Sabtu, 31 Oktober 2009

Sistem gred baru masuk ke IPTA

PUTRAJAYA 30 Okt. - Syarat kelayakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan setaraf untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan diperketatkan mulai tahun depan.

Ini berikutan pengiraan merit untuk pemohon akan menggunakan penggredan baru iaitu kelulusan A+.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Radin Umar Radin Sohadi berkata, kaedah pengiraan markah tersebut bertujuan memilih pelajar terbaik di kalangan yang terbaik.

‘‘Sehubungan itu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan kaedah pengiraan markah merit terkini dengan perubahan kecil kepada kaedah sedia ada.

‘‘Kaedah tersebut juga mengambil kira syarat khas kemasukan program pengajian dengan memastikan pelajar yang dulunya mendapat gred 6C (kepujian) tidak diturun taraf ke gred lebih rendah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penggredan baru A+, beliau memberitahu, pelajar yang memperoleh A kini terbahagi kepada tiga kategori iaitu A+, A dan A-.

Ini bermakna mereka yang mendapat A+ bakal memperoleh nilai markah bagi pengiraan merit sebanyak 18, A (16) manakala A- (14).

‘‘Sebagai contoh, jika sebelum ini keseluruhan A dikira berdasarkan markah 90-100 tetapi melalui penggredan baru ini adalah 99-100 (A+), 98-95 (A) manakala 94-90 (A-),” katanya.

Radin Umar menambah, syarat khas program pengajian dan pemilihan calon ke IPTA bagi sesi akademik 2010/2011 akan dilaksanakan secara dua kaedah dalam proses transisi.

Pertama, kaedah sedia ada bagi calon lepasan SPM 2008 dan sebelumnya dan kedua, kaedah terkini bagi calon lepasan SPM 2009.

Kata beliau, kaedah itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar bukan tahun semasa mengemukakan permohonan serta dipertimbangkan secara adil, telus serta bersistematik dalam pemilihan kemasukan ke IPTA berasaskan dasar sedia ada.

‘‘KPT bersetuju mengadakan taklimat ke seluruh negara kepada guru bimbingan dan kaunseling mengenai perubahan ini,” katanya.

Jelasnya, KPT akan mengemas kini maklumat mengenai kaedah pengiraan markah merit terkini melalui cetakan dan agihan risalah ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah.

Maklumat juga boleh diperolehi melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA iaitu http:// upu.mohe.gov.my.

Utusan Malaysia Online: 31 Oktober 2009

Tinjau lokasi perkhemahan: TPM

Oleh Saufi Hamzah dan Mohd Roji Abdullah
hnews@bharian.com.my

Pentadbir sekolah diarah pastikan kemudahan kegiatan luar sentiasa selamat

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan semua pentadbir sekolah meninjau lokasi, termasuk tapak perkhemahan dan kemudahan lain yang digunakan pelajar ketika menyertai kegiatan luar bilik darjah bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kawalan keselamatan pelajar perlu dipertingkatkan berikutan kebimbangan ibu bapa setiap kali anak mereka mengambil bahagian dalam kegiatan luar sekolah.

"Kita sudah mengeluarkan arahan baru oleh Ketua Pengarah Pelajaran supaya dipertingkatkan kawalan keselamatan pelajar.

"Mereka perlu tinjau tempat dan kemudahan digunakan pelajar supaya tidak ada kebimbangan seperti masalah kita hadapi baru-baru ini," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Iskandar Investment dengan Marlborough College untuk membangunkan kolej itu di kawasan peranginan antarabangsa dalam Iskandar Malaysia.

Beliau diminta mengulas kebimbangan ibu bapa mengenai tahap keselamatan anak mereka yang mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum.

Kebimbangan tercetus selepas kematian tiga murid yang menyertai Perkhemahan 1Malaysia di Kuala Dipang, Kampar, selepas terjatuh ke dalam Sungai Kampar ketika menyeberangi jambatan gantung di tapak perkhemahan itu pada Isnin lalu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, prosedur operasi standard sedia ada berkaitan penganjuran perkhemahan masih boleh digunakan apabila pihak sekolah menganjurkan aktiviti seumpama itu.

Mengulas kejadian itu, beliau berkata, puncanya ialah struktur jambatan dan sememangnya dalam satu daripada terma rujukan Jawatankuasa Penyiasat ialah berkaitan struktur jambatan.

"Struktur jambatan adalah perkara pokok... jika ia elok kejadian itu tidak berlaku. Latihan dan urusan lain sememangnya mematuhi SOP. Bila struktur jambatan tidak betul, itu sudah kita akui jadi masalah, bukan soal SOP," katanya.

Muhyiddin juga berkata, tapak perkhemahan itu adalah tapak kekal dan banyak aktiviti perkhemahan diadakan puluhan tahun lalu.

"Soalnya tapak tidak menjadi masalah. Kejadian tak pernah berlaku dalam sejarah Kementerian Pelajaran. Sekolah lain yang adakan aktiviti juga tidak ada masalah," katanya.

Di BATU PAHAT, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihak swasta yang menawarkan pusat perkhemahan dan kem latihan kepada pelajar sekolah diwajibkan mendaftar dengan kementerian bagi memudahkan pihaknya membuat pemantauan serta pemeriksaan.

"Peraturan baru ini dipersetujui kementerian bagi membolehkan pegawai kita membuat pemeriksaan untuk memastikan keselamatan setiap kem atau pusat perkhemahan pada tahap meyakinkan dan diperakui selamat untuk murid atau pelajar menjalani aktiviti kokurikulum.

"Pendaftaran boleh dibuat oleh pengusaha pusat berkenaan di semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di kawasan masing-masing," katanya.

Berita Harian Online: 31 Oktober 2009

Jumaat, 30 Oktober 2009

Persatuan Cina, Tamil tolak sekolah satu aliran

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan melaksanakan sekolah satu aliran di negara ini.

Timbalan Pengerusi Dong Zong, Chow Siew Hon, berkata cadangan itu tidak boleh diterima kerana setiap bangsa di negara ini mempunyai warisan kebudayaan, termasuk bahasa ibunda yang perlu dipertahankan menerusi pendidikan asas.

"Sebaliknya, ada pelbagai pendekatan lain yang boleh dilaksanakan dan berkesan untuk mengukuhkan perpaduan nasional, termasuk menerusi pelaksanaan politik yang adil dan saksama," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, saranan tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim supaya kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai, disokong ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Guru Besar SJK Tamil Malaysia, Doraisamy Perumal menyifatkan cadangan Khoo tidak rasional.

Prof Diraja Ungku Aziz pula berkata, cadangan untuk memenuhi agenda perpaduan itu sukar direalisasikan kerana akan mendapat tentangan berterusan pihak yang mahu mempertahankan warisan budaya kaum mereka.

Dari segi logik, beliau berpendapat tidak mungkin pihak berkenaan menerima cadangan itu, sebaliknya akan membantah habis-habisan sehingga boleh mencetuskan suasana yang menyulitkan kepada kerajaan.

Berita Harian Online: 30 Oktober 2009

Guru ditipu lelaki Asia Barat

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Seorang guru lelaki kerugian RM3,130 setelah terpedaya dengan tipu helah empat lelaki Asia Barat ketika mangsa mengeluarkan wang di mesin teler automatik (ATM) di ibu negara, Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira 3.15 petang itu dikatakan berlaku ketika mangsa sedang mengeluarkan wang sebelum didatangi empat suspek lalu memaklumkan bahawa wangnya terjatuh.

Mangsa lalu tunduk dan mengambil wang tersebut sambil memberitahu ia bukan miliknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, ketika mengambil wang tersebut, suspek bertindak pantas mengambil kad di mesin ATM tanpa disedari mangsa.

"Apabila kad tidak keluar, mangsa beranggapan kadnya 'ditelan' mesin berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainuddin berkata, mangsa hanya menyedari kadnya hilang selepas tiga hari kejadian dan menurut laporan bank, sebanyak 12 pengeluaran wang dalam akaunnya membabitkan nilai RM3,130 dalam tempoh dua hari.

"Kes seumpama itu pernah berlaku di sekitar Taman Bukit Maluri pada September lalu menggunakan modus operandi yang sama," ujarnya.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga kurang membantu kerana imej muka suspek kurang jelas.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2009

Sekolah satu aliran capai gagasan 1Malaysia

PELAKSANAAN sekolah satu aliran kembali menjadi perbualan hangat. Pelbagai pihak baik kalangan ahli akademik, tokoh sejarah mahupun orang politik mula memandang serius cadangan ini.

Malah ramai juga secara terus-terang mengutarakan sokongan mereka untuk melaksanakan cadangan tersebut dengan segera, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Selama ini negara kita dianggap unik kerana kejituan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum. Ia jarang sekali berlaku di negara luar.

Nenek moyang kita telah bekerja keras dan melakukan pelbagai pengorbanan untuk mencapai keharmonian kaum yang kita nikmati sekarang. Namun apa yang dikhuatiri, semangat perpaduan ini semakin lama semakin terhakis.

Untuk itu kerajaan perlu bertindak segera dan kembali kepada fitrah pembentukan semangat perpaduan seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu yang ternyata membuahkan hasil selama ini.

Anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini perlu dididik dan dibentuk dari sekarang supaya mereka benar-benar dapat menghayati konsep dan erti sebenar perpaduan antara kaum yang terbina sekian lama.

Apakah kita lupa bahawa anak-anak yang dilahirkan umpama sehelai kain putih. Justeru kita percaya ibu bapa dan guru yang rapat dengan mereka saban hari dapat membantu memupuk nilai dan semangat perpaduan yang kita kehendaki.

