Rabu, 15 Januari 2014
Pengetua, guru pantau harga makanan kantin sekolah
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pengusaha kantin tidak boleh mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati dan sebarang perubahan mengenainya perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu.
"Setakat ini hanya beberapa aduan diterima namun setelah pihak sekolah menegur, mereka telah menurunkan harga barangan.
"Oleh itu, pihak sekolah perlu memainkan peranan mengawal kenaikan harga makanan di kantin masing-masing," katanya.
Beliau berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad.
Sebanyak 46 buah sekolah cemerlang di seluruh negara menerima anugerah dalam majlis itu yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Ijok, Bestari Jaya.
Sementara itu, gred purata nasional (GPN) bagi UPSR tahun lepas adalah 2.27 peratus dan peratusan calon yang mendapat semua gred A bagi semua matapelajaran yang diduduki meningkat sebanyak 0.21 peratus iaitu daripada 8.94 peratus pada 2012 kepada 9.15 peratus.
Sementara itu, Idris memberitahu, setakat ini tiada sekolah dijadikan pusat pemindahan banjir berikutan banjir gelombang kedua yang berlaku ketika ini.
"Keadaan banjir masih lagi terkawal termasuk di beberapa buah negeri yang terlibat seperti Sabah dan Kelantan, justeru tiada sekolah menjadi pusat pemindahan.
"Kita juga meminta pihak sekolah supaya bersedia dengan banjir gelombang kedua," katanya.
Jumaat, 20 Julai 2012
Telefon: Minta kaji semula
Taiping
Namun, hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun 2013 adalah tidak sesuai, meskipun kita menyedari pentingnya penggunaan telefon bimbit. Ini kerana ia menimbulkan 1001 persoalan.
Jika alasan ibu bapa digunakan untuk memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan anak-anak berada di sekolah ia bukanlah satu alasan yang baik.
Hal ini kerana, saya yakin dan percaya sekolah sentiasa memaparkan nombor telefon yang boleh dihubungi oleh ibu bapa. Malah terdapat juga sekolah yang memberikan nombor telefon guru kelas kepada ibu bapa bagi memberi ruang dan peluang untuk ibu bapa bertanyakan tentang perkembangan anak-anak mereka di sekolah.
Malah, pelajar turut diberi kebenaran menggunakan telefon pejabat jika diperlukan.
Begitu juga jika alasan keselamatan diberikan sebagai cara untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah ia juga turut tidak relevan.
Sebabnya, selama ini, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa organisasi kerajaan, termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama pihak media sentiasa mengingatkan para pelajar tentang tindakan yang patut dilakukan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti didekati oleh individu tidak dikenali dan sebagainya.
Apa yang saya ingin saya utarakan di sini adalah kebenaran membawa telefon bimbit tersebut walaupun mempunyai draf undang-undang penggunaannya sewaktu di sekolah, namun saya yakin dan percaya ia sukar dikawal.
Saya sangat bimbang kebenaran itu akan memberi kesan negatif kepada pihak sekolah sama ada daripada segi penguatkuasaan disiplin, malah lebih memburukkan ia mengganggu proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.
Ia juga akan menggagalkan pihak sekolah mengesan masalah disiplin dalam kalangan pelajar kerana pelajar-pelajar lain akan menghubungi rakan-rakan yang lain bagi mengelak daripada dikenakan tindakan oleh pihak sekolah.
Lebih membimbangkan gambar-gambar guru akan dirakam malah kawasan larangan sekolah seperti bilik kebal, pejabat dan sebagainya yang menjadi kawasan larangan pelajar akan tersebar di Internet.
Saya sekali lagi menyeru pihak KPM menarik balik kebenaran penggunaan telefon bimbit di sekolah bagi mengelakkan perilaku negatif dalam kalangan pelajar menjadi lebih buruk.
Utusan Malaysdia Online: 20 Julai 2012
Sudahkah kajian baik dan buruk diambil kira?
Kulim, Kedah
Pada hari ini kes jenayah yang memangsakan pelajar sekolah sedang berleluasa. Ini tidak termasuk isu sosial lain yang melanda pelajar sekolah yang tidak perlu saya nyatakan di sini.
Sebagai ibu bapa kita semua bimbang kiranya pulang dari sekolah anak-anak berhadapan dengan bahaya dan sebagainya, bagaimanakah anak-anak ini dapat menghubungi keluarga ketika kecemasan? Pelbagai persoalan dan kebimbangan telah meletakkan idea membenarkan pelajar membawa telefon bimbit kelihatan sangat wajar.
