Memaparkan catatan dengan label malu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label malu. Papar semua catatan

Isnin, 27 Januari 2014

Bekas guru besar dihukum kerana salah guna kuasa

ALOR SETAR 27 Jan - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM148,500 kepada seorang bekas penjawat awam setelah didapati bersalah atas lima tuduhan salah guna kuasa membabitkan bekalan pakaian seragam ko-kurikulum sekolah pada 2008 dan 2009 bernilai RM32,400.
Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Zakaria Md Lazim,56, yang merupakan guru besar Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini ketika kesalahan dilakukan.
Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari hari ini, manakala tertuduh akan dipenjara 15 bulan lagi jika gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.
Dalam pertuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR), sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 dan dia didakwa mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya sendiri, Ros Adimas Md Lazim.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian PBSM bernilai RM6,300, set pakaian TKRS bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700.
Dalam pertuduhan kelima, Zakaria juga didakwa menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian seragam PBSM, Pengakap, Puteri Islam dan TKRS bernilai RM5,900 di SKTB pada September 2009.

Utusan Malaysia: 27 Januari 2014

Sabtu, 25 Januari 2014

Kecewa guru denda anak macam lembu

  • budak makan rumput Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amin Osman (tengah, duduk) mahu tindakan tegas, ke atas guru SJKC yang menghukum dua murid seperti lembu. - Foto Sinar Harian oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
1 / 1
SUNGKAI - Dua ibu murid Tahun Empat di sebuah sekolah aliran Cina di sini kecewa dan sedih dengan cara seorang guru lelaki mendenda anak mereka kerana tidak membuat kerja sekolah pada Khamis lepas.
Mereka mendakwa guru berusia 26 tahun itu mengalungkan loceng di leher anak lelaki masing-masing dan diberi makan rumput serta dipanggil 'lembu'.
Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 32, berkata beliau diberitahu oleh rakan anaknya bahawa guru itu turut merakam gambar anaknya dalam keadaan demikian  menggunakan telefon bimbit serta menunjukkan gambar itu kepada murid-murid di kelas lain sambil mengugut akan memuat naik gambar itu dalam laman sosial Facebook.
Katanya beliau amat sedih, kecewa dan sakit hati apabila mengetahui perkara itu dan akibat kejadian itu, anak lelakinya mengalami fobia dan takut untuk ke sekolah semalam, katanya kepada pemberita di kawasan Surau Awamiah, Taman Permai di sini, hari ini.
Siti Aisyah Hashim, 32, pula berkata mereka telah mengadakan pertemuan dengan guru itu dan guru besar sekolah berkenaan di Balai Polis Sungkai petang semalam bagi menyelesaikan perkara itu.
Dalam pertemuan itu, katanya guru berkenaan hanya memohon maaf dan terus beredar dari balai polis sebaik pertemuan itu selesai dan beliau menganggap permohonan maaf guru itu tidak ikhlas. 
Sementara itu, seorang daripada murid itu berkata mereka tidak disuruh memakan rumput yang diberikan dalam kejadian pada 9 pagi itu tetapi diberi amaran supaya tidak menanggalkan loceng itu sehingga 1.30 petang, jika tidak mahu dirotan sebanyak 10 kali.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw mengesahkan bahawa Yarni telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
"Siasatan polis dibuat dengan memanggil kedua-dua pihak dan murid terbabit.

Perjumpaan dihadiri Guru Besar sekolah berkenaan dan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang.
"Hasil perbincangan mendapati guru itu mengaku melakukan perkara itu tetapi menafikan memberi mereka makan rumput," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Som Sak berkata guru itu mengambil tindakan demikian kerana  kedua-dua murid berkenaan tidak menyiapkan kerja rumah bahasa Inggeris sejak dua minggu lepas.
Dalam laporan polisnya di Balai Polis Sungkai pada 1.20 petang semalam, Yarni Kasuma mendakwa anaknya bersama-sama seorang lagi rakan kelas telah didenda memakai loceng di leher semasa murid lain menikmati waktu rehat.- Bernama

Sinar Harian: 25 Januari 2014

Jumaat, 17 Januari 2014

Mukadimah zina: Guru besar, guru diarah bela diri

  • Diarah bela diri atas tuduhan mukadimah zina  
  • Guru besar (kanan) dan tertuduh wanita tersebut turut keluar sambil menutup muka mengelak wajahnya dirakam media.
KOTA BHARU - Seorang guru besar dan guru sebuah sekolah rendah di Pasir Mas diarah Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam supaya membela diri atas tuduhan mukadimah zina, April lalu.