Hanya sekolah dilihat sebagai tempat terbaik untuk membentuk anak- anak kita. Namun malangnya apa yang berlaku sekarang ialah anak- anak kita jelas terpisah dengan sekolah aliran masing-masing. Melayu di sekolah kebangsaan manakala Cina dan India masing-masing di sekolah jenis kebangsaan.

Kita percaya sekolah satu aliran ini tidak akan menafikan hak kaum masing-masing yang mahu bahasa ibunda mereka dipelajari oleh anak-anak mereka.

Ia juga pastinya tidak sama sekali menghilangkan identiti kaum tersebut. Bahasa ibunda masing-masing boleh terus diajar di sekolah satu aliran sebagai satu mata pelajaran wajib mengikut kaum masing-masing.

Pokok pangkalnya adalah bak kata peribahasa 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Memang ada golongan yang menentang keras cadangan mewujudkan sekolah satu aliran. Mereka mengutarakan pelbagai alasan mengikut perspektif dan logik akal masing-masing yang jelas mempunyai agenda tersendiri, dipengaruhi oleh emosi dan rasa tidak puas hati.

Dalam hal ini kerajaan sewajarnya bertindak dengan lebih bijak dan berhemah dengan mengambil kira pandangan dan pendapat majoriti penduduk negara ini yang rata-rata menyokong cadangan penubuhan sekolah satu aliran. Pedulikan golongan yang sering menjadi pengacau kepada pelbagai program yang hendak dilaksanakan.

Kerajaan perlu melihat secara lebih menyeluruh kepada manfaat yang bakal diperoleh hasil daripada pelaksanaan cadangan ini yang boleh membantu ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang dicita-citakan.

Usah endahkan golongan yang sememangnya sinonim dengan budaya 'tidak setuju'. Mereka tidak pernah menyokong apa sahaja program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan sudah lali dengan budaya menentang dan membangkang.

Jika kita mahu mencapai Wawasan 2020, Misi Nasional dan terkini gagasan 1Malaysia, maka kewujudan sekolah satu aliran adalah jawapan dan jalan penyelesaiannya.

Hanya dengan sekolah satu aliran sahaja kita lihat anak-anak kita yang bakal mewarisi kepimpinan masa depan dapat meneruskan hasrat dan cita-cita yang telah kita bangunkan. Melentur buluh biarlah dari rebung. Anak-anak kita masih belum terlambat untuk dilentur atau dibentuk. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2009

Lahirkan bangsa bersatu padu

KOTA TINGGI 29 Okt. - Sistem sekolah satu aliran mampu melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu-padu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyatakan sokongan secara peribadi terhadap saranan itu, beliau berkata, sistem pendidikan satu aliran selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini perkara yang besar. Pada prinsip dan secara peribadi saya menyokong saranan itu. Dari segi kerajaan adalah macam mana kita hendak uruskan kerana kita ada aliran kebangsaan, swasta, persendirian dan soal ini soal besar tapi kita galak teruskan perbincangan.

"Saya hendak bersikap lebih terbuka, bincang dan debat dulu dan sampai satu peringkat supaya kita dapat satu gambaran lebih jelas dan menyeluruh tentang apa yang kita kehendaki," katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai pandangan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang yang bersetuju supaya diperkenalkan sistem satu aliran di peringkat sekolah menengah untuk menyatupadukan rakyat.

Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim baru-baru ini menyarankan kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan kaum tercapai.

Semalam, saranan itu mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang untuk dilaksanakan bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai.

Muhyiddin berkata, Laporan Razak yang membuat kajian mengenai sistem pelajaran negara juga memberi fokus ke arah mencapai matlamat itu.

Beliau berkata, walaupun negara mempunyai Dasar Pelajaran Kebangsaan, namun faktor sejarah yang merangkumi masyarakat majmuk menyebabkan Malaysia mengamalkan lebih daripada satu aliran sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Kalau disebutkan gagasan 1Malaysia, akhirnya akan menuju satu matlamat untuk melahirkan rupa bangsa Malaysia yang bersatu padu.

"Antara perkara paling pokok dalam hal ini adalah pendidikan untuk membina modal insan, sahsiah, perwatakan, peribadi dan sifat kemalaysiaan berdasarkan sistem pelajaran yang kita ada," katanya.

Justeru, beliau mengalu-alukan semua pihak termasuk pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik berbincang dan mendebatkan mengenai perkara itu supaya dapat mendengar dan mengetahui pandangan kaum Melayu, Cina, India dan semua rakyat mengenai perkara ini.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri juga pernah menyatakan bahawa sistem pelbagai aliran yang ada di Malaysia kini adalah sebahagian daripada 'warisan' negara.

"Soalnya, macam mana kita hendak bentuk semula supaya dapat diwujudkan kesatuan dari segi aliran. Situasi yang ada sekarang kena diurus dengan baik," katanya.

Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2009

SAR, SMA didaftar sebagai SABK

KOTA TINGGI 29 Okt. - Kerajaan akan mendaftarkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Negeri sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi memartabatkan pendidikan Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui langkah itu, setiap sekolah berkenaan akan menerima pelbagai bentuk bantuan seperti sumbangan bagi urusan pentadbiran dan modal untuk menampung keperluan pembangunan fizikal sekolah.

Selain itu, beliau berkata, kurikulum agama negeri yang mengikut kurikulum Azhari akan dikekalkan dan guru akan ditawarkan jawatan hakiki.

Ini akan membolehkan mereka menikmati skim saraan mengikut kelulusan serta pengalaman mengajar.

''Saya berharap Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Menengah Agama Negeri Johor dapat segera didaftarkan sebagai SABK agar setiap sekolah dan guru dapat menikmati segala kemudahan yang disediakan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Multaqa Guru Agama Kerajaan Johor dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-36 Persatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat Cawangan Johor di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan juga telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas menyelaras kurikulum dan sukatan pelajaran Pendidikan Islam di bawah program pendidikan jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF).

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan dianggotai oleh wakil-wakil Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (Lepai).

Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2009

Khamis, 29 Oktober 2009

Jabatan Pelajaran nafi terlibat bina jambatan maut

Salhan K Ahmad
Okt 29, 09
4:25pm

Jabatan Pelajaran Negeri Perak (JPN) tidak terlibat dalam proses kelulusan pembinaan jambatan gantung yang roboh dan mengorbankan tiga pelajar sekolah yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di Kampar malam Isnin lalu.

Pengarahnya Mohd Radzi Abd Jabar berkata urusan pembinaan jambatan gantung merentasi Sungai Kampar itu diselia sepenuhnya oleh pihak yang bertanggungjawab membuat sumbangan berkenaan.

"Kalau ada orang yang nak bagi sumbangan seperti jambatan ini, terpulang kepada mereka sendiri," katanya ketika diminta menjelaskan prosedur lazim untuk membina struktur di dalam kawasan sekolah apabila melibatkan sumbangan luar.

"Dia yang nak sumbang, dia yang cari orang (untuk bina) dan dia buat sendiri. (JPN) tidak terlibat," katanya lagi yang enggan mendedahkan identiti pihak yang terlibat membuat sumbangan berkenaan.

"Kita sudah dimaklumkan identiti mereka (yang membuat sumbangan dan membina jambatan) dan kita akan panggil mereka nanti ke jawatankuasa khas yang menyiasat perkara ini," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan juga enggan mendedahkan kos yang terlibat untuk pembinaan jambatan gantung tersebut.

"Kalau orang nak bagi sumbangan, takkanlah kita nak tanya berapa dia nak bagi," katanya.

Jelasnya lagi, jambatan itu dibina bagi menghubungkan pusat kokurikulum di seberang sungai tersebut yang terletak berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang

"Pusat kokurikulum itu bukan untuk kegunaan sekolah itu saja tapi untuk semua sekolah dalam daerah Kinta Selatan," katanya.

Walaupun mengakui pusat ko-kurikulum itu terletak bawah seliaan Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan (PPD), tetapi beliau enggan mengesahkan sama ada proses pembinaan jambatan itu juga berada bawah tanggungjawab pejabat tersebut.

"Itu kita tidak tahu," katanya, termasuk apabila ditanya sama ada sumbangan untuk pembinaan jambatan tersebut juga dibuat melalui PPD tersebut.

Ditanya lagi sama ada JPN akan menggantikan jambatan yang runtuh itu, beliau sekadar berkata: "Setakat ini tak ada lagi. Kita tak tahu lagi".

Semalam, pengarah Jabatan Kerjaraya Perak, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad juga dilaporkan berkata jambatan gantung dibina tanpa mendapat kelulusan jabatannya.

Beliau juga memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya juga tidak mengetahui kontraktor yang terlibat dengan pembinaan jambatan tersebut.

Manakala Guru besar SK Kuala Dipang, Alwi Hashim memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau mengesahkan lima pegawai suruhanjaya bertemunya di pejabatnya di sekolah berkenaan selama dua jam mulai 12 tengah hari.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan butiran soal siasa.

Malaysiakini: 29 Oktober 2009

Sokong sekolah satu aliran

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Saranan tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim supaya kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai, disepakati Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Mereka bersetuju bahawa perpaduan antara kaum harus menjadi matlamat utama kerajaan dan usaha mewujudkan sekolah satu aliran mungkin boleh menjadi titik tolak ke arah itu.

Hamim Samuri (BN-Ledang) berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran sekarang tidak akan membantu kerajaan menyatupadukan rakyat apatah lagi untuk menyelami makna sebenar gagasan 1Malaysia.

Justeru, beliau mencadangkan supaya semua sekolah menengah di negara ini dibuat dalam satu aliran bagi memastikan pelajar daripada semua kaum berada di bawah satu bumbung perpaduan.

‘‘Kita boleh kekalkan sekolah pelbagai aliran di peringkat sekolah rendah tetapi ia wajar dijadikan satu aliran apabila di peringkat sekolah menengah.