Tetapi sudahkah perkiraan dan kajian baik buruknya diambil kira? Hanya pihak berwajib mampu menjawab persoalan ini. Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai statistik baik buruknya membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah mungkin boleh untuk saya kongsikan bersama isu yang pada hemat saya mungkin timbul apabila pelajar bersama telefon di sekolah:
l Tumpuan pelajar terganggu
Bolehkah seorang guru mengawal pelajarnya agar tidak melayan SMS yang masuk keluar pada setiap detik dan ketika? Mungkin juga pelajar sibuk melihat kecanggihan gajet yang dimiliki oleh rakan dan membandingkan dengan gajet miliknya. Bukankah ini semua akan mengganggu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.
l Jurang stratifikasi sosial di sekolah
Sekolah diprogramkan dengan keseragaman dan kesamarataan. Baju tidak berbeza pada warna mahupun gayanya. Tetapi jika gajet yang dibawa iPhone, Samsung, BlackBerry sudah tentu tidak sama dengan gajet tidak berjenama. Apakah kita inginkan jurang stratifikasi sosial berlaku di dalam persekitaran sekolah. Sombong, memperlekehkan yang lain mungkin akan menjadi budaya sekolah. Adakah matlamat ke sekolah akan tercapai kiranya begini keadaan persekitarannya?
l Jenayah kecil-kecilan
Gajet yang dibawa ke sekolah seperti telefon bimbit mungkin terdedah kepada kecurian. Disebabkan godaan yang tinggi gajet yang dicuri boleh membawa kepada masalah lain seperti bergaduh sesama pelajar dan tidak kurang menyusahkan para guru yang terpaksa membuat siasatan bagi kecurian tersebut.
l Isu sosial
Anak remaja sedang dalam proses mengenali diri dan membentuk peribadi. Banyak kes pada hari ini telefon bimbit berkamera digunakan sebagai bahan untuk bereksperimen dalam melihat tubuh badan sendiri, mengendap, merekodkan aksi buli dan aksi terlarang lain atas dasar ingin tahu yang kuat dalam diri remaja. Bukan itu sahaja, gajet canggih yang dilengkapi akses kepada internet juga memungkinkan pelajar leka bermain permainan dalam talian dan lain-lain lagi. Sanggupkah para guru warga pendidik dan ibu bapa melayani serta berhadapan dengan semua isu ini yang mana kadar penyalahgunaannya begitu tinggi?
l Akademik tidak bebas lagi
Guru-guru mungkin mengalami kesukaran untuk berkongsi contoh dan bercakap mengenai perkara yang sensitif kerana khuatir gajet canggih yang dimiliki pelajar merekodkan perkara itu serta mentafsirnya secara salah. Guru juga mungkin tidak akan menggayakan atau berdemonstrasi dalam membentuk kefahaman pelajar bagi mengelakkan ia direkodkan, disunting dan dimuatkan di internet yang akan menjadikan guru terbabit bahan lawak jenaka. Lebih malang ia mungkin jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung mengekang kebebasan akademik di sekolah.
Mungkin bagi membendung kebimbangan ibu bapa akan ancaman bahaya yang ada pada hari ini, pihak berwajib perlu memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mengambil tindakan perlu apabila berlaku kecemasan. Butiran untuk dihubungi ketika kecemasan sama ada oleh pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah perlulah jelas.
Pemantauan dari semua pihak memungkinkan persekitaran yang lebih baik kepada semua.
Pelajar perlu dididik agar lebih bertanggungjawab dengan tidak melencong ke tempat lain selepas meninggalkan sekolah. Sentiasa memaklumkan ibu bapa dan guru kiranya mempunyai aktiviti.
Tetapi keadaan dan suasana semasa mungkin mendesak agar pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Biarlah keputusan yang dibuat kelak merupakan risiko yang paling minimum untuk ditanggung oleh ibu bapa, pelajar, sekolah dan juga masyarakat.
Utusan Malaysia Online: 20 Julai 2012
Khamis, 12 Julai 2012
Graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia perlu ikhlas berkhidmat
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata, mereka juga mesti memainkan peranan membentuk murid supaya menjadi warganegara yang sempurna sesuai dengan haluan Falsafah Pendidikan Negara.
Katanya, khidmat guru ketika ini amat diperlukan sesuai dengan kepesatan dan pembangunan negara bagi membina modal insan yang akan memacu perubahan dalam menuju dan mencapai Wawasan 2020.
"Saya juga ingin mengingatkan kepada para graduan sesungguhnya dunia pendidikan kian mencabar dan memaut pelbagai disiplin ilmu dan kerjaya, maka, seorang guru mestilah menyesuaikan diri dengan keadaan semasa mengikut arus globalisasi.
"Pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran serta pembelajaran merentas kurikulum mesti mempunyai unsur tambah nilai supaya tugas untuk mendidik tidak statik," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen IPG bagi sidang keempat di sini hari ini.
Turut hadir, Rektor IPGM, Datuk Dr. Haili Dolhan dan timbalannya Dr. Lee Boon Hua.
Bagi sesi hari ini seramai 1, 266 daripada 9, 279 graduan daripada 26 IPGM seluruh negara menerima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.
Utusan Malaysia Online: 12 Julai 2012
Jumaat, 29 Jun 2012
Duduk semeja bincang isu murid SJKT
Beliau berkata, mengambil kira beberapa contoh yang berlaku di kebanyakan sekolah aliran berkenaan, penting bagi pemimpin berkenaan menyelesaikan masalah itu sekali gus memastikan proses pengajaran dan pembelajaran murid tidak terjejas.
“Saya dimaklumkan banyak sekolah seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sekarang menjadi sekolah kurang murid dan sebuah sekolah yang sepatutnya boleh memuatkan 100 pelajar, yang ada cuma 10 pelajar dan tujuh guru.
