Isnin, 30 November 2009

Syor ibu bapa rotan pelajar di sekolah perlu pandangan semua pihak

SARANAN Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) supaya ibu bapa sendiri melaksanakan hukuman merotan patut disokong jika cara ini dapat memberi keinsafan lebih berkesan kepada pelajar yang dihukum. Memang tujuannya baik, tetapi kita perlu meneliti dari segi pelaksanaannya.

Pertama, dalam proses merangka garis panduan mengenai saranan ini, kita perlu melihat daripada skop menyeluruh dan memperincikan setiap perkara yang berkaitan. Ia penting supaya garis peraturannya lengkap dalam menghadapi pelbagai kerenah yang wujud.

Misalnya mungkin timbul masalah bapa yang enggan memberikan kerjasama, menangguhkan temu janji yang dipersetujui, merotan mengikut emosi atau penentuan status penjaga yang boleh merotan jika bapa tiada. Dalam menghadapi pelbagai situasi itu, ada jalan penyelesaian jika peraturannya sempurna.

Kedua garis panduan perlu dipermudahkan supaya pelaksanaannya nanti munasabah dan praktikal. Ia penting supaya berpadanan dengan keupayaan tenaga guru yang sudah sedia dengan tugas yang bertimbun-timbun.

Apabila berlaku sesuatu kes salah laku pelajar, guru disiplin perlu menyoal siasat, memanggil saksi, mengumpulkan bahan bukti, memanggil ibu bapa, memanggil tertuduh untuk bela diri, bermesyuarat untuk putuskan hukuman, beri peluang tertuduh merayu, melaksanakan hukuman dan melengkapkan laporan.

Bayangkan betapa banyaknya tugas guru disamping tugas utama melaksanakan pengajaran dalam kelas. Jika syor PIBGN ini dilaksanakan, tugas guru tadi diteruskan lagi dengan memaklumkan kepada ibu bapa, menunggu tarikh hukuman, berbincang tatacara hukuman dan sebagainya yang menambahkan lagi tugas guru.

Ia baru satu kes salah laku. Belum lagi kes salah laku lain. Sebenarnya tugas guru yang hakiki ialah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, di samping bidang kokurikulum, tugas khas dan ditambah lagi dengan tugas perkeranian.

Selain itu, pandangan daripada pengetua/guru besar, guru kanan hal-ehwal murid dan guru disiplin mesti diambil kira dan yang penting dihormati dalam membincangkan saranan PIBGN itu. Tiga golongan ini terbabit secara langsung, berpengalaman luas dalam pengurusan disiplin pelajar di sekolah dan memahami suasana sebenarnya berbanding pegawai pendidikan lain.

Projek rintis juga perlu dilaksanakan supaya pemantauan dan penilaian dapat dibuat. Ia penting untuk mendapat gambaran lebih lengkap dan tepat sebelum keputusan muktamad dibuat sama ada saranan PIBGN supaya ibu bapa merotan pelajar ini wajar dipraktikkan.

ZIN MARKAM,
Pontian, Johor.

Berita Harian Online: 30 November 2009

Guru dipilih Pengerusi 4B Pahang


Ahmad Daniar Ismail


KUALA LIPIS 29 Nov. - Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Clifford, di sini, Ahmad Daniar Ismail, 32, dipilih sebagai Pengerusi Gerakan Belia 4B Pahang yang baru, menggantikan Datuk Abdul Manan Ismail, 62, yang lebih 10 tahun memegang jawatan itu.

Ahmad Daniar merupakan lulusan sarjana ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga bekas Pengerusi 4B Remaja negeri menang tanpa bertanding dalam pemilihan itu.

Beliau memperoleh kemenangan tersebut setelah seorang lagi calon, Kapten (B) Mohd. Johari Hussain yang juga ADUN Tioman yang sebelum ini berminat untuk bertanding merebut jawatan berkenaan telah menarik diri sebelum mesyuarat diadakan di sini hari ini.

Jawatan Timbalan Pengerusi menyaksikan perebutan dua orang tokoh belia negeri ini apabila Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Suffian Awang berjaya memperoleh 56 undi mengalahkan Nazaruddin Abdul Hassim yang memperoleh 22 undi.

Sementara itu, Naib Pengerusi disandang oleh Pengerusi Majlis Belia Jerantut, Ir. Jalaluddin Ghazali yang juga menang tanpa bertanding.

Turut menyaksikan perubahan pada pemilihan itu ialah jawatan Naib Pengerusi Wanita 4B apabila Hartini Osman yang juga Ketua Puteri Lipis berjaya memperoleh 41 undi mengalahkan Mazlina Mohd. Lazim dari perwakilan 4B Indera Mahkota yang mendapat 37 undi.

Mesyuarat agung tahunan bagi sesi 2009/2012 bagi negeri Pahang itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman.

Utusan Malaysia Online: 30 November 2009

Ahad, 29 November 2009

Sabah bantu atasi masalah guru agama

KOTA KINABALU 28 Nov. - Kerajaan negeri memberi jaminan akan membantu mengatasi masalah kekurangan guru-guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri menyedari kesulitan yang terpaksa dihadapi pihak sekolah agama di Sabah dan bersedia membantu mereka mengatasi masalah tersebut secepat mungkin

Menurutnya beliau sendiri akan berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman setelah mendapat laporan daripada pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang terlibat dengan Konvensyen PIBG SMKA, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Sabah," katanya.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal pendidikan negeri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PIBG SMKA, SABK dan SMAN Sabah di Kompleks Tabung Haji, Sembulan di sini kelmarin.

Hadir sama Yang Dipertua PIBG SMKA Kota Kinabalu merangkap pengerusi penganjur konvensyen itu, Sakaria Semela dan Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Ugama (SMU) Islamiah Papar, Dahli Elias.

Konvensyen yang julung kalinya diadakan itu disertai seramai 43 peserta dari seluruh Sabah. Ia bertujuan membincangkan pelan strategik bagaimana PIBG harus bergerak lebih aktif dalam membantu sekolah agama di Sabah.

Selain itu, para peserta turut membincangkan keperluan sekolah-sekolah agama di negeri ini seperti keperluan membina bangunan baru bagi sekolah agama di negeri ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kesepakatan dan kesedaran di kalangan umat Islam dalam membantu sekolah-sekolah agama di negeri ini masih pada tahap rendah.

''Bukan tidak ramai umat Islam yang kaya di negeri ini, ada. Tetapi tidak ramai yang berjuang untuk meringankan beban sekolah-sekolah agama Islam. Kita kecewa kerana hanya meletakkan tanggungjawab ini kepada kerajaan semata-mata.

''Dalam hal ini, mereka perlu membuka mata serta melihat contoh sekolah-sekolah aliran lain," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 29 November 2009

Sabtu, 28 November 2009

Guru bermasalah elok ke pejabat pendidikan

TIMBALAN Menteri Pelajaran menyatakan guru semberono akan ditangani secara serius untuk memastikan pelajaran murid tidak terjejas. Guru semberono bermaksud guru yang mengajar sambil lewa dan tidak komited dalam menjalankan tugas di sekolah.

Sebenarnya bukanlah susah sangat mengenali guru jenis ini. Secara umum sebahagian besar tenaga pengajar sekarang adalah guru yang bertanggungjawab, berdisiplin dan sentiasa memberikan kerjasama.

Bukan mudah untuk mengambil tindakan disiplin terhadap penjawat awam, khususnya tindakan gantung kerja atau buang kerja. Tugas ini memakan masa panjang kerana melalui peringkat tertentu dan perlu disertai maklumat dan bukti lengkap.

Oleh itu elok guru berprestasi rendah ini ditempatkan di pejabat pendidikan. Malah, pegawai kanan atau pegawai atasan di pejabat pelajaran dapat 'mengawasi' dan membimbing guru bermasalah ini.

ZIN MARKAM,
Pontian, Johor.

Berita Harian Online: 28 November 2009

Jumaat, 27 November 2009

Yuran sekolah wajib dibayar walau secara ansuran

SAYA amat tertarik dengan tulisan dalam ruangan ini bertajuk Nur Izzati Masuk SBP? dan Sekolah Convent Tracisian Patut Malu yang dihantar oleh Hafiz dari Seremban dan Pelajar Tingkatan Lima dari Shah Alam.

Saya sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur, merasa terkilan dengan tulisan tersebut. Untuk pengetahuan anda berdua, yuran sekolah adalah wajib dibayar kecuali yuran peperiksaan awam yang telah dimansuhkan.

Saya ingin menegaskan, walau pun murid itu miskin, kedua ibubapanya berkerja. Yuran sebanyak RM57 terlalu murah untuk dibayar, melainkan keluarga tersebut mempunyai bilangan anak yang ramai dan jumlah pendapatan yang sedikit. Pembayaran secara ansuran bulan boleh dilakukan atas budi bicara keluarga tersebut kepada pihak sekolah.

Ada juga golongan pelajar saya miskin. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi keluarga pelajar tersebut membayar secara bulanan walaupun dalam jumlah yang sedikit.

Ini kerana jika pelajar tidak membayar yuran sekolah pihak sekolah tidak akan mengeluarkan segala sijil dan slip keputusan peperiksaan.

Semua guru di Malaysia telah menjalankan tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah kepada para pelajar. Jadi janganlah salahkan sekolah atau pihak guru.

Di mana datangnya ilmu jikalau tidak daripada insan yang bergelar guru. Tambahan, yuran yang dibayar itu adalah untuk kegunaan pelajar itu sendiri.

"cikgu lah"

Kuala Lumpur


Utusan Malaysia Online: 27 November 2009

Khamis, 26 November 2009

Guru SK Bukit Ibam dipuji

KAMI ibu bapa murid SK Bukit Ibam, Muadzam Shah, Pahang ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pengurusan sekolah, termasuk guru dan PIBG kerana pencapaian cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sejak beberapa tahun kebelakangan, peratus pelajar dan bilangan mendapat 5A semakin meningkat. Begitu juga peratus keseluruhan turut semakin meningkat. Keputusan 2009 dengan pencapaian 78.18 peratus adalah cukup membanggakan.

Maklumlah sekolah pedalaman dan luar bandar, murid daripada kalangan anak Orang Asli dan orang kampung biasa mampu mencatat keputusan sebegitu, malah murid Orang Asli mampu mencatat 5A, tentunya membanggakan.

Tahniah kepada pengurusan dan tenaga pengajar, kakitangan serta PIBG dan semua yang terbabit. Anda mampu mengubahnya.

BAPA SEJATI,
Bukit Ibam, Pahang.

Berita harian Online: 26 November 2009

Guru SK dibebani tugas kerani

PELBAGAI pihak menyalahkan guru sekolah Kebangsaan (SK) kerana dikatakan gagal mendidik pelajar jika dibandingkan dengan guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang kononnya cemerlang. Lantaran itu ada pihak yang mencadangkan agar guru SK dihantar mengikuti kelas pembelajaran Matematik dan Sains di SJKC terpilih.

