Selasa, 31 Ogos 2010

Polis siasat guru power

2010/08/31

JOHOR BAHRU: Polis sudah menjalankan siasatan terhadap aduan bapa seorang pelajar berkaitan tindakan seorang ketua guru disiplin sebuah sekolah di sini, yang didakwa mengedarkan risalah ubat perangsang seks kepada pelajar terbabit, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata pihaknya yang menerima aduan berkenaan juga bakal mendapatkan maklumat daripada Jabatan Pelajaran Johor bagi menyiasat perkara itu.


“Selain Jabatan Pelajaran Johor, polis turut merujuk aduan berkenaan kepada Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan bagi mengenal pasti sama ada produk yang didakwa diedar oleh guru itu mempunyai kelulusan.


“Kami juga akan mengambil keterangan daripada pengadu dan guru berkenaan,” katanya mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam berkaitan guru disiplin didakwa mengedar risalah ubat perangsang seks kepada pelajarnya.

myMetro: 31 Ogos 2010

Isnin, 30 Ogos 2010

Apa beza graduan perguruan IPTA, maktab

2010/08/30

SAYA mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) mewakili mahasiswa Sarjana Muda Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ingin memohon penjelasan mengenai beberapa aspek yang menjadi jurang perbezaan antara pelajar pendidikan IPTA dengan IPGM (Institut Perguruan Malaysia) yang lebih dikenali maktab perguruan.

Perkara paling penting iaitu berkenaan pembayaran elaun. Kita sedia maklum, hanya pelajar IPGM saja yang menerima pembayaran elaun, manakala tidak bagi pelajar IPTA. Mengapa? Memang benar pelajar IPTA ada yang menerima biasiswa perguruan persekutuan dan biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Namun tidak semua yang dapat menikmatinya. Pelajar yang gagal memperoleh dua biasiswa berkenaan pula sukar memperoleh biasiswa lain termasuk biasiswa JPA, kerana skop pembelajaran kami hanya untuk menjadi seorang guru dan sukar berkerja dengan badan swasta yang menawarkan biasiswa.
Selain itu, pandangan masyarakat termasuk guru sekolah yang kurang yakin dengan graduan pendidikan selain graduan lepasan IPGM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga satu masalah perlu dipandang serius.

Mahasiswa selain UPSI juga melalui prosedur pemilihan yang sama, iaitu perlu mendapat keputusan cemerlang, lulus MEdSI (Malaysian Educators Selection Inventori), dan lulus temu duga.

Malah berapa ramai antara kita yang sedar terdapat 14 IPTA dari 20 IPTA yang menawarkan kursus pendidikan? Masyarakat pada umumnya hanya mempercayai UPSI dan KPLI/DPLI adalah satu-satunya jalan untuk menjadi seorang guru sekolah menengah. Mengapa keadaan ini boleh berlaku?

MOHAMMAD FIRUS ROSOOL GANI, Yang Di-Pertua
Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) UUM

Berita Harian Online: 30 Ogos 2010

Guru disiplin promosi ubat seks

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/08/30

JOHOR BAHRU: ‘Cikgu Power.’ Itu gelaran untuk seorang ketua guru disiplin yang didakwa bukan saja memiliki laman web menjual ubat perangsang seks, malah sanggup mempromosikan produk terbabit kepada pelajar sebuah sekolah menengah di bandar raya ini.

PROMOSI...laman web milik guru terbabit.
PROMOSI...laman web milik guru terbabit.
Guru lelaki berusia 30-an itu menjadi pengedar ubat kuat menerusi laman web di Internet dan turut cuba mempengaruhi pelajar sekolah itu menjadi pelanggannya menerusi pengedaran risalah secara berleluasa.

Dia juga didakwa berkongsi pengalaman penggunaan produk perangsang seks itu bersama pelajar sekolah sebelum perbuatannya terbongkar.

Bapa pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Min berkata, dia terkilan apabila mengetahui ketua guru disiplin itu penjual ubat kuat seks dan memiliki laman web sendiri bagi mempromosikan barangan berkenaan.