Perintah dibuat Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan terhadap guru besar berusia 54 tahun dari Kampung Perupok, Chetok, Pasir Mas, dan pasangan berusia 26 tahun dari Taman Lubok Jong, daerah sama.

Lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan mukadimah zina iaitu berada di atas tubuh seorang perempuan yang bukan isteri atau muhramnya dalam keadaan separuh bogel dalam sebuah kereta Perodua Kancil pada jam 8.30 malam, 28 April lalu.

Wanita tersebut pula didakwa atas tuduhan sama dalam keadaan separuh bogel dengan memakai t-shirt tetapi seluar ditanggalkan serta berada di bawah badan lelaki tersebut masa dan tarikh yang sama.

Perbuatan dilakukan dengan di tempat duduk hadapan dalam sebuah kereta yang dipakir di bahu Lebuh raya Pasir Mas-Rantau Panjang, Kampung Gaung, Pasir Mas.

Pada prosiding semalam, pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie kes pada keputusan pada akhir kes pendakwaan.

Peguam mereka, Yuslan Yusof bagaimanapun memohon tarikh lain berikutan kedua-dua anak guamnya belum bersedia untuk perintah itu. Nik Najib kemudian bersetuju dan menetapkan sebutan semula pada 27 Mac depan.

Kedua-dua ditahan dalam serbuan kakitangan Pejabat Agama daerah itu. Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Syarie (Kanan), Norhasney Ridhwan Hassan.

Sinar Harian: 17 Januari 2014

Rabu, 21 November 2012

Guru besar dituduh terima suapan RM32,400

ALOR SETAR, 21 Nov (Bernama) -- Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan menerima suapan bernilai RM32,400 membabitkan bekalan pakaian seragam ko-kurikulum sekolah pada 2008 dan 2009.

Zakaria Md Lazim, 54, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman.

Bagi pertuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR) sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 dan dia didakwa mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya sendiri, Ros Adimas Md Lazim.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian PBSM bernilai RM6,300, set pakaian TKRS bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700.

Semua kesalahan itu dituduh dilakukan di SKTB pada November 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (undang-undang Malaysia Akta No.575) dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama.


BERNAMA: 21 November 2012

Ahad, 12 Ogos 2012

Murid dicabul guru lebih setahun lalu

KUALA LUMPUR: Rahsia kemurungan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun terjawab apabila dia mendakwa dicabul guru lelaki sekolah itu sejak lebih setahun lalu.
Perbuatan itu terbongkar jam 5 petang Khamis lalu, apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya berusia lewat 30-an sebelum membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini.

Menurut sumber, mangsa mendakwa dicabul guru lelaki berusia 30-an itu sejak darjah dua.
“Guru lelaki itu dilaporkan memanggil mangsa datang dekat dengannya sebelum memegang alat sulitnya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa tidak berani menceritakan kejadian itu kepada sesiapa, termasuk keluarganya, kerana bimbang dimarahi guru terbabit.

“Sejak itu, mangsa dilaporkan sering murung dan takut pergi ke sekolah. “Namun tak tahan diperlakukan demikian, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya.
“Terkejut dengan pengakuan itu, ibu mangsa bergegas ke sekolah untuk mengadu kepada guru besar. Selepas siasatan dilakukan pihak pengurusan sekolah, guru terbabit mengakui melakukan perkara keji itu,” katanya.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di balai polis untuk tindakan lanjut.

myMetro: 12 Ogos 2012

Rabu, 25 Julai 2012

Guru wanita dipercayai dirogol rakan sekerja

Wartawan Sinar Harian
25 Julai 2012
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad
SABAK BERNAM- Perubahan sikap seorang guru wanita yang menjadi pasif dan pendiam membongkar rahsia dia dirogol rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 5 pagi, 14 April lalu, mangsa yang baru bangun dari tidur diterkam suspek berusia 37 tahun di ruang tamu rumahnya sebaik sahaja dia membuka pintu.