Malah ada pertubuhan perguruan mempertikaikan komitmen guru SK dalam mendidik pelajar dan menuduh guru SK kurang memberikan latihan kepada pelajar. Semua pihak menghentam guru SK seolah-olah mereka inilah yang harus dipersalahkan dan mereka yang mengkritik pula telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Golongan ini langsung tidak melihat elemen-elemen lain yang menyebabkan prestasi SK merosot. Sedarkah mereka bahawa SJKC hanya mengambil pelajar Cina yang pintar sahaja untuk belajar di SJKC manakala lebihannya dihantar ke SK untuk didik oleh guru SK?

Adilkah bebanan yang terpaksa ditanggung oleh guru SK? Golongan ini juga tidak sedar bahawa merekalah yang 'merosakkan' reputasi guru sebagai pendidik dengan membebankan guru SK dan SMK dengan tugas-tugas perkeranian yang semakin menimbun saban tahun.

Setiap pengetua dan guru besar pula menekan guru-guru untuk menyediakan pelbagai laporan yang boleh dibuktikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri agar membolehkan mereka layak mendapat jawatan Pengetua Cemerlang. Itu belum lagi tugas sebenar seorang guru iaitu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang 'terganggu' oleh keperluan jabatan-jabatan kerajaan lain seperti Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan banyak lagi.

Semua keperluan ini sepatutnya dilakukan oleh kakitangan bergelar kerani, bukannya guru kerana tugas sebenar seorang guru ialah terlibat dengan P&P. Namun semuanya itu dilonggokkan ke atas bahu para guru dengan alasan profesionalisme. Semakin banyak kerja perkeranian dan perburuhan yang dilakukan maka semakin profesionallah guru tersebut.

Sebenarnya banyak lagi aspek dan elemen yang boleh 'dikambinghitamkan' sebagai jawapan atas kegagalan pelajar di SK. Antaranya ialah sikap tidak bertanggungjawab dan tidak prihatin ibu bapa, kemiskinan, kurang pendedahan, persekitaran, kurang kemudahan dan sebagainya.

Namun semua itu akan dapat diatasi sekiranya profesionalisme perguruan dikembalikan ke jalan yang benar iaitu para guru 100 peratus melibatkan diri dengan P&P, bukannya sebagai kerani kaunter kutipan bayaran, kerani mengira kehadiran penonton di stadium, kerani statistik, kerani banci penduduk, kerani syarikat penyelenggaraan dan lain-lain yang langsung tidak berkaitan dengan P&P.

Jika golongan pensyarah di kolej-kolej dan universiti boleh menjalankan P&P mereka tanpa kerja-kerja yang tak berkaitan, mengapa guru-guru tidak?

Menteri Pelajaran sebelum ini pernah membuat penyelidikan betapa banyaknya beban kerja guru. Malah beliau telah mengungkapkan "saya kasihan akan guru-guru saya" apabila hasil kajian beliau mendapati para guru 'diseksa' dengan kerja-kerja perkeranian yang melambak-lambak. Namun setakat itu sahaja kerana dunia perguruan terus bercelaru dengan pelbagai beban kerja di luar P&P.

Kerja-kerja perkeranian mengganggu P&P guru. Guru adalah manusia biasa yang mempunyai kemampuan berfikir dan bekerja yang terhad. Pengetua, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mahupun Kementerian Pelajaran Malaysia, masing-masing hanya mahukan satu laporan atau satu statistik sahaja daripada seorang guru tetapi guru tersebut perlu melakukan empat pekerjaan di luar bidang P&Pnya. Alangkah bagusnya setiap tahun hanya satu kerja sahaja daripada empat pihak tersebut. Ironinya keadaan itu adalah mustahil!

Janganlah salahkan guru semata-mata. Sistem pendidikan dan penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia wajar berlaku adil kepada seluruh guru. Berilah keadilan kepada guru-guru SK dan SMK, iaitu 100 peratus P&P dan tiada lagi 'guru kerani'. Insya-Allah pendidikan SK dan SMK akan terus gemilang.

NORHISYAM MOHAMAD

Kota Sarang Semut, Kedah

Utusan Malaysia Online: 26 November 2009

‘Jangan kata tidak boleh’

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: “Seorang guru mesti sanggup kerja lebih daripada biasa, bila diarahkan guru besar atau pengetua jangan kata tidak boleh atau tidak tahu, sebaliknya lakukan apa yang diarahkan“.

Demikian nasihat Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom kepada graduan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) j-QAF; Kursus Lepasan Ijazah Kursus Dalam Cuti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (KDC SBK) dan Kursus Diploma Pergurusan Malaysia Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (KDPM LPBS) pada konvokesysen berpusat keempat Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di sini, semalam.

Beliau berkata, seorang guru juga perlu mempunyai sikap mengejar kerja, bukan menolak kerja dengan memberikan pelbagai alasan kerana kebanyakan tugasan atau kerja yang diberikan guru besar atau pengetua membolehkan mereka menimba lebih banyak ilmu.

“Ketika saya menjadi guru dulu, saya tekad nak mendapatkan seberapa banyak pengalaman dan sentiasa meminta jawatan daripada pengetua dan guru besar.

“Saya memegang banyak jawatan termasuk guru kaunselor, setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru disiplin dan sebagainya, jadi saya dapat merasai semua jawatan penting di sekolah,” katanya.

Alimuddin berkata, apabila seorang guru sudah memegang banyak jawatan penting, mereka mempunyai lebih banyak pengalaman, dan ia boleh digunakan pada masa depan.

“Apabila saya dilantik sebagai penolong kanan dan pengetua, saya dapat memahami apa yang dirasai guru kerana saya pernah memegang jawatan atau melakukan kerja terbabit.

“Jadi, jangan sesekali menolak tugas yang diberikan pengetua atau guru besar. Ia bukan beban, tetapi banyak pengalaman yang tidak ternilai harganya,” katanya.

myMetro: 26 November 2009

Rabu, 25 November 2009

Bakal guru wajib akujanji?


DR. Puad Zarkashi (kanan) berbual mesra dengan pelajar-pelajar terbaik kursus perguruan selepas menghadiri Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 24 Nov. - Bakal guru mungkin diwajibkan menandatangani akujanji sanggup mengajar di kawasan pedalaman untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, syarat yang sedang dipertimbangkan itu bertujuan memastikan guru-guru yang baru berkhidmat di pedalaman tidak merayu untuk berpindah.

''Sebagai contoh, kebanyakan guru dari Kelantan dan Terengganu yang baru berkhidmat empat bulan dan dihantar ke pedalaman sudah minta berpindah.

''Ini benar, di Kelantan ada 54 kekosongan, yang mohon hendak balik 1,312 orang, jadi bila ada rungutan oleh guru yang sudah 10 tahun mengajar di Sarawak, sudah tentu tiada kekosongan di negeri itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) di sini hari ini.

Puad menegaskan, dalam situasi sekarang, tempoh perkhidmatan tidak lagi diambil kira sebaliknya faktor kekosongan dan keperluan di sesebuah negeri menjadi keutamaan.

''Sekarang ini kita cadangkan letak syarat akujanji, kalau sanggup baru kita ambil bekerja, jangan nanti tak sampai enam bulan sudah merayu-rayu, kita juga yang susah.

''Jadi, selepas ini kalau sudah turunkan tandatangan, tetapi kemudian minta tukar, kita tak akan layan kecuali kes kritikal seperti faktor kesihatan," katanya.

Menurutnya, akujanji tersebut bukan bertujuan memberi tekanan kepada para guru tetapi menuntut mereka memahami bidang tugas dan tanggung jawab dari perspektif masyarakat tanpa memikirkan kepentingan diri semata-mata.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Puad menasihatkan ibu bapa yang anak mereka memperoleh keputusan cemerlang 5A tetapi gagal memasuki sekolah berasrama penuh agar tidak kecewa.

Ini kerana anak-anak mereka masih berpeluang memasuki kelas khas di sekolah kluster, sekolah cemerlang dan sekolah harian.

''Mereka akan mendapat suasana pembelajaran yang sama dengan asrama penuh, cuma bezanya tidak tinggal di asrama dan yang penting kekalkan semangat dan kecemerlangan akademik," katanya.

Pada tahun ini seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh 5A sedangkan kekosongan yang ditawarkan di sekolah berasrama penuh termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekitar 12,000 tempat.

Utusan Malaysia Online: 25 November 2009

Peluang lepasan SPM ikuti kursus ijazah

PUTRAJAYA 24 Nov. - Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berpeluang mengikuti kursus ijazah sarjana muda pendidikan jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, langkah tersebut bertujuan memenuhi keperluan 32,000 guru j-QAF menjelang 2010 di 6,314 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 13,000 guru j-QAF di 4,723 buah sekolah rendah dan jumlah tersebut perlu ditambah apabila program j-QAF diperkenalkan di sekolah menengah.

''Kita sebenarnya berdepan dengan masalah kekurangan calon guru j-QAF kerana kekurangan calon guru dari aliran agama, kalau hendak tunggu yang pulang dari Mesir dan Jordan, jumlahnya tidak ramai.

''Sekarang ini kita sedang tunggu unjuran dari bahagian penyelidikan dan pembangunan kementerian untuk mengkaji jumlah guru j-QAF yang diperlukan sebelum proses pengambilan dimulakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan diploma perguruan kepada sebahagian daripada 3,259 graduan Kursus Perguruan Lepas Ijazah j-QAF dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah Kursus Dalam Cuti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (KDC SABK) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (KDPM LPBS).

Puad menambah, pihaknya menjangkakan proses pengambilan pelajar lepasan SPM dan STAM untuk memenuhi kekurangan guru j-QAF dapat dilakukan menjelang tahun depan.

''Tentang kualiti guru, kita mahu calon-calon yang bakal dilahirkan oleh IPGM benar-benar komited dengan profesion perguruan,'' katanya.

Menurutnya, syarat pengambilan guru juga akan diperketatkan dengan menilai tahap kelulusan akademik, minat, penglibatan dalam kokurikulum dan keterampilan melalui sesi temu duga yang dijalankan.

Puad berkata, bagi pengambilan guru pada Jun lalu, kementerian menerima 67,444 permohonan di seluruh negara bagi memenuhi 2,350 kekosongan.

Katanya, Kementerian Pelajaran memerlukan lebih banyak IPGM untuk menampung masalah kekurangan guru terutama guru pilihan yang bakal berkhidmat di kawasan pendalaman.

Utusan Malaysia Online: 25 November 2009

Selasa, 24 November 2009

Guru SK ikuti kelas di SJKC 2010

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Mulai tahun depan, guru-guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) akan mengikuti kelas bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang terpilih untuk melihat kaedah pembelajaran dan pengajaran di sekolah berkenaan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, langkah itu sekali gus membolehkan guru-guru terlibat mengambil contoh kaedah yang digunakan di SJKC untuk dibawa ke sekolah masing-masing.

Beliau bagaimanapun berkata, guru-guru tersebut tidak perlu meniru semua kaedah yang digunakan, sebaliknya mengambil kaedah tertentu yang bersesuaian dengan sistem di SK sahaja.

"Langkah baru itu akan dijadikan sebagai latihan untuk bakal guru dan yang telah menjadi guru. Biar mereka pergi ke sekolah itu dan masuk ke dalam bilik darjah bagi tempoh tertentu untuk melihat sendiri.