“Lebih mengejutkan, guru itu sanggup memaparkan gambarnya di laman web itu tanpa memikirkan kesan negatifnya terhadap profesion perguruan dan mencalarkan imej serta nama baik sekolah.

“Dia sepatutnya menjadi contoh baik dan bukan memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual produk seumpama itu,” katanya di sini, semalam.

Min mula menyedari perbuatan tidak bertanggungjawab guru itu selepas mendapati anaknya yang belajar di sekolah itu membawa pulang beberapa risalah bertajuk ‘Abang Best’.

“Saya terkejut kerana laman web produk itu yang tercatat pada risalah memang wujud dan ia bertujuan mempromosikan sejenis gel bagi mengatasi masalah ejakulasi pramatang.

“Laman web itu amat tidak sesuai bagi tatapan pelajar kerana ia boleh membawa pengaruh buruk dan penularan gejala sosial,” katanya yang berharap guru terbabit dikenakan tindakan bagi mengelak perbuatannya berterusan.

“Saya berharap Jabatan Pelajaran Johor memandang serius perkara itu,” katanya.

Ibu bapa pelajar sekolah itu juga ada membuat laporan di Balai Polis Skudai di sini, pada 16 Ogos lalu selain mengemukakan aduan kepada pihak pengurusan sekolah.

Aduan turut dikemukakan di Jabatan Pelajaran Johor selain Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Sufa’at Tumin, berkata pihaknya menerima aduan ibu bapa pelajar berkaitan dakwaan terhadap guru terbabit dan siasatan terhadap guru itu dijalankan.

“Kami perlu meneliti pekeliling pelantikan jawatan sebagai guru sama ada membenarkan seseorang untuk berniaga di luar. Kami juga akan menyiasat dakwaan yang menyatakan guru terbabit cuba mempengaruhi pelajar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

myMetro: 30 Ogos 2010

Contohi keunikan SJKC Chen Sin



Hajiji Noor (dua kiri) bersama guru dan murid SJKC Chen Sin menyanyikan lagu 1Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan sekolah berkenaan di Tuaran, semalam.


TUARAN 29 Ogos - Keunikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Sin yang berjaya menghimpunkan pelbagai kaum di bawah satu sekolah wajar dicontohi kerana ia melambangkan aspirasi gagasan 1Malaysia sebenar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor berkata, walaupun SJKC merupakan sebuah sekolah Cina, tetapi 80 peratus daripada murid sekolah berkenaan merupakan kaum bumiputera.

"Ia bukan sahaja unik tetapi sesuatu yang boleh kita banggakan. Diharap ini akan mengeratkan perpaduan dan menghapuskan jurang pemisah di antara kaum," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman berkata demikian ketika menghadiri sambutan kemerdekaan di sekolah berkenaan di sini, semalam

Hadir sama Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJKC Chen Sin, Frankie Goh; Guru Besar sekolah berkenaan, Tan Wing Wah dan Pegawai Pelajaran Daerah, Tah Nia Jaman.

Antara aktiviti yang dianjurkan bagi mengisi sambutan kemerdekaan itu ialah menanam bunga kebangsaan iaitu bunga raya, tayangan dokumentari pembentukan Malaysia dan pelbagai pertandingan patriotik seperti bacaan puisi dan persembahan kebudayaan

Hajiji berkata, keunikan itu perlu direbut oleh semua pihak dengan menanam nilai-nilai baik yang dapat mengukuhkan integrasi antara kaum di negeri ini.

Katanya, nilai-nilai murni itu jika berjaya disemai pada usia muda mampu menjadi panduan dan meningkatkan sensitiviti masyarakat majmuk di negeri ini.

Mengenai sekolah berkenaan, Hajiji berkata, sebagai sekolah Cina tertua di daerah ini SJKC Chen Sin telah banyak menyumbang kepada kemajuan pelajaran di sini.

Utusan Malaysia Online: 30 Ogos 2010

Ahad, 29 Ogos 2010

Kekal Tradisi Guru Didik Anak Bangsa


Cikgu Jumaat. Foto: Razali Nordin
Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana ini menyorot sumbangan guru-guru Melayu dalam perjuangan memerdekakan tanah air di samping mempelopori pemikiran baru mendidik anak bangsa untuk menjadi bangsa berilmu.

