Isnin, 31 Oktober 2011

Mansuh PPSMI bukan sekelip mata

PENAMPANG 30 Okt. - Keputusan memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan dibuat sekelip mata tetapi sebaliknya selepas mengambil kira pelbagai faktor kelebihan dan kekurangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa ia juga dibuat selepas meneliti secara mendalam suara 5.3 juta pelajar dan ibu bapa, hampir 500,000 guru di 10,000 buah sekolah seluruh negara dan tenaga pakar melalui rundingan meja bulat.

Menurut beliau, segala maklum balas, kajian dan data ini diperoleh sejak PPSMI dilaksanakan di seluruh negara terutama mengenai kesan, pencapaian dan keupayaan kerajaan menyediakan tenaga guru mencukupi.

"Ia bukan buat keputusan hanya kerana nak buat keputusan. Semuanya sudah dikaji secara mendalam, bukan dibuat secara terburu-buru.

"Kita hormati Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang kononnya mendapat sokongan daripada 75,000 ibu bapa tetapi kerajaan juga mempunyai pandangan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-26 Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau mengulas hasrat Page untuk menulis surat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menarik balik pemansuhan PPSMI itu.

Tambah Muhyiddin, negara ini adalah bebas yang bermakna mereka mempunyai hak untuk menyampaikan pandangan dan kerajaan tidak akan sesekali menghalang kumpulan itu.

Utusan Malaysia Online: 31 Oktober 2011

Ahad, 30 Oktober 2011

Projek pendidikan: Kementerian Pelajaran setuju turunkan kuasa

30/10/2011 7:48pm

PENAMPANG 30 Okt. – Kementerian Pelajaran bersetuju menurunkan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak untuk menguruskan pemberian kontrak projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri itu.

Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat kewajaran untuk menurunkan kuasa itu memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang besar terutama daripada segi jumlah atau saiz sekolah.

"Sebenarnya dulu memang begitu... projek pendidikan di Sabah dan Sarawak di bawah jabatan kita yang ada di peringkat negeri tetapi beberapa tahun kebelakangan ini ia diurus pula oleh kementerian.

"Saya dapati memang ada kewajaran untuk kita turunkan balik kuasa kepada Sabah dan Sarawak.

“Satu cara ialah memberi kuasa kepada pengarah negeri untuk melihat bagaimana projek tertentu yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama diuruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-26 di KDCA, dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dalam ucapannya agar kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor Sabah untuk memperoleh kontrak bagi program yang mendapat peruntukan kerajaan Persekutuan. – Bernama

Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2011

Pilihan kaedah pembelajaran boleh cetus kucar-kacir

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menentukan kaedah pembelajaran anak-anak mereka sama ada menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sukar dilaksanakan kerana ia boleh menimbulkan keadaan kucar-kacir dalam sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, langkah itu juga boleh mendatangkan masalah di peringkat Kementerian Pelajaran untuk merancang kaedah sesuai bagi memenuhi kehendak sekolah yang mahukan sistem pendidikan bahasa Inggeris dan sekolah yang sebaliknya.

"Perkara ini sebenarnya sudah kita perhalusi, teliti dan pertimbangkan di peringkat kementerian.

"Bukan kerajaan tidak memahami hasrat ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka, tetapi kita mahu lihat pendekatan yang lebih sesuai dan itu yang sedang kita laksanakan ketika ini menerusi program Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya selepas merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahukan kerajaan memberi pilihan kepada ibu bapa menentukan sendiri kaedah pendidikan sains dan matematik bagi anak-anak mereka sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Muhyiddin menambah, keputusan kerajaan memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dihormati semua pihak kerana ia hadir dengan jaminan bahawa bahasa Inggeris tidak sesekali dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara.

Sebagai contoh tegas beliau, kurikulum MBMMBI yang dilaksanakan tahun ini telah dirombak menjadi lebih menarik, tambahan masa pengajaran subjek Bahasa Inggeris dan membawa guru penutur bahasa Inggeris untuk memantau guru-guru tempatan.

"Saya percaya langkah-langkah yang diambil kerajaan ini akan membuahkan hasil dalam beberapa tempoh akan datang sebab adalah mustahil ia akan menunjukkan kejayaan dalam masa setahun dua," katanya.


Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2011

Sabtu, 29 Oktober 2011

Sekolah Dalam Hospital diperluas

JOHOR BAHRU 28 Okt. - Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) kelolaan Yayasan Nurul Yaqeen akan diperluas ke enam lagi hospital kerajaan pada tahun depan.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, hospital yang dipilih adalah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Kita juga akan mewujudkan SDH di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Kuala Lumpur.

"Kesemua SDH di hospital tersebut akan dilaksanakan tahun depan dan harapan kami setiap negeri akan memiliki sebuah SDH pada masa akan datang," katanya selepas menghadiri taklimat dan lawatan ke tapak projek SDH di HSA, di sini hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan Pengarah HSA, Dr. Rooshaimi Merican A. Rahim Merican. Turut hadir, Fasilitator Projek Hati Nurani SDH, Dr. Noraini Zainal Abidin.

Noorainee yang juga Penaung Projek Hati Nuraini berkata, sebelum ini pihaknya melaksanakan projek perintis SDH di sekitar Lembah Klang iaitu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang pada Julai lalu.

"Saya bangga kerana program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan beberapa hospital secara sukarela mewujudkan sekolah tersebut di hospital masing-masing.

"Bagi memenuhi keperluan itu, guru-guru SDH yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran akan mengikuti latihan pengurusan dan pentadbiran program di Children's Hospital at Westmead, Sydney, Australia," katanya.

Menurutnya, SDH kini satu keperluan dan menjadi tanggungjawab kerajaan memberikan kemudahan tersebut bagi membolehkan pelajar yang mendapat rawatan tidak keciciran dalam pelajaran.

Utusan Malaysia Online: 29 Oktober 2011

Bersara, sambut hari lahir serentak


ROHANI Wahab menerima hadiah daripada murid-murid SK Taman Johor Jaya sempena hari persaraan dan hari lahirnya di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 28 Okt. - Persaraan Rohani Wahab sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Johor Jaya di sini hari ini lebih istimewa kerana tarikh lahirnya juga jatuh pada hari ini.

Rohani, 56, dari Kampung Dato' Sulaiman Menteri di sini yang sudah 38 tahun berkhidmat sebagai guru menyifatkan hari ini sebagai sesuatu yang indah dan tidak dapat dilupakan.

Menurutnya, bersara tidak bermakna beliau tidak lagi terlibat dalam dunia pendidikan, sebaliknya akan terus aktif menyumbang dalam bidang tersebut.

"Saya akan menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menyalurkan segala pengalaman yang ada untuk kebaikan serta kemajuan sektor pendidikan.

"Dengan cara ini semua pengalaman tidak akan sia-sia selain dapat membantu warga pendidik yang baru dalam era perguruan yang amat mencabar," katanya pada Majlis Harum Budi Baktimu Serikandi di Dewan Bestari sekolah itu.

Ibu kepada empat anak itu berkata, pengalaman sebagai mendapati semua dasar pendidikan kerajaan adalah relevan dan sesuai dengan perkembangan di negara ini.

Menurutnya, semua warga pendidik perlu mendukung aspirasi dan dasar Kementerian Pelajaran dengan sepenuh hati bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya.

Mengenai latar belakang pendidikannya, beliau mendapat pendidikan di SK Bukit Senyum dan Sekolah Menengah (SM) Sultan Ismail sebelum melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim di sini.

Beliau pernah mengajar di enam sekolah rendah dan menengah di Terengganu dan Johor dari 1976 hingga 2008 sebelum menjadi guru besar sekolah itu pada 2008.

Rohani juga pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 1994 dan 2003 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 (Guru Besar).

Utusan Malaysia Online: 29 Oktober 2011

Baiki segera sekolah 'uzur' di Selangau

SIBU 28 Okt. - Beberapa sekolah di kawasan Parlimen Selangau perlu perhatian serta tindakan segera oleh Kementerian Pelajaran ekoran keadaan bangunannya yang semakin teruk dan uzur.

Ahli Parlimen Selangau, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, tiga sekolah masing-masing di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin dan Kakus telah dikenalpasti bangunan sekolahnya sudah semakin teruk.

''Tiga sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kua, SK Nanga Selangau dan SK St Mark Nanga Tamin.

''Sementara itu, sebuah sekolah adalah SK Kuala Peyarai di DUN Kakus dan kita sedang mengenal pasti dua buah sekolah lagi yang perlu diberi perhatian yang sama," katanya di sini, hari ini.

Entulu yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum itu telah diminta mengulas kejadian bahagian belakang sebuah kuarters guru di SK Nanga Kua yang runtuh pada malam Isnin lalu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam itu, bahagian belakang sebuah kuarters guru di SK Nanga Kua runtuh akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu dan ia turut mengakibatkan paras air Sungai Kua yang terletak di belakang kuarters berkenaan semakin naik.

Utusan Malaysia Online: 29 Oktober 2011

Budak maut dirempuh guru



MOHD. ZAMRI (kanan) mengangkat mayat Nor Afina (gambar kecil) yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.


KEPALA BATAS - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.

Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.

Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.

Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.

"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.

"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam.

Kosmo Online: 29 Oktober 2011

Jumaat, 28 Oktober 2011

Pemantauan, laporan peralatan jadi agenda mesyuarat PIBG

28/10/2011 7:03pm

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Langkah pemantauan serta laporan peralatan di sekolah perlu dijadikan agenda tetap dalam setiap mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, pemantauan dan laporan ini perlu dikemukakan pada setiap mesyuarat untuk mengetahui peralatan di sekolah berada dalam keadaan baik atau sebaliknya.

"Laporan mengenainya perlu agar pihak sekolah dan PIBG dapat berbincang jalan penyelesaiannya sekali gus mengambil tindakan segera terhadap peralatan usang atau reput yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan pelajar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang murid perempuan tahun satu pengsan manakala rakannya cedera di tangan setelah ditimpa sebatang tiang bendera ketika menyertai aktiviti sukan di sebuah sekolah di Beranang, Selangor, semalam.

Menurutnya, budaya mementingkan keselamatan di sekolah perlu disemai di dalam diri setiap pelajar agar kemalangan seperti ini tidak berlaku.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kejadian itu kes terpencil di negara ini kerana mempunyai peratusan yang sangat sedikit dalam statistik kemalangan ketika berada di kawasan sekolah.

"Walaupun begitu, ia tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan pihak sekolah dan ibu bapa. Oleh itu, tindakan yang wajar perlu dilakukan bagi mengelak kejadian seperti ini berulang," katanya.

Pihaknya berharap agar ibu bapa tidak mudah 'melatah' jika kejadian ini berlaku kepada anak mereka kerana pihak sekolah sedaya upaya menjaga keselamatan pelajar ketika berada di kawasan sekolah.