‘‘Dalam konteks ini kerajaan harus mengambil alih semua sekolah menengah dengan menjadikannya satu aliran supaya anak-anak kita dapat belajar dalam satu sekolah yang sama,’’ katanya ketika membahaskan Bajet 2010 pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Datuk Abd. Halim Abd. Rahman (Pas-Pengkalan Chepa) yang bersetuju dengan Hamim pula berkata, hasil pengamatan dan kajian yang dibuat telah mendapati sistem pendidikan sekarang tidak ada titik pertemuan.

‘‘Sistem pendidikan kita sekarang ini seperti landasan kereta api yang akhirnya tidak ada titik pertemuan dan itulah yang pernah dibangkitkan oleh Profesor Kay Kim sebelum ini,’’ katanya.

Suara Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dalam hal ini senada apabila beliau bersetuju sekolah satu aliran diwujudkan di peringkat sekolah menengah supaya matlamat perpaduan dicapai.

‘‘Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Ledang supaya kerajaan menjadikan peringkat sekolah menengah sebagai sekolah satu aliran,’’ katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelajar Melayu yang bijak dan ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) perlu juga disatukan di sekolah menengah.

Katanya, ia membolehkan kebijaksanaan pelajar MRSM dapat dikongsi bersama dengan pelajar lain.

Kay Kim dalam ceramah bertajuk 1Malaysia: Cabaran dan Harapan pada program Semarak Perpaduan dan Patriotisme di Pulau Pinang baru-baru ini mencadangkan pelaksanaan sekolah satu aliran.

Menurut Kay Kim, sekolah pelbagai aliran sekarang merupakan sistem peninggalan penjajah yang tidak mampu mewujudkan negara bangsa yang benar-benar bersatu padu.

‘‘Sistem pendidikan sekarang tidak memerlukan sekolah pelbagai aliran kerana bahasa ibunda setiap kaum boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di dalam bilik darjah,’’ katanya.

Utusan Malaysia Online: 29 Oktober 2009

Johor: Guru petang bukan kelas dua

Oleh Amad Bahri Mardi
bhnews@bharian.com.my

Peranan penting didik rermaja jadi insan berguna masa depan

SKUDAI: Guru penolong kanan petang pemimpin penting di sekolah dan bertanggungjawab ke atas kumpulan pelajar yang pada peringkat awal remaja.

Sehubungan itu, 127 Penolong Kanan Petang Johor disaran menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa memikirkan tugas sebelah petang yang sering dianggap kurang penting.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufa’at Tumin, berkata tidak timbul soal penolong kanan petang dan juga guru sidang petang adalah guru kelas kedua dan kurang penting dalam proses membina sahsiah serta menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, peringkat Tingkatan Satu dan Dua tahap kritikal psikologi pelajar itu mula berubah dan bertukar suasana ke alam sekolah menengah.

Justeru, beliau mahu supaya pentadbir sebelah petang yang disokong oleh guru sidang petang menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab untuk memberi asas yang kukuh kepada pelajar terbabit.

“Petang satu suasana saja, tetapi amanah yang guru pikul penting untuk memastikan pelajar awal remaja itu berjaya dibentuk sahsiah dan menyediakan mereka ke arah menjadi pelajar ketrampilan.

“Kumpulan pelajar petang agak unik dan tidak sama seperti pelajar di peringkat menengah atas atau ketika mereka di sekolah rendah. Oleh itu, penting guru memahami psikologi alam remaja dan perkara yang mereka boleh beri fokus atau tidak, ” katanya pada ucaptama Majlis Memperkasa Penolong Kanan Petang sekolah-sekolah negeri Johor di SJK (C) Pu Tze, Skudai.

Selain ucaptama, tiga kertas kerja dibentangkan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru, Aminuddin Adam (Kepimpinan Transformasional); Pengetua Cemerlang SMK Jalan Mengkibol, Kluang, Yew Kek Leh (Broken Window); dan Timbalan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jasni Omar (Kepimpinan Situasi)

Berita Harian Online: 29 Oktober 2009

Penambahbaikan aktiviti kokurikulum akan diteliti

GENTING HIGHLANDS 28 Okt. – Kerajaan akan meneliti penambahbaikan terhadap prosedur menganjurkan aktiviti kokurikulum bagi mengelakkan tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang berulang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang merupakan Menteri Pelajaran berkata, aspek penambahbaikan itu akan diteliti selepas menerima laporan daripada pasukan khas menyiasat punca kejadian itu yang akan bermesyuarat dalam masa sehari dua lagi.

Katanya, pada masa ini aktiviti kokurikulum termasuk yang membabitkan aktiviti perkhemahan masih boleh diadakan namun pengurusan sekolah mesti mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

“Inilah yang pertama dalam sejarah kementerian, malang tidak berbau, jadi atas sebab itu apabila laporan berkenaan siap kita akan melihat apakah penambahbaikan (prosedur) yang perlu kita buat.

“Ada baik kita meneliti, sementara itu saya mengarahkan supaya program kokurikulum yang masih berjalan mengambil perhatian serius terhadap aspek keselamatan pelajar dan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012 di sini hari ini.

Dalam kejadian 10.30 malam Isnin lalu, tiga pelajar yang menyertai program perkhemahan di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar didapati hilang selepas jambatan gantung yang mereka naiki untuk menyeberangi Sungai Kampar runtuh.

Seorang daripada mereka iaitu Dina Deve, 11, ditemui mati pagi semalam manakala dua lagi masih belum ditemui.

Seramai 19 murid lagi yang terlibat dalam kejadian itu bagaimanapun dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihaknya sedar bahawa kejadian itu menyebabkan ibu bapa enggan memberi kebenaran untuk anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti kokurikulum kerana khuatir dengan aspek keselamatan.

Beliau menasihatkan ibu bapa bahawa sikap sedemikian akan merugikan anak-anak mereka kerana aktiviti kokurikulum adalah penting untuk membina sahsiah pelajar.

Sehubungan itu, katanya, bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa, mereka boleh berkunjung ke tapak aktiviti kokurikulum untuk meninjau sendiri keadaan di situ.

“Ibu bapa boleh berperanan bersama-sama pihak sekolah, kalau mereka tahu ada aktiviti kokurikulum mereka boleh boleh berjumpa dengan guru dan guru besar untuk melihat tempat itu.

“Kita tak fikir untuk menutup kawasan itu kepada ibu bapa supaya mereka lebih yakin bahawa ia dilakukan dalam keadaan yang tersusun dan teratur,” jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 29 Oktober 2009

Rabu, 28 Oktober 2009

Kena tampar lewat 10 minit

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my


KAVITAH menunjukkan kesan bengkak di telinga kanan anaknya selepas dipukul guru disiplin.

Murid Tahun Tiga dakwa pendengaran telinga kanan terjejas

SUBANG JAYA: Hanya 10 minit lewat tiba ke sekolah, seorang murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 2, di sini bukan saja mengalami trauma, malah pendengaran telinga kanannya turut terjejas selepas ditampar guru disiplinnya kelmarin.

Ibunya, Kavitah Vathamalai, mendakwa tindakan melampau guru itu hanya diketahuinya selepas anak perempuannya yang berusia sembilan tahun mengadu telinga kanannya sakit hingga mengalami kesukaran untuk tidur, selain demam.

“Bila diperiksa, telinga kanannya didapati bengkak. Bagi mengelak keadaan lebih teruk, saya terus membawanya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Pada mulanya, dia cuba merahsiakan apa yang berlaku.

“Bagaimanapun, selepas didesak berulang kali, dia akhirnya mengaku ditampar guru disiplin pada sesi perhimpunan kerana lewat hadir ke sekolah,” katanya kepada pemberita semalam sambil memberitahu anaknya disahkan mengalami kecederaan dalaman di telinga kanannya.

Beliau menganggap tindakan guru terbabit sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi selepas anaknya menjelaskan sebab kelewatannya tiba di sekolah.

“Lagipun, anak saya seorang perempuan. Saya pun tidak tahu apa yang difikirkan oleh guru terbabit ketika mengambil tindakan itu. Sedangkan, kesalahan dilakukannya cuma tiba lewat 10 minit ke sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu sudah ke sekolah anaknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila tidak dilayan oleh guru besarnya, selain dihalang bertemu guru disiplin terbabit.

“Sebagai ibu, saya mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu. Bagaimanapun, guru besar terbabit tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah tidak mahu mengalah langsung dan mempertahankan tindakan guru disiplinnya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau membuat laporan berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Bukit Puchong kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Insiden ini akan turut dimaklumkan kepada Kementerian Pelajaran. Semua tindakan ini saya buat untuk memastikan anak saya mendapat keadilan, selain sebagai peringatan kepada guru terbabit supaya tidak sewenang-wenangnya memukul pelajar mereka,” katanya.

“Bayangkan, hanya disebabkan kejadian ini, anak saya sekarang trauma dan enggan ke sekolah. Ini boleh menjejaskan pelajarannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Berita Harian Online: 28 Oktober 2009

Sentral: Sekolah Kita: Kem 1Malaysia rapat jurang

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my

Program dedah aktiviti mengenali, memahami budaya kaum lain

KUALA LUMPUR: Program Kem 1Malaysia peringkat sekolah rendah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berakhir 25 Oktober lalu berjaya merapatkan jurang antara 900 pelajar dari pelbagai kaum yang menyertainya.

Program yang berlangsung sejak Ogos lalu dengan tiga siri membabitkan zon Keramat, Sentul dan terakhir, Bangsar/Pudu itu mendedahkan pelajar dengan budaya pelbagai kaum di negara ini menerusi aktiviti menarik berbentuk lawatan, kuiz, pertandingan mewarna, makan masakan Malaysia, permainan rakyat dan tarian tradisional pelbagai kaum.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Sulaiman Wak, berkata sepanjang program empat hari tiga malam, pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam didedahkan dengan aktiviti bagi mengenali dan memahami budaya kaum lain.

