi taklimat oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran tentang status kami.
Bagaimanapun kami merayu kepada Menteri Pelajaran untuk menyemak semula kedudukan kami. Kami tidak mendesak, tetapi baru-baru ini Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2012, kami merasakan patut diberi Gred 48 ataupun imbuhan yang sama dengan Gred DG 48.
Lagi sekali kami merayu mohon Menteri Pelajaran dapat mempertimbangkan rayuan kami yang tertindas dengan sebab tugas harian.
RAKYAT DIDAHULUKAN
Utusan Malaysia Online: 20 Oktober 2011
Sabtu, 15 Oktober 2011
Kenaikan gaji guru setimpal beban tugas: NUTP
2011/10/15
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan kenaikan gaji kakitangan awam terutama guru pada pembentangan Bajet 2012 oleh kerajaan baru-baru ini adalah selaras dengan bebanan kerja dihadapi warga pendidik kini.Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jika dibandingkan negara maju, gaji warga pendidik mereka lebih tinggi berbanding gaji kakitangan awam di kementerian lain kerana guru adalah aset melahirkan modal insan cemerlang.
Pengumuman bajet itu menyaksikan golongan guru yang meliputi kira-kira sepertiga daripada 1.2 juta penjawat awam mendapat kenaikan gaji terbesar menerusi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Guru bukan siswazah menerima kenaikan sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.
Sementara itu, Hashim turut menggesa pihak pentadbiran sekolah agar tidak menyekat warga pendidik berusia 47 tahun ke bawah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Kementerian Pelajaran katanya, sudah mengeluarkan pekeliling September lalu dengan membuka peluang kepada warga pendidik lepas diploma untuk menyambung pengajian.
Berita Harian Online: 16 Oktober 2011
Jumaat, 14 Oktober 2011
Arahan pulangkan semula elaun aniaya guru kanan
2011/10/14
KAMI guru kanan mata pelajaran yang dilantik pada Ogos 2008 ingin menyatakan rasa dukacita kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) kerana mengarahkan kami melalui kerani sekolah masing-masing, memulangkan semula Elaun Tanggungjawab sebanyak RM120 dari tarikh kami dilantik sehingga Ogos 2011.Pihak kami sudah meminta penjelasan daripada JPNS melalui Unit Perkhidmatan dan JPNS mengakui berlaku kesilapan sewaktu pelantikan kami pada 2008.
Ini amat membebankan, tidak adil dan satu cubaan bersikap lepas tangan. Dalam usaha kerajaan memperbaiki kebajikan guru, nampaknya pihak jabatan sudah menganiayai hampir 200 guru kanan sekolah Gred B khususnya di Negeri Sembilan yang dilantik secara misteri oleh mereka.
Alasan pihak jabatan mengatakan mereka tidak tahu pekeliling itu amat mendukacitakan kami. Ini kelalaian yang serius. Lebih mendukacitakan, tenaga guru kanan sudah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengetua sekolah selama tempoh pelantikan.
Malahan, ada sekolah Gred B mendapat Penghargaan Baiah seperti diumumkan Menteri Pelajaran baru-baru ini. Kemudian, mereka diminta memulangkan elaun diterima sepanjang berkhidmat sebagai guru kanan.
Puncanya, sekolah terbabit ialah sekolah Gred B. Kenapa sekolah ada unsur diskriminasi? Difahamkan di Seremban saja ada sekolah Gred B seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi, Senawang dan SMK Seremban Jaya. Murid mereka mencecah seribu lebih.
Kami meminta Menteri Pelajaran menyiasat, meneliti dan menimbangkan semula perkara ini dengan serius kerana kesilapan serta diskriminasi sebegini sudah menjatuhkan maruah dan menganiayai guru terbabit, bertentangan akta pekerjaan dan dasar integriti nasional serta dasar rakyat didahulukan.