“Pihak sekolah pula perlu lebih prihatin terhadap keselamatan pelajar kerana sudah menjadi tanggungjawab untuk memantau mereka agar tidak berlaku kemalangan,” ujarnya.

Pada bulan lepas, seorang murid tahun lima maut setelah cedera parah di kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 1, Klang. - Utusan


Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2011

Jangan khianati martabat bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Semua pihak diseru supaya tidak mengkhianati martabat bahasa Melayu dengan mempersoalkan tindakan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Seruan itu dikemukakan oleh 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berikutan wujud usaha segelintir pihak untuk mempertahankan PPSMI termasuk beberapa NGO dan akhbar berbahasa Inggeris yang dilihat cuba melaga-lagakan serta memecah-belahkan rakyat berhubung isu itu.

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Syukri Abdullah Sani yang mewakili NGO-NGO berkenaan berkata, demi kepentingan nasional, penggunaan bahasa Melayu perlu diutamakan berbanding bahasa lain termasuk bahasa Inggeris kerana ia menguntungkan segelintir kumpulan elit semata-mata.

"Meneruskan PPSMI sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya adalah seperti mengkhianati keupayaan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi di rantau ini.

"Bahasa Melayu bukan sekadar wahana ilmu, malah mengandungi nilai, budaya dan teras jati diri sebagai warganegara Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan; Setiausaha Gerakan Memansuhkan PPSMI, Hasni Abas dan Ketua Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Abu Qassim Nor Azmi.

Turut hadir, Presiden Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (KPIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin dan Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad.

Baru-baru ini, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta kerajaan menimbang semula keputusan memansuhkan PPSMI berikutan soal selidik yang dijalankan mereka selama empat bulan terhadap 15,000 responden daripada kalangan ibu bapa mendapati hampir 55 peratus tidak bersetuju dua subjek itu diajar dalam bahasa Melayu.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) pula mahu sekolah aliran kebangsaan diberi pilihan untuk meneruskan dasar PPSMI.

Kamal Syukri memberitahu, satu memorandum menyokong pemansuhan PPSMI akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan, Sabtu ini.

Sambil menyifatkan soal selidik JMM itu sebagai satu kajian tidak menyeluruh serta meragukan dan kenyataan PAGE tidak berasas, Abu Qassim pula menyifatkan tindakan kedua-dua pertubuhan itu seolah-olah mencabar keputusan Kabinet.

"Mereka seperti membelakangkan segala kajian berhubung dasar tersebut oleh Kementerian Pelajaran dan memperlekeh kedaulatan bahasa kebangsaan di negara ini," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2011

Perkukuh bahasa Inggeris melalui mata pelajarannya

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Bagi memastikan rakyat dapat menguasai bahasa Inggeris, kualiti tenaga pengajar, sukatan pelajaran serta bahan rujukan untuk mata pelajaran bahasa itu perlu diperkukuhkan, bukannya menerusi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Berdasarkan pengamatan tokoh bahasa dan sejarah, Dr. Awang Sarian (gambar), meskipun negara seperti Jerman, China, Belanda dan Jepun tidak melaksanakan PPSMI, mereka mampu berada sebaris dengan negara-negara maju lain menggunakan bahasa ibunda masing- masing.

"Saya pernah berkhidmat di China, jelas dasar kerajaannya tidak berubah. Meskipun mereka maju dan ekonomi stabil, mereka tetap tegas dengan penggunaan bahasa ibunda secara menyeluruh. Ertinya, penguasaan bahasa asing tidak menjamin sesebuah negara itu untuk maju.

"Kita mesti sampai ke tahap itu. Saya juga pernah membuat kajian ringkas semasa menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt, Jerman. Di sana penuntut asing perlu belajar bahasa Jerman selama enam bulan sebelum memasuki universiti tersebut untuk mengikuti kursus kejuruteraan dan sebagainya.

"Memartabatkan bahasa Melayu merupakan dasar negara ini. Ia telah dirumus sejak sebelum merdeka lagi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dengan ketetapan bahawa bahasa itu sebagai bahasa pengantar utama dalam Penyata Razak. Itu menjadi asas semua akta berkaitan pendidikan sehingga sekarang," katanya di sini, hari ini.

Beliau seterusnya meminta supaya kerajaan mengabaikan gesaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) supaya PPSMI dipertahankan.

Menurut Awang, kajiannya pada 2003 menunjukkan hanya tiga peratus pelajar yang dapat memanfaatkan PPSMI dalam pelajaran mereka.

"Adakah kita hendak abaikan 97 peratus lagi pelajar? Justeru, kita perlu melaksanakan pendidikan yang demokrasi iaitu pendidikan yang dimanfaatkan sebahagian besar rakyat negara ini. Kita tidak boleh menyisihkan 97 peratus pelajar tersebut hanya untuk kepentingan tiga peratus sahaja.

"Mereka hanya golongan elit. Golongan itu gemar memartabatkan bahasa Inggeris daripada bahasa ibunda sendiri walhal sebenarnya menyedari bahawa mereka ialah orang Melayu atau Malaysia yang membesar dan memahami norma masyarakat negara ini," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2011

Murid pengsan ditimpa tiang bendera

HULU LANGAT 27 Okt. – Seorang murid perempuan Tahun Satu pengsan manakala rakannya cedera di tangan setelah ditimpa sebatang tiang bendera yang tiba-tiba tumbang ketika menyertai aktiviti sukan di sebuah sekolah rendah di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika kedua-dua mangsa sedang bermain berhampiran tiang bendera tersebut yang terletak di hadapan kawasan perhimpunan sekolah.

Seorang saksi kejadian memberitahu, salah seorang daripada murid itu dikatakan bermain pada skru tiang bendera sebelum skru tersebut tercabut dan mencederakan tangannya.

“Seorang lagi rakan mangsa yang berdiri tiba-tiba terkejut apabila tiang terbabit jatuh dan menghempap kepalanya lalu tidak sedarkan diri di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketika kejadian, saksi itu berkata, kebanyakan murid berada di padang sekolah kerana terlibat dalam aktiviti sukan sekolah.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa segera dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan oleh guru sekolahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, seorang murid hanya mengalami cedera ringan di tangan, manakala rakannya yang dihempap tiang kini boleh bercakap dan dilaporkan stabil.

Jelasnya, guru sekolah tersebut telah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa murid berkenaan dan membuat laporan polis petang ini.

Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2011

Khamis, 27 Oktober 2011

SMK Jeram, Kubang Bemban juara kantin bersih


Wan Mansor Hamzah (empat dari kanan) bersama pengetua sekolah yang memenangi Pertandingan Kantin Sekolah Bersih dan Dewan Makan Asrama Bersih 2011 menunjukkan tanda bagus pada majlis penyampaian hadiah di SMK Kubang Bemban, Pasir Mas, baru-baru ini.


PASIR MAS 26 Okt. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Pasir Puteh dan SMK Kubang Bemban di sini diumumkan sebagai juara kategori kantin serta dewan makan bersih pada Pertandingan Kantin dan Dewan Makan Sekolah Menengah Bersih Peringkat Negeri Kelantan 2011.

Tempat kedua kategori kantin dimenangi oleh SMK Pengkalan Chepa dan ketiga, SMK Kubang Golok, Bachok manakala kategori dewan makan pula, naib johan SMK Cherang Ruku, Pasir Puteh dan SMK Badak, Bachok di tempat ketiga.

Majlis yang diadakan di Dewan Bestari SMK Kubang Bemban di sini, disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Hanapi Mamat.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Kemenangan itu melayakkan SMK Jeram, Pasir Puteh dan SMK Kubang Bemban mewakili Kelantan ke Pertandingan Kantin dan Dewan Makan Sekolah Menengah Bersih Peringkat Kebangsaan.

Sementara itu Wan Mansor berkata, secara keseluruhan tahap kebersihan kantin dan dewan makan sekolah-sekolah menengah di negeri ini meningkat.

"Bagaimanapun masih ada ruang yang boleh diperbaiki dan ditingkatkan agar makanan yang disajikan benar-benar bersih. Jabatan Kesihatan negeri akan terus memantau dan memberi kerjasama kepada Jabatan Pelajaran negeri bagi memastikan aspek kebersihan dapat ditingkatkan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 27 Oktober 2011

Rabu, 26 Oktober 2011

Perjalanan ‘maut’, guru curah bakti


Rombongan kakitangan Kementerian Pelajaran dan wartawan terpaksa menaiki rakit buluh bertali semasa mengharungi sungai berarus deras untuk ke SK Buayan dan SK Terian di pedalaman Penampang, baru-baru ini. – UTUSAN/Ghazali Basri


DAERAH Penampang terletak bersebelahan dengan bandar raya Kota Kinabalu. Namun, siapa sangka daerah itu masih mempunyai sekolah pedalaman yang begitu terpencil iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan dan SK Terian.

Untuk ke sekolah-sekolah tersebut cuma terdapat dua pilihan sahaja iaitu melalui jalan balak dan berjalan kaki yang mengambil masa sehingga enam jam.

SK Buayan dan SK Terian yang terletak di Banjaran Crocker, masing-masing hanya mempunyai 43 dan 33 orang murid sahaja. Bagaimanapun, dasar pendidikan negara adalah amat jelas iaitu tanpa sebarang kompromi, akan tetap memastikan semua lapisan rakyat meskipun jauh di pedalaman diberikan pendidikan terbaik.

Baru-baru ini, petugas media Sabah berpeluang bersama-sama dengan Timbalan Menteri Pelajaran, DR. MOHD. PUAD ZARKASHI berpeluang melalui pengalaman perit menggunakan dua jalan itu untuk ke sekolah berkenaan.

PENAMPANG 25 Okt. – Pertama kali mendengar mengenai lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ke dua buah sekolah di Penampang, penulis merasakan ia pasti biasa dan kurang mencabar.

Ini kerana pada firasat penulis, sekolah yang akan dilawat tidaklah terlalu jauh dan mencabar kerana terletak di Daerah Penampang, bersebelahan dengan Kota Kinabalu.

Namun segala-galanya berubah apabila kami memulakan perjalanan pada pukul 1 petang, menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk Kampung Sugud yang bermula dengan merentas sungai dan melalui jalan balak.

Malah tidak sampai 10 minit perjalanan, dua daripada lima pacuan empat roda yang disewa berkenaan mengalami kerosakan.

Kerosakan awal yang tidak dijangka itu menyebabkan kira-kira 30 peserta lawatan terpaksa berhimpit-himpit termasuk duduk mencangkung di belakang pacuan empat roda lain bersama beg dan barangan keperluan.

Keadaan ini membuatkan para petugas media berasa agak gusar kerana terpaksa melalui jalan berbukit, licin dan berisiko, menaiki kenderaan yang terlebih muatan pula.