“Sebab itu, saya nak mengajak pemimpin India seperti MIC untuk duduk bersama saya, bincang apa yang kita boleh lakukan. Bagaimana nak menentukan mutu pembelajaran di sekolah seperti ini dapat dimajukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Baru SJKT Vivekananda Petaling Jaya di bawah naungan The Vivekananda Ashrama Kuala Lumpur, di SJKT Vivekananda, Jalan Templer di sini, semalam.
Sempena perasmian bangunan berkenaan, Muhyiddin turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM6 juta untuk diagihkan kepada tiga sekolah termasuk SJKT Vivekananda I, SJKT Vivekananda 2 dan SMK Vivekananda.
Malah untuk tidak menghampakan sekolah berkenaan, Muhyiddin turut meluluskan permohonan untuk menyediakan peluang melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam kepada pelajar SMK Vivekananda dan kemudahan asrama.
Bersempena pada majlis berkenaan, Takaful Malaysia menaja RM50,000 bagi menaik taraf Makmal Teknologi Maklumat (IT) dengan sumbangan termasuk 20 komputer perisian baru, tiga pencetak dan pemancar Wifi, yang disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohamed Hassan Md Kamil.
myMetro: 29 Jun 2012
Selasa, 26 Jun 2012
Sekolah luar bandar perlukan perhatian PPD
Pahang Darul Makmur
Hal ini membuktikan kepada umum bahawa warga pendidik sememangnya bertaraf dunia, dapat melaksanakan apa sahaja tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh kebertanggungjawaban.
Sambutan bermula dengan pertandingan memancing, memasak gulai tempoyak ikan patin, pertandingan woodball, pertandingan golf, kayuhan pendeta, mendaki Gua Bama, pameran pendidikan, rawatan kesihatan, ziarah hospital, makan malam, sehinggalah ke hari pelancaran oleh Menteri Besar Pahang, sambutan daripada warga pendidik sangat menggalakkan dari seluruh negeri Pahang.
Saya ingin respon tentang program 'Pengarah Turun Padang' yang dinyatakan oleh Yahaya Zainal Abidin, Pengarah JPN Pahang dalam ucapannya. Tahniah kerana beliau telah banyak melawat sekolah dan sesi perjumpaan dengan warga pendidik telah dilakukan. Beliau menunjukkan komitmen berjumpa dengan seluruh warga pendidik dan memberikan motivasi kepada guru-guru. Warga pendidik sangat-sangat teruja dan berterima kasih kerana dikunjungi dalam suasana mesra dan santai. Guru-guru dapat meluahkan masalah tanpa ada rasa tertekan. Inilah yang guru-guru mahukan, peringkat atasan sanggup turun ke akar umbi menyelami masalah di kalangan ahli.
Bagaimanapun, kami mengharapkan pelaksanaan program ini dapat diterjemahkan kepada 'Pegawai Pelajaran Daerah Turun Padang' atau ringkasnya 'PPD Turun Padang'.
Banyak maklumat akan dapat apabila turun sendiri ke sekolah. Bukannya bermakna tidak percaya kepada pegawai-pegawai yang sebegitu ramai di PPD.
Kami mahu Pegawai PPD lihat sendiri keadaan sekolah di daerah masing-masing terutamanya Sekolah Kurang Murid (SKM) dan jauh di pedalaman.
Lihat sendiri keadaan fizikal sekolah dan hulurkan bantuan segera. Jangan asyik tertumpu kepada sekolah-sekolah elit di bandar.
Guru-guru akan berasa bangga sekiranya Pegawai PPD datang ke sekolah tanpa perlu dijemput dengan surat panjang berjela. Guru-guru begitu memerlukan perhatian dan suntikan semangat dari Pegawai PPD.
Jangan tunggu keputusan peperiksaan sudah merosot barulah datang untuk mencari kelemahan guru-guru. Musim peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak lama lagi, inilah masanya Pegawai PPD bertemu murid-murid yang akan menduduki peperiksaan dan juga guru-guru yang bertungkus-lumus tanpa mengira waktu.
Lihat sendiri bagaimana bersemangatnya guru-guru mencurahkan ilmu bagi menaikkan nama sekolah dan daerah masing-masing. Semoga tema 'Guru Menjana Transformasi Pendidikan Negara' dihayati dan dekat di hati seluruh warga pendidik.
Utusan Malaysia Online: 26 Jun 2012
TUDM perkenal Program Kolaborasi Bersama Sekolah-Sekolah Terpilih
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar mengenai perkembangan terkini TUDM serta teknologi penerbangan pesawat masa kini.
Tambahnya, TUDM menjadi salah satu komponen utama dalam bidang teknologi penerbangan dan pesawat yang mana teknologi itu semakin berkembang pesat ketika ini.
"TUDM melihat pendedahan kepada teknologi penerbangan dan pesawat mampu menarik minat para pelajar mengenali serta memperoleh ilmu pengetahuan yang holistik.
"Pendedahan melalui program ini diharap memberi galakan kepada mereka supaya lebih bersemangat dan berminat dalam bidang aeroangkasa seterusnya melahirkan generasi muda masa depan yang terbaik untuk TUDM serta negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program itu dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.
Sebanyak 28 sekolah terpilih antaranya Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (Semsas) Kuantan, Pahang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam, Selangor; SMK Datuk Ismail, Gong Kedak, Terangganu; Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah dan SMK Simpang Pulai, Perak.