"Dengan cara ini, mereka dapat lihat dengan lebih teliti dan terperinci, ini lebih penting. Saya tak nak guru-guru hanya hadir ceramah cara untuk mengajar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian terperinci dibuat berhubung kaedah pembelajaran dan pengajaran Matematik dan Sains di SJKC yang terbukti lebih berkesan.

Arahan mengadakan kajian itu berikutan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di SJKC baru-baru ini begitu memberangsangkan bagi dua mata pelajaran berkenaan berbanding sekolah-sekolah lain.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, guru-guru besar di SK juga diminta untuk mengadakan lawatan ke SJKC yang terpilih dan seterusnya mendapatkan maklumat lanjut daripada guru-guru sekolah berkenaan berhubung kaedah terbaik yang boleh digunakan.

Beliau memberitahu, langkah tersebut merupakan kaedah pertama yang akan digunakan oleh kementerian berbanding sebelum ini iaitu guru-guru hanya diberikan latihan teori di institut-institut perguruan.

"Biasanya, guru-guru wajib mengikuti latihan dalam perkhidmatan di Institut Pendidikan Guru Negara (IPGN), manakala guru besar pula di Institut Aminuddin Baki, belum pernah mereka ditempatkan di SJKC.

"Sehubungan itu, saya akan meminta pegawai-pegawai di bahagian pendidikan guru untuk menyediakan rangka latihan itu supaya tahun depan kita akan memulakan program tersebut," kata beliau.

Ditanya mengenai perbezaan kaedah yang jelas di antara SK dengan SJKC, kata beliau, perbezaaan itu adalah dari segi latih tubi.

Beliau menambah, SJKC menerapkan kaedah latih tubi dan buku latihan yang banyak, tetapi di SK, kementerian bimbang ia akan menyebabkan murid bosan terhadap mata pelajaran tersebut.

Namun, tambahnya, jika pendekatan itu yang terbaik, kementerian akan mengkaji dengan lebih mendalam termasuk melihat aspek penerimaan daripada ibu bapa dan juga murid itu sendiri.

"Pihak jabatan sedia maklum dengan latih tubi itu, tetapi kita sering mendapat aduan daripada ibu bapa, maka kita perlu tengok kaedah yang terbaik supaya tidak akan timbul isu," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 24 November 2009

Cikgu paparazi

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Misi sekumpulan guru yang terpaksa menjadi ‘paparazi’ selama hampir dua bulan bagi menangani masalah pelajar ponteng di sebuah sekolah di bandar raya ini berjaya merakamkan kira-kira 50 gambar dan video pelajar terbabit melakukan pelbagai kegiatan tidak berfaedah dan bermoral termasuk menonton filem lucah beramai-ramai.

Semuanya akan dijadikan bahan bukti untuk didedahkan pada ibu bapa, sekali gus membuka mata mereka berhubung sikap sebenar anak masing-masing di sekolah berbanding ketika di rumah.

Pengurusan Sekolah Menengah Tun Syed Nasir di sini, terpaksa mengambil pendekatan berbeza daripada kebiasaan itu bagi membendung gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah berkenaan yang meruncing terutama pada beberapa hari terakhir sebelum tamat penggal persekolahan 2009, Jumaat lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Abdullah Abdul Rahman, berkata langkah itu terpaksa diambil memandangkan timbul keresahan di pihak sekolah dan ibu bapa berikutan bilangan pelajar sekolah berkenaan ponteng pernah mencecah kira-kira 100 orang setiap hari.

Katanya, bilangan pelajar di sekolah berkenaan kira-kira 2,000 orang, namun gejala ponteng sekolah tidak sepatutnya diberi pengecualian dengan mengambil kira jumlah keseluruhan pelajarnya, kerana ia ibarat barah yang boleh merosakkan badan manusia jika tidak dirawat di peringkat awal.

“Sekumpulan guru yang ditugaskan mengawasi pergerakan kumpulan pelajar yang disyaki sebagai kaki ponteng dengan menjadikan lorong berhampiran kawasan sekolah sebagai tempat melepak merakam pelbagai aksi mengejutkan kami.

“Mereka bukan saja berfoya-foya, malah ada yang melepak di kediaman rakan sehingga tamat waktu persekolahan dengan bermain terup, merokok, melakukan vandalisme dan paling mengejutkan ialah menonton filem lucah beramai-ramai,” katanya selepas Seminar Budaya Lepak, Maksiat dan Jenayah di sekolah berkenaan, kelmarin.

Majlis dirasmikan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor yang turut menyampaikan sijil kepada peserta.

Abdullah berkata, semua gambar dan rakaman itu akan dipertontonkan kepada ibu bapa terutama bagi mereka yang tidak mengakui kesalahan anak masing-masing atau tidak menyedari perbuatan anak-anak terbabit dengan gejala ponteng sekolah.

“Tindakan ini bukan untuk membuka pekung sesiapa, tetapi lebih kepada menimbulkan kesedaran kepada pihak terbabit dan menunjukkan pihak sekolah berusaha melakukan sesuatu bagi membendung gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar,” katanya.

Menurutnya, PIBG merancang melakukan pemeriksaan mengejut di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘port’ pelajar ponteng sekolah menghabiskan masa dengan membawa bersama ibu bapa pelajar yang disyaki.

Menurutnya, ibu bapa harus sedar peranan mereka juga penting dalam memastikan anak-anak yang keluar rumah pada hari persekolahan, benar-benar sampai di sekolah dan tidak melencong ke tempat lain.

“Hasil rakaman dan gambar itu membantu kami mengurangkan kes pelajar ponteng sekolah, di mana rekod terakhir menunjukkan bilangan pelajar ponteng sekolah ialah kira-kira 30 orang berbanding 100 sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, pihak pentadbiran sekolah dan guru harus memainkan peranan bagi membendung masalah pelajar ponteng sekolah.

Katanya, polis sentiasa membuka pintu kepada pihak sekolah untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berhubung tindakan ke arah membendung gejala tidak sihat membabitkan pelajar.

“Gejala ponteng sekolah tidak seharusnya berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Apabila lebih 100 orang dikatakan ponteng sekolah setiap hari, ia sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera,” katanya.

myMetro: 24 November 2009

Pelajar lebih gerun

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

di Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang, semalam." title="CEMERLANG...Puad bermesra dengan sebahagian guru cemerlang
di Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang, semalam." border="0" height="182" width="300">
CEMERLANG...Puad bermesra dengan sebahagian guru cemerlang
di Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang, semalam.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyambut baik saranan Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) untuk menyerahkan kuasa merotan pelajar yang mempunyai masalah disiplin kepada ibu bapa.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata saranan berkenaan ternyata bertepatan kerana masalah disiplin pelajar seharusnya menjadi tanggungjawab ibu bapa dan bukan diserahkan kepada guru semata-mata.

“Jika hukuman rotan diserahkan kepada ibu bapa, maka ia boleh membantu mengurangkan masalah disiplin di kalangan pelajar kerana sekiranya guru yang melaksanakan hukuman berkenaan ia boleh dijadikan isu politik,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan hukuman rotan terhadap pelajar yang mempunyai masalah disiplin tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia akan merugikan ibu bapa.

“Hukuman dijalankan bertujuan mendidik dan bukan mencederakan. Sekiranya terdapat ibu bapa enggan membenarkan anak dirotan, ia satu kerugian kerana pelajar terbabit akan terus melakukan kesalahan sama.

“Sekiranya ibu bapa pelajar itu yang melaksanakan hukuman berkenaan, ia lebih adil dan sedikit sebanyak dapat ‘menakutkan’ pelajar kerana mereka lebih gerun dengan ibu bapa sendiri berbanding dengan guru,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang Kali ke-7, di sini, semalam.

Puad berkata, sekiranya pelaksanaan hukuman rotan diserahkan kepada ibu bapa, ia perlu dilakukan untuk tujuan mendidik dan bukan untuk menyakitkan pelajar.

“Saya akan membawa perkara ini untuk perhatian pihak atasan dan secara peribadi menyokong penuh saranan berkenaan. Namun, ia perlu dilakukan dengan cara betul.

“Selain itu, sekolah perlu melaporkan segera kepada ibu bapa sekiranya anak mereka terbabit dengan masalah disiplin,” katanya.

Menurut Puad, pihaknya tidak berkompromi dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin kerana menganggap ia perkara serius.

“Disiplin asas dalam membentuk pelajar dan kementerian tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan pelbagai masalah di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai kenyataan Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang menyatakan pelaksanaan hukuman rotan oleh ibu bapa dilihat bukan saja lebih berkesan, malah sebagai pengiktirafan kepada mereka.

Cadangan berkenaan ditimbulkan untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa atau penjaga mengenai kecuaian mereka tidak memantau kegiatan anak masing-masing.

Menurut Mohamad Ali, hampir 90 peratus ibu bapa yang menghadiri Konvensyen Kebangsaan Menangani Disiplin Pelajar 2007 bersetuju membenarkan hukuman rotan tetapi mengikut peraturan atau syarat tertentu, contohnya tidak dilakukan di khalayak bagi mengelak malu.

Selain itu, jika pelajar itu perempuan, ia dilakukan ibu atau penjaga wanita di hadapan guru wanita dan jika mereka dalam haid, hukuman itu perlu ditangguhkan.

myMetro: 24 November 2009

Elak diri jadi 'guru semberono'


Dr. Mohd. Puad Zarkashi


KUALA LUMPUR - Guru-guru perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan dalam profesion pendidikan supaya mereka menjadi cemerlang dan bukan golongan 'guru semberono'.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kewujudan 'guru semberono' akan menjejaskan proses pembangunan modal insan di negara ini.

"Saya yakin guru-guru di negara ini komited serta gigih dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik tetapi cabaran-cabaran yang mendatang serta pelbagai tekanan yang muncul mungkin melemahkan semangat mereka sekiranya mereka tidak mempersiapkan diri.

"Saya tidak mahu tekanan-tekanan yang timbul ini akhirnya mewujudkan budaya 'guru semberono'," katanya pada Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang Kali Ketujuh Tahun 2009 di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Datuk Misrah Ibrahim.

Mohd. Puad memberitahu, negara masih kekurangan hampir 5,000 guru cemerlang ekoran ramai guru tidak berusaha mengisi kekosongan itu dan kekurangan itu akan terus wujud sekiranya masih ada golongan 'guru semberono'.

Kosmo Online: 24 November 2009

Isnin, 23 November 2009

Model pembelajaran SJKC ke sekolah kebangsaan

KERAJAAN akan melihat kaedah pembelajaran Matematik dan Sains yang diterapkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berikutan prestasi lebih baik yang ditunjukkan dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia untuk diguna pakai di Sekolah Kebangsaan (SK) yang mana dilihat ada jurang pencapaian antara kedua-dua jenis sekolah ini.

Beliau berkata, walaupun secara keseluruhan keputusan UPSR tahun ini adalah lebih baik, masih ada perbezaan keputusan dalam kedua-dua mata pelajaran itu antara SK dan SJKC.

"Kita mahu melihat model pembelajaran yang mereka gunakan dan saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran (Tan Sri Alimuddin Mohd Dom) bersama Lembaga Peperiksaan untuk melakukan kajian berhubung perkara ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Republik Indonesia, Fadel Muhammad, di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain perbezaan keputusan mata pelajaran, analisis pencapaian dalam beberapa perkara juga akan dikaji.