Degupan jantung semakin kencang apabila seorang pegawai kementerian memaklumkan bahawa tiada kenderaan sokongan kerana hanya pacuan empat roda penduduk kampung sahaja yang ‘berani’ melalui jalan balak berkenaan.

Sepanjang melalui jalan balak menerusi cerun bukit selama dua jam itu, ia amat mencabar seumpama ‘perjalanan maut’ yang boleh mengundang risiko hanya pada bila-bila masa.

Kegagalan kereta pacuan empat roda dinaiki penulis mendaki bukit dan hampir-hampir terbalik sebelum terbabas ke tebing, tambah merunsingkan kami.

Pada masa itu, hanya kepada tuhan kami bertawakal dan berdoa agar tiada sebarang kesilapan pemanduan yang boleh mengundang tragedi yang tidak diingini.

Namun, perjalanan dua jam yang membuatkan semua anggota badan peserta mula terasa sakit berakhir pada kira-kira pukul 3.30 petang apabila kami tiba di tebing sebatang sungai yang berarus deras.

Bagaimanapun, perjalanan kami masih belum sampai ke destinasinya. Sebaliknya ia merupakan permulaan ujian berjalan kaki pula.

Semua peserta terpaksa berjalan kaki melalui denai di tebing bukit, mendaki dan menuruni bukit selain melintasi beberapa batang sungai dengan rakit dan juga melalui jambatan gantung uzur.

Berjalan kaki pada masa itu membuatkan semua peserta terpisah kepada beberapa kumpulan berdasarkan kepada stamina masing-masing.

Pada masa itu, kumpulan Mohd. Puad mendahului peserta lain manakala kumpulan penulis yang disertai oleh jurugambar Berita Harian, jurugambar Jabatan Penerangan, wartawan New Straits Times dan beberapa wakil kementerian berada di belakang sekali kerana ‘tidak cukup stamina’.

Semasa perjalanan, penulis menyedari laluan kami pada masa itu amat berbahaya kerana melalui cerun bukit yang licin - sedikit sahaja kesilapan boleh menyebabkan terjatuh ke bawah yang pastinya boleh menukar perjalanan kepada tragedi.

Sepanjang perjalanan menyaksikan ada antara kami yang tergelincir, malah seorang peserta kehilangan tapak kasut dan terpaksa berjalan tanpa tapak kasut.

Perjalanan kali ini juga begitu meletihkan sehingga menyebabkan ada di antara kami yang mengalami kekejangan.

Namun, setelah tiga jam berjalan kaki termasuk dalam kegelapan hutan, rombongan akhirnya sampai ke destinasi iaitu SK Buayan pada pukul 7.30 malam.

Selain gembira dengan kejayaan itu, fikiran penulis pada masa itu terbayangkan bagaimana kesusahan dialami guru-guru yang juga terpaksa melalui laluan sama. Selain itu mereka juga berisiko bertembung dengan haiwan liar dan berbisa.

Dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu pada sebelah malamnya, Mohd. Puad berkata, biarpun terpaksa melalui laluan berbahaya dan meletihkan, ia sebenarnya menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus melawat kawasan pedalaman.

Katanya, dengan cara itulah beliau akan dapat menghayati dan melihat sendiri keadaan sekolah di kawasan pedalaman seterusnya berusaha memajukan tahap pendidikan di kawasan terbabit.

“Jadi apabila mengetahui pelajar yang duduk jauh di sini terpaksa ambil periksa di SK Tampasak Tegudon, timbul tanggungjawab bagi saya untuk membela anak-anak tuan-puan.

“Malah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan sentiasa memberi perhatian besar kepada pendidikan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Tegas Mohd. Puad, perjalanan yang mencabar dan berisiko itu tidak pernah mematahkan semangat warga kementerian untuk terus melakukan lawatan bagi meningkatkan prasarana luar bandar.

Katanya, pada masa akan datang, pihaknya merancang melawat lebih banyak sekolah pedalaman di seluruh negeri.

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2011

SK Buayan 'kilang' modal insan terbaik


DR. MOHD. Puad Zarkashi bersama rombongan Kementerian Pelajaran bergambar dengan murid-murid SK Buayan di pedalaman Penampang, baru-baru ini.


PENAMPANG 25 Okt. - Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan di sini tidaklah seindah sekolah di bandar, tetapi yang paling penting matlamatnya tercapai iaitu untuk memberi pendidikan terbaik kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Jadi tidak hairanlah anak-anak di kawasan berkenaan pandai membaca dan menulis malah ada yang mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Antara infrastruktur yang wujud di sekolah itu ialah bangunan sekolah tunggal, rumah guru, pusat sumber dan pusat akses, pondok sekuriti, pondok generator, tandas dan parabola.

Guru Besarnya, Robert Gubat berkata, kewujudan sekolah berkenaan telah banyak membantu memastikan generasi kampung berkenaan mendapat pendidikan yang sempurna.

Katanya, ia telah membawa perubahan kepada penduduk apabila terdapat di kalangan mereka berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang baik.

"Malah ada di kalangan guru di sini merupakan bekas pelajar sekolah ini yang kembali untuk berbakti di kampung," katanya yang memberitahu sekolah itu diwujudkan pada 1967 atas inisiatif penduduk kampung.

Robert berkata, pada mulanya sekolah itu hanya kecil dan ringkas sahaja - beratapkan zink, berdinding buluh dan berlantaikan simen.

Katanya, pada 1971, bangunan sekolah yang kedua dibina oleh Kementerian Pelajaran bagi menampung murid yang semakin bertambah.

"Pada 1982 memandangkan bangunan sekolah yang pertama sekali dibina mula retak, bangunan baru yang telah dipohon telah siap dan mula digunakan pada tahun yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Buayan, John Sabitang berkata, meskipun terletak jauh di pedalaman dan mempunyai hanya 464 penduduk, kampung berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya khususnya dalam pendidikan.

Katanya, selain bangunan sekolah, murid-murid di sini turut mendapat pelbagai bantuan untuk meneruskan pembelajaran.

Bagi guru Zeabenia Mositol yang pernah belajar di sekolah berkenaan berkata, kewujudan sekolah itu telah membolehkannya mendapat pendidikan sehingga ke tahap yang lebih tinggi.

"Saya pernah belajar di sini dan kini setelah menjadi guru di sekolah ini saya berazam untuk memastikan semua generasi muda di sini mendapat pendidikan yang sempurna.

"Saya bersyukur kerana walaupun kami tinggal di pedalaman kerajaan tidak meminggirkan kami untuk mendapat pendidikan yang sempurna," katanya.

Seorang pelajar, Michel Leann, 11, yang bercita-cita menjadi guru berkata, segala kekurangan yang ada di situ tidak melemahkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Kami sudah biasa begini dan sebenarnya kekurangan ini membakar semangat kami untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib kami sekeluarga," ujarnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Terian, Dainis Dahangat berkata, meskipun sekolah tersebut terletak di atas Banjaran Crocker yang bentuk muka buminya bergunung-ganang tetapi kerajaan tetap memberikan komitmennya dengan membina sekolah berkenaan sejak 1964 lagi.

Katanya, walaupun sekolah itu hanya bangunan kayu dan kecil tetapi ia telah memberi sumbangan penting kepada warga kampung Terian yang mempunyai kira-kira 400 penduduk.

"Tujuh orang guru yang mengajar di sekolah ini juga sentiasa menunjukkan komitmen tinggi meskipun terpaksa melalui pelbagai kekurangan dan cabaran seperti melalui jalan balak," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2011

"Guru tidak mengeluh, malah bersemangat"


ROMBONGAN kakitangan Kementerian Pelajaran dan wartawan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke pedalaman Penampang, baru-baru ini.


PENAMPANG 25 Okt. - Cabaran dan kesusahan di kawasan pedalaman tidak mematahkan semangat guru-guru untuk terus menjalankan tugas terbaik bagi mendidik anak bangsa.

Malah, cabaran itu telah menguatkan lagi semangat mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan setiap pelajar mendapat kejayaan cemerlang.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, Robert Gubat berkata, meskipun berada di pedalaman guru-guru di sekolah itu sentiasa memberi tumpuan kepada usaha pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, keperitan hidup di sini sebenarnya telah membuatkan para guru berusaha bersungguh-sungguh memastikan semua murid berjaya.

"Bagi kami, hanya dengan kejayaan murid inilah dapat mengubah nasib mereka dan inilah juga kejayaan bagi kami semua," katanya.

Gubat yang berasal dari Tuaran berkata, sejak lima tahun berada di sekolah itu pelbagai pengalaman mencabar telah dihadapinya.

Beliau berkata, antaranya ialah menemui binatang berbisa seperti ular dan binatang buas semasa melalui hutan berkenaan.

"Malah, kereta pacuan empat roda yang saya naiki pernah terbalik dan saya bersyukur dan bernasib baik kerana tidak jatuh ke dalam gaung.

"Bagaimanapun, semangat saya untuk mengajar di sekolah ini tidak pernah luntur dan padam demi mengubah masa depan anak-anak kita ini," katanya di sini baru-baru ini.

Guru Penolong Kanan, SK Buayan Liew Mon Na pula berkata, pengalaman selama dua tahun mengajar di situ membuatkan dia sudah biasa dengan cara kehidupan penduduk kampung.

Katanya, kesusahan yang dihadapi penduduk membuatkannya membulatkan tekad untuk terus berada di sekolah itu.

"Saya kini menyedari betapa susah kehidupan di sini dan saya sama-sama merasai cabaran yang terpaksa dilalui penduduk termasuk berjalan kaki ke jalan besar selama lebih tujuh jam dan melalui kawasan berisiko.

"Malah, pernah pada musim hujan lalu beberapa jalan tertutup akibat tanah runtuh dan air besar memenuhi sungai, namun ini semua tidak menjadi penghalang kepada saya," katanya.

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2011

Subjek pra vokasional diperkenal di sekolah kebangsaan tahun depan

SINGAPURA 25 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan subjek pra vokasional di sekolah kebangsaan mulai tahun depan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, projek perintis itu akan dimulakan di 50 buah sekolah terpilih di seluruh negara bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga.

"Subjek asas vokasional itu akan ditawarkan kepada pelajar yang berminat. Ia bagi membina minat pelajar dalam bidang vokasional di peringkat awal.

"Kalau selepas itu, mereka berminat untuk menyambung dalam bidang tersebut, mereka boleh menyambung pendidikan di sekolah-sekolah vokasional dan seterusnya sehingga ke peringkat lebih tinggi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Insinerator Tuas, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Malaysia juga boleh belajar bagaimana Singapura memperkasakan pendidikan vokasional di republik itu.

"Kita boleh pelajari daripada mereka, mungkin menerusi perbincangan di peringkat pegawai. Di Singapura, pelajar vokasional mengikuti pendidikan dalam bentuk amali sebanyak 70 peratus dan selebihnya adalah teori," katanya.