"Suspek seorang guru sekolah rendah bertindak menerkam dan merogol mangsa yang ketika itu bersendirian di rumah.

"Bagaimanapun tiada ugutan yang dibuat dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Noor Mushar,  disebabkan kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun itu trauma dan berubah  sikap menjadi pasif serta pendiam yang kemudiaannya perubahan itu disedari oleh suami mangsa.

"Mangsa yang pada mulanya takut menceritakan tragedi itu akhir terpaksa mengakui menjadi mangsa rogol selepas didesak berkali-kali oleh suaminya.

"Mangsa ditemani suami kemudiaannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, kira-kira jam 2 petang, Ahad lalu," katanya,

Berdasarkan laporan yang diterima, polis bertindak menahan suspek yang sudah berkahwin namun masih belum mempunyai cahaya mata itu di kediamannya di sekitar Sungai Besar kira-kira jam 10 malam, pada hari sama laporan dibuat.

"Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Sementara itu, katanya, orang ramai diminta segera membuat laporan dan tidak mendiamkan diri sekiranya menjadi mangsa jenayah.

"Laporan itu penting bagi memudahkan siasatan dijalankan dan membolehkan tindakan segera diambil ke  atas penjenayah," katanya.

Sinar Harian: 25 Julai 2012

Isnin, 19 Mac 2012

Guru dicekup khalwat

KOTA KINABALU: Seorang guru wanita berusia 33 tahun mengambil kesempatan cuti persekolahan ‘menetap’ bersama teman lelakinya yang juga duda anak dua berusia 28 tahun sebelum kedua-dua mereka dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di sebuah rumah di Kampung Unggun Jaya Menggatal, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3 pagi, lelaki berkenaan yang hanya bertuala mengaku teman wanitanya berada di bilik dalam rumah berkenaan secara berasingan, namun pemeriksaan menemui pakaian dan MyKad milik duda berkenaan di dalam bilik guru terbabit.


Terdahulu, sepasukan penguat kuasa JHEAINS mendapat maklumat awam berlaku kegiatan tidak bermoral di rumah lelaki berkenaan sebelum melakukan intipan.

Sebaik mengesan kehadiran wanita di rumah berkenaan, penguat kuasa mengetuk pintu dan memberi salam sebelum dibuka seorang gadis dipercayai adik lelaki terbabit.


Ketika pemeriksaan, lelaki berkenaan ditemui berada di bilik berasingan dengan bertuala dan menafikan ada membawa wanita ke dalam rumah.


Namun, penguat kuasa menemui seorang wanita berada dalam bilik dan mengaku tunang lelaki terbabit.

Bimbang tembelangnya pecah, lelaki berkenaan memberi alasan mereka akan berkonvoi keesokan hari dan wanita itu yang berasal dari Pitas terpaksa bermalam di rumahnya.


Pemeriksaan dalam bilik wanita itu menemui barang milik lelaki berkenaan sebelum kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Alam Mesra untuk membuat laporan.

Penolong Ketua Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Khamis Jamil berkata, pihaknya sering menerima aduan mendakwa wanita yang juga seorang guru sekolah rendah sering mengunjungi rumah teman lelakinya terutama pada hujung minggu.


“Soal siasat mendapati duda itu sering berkunjung ke rumah teman wanitanya di Pitas,” katanya.

myMetro: 19 Mac 2012

Khamis, 9 Februari 2012

Rahsia guru edar dadah terbongkar

TEMERLOH: Kegiatan licik seorang guru berusia 32 tahun berstatus duda menjadi pengedar dadah kecil-kecilan di Tualang Hilir, Kerdau, di sini, terbongkar apabila dia ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan pihak berkuasa pada jam 5 petang, kelmarin.

Difahamkan, ketika serbuan, guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah itu nekad merempuh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang mengepungnya.


Bagaimanapun, lelaki terbabit gagal memboloskan diri terjatuh dari motosikal ditunggangi sebelum bertindak agresif dan bergelut dengan sepasukan anggota polis dalam usaha memboloskan diri.

Pada masa sama, polis merampas beg pinggang dipakai guru terbabit dan mendapati ia mengandungi satu tiub straw berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 0.20 gram.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor, berkata selain itu, polis turut menemui lapan keratan kertas aluminium yang mengandungi beberapa ketulan pil jenis E5.


Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM463 dipercayai hasil kegiatan penjualan dadah dan alat timbang digital yang digunakan untuk menyukat syabu mengikut tempahan pelanggan.

Katanya, siasatan mendapati, guru terbabit sudah 13 tahun mengajar dipercayai terbabit dalam kegiatan haram berkenaan empat tahun lalu.

myMetro: 9 Februari 2012

Jumaat, 27 Januari 2012

Rogol, cabul murid dalam makmal


MAHKAMAH Sesyen di Kota Bharu, Kelantan di dalam bangunan ini semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Hock Soon (gambar kecil) selepas didapati bersalah merogol dan mencabul seorang murid berusia 12 tahun tiga tahun lalu.


KOTA BHARU – Perbuatan jahat seorang guru sains dan bahasa Cina yang sanggup memperkosa serta mencabul seorang murid darjah enam berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, Yek Hock Soon, 29, dari Sitiawan, Perak, didapati bersalah oleh Hakim Rofiah Mohamad selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Hock Soon yang telah berkahwin dan baru mendapat seorang cahaya mata dua bulan lalu dituduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan di makmal sains sebuah sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh di antara pukul 8 pagi hingga 3 petang awal bulan Ogos 2009.

Dakwaan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara lebih 30 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan mangsa di tempat sama pada pukul 12.15 tengah hari 17 Ogos 2009 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, denda atau sebat.

Dalam penghakimannya, Rofiah mengatakan, dia mengambil kira kepentingan awam serta hubungan tertuduh dengan mangsa sebagai guru dan murid dalam menjatuhkan hukuman.

“Hubungan itu sepatutnya suci dan bertanggungjawab. Jenayah seperti ini penting untuk dibendung oleh perundangan.

“Selepas mendengar hujahan pihak pendakwa dan pembela, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol serta tiga tahun penjara dan dua sebat bagi kesalahan mencabul. Hukuman itu hendaklah dijalankan secara berasingan,” kata Rofiah.

Kosmo Online: 27 Januari 2012

Isnin, 21 November 2011

Siasat guru tampar murid hingga pecah cermin mata

JOHOR BAHRU 20 Nov. - Jabatan Pelajaran Johor diminta menyiasat seorang guru wanita di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Ungku Tun Aminah, Skudai dekat sini, yang didakwa menampar seorang murid sehingga lebam dan pecah cermin matanya Rabu lalu.

Ibu murid tersebut, S. Rukumani, 49, kesal kerana anaknya, S. Sri Viknesh, 11, tidak melakukan kesalahan tetapi tetap dihukum.

Murid tahun lima itu didakwa oleh guru wanita berkenaan mengisi sendiri laporan kad kemajuannya selain meniru tandatangan guru besar sekolah tersebut.

"Walaupun penjelasan sudah diberikan dan murid yang melakukannya pun telah mengaku, tetapi anak saya tetap ditampar lapan kali, empat di kanan dan empat lagi di kiri hingga pecah cermin mata sebelah kiri.

"Anak saya dipaksa mengaku sedangkan murid yang sebenarnya melakukan perbuatan itu tidak pula dihukum," katanya kepada pemberita di Taman Nesa, Skudai, dekat sini, hari ini.

Rukumani berkata, guru itu memberitahu perkara tersebut pada Selasa lalu apabila dia secara kebetulan datang ke sekolah untuk mengambil wang bantuan persekolahan RM100.

Menurut suri rumah itu, menerusi perbincangan dengan guru wanita dan guru besar sekolah tersebut, perkara berkenaan dianggap selesai.

Bagaimanapun, Sri Viknesh ditampar pada keesokan harinya dan dipaksa mengaku melakukan perbuatan tersebut tetapi anaknya tetap tidak mengaku.

Tidak puas hati dengan tindakan guru terbabit, dia dan suaminya, S. Shanmugham, 51, membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru Utara pada hari yang sama.

Mereka turut membawa anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah di sini kerana tamparan tersebut meninggalkan bekas dan kesan kemerah-merahan di kedua-dua belah pipinya.


Utusan Malaysia Online: 21 November 2011

Isnin, 24 Oktober 2011

Remaja dakwa diliwat guru

2011/10/24

MIRI: Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini mendakwa menjadi mangsa liwat seorang guru dikenalinya di laman sosial Facebook, sejak setahun lalu.