"Ia meliputi antara sekolah dengan sekolah, pelajar perempuan dengan lelaki serta sekolah bandar dan luar bandar.

"Jurang ini harus dianalisis bagi memastikan pencapaian yang lebih baik untuk tahun seterusnya walaupun keputusan yang dicapai tahun ini lebih baik, katanya.

Sementara itu, ketika menghadiri majlis makan malam bersama pelajar Malaysia di Indonesia di sini, malam kelmarin, Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan kecemerlangan di kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pengajian tinggi di New Zealand, Australia dan Indonesia, satu hadiah kecemerlangan akan diwujudkan bermula tahun depan.

Anugerah inisiatif TMS Charity Golf Event itu sebagai mengiktiraf kejayaan dicapai pelajar yang menuntut di ketiga-tiga negara berkenaan.

"Anugerah berkenaan bukan semata-mata untuk mereka yang berjaya dalam bidang akademik, malah beberapa bidang berkaitan, iaitu untuk pelajar serba boleh," katanya.

Selain pelajar, majlis dihadiri kira-kira 500 tetamu itu turut disertai pemain yang menyertai TMS Charity Golf Event.

Muhyiddin berkata, beliau berharap hadiah kecemerlangan itu dapat menaikkan semangat di kalangan pelajar untuk memberikan pencapaian yang terbaik.

"Selain sokongan moral, adalah juga penting untuk memberikan sokongan dalam bentuk material bagi membolehkan pelajar menjalankan pelbagai aktiviti.

"Ia kerana selain melanjutkan pelajaran di luar negara, mereka juga bertanggungjawab dalam usaha mempromosi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, selain pembangunan dan kemajuan yang dicapainya," katanya.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menjelaskan kepada pelajar bahawa polisi dan langkah dilaksanakan kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia, bertujuan memperbaiki kehidupan rakyatnya.

Berita Harian Online: 23 November 2009

Ibu bapa patut dibenar rotan anak di sekolah

Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my

Tindakan dianggap lebih berkesan atasi masalah disiplin

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan penjaga perlu diberi kuasa untuk merotan anak yang mempunyai masalah disiplin di sekolah mengikut peraturan dan syarat termasuk dilakukan secara tertutup.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata cadangan itu bukan saja dilihat berkesan dilaksanakan ibu bapa, malah boleh diibaratkan sebagai 'pengiktirafan' kepada mereka.

Beliau memberi tiga sebab cadangan berkenan perlu dilaksanakan iaitu memberi kesedaran kepada ibu bapa atau penjaga mengenai kecuaian mereka tidak memantau kegiatan anak serta boleh juga mengetahui kelakuan (anak mereka).

"Tindakan merotan oleh ibu bapa memberi keinsafan dan kesedaran kepada pelajar. Kita pasti ini memberi kesan mendalam kepada pelajar terbabit berbanding dirotan guru.

"Tidak sepatutnya timbul soal kita mahu mendera anak mereka. Masing-masing, ibu bapa dan guru tahu apa yang dilakukan ini adalah untuk kebaikan pelajar berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dr Mohamad Ali berkata, cadangan itu akan dibentangkan melalui kertas kerja 'Peranan PIBG Membantu Sekolah Dalam Menangani Disiplin' pada seminar anjuran Kementerian Pelajaran 30 November ini di Klang, Selangor.

"Kita pernah mengemukakan cadangan ini beberapa tahun lalu tetapi tidak dibincangkan secara serius. Sekarang, saya berbincang dengan ibu bapa yang mahu perkara ini diketengahkan.

"Hampir 90 peratus ibu bapa yang menghadiri Konvensyen Kebangsaan Menangani Disiplin Pelajar 2007 bersetuju membenarkan hukuman rotan tetapi mengikut peraturan atau syarat tertentu, contohnya tidak dilakukan di khalayak bagi mengelak malu.

"Jika pelajar itu perempuan, ia dilakukan oleh ibu atau penjaga wanita di hadapan guru wanita dan jika mereka sedang dalam haid, hukuman itu perlu ditangguhkan," katanya.

Beliau berkata, hukuman rotan perlu dilakukan kerana dalam Islam sendiri ada mengatakan anak perlu dirotan sekiranya mereka ada melakukan kesalahan, asalkan kita melakukan perkara ini mengikut peraturan, dan dijadikan pilihan terakhir.

Berita Harian Online: 23 November 2009

Guru pertikai bajet tiket percuma habis

SAYA ingin merujuk kepada surat 'Guru Hairan' yang disiarkan ruangan ini baru-baru ini mengenai ketiadaan peruntukan bagi tiket penerbangan percuma kakitangan kerajaan antara wilayah. Saya berasal dari Sarawak, kini berkhidmat di jabatan kerajaan di Putrajaya. Saya juga menghadapi masalah yang sama untuk mendapatkan tiket penerbangan balik ke wilayah asal. Alasan yang diberikan pengurusan adalah tidak munasabah seperti tiada peruntukan, duit bajet habis dan sebagainya. Seperti yang termaktub dalam 'Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 Tahun 2008', Pegawai Kerajaan yang bertukar wilayah layak untuk memohon perkhidmatan ini untuk setahun sekali. Jadi alasan peruntukan tiada atau bajet habis memang satu alasan yang tidak boleh diterima.

JEFFERYSON JANANG,
Putrajaya.

Berita Harian Online: 23 November 2009

Calon SPM, STPM dinasihat pindah


Penduduk kampung menggunakan bot untuk urusan harian setelah jalan ke beberapa buah kampung dekat Setiu tidak dapat dilalui oleh kenderaan akibat dinaiki air, semalam. - BERNAMA


KUALA TERENGGANU 22 Nov. - Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang rumah mereka dilanda banjir dinasihatkan berpindah ke sekolah yang menjadi pusat peperiksaan mereka bagi mengelak daripada tidak dapat menduduki peperiksaan yang sedang berlangsung.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Ariffin Embong berkata, mereka juga boleh berpindah ke rumah ahli keluarga yang tinggal di kawasan yang tidak dilanda banjir.

Menurut beliau, ia merupakan pendekatan yang diambil dalam memastikan pelajar berkenaan dapat menduduki peperiksaan ketika musim banjir.

Katanya, setakat ini beliau menerima laporan hanya sejumlah kecil calon dua peperiksaan utama itu terlibat dalam bencana alam tersebut.

''Saya juga menerima laporan bahawa tiada pusat peperiksaan di negeri ini akan ditutup ekoran banjir setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan jabatan itu bagi membantu calon SPM dan STPM yang mula menduduki kertas peperiksaan masing-masing sejak 18 November lalu ekoran banjir gelombang kedua yang bermula kelmarin.

Ariffin berkata, pihak sekolah yang menjadi pusat peperiksaan telah menyediakan kemudahan bagi membolehkan para pelajar tinggal di sana.

''Saya juga dimaklumkan bahawa masyarakat setempat turut menawarkan khidmat memasak makanan kepada calon-calon yang tinggal di sekolah berkenaan," ujarnya.

Beliau menambah, pusat-pusat peperiksaan juga akan terus beroperasi seperti biasa dan tidak akan menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir.

''Ini kerana kebanyakan sekolah rendah di negeri ini dijadikan pusat pemindahan sementara kepada mangsa-mangsa banjir," katanya.

Utusan Malaysia Online: 23 November 2009

Perkasa aliran kemahiran, vokasional di sekolah

MERUJUK jawapan Kementerian Pelajaran Malaysia bertajuk Kementerian mahu kurangkan kadar keciciran pelajar yang tersiar di ruangan ini pada 17 November 2009, ada dicadangkan supaya aliran vokasional dan aliran asas kemahiran (AAK) diperkenalkan.

Begitu juga syor supaya pendidikan kemahiran ini diperkenalkan lebih awal di tingkatan 1.

Saya berpendapat saranan ini amat tepat dengan tuntutan pendidikan sekarang dan perlu diperkasa segera. Diperkasa di sini bermaksud diperluas dan ditingkatkan keupayaannya agar aliran kemahiran ini mampu menampung bilangan permohonan daripada pelajar yang semakin meningkat jumlahnya. Ini selaras dengan dasar pendidikan wajib yang sering diperkatakan iaitu memberikan pendidikan percuma dari tahun 1 hingga tingkatan 5.

Maksudnya semua pelajar yang memohon ke aliran kemahiran hendaklah diterima sama seperti sekolah harian biasa yang menerima kemasukan pelajar ke tingkatan 4, asalkan memenuhi syarat minimum.

Sungguhpun disarankan pendidikan kemahiran ini dari tingkatan 1, tetapi eloklah diberi keutamaan di peringkat tingkatan 4 terlebih dahulu berdasarkan kepada keperluannya yang begitu mendesak. Pertama, terdapat ramai pelajar lepasan tingkatan 3 yang berminat ke aliran vokasional dan kemahiran tetapi tidak semua permohonan mereka berjaya kerana tempat terhad.

Kedua, berdasarkan tahap pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang rendah, mereka gagal menguasai kemahiran yang sewajarnya untuk membolehkan mereka berupaya mengikuti pelajaran di peringkat yang lebih tinggi aliran akademik di tingkatan 4. Memang ini pun sebenarnya tujuan utama peperiksaan iaitu untuk menguji sejauh mana pelajar mengusai kemahiran yang dipelajari dan menilai kesesuaian mereka melanjutkan pelajaran seterusnya.

Ketiga, di tingkatan 4 inilah peringkat paling sesuai pelajar disalurkan ke aliran yang diminati setelah sembilan tahun mereka mengikuti pendidikan umum dari tahun 1 hingga tingkatan 3.

Oleh itu dasar naik ke tingkatan 4 yang diamalkan sekarang amat perlu dikaji semula. Selama ini sekolah harian biasa dikehendaki menerima pelajar meneruskan pelajaran ke tingkatan 4, walaupun berdasarkan pencapaian PMR ada pelajar yang tidak berkemampuan dan tidak berminat mengikuti aliran akademik.

Akibatnya timbul pelbagai masalah disiplin seperti tidak membuat kerja rumah, bising dalam kelas dan ponteng sekolah walaupun guru telah berusaha sedaya upaya mengajar dengan sabar, jujur dan gigih. Janganlah pula ada pihak dengan mudah menganggap pelajar ponteng kerana guru kurang minat mengajar atau pengajaran guru kurang menarik.

Tidak seperti sekolah pilihan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah kawalan, sekolah elit dan sebagainya yang mensyaratkan hanya pelajar cemerlang PMR layak diterima masuk ke tingkatan 4 di sekolah tersebut, bagi sekolah harian biasa mereka tiada pilihan. Semua pelajar hendaklah diterima masuk. Sebab itulah apabila menilai kecemerlangan sesebuah sekolah, misalnya untuk menetapkan anugerah Sekolah Berprestasi Tinggi, kita tidak boleh samakan tahap pencapaian antara sekolah pilihan tersebut dengan sekolah harian biasa.

Jika sekolah harian biasa berjaya diurus dengan baik, pelajarnya cemerlang dalam kegiatan sukan, persatuan dan pasukan unit uniform, pengurusan kurikulumnya sempurna, guru berdedikasi, pelajar berbudi bahasa, minat pelajar terhadap sekolah meningkat, disiplin terkawal, kadar ponteng telah berjaya dikurangkan, maka sekolah seperti ini adalah sekolah cemerlang dan wajar diberikan anugerah walaupun masih ada segelintir pelajar yang ponteng atau tahap akademiknya di peringkat sederhana.