Menurutnya, guru-guru yang akan mengajar subjek tersebut terdiri daripada guru biasa yang memang mempunyai pengetahuan dan latihan asas dalam bidang vokasional.

Sebelum itu, Muhyiddin turut melawat Institut Pendidikan Teknikal dan diberi taklimat mengenai subjek dan cara pengendalian pendidikan vokasional di republik ini.

Ditanya adakah kerajaan akan memperluaskan sistem insinerator di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Kabinet Pengurusan Sisa Pepejal yang dipengerusikan beliau dan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mencari dan menilai sistem pelupusan yang terbaik dan selamat bagi negara.

"Kita telah melihat Singapura melaksanakan sistem pelupusan sisa pepejal seperti insinerator dan kita akan kaji yang terbaik dan selamat untuk kita," katanya.

Mengenai hasil lawatan rasmi dua hari yang berakhir hari ini, Muhyiddin berpuas hati dengan hasil pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin Singapura - UTUSAN

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2011

Selasa, 25 Oktober 2011

Guru Matematik di Perak terima Anugerah Perdana Menteri

Oleh Nor Fariza Ramlan
norfariza@bharian.com.my
2011/10/25

KUALA LUMPUR: Pendekatan kreatif dan interaktif untuk mengajar Matematik yang dikongsi dalam laman blog peribadi membawa tuah kepada Muhammad Hafiz Ismail, 25 apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri (Terbaik Di Kalangan Terbaik) pada majlis penyampaian `MSC Malaysia Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards’ di sini, sebentar tadi.

Guru dari Perak itu yang berjaya menewaskan kira-kira 250 pencalonan lain, memaparkan kisah hidup hariannya mengajar Matematik di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, Sungai Siput (U) di mana rata-rata pelajar adalah Orang Asli suku kaum Temiar, menerusi laman blognya `Life through My Eyes’ (www.apistakkesah.blogspot.com.
“Saya tidak menyangka hasil luahan perasaan dan pendekatan saya mengajar murid dengan menggunakan kaedah interaktif mendapat perhatian masyarakat di luar sana. Malah, ia turut menarik minat pembaca blog saya dari Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Jerman.
“Pelbagai kaedah menarik diguna bagi memastikan murid memahami mata pelajaran yang diajar dan saya kongsikannya dalam laman blog yang dikemas kini setiap minggu,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali.

Muhammad Hafiz berkata, kini semua kaedah pengajaran yang dikongsikannya dalam blog peribadi itu diterbitkan dalam sebuah buku bertajuk `Life Through My Eyes: A Teachers’s Little Steps Towards Perfection’, untuk dimanfaatkan orang ramai.

Berita Harian Online: 25 Oktober 2011

Audit: Makmal komputer 8 Sekolah Bestari gagal disiapkan

25/10/2011 5:16pm

KUALA LUMPUR 25 Okt. — Pembinaan makmal komputer di lapan Sekolah Bestari di Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan belum dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan sehingga Disember tahun lepas selain terdapat kerja pembinaan yang kurang memuaskan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Meskipun kerajaan telah merancang melaksanakan 27 makmal komputer di Sekolah Bestari yang melibatkan empat negeri dengan kos berjumlah RM20.59 juta, keberkesanannya kepada pengguna belum dicapai, kata laporan itu.

Tinjauan Audit mendapati reka bentuk makmal Sekolah Bestari tidak praktikal kerana skrin tingkap diperbuat daripada polycarbonate dengan mild steel yang mudah pecah dan tidak tahan lama manakala peralatan ICT dan perabot pula belum dibekalkan kepada semua lapan sekolah yang dilawati.

Selain pemasangan siling dilihat tidak praktikal, ketiadaan bumbung bagi tangga kecemasan di luar bangunan menyebabkan lantai basah dan mudah tergelincir ketika hujan, kata laporan itu.

Tinjauan Audit daripada aspek latihan berterusan terhadap pengendalian peralatan dan perisian komputer pula mendapati ada kelemahan daripada segi pengajaran dan pembelajaran.

Meskipun temubual di 39 sekolah di Semananjung menunjukkan kontraktor telah memberi latihan kepada guru terlibat semasa penyerahan ICT, tiada kesinambungan dilakukan terhadap pemindahan teknologi antara guru dan tenaga pengajar baru, dan ini membawa kepada kerugian kepada sekolah khususnya pelajar kerana perisian teknologi tersebut tidak dimanfaatkan sebaiknya, menurut laporan itu.

"Kerja pembinaan tidak sempurna, bekalan peralatan yang terhad serta penyediaan skop kerja yang tidak praktikal menyebabkan kerugian kepada projek ini kerana kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan bagi tujuan penyelengaraan atau pengubahsuaian,” kata laporan itu.

Bagi memastikan segala kelemahan diatasi dan makmal komputer dapat digunakan dengan cekap dan berkesan, pihak Audit mencadangkan supaya kementerian meningkatkan pemantauan terhadap status pembinaan, kualiti projek, memastikan kontraktor membaik pulih kerja yang terbengkalai serta mengambil tindakan menyenaraihitamkan nama kontraktor terlibat. — Bernama

Utusan Malaysia Online: 25 Oktober 2011

Isnin, 24 Oktober 2011

Remaja dakwa diliwat guru

2011/10/24

MIRI: Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini mendakwa menjadi mangsa liwat seorang guru dikenalinya di laman sosial Facebook, sejak setahun lalu.

Guru lelaki terbabit berusia lingkungan 30-an dan masih bujang serta mengajar di sekolah berasingan dengan pelajar terbabit, dikatakan melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mangsa datang ke rumahnya di sini.
Difahamkan pelajar lelaki berusia 15 tahun itu sering menghabiskan masa bersama guru berkenaan di rumahnya selepas berkenalan melalui Facebook sehingga wujud hubungan rapat antara mereka.
Bapa pelajar itu bertanyakan anaknya mengenai hubungan mereka dan selepas didesak, pelajar berkenaan mengakui menjalin hubungan dengan guru lelaki berkenaan. - Jamaluddin Ibrahim, Ketua Polis Daerah Miri
Bagaimanapun, bapa pelajar terbabit mengesyaki sesuatu apabila mendapati anaknya amat mesra dengan guru lelaki itu.

“Bapa pelajar itu bertanyakan anaknya mengenai hubungan mereka dan selepas didesak, pelajar berkenaan mengakui menjalin hubungan dengan guru lelaki berkenaan.

“Terkejut dan marah dengan pendedahan itu, bapa pelajar berkenaan membuat laporan Jumaat lalu di Balai Polis Pusat Miri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Superintendan Jamaluddin Ibrahim, ketika dihubungi semalam, mengesahkan laporan kes berkenaan. Katanya, polis menjalankan siasatan terperinci berikutan mangsa mendakwa beberapa kali diliwat suspek di rumahnya.

“Kita belum membuat tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian Online: 24 Oktober 2011

Sabtu, 22 Oktober 2011

Kesan negatif tampar muka budak

2011/10/22

SAYA tergerak untuk menulis berkenaan kesan menampar muka kanak-kanak sama ada anak kita ataupun murid sekolah. Kita mungkin menganggap menampar adalah tindakan yang tidak serius dan bukanlah isu besar, malah kita sendiri pun pernah ditampar pada satu ketika dulu.

Bagaimanapun tahukah perbuatan menampar itu boleh memberi kecederaan serius terutama ke atas kanak-kanak. Dari sudut perubatan, kita mengetahui kanak-kanak mempunyai organ yang masih berkembang dalam menjalani proses tumbesaran.
Organ ini juga rapuh, mudah cedera dan berpotensi menghadapi masalah kesan negatif jangka panjang. Organ di bahagian muka seperti mata, telinga, mulut, lidah, saraf tunjang leher dan juga otak ialah organ penting yang berpotensi tercedera jika bahagian muka dan kepala dijadikan tempat membuat pukulan atau tamparan.
Jika kita membaca mengenai kesan kecederaan muka dan kepala terutama ke atas kanak-kanak yang didera, kita dapati kebanyakan kecederaan disebabkan tindakan menampar ataupun menumbuk di bahagian muka.

Orang yang menampar mungkin memakai cincin atau gelang dan kesan yang diakibatkan oleh tangan ini tentu sekali lebih serius. Apabila melakukan tamparan terutama di dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, kita tidak dapat mengawal dan menentukan dengan tepat bahagian muka yang terkena tamparan.

Ini menyebabkan tamparan bahagian muka kadangkala boleh terkena leher, mata dan telinga. Tamparan yang kuat ke bahagian kepala boleh mencederakan tulang leher dan saraf tunjang kerana anjakan kepala yang mendadak dan cepat.

Anjakan cepat bahagian kepala ini juga boleh menggoncang otak dan ini boleh memecahkan salur darah, mengoyak selaput otak dan boleh berlaku pendarahan otak.
Pada waktu sama jika kepala terhentak ke dinding atau benda keras akibat momentum pergerakan kepala ketika ditampar, kecederaan yang berlaku boleh menjadi lebih serius dan mungkin boleh mengancam nyawa.

Jika tamparan tepat pada cuping telinga dan menutup lubang telinga, maka tekanan kuat akan disalurkan ke dalam rongga telinga dan sampai ke gegendang, gegendang telinga boleh pecah dan ini akan menyebabkan gangguan pendengaran yang kekal jika ia serius dan tidak dirawat dengan cepat.

Sebenarnya banyak lagi kesan fizikal akibat tamparan seperti lebam, bibir pecah, gigi patah dan lain-lain lagi. Apa yang penting ialah menampar bukan perbuatan yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai kaedah untuk menghukum.

Di samping kesan fizikal yang dialami oleh kanak-kanak atau pelajar yang ditampar, kesan psikologi ialah salah satu akibat yang tidak kurang seriusnya.

Menampar dikatakan satu kaedah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di hadapan khalayak. Saya menyeru kepada semua pihak supaya mengelakkan diri daripada menggunakan tamparan muka sebagai kaedah menghukum.

Kesimpulannya, apabila kita menghukum terutama ke atas anak-anak atau pelajar, hukumlah dengan kaedah sesuai serta berhikmah dengan tujuan mendidik dan penuh kasih sayang supaya ia dapat menjadi pengajaran berguna dan bertujuan menjadikan mereka seorang insan yang lebih baik di masa hadapan.

DR MOHD RUSHDAN MD NOOR,
Hospital Sultanah Bahiyah,
Alor Setar, Kedah

Berita Harian Online: 22 Oktober 2011

Khamis, 20 Oktober 2011

Semak semula gaji Pengetua SABK

KAMI Pengetua-pengetua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) memohon pihak Kementerian Pelajaran menyemak semua kedudukan kami.

Kami kini berada di Gred DG 41 dan ada yang DG 29 kemungkinan pihak Menteri Pelajaran tidak dimaklumkan kedudukan gred kami sebagai pengetua.