Guru lelaki terbabit berusia lingkungan 30-an dan masih bujang serta mengajar di sekolah berasingan dengan pelajar terbabit, dikatakan melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mangsa datang ke rumahnya di sini.
Difahamkan pelajar lelaki berusia 15 tahun itu sering menghabiskan masa bersama guru berkenaan di rumahnya selepas berkenalan melalui Facebook sehingga wujud hubungan rapat antara mereka.
Bapa pelajar itu bertanyakan anaknya mengenai hubungan mereka dan selepas didesak, pelajar berkenaan mengakui menjalin hubungan dengan guru lelaki berkenaan. - Jamaluddin Ibrahim, Ketua Polis Daerah Miri
Bagaimanapun, bapa pelajar terbabit mengesyaki sesuatu apabila mendapati anaknya amat mesra dengan guru lelaki itu.

“Bapa pelajar itu bertanyakan anaknya mengenai hubungan mereka dan selepas didesak, pelajar berkenaan mengakui menjalin hubungan dengan guru lelaki berkenaan.

“Terkejut dan marah dengan pendedahan itu, bapa pelajar berkenaan membuat laporan Jumaat lalu di Balai Polis Pusat Miri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Superintendan Jamaluddin Ibrahim, ketika dihubungi semalam, mengesahkan laporan kes berkenaan. Katanya, polis menjalankan siasatan terperinci berikutan mangsa mendakwa beberapa kali diliwat suspek di rumahnya.

“Kita belum membuat tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian Online: 24 Oktober 2011

Selasa, 18 Oktober 2011

Mahkamah izin tayang rakaman

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

AMPANG: Mahkamah Majistret di sini semalam membenarkan permohonan pembelaan menayangkan rakaman telefon bimbit membabitkan satu mesyuarat diadakan selepas kejadian ketua guru disiplin yang didakwa mencabul 11 pelajar perempuan berusia 15 dan 16 tahun di sebuah sekolah di Pandan Mewah, Februari lalu.

Rakaman video antara lima hingga tujuh minit itu yang dibuat seorang daripada guru di sekolah berkenaan ditayangkan di mahkamah bagi membolehkan Haniff Katri, peguam bela kepada Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, membuat soal balas terhadap saksi pendakwaan pertama, Ricky Toong Foo Weng, 25.


Dalam prosiding di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, Ricky yang juga pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee Ying Ha, ketika disoal balas peguam bela tertuduh mengesahkan rakaman berkenaan dan berkata, mesyuarat itu diadakan pada Isnin, 28 Februari lalu iaitu tiga hari selepas kejadian cabul berkenaan.

“Mesyuarat itu diadakan di antara wakil daripada Jabatan Pelajaran Selangor, sekolah, tertuduh, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan 11 mangsa bagi mencari penyelesaian,” katanya.


Ricky ketika menjawab soalan Haniff berkata, dia juga bersetuju orang yang banyak bersuara ketika mesyuarat terbabit adalah Jenice dan bapa seorang daripada mangsa. Sementara itu, Ricky yang mewakili semua mangsa cabul ketika membuat laporan polis terhadap guru disiplin berkenaan, bagaimanapun tidak bersetuju tindakan semua mangsa cabul itu yang bertepuk tangan selepas Jenice mengatakan guru berkenaan perlu diberhentikan menunjukkan mereka masih trauma.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff, membantah permohonan pembelaan yang mahu menayangkan rakaman telefon bimbit itu.

Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada semua mangsa di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi dan jam 8.30 pagi 25 Februari lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu. Perbicaraan bersambung hari ini.

myMetro: 18 Oktober 2011

Isnin, 17 Oktober 2011

Guru dari KL dicekup khalwat di Teluk Intan

TELUK INTAN: Seorang guru wanita sanggup mengharungi perjalanan dari Setapak, Kuala Lumpur ke rumah kekasihnya di Kampung Baru Batu 9, Changkat Jong, di sini, semata-mata mahu memadu kasih.

Paling mengejutkan, guru berusia 25 tahun dari Terengganu itu sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah bakal mentuanya ketika ibu bapa pasangannya tiada di rumah.