Ini ialah bahagian akhir daripada dua siri rencana

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kedua-duanya ialah bekas guru yang menyemarakkan budaya ilmu bukan sahaja di bilik darjah tetapi berpeluang berkhidmat dalam pentadbiran pendidikan.

Seorang dihantar ke luar negara untuk mendapatkan latihan perguruan di bawah dasar kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum merdeka menawarkan skim untuk melatih tenaga guru sebagai persediaan berdepan dengan perkembangan rancak persekolahan.

Sementara yang seorang lagi menjadi guru pelatih seawal usia 15 tahun, sebaik tamat darjah enam.

Bagi mendapatkan kemahiran mengajar seterusnya, beliau mengikuti latihan formal perguruan di Maktab Latihan Sultan Idris (SITC) untuk guru Melayu.

Meskipun latar belakang latihan perguruan yang berbeza tetapi kedua-duanya dipasak semangat kental untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dalam tuntutan gagasan mendidik anak bangsa.

Datuk Jumaat Mohd Noor, anak kelahiran Batu Pahat Johor berpeluang mengikuti latihan perguruan di Malayan Teachers' Training College, Brinsford Lodge, England. Ketika itu beliau baru berusia 19 tahun.

Bagi Mohd Nor Long pula yang berasal dari Kuala Sepetang, Perak, beliau memberitahu Bernama, memperoleh gred satu dan kemudian menjadi guru pelatih dengan gaji RM40 sebulan sudah dikira cukup hebat ketika itu.

SEMANGAT MEMBARA

Ketika Jumaat mengikuti kursus perguruan di England, negara yang dikenali sebagai Malaya berada di ambang kemerdekaan. Bersama dengan beliau ada sekitar 300 pelajar lain dan hanya sebahagian kecil pelajar Melayu.

Meskipun berada jauh dari tanah air, gema laungan kemerdekaan seakan-akan dapat turut didengari di kota London di mana turut diadakan perayaan bagi menyambut hari yang bersejarah itu.

Menurut beliau, ketika itu tiada rasa perkauman, masing-masing begitu teruja dengan perasaan Malaya akan menjadi sebuah negara baru.

Malah, katanya, beliau dan rakan-rakan sudah pun menyanyikan lagu Negaraku.

"Kami juga sudah bersedia untuk kembali ke tanah air sebagai guru baru dengan semangat baru, berbekalkan motivasi menggunung tinggi untuk membina negara setelah sekian lama dijajah.

"Semangat berkobar-kobar untuk balik berkhidmat walaupun gaji guru ketika itu hanya RM310 dicampur COLA RM60. Yang utama semangat untuk mendidik anak bangsa. Guru-guru ketika itu tidak pernah bertindak untuk meminta gaji lebih meskipun ada kesatuan.

"Saya sendiri sangat gembira bila balik dan nilai kegembiraan itu tidak dapat diukur atau digambarkan kerana masa pergi ke England negara masih dijajah, bila balik kita sudah merdeka.

"Matlamat kami mahu memperkukuh taraf perguruan dan tentu sekali pengalaman kami yang pelbagai dan belajar pula di England sudah tentu dapat memberikan manfaat yang besar kepada sistem pendidikan negara," Jumaat, 73, memberitahu Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

BAHASA MELAYU

Kemerdekaan turut menjulang Bahasa Melayu kepada kedudukan utama dalam sistem pendidikan Persekutuan Tanah Melayu.

Menurut Jumaat, usaha berkenaan bermula dari Penyata Razak (1956) yang berhasrat menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah.

Usaha itu diteruskan berdasarkan Penyata Rahman Talib (1963) untuk memperbaik sistem pendidikan Tanah Melayu dan memartabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Memang banyak perkara perlu dilaksanakan di peringkat persekolahan. Pada 1957 sudah ada riak-riak supaya pelajaran menengah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dilaksanakan.