Bahkan tidak keterlaluan dikatakan sekolah seperti ini lebih cemerlang daripada sekolah pilihan tadi kerana berjaya mengurus sekolah dengan berkesan walaupun pengambilan pelajarnya terdiri daripada pelbagai tahap pencapaian akademik.

Pontian, Johor

Utusan Malaysia Online: 23 November 2009

Guru kecewa tidak dapat tiket kapal terbang percuma

SAYA seorang guru dari Semenanjung yang berkhidmat di Sarawak. Saya ingin meluahkan rasa tidak puas hati mengenai kemudahan mengunjungi wilayah asal (tiket percuma).

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 tahun 2008, melayakkan kami balik ke Semenanjung (tiket percuma) setiap tahun. Sebelum pekeliling Bilangan 22 ini keluar, kami hanya layak mendapat kemudahan ini dua tahun sekali.

Masalah yang timbul ialah saya yang berkhidmat dari tahun 2005 sehingga sekarang tidak pernah menikmati kemudahan ini. Saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk pulang ke kampung, termasuk ahli- ahli keluarga. Saya mempunyai dua orang anak. Masalahnya bukan hanya segelintir, tetapi ramai yang seangkatan dengan saya menerima nasib yang sama.

Cuba bayangkan kalau satu keluarga mempunyai anak yang ramai, maka terpaksalah kami membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk tiket kapal terbang sahaja, sedangkan kerajaan ada menyediakan tiket percuma.

Setiap tahun saya mengisi borang lampiran A untuk mendapatkan tiket percuma tetapi sehingga sekarang tidak pernah menikmati kemudahan ini. Alasan yang diberi oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, ‘peruntukan tidak ada’. Apabila saya hubungi Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), alasan yang sama diberi, ‘tunggu peruntukan’. Saya telah bosan dengan alasan ini dari tahun 2005 hingga sekarang.

Saya hairan adakah benar pihak Kementerian Pelajaran di Putrajaya memperuntukkan wang yang tidak mencukupi pada setiap tahun? Saya ada menghubungi kementerian. Alasan yang diberi ialah masalah pengurusan JPN.

Cuba bayangkan kalau separuh daripada guru di bahagian Kuching tidak dapat kemudahan ini, ke manakah wang ini disalurkan? Ini tidak termasuk di bahagian lain.

Saya berharap masalah ini tidak berlanjutan. Kepada Kementeria Pelajaran di Putrajaya, sila buat pemantauan menyeluruh.

Kuching, Sarawak

Utusan Malaysia Online: 23 November 2009

100 pelajar sekolah ponteng setiap hari

JOHOR BAHRU 22 Nov. - Kira-kira 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail di Kampung Datuk Sulaiman Menteri di sini dikesan ponteng sekolah setiap hari.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Abdullah Abdul Rahim yang bimbang dengan gejala itu menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat setempat dan pihak berkuasa untuk bekerjasama menangani masalah itu.

"Secara purata hampir 100 pelajar di sini ponteng sekolah setiap hari. Sekolah ini mempunyai seramai 2,400 pelajar.

"Masalah ini perlu ditangani bersama, kalau boleh jika ternampak pelajar ponteng, segera kita laporkan sama ada kepada keluarga, sekolah atau pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutup Seminar Budaya Lepak, Maksiat dan Jenayah di sekolah itu di sini semalam.

Seminar itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kawasan sekitar kampung itu dikenal pasti sebagai antara kawasan berisiko tinggi jenayah di negeri ini.

Abdullah berkata, kebanyakan ibu bapa yang ditemui menyatakan tidak mengetahui anak mereka ponteng sekolah.

Menurutnya, ibu bapa sepatutnya memberi lebih perhatian kepada anak-anak terutama golongan remaja kerana dibimbangi mereka terlibat dengan aktiviti tidak sihat.

Jelasnya, terdapat juga kes pelajar ponteng sekolah dengan memberi alasan kepenatan akibat bekerja secara separuh masa di pusat membeli-belah.

Abdullah memberitahu, walaupun pihak sekolah mengeluarkan surat amaran kepada pelajar yang dikesan ponteng, namun dalam beberapa kes, ia dibimbangi tidak sampai kepada keluarga pelajar itu.

"Ada kes yang menunjukkan alamat diberikan tidak betul," katanya.

Dalam pada itu, pengurusan pihak sekolah ketika ditemui enggan memberikan ulasan berhubung perkara itu.

Utusan Malaysia Online: 23 November 2009

Ahad, 22 November 2009

Kementerian bela guru



KERATAN Kosmo! semalam.


SHAH ALAM - Kerajaan sedia mempertahankan Jabatan Pelajaran Negeri Perak serta guru-guru yang dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman RM105 juta oleh tiga bapa mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar pada 26 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedaya upaya akan membantu guru terbabit kerana yakin mereka mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan ketika program perkhemahan itu diadakan.

"Kita terpaksa lawan dan saya pertahankan guru-guru dan Jabatan Pelajaran Negeri yang telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya dalam operasi menyelamat yang melibatkan 500 orang semuanya," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bapa tiga murid yang mati lemas dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta.

Ketiga-tiga mereka, K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan masing-masing ialah bapa kepada mendiang M. Dava Dharshini, 11, V. Divyashree, 12, serta N. Dina Deve, 11.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan dan Pengarah Pelajaran Perak.

Kosmo Online: 22 November 2009

Guru patut dibenar rotan

PUCHONG: Guru seharusnya dibenarkan untuk merotan murid di peringkat sekolah rendah bagi mendisiplinkan pelajar dan memastikan mereka menjadi insan berguna pada masa depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah, berkata ini penting kerana ramai ibu bapa masa ini terlalu memanjakan anak mereka dan menganggap amalan merotan sebagai satu hukuman yang berat.

“Hukuman merotan itu membantu mendisiplinkan murid terutama peringkat sekolah rendah. Malah soal disiplin juga tidak boleh dipandang remeh.

“Ibu bapa harus bertolak ansur sekiranya anak mereka dirotan di sekolah dan tidak sepatutnya mengambil tindakan undang-undang kerana amalan merotan adalah perkara biasa,” katanya, di sini, semalam.

Berita Harian Online: 22 November 2009

Sabtu, 21 November 2009

Mutakhir:Kementerian Pelajaran pertahan warga kerja daripada saman

SHAH ALAM: Kementerian Pelajaran akan mempertahankan warga kementerian yang dinamakan sebagai antara defendan dalam saman difailkan bapa kepada tiga pelajar yang mati lemas dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang pada hujung bulan lalu.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sewaktu program perkhemahan itu dijalankan, ia adalah mengikut peraturan dan ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan kementerian.

"Cuma berkenaan dengan jambatan runtuh itu, kita serahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat siasatan dan seterusnya ambil tindakan sebab jambatan itu bukan dibina oleh Jabatan Pelajaran Negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan ke-55 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini.

Semalam, bapa tiga murid yang mati lemas dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di Kampar pada 26 Oktober lalu, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Ipoh bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan. ]

Antara defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah kerajaan Malaysia, Menteri Pelajaran, Pengarah Pelajaran Perak, Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang di Awan, guru besar SJKT Gopeng dan Pengarah JKR Perak.

Writ saman difailkan melalui firma guaman, Tetuan A. Sivanesan & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Ipoh.

Sivanesan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungkai dari DAP.

Dalam kejadian itu, tiga murid terbabit menyertai 298 murid Tahun Empat, Lima dan Enam dari seluruh Kinta Selatan mengikuti Perkhemahan 1Malaysia selama empat hari di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan.

Dr Mohd Puad berkata kementerian akan memastikan dari semasa ke semasa bahawa ciri-ciri keselamatan program perkhemahan yang dikendalikan oleh pihak swasta terjamin. - Bernama

Berita Harian Online: 21 November 2009

Keluarga mangsa jambatan runtuh tuntut RM105j

IPOH: Keluarga tiga mangsa yang maut dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat KoKurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Kuala Dipang, 26 Oktober lalu, memfailkan saman RM105 juta terhadap kerajaan Malaysia dan 10 yang lain di atas dakwaan kecuaian dalam memastikan keselamatan anak-anak mereka ketika menghadiri Kem 1Malaysia.

Writ saman difailkan oleh K Mageswaran, 46, K Vasudevan, 43, dan T Nathan, 44, kira-kira jam 10.30 pagi di Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, menerusi Tetuan A Sivanesan & Co.

Mageswaran bapa kepada Devatharshini, 11, Vasudevan bapa kepada Divyashree, 12, dan Nathan bapa Dinadevi, 11. Devatharshini dan Dinadevi adalah murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan manakala Divyashree dari SJKT Gopeng.

Mereka turut menamakan Guru Besar SJKT Mambang Di Awan dan SJKT Gopeng, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Pengarah Jabatan Pelajaran Perak, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Komanden Kem 1Malaysia, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Menteri Pelajaran dan dua syarikat iaitu CWL Enterprise serta GS Synergy Sdn Bhd, sebagai defendan.

Berita Harian Online: 21 November 2009

'Permata hati' Baharudin


Murid-murid tahun 6 bersalaman dengan para guru pada hari terakhir sesi cuti persekolahan penggal ketiga di SK Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 20 Nov. - Gayanya mengalahkan seorang selebriti kerana ke mana sahaja Baharudin Abd. Wahid, 56, pergi pasti ada yang ingin bersalaman dengannya.

Meskipun sibuk dengan tugasan hakiki, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram itu tidak pernah menghampakan permintaan anak muridnya yang pelbagai kaum itu untuk bersalaman dengannya.

Baharudin berkata, budaya bersalaman dengan guru mula dipraktikkan di sekolah berkenaan menerusi program Salam Sayang sejak 2006, ketika dia mula bertugas di sekolah tersebut.

''Kalau murid disogok dengan ilmu tanpa menitik beratkan soal modal insan tidak guna juga. Biar kedua-duanya berjalan serentak," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis Permata Gemilang meraikan kejayaan murid dalam Ujian Pencapaian sekolah rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.

Beliau yang lebih 32 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan turut menerapkan program Bijak Sifir, Penulisan Bijak, Satu Hari Satu Karangan dan Perbendaharaan Bergerak demi kejayaan murid-murid sekolah berkenaan.

Katanya, untuk Bijak Sifir, setiap murid dari tahun satu hingga enam harus menghafal sifir dalam bahasa Inggeris dan membacanya di hadapan 33 orang guru.

''Setiap murid ada kad sifir sendiri untuk ditandatangani oleh guru yang dipertanggungjawabkan.

''Murid boleh hafal dan baca di hadapan guru pada bila-bila masa sebelum guru berkenaan menurunkan tandatangan," katanya.

Menurut Baharudin, kesan daripada program tersebut kebanyakan murid lancar sifir kerana masing-masing berlumba untuk memenuhi kad sifir berkenaan.

Untuk program Perbendaharaan Bergerak pula katanya, setiap murid diberi satu perbendaharaan dalam bahasa Inggeris untuk diterjemahkan ke bahasa Melayu.