Bagaimanapun, tembelang pasangan itu dikesan penduduk kampung apabila mereka dicekup dalam serbuan dilakukan beberapa Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Hilir (PAIDHP) selain dibantu anggota polis pada malam Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, serbuan yang turut disertai imam, pegawai masjid serta beberapa Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menemui pasangan itu di dalam rumah berkenaan.


Difahamkan, pasangan itu enggan membuka pintu menyebabkan penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu hadapan rumah itu.


Sumber berkata, sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, pasangan itu dilihat sedang berbaring di atas tilam di dalam sebuah bilik.

myMetro: 17 Oktober 2011

Selasa, 11 Oktober 2011

Benci melampau

Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

KUCHING: Akibat tidak sebulu dengan pegawai bawahannya, seorang guru besar sekolah rendah di sini, didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menceroboh sistem maklumat peribadi empat guru lain semata-mata mahu mengisi borang bagi membolehkan keempat-empat guru terbabit dipindahkan.

Perbuatan tanpa diketahui keempat-empat guru terbabit dipercayai bermula apabila guru besar berusia 53 tahun itu dikatakan memasukkan maklumat palsu dalam borang e-G (penukaran guru) selepas dikatakan mengarahkan guru yang bertugas di bahagian pangkalan data menukarkan kata laluan serta ID pengguna sistem maklumat peribadi mereka.

Kejadian berlaku sejak April lalu hanya diketahui seminggu kemudian selepas seorang daripada guru terbabit gagal memasuki sistem berkenaan.

Seorang guru terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Shiela, 36, berkata, guru besar itu dikatakan tidak menyukainya kerana dia gagal menghadiri tiga aktiviti sekolah pada Disember tahun lalu atas sebab tertentu.


“Guru besar memaki saya dalam mesyuarat hanya kerana tidak dapat hadir dalam tiga aktiviti berkenaan. Saya tidak pernah menyangka masalah itu menjadi punca dia tidak menyukai saya sehingga sanggup mengisi borang pindah sekolah tanpa pengetahuan,” katanya yang sudah sembilan tahun bertugas di sekolah rendah berkenaan.

myMetro: 11 Oktober 2011

Jumaat, 23 September 2011

Penolong kanan sekolah, kontraktor tipu dokumen

Oleh Nurhayati Abllah dan Abu Bakar Al Sidek
bhnews@bharian.com.my
2011/09/23

   DOKUMEN palsu yang menggunakan cop Menteri Besar  (gambar atas) dan tiga cop asli (gambar bawah)   digunakan untuk urusan rasmi Pejabat Menteri Besar Perak    yang dirampas dalam serbuan polis   di Pulau Pinang, semalam.
DOKUMEN palsu yang menggunakan cop Menteri Besar (gambar atas) dan tiga cop asli (gambar bawah) digunakan untuk urusan rasmi Pejabat Menteri Besar Perak yang dirampas dalam serbuan polis di Pulau Pinang, semalam.
Suspek guna cop MB Perak palsu projek balak, perumahan

IPOH: Seorang penolong kanan sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan seorang kontraktor ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes penipuan serta pemalsuan dokumen menggunakan cop Menteri Besar Perak membabitkan kerugian lebih puluhan ribu ringgit.
Lelaki berusia 45 dan 47 tahun itu ditahan berasingan di Pulau Pinang dan di sini Selasa lalu, susulan dua laporan polis dibuat antara 2 hingga 11 Ogos lalu, membabitkan 12 kes berkaitan permohonan perusahaan pembalakan serta permohonan pelepasan dan penjualan lot kuota Bumiputera dalam projek perumahan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata, polis turut merampas tiga cop berkaitan urusan rasmi pejabat Menteri Besar serta beberapa dokumen berkaitan permohonan beberapa projek perusahaan di Perak.

“Polis menahan penolong kanan itu di Pulau Pinang, manakala kontraktor itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh,” katanya, semalam.

Awal Februari lalu, Pejabat Menteri Besar Perak membuat dua laporan polis berhubung kes penipuan dan pemalsuan dokumen menggunakan nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan jabatan kerajaan negeri berhubung kelulusan tanah serta projek membabitkan pembalakan.