GURU KELIRU,
Negeri Sembilan
Berita Harian Online:14 Oktober 2011
Rabu, 5 Oktober 2011
Mohon bayaran Elaun Tanggungjawab diselesaikan segera
2011/10/05
MOHON penjelasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran berkenaan kedudukan bayaran Elaun Tanggungjawab (ETJ) bagi semua GPK Tkn 6 dan Guru Kanan Mata Pelajaran (Ketua Bidang sekolah gred B) yang hingga kini belum menerima bayaran berkenaan sedangkan bagi jawatan Guru Penolong Kanan lain (PK 1, PK HEM, PK Koku dan PK Petang serta GKMP sekolah gred A sudah lama menikmati bayaran itu).Jawatan disandang berkait rapat dengan memikul tanggungjawab dan seharusnya mereka yang menyandang jawatan berkenaan diberikan bayaran sama seperti rakan lain yang memegang jawatan sebagai penolong kanan atau ketua bidang tanpa sebarang pengecualian. Dicadangkan kepada pihak berkenaan agar segera menyelesaikan perkara ini bagi memuaskan hati semua pihak.
Berita Harian Online: 5 Oktober 2011
Ahad, 18 September 2011
Pusat sedia bayar gaji guru agama
Oleh Fazli Abdullah, Amin Ridzuan Ishak, Pettah Wazzan Iskandar dan Faridzwan Abdul Ghafar
2011/09/18
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya sudah berbincang dengan beberapa kerajaan negeri untuk menjalin kerjasama supaya sistem pendidikan peringkat negeri bukan saja mengikuti kurikulum ditetapkan malah mampu melahirkan warga berkemahiran.
Ramai guru berdepan masalah itu dan sebab itu kerajaan memutuskan kalau ada hasrat kerajaan (negeri) berkenaan untuk dapatkan sokongan, kita pada peringkat Kerajaan Pusat sedia membantu, katanya berucap pada majlis perjumpaan khas dengan guru sekolah agama dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Permatang Pauh, dekat sini, semalam. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran enggan menyebut negeri terbabit.
Pada majlis berasingan, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2012 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan depan, diharap mampu meringankan beban rakyat.
Beberapa perkara dalam penelitian kerajaan dan Perdana Menteri akan mengumumkan dalam bajet nanti. Mudah-mudahan sesuatu yang membantu rakyat dan mengurangkan beban rakyat, katanya pada majlis Kenduri Rakyat Merdeka Raya anjuran UMNO Bahagian Nibong Tebal, di sini.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menyambut baik tindakan UMNO Pulau Pinang menghantar notis tuntutan meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng memohon maaf dan menarik balik tuduhan kononnya UMNO terbabit dalam kes kebakaran di ibu pejabat DAP negeri, bulan lalu.
UMNO bukan parti tidak bermaruah. Kalau ada sesiapa yang membuat tohmahan di khalayak ramai kononnya UMNO terbabit dalam perbuatan membakar bangunan (pejabat DAP), ini kenyataan buruk sangka dan fitnah, katanya.
Lawatan sehari Timbalan Perdana Menteri ke Pulau Pinang semalam membawa berita gembira apabila peruntukan dan insentif bernilai RM21.3 juta diluluskan Kerajaan Pusat untuk pelbagai keperluan.
Muhyiddin mengumumkan RM7.1 juta disalurkan kepada 35 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Beliau juga meluluskan peruntukan RM1.4 juta bagi menaik taraf Pasar Awam Tasek Gelugor dan mengecat semula empat blok flet di Taman Retina, Tasek Gelugor. Sebanyak RM2.5 juta pula untuk menaik taraf Masjid Sungai Acheh yang berusia 120 tahun, manakala RM1 juta bagi menaik taraf Jeti Nelayan Sungai Udang serta RM500,000 disumbang kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Tek, Nibong Tebal.
Muhyiddin juga meluluskan peruntukan tambahan RM1.5 juta bagi pembinaan projek perumahan mangsa banjir di Kampung Manggis, Bukit Mertajam serta RM6.1 juta bagi pembinaan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Batu Kawan.
Berita Harian Online: 18 September 2011