Rodzali berkata, pihaknya berharap kerjasama itu akan membuka minda para pelajar bahawa TUDM adalah peluang kerjaya pilihan yang tepat pada masa depan.
Tambahnya, TUDM akan berusaha mendekati para belia melalui pendekatan lebih intim supaya boleh berfikir dan mengenali institusi ketenteraan itu dengan lebih dekat.
"Bukan sekadar melalui media dan penerokaan teknologi terkini, tetapi kami datang kepada mereka serta turut mengundang mereka menjayakan matlamat bagi terus mempertahankan bumi tercinta ini.
"Jika para pelajar melalui sekolah-sekolah terpilih ini memilih berkhidmat dengan TUDM satu masa nanti, saya yakin ia akan mewujudkan satu ekosistem inovasi yang kondusif," katanya.
Beliau berkata, TUDM akan terus dibentuk sebagai organisasi cemerlang, berprestasi tinggi dan mempunyai kepimpinan kukuh oleh para pelajar yang merupakan pewaris masa depan negara.
Utusan Malaysia Online:26 Jun 2012
Khamis, 14 Jun 2012
Jaga sekolah sambil lewa
Amaran dibuat berikutan ada beberapa pengawal sekolah khususnya di bandar yang gagal berfungsi dengan baik, malah langsung tidak memberi perhatian terhadap kenderaan dan pelawat yang keluar masuk.
Perkara itu diakui Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang memberitahu berdepan situasi itu ketika mengadakan lawatan mengejut di beberapa sekolah, baru-baru ini.
“Sebagai contoh, ketika berkunjung ke sebuah sekolah di Putrajaya, pengawal keselamatannya bukan saja tidak melihat kenderaan yang masuk, malah duduk dalam pondok sambil baca surat khabar daripada saya mula-mula masuk hingga keluar semula.
“Sedangkan ketika melawat sekolah di kawasan pedalaman, kenderaan saya ditahan dan saya sendiri diminta mengisi rekod masuk. Saya tak marah pun apabila diminta buat begitu sebab saya tahu itulah prosedurnya dan sepatutnya dijalankan di semua sekolah.
“Bayangkan jika penjenayah atau pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk sedangkan pengawal keselamatan ada, tetapi tidak bertugas dengan baik,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup Hari Mekar Bahasa dan Sastera 2012 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan.
Kira-kira 400 murid sekolah rendah dan menengah menyertai program dua hari itu menerusi pelbagai pertandingan termasuk pertandingan sahibba, jejak bahasa, membaca berita, roda kata, kuiz bahasa dan sastera selain pidato, deklamasi sajak serta syair.
“Saya tak kata semua syarikat kawalan keselamatan gagal berfungsi, tetapi saya tidak mahu hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sebab itu, syarikat kena beri kerjasama lakukan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Beliau menyokong cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah anggota keselamatan termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk berkawal pada waktu puncak.
Menurutnya, persekitaran sekolah lebih selamat dan terkawal sekiranya pasukan keselamatan itu ditempatkan di pekarangan luar yang tidak mampu diselia pengawal keselamatan.
myMetro: 14 Jun 2012
Isnin, 11 Jun 2012
RELA kawal sekolah ditambah
Oleh Norakmah Mat Youb
2012/06/11
SERDANG: Anggota pasukan keselamatan termasuk Ikatan Relawan Rakyat
Malaysia (RELA) yang ditempatkan di sekolah akan ditambah bilangannya
terutama pada waktu puncak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu sudah dibawa ke Kabinet berikutan kes seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar yang diculik ketika berjalan kaki ke sekolah, pada April lalu.
Lebih 15,000 sukarelawan muda berkumpul di perhimpunan itu sebagai permulaan kepada gelombang kesukarelaan negara, yang memberi ruang menyumbang bakti terhadap pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka melancarkan yayasan yang memberi peluang generasi muda menyuarakan pandangan dan hak bersuara, bulan depan.
Mengenai kes penculikan di pusat membeli-belah, Hishammuddin berkata, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk kementerian lain mengenai langkah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kompleks membeli-belah.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada kementerian jika terdapat kawasan tertentu yang perlu dimasuk ke dalam senarai lokasi panas supaya tindakan selanjutnya boleh diambil,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata video perhimpunan BERSIH 3.0 akan disiar selepas dibentangkan kepada Panel Penasihat Bebas mengenai perhimpunan itu kerana tidak mahu dianggap mendahului panel terbabit.
Mengulas pengganti anggota panel itu yang menarik diri, katanya, panel yang dipengerusikan Tun Mohammed Haniff Omar diberi kebebasan untuk memilih penggantinya.
Berita Harian Online: 11 Jun 2012
Ahad, 10 Jun 2012
Kehadiran pihak berkuasa di sekolah ditambah
SERDANG — Kehadiran pihak berkuasa di sekolah-sekolah di negara ini akan ditambah terutama pada waktu pelajar masuk dan keluar sekolah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas, susulan kes penculikan kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke sekolah berhampiran rumahnya.
"Kita akan cuba libatkan badan sukarela termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kerana saya percaya dengan kehadiran lebih ramai mereka di kawasan tertentu pada masa tertentu akan mengubah persepsi bercanggah dengan kadar jenayah yang menurun yang telah diumum sebelum ini,” katanya hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan majlis Himpunan Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang, di sini.