Kes itu menyebabkan beberapa mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana tertipu mengenai tawaran projek yang didakwa mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.
Mohd Shukri berkata, siasatan turut mendapati tiga cop yang dirampas termasuk satu daripadanya cop Menteri Besar adalah cop asli yang digunakan untuk urusan rasmi pejabat Menteri Besar Perak dan ia dicuri dari pejabat berkenaan.

“Bagaimanapun, kita tidak menerima sebarang laporan polis mengatakan ketiga-tiga cop itu dicuri dari pejabat berkenaan dan kita tidak menolak kemungkinan kes itu membabitkan orang dalam. Kita masih menjalankan siasatan mengenai kes itu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu kini direman sehingga hari ini dan kini ditahan di IPD Cheras di Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut kerana mempunyai beberapa rekod jenayah lain.

Sementara itu, Zambry yang ditemui pada majlis Hari Ladang Peringkat Daerah Hilir Perak di Sungai Manik, dekat Teluk Intan, semalam memuji kecekapan polis memberkas pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Saya sendiri terkejut apabila ada rakyat yang berjumpa saya menunjukkan surat sokongan daripada Pejabat Menteri Besar yang ditandatangani saya sendiri, sedangkan saya tidak pernah mengeluarkan surat sokongan itu.

“Saya mengingatkan rakyat Perak agar tidak percaya dengan mana-mana individu yang mendakwa boleh memberi surat sokongan yang mempunyai cop rasmi Pejabat Menteri Besar,” katanya.

Zambry berkata, beliau menyerahkan kes itu disiasat polis secara terperinci untuk memberkas mereka yang bersalah.

Berita Harian Online: 23 September 2011

Isnin, 19 September 2011

Guru penolong kanan hadapi tuduhan pecah amanah

2011/09/19



KANGAR: Seorang guru penolong kanan hal ehwal murid sebuah sekolah rendah di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas tuduhan pecah amanah.
Farida Ariani Fadzil, 49, dituduh melakukan pecah amanah wang dari Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah RM5,400 yang sepatutnya dibayar kepada 12 murid tahun satu pada 4 November 2008 di pejabat Sekolah Kebangsaan Behor Empiang, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, guru yang tidak diwakili peguam itu tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh merayu jumlah jaminan itu dikurangkan kerana beliau adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai tanggungan seorang anak.
Hakim Mahkamah Sesyen, Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin itu. - BERNAMA

Berita Harian Online: 19 September 2011

Selasa, 13 September 2011

Guru dituduh cabul pelajar

13/09/2011 3:36pm

KUALA LUMPUR - Seorang guru sebuah sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencabul seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun Mac lepas.

Mohd Sabri Che Bedolah, 34, dari Taman Kajang Utama, Kajang, Selangor, didakwa mencabul kehormatan pelajar itu di tangga sekolah berkenaan pada 12 tengah hari 4 Mac lepas.

Mohd Sabri yang diwakili peguam Wan Ahamad Fadzil Wan Omar didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika disabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad menawarkan jaminan sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin tetapi Wan Ahamad Fadzil merayu supaya wang jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana anak guamannya terpaksa menanggung anak yang masih bersekolah serta keluarganya.

Majistret Aizatul Akmal Maharani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan kes.

Ibu Mohd Sabri membayar jaminan itu. - Bernama


Kosmo Online: 13 September 2011

Selasa, 23 Ogos 2011

Lahir bayi di sekolah

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my

TUMPAT: Curiga terdengar tangisan bayi dari sebuah bilik asrama sebuah sekolah agama dekat Pasir Pekan di sini, membongkar rahsia kelahiran seorang bayi lelaki masih bertali pusat yang dilahirkan pelajar tingkatan enam hingga menggemparkan pengurusan sekolah berkenaan, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari seorang pekerja sekolah terbabit selepas pelajar perempuan berusia 18 tahun itu ditemui bersama bayi lelakinya yang baru dilahirkan di atas katil dalam bilik asrama tingkat satu bangunan itu.


Menurut sumber, curiga dengan tangisan itu, pekerja berkenaan memanggil rakannya untuk memeriksa bilik asrama sekolah dan terkejut mendapati dua beranak terbabit berada di atas katil.

Beliau berkata, pelajar berkenaan kelihatan lemah, selain bimbang dengan kejadian berkenaan selepas melahirkan bayi di sekolah.