"Beberapa sekolah terkemuka termasuk High School Batu Pahat, sekolah lama saya digunakan untuk membuka kelas-kelas menengah menggunakan Bahasa Melayu," katanya.

DUA BAHASA

Sekembalinya ke tanah air, Jumaat ditugaskan di High School Batu Pahat dan terpaksa mengajar dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

"Saya tidak kembali sebagai guru sekolah Inggeris kerana saya juga mengajar dalam Bahasa Melayu termasuk untuk mata pelajaran Sains. Buku Sains yang digunakan dalam bahasa Inggeris dan saya terpaksa terjemahkan sendiri.

"Dalam masa yang sama sudah ada usaha untuk menterjemah buku Sains yang berbahasa Inggeris. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika itu di bawah Kementerian Pendidikan mengambil langkah membuat penterjemahan ini," katanya.

Atas inisiatif sendiri, Jumaat kemudian belajar dan mengambil peperiksaan Higher School Certificate (HSC) dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dengan pengkhususan dalam Pengajian Melayu.

"Masa itu guru-guru yang khusus dalam Pengajian Melayu memang diperlukan kerana rata-rata di sekolah tidak terdapat guru siswazah dalam mata pelajaran ini, (mereka) menunggu kami tamat pengajian," jelasnya.

Daripada guru dan guru besar, Jumaat bergerak kepada pelbagai jawatan dalam perkhidmatan pendidikan antaranya Pengarah Pelajaran Kedah, Pengarah Pelajaran Johor dan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran.

Beliau juga menyandang jawatan Ketua Pengarah DBP dari 1987-1991 dan disambung kontrak untuk dua tahun lagi hingga 1993.

CUKUP HEBAT

Bagi Mohd Nor pula, 78, skop atau karier anak-anak muda ketika zamannya memang menjurus ke arah guru sahaja.

"Tak nampak jalan lain lagi, jalan yang dapat lebih meningkatkan kehidupan akan datang adalah guru," katanya.

Namun menjadi guru pada usia yang amat muda tanpa sebarang latihan asas sememangnya cukup getir bagi dirinya yang kehilangan bapa ketika berusia 10 tahun.

Beliau cukup ingat dengan tarikh dia menjadi guru iaitu 1 Feb 1947.

Menurut beliau, guru pelatih masa itu bukan guru sementara dan ditakrif sebagai orang kerajaan, guru gred 4.

"Saya terus masuk mengajar, latihan memang tak ada, tulis pun di papan hitam. Murid-murid saya ada yang sebaya dengan umur saya bahkan bila saya balik ke rumah, petang-petang main dengan anak murid saya.

"Bagaimanapun, bila sudah menjadi guru perangai kena bagus, tidak boleh merayau-rayau, kenalah disiplinkan diri sendiri," Mohd Nor mengimbau kisah silamnya.

Namun, katanya menjadi guru tetap menjadi kebanggaan kerana hanya yang pintar sahaja boleh bergelar guru ketika zamannya. Yang tercicir, tambahnya akan menjadi polis, tentera atau peon (budak pejabat).

Menurut beliau, menjadi guru juga satu pencapaian yang cukup hebat dan memang diharap-harapkan berbanding hari ini di mana ada yang menjadi guru kerana tiada pilihan pekerjaan lain.

Beliau mengajar selama dua tahun sebelum menduduki peperiksaan untuk ke SITC atau Maktab Latihan Sultan Idris untuk guru Melayu yang ketika itu dianggap sebagai menara gading yang cukup hebat.

"Kalau dapat masuk ke SITC, macam dapat masuk universiti. Bagi mereka yang datang dari kampung, mesti buat kenduri untuk satu kampung," kata Mohd Nor.

Walaupun belajar dan kemudiannya mengajar dalam Bahasa Melayu, beliau ternyata tidak mahu ketinggalan daripada menguasai bahasa Inggeris dengan belajar sendiri.

Beliau juga tidak malu meminta bantuan kawan-kawannya berbangsa India di samping mendapat tunjuk-ajar daripada seorang tuan punyai kedai buku (Muslim India), yang mesra dipanggil Pak Hussin.