''Murid tahun satu hingga tiga perlu cari lima perbendaharaan setiap hari dan 10 perbendaharaan sehari untuk murid tahun empat hingga enam.

''Setiap murid kemudiannya bertukar-tukar perbendaharaan dengan rakan-rakan bagi menambahkan bilangan perbendaharaan kata masing-masing," jelasnya.

Beliau berkata, hasil daripada penerapan program berkenaan dan dedikasi para guru, keputusan peperiksaan UPSR tahun ini meningkat lima peratus.

Pada tahun ini seramai 220 murid menduduki UPSR dengan 25 orang memperoleh 5A dan 14 murid mendapat 4A 1B.

Beliau yang sentiasa mengingatkan guru agar mengajar murid ibarat ibu bapa mendidik anak itu sanggup mengeluarkan wang saku sendiri bagi memastikan 'permata hatinya' bersemangat belajar.

''Budak-budak ini perlu motivasi. Kalau kita hargai usaha atau kejayaan mereka, pasti masing-masing bersemangat untuk membuat lebih baik," katanya.

Justeru, walaupun sudah penghujung sesi persekolahan, kehadiran murid-murid di sekolah berkenaan sentiasa penuh kerana masing-masing bersemangat untuk belajar mata pelajaran baru.

Katanya, tiga minggu sebelum cuti sekolah, murid-murid akan diajar dengan mata pelajaran tahun akan datang.

Utusan Malaysia Online: 21 November 2009

SK Permas Jaya 2 kehilangan 'permata'



MAIMUNAH Abdul Majid memotong kek sempena meraikan hari persaraanya sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan Taman Permas Jaya 2, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 20 Nov. - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Jaya 2 di sini pasti merasai kehilangan 'sebutir permata' apabila guru besar mereka, Maimunah Abdul Majid, 56, bersara wajib mulai Rabu lalu.

Sebagai kenangan manis sebelum melangkah pergi, ibu kepada empat cahaya mata itu diraikan dalam satu majlis perpisahan yang sederhana tetapi meriah oleh warga sekolah berkenaan.

Majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti itu turut dihadiri oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Gudang, Supiandi Yusuf.

Pada majlis tersebut, Maimunah turut diumumkan mendapat kenaikan pangkat daripada guru besar DG32 kepada DG34.

Maimunah dalam ucapannya memberitahu, beliau belum mempunyai sebarang perancangan dan memilih untuk berehat selepas berkhidmat dalam kerjaya perguruan sejak 1976.

"Pernah juga terlintas untuk menjadi penulis buku, tetapi semua itu harus difikirkan semula.

"Dalam pada itu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana mengakhiri perpisahan antara kita dengan kenangan yang cukup indah," kata guru lulusan Maktab Perguruan Lembah Pantai dalam Pengajian Inggeris dan Sejarah itu dalam nada sayu.

Beliau berkata, akibat terpengaruh dengan bahan bacaan penyiasatan semasa zaman kanak-kanak, beliau pernah menanam impian untuk menjadi wartawan atau penyiasat persendirian.

"Namun, sudah tertulis bahawa rezeki saya adalah menjadi seorang pendidik. Saya sangat gembira dengan kerjaya ini," katanya.

Anak kelahiran Endau, Mersing itu memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Bukit Besar, Kulaijaya pada 1976 hingga 1981 sebelum menyambung khidmatnya di SMK Perempuan Sultan Ibrahim pada 1982 hingga 1996.

Beliau kemudian berkhidmat di SMK Johor Jaya 1 sebagai guru kaunselor pada 1996 hingga 1998 sebelum meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Majidee Baru di sini pada 2001 hingga Mac 2008.

Kemudian, beliau ditugaskan di SK Kongkong Laut, di sini pada April hingga Jun 2008 sebelum bertugas di SK Taman Permas Jaya 2 sebagai guru besar bermula Julai 2008.

Utusan Malaysia Online: 21 November 2009

Guru berusia hampir separuh abad disyaki cabul murid tahun dua

GEORGETOWN: “Harapkan pagar, pagar makan padi”. Itulah yang berlaku apabila seorang guru yang sepatutnya memberi contoh yang baik kepada pelajarnya, sebaliknya mencalit peristiwa hitam apabila sanggup mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berusia lapan tahun.

Lebih memalukan, guru lelaki berusia 47 tahun itu sanggup bertindak rakus apabila meraba dan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di daerah Seberang Prai Selatan (SPS) itu menjadi mangsa cabul dan seks oral guru sekolahnya, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Wan Abdullah Tuanku Said, mengesahkan kejadian itu.

myMetro: 21 November 2009

Jumaat, 20 November 2009

Gandingan guru bawa kejayaan SK Setiawangsa


MURID cemerlang Sekolah Kebangsaan Setiawangsa bangga menunjukkan slip keputusan peperiksaan UPSR mereka, semalam. - UTUSAN/ Mohd. Naim Aziz


KUALA LUMPUR 19 Nov. - Gandingan guru berpengalaman menjadi resipi kepada kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa di sini yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Seramai 94 muridnya mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut, yang terbanyak dalam satu sekolah di Wilayah Persekutuan.

Guru Penolong Kanan Satu (1) sekolah itu, Siti Rokiah Salleh, 51, berkata, pendekatan itu berjaya memastikan pelajar mereka mendapat bimbingan terbaik sebelum menghadapi UPSR.

"Cara ini ternyata membuahkan hasil kepada kami sejak tahun lepas lagi, yang mana seramai 118 murid mendapat 5A.

"Pencapaian ini bermakna SK Setiawangsa berjaya mengungguli sebagai sekolah paling ramai 5A buat tahun kedua berturut-turut,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tempat kedua dalam kategori itu ialah SK Bukit Damansara dengan 80 murid dan SK Taman Tun Dr. Ismail 1 (76 orang).

Namun, SK Bukit Damansara diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Terbaik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik dengan catatan 1.31.

Siti Rokiah berkata, mereka merancang untuk mengekalkan prestasi itu pada tahun hadapan.

"Kami tidak akan leka dengan kejayaan ini kerana bagi saya untuk mencipta kejayaan lebih mudah berbanding mempertahankannya,'' jelasnya.

Sementara itu, murid yang mendapat 5A amat gembira dengan pencapaian mereka.

Bagi Nur Sabrina Madzney, 12, dia pada mulanya tidak yakin mendapat 5A memandangkan sedikit lemah di dalam mata pelajaran Sains.

"Namun galakan ibu bapa memberikan saya semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan saya ini ditujukan kepada mereka,'' katanya.

Aleena Mokhtar Khairun, 12, pula menyifatkan kelas tambahan di sekolah dan tuisyen banyak membantu kejayaannya.

"Saya memang bersungguh-sungguh mahukan keputusan seperti hari ini dan berusaha mencapainya sejak mula lagi," kata nya.

Hasnol Hadi Hakimi, 12, pula berkata, guru dan ibu bapanya yang harus diberikan penghargaan kerana kejayaannya itu.

"Diharapkan ini langkah pertama dalam mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang doktor," katanya.

Utusan Malaysia Online: 20 November 2009

48,171 gred A

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my


PELAJAR Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 4 mendapat imbuhan tunai RM100 selepas memperoleh 5A dalam UPSR di Kota Bharu, semalam.

Jurang perbezaan antara calon luar bandar, bandar mengecil

PUTRAJAYA: Seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh gred A atau cemerlang bagi semua mata pelajaran tahun ini berbanding 46,641 calon tahun lalu, meningkat 0.32 peratus.

Baki 319,336 calon memperoleh minimum gred C atau baik bagi semua mata pelajaran, manakala 3,266 lagi memperoleh gred E atau sangat lemah bagi semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pencapaian diukur berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) yang menggunakan indeks cemerlang (semua A), baik (minimum C) dan sangat lemah (semua E).

GPN adalah indeks yang digunakan bagi merumus pencapaian keseluruhan calon dalam peperiksaan serta ia dihitung berdasarkan lima gred pernyataan iaitu gred A (satu), B (dua), C (tiga) dan D (empat) dan E (lima).

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN meningkat sebanyak satu peratus tahun ini. Cemerlang (semua A) meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding 9.19 peratus tahun lalu dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian baik (minimum C) meningkat 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan 0.47 peratus, manakala pencapaian lemah (semua E) menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini, semalam.

Seramai 517,908 calon berdaftar menduduki UPSR tahun ini 8 hingga 10 September lalu. Daripada jumlah itu, 510,125 adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, manakala 7,783 adalah calon sekolah swasta.

Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga menunjukkan peningkatan, malah jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar kini semakin berkurangan.

"Perbezaan bilangan calon bandar dan luar bandar mendapat gred A bagi semua mata pelajaran tahun ini ialah 3.64 peratus atau 14,980 calon berbanding 4.22 peratus atau 16,241 calon tahun lalu.

"Begitu juga perbezaan nilai GPN bagi murid di kawasan bandar dan luar bandar bagi tahun ini adalah lebih kecil, iaitu 0.2 berbanding 0.22 tahun lalu," katanya.

Mengenai calon istimewa, Alimuddin berkata, 1,086 calon istimewa mengambil UPSR tahun ini, iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu, iaitu 664 calon.

Daripada jumlah itu, 13 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran, 11 (gred C) dan 59 (gred E).

Mengulas pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini, Alimuddin berkata, secara keseluruhan ia menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara berada di landasan yang baik.

"UPSR diadakan bertujuan mengukur tahap penguasaan murid membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M).

"Maklumat diperoleh dijadikan petunjuk sejauh mana tahap penguasaan mereka dalam mata pelajaran yang ditawarkan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah," katanya.

Dari segi mata pelajaran, Bahasa Tamil menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi, iaitu sebanyak 3.6 peratus dan Matematik yang meningkat 4.2 peratus.

Berita Harian Online: 20 November 2009

Utara: Kes pecah cermin kereta makin membimbangkan

Oleh Fauzi Rahim Mustafa
bhnews@bharian.com.my

SUNGAI PETANI: Kira-kira 100 penghuni Kuarters Institut Pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim, di Jalan Kolam Air, di sini, bimbang berikutan kejadian kes pecah cermin kereta milik mereka yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Mereka mendakwa, kejadian itu berlaku sejak kuarters berkenaan mula diduduki pada 2005 yang menempatkan lebih 20 keluarga.

Dalam kejadian terbaru, dua kenderaan milik penghuni di situ menjadi sasaran pencuri yang memecahkan cermin kereta bagi mengambil barang berharga yang diletakkan di dalam kenderaan itu.

Mangsa, Mohd Nasrol Abd Ghani, 27, berkata kejadian itu adalah pertama kali dialaminya sejak empat tahun menduduki kuarters berkenaan.

“Sebelum ini ada rakan yang tinggal di sini menjadi mangsa dan tidak menyangka kali ini kereta saya pula dijadikan sasaran.

“Walaupun mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memasang alat penggera keselamatan, jenayah itu tetap berlaku,” katanya.

Katanya, cermin kereta miliknya dipercayai dipecah pencuri pada awal pagi dan hanya disedari kira-kira jam 8 pagi.

Bagaimanapun, kata Mohd Nasrol, tiada barangan berharga yang hilang daripada keretanya melainkan beberapa dokumen didapati berselerak berdekatan keretanya.