“Fokus utama kem ini untuk memupuk perpaduan antara pelajar berbilang kaum menerusi aktiviti yang dijalankan. Pelajar ini juga diberi pendedahan mengenai tokoh pejuang kemerdekaan tanah air dengan membawa mereka melawat ke memorial tokoh kemerdekaan tanah air bagi memupuk semangat patriotik dan mengenali sejarah pemimpin negara,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penutup program berkenaan di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra yang turut dihadiri Ketua Pengarah Arkib, Datuk Sidek Jamil. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pengembangan, Daresah Ismail dan Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, Azemi Abdul Aziz.

Peserta yang ditemui turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mengenali budaya masing-masing serta budaya pelbagai kaum di negara ini.

Mohd Daniel Iskandar, 12, berasa bertuah kerana dapat menyertai program berkenaan walaupun terpaksa meninggalkan keluarganya selama empat hari.

“Program ini amat menyeronokkan kerana kami dapat merasai permainan tradisional yang kami sendiri tidak tahu selama ini seperti ‘nenek si bongkok tiga’, galah panjang dan congkak. Bagi saya, permainan ini ada kelebihan tersendiri kerana kami perlu bekerjasama dan saling bantu membantu.

“Kami juga dibawa melawat ke memorial yang menempatkan sejarah pemimpin negara. Harap program ini dapat diteruskan bagi perpaduan dan keharmonian negara kita,” katanya.

Eugene Goh Min Hui, 12, dari Sekolah (Lelaki) Jalan Pasar 1 turut gembira kerana bukan saja berpeluang berkenalan dengan rakan baru dari pelbagai kaum tetapi memahami budaya warisan nenek moyang.

“Saya dapat berkenalan dengan rakan baru dari orang Melayu dan India. Bagi saya, kita semua adalah rakyat Malaysia dan perlu bekerjasama antara semua kaum agar negara kita terus aman seperti yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu,” katanya.

Berita Harian Online: 28 Oktober 2009

Pegawai awam perlu internet bagi urusan kerja

SEBAGAI seorang pegawai di Kementerian Pelajaran, saya banyak menggunakan kemudahan internet untuk urusan pentadbiran. Saya terpaksa mengunjungi beberapa web organisasi, e-mel dan juga blog apabila mahu mendapatkan maklumat atau menyampaikan maklumat.

Cara ini paling mudah, cepat, sebelum disusuli dengan surat rasmi. Malangnya, sejak akhir-akhir ini usaha melayari internet disekat oleh penyelaras ICT (kpmnet.helpdesk@moe.gov.my). Saya berusaha mengatasinya melalui juru teknikal (komputer) jabatan, tetapi diberitahu ia tidak dapat dihalang kerana dilakukan Kementerian Pelajaran.

Tindakan kementerian menghalang penggunaan internet memberi masalah kepada saya untuk menyampaikan maklumat kepada pegawai di kementerian mahupun organisasi KPM yang lain.

Saya amat berharap kementerian tidak menyekat pegawai menggunakan kemudahan internet kerana ia boleh mengganggu kelicinan urusan pentadbiran.

Ingatlah, sekarang zaman menggunakan kemudahan internet dan kerajaan (kementerian) sendiri menggalakkan pegawai menggunakan kemudahan internet untuk mendapatkan maklumat.

Ada kalanya timbul sekatan pada awal membuka internet, ada kala pula sekatan itu timbul ketika saya hantar maklumat, atau ketika berpindah ke folder lain. Malah, ketika cuba laman web / blog Sasterawan Negara terbaru pun disekat juga.

Lebih aneh lagi ialah web jabatan saya sendiri pun 'disekat' daripada pegawainya masuk untuk hantar maklumat ke jabatan lain. Usah bimbang pelayaran kami. Kami bukan pelajar dan tahu menilai baik dan buruknya menggunakan internet.

PEGAWAI KUMPULAN A KPM,
Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 28 Oktober 2009

Sayangi Sekolah: Menepati piawaian

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
upen@bharian.com.my


PENGAWAS turut menjadi penggerak kecemerlangan sekolah.

SK Sungai Tengi ganda usaha tingkat kejayaan

MENCAPAI piawaian penilaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia sejak tiga tahun lalu antara faktor melonjakkan kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tengi, Hulu Selangor di peringkat kebangsaan.

Baru-baru ini, sekolah ditubuhkan pada 1973 yang kini mempunyai 406 murid dengan 40 guru dan sembilan kakitangan sokongan itu menerima anugerah Sekolah Cemerlang Kementerian Pelajaran kategori Felda 2009.

Guru Besarnya, Hasnah Din, berkata tumpuan terhadap kemajuan akademik murid sekolah itu di kalangan anak kampung signifikan dengan pelbagai ukuran penilaian dilaksanakan.

"Pencapaian lulus mencecah 100 peratus dalam beberapa mata pelajaran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah sejak beberapa tahun lalu memberi semangat kepada warga sekolah ini untuk terus berusaha.

"Malah dalam UPSR tahun lalu, sekolah ini mencapai kelulusan membanggakan, iaitu 92.3 peratus berbanding hanya 78.3 peratus tahun sebelumnya," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Hasnah Din

Beliau berkata, warga kerja sekolah itu sentiasa memegang dan menjalankan tugas berpaksikan prinsip '5P' iaitu perancangan, pelaksanaan, pemantauan, penilaian dan penambahbaikan.

Sambil menjelaskan semua bidang terus diperkasakan secara menyeluruh dan efektif, katanya, dengan bantuan dan sumbangan pihak Felda pelbagai aktiviti pembelajaran murid sekolah itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Selain kerja keras guru berusaha mendidik murid dengan cemerlang, beliau menjelaskan, sekolah itu juga mendapat kerjasama padu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

"Mereka sedia turun padang membantu menjayakan aktiviti yang dijalankan pihak sekolah, manakala guru pula mempunyai perancangan rapi dan berkesan dalam membantu kejayaan murid.

"Pengenalan program motivasi pendek dikenali 'Pep Talk', pengurusan sistem fail yang cekap, penyampaian guru mudah dan mesra sesama rakan sejawat antara budaya diamalkan di sekolah ini," katanya.

Sekolah dipagari dan dilatari flora pelbagai spesies yang hidup subur serta segar mampu mengalirkan aura di kalangan murid dan guru agar sentiasa berfikiran terbuka menangani segala bentuk cabaran.

Kesempurnaan pentadbiran sekolah itu menjadikannya terus gagah meniti persada kecemerlangan dalam pelbagai aspek sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Dalam bidang kokurikulum, Hasnah berkata, sekolah itu meraih pelbagai kejayaan sama ada peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

"Dengan kekuatan guru yang gigih dan bersemangat waja, saya berazam mempertahankan kecemerlangan diraih ini.

"Malah pelbagai kejayaan selama ini menyuntik semangat warga sekolah supaya bekerja lebih kuat bagi mencapai kecemerlangan berganda pada masa depan," katanya.

INFO: Pencapaian SK Sungai Tengi

  • Johan Pertandingan Kompang Selawat Daerah Hulu Selangor 2009

  • Johan kategori perempuan Tilawah dan Hafazan Pendidikan Khas Daerah Hulu Selangor 2009

  • Johan Pertandingan Keceriaan Kantin Daerah Hulu Selangor 2008

  • Johan Guru Inovatif Daerah Hulu Selangor 2008

  • Johan Peringkat Zon Karnival Prasekolah 2008

  • Johan Karnival Pra Sekolah Peringkat Daerah Hulu Selangor 2008

  • Johan Hari Potensi Prasekolah Daerah Hulu Selangor 2008

  • Johan Karnival Tunas Mini Olimpik Daerah Hulu Selangor 2008

  • Tokoh Nilam Kebangsaan 2006/ 2007.

  • Berita Harian Online: 28 Oktober 2009

    1 lemas, 2 hilang, 19 selamat



    BAHAGIAN lantai jambatan yang runtuh tersadai di tebing Sungai Kampar, Perak


    KAMPAR 27 Okt. – Gerakan mencari dua murid yang hilang dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Daerah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang di sini malam tadi masih diteruskan hari ini.

    Mayat seorang daripada tiga murid yang hilang dalam kejadian pukul 10.30 malam itu berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat pagi ini.

    Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, mayat murid perempuan, N. Dina Deve, 11, ditemui kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian di Jalan Lama Kuala Dipang, kira-kira pukul 8.40 pagi.

    Mangsa merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan, Kampar.

    Menurut beliau, dua lagi murid yang masih hilang ialah V. Diryasree, 12, dari SJKT Gopeng dan M. Davadharsini, 11, dari SJKT Mambang Di Awan.

    Beliau memberitahu, gerakan itu membabitkan lebih 500 anggota termasuk polis, Komando 69, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

    Katanya, pasukan tersebut digerakkan sejak malam tadi bagi mengesan mangsa-mangsa yang dikhuatiri lemas dibawa arus deras di Sungai Kampar itu.

    “Polis mengesahkan bahawa dalam kejadian itu, tiga murid yang dikhuatiri lemas. Usaha kini sedang dilakukan untuk mengesan dua lagi mangsa yang belum ditemui,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

    Dalam kejadian pukul 10.30 malam tadi, jambatan gantung tersebut tiba-tiba runtuh menyebabkan tiga murid yang sedang mengikuti perkhemahan 1Malaysia itu hilang.

    Bagaimanapun, jumlah mereka yang hilang dalam kejadian itu disahkan hanya tiga orang, manakala 19 lagi yang sebelum ini dikatakan turut lemas, terselamat.