PELBAGAI PERANAN

Mohd Nor juga berkata guru sebelum dan pasca merdeka memikul pelbagai tanggungjawab memandangkan kedudukan tingginya dalam masyarakat Melayu khususnya.

Bukan setakat mendidik anak bangsa, mereka juga turut menggembleng tenaga memperjuang nasib bangsa Melayu, mencetuskan kesedaran ekonomi di samping perjuangan kemerdekaan tanah air dan menerajui gerakan bahasa.

Jelasnya, gerakan mendaulatkan Bahasa Melayu bersemarak dari utara hingga selatan tanah air.

"Terlalu banyak peranan guru, dari menubuhkan koperasi, politik, kegiatan di kampung dan boleh dikatakan guru menjadi pakar rujuk dalam sebarang hal," tambahnya.

Begitu juga guru ketika zaman Mohd Nor tidak mengenal batas kenegerian dan mereka akan dihantar bertugas ke merata negeri.

Beliau sendiri pernah bertugas di beberapa buah negeri iaitu guru besar sekolah menengah Inggeris Batu Pahat High School dan Sultan Abu Bakar Kuantan di samping pegawai di Jabatan Pendidikan negeri Sabah, Negeri Sembilan dan Pahang sebelum bersara.

GURU BERKUALITI

Jika semasa zaman Jumaat dan Mohd Nor, profesyen guru dianggap 'glamour', mungkin anggapan ini semakin pudar.

Mohd Nor berpendapat sebahagian kecil guru mengejar kebendaan dan politik dan ada yang menjadi guru kerana tiada pilihan dan bersikap setakat makan gaji sahaja.

"Ramai yang buat tuisyen, cari wang lebih dan mengajar di sekolah lebih kurang sahaja. Mungkin kalau nak bagus lagi, budak-budak kena datang ke rumah cikgu ambil tuisyen.

"Di Jepun hanya yang terbaik akan dipilih menjadi guru berbanding di negara kita di mana bidang perguruan hanya menjadi pilihan terakhir bagi sesetengah orang.

"Kerjaya guru sebagai sesuatu yang murni untuk mendidik anak bangsa kini tinggal sebagai satu retorik semata-mata," demikian pandangan Mohd Nor yang banyak menulis sebelum dan setelah bersara.

Setakat ini beliau menulis lebih 10 buku termasuk "Dari Kuala ke Tanjung: Memoir Seorang Guru Melayu" dan "Sejarah Perkembangan Sekolah Sekolah Melayu Negeri Perak (sebelum merdeka)."

Jumaat pula berpendapat guru mempunyai peranan besar dalam melahirkan pelajar yang terbilang bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga cergas berusaha dan mempunyai semangat cintakan tanah air yang tinggi.

Peranan ini tidak mungkin dapat dihasilkan sekiranya guru hanya membataskan tugas mereka setakat mengajar mata pelajaran yang perlu diajar semata-mata.

"Guru mesti cergas, mesti dapat menawan hati pelajar dan mesti dilihat sebagai model contoh untuk pelajar.

"Jika guru mengajar lembap, hendak tak hendak dan ini memang berlaku sekarang dan ini yang dikhuatirkan, sudah tentu akan ada pihak yang melemparkan tuduhan," tambahnya.

Menurut beliau, yang penting sama ada guru itu boleh memberi sedikit sentuhan kepada mata pelajaran dengan menyatakan "perkara ini ada kebaikan dalam masyarakat kita" atau memberikan ulasan yang membangkitkan kesedaran.

"Kalau guru melakukan ini baru budak-budak terpegun dan berfikir guru mereka keluar sedikit daripada kebiasaan mengajar.

"Hal yang serupa patut boleh dilakukan oleh guru bahasa, guru sastera dan guru untuk mata pelajaran seperti sejarah.

"Guru yang baik akan direnungi pelajar di depan dia sebagai seorang yang boleh dicontohi, diteladani dan diikuti. Kalau guru lekeh apa yang hendak diteladani?" kata Jumaat.