Kami mendaftar dengan Kementerian Pelajaran pada tahun 2006 dan 2007. Kami semua telah diberi taklimat oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran tentang status kami.

Bagaimanapun kami merayu kepada Menteri Pelajaran untuk menyemak semula kedudukan kami. Kami tidak mendesak, tetapi baru-baru ini Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2012, kami merasakan patut diberi Gred 48 ataupun imbuhan yang sama dengan Gred DG 48.

Lagi sekali kami merayu mohon Menteri Pelajaran dapat mempertimbangkan rayuan kami yang tertindas dengan sebab tugas harian.

RAKYAT DIDAHULUKAN

Utusan Malaysia Online: 20 Oktober 2011

Bersara wajib setelah 35 tahun jadi guru


Kamaruddin Kasim (berbaju Melayu) bersama guru-guru dan kakitangan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah di Raub, baru-baru ini.


RAUB 19 Okt. - Tempoh perkhidmatan sebagai guru selama 35 tahun sembilan bulan dan sembilan hari bagi Kamaruddin Kasim, 58, bukanlah satu jangka masa yang panjang.

Pengetua Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (Semesta) Raub itu menyifatkan pendidikan merupakan satu kerjaya murni dalam membentuk warga negara berilmu, berbudi, produktif dan bervisi.

Namun beliau terpaksa meninggalkan dunia pendidikan kerana bersara wajib pada 14 Oktober lepas walaupun masih belum puas berbakti untuk anak bangsa.

''Saya sangat berminat dalam bidang perguruan dan sepanjang perkhidmatan tidak pernah mengambil cuti sakit kerana bimbang pelajar ketinggalan dalam pelajaran," katanya ketika ditemui pada majlis persaraan beliau di sini baru-baru ini.

Persaraan Kamaruddin itu meninggalkan legasi hebat untuk diwarisi dan dikenang warga sekolah kerana meletakkan Semesta antara sekolah terbaik negara.

Sepanjang tiga tahun mengetuai Semesta, antara kejayaan diraih seperti pengiktirafan Sekolah Kluster, Anugerah Asrama Terbilang, Pencapaian Terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat negeri dan kebangsaan, Anugerah Menteri Besar serta Anugerah Emas Sekolah Berasrama Penuh.

Selain itu, menjadi johan kriket kebangsaan sekolah berasrama penuh Piala Tan Sri Hamzah Abu Samah (2009/2011) sekali gus mewakili Malaysia ke Arafura Games, Darwin, Australia.

Utusan Malaysia Online: 20 Oktober 2011

Rabu, 19 Oktober 2011

Lupakan PPSMI, gerakkan MBMMBI

ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya sudah selesai. Persiapan melancarkan program pendidikan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) sedang rancak berjalan.

Sebelum pendekatan MBMMBI diambil, perbincangan dilakukan melibatkan banyak kelompok yang berkepentingan.

Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencari kebijaksanaan atas aspirasi Perlembagaan, Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 memperkenalkan jalan keluar ‘menang-menang’ supaya bahasa Melayu diperteguhkan dan Bahasa Inggeris diperkukuhkan.

Amat pelik terdapat sebahagian kecil orang Melayu yang mencadangkan supaya persekolahan dua aliran bahasa iaitu satu bahasa Inggeris dan satu lagi bahasa Melayu supaya memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar sekolah mana yang mereka suka. Cadangan ini tidak mendukung aspirasi nasional yang menjadikan faktor bahasa Melayu sebagai faktor pemersatu.

Bakal berlaku jurang dan strata sosial yang amat ketara sekiranya perkara itu terjadi. Akan lebih terserlah golongan elitis seperti yang terjadi di awal 1970-an dahulu.

Ada juga kelompok yang ingin membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seolah-olah kepemimpinan negara ini dan pemimpin yang mempunyai kepentingan mengenai isu bahasa Melayu tidak memiliki kekuatan ilmiah yang tinggi dan tidak pandai membuat keputusan bijaksana sehingga perlu meminta bantuan pihak lain.

Ada juga yang berpendapat bahawa bahan-bahan rujukan mengenai sains dan matematik banyak dalam bahasa Inggeris dan usaha menterjemahkannya memakan masa. Bagaimana Cina, Korea Selatan dan Jepun mengatasi perkara ini harus memberi contoh kepada kita di Malaysia, bukan bersifat mengalah.

Lebih penting lagi seperti yang diungkapkan oleh Sapir 1949 dan Whorf 1956, dalam bahasa apakah kita hendak anak-anak melihat dan berfikir tentang dunia dan alamnya. Bahasa bukannya sekadar alat perantara ilmu dan kemahiran berfikir, ia membawa nilai dan budaya, mewarnai jati diri, memberi makna kepada hati budi dan turut mencorakkan pandangan kesemestaan yang akan memandunya dalam mengharungi kehidupan.

Muhyiddin baru-baru ini membuat penegasan bahawa MBMMBI akan diteruskan dan ia suatu ketegasan yang amat ditunggu-tunggu. Tekanan yang dihadapi oleh beliau memang tidak pernah reda. Tapi tekadnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris adalah suatu tindakan yang betul dan berhemah.

Pelaksanaan PPSMI yang berlaku pada tahun-tahun terdahulu tidak dibuat dengan persiapan yang rapi. Terdapat guru Bahasa Inggeris yang mengajar bahasa Inggeris dan terdapat sebahagian besar guru Sains dan Matematik yang tidak cekap berbahasa Inggeris yang disuruh mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Dari sudut pedagogi ia adalah sesuatu yang salah. Akhirnya penguasaan ilmu di kalangan murid ibarat pakai kain singkat, tarik ke atas nampak lutut dan tarik ke bawah nampak pusat.

Dengan tekad Kementerian Pelajaran untuk mengambil guru-guru yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris dari luar, melatih anak-anak yang berbakat dalam bahasa Inggeris menjadi guru bahasa Inggeris yang terlatih, menyusun semula kurikulum bahasa Inggeris supaya sesuai dengan etos Malaysia, menyediakan makmal bahasa yang mempercepatkan penguasaan bahasa Inggeris, menyemak kembali pendekatan pedagogi yang lebih dinamik adalah langkah-langkah berdaya maju yang boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan berkesan.

Mengapa tidak dibenarkan strategi ini mengambil tempat dan penilaian terhadapnya boleh dilakukan selepas ia dilaksanakan beberapa tahun akan datang. Ia adalah lebih adil dan demokratik.

Mengadakan referendum juga adalah tidak perlu. Strategi MBMMBI adalah selari dengan semangat Perlembagaan negara dan ia tidak bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996. Melainkan dasar ini bercanggah dengan dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan 152 dan Akta Pendidikan 1996 maka referendum boleh menjadi salah satu kayu ukuran terhadap isu ini.

Mengikut sumber yang saya petik daripada Prof. Dr. Ahmad Termizi, seorang sarjana fizik dari Universiti Teknologi Malaysia menyatakan penukaran bahasa pengantar di sekolah daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu telah menghampirkan kepada matlamat mewujudkan peluang yang lebih saksama.

Pencapaian pelajar bumiputera, secara keseluruhannya, lebih setara dengan pencapaian pelajar bukan bumiputera, jika dibandingkan dengan pencapaian sebelum 30 tahun yang lampau iaitu semasa pengajaran menggunakan bahasa Inggeris.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, jumlah pelajar bumiputera yang memperoleh gred cemerlang dan kepujian dalam mata pelajaran Fizik telah melebihi jumlah pelajar bukan bumiputera dalam peperiksaan SPM 2001 iaitu bumiputera 23,157 orang dan bukan bumiputera 22,929 orang.

Kini jumlahnya setara dengan jumlah pelajar bukan bumiputera. Dari segi kuantiti, matlamat kesaksamaan ini hampir dicapai walaupun dari segi kualiti masih banyak usaha gigih perlu dilakukan.

Kestabilan relatif yang telah memberi peluang yang saksama antara pelajar bumiputera ini tidak wajar diganggu-gugat dengan sesuatu yang masih tidak menentu kesannya dan mengandungi unsur risiko yang tinggi.

Berdasarkan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang masih berlaku kini di kalangan pelajar bumiputera, kerisauan bahawa penggunaan bahasa Inggeris secara tunggal bagi mata pelajaran Sains dan Matematik berkemungkinan akan merencatkan pencapaian pelajar bumiputera, mempunyai asas yang wajar diambil kira dan tidak boleh diketepikan begitu saja.

Kita memerlukan tekad politik dan azam memartabatkan bahasa Melayu yang tinggi supaya akhirnya bahasa Melayu mampu menempatkan diri sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa.

Kalaulah isu globalisasi dijadikan faktor utama bahasa Inggeris perlu didaulatkan betapa nanti Tanah Besar Cina bakal menjadi kuasa besar, apakah di waktu itu nanti kita bakal beralih kepada bahasa Cina pula dan meninggalkan bahasa Inggeris.

Mempelajari bahasa Cina tidak salah tetapi menolak pemartabadan bahasa Melayu dalam konteks negara Malaysia adalah suatu langkah yang silap. Ilmuwan Islam terdahulu menguasai berbagai bahasa tamadun tetapi penggunaan bahasa Arab tetap menjadi keutamaan.

Utusan Malaysia Online: 19 Oktober 2011

Selasa, 18 Oktober 2011

Guru setuju keputusan Muhyiddin

2011/10/18

JERANTUT: Seramai 412,042 guru yang mewakili 27 kesatuan dan persatuan berdiri teguh di belakang Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mata pelajaran Sains dan Matematik terus diajar dalam bahasa Melayu, sejajar dengan usaha memartabat dan menjadikannya bahasa Lingua Franca di rantau ini.

Pengerusi Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Jemale Paiman, berkata keputusan dan ketetapan supaya kedua-dua subjek berkenaan diajar semula dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan berkuat kuasa tahun depan, perlu dipatuhi dan hormati.
Sebelum ini, katanya, kajian menyeluruh juga menunjukkan kemerosotan dalam kedua-dua subjek itu ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003.
Oleh itu, beliau meminta supaya tiada pihak cuba menjadikan isu berkenaan untuk kepentingan politik bagi mencari publisiti murahan yang akhirnya boleh menggugat sistem pendidikan negara.

“Sepatutnya, semua pihak wajar menyokong penuh perjalanan sistem pendidikan sekarang supaya terus dimantapkan dan diberi peluang pelaksanaan yang berkesan,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini bahawa Jaringan Melayu Malaysia (JMM) serta Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) akan tampil bersama 30 badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili lebih sejuta ahli, memohon kerajaan mendengar suara ibu bapa yang mahu anak mereka diberi pilihan mengikuti PPSMI di sekolah.