    Tambah Zakaria, perkhemahan selama empat hari itu bermula semalam dan disertai seramai 298 murid daripada 60 buah sekolah daerah Kinta Selatan iaitu Kampar, Ipoh dan Batu Gajah.

    Zakaria berkata, berikutan kejadian itu, pusat kokurikulum tersebut diarahkan tutup serta-merta bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

    Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2009

    Selasa, 27 Oktober 2009

    J-QAF diiperkenal di sekolah menengah

    27/10/2009 4:33pm

    KUALA LUMPUR 27 Okt. — Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan pengajian Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di peringkat sekolah menengah sebagai langkah untuk memperluaskan pengajian bidang tersebut.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setakat ini prestasi pelajar yang mengikuti program itu amat menggalakkan walaupun di kalangan pelajar yang belum mencecah tahun enam.

    "Data pencapaian (lulus) adalah seperti berikut, amali wuduk 98.97 peratus, amali solat bacaan 90.26 peratus, amali solat perlakuan 99.25 peratus, bahasa arab 81.24 peratus, dan Jawi 89.87 peratus,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang bertanya mengenai langkah kerajaan dalam meluaskan pembelajaran bahasa Arab di peringkat sekolah menengah.

    Dr. Mohd. Puad berkata, kerajaan juga akan membina lebih banyak sekolah menengah kebangsaan agama memandangkan minat dan permintaan yang tinggi di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah aliran itu. - Bernama

    Utusan Malaysia Online: 27 Oktober 2009

    Tindakan nekad guru, pengawal keselamatan selamatkan ramai murid

    27/10/2009 3:41pm

    KAMPAR 27 Okt. — Tindakan nekad seorang guru dan tiga pengawal keselamatan terjun mengharung air deras dalam kegelapan malam menyelamatkan 19 murid daripada hanyut dalam kejadian jambatan runtuh di kawasan perkhemahan Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta di sini malam tadi.

    Hanya cahaya samar lampu dari kawasan perkhemahan yang terletak di seberang tebing sungai berkenaan membantu usaha menyelamat itu.

    Suasana ketika itu kelam kabut dengan jeritan minta tolong dan tangisan murid yang berpaut pada tali jambatan, kata pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Zulkifli Mohamad, 38, kepada pemberita hari ini.

    Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, 22 murid terjatuh ke dalam Sungai Kampar semasa sedang menaiki jambatan gantung yang baru dibina dua minggu lepas itu untuk jamuan malam di SK Kuala Dipang.

    Kumpulan itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan yang terletak di tebing berdepan sekolah berkenaan. - Bernama

    Utusan Malaysia Online: 27 Oktober 2009

    Pelajar lebam kena belasah 20 rakan di sekolah



    KESAN lebam di bahu Mohd Amerudin akibat dibelasah kira-kira 20 rakan sekolahnya.

    POKOK SENA: Seorang pelajar Tingkat Empat sebuah sekolah menengah di sini, mendakwa dibelasah lebih 20 pelajar selepas dia menegur perbuatan seorang pelajar yang mengeluarkan perkataan lucah terhadap seorang pelajar perempuan sekolah itu, kelmarin.

    Mangsa, Mohd Amerudin Zulkeply, 16, lebam di bahagian belakang, bahu kiri, leher, belakang kepala, tangan dan kaki akibat ditumbuk serta diterajang kira-kira 20 pelajar sekolah itu di belakang makmal sains sekolah berkenaan ketika waktu persekolahan hampir tamat.

    "Kejadian berlaku apabila saya menegur seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang bercakap lucah kepada seorang pelajar perempuan yang juga rakan saya.

    "Saya menegurnya supaya tidak bercakap sedemikian dan beberapa minit kemudian dia datang dan mengajak saya pergi ke belakang makmal dan kami bergaduh di depan kira-kira 20 rakannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

    Mohd Amerudin berkata, dia dibelasah hingga kepalanya terperosok ke dalam longkang selain diterajang bertalu-talu.

    "Seorang kawan saya sempat merakamkan kejadian itu menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dia sendiri turut dibelasah. Saya tidak mampu melawan kerana mereka terlalu ramai.

    "Saya terdengar ada pelajar memberitahu guru datang menyebabkan kumpulan itu lari," katanya.

    Ibu mangsa, Rokiah Ramlie, 46, berkata beliau hanya menyedari kejadian itu malam kelmarin apabila anak keenam daripada lapan beradik itu mengadu sakit seluruh badan akibat dipukul di sekolah.

    "Semalam (kelmarin) dia balik agak lewat dan kami membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.

    "Hari ini (semalam) dia tidak mahu ke sekolah kerana badan masih sakit selain bimbang dipukul lagi oleh kumpulan pelajar itu," katanya.

    Rokiah berkata, beliau berharap pihak sekolah dapat menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan ke atas kumpulan pelajar berkenaan supaya kejadian sama tidak berulang.

    Berita Harian Online: 27 Oktober 2009

    Guru kaunseling kena celik teknologi

    KAEDAH kaunseling digunakan di sekolah diakui berada pada takuk lama, bersifat konvensional serta tidak selari dengan perkembangan remaja ketika ini yang lebih suka mencari alternatif lain untuk meluahkan perasaan mereka.

    Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata jika dilihat kepada pendekatan sedia ada yang meletakkan seorang guru kaunseling di sekolah dengan harapan murid bermasalah berjumpa dan berkongsi masalah mereka adalah satu kaedah lama yang tidak lagi berkesan dipraktikkan ketika ini.

    "Pelajar sekarang tak suka berkongsi masalah secara terus dengan guru, apatah lagi berasakan ia tidak selamat kerana guru kaunseling juga hakikatnya seorang guru. Oleh itu, mereka akan memilih alternatif lain dan laman web adalah kaedah popular ketika ini. Fenomena itu biasa dan mereka tak boleh dipersalahkan.

    "Sepatutnya, guru kaunseling perlu mempunyai pendekatan yang selari dengan perkembangan situasi semasa. Jika pelajar guna Facebook, guru juga perlu guna. Jadi kawan mereka dalam Facebook dan ajak mereka kongsi masalah. Guru perlu dekat dengan kehendak mereka," katanya.

    Beliau berkata, akibat kegagalan dalam sistem komunikasi itu, pelajar memilih untuk berkongsi secara terbuka di alam maya dan lantaran mereka juga tidak dididik supaya berhemah, berlaku pelanggaran tatasusila ketika berkomunikasi di internet. Selain itu, ketelusan serta integriti di kalangan guru kaunseling juga boleh dipersoalkan menyebabkan pelajar tidak yakin untuk berkongsi masalah dengan mereka.

    Turut dipersoalkan ialah bagaimana kaedah menangani isu disiplin di sekolah, terutama membabitkan kes di laman web kerana mungkin wujud elemen tindakan beremosi pengetua tanpa mengambil kira semua faktor atau punca perkara itu berlaku.

    "Pengetua tak wajar buang pelajar yang hina guru dalam laman web. Sepatutnya kena cari punca ia berlaku. Cari jalan rapatkan hubungan dan cari bukti kebenaran yang diluahkan dalam laman web. Namun, hukuman lain perlu juga dilaksanakan untuk menjadi iktibar kepada pelajar lain.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata merujuk kepada kes dilaporkan akhbar mengenai pelajar sekolah berasrama penuh yang dinasihatkan supaya berpindah sekolah selepas menghina pengetuanya dalam laman web Friendster, perkara itu bukanlah semata-mata kesalahan yang dilakukannya sehingga tindakan sebegitu diambil.

    "Ia kesalahan berulang selepas beberapa tindakan sudah diambil. Dalam sistem pengurusan disiplin di sekolah, ada beberapa langkah digunakan termasuk amaran, kaunseling dan langkah buang sekolah adalah tindakan terakhir.

    "Menghina sekolah atau pengetua dalam laman web tetap satu kesalahan disiplin, walaupun ia tidak termaktub dalam peraturan sekolah. Pengetua berhak menggunakan kuasa yang ada untuk bertindak. Apa saja yang menjejas atau memburukkan nama baik sekolah dianggap satu kesalahan," katanya.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohamed Sharil Tarmizi, apa saja perkataan dalam laman web yang berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain adalah satu kesalahan.

    "Sebarang bentuk perbuatan dianggap salah dalam alam nyata turut dianggap salah dalam alam maya," katanya.

    Yang Dipertua Majlis Guru Besar, Ruslan Madon, pula berkata, kemahuan pelajar meluahkan perasaan tidak wajar disekat dan sepatutnya pihak sekolah menggunakan pendekatan yang seboleh mungkin seiring dengan kehendak dan cara pelajar. Keengganan dan kekerasan pihak sekolah menyekat kebebasan melepaskan tekanan di kalangan remaja menyebabkan berlaku banyak perkara tidak diingini, sekali gus mendorong pelajar bertindak di luar batas norma yang sepatutnya.

    "Jika kita amati, pelajar suka menggunakan alternatif lain meluahkan perasaan. Mereka tak suka bersemuka dengan guru kerana rasa tidak selamat. Justeru, pelbagai cara digunakan termasuk menggunakan laman web, menconteng dinding dengan kata-kata kesat terhadap seseorang, malah ada yang menendang pintu atau menumbuk dinding.

    "Sesetengah pelajar tak suka bersemuka atas pelbagai sebab. Mungkin mereka malu atau takut risiko lain. Oleh itu, jika mereka suka gunakan laman web atau internet, kita juga perlu guna sumber sama," katanya.

    Beliau juga mahu semua pihak lebih memahami dan prihatin dengan kehendak serta masalah remaja kerana pasti semua dinyatakan atau diluahkan, meskipun dalam bentuk tidak sesuai menggambarkan satu situasi yang bersebab.