Mengenai kes penculikan di pusat membeli-belah, Hishammuddin berkata beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk kementerian lain mengenai langkah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup di kompleks membeli-belah. — BERNAMA
Kosmo Online: 10 Jun 2012
Ahad, 13 Mei 2012
Sekolah digalak adakan program tingkat prestasi pelajar
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Raja Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik berkata, usaha itu perlu bagi memastikan para pelajar mempunyai nilai tambah sebelum menamatkan persekolahan mereka.
"Langkah menganjurkan program bertujuan mendedahkan para pelajar dengan ilmu tambahan sepatutnya dilakukan secara berterusan.
''Dengan adanya usaha sebegitu sudah tentu dapat mendedahkan pelajar kepada bidang kerjaya yang lebih luas," katanya pada majlis perasmian Seminar Penulisan Kreatif Sekolah Menengah Taman Datuk Harun di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Khas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, Datin Wong Fong Leng.
Seminar yang diadakan tersebut mendedahkan para pelajar dengan cabang penulisan kreatif.
Ia dikendalikan oleh novelis Ramlah Rashid yang pernah menghasilkan novel seperti Biarkan Indah Berlalu, Lara Di Jiwa Ajym dan Kemboja Di Hati.
Tambah Hanipuddin, penganjuran seminar penulisan tersebut dapat membuka minat pelajar dalam lapangan penulisan sekali gus meningkatkan prestasi penulisan bahasa Melayu.
"Ramai dalam kalangan penulis novel berjaya membina kerjaya dan mengecapi kehidupan yang lebih selesa. Justeru para pelajar yang hadir perlu memanfaatkan peluang ini demi menambahkan pengetahuan masing-masing," ujarnya.
Utusan Malaysia Online: 13 Mei 2012
Khamis, 26 April 2012
Kerajaan Beri Perhatian Sama Rata Terhadap Semua Jenis Sekolah - Muhyiddin
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana kerajaan sentiasa memberikan peruntukan sama rata kepada setiap sekolah serta memberi penekanan kepada soal pendidikan sebagai perkara utama.
"Soal pendidikan penting. Kalau ada orang mengatakan Menteri Pelajaran orang Melayu, dia tak suka orang Cina, ini tidak betul. Muka saya memang orang Melayu, tapi hati perut saya orang Malaysia.
"Sekolah Cina pun saya bantu, sebab tu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina kita tolong. Hari ini saya hendak umum kita nak bagi RM1.5 juta untuk sekolah di kawasan Batu Kawan. Saya juga setuju untuk bantu sekolah Tamil di sini," katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan 1Malaysia dengan penduduk Parlimen Batu Kawan di sini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian pada setiap 8,500 buah sekolah kebangsaan, 1,200 buah SJKC dan 500 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
"Untuk masa depan, kita akan beri perhatian pada soal pendidikan. Perdana Menteri bagi peruntukan yang besar pada saya tapi tidak cukup. Kita akan tambah, pada tahun depan, kita bajet kalau dapat tambah kita boleh bina sekolah," katanya.
Beliau berkata kerajaan tidak akan berhenti untuk melakukan perubahan bagi memastikan masa depan rakyat terus terpelihara.
Muhyiddin berkata sambutan penduduk di Batu Kawan terhadap program anjuran BN menunjukkan peningkatan dengan jumlah penduduk yang hadir hampir 10,000 orang.
Beliau berharap BN akan menebus kembali kekalahannya pada pilihan raya umum yang lepas dan berharap sokongan itu berterusan sehingga pilihan raya umum yang akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA: 26 April 2012
Sabtu, 14 April 2012
Guru sambung Ph.D di sekolah
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my

JOHOR BAHRU – Guru yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (Ph.D) kini boleh mengikuti pengajian di lima buah sekolah terpilih di negara ini.
Program Ph.D yang julung-julung kali diadakan itu turut membabitkan pembinaan makmal khas di lima buah sekolah terpilih dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sebanyak 100 tempat bakal ditawarkan kepada guru pada peringkat awal.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Zaini Ujang berkata, kelima-lima buah sekolah terlibat terletak di Johor, Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Sebelum itu, menurutnya, UTM telah diberi kepercayaan daripada Kementerian Pelajaran bagi mengendalikan program berkenaan.
“UTM menyediakan penyelia bagi kesemua guru terlibat dengan setiap sekolah dibahagikan kepada 20 pelajar.
“Sebanyak RM80 juta diperuntukkan dan setiap sekolah menerima sebanyak RM50,000 bagi tujuan naik taraf makmal,” katanya.
Kosmo Online: 14 April 2012
Rabu, 28 Mac 2012
PERMATApintar asah bakat
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program PERMATApintar merupakan salah satu pendekatan terbaik bagi menangani isu kehilangan bakat-bakat pintar ekoran tindakan mereka berhijrah ke luar negara.
Beliau berkata, kerajaan sedar disebabkan ketiadaan sistem pendidikan yang khusus untuk golongan itu, mereka terpaksa ke negara lain semata-mata untuk mengikuti pengajian yang sesuai dengan tahap kepintaran luar biasa yang dimiliki.
Keadaan itu kata Perdana Menteri sudah semestinya amat merugikan kerana bakat pelajar-pelajar terbabit tidak dapat dimanfaatkab sepenuhnya untuk pembangunan negara.