PATUT LEBIH BAIK

Guru-guru sekarang sewajarnya lebih baik memandangkan kebanyakan mereka mempunyai 'kelayakan kertas' yang tinggi di peringkat diploma dan ijazah.

Seperti kata Jumaat, sewajarnya juga kualiti pelajaran seiring dengan pendapatan yang lumayan dan kelayakan yang tinggi.

Guru-guru yang klasik, katanya adalah guru yang dekat dengan buku dan ilmu, tambahan sekarang banyak kemudahan dan program untuk belajar termasuk akses Internet.

"Guru mesti menyayangi ilmu dan ini perlu dilakukan sepanjang hayat memandangkan budak-budak sekarang cerdik dan pintar.

"Ini mesti diiringi dengan kesayangan kepada murid dan pelajar. Guru tidak boleh terlalu beku atau pasif dan tidak mempedulikan murid-muridnya.

"Guru juga mesti menjadi mentor yang sebaik-baiknya dan yang utama dia mesti mempunyai passion atau kecintaan yang mendalam terhadap profesyen perguruannya," jelas Jumaat yang dianugerah Tokoh Guru Negeri Johor pada 1976 dan Tokoh Guru Kebangsaan 1977.

-- BERNAMA


BERNAMA: 29 Ogos 2010

Program susu sekolah disambung semula Oktober ini



Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan kepada seorang warga emas pada majlis berbuka puasa UMNO Zon 6 di Lahat Datu, Sabah, semalam. Turut menyaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman (kiri).


LAHAD DATU 28 Ogos - Program Susu Sekolah (PSS) yang dihentikan dua tahun lalu di Semenanjung dan Sarawak akan disambung semula seawal Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program yang bakal dikenali sebagai Program Susu 1Malaysia itu akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah.

''Pada peringkat awal ia akan dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah di kawasan luar bandar dan kriteria penerima akan berdasarkan kaedah yang telah ditetapkan dahulu.

''Maknanya, kalau dahulu dapat, kali ini akan dapat juga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan daerah di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berada di sini bagi menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat tempatan di Masjid Ar Rauddah.

Muhyiddin berkata, sebagai pengeluar susu segar terbesar negara, kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri Sabah bagi memastikan masalah yang berlaku dahulu seperti susu basi tidak berulang.

Katanya, ini merangkumi kaedah pengedaran, penyimpanan dan penggunaan oleh murid di sekolah.

''Dahulu ada sekolah menyimpan susu dahulu sebelum digunakan. Ini menyebabkan berlaku masalah susu basi dan sebagainya," katanya.

Beliau menambah, pada masa ini PSS hanya membabitkan pembekal utama dari Sabah dan sama ada ia akan diperluaskan kepada pembekal lain akan ditentukan kemudian.

Sementara itu, ditanya mengenai aduan ibu bapa terhadap pengurusan sebuah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan yang mewajibkan pelajar perempuan memakai tudung sepanjang Ramadan, Muhyiddin berkata, tindakan tersebut merupakan inisiatif sekolah terbabit dan bukan arahan kementerian.

''Apa pun nasihat saya adalah supaya tidak ada unsur paksaan dalam soal ini kerana ia hak individu. Kita kena bertimbang rasa," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berbuka puasa, Muhyiddin menggesa umat Islam meningkatkan perpaduan kerana ia merupakan kunci utama kepada kejayaan sesebuah ummah.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan bersedia membina sebuah sekolah menengah agama di daerah ini di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Utusan Malaysia Online: 29 Ogos 2010

Sabtu, 28 Ogos 2010

Kekalkan pengetua Aishah – Perkasa



Ibrahim Ali berbual dengan Siti Aishah Mansor (kiri) ketika berkunjung ke rumah pengetua tersebut di Kampung Melayu, Kulaijaya, semalam.


KULAIJAYA 27 Ogos – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa agar Kementerian Pelajaran bertindak profesional berhubung isu perkauman yang dikatakan cuba ditimbulkan Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Aishah Mansor, 53, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihak kementerian diminta tidak bertindak berdasarkan kepentingan politik dan pada masa yang sama perlu terus mengekalkan kedudukan pengetua berkenaan di sekolah itu.