“Saya mengalami kerugian lebih RM200 untuk menukar cermin yang dipecahkan, namun bernasib baik tidak kehilangan kenderaan seperti pernah dialami seorang jiran yang kecurian keretanya awal Januari lalu," katanya.

Seorang lagi mangsa, Nazri Hassan, 54, berkata cermin keretanya sudah dua kali dipecahkan walaupun memasang alat penggera keselamatan.

“Walaupun kerugian kali ini lebih RM200, berbanding kejadian pertama dulu lebih RM2,000, saya bimbang mengenai tahap keselamatan harta benda kami.

“Penghuni di sini terkilan kerana tiada tindakan berkesan oleh pihak berkaitan berkenaan infrastruktur kuarters yang daif terutama lampu jalan dan pagar keselamatan walaupun sudah diberitahu.

“Kami juga berharap dan memohon jasa baik polis agar meronda lebih kerap di kawasan ini bagi mencegah kejadian daripada berulang,” katanya.

Berita Harian Online: 20 November 2009

Khamis, 19 November 2009

140 calon SPM dikuarantin sejam

Oleh Betty Subaryatti
bhkb@bharian.com.my

Pelajar dilarang keluar dewan peperiksaan akibat terputus bekalan elektrik

KOTA BHARU: Seramai 140 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ahmad Maher di sini dikuarantin sejam apabila bekalan elektrik terputus.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Abd Rahman, berkata gangguan bekalan elektrik itu berlaku jam 7.45 pagi, sebaik semua calon memasuki dewan untuk menduduki peperiksaan yang bermula jam 8 pagi.

"Pelajar tidak dibenar meninggalkan dewan kerana pada masa sama calon di seluruh negara mula menjawab kertas soalan.

"Calon di SMK Datuk Ahmad Maher menduduki peperiksaan jam 9 pagi, sebaik bekalan elektrik pulih. Kejadian ini tidak menjejaskan SPM yang bermula hari ini," katanya selepas melawat dua calon SPM yang menduduki peperiksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Dua pelajar terbabit antara 11 calon negeri ini yang menduduki SPM di hospital termasuk empat lagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu; dan masing-masing dua di Hospital Pakar Perdana dan Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh. Calon itu masuk wad kerana terbabit kemalangan atau masalah kesihatan lain.

"Seramai 11 calon menduduki peperiksaan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang. Meskipun dalam tahanan, mereka tetap diberi peluang bagi memastikan dapat menduduki SPM dengan lancar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ghazali berkata, JPN menyediakan pusat peperiksaan alternatif di kawasan sering ditenggelami banjir.

"Kita juga meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), Angkatan Relawan Malaysia (Rela) dan polis membantu calon yang terperangkap dalam banjir.

Berita Harian Online: 19 November 2009

JPN lanjut operasi pastikan peperiksaan lancar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran melanjutkan waktu operasi Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) seluruh negara dari jam 6.45 pagi hingga 7 malam sepanjang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bilik operasi Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) di Kementerian Pelajaran beroperasi 24 jam bagi memberi maklumat kepada ibu bapa dan pelajar mengenai perjalanan peperiksaan, kertas soalan mahupun banjir.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kemudahan itu bagi memastikan pelajar menduduki peperiksaan dengan sempurna tanpa walaupun ketika banjir.

"Tujuan kementerian mengarahkan JPN melanjutkan waktu operasi bagi membolehkan ibu bapa bertanya dan mengetahui maklumat lanjut berkaitan anak mereka yang menduduki peperiksaan terutamanya di kawasan dilanda banjir.

"JPN yang diutamakan melanjutkan operasinya adalah di negeri yang dilanda banjir ataupun berkemungkinan dilanda banjir.

"Taklimat juga sudah diberikan kepada pengetua mengenai operasi payung," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sebelum itu Mohd Puad ditemani Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimudin Md Dom, melawat calon SPM yang menduduki hari pertama peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai, di sini.

Semalam, 465,895 calon SPM seluruh negara menduduki peperiksaan itu membabitkan kira-kira 3,569 pusat peperiksaan. Selangor mencatat calon paling ramai iaitu 70,290.

Daripada jumlah itu, seramai 131 calon dari SMK Alor Pongsu, Perak, terpaksa menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Teknik Kerian, ekoran banjir yang melanda.

Sehingga kini hanya 131 calon dipindahkan ke pusat peperiksaan lain. Kementerian berterima kasih kepada kerajaan Perak, Terengganu dan Kedah yang memberi kerjasama membantu sekolah dan pelajar ketika banjir.

Berita Harian Online: 19 November 2009

Banjir: Sekolah perlu sediakan bilik alternatif

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kementerian Pelajaran meminta semua sekolah menyediakan pusat peperiksaan alternatif untuk calon peperiksaan SPM sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada pengetua sekiranya sekolah terpaksa ditutup memandangkan ancaman banjir masih berlaku terutamanya di Perak.

Selain itu, katanya, pihak sekolah juga telah dimaklumkan supaya mengambil langkah awal dengan menyediakan bilik peperiksaan di tingkat satu terutamanya di kawasan yang mudah dinaiki air.

"Jabatan Pelajaran Negeri juga telah diminta beroperasi seawal 6.45 pagi hingga 7 petang bagi membolehkan ibu bapa bertanya mengenai perkembangan perjalanan peperiksaan.

"Kita juga telah memberikan taklimat kepada semua pihak terutama pengetua tentang garis panduan Operasi Payung untuk menghadapi ancaman banjir ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau perjalanan hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai, Kampung Kerinchi di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak dan Ketua Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr. Salbiah Ismail.

Seramai 465,853 calon menduduki SPM tahun ini di 3,569 pusat peperiksaan di seluruh negara. Selangor mempunyai bilangan calon paling ramai iaitu sebanyak 70,290 orang.

Mengenai keadaan banjir di Perak, Mohd. Puad memberitahu, semua 131 calon SMK Alor Pongsu telah dipindahkan ke asrama SMK Teknik Kerian bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan di situ.

Jelasnya, ini berikutan calon-calon tersebut menghadapi kesukaran untuk datang ke pusat peperiksaan disebabkan rumah mereka telah dinaiki air.

Mengenai persediaan menghadapi penularan selesema babi atau influenza A (H1N1) ketika musim peperiksaan, katanya, pihak kementerian telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan penutup mulut dan hidung, pencuci tangan dan jangka suhu untuk mengimbas suhu badan sekiranya ada tanda-tanda jangkitan.

Mohd. Puad memberitahu, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai calon SPM dijangkiti H1N1.

"Sekiranya terdapat calon mempunyai simptom penyakit berjangkit ini mereka akan diasingkan atau dimasukkan ke hospital.

"Calon-calon ini nanti akan dibenarkan untuk mengambil peperiksaan di sana ," ujarnya.

Beliau berharap calon-calon SPM akan dapat menjawab soalan peperiksaan tanpa sebarang masalah.

Utusan Malaysia Online: 19 November 2009

Rabu, 18 November 2009

Guru muda berpeluang jadi pengetua

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa kepada perubahan kenaikan pangkat pengetua dan guru besar.

Idea orang muda lebih ke depan?
Bagaimanapun, guru senior tidak harus dilupakan kerana gabungan kedua-duanya jamin kecemerlangan


BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa kepada perubahan kenaikan pangkat pengetua dan guru besar.

Kini ia tidak lagi tertakluk kepada faktor kekananan, tetapi mengambil kira pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata, enam teras NKRA ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan meliputi agenda kerajaan menawarkan ba'iah baru kepada pengetua serta guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan KPI sekolah masing-masing.

Alimuddin berkata, antara elemen utama dalam KPI peringkat sekolah rendah ialah semua murid normal yang bersekolah dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) sebelum memasuki tahun empat, sasaran 100 peratus murid celik huruf serta kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

Di peringkat sekolah menengah, KPI akan menumpukan perhatian antara lain kepada bidang kebitaraan (nitch area) masing-masing serta kejayaan yang dicapai termasuk peringkat antarabangsa.

Ramai menyokong dasar itu kerana sudah sampai masanya perubahan baru dilakukan bagi memantapkan sistem pendidikan di negara ini.

Namun, sejauh mana pelaksanaan dasar itu membantu dalam pentadbiran dan kecemerlangan sekolah?

Apakah faktor kekananan yang diguna pakai selama ini tidak efektif dalam pemilihan pengetua dan guru besar sehingga ia perlu dirombak?

Selain itu, tidakkah dengan pelaksanaan dasar ini akan memberi impak negatif terutama kepada guru senior?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata kaedah baru pelantikan pengetua dan guru besar itu satu langkah yang baik.

Beliau berkata, langkah itu memastikan sesiapa yang dipilih menerajui sesebuah sekolah adalah mereka yang cemerlang dan mempunyai rekod yang baik.

"Kemampuan seseorang dalam menerajui sebuah institusi pendidikan terutama sekolah adalah penting kerana ia ibarat tonik kepada kecemerlangan pelajar dan sekolah.

"Jadi, dasar ini akan mewujudkan lebih banyak sekolah cemerlang dan setaraf dengan sekolah bertaraf dunia.

"Namun, faktor kekananan yang diguna pakai sekarang tidak perlu diluputkan sebaliknya digabungkan dengan pelaksanaan dasar baru ini iaitu cemerlang dan berpengalaman," katanya.

Azam berkata, faktor kekananan yang diguna pakai selama ini bagus, tetapi sudah sampai masanya ia perlu diubah.

"Jika dilihat, menerusi faktor kekananan ini, seseorang pengetua dan guru besar itu dilantik berlandaskan senioriti dan tempoh perkhidmatannya.

"Jadi, walaupun tidak punya KPI yang tinggi atau cemerlang, mereka boleh memegang jawatan itu.

"Ia akan menafikan hak mereka yang cemerlang dan mampu menaikkan prestasi sekolah," katanya.

Faktor itu, katanya, sangat merugikan bukan saja kepada masa depan sekolah dan pelajar, tetapi pendidikan negara.

"Seseorang yang cemerlang pastinya mempunyai visi dan misi. Jika tidak mendapat peluang hanya kerana tempoh perkhidmatan, sedangkan mereka layak, kita kerugian.

"Justeru, jika mereka diberi peluang menjadi pengetua atau guru besar, potensi sesebuah sekolah lebih cemerlang amat besar," katanya.

Sudah lumrah, sesuatu dasar yang diubah pastinya ada kebaikan dan keburukan.

Perkara itu dipersetujui Azam kerana sesuatu dasar itu perlu diubah mengikut perkembangan semasa.

"Kita sudah lama merdeka dan perlukan perubahan.

"Perubahan ini tidak merugikan sesiapa sebaliknya memberi keuntungan terutama dalam meningkatkan prestasi sekolah," katanya.

Menurutnya, perubahan itu akan menjadikan sektor pendidikan di negara ini setaraf dengan sekolah di luar negara.

Sebagai guru yang 32 tahun menjadi pendidik, Azam meminta pelaksanaan dasar ini tidak meninggalkan kesan yang negatif kepada sesiapa terutama guru.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata perubahan itu adalah tindakan yang bagus.