    "Apa kata kita ikut rentak mereka. Sediakan dinding khas di sekolah supaya mereka boleh pada bila-bila masa meluahkan perasaan di tempat yang disediakan. Nak tumbuk dinding, sediakan 'punching bag' supaya mereka boleh belasah sepuas hati. Guru kaunseling dan pengetua pula perlu ada emel yang diketahui semua pelajar supaya mereka boleh meluahkan perasaan tanpa perlu bersemuka.

    "Sesetengah pelajar tak suka bersemuka atas pelbagai sebab. Mungkin mereka malu atau takut risiko lain. Kerana itu, jika mereka suka gunakan laman web atau internet, kita juga perlu guna sumber yang sama," katanya. Beliau juga mahu semua pihak lebih memahami dan prihatin dengan kehendak serta masalah remaja kerana pasti semua yang dinyatakan atau diluahkan, meskipun dalam bentuk tidak sesuai menggambarkan satu situasi yang bersebab.

    "Takkan mereka memaki hamun tanpa sebab. Mesti ada sebab. Mungkin juga ada kebenarannya. Jika mereka meluahkan sesuatu, periksa dan siasat. Mana tahu mungkin memang benar guru dimaksudkan bermasalah," katanya.

    Berita Harian Online: 27 Oktober 2009

    Sambung belajar perlu kebenaran

    KEMENTERIAN Pelajaran (KP) ingin merujuk kepada surat `Waris Prihatin, Baling' yang mengesyorkan peperiksaan Pengajian Jarak Jauh (PJJ) pada musim cuti persekolahan yang disiarkan ruangan ini 11 September lalu.

    Kementerian menyediakan Rancangan Pembangunan Pendidikan bagi tempoh 10 tahun yang mensasarkan 100 peratus guru siswazah di sekolah menengah dan 50 peratus guru siswazah di sekolah rendah.

    Pegawai Perkhidmatan Pendidikan kategori bukan siswazah yang mengikuti pengajaran secara sambilan /PJJ perlu mendapat kebenaran kementerian.

    Semua permohonan mengikuti pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda secara sambilan/ PJJ perlu disalurkan melalu ketua jabatan kepada Bahagian Pendidikan Guru sebelum mendaftar di universiti.

    Guru yang mengikuti pengajian ini secara persendirian atau tanpa tajaan adalah tertakluk kepada garis panduan mengikuti program secara sambilan atau jarak jauh.

    Bagaimanapun guru layak untuk menduduki peperiksaan berdasarkan kepada Perintah Am Bab D, Para 44. JPA ada mengeluarkan surat pekeliling perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2009 mengenai kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) kepada pegawai yang mengikuti pengajian secara sambilan di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA). Kami hargai pandangan anda.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
    Kementerian Pelajaran.


    Berita Harian Online: 27 Oktober 2009

    Isnin, 26 Oktober 2009

    Pendidik cemerlang terima insentif istimewa

    PUTRAJAYA: Kira-kira tiga hingga empat peratus daripada pengetua, guru besar dan guru akan menerima insentif istimewa berdasarkan kepada prestasi kecemerlangan sekolah masing-masing mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, Kementerian Pelajaran kini sedang memperhalusi beberapa perkara dengan satu (insentif) daripadanya dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang sudah ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

    "Bagaimanapun, bentuk tawaran yang akan diberikan hanya akan diumumkan sebelum akhir tahun ini supaya semua pengetua dan guru besar dapat memberikan perhatian dan tumpuan kepada kepemimpinan di sekolah.

    "Ia tidak hanya bersandar kepada keputusan peperiksaan dan kecemerlangan pelajar semata-mata, tetapi lebih kepada soal kepemimpinan di sekolah dan beberapa kriteria yang akan ditetapkan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Mighty Minds di sini, semalam.

    Sehubungan itu, katanya, pemberian istimewa yang akan dimaklumkan sebelum hujung tahun ini mungkin berbentuk sebulan atau dua bulan gaji.

    Beliau berkata, pemberian istimewa itu bukan saja diberikan kepada pengetua atau guru besar sesebuah sekolah yang cemerlang, malah insentif sama akan turut diberikan kepada guru yang terbabit dengan kecemerlangan sekolah.

    Ditanya mengenai 30 pelajar terbaik berasaskan merit akan diberi biasiswa nasional untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor dunia, Muhyiddin berkata, ia akan dimulakan tahun depan berdasarkan kepada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

    "Kita sudah putuskan untuk satu penggredan semula, sistem pemarkahan dengan gred baru... itu satu daripadanya. Kita akan pilih pelajar terbaik antara yang terbaik daripada keseluruhan pelajar yang sudah menduduki SPM," katanya sambil menambah semua pelajar berkenaan ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    Selain itu, katanya, kementerian akan menggubal kurikulum baru dalam mata pelajaran bagi menjadikan proses pembelajaran pelajar lebih menyeronokkan.

    Berita Harian Online: 26 Oktober 2009

    Pegawai kerap bertukar jejaskan pendidikan

    SAYA ingin menyatakan pandangan mengenai pencapaian pendidikan di Daerah Batang Padang tercorot berbanding daerah lain di Perak. Sejak 2004 pegawai Pejabat Pelajaran Daerah sering bertukar, malah pernah tiga kali tiada pegawai.

    Sejak 2004 tiada pegawai memegang jawatan lebih dua tahun dan paling singkat dua bulan itu Razali Ismail (16 Januari -16 Mac 2008).

    Tidak hairanlah, pendidikan di daerah Batang Padang tidak berkembang. Kewujudan Pejabat Pelajaran Daerah bertujuan meningkat dan mengupayakan sekolah.

    Jika pegawai sering bertukar bagaimanakah dia hendak merealisasikan dasar pendidikan dalam bidang kurikulum, kokurikulum, sahsiah, pengurusan dan kepemimpinan seperti yang tercatat dalam misi Pejabat Pelajaran Daerah.

    Maka terjerit penolong pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Batang Padang menjaga segala hal akademik. Kadangkala mereka menyalahkan guru besar yang kononnya tidak komited atau enggan berubah.

    Jangan terus menuding jari kepada kepemimpinan sekolah jika pegawai Pejabat Pelajaran Daerah tidak pernah teguh dan mantap.

    Amat penting pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah Batang Padang juga mampu berkomunikasi sebaiknya dengan guru besar dan pengetua. Mereka harus menunjukkan keterampilan diri yang baik dan berilmu untuk dicontohi. Kepintaran emosi (EQ) juga perlu diberi perhatian.

    Saya meminta Kementerian Pelajaran memantau keterampilan, ilmu dan etika pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah dan ketuanya diberi peluang merancang dan membangunkan pendidikan dengan lebih mantap.

    ADUKA
    Batang Padang,
    Perak.


    Berita Harian Online: 26 Oktober 2009

    Akhbar sesuai sebagai bahan bantu mengajar

    Oleh Zabidi Hitam
    bidi@bharian.com.my

    RAMAI guru sependapat bahawa penggunaan akhbar sesuai sebagai bahan bantu alternatif berkesan dalam usaha memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran, selain mampu menarik minat pelajar.

    Selain mengandungi pelbagai jenis bahan antaranya berita, rencana dan gambar yang boleh dimanipulasikan untuk pengajaran, mereka juga menyifatkan pendekatan itu sebagai satu cara mendedahkan pelajar maklumat terkini.

    Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Jalan Ipoh, Alia Fatma Bostanoordin, berkata penggunaan akhbar turut memupuk minat pelajar membaca selain menggalakkan mereka berinteraksi dengan rakan lain.

    Beliau yang baru setahun berkhidmat berkata, pendekatan itu juga boleh membantu pelajar meningkatkan penguasaan khususnya bagi subjek Bahasa Melayu.

    “Pendekatan ini juga sesuai dilaksanakan dalam usaha mempelbagaikan kaedah, di samping mewujudkan suasana belajar berbeza,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Bengkel Akhbar Dalam Pendidikan anjuran Berita harian di Dewan Seminar Anjung Riong, Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Bengkel dua hari dirasmikan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mahfar Ali itu dihadiri kira-kira 120 guru dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

    Hadir sama Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said yang turut menyampaikan taklimat mengenai operasi penerbitan akhbar, manakala bengkel dibimbing Pengarang Berita Pendidikan, Tamrin Anuar.

    Guru SMK Sri Pantai, Nor Azhar Muhammad, menyifatkannya bertuah terpilih menyertai bengkel itu kerana didedahkan pelbagai maklumat baru bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran di bilik darjah.

    “Kalau dulu saya menganggap akhbar hanya sebagai sumber maklumat, kini saya tahu ia boleh dimanfaatkan sebagai bahan bantu mengajar.

    “Penggunaannya sesuai kerana ia turut mendidik pelajar mengamalkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif,” katanya.

    Guru SMK Cyberjaya, Nada Nurhida Mohd Fadzil, pula berkata penggunaan akhbar sebagai bahan bantu mengajar adalah sesuatu yang baru dan akan memanfaatkannya.

    “Setelah mengikuti bengkel ini, saya mendapat pendedahan yang lebih jelas kerana perbincangannya menyeluruh terutama dari segi cara pemilihan dan penggunaan bahan,” katanya yang juga baru setahun mengajar.

    Wan Zulnasri Wan Kamal dari SMK Syed Manshor, Hulu Selangor, pula berkata penggunaan akhbar bukan saja memudahkan pengajaran guru, malah membantu pelajar lemah memahami pelajaran lebih cepat.

    Guru Bahasa Inggeris yang berkhidmat sejak lapan tahun lalu itu berkata, pelajar juga mudah memahami aspek dipelajari tanpa perlu guru menjelaskannya dengan panjang lebar.

    Seorang lagi guru, Nainie Azimi dari SMK St Gabriel, berkata penggunaan bahan akhbar boleh mengelakkan pelajar bosan.