NGO terbabit yang mewakili sekurang-kurang 12 pertubuhan Melayu berasaskan pendidikan dikumpulkan hasil jaringan kedua-dua pihak itu di seluruh negara, di samping tokoh tertentu, akan mengadakan sidang akhbar bersama JMM dan PAGE bagi tujuan membawa suara ibu bapa berkenaan pada 25 Oktober ini.
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, berkata mereka mahu Kementerian Pelajaran memandang serius suara ibu bapa yang dibawa itu berikutan hasil kaji selidik pihaknya pada peringkat akar umbi mendapati 54 peratus daripada 15,000 responden menyokong pelaksanaan PPSMI.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd Sabri Mohd Arshad, berkata kenyataan berkaitan kajian oleh JMM, PAGE dan beberapa NGO lain tidak boleh diambil kira kesahihannya kerana seramai 5.3 juta pelajar belajar di sekolah yang mempunyai pelbagai latar belakang.

“Jika kajian sekadar dilakukan di kawasan padat penduduk di bandar dan pinggir bandar serta sosio ekonomi dan budaya yang hampir sama, pastinya tidak menampakkan kaedah kajian boleh diterima pakai.

“Malah, jika diteliti pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta Semenanjung sudah pasti keputusan yang berbeza serta soalan kaji selidik perlu diteliti dengan baik dan tidak berat sebelah,” katanya.

Berita Harian Online: 18 Oktober 2011

Mahkamah izin tayang rakaman

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

AMPANG: Mahkamah Majistret di sini semalam membenarkan permohonan pembelaan menayangkan rakaman telefon bimbit membabitkan satu mesyuarat diadakan selepas kejadian ketua guru disiplin yang didakwa mencabul 11 pelajar perempuan berusia 15 dan 16 tahun di sebuah sekolah di Pandan Mewah, Februari lalu.

Rakaman video antara lima hingga tujuh minit itu yang dibuat seorang daripada guru di sekolah berkenaan ditayangkan di mahkamah bagi membolehkan Haniff Katri, peguam bela kepada Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, membuat soal balas terhadap saksi pendakwaan pertama, Ricky Toong Foo Weng, 25.


Dalam prosiding di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, Ricky yang juga pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee Ying Ha, ketika disoal balas peguam bela tertuduh mengesahkan rakaman berkenaan dan berkata, mesyuarat itu diadakan pada Isnin, 28 Februari lalu iaitu tiga hari selepas kejadian cabul berkenaan.

“Mesyuarat itu diadakan di antara wakil daripada Jabatan Pelajaran Selangor, sekolah, tertuduh, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan 11 mangsa bagi mencari penyelesaian,” katanya.


Ricky ketika menjawab soalan Haniff berkata, dia juga bersetuju orang yang banyak bersuara ketika mesyuarat terbabit adalah Jenice dan bapa seorang daripada mangsa. Sementara itu, Ricky yang mewakili semua mangsa cabul ketika membuat laporan polis terhadap guru disiplin berkenaan, bagaimanapun tidak bersetuju tindakan semua mangsa cabul itu yang bertepuk tangan selepas Jenice mengatakan guru berkenaan perlu diberhentikan menunjukkan mereka masih trauma.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff, membantah permohonan pembelaan yang mahu menayangkan rakaman telefon bimbit itu.

Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada semua mangsa di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi dan jam 8.30 pagi 25 Februari lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu. Perbicaraan bersambung hari ini.

myMetro: 18 Oktober 2011

Isnin, 17 Oktober 2011

Guru dari KL dicekup khalwat di Teluk Intan

TELUK INTAN: Seorang guru wanita sanggup mengharungi perjalanan dari Setapak, Kuala Lumpur ke rumah kekasihnya di Kampung Baru Batu 9, Changkat Jong, di sini, semata-mata mahu memadu kasih.

Paling mengejutkan, guru berusia 25 tahun dari Terengganu itu sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah bakal mentuanya ketika ibu bapa pasangannya tiada di rumah.


Bagaimanapun, tembelang pasangan itu dikesan penduduk kampung apabila mereka dicekup dalam serbuan dilakukan beberapa Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Hilir (PAIDHP) selain dibantu anggota polis pada malam Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, serbuan yang turut disertai imam, pegawai masjid serta beberapa Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menemui pasangan itu di dalam rumah berkenaan.


Difahamkan, pasangan itu enggan membuka pintu menyebabkan penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu hadapan rumah itu.


Sumber berkata, sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, pasangan itu dilihat sedang berbaring di atas tilam di dalam sebuah bilik.

myMetro: 17 Oktober 2011

Ahad, 16 Oktober 2011

Pelajar miskin wajar dikecuali yuran PIBG

2011/10/16

MOHD PUAD sambil diperhatikan Hussain  (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta Smart Remaja  selepas majlis perasmian program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Berangan 2,  di Tumpat, semalam.
MOHD PUAD sambil diperhatikan Hussain (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta Smart Remaja selepas majlis perasmian program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Berangan 2, di Tumpat, semalam.
TUMPAT: Ibu bapa pelajar sekolah yang kurang berkemampuan perlu diberi pengecualian membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengelakkan mereka dibebankan bayaran untuk anak masing-masing.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata keputusan menetapkan sejumlah bayaran oleh PIBG kepada ibu bapa pelajar sekolah perlulah dilakukan secara muafakat dan mengikut keutamaan.
“Bukan mudah untuk menetapkannya (bayaran PIBG di sekolah) kerana ada ibu bapa di Kuala Lumpur dan Damansara Utama sanggup membayar lebih, jadi susah nak hadkan.
“Bagi saya, biarlah PIBG buat keputusan secara muafakat dengan ahlinya untuk menentukan sesuatu yuran tambahan, saya sudah sebut banyak kali supaya tumpukan kepada yang utama, jika ibu bapa tak mampu sepatutnya dikecualikan,” katanya selepas Majlis Perasmian Smart Remaja di Sekolah Kebangsaan (SK) Berangan 2 di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.

Sebelum ini, akhbar melaporkan PIBG diminta berunding dengan ibu bapa mengenai yuran yang mahu dikenakan kepada pelajar bagi mengelak timbul kekeliruan berikutan pemansuhan yuran sekolah seperti diumumkan dalam Bajet 2012.

Berikutan itu, Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah supaya setiap keputusan yang mahu dijalankan PIBG mesti mendapat persetujuan ibu bapa dan guru besar atau pengetua bagi mengelak berlaku sebarang masalah.
Mengulas mengenai peruntukan tambahan RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah dalam Bajet 2012, Dr Mohd Puad berkata, pihaknya menjangkakan masalah membabitkan bangunan 2,209 sekolah di seluruh negara yang rosak teruk dapat diselesaikan tahun depan.

“Apabila dapat peruntukan tambahan menerusi tabung yang diumum Perdana Menteri, kita yakin boleh selesaikan tahun depan. Kebanyakan sekolah yang mengalami masalah berkenaan ialah di Sabah dan Sarawak, oleh itu, kita berharap dapat selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Berita Harian Online: 16 Oktober 2011

Sabtu, 15 Oktober 2011

Kenaikan gaji guru setimpal beban tugas: NUTP

2011/10/15

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan kenaikan gaji kakitangan awam terutama guru pada pembentangan Bajet 2012 oleh kerajaan baru-baru ini adalah selaras dengan bebanan kerja dihadapi warga pendidik kini.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jika dibandingkan negara maju, gaji warga pendidik mereka lebih tinggi berbanding gaji kakitangan awam di kementerian lain kerana guru adalah aset melahirkan modal insan cemerlang.
“Memang pengumuman Bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kali ini menyaksikan kenaikan gaji kakitangan awam yang mana guru mendapat sedikit kelebihan, namun, bagi saya ia bertepatan dengan tugas dan tanggungjawab guru kini.
“Jika kita lihat negara maju, Jepun, Sweden dan Korea, gaji warga pendidik mereka adalah tinggi. Begitu juga dengan negara jiran kita Singapura,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pengumuman bajet itu menyaksikan golongan guru yang meliputi kira-kira sepertiga daripada 1.2 juta penjawat awam mendapat kenaikan gaji terbesar menerusi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Guru bukan siswazah menerima kenaikan sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.

Sementara itu, Hashim turut menggesa pihak pentadbiran sekolah agar tidak menyekat warga pendidik berusia 47 tahun ke bawah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Kementerian Pelajaran katanya, sudah mengeluarkan pekeliling September lalu dengan membuka peluang kepada warga pendidik lepas diploma untuk menyambung pengajian.

Berita Harian Online: 16 Oktober 2011

Jumaat, 14 Oktober 2011

Lanjutkan pencen 60 tahun

UNTUK memberi keadilan kepada penjawat awam yang akan bersara wajib cukup umur 58 tahun pada bulan November dan Disember ini diharap sangatlah mereka ini dapat diserapkan juga ke dalam skim pencen wajib umur 60 tahun.

Diharap kelonggaran ini dapat diambil perhatian sewajarnya ataupun setidak-tidaknya dikhaskan untuk mereka yang benar-benar layak seperti pegawai di bidang kritikal dan profesional yang masih mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu seperti doktor, jurutera dan profesional yang lain.

Begitu juga guru-guru matematik dan bahasa Inggeris umpamanya.

Saya rasa pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tiada halangan jika diberikan lampu hijau untuk melaksanakan kewajaran untuk menyerapkan beberapa kakitangan awam yang akan bersara wajib pada bulan November 2011 dan juga bulan Disember 2011 diberikan peluang untuk menyambungkan perkhidmatan selama dua tahun lagi kerana faktor sebulan dua sahaja lagi untuk layak ke skim bersara wajib umur 60 tahun itu.

Utusan Malaysia Online: 14 Oktober 2011

Arahan pulangkan semula elaun aniaya guru kanan

2011/10/14

KAMI guru kanan mata pelajaran yang dilantik pada Ogos 2008 ingin menyatakan rasa dukacita kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) kerana mengarahkan kami melalui kerani sekolah masing-masing, memulangkan semula Elaun Tanggungjawab sebanyak RM120 dari tarikh kami dilantik sehingga Ogos 2011.

Pihak kami sudah meminta penjelasan daripada JPNS melalui Unit Perkhidmatan dan JPNS mengakui berlaku kesilapan sewaktu pelantikan kami pada 2008.
Alasannya, sekolah Gred B difahamkan waktu itu tidak layak menerima guru kanan mata pelajaran melalui pekeliling Kementerian Pelajaran tahun 2002. Namun perkara itu baru disedari pada 2011 oleh pengurusan baru.
Walaupun kami merayu namun jabatan mahukan kami memulangkan elaun berkenaan secara potongan ansuran gaji selama enam bulan atau merayu memanjangkan tempoh. Berdasarkan kiraan, jumlah bayaran balik mencecah RM5,000.