"Seseorang pengetua atau guru besar perlu mempunyai kecemerlangan kerana ia adalah jaminan kepada sebuah sekolah yang terbaik.

"Mereka yang dilantik juga perlu mempunyai kepemimpinan dan kreativiti yang tinggi selain pemikiran baru bagi menaikkan taraf pendidikan di negara ini," katanya.

Menurutnya, jika guru muda berkemampuan dan cemerlang, mereka boleh dilantik menjadi guru besar atau pengetua.

"Kini, ramai orang muda yang mempunyai kebolehan terutama pentadbir yang baik. Idea mereka kadangkala lebih ke hadapan untuk menjulang kecemerlangan sekolah.

"Secara tidak langsung, ia suatu motivasi kepada sesiapa saja untuk membuktikan kecemerlangan dan dilantik kerusi nombor satu di sekolah," katanya.

Katanya, jika orang muda dilantik sebagai pengetua atau guru besar, jangan pula melupakan guru berpengalaman atau senior kerana gabungan kedua-duanya menjamin kecemerlangan sekolah berterusan.

myMetro: 18 November 2009

Guru hairan peruntukan tiket penerbangan tak cukup

SAYA berkhidmat di Sarawak, namun berdepan dengan masalah mendapatkan kemudahan yang disediakan kerajaan iaitu mengunjungi wilayah asal membabitkan tiket penerbangan percuma.

Pekeliling perkhidmatan Bil 22 (2008), melayakkan guru balik ke Semenanjung dengan tiket penerbangan percuma setiap tahun. Sebelum pekeliling itu, kami hanya layak dua tahun sekali.

Untuk pengetahuan, saya yang berkhidmat sejak 2005 hingga kini belum pernah menikmati kemudahan berkenaan.

Saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk pulang ke kampung bersama ahli keluarga.

Setiap tahun saya mengisi borang lampiran A untuk mendapatkan tiket percuma tetapi sehingga sekarang tidak pernah menikmati kemudahan berkenaan.

Alasan yang diberikan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuching, ialah peruntukan tidak ada. Apabila saya hubungi Jabatan Pelajaran Negeri alasan sama diberikan iaitu tunggu peruntukan.

Saya bosan dengan alasan itu dari 2005 hingga kini. Pada tahun ini, saya tidak menerima surat daripada PPD Kuching, sedangkan cuti sekolah tinggal beberapa hari lagi.

Saya hairan adakah benar Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukan mencukupi pada setiap tahun?

Saya ada menghubungi Kementerian Pelajaran di Putrajaya, namun alasan yang diberi ialah ia masalah JPN.

Cuba bayangkan kalau separuh daripada guru di Kuching tidak dapat kemudahan ini, ke manakah wang itu disalurkan. Ini tidak termasuk di bahagian lain.

Saya berharap masalah ini tidak berlanjutan, kepada Kementerian Pelajaran di Putrajaya sila buat pemantauan menyeluruh supaya semua pihak mendapat keadilan.

MUADDIB,
Kuching, Sarawak.


Berita Harian Online: 18 November 2009

Sayangi Sekolah: Sekolah Impian Sabah

Oleh Basir Zahrom

SMK Tawau utamakan budaya ilmu, keterampilan

PEMBUDAYAAN ilmu dan berketerampilan menjadi fokus utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, Sabah, dalam usahanya melahirkan modal insan seimbang baik dari segi pengetahuan mahupun keperibadian.

Sehubungan itu, warga sekolah di daerah terkenal dengan jolokan ‘bumi peladang’ itu sentiasa mengamalkan budaya belajar, kerja dan pengurusan selaras dengan cogan katanya Sentiasa Menuju Kecemerlangan Terunggul.

Selaras dengan matlamat ingin melahirkan insan mencintai, menghayati, mengamalkan ilmu serta menyemai semangat cinta agama, negara, sahsiah diri dan kecemerlangan, kini nama SMK Tawau sebaris sekolah cemerlang lain.

Di bawah pimpinan Pengetuanya, Juriah Ahmad, sekolah itu terus meraih kecemerlangan baik dalam aspek akademik, kokurikulum mahupun sahsiah pelajarnya.

Beliau berpendapat, kejayaan sesebuah sekolah bukan bergantung kepada prasarana pendidikan sempurna dan tenaga pengajar cemerlang, tetapi lebih kepada sikap prihatin, selalu turun padang serta motivasi terutama di kalangan barisan pentadbirnya.

Katanya, Jabatan Pelajaran Sabah tidak tersilap percaturan memilih sekolah itu sebagai Sekolah Impian di negeri berkenaan tiga tahun lalu apabila SMK Tawau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Harian Bandar daripada Kementerian Pelajaran, baru-baru ini.

“Selain itu, sekolah ini juga merangkul Anugerah Khas Tokoh Nilam Kategori Sekolah Menengah Bandar Peringkat Daerah dan Anugerah Khas Pengurusan Nilam Cemerlang 2009 Kategori Sekolah Menengah Bandar, baru-baru ini.

“Dari segi akademik, prestasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia tahun lalu sangat memberangsangkan dengan kelulusan 100 peratus, Sijil Pelajaran Malaysia (98 peratus) dan Penilaian Menegah Rendah (83.2 peratus),” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Sebagai penerima Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (2007/2008) Peringkat Negeri Kategori Penghijauan Sekolah, SMK Tawau terkenal bukan saja dengan keindahan landskapnya, malah menerusi aktiviti kokurikulum, terutama pasukan unit beruniform.

Juriah menjelaskan, Pasukan Kor Kadet Polis sekolah itu sinonim sebagai pasukan terbaik di Tawau dan keunggulannya terserlah apabila menjadi Naib Johan Kawad Peringkat Negeri.

Selain berbangga dengan pencapaian sukan peringkat kebangsaan dalam permainan seperti skuasy, badminton dan bola jaring, sekolah itu tidak kurang hebatnya apabila berjaya mengekalkan gelaran Johan Olahraga Peringkat Daerah Tawau tiga tahun berturut-turut sejak 2007.

“Penyertaan peringkat antarabangsa bagi kelab dan persatuan dalam Pertandingan Australia Mathematics Competition turut menyuntik semangat warga sekolah mencapai visi menjadi antara sekolah terbaik di Sabah tahun depan.

“Semua kejayaan dikecapi sekolah ini bertitik tolak daripada penggemblengan tenaga semua warganya, kerjasama serta semangat 1Malaysia bagi melonjakkan prestasi sekolah ini.

“Kini, dengan azam tinggi, SMK Tawau akan terus mengorak langkah menggapai harapan menjadi sekolah pilihan utama bagi insan yang ingin mendapatkan kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.

INFO: Kejayaan SMK Tawau

  • Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Harian Bandar Kementerian Pelajaran 2009
  • Sekolah Impian Sabah
  • Anugerah Khas Tokoh Nilam Kategori Sekolah Menengah Bandar Peringkat Daerah
  • Anugerah Khas Pengurusan Nilam Cemerlang 2009 Kategori Sekolah Menengah Bandar
  • Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (2007/2008) Peringkat Negeri Kategori Penghijauan Sekolah
  • Naib Johan Kawad Peringkat Negeri.
  • Johan Olahraga Peringkat Daerah Tawau tiga tahun berturut-turut sejak 2007
  • Penyertaan antarabangsa bagi kelab dan persatuan dalam Pertandingan Australia Mathematics Competition
Berita Harian Online: 18 November 2009

Sayangi Sekolah: Pendidikan khas

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


KURSUS Kimpalan dan Fabrikasi Logam antara pilihan pelajar lelaki SMPKV Shah Alam.

SMPKV Shah Alam berjaya lahir pelajar istimewa berkemahiran

SEKOLAH Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam (SMPKV Shah Alam) satu-satunya sekolah bagi pelajar bermasalah pendengaran mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Pelajar diberi 11 pilihan kursus vokasional diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia serta melayakkan mereka mendapat SKM Tahap Satu apabila tamat Tingkatan Lima.

Pengetuanya, Jalaluddin Yusof, berkata antara kursus vokasional pilihan kebanyakan pelajar sekolah itu adalah Lukisan Batik, Pembinaan Bangunan, Jahitan, Juruteknik Elektrikal serta Mekanik Penyejukan dan Penyaman Udara.

Katanya, bagi memastikan pelajar benar-benar dapat berdikari menggunakan kemahiran dimiliki, kursus Asas Perdagangan diperkenalkan mulai tahun ini sebagai tambahan kepada lapan kursus asas wajib sedia ada.

Menerusi pendedahan seperti cara membuka syarikat, memohon pinjaman dan membuat surat rasmi dalam kursus baru itu, katanya, diharap menyuntik minat dan keyakinan pelajar untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya.

LUKISAN batik antara kursus vokasional popular di SMPKV Shah Alam.

“Program kemahiran dijalankan di sekolah ini sejak 22 tahun lalu terbukti berjaya melahirkan tenaga mahir di kalangan pelajar istimewa dan mereka mudah mendapat pekerjaan terutama di syarikat pengeluar barangan elektrik.

“Namun, kami dapati, golongan istimewa ini menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan pekerja lain menyebabkan mereka kerap menukar pekerjaan.

“Pengenalan kursus baru ini diharap dapat menggalakkan mereka membuka perniagaan sendiri menggunakan kemahiran dimiliki sebagai alternatif kepada kerja makan gaji,” katanya.

Jalaluddin berkata mengambil kira ketidakupayaan pelajar terbabit, kursus SKM yang lazimnya dilaksana selama enam bulan di pusat latihan bertauliah mengambil tempoh dua tahun untuk dijalani pelajar sekolah berkenaan.

ANTARA hasil seni bina landskap pelajar bermasalah pendengaran.

Katanya, menerusi tempoh latihan yang lebih lama itu, pelajar bukan saja mengikuti silibus ditetapkan SKM, malah turut didedahkan kepada pengetahuan asas berkaitan.

“Misi SMPKV Shah Alam adalah menghasilkan pelajar istimewa berkemahiran dan mampu berdikari menerusi latihan berkualiti, justeru, pelajar dengan keputusan 8E dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah juga diterima ke sekolah ini bagi membantu mereka

“Pelaksanaan program SKM diubahsuai mengikut keupayaan mereka termasuk kemahiran asas dalam program diikuti, contohnya, pelajar mengikuti kursus Lukisan Batik akan diajar menggunakan strok lukisan tertentu sebelum mereka dilatih melukis dan mewarnakan batik di atas fabrik,” katanya.

Jalaluddin berkata kira-kira 150 pelajar berjaya menamatkan program SKM di sekolah itu setiap tahun dan kebanyakan mereka terus bekerja sementara sebahagiannya melanjutkan pelajaran ke politeknik atau pusat latihan bertauliah seperti Institut Latihan Perindustrian.

Katanya, kejayaan meraih Anugerah Sekolah Cemerlang 2009 Kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas daripada Kementerian Pelajaran baru-baru ini menjadi dorongan bagi sekolah terus meningkatkan kualiti latihan dengan menaiktaraf kemudahan dan infrastruktur.

Antara lain, katanya, beberapa blok baru bengkel latihan akan dibina selain pembelian mesin jahit industri bagi menggantikan penggunaan mesin jahit domestik digunakan dalam kursus jahitan ketika ini.

Berita Harian Online: 18 November 2009