    Berita Harian Online: 26 Oktober 2009

    Fokus: Sektor pendidikan

    Oleh Rosniza Mohd Taha, Norliza Abdullah, Khairina Yassin dan Basir Zahrom
    upen@bharian.com.my


    MENGATASI masalah sekolah kurang kemudahan prasarana turut menjadi teras utama Bajet 2010.

    Bajet 2010 rapat jurang pencapaian antara bandar, luar bandar

    PELBAGAI pihak sependapat bahawa perancangan Bajet 2010 untuk sektor pendidikan bersesuaian dengan kebanyakan cabaran dan isu membangunkan modal insan berkualiti ketika ini.

    Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata bajet itu juga berupaya merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar serta mengurangkan kadar keciciran pelajar.

    Beliau berkata, peruntukan RM1.6 bilion bagi pembinaan sekolah baru dan blok tambahan yang dijadikan teras utama bajet itu dapat mengatasi masalah sekolah sesak dengan pelajar serta mengurangkan penggunaan kabin dan kontena sebagai kelas sementara.

    "Bajet 2010 membuktikan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan sektor pendidikan dan bakal memberi impak besar dalam memastikan sasaran usaha pembangunan modal insan tercapai.

    "Terima kasih kepada kerajaan menunaikan tuntutan NUTP supaya bayaran bantuan khas RM500 diperluas kepada kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional kerana kebanyakan mereka adalah pendidik," katanya kepada Berita Harian.



    Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan/Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Ghani Bena, turut mengalu-alukan langkah kerajaan mengutamakan peruntukan mengubah suai dan menaik taraf sekolah bagi Sabah dan Sarawak.

    Katanya, penambahbaikan bangunan sekolah, asrama dan kuarters guru serta merapatkan jurang digital menerusi pemantapan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perlu dijadikan fokus penyaluran peruntukan itu di Malaysia Timur.

    Bagaimanapun, beliau meminta kerajaan turut memberi tumpuan terhadap penempatan lebih ramai guru terlatih di dua negeri itu kerana kebanyakan mereka kini di kalangan Guru Sandaran Tidak Terlatih.

    "Keutamaan peruntukan mengubah suai dan menaik taraf sekolah berjumlah RM1.1 bilion di Malaysia Timur membuktikan kerajaan prihatin terhadap perkembangan pendidikan di negeri berkenaan," katanya.

    Mengenai pengenalan Bai'ah Baru, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia, Roslan Madon, berharap kerajaan tidak mengambil tindakan drastik menguatkuasakannya bagi memastikan sekolah ditadbir secara profesional.

    "Jika guru besar gagal mencapai sasaran ditetapkan selama dua tahun berturut-turut, berilah mereka peluang menjalani kursus khas enam bulan dulu dan selepas itu jika masih gagal menunjukkan prestasi baik, baru diminta meninggalkan sekolah," katanya.

    Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Azam Mat Atan, pula berharap pentadbir semua sekolah menjadikan ia cabaran yang perlu disahut dengan penuh komitmen.

    "Kecemerlangan sekolah bukan hasil usaha mutlak pengetua, malah menuntut kerjasama kakitangan pengurusan dan Bai'ah Baru ini harus dijadikan dorongan warga sekolah melonjak kecemerlangan," katanya.

    Exco Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik), Adimas Halim Abdul Manaf, berkata sasaran pembangunan 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada 2010 langkah baik bagi mempelbagai model sekolah cemerlang di negara ini.

    Perhatian kerajaan bagi menangani masalah penguasaan literasi dan numerasi di kalangan murid normal turut mendapat pandangan positif pelbagai pihak berkaitan yang menyifatkannya sebagai pelaburan baik biarpun ia satu cabaran getir dalam dunia pendidikan hari ini.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata tekad kerajaan menangani masalah itu dengan menumpukan kepada latihan perguruan yang mantap adalah wajar bagi melahirkan guru berkepakaran menangani masalah penguasaan asas itu.

    Katanya, guru adalah tulang belakang dalam pendidikan dan keperluan kementerian merangka bentuk latihan perguruan yang komprehensif penting kerana kelompok murid lemah itu memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran lebih khusus selain dipraktikkan guru mahir.

    Berita Harian Online: 26 Oktober 2009

    E-mel anda: Keliru bayaran yuran

    AWAL tahun ini, ramai lega dengan pengumuman kerajaan memansuhkan yuran persekolahan.

    Masuk penggal kedua, ibu bapa mula menerima bil yuran yang perlu dibayar. Antaranya yuran PIBG, koperasi, kokurikulum, kegiatan agama, sukan, ujian dalaman dan lain-lain.

    Anak saya di sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu menyuruh saya segera membayar yuran sekolah kerana tidak tahan leteran guru mendesak pelajar melunaskan yuran sekolah.

    Antara tindakan guru terbabit mengumumkan nama pelajar yang tidak membayar yuran ketika perhimpunan.

    Perbuatan sedemikian ibarat memeras ugut, memalukan, menjatuhkan maruah dan memberi tekanan terhadap pelajar, sama seperti apa yang dilakukan along dan pemungut hutang.

    Tindakan sekolah yang tidak berbincang dan memberi penerangan berkenaan yuran amatlah dikesalkan. Alasan mereka perkara itu sudah dipersetujui PIBG dan dibenarkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Hakikatnya kebanyakan ibu bapa tidak mengetahui untuk apa yuran itu dipungut.

    Pihak sekolah juga (Pengetua dan PK Hal Ehwal Murid) memberikan alasan meragukan antaranya kerajaan hanya menanggung yuran peperiksaan, tiada peruntukan yang diberikan kementerian, sekolah yang menanggung segala kegunaan pelajar, semua sekolah di Malaysia mengenakan yuran dan yuran yang dikenakan wajib dibayar jika tidak pelajar diminta bertukar ke sekolah lain.



    MUSYKIL,

    Bukit Diman, Terengganu.

    myMetro: 26 Oktober 2009

    Insentif sekolah cemerlang


    Muhyiddin Yassin (duduk empat dari kiri) bergambar bersama para peserta sebelum menyertai Kejohanan Golf Kebajikan Yayasan Al-Khaadem di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor, semalam. Turut kelihatan, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor (lima dari kiri) serta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin (enam dari kiri).


    PUTRAJAYA 25 Okt. - Sebanyak tiga hingga empat peratus daripada pengetua atau guru besar dan guru di sesebuah sekolah bakal menikmati insentif istimewa sekiranya mereka berjaya memacu kecemerlangan sekolah bermula tahun depan.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran baru berbentuk pemberian insentif itu merupakan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu kepada pengetua atau guru besar.

    Bagaimanapun, kata beliau, bentuk insentif tersebut belum diputuskan lagi dan hanya akan dimaklumkan sebelum akhir tahun ini.

    ''Tawaran baru ini diberikan supaya pengetua dan guru besar memberi lebih perhatian kepada kepimpinan di sekolah yang tidak hanya bersandar kepada keputusan peperiksaan.

    ''Pemberian istimewa ini mungkin sama ada berbentuk sebulan atau dua bulan gaji bukan sahaja akan diberikan kepada pengetua atau guru besar tetapi juga untuk guru-guru lain. Ini kerana kejayaan sesebuah sekolah tidak terletak kepada pengetua atau guru besar sahaja tetapi usaha bersama," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Mighthy Minds National Challenge 2009 anjuran akhbar The Star dan RHB Bank, di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya sedang menggubal kurikulum baru supaya pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik lebih holistik, interaktif dan menyeronokkan.

    ''Kita akan memberi lebih tumpuan kepada soal kokurikulum, sukan dan aktiviti luar daripada mata pelajaran biasa supaya pelajar lebih menguasai bukan sahaja ilmu tetapi beberapa kemahiran lain supaya dapat membangunkan perwatakan pelajar yang seimbang," katanya.

    Mengenai pemberian biasiswa nasional kepada 30 pelajar terbaik berasaskan merit untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor dunia, Muhyiddin berkata, ia akan dimulakan tahun depan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

    Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2009

    Gajah ganggu penempatan guru

    KUALA LIPIS 25 Okt. - Seramai 20 orang guru yang tinggal di kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) di Merapoh dekat sini, hidup dalam kebimbangan sejak empat tahun lalu berikutan ancaman gajah liar yang sering mengganggu kawasan penempatan mereka.

    Guru-guru itu merupakan sebahagian daripada 90 orang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Merapoh dan Sekolah Kebangsaan Merapoh.

    Ahli Dewan Undangan (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, guru-guru berkenaan terpaksa tinggal di kuaters berkenaan disebabkan perumahan guru yang ada tidak mencukupi dan kesukaran mendapatkan rumah sewa yang sesuai.

    ''Mereka kini hidup dalam ketakutan apabila diancam oleh kehadiran sekumpulan gajah liar yang sering mengganggu mereka sejak empat tahun lalu," kata Abdul Rahman kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlang SMK Merapoh dekat sini hari ini.

    Menurut beliau, daripada 90 guru yang mengajar di kedua-dua sekolah itu hanya 24 guru sahaja yang tinggal di kuarters guru dan selebihnya terpaksa menyewa rumah penduduk kampung.

    Tambahnya, ada guru yang terpaksa menyewa rumah di kawasan lebih jauh iaitu di bandar Gua Musang, Kelantan kira-kira 30 kilometer dari Merapoh kerana sukar untuk mendapat rumah sewa di kawasan berkenaan.

    Sehubungan itu, beliau merayu Kementerian Pelajaran segera mengatasi masalah tersebut dengan membina kuarters baru bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

    Katanya, beliau difahamkan pihak kementerian ada meluluskan peruntukan beberapa tahun lalu untuk membina perumahan guru di Teluk Gunung bagi memenuhi keperluan terbabit.

    ''Namun projek berkenaan senyap begitu sahaja sehingga ke hari ini," katanya.