Ini amat membebankan, tidak adil dan satu cubaan bersikap lepas tangan. Dalam usaha kerajaan memperbaiki kebajikan guru, nampaknya pihak jabatan sudah menganiayai hampir 200 guru kanan sekolah Gred B khususnya di Negeri Sembilan yang dilantik secara misteri oleh mereka.

Alasan pihak jabatan mengatakan mereka tidak tahu pekeliling itu amat mendukacitakan kami. Ini kelalaian yang serius. Lebih mendukacitakan, tenaga guru kanan sudah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengetua sekolah selama tempoh pelantikan.

Malahan, ada sekolah Gred B mendapat Penghargaan Baiah seperti diumumkan Menteri Pelajaran baru-baru ini. Kemudian, mereka diminta memulangkan elaun diterima sepanjang berkhidmat sebagai guru kanan.
Puncanya, sekolah terbabit ialah sekolah Gred B. Kenapa sekolah ada unsur diskriminasi? Difahamkan di Seremban saja ada sekolah Gred B seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi, Senawang dan SMK Seremban Jaya. Murid mereka mencecah seribu lebih.

Kami meminta Menteri Pelajaran menyiasat, meneliti dan menimbangkan semula perkara ini dengan serius kerana kesilapan serta diskriminasi sebegini sudah menjatuhkan maruah dan menganiayai guru terbabit, bertentangan akta pekerjaan dan dasar integriti nasional serta dasar rakyat didahulukan.

GURU KELIRU,
Negeri Sembilan

Berita Harian Online:14 Oktober 2011

Rabu, 12 Oktober 2011

‘Saya tidak mengalah’

Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

DUNGUN: “Saya tetap akan gagahkan diri demi kejayaan pelajar,” kata seorang guru, Edlin Ishak, 44, yang menghidap penyakit Parkinson menyebabkan pergerakannya terbatas sehingga terpaksa dipapah ketika ke sekolah selain sukar hendak bertutur.

Bagi memastikan pelajarnya cemerlang dalam pelajaran, Edlin yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai di sini, tetap meneruskan kerjaya biarpun terpaksa dipapah setiap hari oleh suaminya, Rosdi Hussin, 41, ke sekolah.


Katanya, dia disahkan menghidap Parkinson selepas menemui doktor pakar pada 2009 dan sering mengalami gangguan saraf yang menyebabkannya sukar bercakap.

“Biarpun tak dapat berdiri lama, saya tetap gagahkan diri demi kecemerlangan pelajar dan terpaksa menggunakan alat pembesar suara ketika mengajar,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kerusi roda bertandas yang disumbangkan Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh di rumahnya di Kampung Pulau Serai di sini, kelmarin.


Edlin berkata, dia berterima kasih dengan sumbangan kerusi roda itu kerana ia dapat memudahkannya bergerak termasuk membuang air besar ketika mengajar di sekolah.


“Sebelum ini, saya sukar untuk membuang air dan terpaksa mendapatkan bantuan suami serta guru lain di sekolah,” katanya.

Dia terpaksa makan ubat diberikan doktor pakar untuk mengelak menggeletar dan sekiranya lambat mengambil ubat, akan membuatkan sukar untuk mengajar.


“Ketika ini, saya terpaksa berehat dua bulan selepas mengambil ubat doktor bertujuan mengembalikan semula kecergasan otak dan selepas itu barulah saya boleh mengajar semula,” katanya.


myMetro: 12 Oktober 2011

Selasa, 11 Oktober 2011

Bajet 2012 jadikan sektor pendidikan bervariasi

MARAN 10 Okt. - Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri kelmarin menjadikan sektor pendidikan lebih bervariasi kerana membawa banyak berita gembira kepada ibu bapa, pelajar dan para pendidik sendiri selaku pelaksana dasar pendidikan negara.

Sehubungan itu, beberapa guru yang ditemui di sini berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terus mengangkat sektor pendidikan dalam pembentangan bajet berkenaan.

Yuseri Faizie Abdul Ghani, 38, berkata, pemansuhan bayaran tambahan persekolahan sebanyak RM24.50 sen bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah membuktikan transformasi kerajaan untuk membela rakyat.

''Pemansuhan bayaran tambahan persekolahan itu sangat melegakan golongan ibu bapa dan penjaga kerana mereka dapat menjimatkan perbelanjaan," katanya di sini semalam.

Bagi Hisham Sapian, 46, Bajet 2012 yang disusuli dengan dengan pelbagai insentif baru seperti kenaikan pangkat melalui time based dalam beberapa kategori sangat melegakan warga pendidik.

Katanya, langkah memendekkan tempoh layak kenaikan pangkat daripada 10 tahun ke lapan tahun seperti contoh dalam DG41 kepaad DG 44 sangat relevan dan menguntungkan golongan pendidik.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Kamaruddin Kasim, 58, berkata, peningkatan had umur persaraan sehingga 60 tahun mampu memberi hasil yang baik kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Katanya, di samping itu, kenaikan gaji penjawat awam serta tambahan bonus setengah bulan gaji membuktikan kerajaan meletakkan golongan ini pada kedudukan istimewa.

''Ini pastinya memberi ruang kepada semua kakitangan awam untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 11 Oktober 2011

Benci melampau

Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

KUCHING: Akibat tidak sebulu dengan pegawai bawahannya, seorang guru besar sekolah rendah di sini, didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menceroboh sistem maklumat peribadi empat guru lain semata-mata mahu mengisi borang bagi membolehkan keempat-empat guru terbabit dipindahkan.

Perbuatan tanpa diketahui keempat-empat guru terbabit dipercayai bermula apabila guru besar berusia 53 tahun itu dikatakan memasukkan maklumat palsu dalam borang e-G (penukaran guru) selepas dikatakan mengarahkan guru yang bertugas di bahagian pangkalan data menukarkan kata laluan serta ID pengguna sistem maklumat peribadi mereka.

Kejadian berlaku sejak April lalu hanya diketahui seminggu kemudian selepas seorang daripada guru terbabit gagal memasuki sistem berkenaan.

Seorang guru terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Shiela, 36, berkata, guru besar itu dikatakan tidak menyukainya kerana dia gagal menghadiri tiga aktiviti sekolah pada Disember tahun lalu atas sebab tertentu.


“Guru besar memaki saya dalam mesyuarat hanya kerana tidak dapat hadir dalam tiga aktiviti berkenaan. Saya tidak pernah menyangka masalah itu menjadi punca dia tidak menyukai saya sehingga sanggup mengisi borang pindah sekolah tanpa pengetahuan,” katanya yang sudah sembilan tahun bertugas di sekolah rendah berkenaan.

myMetro: 11 Oktober 2011

Isnin, 10 Oktober 2011

PIBG rayu SK Jelai diganti baru

Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
2011/10/10

 KEADAAN  SK Jelai Batu Kurau yang terbakar pada 25 Ogos 2010.
KEADAAN SK Jelai Batu Kurau yang terbakar pada 25 Ogos 2010.
Murid guna bangunan usang selepas sekolah terbakar setahun lalu

BATU KURAU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jelai, di sini, terpaksa menggunakan bangunan papan usang berusia lebih 100 tahun sebagai tempat belajar sementara berikutan bangunan sekolah mereka yang terbakar setahun lalu tidak dibaik pulih.
Lebih malang, lebih 300 penghuninya yang dikategorikan dalam sekolah rendah gred A di daerah itu turut berdepan dengan risiko dihempap runtuhan kayu kerana premis yang diduduki sekarang ini terlalu daif.
Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zainal Abidin Mohd Kassim, 42, berkata murid dan semua kakitangan sekolah itu terpaksa menggunakan bangunan sekolah lama berusia lebih 100 tahun kerana bangunan utama terbakar sejak setahun lalu belum dibaik pulih.

“Sejak kebakaran berlaku pada 25 Ogos tahun lalu, sebahagian daripada 287 murid terpaksa meneruskan sesi pembelajaran di bangunan papan usang yang dibina pada 1878 terletak berhampiran bangunan yang terbakar. Pihak pentadbiran sekolah juga terpaksa ‘mengorbankan’ bilik komputer untuk dijadikan bilik guru besar yang baru selain mengubah suai makmal sains untuk kegunaan bilik guru.

“Kami tidak ada pilihan selain menggunakan bangunan lama kerana murid terpaksa meneruskan pelajaran, manakala guru serta kakitangan sekolah perlu menjalankan tugas masing-masing,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Zainal Abidin berkata, situasi ini mengecewakan masyarakat setempat khususnya di kalangan ibu bapa kerana menyifatkan masalah itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mengancam penghuni sekolah, selain menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar dan guru.
“Bangunan terbakar itu dibiarkan tanpa sebarang usaha baik pulih. Kami sedih dengan sikap sambil lewa beberapa pihak termasuk individu harapan kami yang sepatutnya menjaga kebajikan serta kepentingan penduduk di daerah ini langsung tidak mengendahkan masalah itui,” katanya.

Zainal berkata, pihak berkaitan mungkin mengandaikan masalah itu tidak merumitkan, sedangkan bangunan terbakar itu turut menempatkan bilik guru besar, penolong kanan, penolong kanan hal ehwal murid dan kokurikulum, pusat sumber dan enam bilik darjah.

Sementara itu, bapa kepada seorang murid yang juga penduduk di situ, Mamat Abdullah, 51, turut berpendapat masalah itu perlu diselesaikan secepat mungkin dan bangunan baru perlu dibina bagi memastikan keselesaan murid untuk belajar dengan lebih baik.

“Saya hairan bagaimana ada pihak mencadangkan bangunan terbakar itu hanya perlu dibaik pulih tanpa dibina baru sedangkan keputusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Kurau memutuskan bangunan itu tidak boleh digunakan lagi.

“Bangunan terbakar itu perlu diroboh dan digantikan yang baru atas tapak asal. Kami bukannya mahu bangunan untuk dijadikan premis hiburan tetapi ia tempat untuk murid dan guru sekolah belajar serta bertugas dengan selesa,” katanya.

Berita Harian Online: 10 Oktober 2011

Ahad, 9 Oktober 2011

Selaras bayaran elak penetapan yuran sesuka hati

Oleh Norakmah Mat Youb dan Nasuha Badrul Huzaini

2011/10/09

KUALA LUMPUR: Kadar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) yang kini berbeza mengikut sekolah perlu diselaraskan di seluruh negara bagi mengelakkan kejadian menaikkan bayaran sesuka hati berikutan pemansuhan yuran persekolahan mulai tahun depan.

Sehubungan itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan, mahu satu garis panduan berhubung kadar yuran diwujudkan bagi mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan sekali gus membebankan keluarga berpendapatan rendah.
Yuran PIBG dikutip bagi membantu kelancaran projek tambahan yang dijalankan pihak sekolah. Jadi, ia tidak seharusnya membebankan ibu bapa. Saya cadangkan jumlah itu tidak melebihi RM50 bagi sekolah rendah dan RM100 untuk sekolah menengah.
Bagaimanapun, sekiranya ada keluarga yang tidak mampu, mereka boleh membayarnya mengikut kemampuan tanpa ada paksaan. Kerajaan sendiri cuba mengurangkan bebanan mereka, jadi PIBG juga sepatutnya memahami, katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad Ali berkata, selain itu, pihaknya mencadangkan lebih banyak syarikat korporat dan persendirian menyumbang kepada PIBG dan tidak hanya menumpukan sumbangan ibu bapa kerana mereka boleh mendapat pengecualian cukai bagi tanggungjawab sosial.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata kementerian masih menimbang mekanisma bersesuaian untuk memberikan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Kita masih belum memutuskan sama ada duit itu akan diberikan ketika sesi sekolah tamat hujung tahun atau ketika penggal persekolahan bermula. Pastinya bantuan berkenaan untuk meringankan bebanan rakyat di negara ini, katanya.
Beliau berkata, dengan pemansuhan yuran sekolah dan bantuan RM100 kepada setiap pelajar, ia dapat mengurangkan kadar keciciran sekolah dan tiada alasan lagi sekiranya ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Belanjawan 2012 mengumumkan pemansuhan yuran sekolah dan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.

Pemansuhan itu membabitkan yuran tahunan kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insurans Takaful bagi pelajar sekolah rendah iaitu RM24.50 dan sekolah menengah RM33.50.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pemansuhan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Berita Harian Online: 9 Oktober 2011

Sabtu, 8 Oktober 2011

1.2j penjawat awam naik gaji (time-bases guru 8 tahun)

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kira-kira 1.2 juta penjawat awam bakal menerima kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan apabila perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 sehingga RM320 setahun mengikut gred ekoran ia tidak pernah disemak sejak 1991.

Bagi pesara pula, beliau berkata, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen melibatkan peruntukan RM600 juta dan mulai tahun 2013 kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

Di dalam bajet kali ini, Najib turut mengumumkan had umur baru bagi persaraan wajib iaitu daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.

"Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru," ujar Perdana Menteri.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kakitangan awam yang akan dibayar pada bulan Disember ini selain bayaran khas RM500 kepada semua pesara kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, penyelarasan gaji serta kenaikan kadar kenaikan gaji tahunan itu merupakan salah satu daripada empat elemen Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula diperkenalkan dalam bajet tahun ini.

"SBPA merupakan satu sistem saraan baru yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan ia digubal dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam Malaysia supaya ia menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi," ujarnya.

Menghuraikan lebih lanjut tiga elemen lagi di dalam SBPA, Perdana Menteri berkata, kenaikan gred berdasarkan time-based (tempoh perkhidmatan) bagi guru akan dikurangkan daripada tahun ke-10 kepada tahun kelapan perkhidmatan.

Beliau berkata, ini bermakna seorang guru akan berada pada gred 44 pada tahun kelapan dan gred 48 pada tahun ke-16.

"Jika mengikut time-based sekarang ia memakan masa 10 tahun tetapi di bawah SBPA ia hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja," katanya lagi.

Satu lagi elemen yang terdapat di dalam SBPA, beliau berkata, gaji maksimum dalam gred ditingkatkan lebih 30 peratus.

"Sebagai contoh di dalam SSM bagi seorang guru gred DG48 gaji maksimumnya adalah RM6,325.39 tetapi di dalam SPBA gaji maksimum akan meningkat 37.7 peratus. Dengan pertambahan itu jumlah gaji maksimum yang baru ialah RM8,710," ujarnya.

Ujar Najib elemen terakhir di dalam SBPA ialah wujudnya dasar pemisah atau 'exit policy' bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan bagi mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.

Utusan Malaysia Online: 8 Oktober 2011

Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bayaran yuran persekolahan untuk sesi 2012 bagi sekolah rendah dan menengah melibatkan jumlah RM150 juta, dimansuhkan.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini berkata, dengan pemansuhan itu bermakna buat pertama kali dalam sejarah negara kemudahan pendidikan sama ada di sekolah rendah mahupun menengah disediakan secara percuma.

Beliau berkata, sebelum ini pelajar masih dikenakan bayaran yuran sebanyak RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

"Bayaran itu digunakan untuk yuran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans takaful," katanya.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu bakal memberi manfaat kepada 2.9 juta murid sekolah rendah dan 2.4 juta pelajar sekolah menengah.

Terdahulu Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan RM50.2 bilion bagi sektor pendidikan untuk tahun depan.

"Bagi peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion, ia akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), sekolah mubaligh serta sekolah agama bantuan kerajaan," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, menyelenggara, membeli peralatan dan membina blok tambahan.

"Daripada peruntukan tambahan RM1 bilion itu, RM500 juta adalah untuk sekolah kebangsaan, RM100 juta kepada SJKC, RM100 juta kepada SJKT, RM100 juta kepada sekolah mubaligh, RM100 juta kepada sekolah agama bantuan kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tiga galakan untuk sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan ditetapkan kerana ia turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.

"Tiga galakan itu adalah pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun, potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik kemasukan lebih ramai pelajar asing.

"Galakan ketiga adalah pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran," katanya lagi.

Utusan Malaysia Online: 8 Oktober 2011

Saraan baru beri guru kenaikan gaji terbesar

2011/10/08

KUALA LUMPUR: Golongan guru yang meliputi kira-kira sepertiga daripada 1.2 juta penjawat awam mendapat kenaikan gaji terbesar menerusi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012.

Guru bukan siswazah menerima kenaikan sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.
Perdana Menteri juga mengumumkan bantuan persekolahan one-off RM500 untuk isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 bagi menangani kos sara hidup.
Bajet 2012 juga memberi durian runtuh kepada 5.3 juta pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima yang layak mendapat bantuan RM100 untuk setiap pelajar.
Sebanyak RM530 juta diperuntukkan untuk bantuan itu yang akan dilaksanakan menerusi Bank Simpanan Nasional.

Kerajaan juga memperkenal Dana Pengkomersialan Inovasi RM500 juta untuk membolehkan institusi pengajian tinggi dan perusahaan kecil dan sederhana mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan.

Seramai 20,000 guru diploma diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dengan yuran dibiayai Kementerian Pelajaran. Bajet berkenaan menyediakan dana RM80 juta bagi bantuan yuran pengajian itu.
Sementara itu, Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menganggap penurunan tempoh kenaikan gred guru siswazah daripada DG44 kepada DG48 daripada 20 tahun ke 16 tahun sebagai penghargaan besar kepada pendidik di seluruh negara dan tanda kerajaan mendengar rintihan rakyat.

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata pengurangan tempoh itu bermakna guru siswazah yang cemerlang berpeluang untuk mencapai gred DG52 dan DG54 sebelum usia persaraan yang kini dinaikkan kepada 60 tahun.

KGMMB sangat berpuas hati dengan pengumuman dalam Bajet 2012 kerana turut membabitkan penurunan tempoh kenaikan gred mengikut time-based yang membuka peluang kenaikan gaji bagi guru yang enggan menerima kenaikan pangkat kerana sukar berpindah rumah atau komitmen lain.

Guru yang tidak dilantik sebagai pengetua atau pegawai pelajaran daerah kekal di sekolah sebagai pendidik tetapi masih menerima kenaikan gred, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berita Harian Online: 8 Oktober 2011

Persekolahan percuma

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein, Nasharuddin Muhammad, Norsham Salleh, Husain Jahit, Badrila Jamlus, Izawan Baharin, Abdullah Wahab, Faizatul Farlin Farush Khan, Helmy Abd Rahman, Intan Mas Ayu Shahimi, Afiq Hanif, Syarifah Dayana Syed Bakri, Sri Ayu Kartikawati Amri, Shanty Nur Shaffizan Shafee, Yusmizal Dolah Aling, Rosyahaida Abdullah, Hafiz Ithnin, Muhammad Saufi Hassan, Rabiatul Adawiyah Ismail, Shuhada Mansor dan Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2012 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak semalam mencipta beberapa sejarah apabila mengumumkan beberapa insentif wang tunai serta pemansuhan bayaran persekolahan yang memberi impak besar dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Paling ketara, bermula tahun depan rakyat negara ini akan menikmati sesi persekolahan secara percuma apabila bayaran yuran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 dimansuhkan, selain pemberian bantuan sebanyak RM500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Ini jelas membuktikan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengambil kira kepentingan rakyat pelbagai peringkat dalam belanjawan berjumlah RM232.8 bilion itu yang membabitkan belanja mengurus sebanyak RM181.6 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM51.2 bilion.


Dalam ucapannya selama dua jam 10 minit itu, Najib turut mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program transformasi yang sudah dan akan dilaksanakan ke arah menjayakan cita-cita mewujudkan bangsa Malaysia bersatu dan maju menjelang tahun 2020.

Bertemakan ‘Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara’ itu, Belanjawan 2012 menggariskan strategi merangsangkan ekonomi, sambil menyarankan program inklusif yang peka terhadap kesejahteraan rakyat dalam menangani kos sara hidup yang meningkat. “Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful. “Ingin dimaklumkan, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Buat pertama kali dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah kerajaan disediakan dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya.


Selain itu, Najib turut mengumumkan pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada semua murid sekolah rendah dan menengah daripada tahun satu hingga tingkatan lima.


“Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa berkemampuan untuk menerima atau tidak,” katanya. Menurutnya, bantuan membabitkan peruntukan RM5.3 juta dan dijangka memberi manfaat kira-kira 5.3 juta pelajar itu akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional.

Kepada pelajar peringkat menengah tinggi dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) pula, beliau berkata kerajaan akan memberi baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua penuntut warga Malaysia di IPT awam dan swasta, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam.


“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan membabitkan peruntukan RM260 juta,” katanya.

Beliau berkata, pemberian bantuan sebanyak RM500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang julung kali dilakukan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup. “Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan RM1.8 bilion.


“Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos,” katanya.


Kepada kakitangan awam, berita gembira yang mereka tunggu menjadi kenyataan apabila Najib mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara kerajaan akan dibuat bersekali dengan gaji Disember 2011. “Ini menjadikan jumlah bonus bagi 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000 bagi penjawat awam dan bantuan RM1,000 bagi pesara kerajaan,” katanya.


Belanjawan 2012 juga akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Najib berkata, mulai 2012, kenaikan gaji tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred dan penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.


“Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen dan bermula 2013 kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji,” katanya.


Menyedari kepentingan golongan sebagai generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan negara, kata Najib, generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara. “Untuk ini, kerajaan akan memperuntukkan RM320 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah,” katanya.


Bagi kesejahteraan penduduk di luar bandar pula, kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebagai pelengkap program transformasi menyeluruh negara. “RTP akan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat,” katanya.


myMetro: 8 Oktober 2011