"Negara-negara maju serta beberapa negara membangun telah lama mempunyai satu program khusus untuk pelajar-pelajar pintar mereka dan kita pula baru hendak mengorak langkah. Sungguhpun begitu kita masih belum terlambat dalam menyediakan sistem pendidikan terbaik untuk pelajar-pelajar pintar negara ini.
"Atas asas ini juga kita memperkenalkan program PERMATApintar dengan tujuan anak-anak yang mempunyai kepintaran luar biasa boleh meneruskan pengajian dalam negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Komplels Pusat PERMATApintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini, hari ini.
Hadir sama Penaung PERMATA Negara, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan dan Naib Pengerusi Yayasan Al-Bukhari, Datuk Seri Ismail Yusof
Dalam perkembangan berkaitan Perdana Menteri turut memberitahu program PERMATA juga merupakan pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada atas peranannya sebagai landasan bagi pelajar-pelajar pintar di Malaysia.
"Umum mengetahui kerajaan sangat komited untuk melakukan pembaharuan kepada sistem pendidikan negara demi masa depan yang lebih cemerlang khususnya untuk generasi muda dan generasi akan datang.
"Baru-baru ini Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan program i-Think yang bertujuan menggalakkan para pelajar bijak menggunakan kemahiran berfikir. Realitinya kemahiran ini amat baik diterapkan kepada para pelajar kita kerana kita tidak tahu apakah bentuk cabaran terutama dalam sektor pekerjaan akan datang," ujarnya.
Dalam ucapannya Najib turur menyebut beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh program PERMATA antaranya kejayaan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang kini sedang mengikutiz pengajian prauniversiti.
Selain itu terdapat enam pelajar tingkatan empat yang telah menerima tawaran memasuki universiti terkenal di Amerika Syarikat seperti University of California, University of Michigan, University of Wisconsin-Madison dan University of Purdue.
Beliau berkata, lima pelajar terbabit ialah Nur Syazana Natasha Hisham; Vishal Kalyani Mukudan; S.Kavinraj Naggan; Yek Ching Kong; Lee Yan Joe dan Khoo Jia Hui.
Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2012
Isnin, 26 Mac 2012
guru.net.my kuasai daerah Bentong
Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
upen@bharian.com.my
2012/03/26
PEJABAT Pelajaran Daerah (PPD) Bentong, Pahang menyambut baik langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dengan kerjasama Majlis Perbandaran Bentong, menyediakan modul pembelajaran secara maya kepada pelajar kurang mampu di kawasan pentadbirannya.
Taklimat diberikan Editor Buku Berita Harian, Sabri Said, turut hadir Pengarang Pendidikan, Muhd Yusuf Abu Bakar; Pegawai Teknologi Maklumat MPB, Noraidah Baharin; Ketua Unit Pengurusan Akademik, Saiful Baharen Abdul Manaf dan Penolong PPD Unit Pengurusan Sekolah Menengah (Murid), Zabidi Othman.
Berita Harian membekalkan bahan pembelajaran Guru.net.my kepada MPB, selain itu, Majlis Perbandaran Muar, Johor turut menggunakan Guru.net.my untuk pelajar di Terminal Sejahtera mereka.
Amirullah juga berkata, sejumlah 15 sekolah rendah dan enam sekolah menengah di sekitar bandar Bentong bakal menikmati kemudahan berkenaan.
“Kami akan memilih pelajar yang layak mengikut syarat yang ditetapkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta MPB dalam tempoh terdekat.
“Langkah kementerian menyediakan pembelajaran secara maya kepada pelajar mampu memberi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan di daerah Bentong,” katanya.
Sementara itu, Noraidah berkata, Terminal Sejahtera bertujuan menyediakan kemudahan pembelajaran di luar waktu sekolah kepada golongan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.
“Terminal ini yang akan dikendalikan pembimbing yang terlatih akan membantu pelajar meningkatkan prestasi pembelajaran melalui kemudahan tuisyen talian terus dan bilik belajar yang selesa.
“Selain makmal komputer untuk pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia, bilik tutorial turut disediakan dan keutamaan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan Enam yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia,” katanya.
Berita Harian Online: 26 Mac 2012
Selasa, 6 Mac 2012
Bahasa Arab, Mandarin lemah
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
2012/03/06
GURU tidak terlatih dan tidak tersenarai antara lima subjek dinilai peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikesan antara punca penguasaan murid bagi dua subjek elektif iaitu bahasa Arab dan Mandarin berada pada tahap kurang memuaskan.
Katanya, pada dasarnya P&P dua mata pelajaran itu bergantung kepada kemampuan sekolah melaksanakannya dengan mengambil kira kepakaran guru.
“Bagi sekolah yang tiada kepakaran dan gagal menyediakan kemudahan makmal, sukar melaksanakan proses P&P dengan berkesan.
“Subjek elektif ini sebenarnya dikhususkan kepada murid bukan penutur bahasa terbabit dan mengikuti persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK),” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Mohd Nor berkata, berdasarkan statistik seramai 1.5 juta murid mengikuti pembelajaran bahasa Arab di 4,776 sekolah di seluruh negara sehingga 2010 manakala bahasa Mandarin seramai 34,449 di 461 sekolah sehingga awal tahun lalu.