    Menurutnya, masalah perumahan guru di kawasan itu perlu diatasi segera demi menjaga keselamatan dan nyawa guru-guru terbabit dan keluarga mereka.

    Ini kerana katanya, gajah liar terbabit pernah menceroboh dengan memecah pintu rumah salah seorang guru wanita pada waktu malam menyebabkan dia dan keluarganya sentiasa hidup dalam kebimbangan.

    Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2009

    Ahad, 25 Oktober 2009

    PRINSIP-PRINSIP BARU PENGISIAN JAWATAN GURU BESAR DI SEKOLAH RENDAH DAN PENGETUA DI SEKOLAH MENENGAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

    Semua Ketua Jabatan/Bahagian,
    Kementerian Pelajaran Malaysia
    Semua Pengarah Pelajaran Negeri
    Semua Pegawai Pelajaran Daerah
    Y.Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

    PRINSIP-PRINSIP BARU PENGISIAN JAWATAN GURU BESAR DI SEKOLAH RENDAH DAN PENGETUA DI SEKOLAH MENENGAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

    Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

    2. Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Bil. 10 Tahun 2009 yang bersidang pada 15 Julai 2009 telah bersetuju untuk mewujudkan satu dasar yang lebih komprehensif, adil, saksama dan telus bagi laluan kerjaya Guru Besar di sekolah rendah dan Pengetua di sekolah menengah. Berikutan daripada keputusan tersebut, prinsip-prinsip baru pengisian jawatan Guru Besar di sekolah rendah dan jawatan Pengetua di sekolah menengah telahpun diluluskan melalui Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KPM Bil. 13 Tahun 2009 yang bersidang pada 26 Ogos 2009. Sehubungan dengan itu, surat siaran ini bertujuan untuk memaklumkan prinsip-prinsip baru pengisian jawatan Guru Besar di sekolah rendah dan jawatan Pengetua di sekolah menengah.

    3. Prinsip-prinsip baru pengisian jawatan naik pangkat Guru Besar di sekolah rendah dan Pengetua untuk sekolah menengah adalah seperti berikut:

    3.1 Prinsip-Prinsip Baru Pengisian Jawatan Naik Pangkat Guru Penolong Kanan Dan Guru Besar Di Sekolah Rendah

    3.1.1 Pengisian Jawatan Guru Penolong Kanan (GPK) dan Guru Besar (GB) Gred DGA32
    (a) Pengisian jawatan GPK dan Guru Besar gred DGA32 akan dibuat secara pemangkuan oleh calon gred DGA29 ataupun pengisian oleh calon Gred DGA32 Time Based.
    (b) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) gred DGA29 boleh memohon untuk urusan pemangkuan jawatan GPK atau Guru Besar gred DGA32. Walaubagaimanapun, keutamaaan diberikan kepada calon-calon yang mempunyai pengalaman dalam menjalankan tugas-tugas pentadbiran mengikut salah satu daripada bidang-bidang seperti berikut :
    (i) Guru Penyelaras Bistari
    (ii) Guru Perpustakaan/Media
    (iii) Guru Data
    (iv) Guru Disiplin
    (v) Setiausaha Peperiksaan
    (vi) Guru Darjah
    (vii) Guru Kanan Mata Pelajaran
    (viii) Guru Bimbingan
    (c) Mana-mana pegawai gred DGA32 di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Bahagian di KPM yang mempunyai pengalaman sebagai Guru Besar atau GPK juga boleh memohon untuk pengisian jawatan GPK atau GB gred DGA32.

    3.1.2 Pengisian Jawatan Guru Besar Gred DGA34
    (a) Keutamaan diberikan kepada Guru Besar gred DGA32 dan GPK gred DGA32 dalam urusan pemangkuan / kenaikan pangkat ke gred DGA34.
    (b) Mana-mana pegawai gred DGA32 di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Bahagian di KPM yang mempunyai pengalaman sebagai Guru Besar atau GPK juga boleh memohon untuk urusan pemangkuan bagi mengisi jawatan Guru Besar gred DGA34.
    (c) Mana-mana pegawai gred DGA34 di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Bahagian di KPM yang mempunyai pengalaman sebagai Guru Besar atau GPK juga boleh memohon untuk pengisian jawatan Guru Besar gred DGA34.

    3.1.3 Pengisian Kuota Guru Besar Cemerlang Gred DGA38 (KUP)
    (a) Pengisian kuota Guru Besar Cemerlang gred DGA38 (KUP) hanya dibuat dari kalangan Guru Besar gred DGA34 yang berkaliber dan telah menunjukkan prestasi yang cemerlang.

    3.1.4 Carta yang menunjukkan laluan kerjaya Guru Besar secara lebih jelas adalah seperti di Lampiran A.

    3.2 Prinsip-Prinsip Baru Pengisian Jawatan Naik Pangkat Guru Penolong Kanan Dan Pengetua Untuk Sekolah Menengah

    3.2.1 Pengisian Jawatan Guru Penolong Kanan (GPK) / Ketua Bidang (KB) Gred DG44
    (a) Pengisian jawatan GPK / KB gred DG44 akan dibuat secara pemangkuan oleh calon gred DG41 ataupun pengisian oleh calon DG44 Time Based .
    (b) PPPS gred DG41 boleh memohon untuk urusan pemangkuan jawatan GPK / KB gred DG44. Walaubagaimanapun, keutamaaan diberikan kepada calon-calon yang mempunyai pengalaman dalam menjalankan tugas-tugas pentadbiran mengikut salah satu daripada bidang-bidang seperti berikut :
    (i) Guru Penyelaras Bistari
    (ii) Guru Perpustakaan/Media
    (iii) Guru Data
    (iv) Guru Disiplin / Kaunselor
    (v) Setiausaha Peperiksaan
    (vi) Guru Tingkatan
    (vii) Guru Kaunselor
    (viii) Setiausaha Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP)
    (c) Mana-mana pegawai gred DG44 di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Bahagian di KPM yang mempunyai pengalaman sebagai GPK / KB juga boleh memohon untuk pengisian jawatan GPK / KB gred DG44 secara pertukaran setara.

    3.2.2 Pengisian Jawatan Pengetua Gred DG48
    (a) Pengisian jawatan Pengetua gred DG48 akan diberi keutamaan kepada GPK gred DG44 dalam urusan pemangkuan ke gred DG48.
    (b) Ketua Bidang gred DG44 yang berkebolehan juga boleh memohon untuk memangku jawatan Pengetua gred DG48 dalam urusan pemangkuan ke gred DG48.
    (c) GPK dan Ketua Bidang gred DG48 (KUP) juga boleh memohon untuk pengisian jawatan Pengetua gred DG48.
    (d) Mana-mana pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Bahagian di KPM yang mempunyai pengalaman sebagai GPK atau Ketua Bidang (KB) boleh memohon untuk pengisian jawatan Pengetua gred DG48 samada melalui urusan pemangkuan DG44 ke DG48 atau pertukaran setara gred DG48.

    3.2.3 Pengisian Jawatan Pengetua Gred DG52
    (a) Pengetua gred DG48 atau Penolong Kanan Tingkatan 6 gred DG48 atau GPK / KB gred DG48 (KUP) yang berkaliber dan telah menunjukkan prestasi yang cemerlang boleh memohon untuk pengisian jawatan Pengetua gred DG52 melalui urusan pemangkuan ke gred DG52.

    3.2.4 Pengisian Kuota Pengetua Cemerlang Gred DG52 (KUP)
    (a) Kuota Pengetua Cemerlang gred DG52 (KUP) hanya akan diperuntukkan kepada Pengetua yang telah dinaikkan pangkat ke gred DG48 dan telah berkhidmat sebagai Pengetua gred DG48 selama 3 tahun berturut-turut dan berpotensi untuk meningkat maju.

    3.2.5 Pengisian Kuota Pengetua Cemerlang Gred DG54 (KUP)
    (a) Kuota Pengetua Cemerlang gred DG54 (KUP) akan diisi oleh Pengetua yang telah dinaikkan pangkat secara hakiki ke gred DG52 ataupun oleh Pengetua Cemerlang gred DG52 yang telah dinaikkan pangkat dalam gred yang berkenaan.

    3.2.6 Pengisian Kuota Pengetua Cemerlang JUSA C (KUP)
    (a) Jawatan Pengetua Cemerlang JUSA C akan hanya diisi oleh Pengetua Cemerlang gred DG54 (KUP) yang telah dinaikkan pangkat dalam gred berkenaan.

    3.2.7 Pengisian Jawatan Hakiki Gred DG54 oleh Pengetua Gred DG52 (Hakiki)
    (a) Pengetua gred DG52 (Hakiki) boleh memohon untuk urusan pemangkuan ke gred DG54 bagi mengisi jawatan-jawatan pengurusan dan pentadbiran gred DG54. Sebagai contoh jawatan-jawatan hakiki gred DG54 adalah seperti berikut :
    (i) Timbalan Pengarah Bahagian di KPM / IAB gred DG54;
    (ii) Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri gred DG54;
    (iii) Pegawai Pelajaran Daerah Wilayah Persekutuan gred DG54; dan
    (iv) Pengarah IPGM / Kolej Matrikulasi.

    3.2.8 Carta yang menunjukkan laluan kerjaya Pengetua secara lebih jelas adalah seperti di Lampiran B.

    4. Tarikh berkuat kuasa prinsip-prinsip baru mengenai pengisian jawatan Guru Besar di sekolah rendah dan Pengetua di Sekolah Menengah ini adalah mulai 27 Ogos 2009.

    5. Di atas segala kerjasama Y.Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan di dalam mematuhi dan melaksanakan prinsip-prinsip tersebut di atas adalah sangat-sangat dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

    Sekian.

    “BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

    Yang Ikhlas,


    ( TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM)
    Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
    Kementerian Pelajaran Malaysia

    Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia