Oleh ZULKIFLI JALIL dan ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my
SALAH seorang peserta menyuarakan pandangan pada sesi Dialog Nasional Pendidikan Negara di Kota Bharu baru-baru ini.
DIALOG Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012
yang diadakan sejak 29 April lalu di 15 lokasi di seluruh negara
menerusi pertemuan dengan rakyat yang mengutarakan pelbagai isu
pendidikan disifatkan suatu program luar biasa dalam sejarah pendidikan
negara.
Melabelkan dialog berkenaan sebagai sesuatu yang 'fantastik',
Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin
berkata, pada program tersebut, masyarakat yang terdiri daripada
pelbagai latar belakang dan kaum tanpa mengira ideologi diberi ruang
untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati serta berpeluang
mengesyorkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan.
Malah, beliau berkata, 11 lagi ahli panel menyanjungi usaha
Kementerian Pelajaran menggerakkan dialog tersebut untuk merasai sendiri
denyut nadi rakyat.
''Merata-rata saya pergi (ke negeri-negeri berkenaan), mereka (orang
ramai) datang bersemangat tanda respons mereka pada kerajaan.
"Kalau kita lihat dalam satu-satu dewan itu, bukan 70 orang yang datang tetapi rata-rata di setiap lokasi melebihi 700 orang.
''Di Pulau Pinang sebagai contoh, kita terpaksa bahagikan pula kepada
dua seksyen... malah pemimpin UMNO, DAP dan PKR duduk semeja dalam
dialog tersebut, di Tawau sesak manakala di Kelantan lebih 1,020 yang
hadir.
''Ini menunjukkan isu-isu pendidikan dirasakan semua orang dan
merentasi segala perbezaan politik dan ideologi," katanya dalam satu
wawancara khas di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, di sini baru-baru
ini.
DNPN merupakan satu inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah
Kajian Semula Pendidikan. Ia adalah wadah bagi perkongsian idea dan
lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input
kepada kementerian itu dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.
Objektif dialog itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat
mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan serta
membina kesedaran bersama akan perancangan kementerian dalam
membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.
Tambah Wan Mohd. Zahid, dialog tersebut menggunakan konsep
townhall di mana orang ramai dijemput hadir secara
walk-in
di lokasi yang strategik bagi membolehkan mereka bebas untuk memberikan
pandangan, kritikan dan cadangan yang akan dijadikan imput bagi Pelan
Pembangunan Pendidikan untuk jangka masa 15 tahun akan datang.
Jelasnya, beliau sendiri dan beberapa lagi panel akan berada pada setiap
townhall
itu bagi mendengar luahan dan aspirasi rakyat, luahan serta pandangan
ini akan menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Pendidikan itu.
Selain menggunakan kaedah
townhall, pihaknya turut mengadakan
pertemuan meja bulat dengan kumpulan tertentu seperti beberapa
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kesatuan guru, media, kumpulan
komuniti, pesara, wakil politik dan lain-lain lagi.
Katanya, bagi perjumpaan meja bulat itu, pihaknya hanya mengehadkan
kepada 15 hingga 20 individu bagi sesuatu persidangan bagi memberi
peluang kepada mereka bercakap lebih lama.
''Setakat ini kita telah mengadakan 19 persidangan meja bulat bagi
dialog tersebut dan rata-rata respons yang diberikan sangat
memberansangkan.
''Walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik, kumpulan-kumpulan
ini mengamalkan sikap profesional dalam menyuarakan pendapat bagi
kebaikan masa depan sistem pendidikan negara.
''Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pendidikan mampu menyatukan
pelbagai pihak dan mendapati rakyat negara ini sepakat bahawa pendidikan
berkualiti adalah penting bagi memastikan negara dapat bersaing di
peringkat global,'' ujarnya.
Setakat ini, lebih 10,808 orang daripada segenap lapisan masyarakat telah hadir bagi menyertai dialog berkenaan.
Jelas Wan Mohd. Zahid, pihaknya dengan tangan terbuka sentiasa
menerima input daripada masyarakat sama ada secara lisan ataupun
bertulis, menghantar memorandum dan sebagainya.
Menurutnya, penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter
turut mendapat respons positif daripada masyarakat berhubung kajian
semula pendidikan itu.
''Kita telah meneliti 118 isu dalam memorandum yang diterima daripada
pelbagai pihak dan kita juga mengambil kira input daripada laman sosial
kami di Facebook -
myedureview2012 dan Twitter -
@edureview2012,'' katanya.
Wan Mohd. Zahid menambah, dalam dialog tersebut, pihaknya memberi
peluang sepenuhnya kepada orang ramai untuk menyatakan pendapat,
kritikan dan cadangan bagi diguna pakai dalam kajian semula pendidikan
negara ini.
Katanya, pihaknya telah menganalisis sembilan perkara yang
dikenalpasti merupakan keutamaan dalam transformasi pendidikan negara.
Antaranya adalah guru, aspirasi, kokurikulum, kepimpinan sekolah,
kualiti sekolah, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian Kementerian
Pelajaran Malaysia dan sebagainya.
''Kita mengambil pendekatan tidak mahu campur tangan dalam proses
dialog itu. Bila kita bagi penerangan kita sebut, kita minta dia
nyatakan pandangan mereka kepada sembilan perkara keutamaan yang telah
dikenalpasti.
''Namun, mereka juga boleh mengutarakan keutamaan lain daripada sembilan keutamaan itu.
''Penglibatan kita sangat minimum, kita lebih memberi peluang kepada
mereka menyatakan pendapat, pandangan mereka. Kalau dia tanya "bersetuju
tak", kita tidak akan memberi jawapan kerana itu pandangan mereka. Kita
sebenarnya mahu dengar pandangan dia,'' ujarnya.
Walaupun program jelajah DNPN tiba di lokasi terakhir Johor Bahru
Sabtu ini, orang ramai masih boleh menyatakan kritikan, komen, cadangan
dan forum secara online melalui laman web Kajian Semula Pendidikan di
www.edureview.my.
Utusan Malaysia Online: 12 Julai 2012