Mengenai murid Cina dan India bukan Islam yang mengikuti pembelajaran bahasa Arab, beliau berkata jumlahnya terlalu rendah iaitu sekitar seorang hingga lima orang di seluruh negara.
Bagaimanapun katanya, ramai murid Melayu dan India mengikuti subjek bahasa Mandarin berikutan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan menguasai bahasa berkenaan.
Berita Harian Online: 6 Mac 2012
Rabu, 22 Februari 2012
Semai di sekolah
izawan@hmetro.com.my
PETALING JAYA: Sekolah menjadi tempat terbaik menyemai semangat menghargai kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, sekali gus menjana kekuatan besar demi masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sangat istimewa kerana semangat kerjasama, persefahaman dan perpaduan antara kaum dipupuk sejak sekian lama.
“Ada negara di dunia yang mengamalkan satu agama, tetapi berpecah kepada puak tertentu, ada juga negara yang mempunyai kepelbagaian agama, tetapi sering kali berlaku ketegangan berpunca daripada perbezaan kepercayaan, bagaimana sesebuah negara boleh maju jika tidak aman.
“Sehubungan itu, golongan pendidik, guru, ibu bapa dan anak-anak, jangan sentuh sensitiviti agama sebaliknya hormati kelainan yang ada pada kita demi masa depan negara,” katanya dalam ucapan di majlis pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Mahmud Karim.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua sekolah perlu mengambil inisiatif menganjurkan program tertentu bagi memupuk perpaduan, toleransi dan kepelbagaian antara murid.
“Pada tahun ini, tema Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia hasil cetusan idea Raja Abdullah ke-2 dari Jordan ialah ‘harmonize’ dan di Malaysia, tafsiran paling hampir serta popular adalah menggalakkan muhibah di kalangan penganut pelbagai agama.
“Kita sudah mengamalkannya sekian lama, kita saling menghormati dan keistimewaan ini perlu syukuri kerana dengan nikmat ini Malaysia mencatat kemajuan seperti hari ini,” katanya.
myMetro: 22 Februari 2012
Isnin, 20 Februari 2012
35,000 guru, pelajar jadi ejen antidadah

Seramai 35,000 guru dan pelajar telah dilatih sebagai ejen perubahan pencegahan dadah di sekolah di seluruh negara sejajar dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia Sekolah Bebas Dadah 2012.
Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Haniff Hassan berkata, bagi memastikan matlamat murni itu tercapai, Pemuafakatan Program Pencegahan Dadah (PPDa) antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Petronas telah dilaksanakan.
Menurutnya, fokus pelaksanaan program adalah kepada aktiviti-aktiviti luar bilik darjah yang memberi peluang kepada pelajar mengetahui dengan lebih mendalam tentang akibat penyalahgunaan dadah dan langkah pencegahan untuk menghindari diri daripada aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Ia juga selari dengan usaha membangunkan modal insan yang memiliki ketahanan dan jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani.
"Selain itu, ia membentuk nilai PPDa iaitu budaya sihat, tingkah laku positif, amalan nilai murni dan sikap benci dadah di kalangan warga sekolah sejak dari kecil lagi," katanya ketika berucap pada majlis Malam Anugerah Program Sahabat PPDa-Petronas 2011 di Bukit Gambang Resort Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Mazlan Mohamad yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin.
Haniff memberitahu, tujuan program ini juga adalah untuk mewujudkan permuafakatan warga sekolah dengan masyarakat luar sekolah dalam usaha mencegah dadah selain menyediakan alternatif yang berfaedah supaya dapat menyekat pelajar daripada terlibat dengan dadah.
Tambah beliau, melalui permuafakatan tersebut ia memberi peluang penglibatan ramai pelajar dan memberi pengalaman kepada pelajar untuk meningkatkan motivasi ke arah kecemerlangan hidup.
Katanya, usaha pihak sekolah menyediakan sama ada bilik sumber dan sudut/lorong PPDa dengan pelbagai informasi berkaitan pendidikan dadah, rokok, inhalan, arak dan HIV/Aids adalah usaha yang sangat baik.
"Majlis Anugerah Alumni Sahabat PPDa-Petronas kemuncak kepada program Sahabat PPPDa-Petronas yang mula diwujudkan sejak tahun 2009 dalam membantu Kementerian Pelajaran menghapuskan penyalahgunaan dadah pada tahun 2012," jelasnya.
Hal ini ujarnya, adalah tanggungjawab sosial Petronas seperti mewujudkan Universiti Petronas atau Petrosains kepada pelajar supaya rakyat Malaysia lebih berpendidikan serta celik sains, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Utusan Malaysia Online: 20 Februari 2012
Ahad, 12 Februari 2012
Guru berperanan jelas perkara benar

IPOH - Guru berperanan menjelaskan kepada rakyat perkara benar bagi menangkis serangan pembangkang terhadap kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun tidak boleh terlibat dalam politik secara aktif, guru sebagai penjawat awam berperanan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai serangan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.
"Kita tidak perlu bersifat apologetik apabila kita membicarakan apa yang kerajaan telah buat," katanya ketika menjawab soalan peserta pada Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini semalam.
Beliau berkata, pembangkang sering memfitnah dan membuat pelbagai tohmahan tetapi guru dalam perkhidmatan kerajaan tahu bahawa ia tidak benar.
Menjawab soalan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah iaitu RM100 sebulan.
Kosmo Online: 12 Februari 2012
Isnin, 30 Januari 2012
Pendidikan di sebalik tirai besi
(PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad)
TIDAK ramai yang tahu di sebalik bangunan yang dikawal rapi dengan dinding batu yang tinggi dan tebal serta disalut dengan kawat berduri terdapat sebuah sekolah di dalamnya.
Sekolah ini dihuni oleh pelajar khas yang terdiri daripada banduan muda iaitu mereka yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana melakukan berbagai kesalahan jenayah. Hanya ada beberapa negara di dunia ini seperti negara kita yang menyediakan kemudahan pendidikan di dalam penjara.
Laporan Khas dalam Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu merupakan maklumat menarik yang lengkap dan dapat dikongsi bersama mengenai perkembangan salah satu cabang sekolah di negara kita. Kemudahan pendidikan ini menunjukkan betapa kerajaan sangat prihatin terhadap hak untuk mendapat pendidikan termasuk kepada kanak-kanak yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Walaupun berada di sebalik balik tirai besi keperluan mendapatkan pendidikan secara formal dalam kalangan kanak-kanak itu tidak diabaikan. Sekolah dalam penjara ini dikenali sebagai Sekolah Integriti yang mula beroperasi sejak 2008.
Seperti kanak-kanak lain mereka juga disediakan perkhidmatan guru terlatih dan berpengalaman serta dibekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi.
Hingga kini terdapat 1,650 pelajar yang terdiri daripada pesalah juvenil yang sedang mengikuti pelajaran di enam buah penjara. Sekolah Integriti ini beroperasi mengikut zon iaitu di Penjara Kajang, Penjara Kluang, Penjara Marang, Penjara Sungai Petani, Penjara Kuching dan Penjara Kota Kinabalu.
Ini termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney di Melaka dan Keningau, Sabah yang beroperasi sejak 1950. Pertambahan bilangan pelajar di sekolah ini agak tinggi di mana jumlahnya hanya 531 tahun 2008, 531 tahun 2009 dan meningkat kepada 1,104 pada 2010.
Kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penjara bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada banduan muda ini seharusnya diberi pujian. Matlamat pendidikan di sekolah ini bukan setakat menyediakan keperluan asas literasi dan numerasi kepada kanak-kanak tersebut tetapi turut menyediakan keperluan masa depan mereka.
Dengan kata lain pelajar-pelajar ini diberikan kemudahan mengikuti pelajaran akademik, kokurikulum dan vokasional yang bertujuan untuk melahirkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di bidang akademik pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi melengkapkan diri aspek motivasi, pembinaan sahsiah dan kemahiran 'soft skill' turut diberikan.
Diharapkan apabila meninggalkan institusi penjara nanti setidak-tidaknya mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam persekitaran masyarakat. Di samping itu dapat berdikari dengan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman yang telah diterima sepanjang berada di penjara.
Agak menarik adalah pencapaian akademik yang menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Misalnya terdapat pelajar yang memperolehi 6A dalam peperiksaan PMR dan pelajar terbaik dalam SPM memperolehi 7A dan 1B. Peratus kelulusan adalah tinggi iaitu PMR 90.1 peratus dan SPM 95.24 peratus.
Kejayaan dalam bidang akademik ini sudah tentu atas usaha keras pelajar dan sokongan kuat guru-guru di sekolah berkenaan. Ini membuktikan bahawa suasana pembelajaran di penjara bukanlah menjadi faktor penghalang kepada kejayaan.
Beberapa tahun lepas penulis berpeluang melawat Sekolah Integriti di Penjara Kajang dan Penjara Kluang. Sebaik sampai ke sekolah tersebut jelas perasaan kagum dengan kelengkapan bilik darjah, makmal dan pusat sumber yang kelihatan sangat kemas dan lengkap. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah dikira setanding dengan sekolah harian yang lain.
Demikian juga guru-guru yang bertugas adalah merupakan guru terlatih dan berpengalaman. Mereka dipilih khusus untuk mengajar di sekolah berkenaan selepas melalui beberapa peringkat temuduga.
Dalam perbualan, guru-guru tersebut menyatakan rasa bangga kerana berpeluang berkhidmat di sekolah berkenaan. Menurut mereka saat yang paling menyedihkan ialah ketika hampir cuti panjang persekolahan di mana pelajar-pelajar seolah-olah tidak mahu berpisah dengan guru.
Pelajar sangat mesra dengan guru dan menganggap guru-guru sebagai pengganti ibu dan bapa. Pelajar sangat patuh dan sentiasa menghormati guru-guru malah sangat suka jika guru sering berleter atau memberi nasihat panjang kerana dikatakan sama seperti sikap ibu mereka semasa berada di rumah dahulu.
Langkah Kementerian Pelajaran menempatkan 102 orang guru dan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap adalah suatu yang harus diberi pujian. Walaupun pelajar-pelajar pernah melakukan kesalahan jenayah tetapi hak mereka untuk mendapat pendidikan yang terbaik secara format tidak harus diabaikan.
Moga-moga segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi di sekolah tersebut akan dapat dimanfaatkan selepas meninggalkan bangunan penjara di suatu hari nanti.
Utusan Malaysia Online: 30 Januari 2012