“Bimbang dengan keselamatan pelajar itu, pekerja berkenaa memaklumkan kepada pihak sekolah dan yang kemudian mendapatkan bantuan ambulans,” katanya.


Pelajar berasal dari Pasir Mas itu dipercayai melahirkan bayi di dalam tandas sebelum membawa anaknya yang masih bertali pusat ke dalam bilik tidur asrama sebelum terlantar akibat keletihan.

Pelajar terbabit dikatakan pernah mengadu sakit perut pada malam sebelum kejadian, namun dia mendakwa hanya sakit senggugut sebelum dipercayai meminta kunci bilik daripada pengawal keselamatan untuk naik ke bilik asrama.


“Pelajar itu mendakwa tertinggal barang dan meminta kunci bilik daripada pengawal keselamatan untuk naik ke biliknya.

“Dia pernah mengadu sakit perut kepada rakannya, namun bila ditanya dia kata senggugut, malah rakan-rakanya tidak mengesyaki apa-apa dan turut terkejut ," kata sumber.


Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi memberitahu tidak menerima sebarang aduan berhubung kejadian berkenaan.


“Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan dan tidak pasti kejadian itu berlaku di kawasan ini atau sebaliknya. Bagaimanapun siasatan akan dilakukan sekiranya laporan berhubung kejadian itu diterima,” katanya.


myMetro: 23 Ogos 2011


Jumaat, 12 Ogos 2011

Pelajar tidak tahan diliwat guru lapor polis

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
2011/08/12

GURU sebuah sekolah berasrama di Batu Rakit ketika di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
GURU sebuah sekolah berasrama di Batu Rakit ketika di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
Mangsa tinggal di asrama sering diajak ke kuarters

KUALA TERENGGANU: Tidak tahan terus menjadi mangsa liwat gurunya sejak beberapa bulan lalu, seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah berasrama di Batu Rakit di sini, membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit di sini, petang kelmarin.
Pelajar berusia 13 tahun yang tinggal di asrama sekolah itu dikatakan sering diajak guru berusia 41 tahun itu ke rumahnya di kuarters guru dalam kawasan sekolah untuk diliwat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata pelajar itu mendakwa menjadi mangsa liwat guru yang berasal dari bandar raya ini antara Mac hingga Jun lalu.

“Mangsa mendakwa diliwat tiga kali oleh guru itu antara Mac hingga Jun lalu di rumah guru itu yang terletak dalam kawasan sekolah.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa, polis menahan suspek yang sudah berkahwin di rumahnya jam 4 pagi semalam dan kini direman empat hari.

“Kita menyiasat kemungkinan ada pelajar lain menjadi mangsa kerakusan nafsu guru itu,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.
Manoharan berkata, pelajar itu yang dikatakan berasal dari bandar raya ini dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377 C kerana melakukan seks luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berita Harian Online: 12 Ogos 2011

Sabtu, 6 Ogos 2011

Cikgu ketuk

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun di sebuah sekolah rendah di sini mendakwa kepalanya sering diketuk manakala badannya ditumbuk seorang guru lelaki di sekolahnya.

Difahamkan, kejadian itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya mangsa mendakwa sering dipukul guru berusia lingkungan 30-an itu sejak empat bulan lalu.


Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi kelmarin, pelajar itu sekali lagi ditumbuk di badan selain kepalanya diketuk guru terbabit hanya kerana dia tidak menjawab soalan yang diberikan dengan betul.

Selepas pulang ke rumahnya di Jalan Klang Lama di sini dan memaklumkan kejadian berkenaan kepada bapanya, mangsa dibawa ke Balai Polis Petaling untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.


“Mangsa memberitahu, dia sering dipukul tanpa sebab manakala dalam kejadian terbaru, mangsa mendakwa dipukul guru terbabit menggunakan tangan hanya kerana salah menjawab satu soalan diberikan,” kata sumber.


Menurutnya, bapa mangsa yang terkejut dengan aduan anaknya itu cuba menenangkan mangsa kerana mendakwa takut untuk pergi ke sekolah.

Difahamkan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya kini trauma dan takut untuk meneruskan sesi persekolahan.


Sehubungan itu, bapa mangsa membawa anaknya itu membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan selain bimbang sekiranya perkara buruk terjadi kepada anaknya pada masa depan.

myMetro: 6 Ogos 2011