“Pengetua berkenaan pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Gred 52, malah beliau juga mempunyai darah Cina kerana ibunya berketurunan Cina. Jadi bagi saya tidak timbul isu perkauman di sini.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak kementerian dapat mengambil tindakan sewajarnya secara profesional dan tidak mengutamakan kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dan menyatakan sokongannya terhadap pengetua berkenaan di rumahnya yang terletak di Kampung Melayu, di sini hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Siti Aishah dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada perhimpunan pagi menyentuh sensitiviti kaum.

Dipercayai kenyataan yang dibuat sempena pelancaran Hari Kemerdekaan di sekolah itu telah diputarbelitkan oleh pihak luar yang mempunyai kepentingan politik sehingga wujudnya isu perkauman berkenaan.

Ibrahim turut mempersoalkan sama ada kenyataan pelajar yang membuat laporan polis terhadap pengetua berkenaan boleh diambil kira tanpa mengetahui sejauh mana kebenaran laporan itu.

Beliau berkata, mungkin pelajar berkenaan tidak memahami maksud sebenar yang cuba disampaikan pengetua mereka dan sekadar membuat laporan berdasarkan pemahaman mereka semata-mata.

“Sebagai pelajar adakah mereka cukup matang untuk menilai dan menterjemah ucapan pengetua sebagai mengandungi unsur-unsur perkauman.

“Daripada apa yang diberitahu, pelajar yang terawal membuat laporan polis berhubung isu tersebut merupakan antara pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Adakah kenyataan orang seperti ini boleh digunakan?” katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan pengetua berkenaan adalah bertujuan memulihkan masalah disiplin di sekolah tanpa sebarang niat perkauman dan lebih menjurus kepada tindakan seorang ibu dalam mendidik anak-anak ketika di rumah.

“Apabila berlaku masalah disiplin dan gejala sosial pelajar, semua menyalahkan pihak sekolah, namun apabila pelajar-pelajar ditegur dan tindakan diambil, masyarakat turut menyalahkan pihak sekolah,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 Ogos 2010

KPM boleh kaji beri elaun pindah

2010/08/28

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Mua’lim, Daro, Sarawak, di ruangan ini 23 Ogos 2010 lalu.

Elaun tuntutan perpindahan adalah satu kemudahan yang diberikan kepada pegawai awam di bawah Pekeliling Perbendaharaan Bil. 4 Tahun 1995. Berdasarkan aduan ini didapati bahawa pengadu mencadangkan untuk memohon pertukaran dari Sarawak ke Semenanjung.

Justeru, perlu merujuk kepada surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ruj: JPA(S)63/163/(30) bertarikh 23 Ogos 1994, Tatacara Menimbangkan Permohonan Bayaran Perpindahan dan Pertukaran Bagi Kes-Kes Pertukaran Atas Permohonan Sendiri dan surat KPM yang bertarikh 5 Januari 2001 iaitu “pemohon yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya empat (4) tahun pada tarikh permohonan di stesen terakhir sebelum bertukar atau sekurang-kurangnya tiga (3) tahun di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak adalah layak untuk menuntut bayaran perpindahan”.

Walau bagaimanapun, perpindahan atas kepentingan perkhidmatan boleh dipertimbangkan oleh Bahagian untuk dibuat bayaran elaun perpindahan selaras dengan para 2.2.1 (e) di dalam surat JPA bertarikh 23 Ogos 1994.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online: 28 Ogos 2010

Jumaat, 27 Ogos 2010

Pengetua 'rasis' dijangka bertukar sekolah

Muhamad Abdul Qayyum
Ogos 27, 10
6:00pm

Pengetua lelaki sebuah sekolah menengah luar bandar di Kedah yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur perkauman kepada pelajar bukan Islam baru-baru ini, dijangka ditukarkan ke sekolah baru yang juga terletak di kawasan luar bandar, mulai 1 September ini.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau (SMKBS) itu dikatakan akan memulakan tugasnya di sebuah sekolah menengah yang terletak di kawasan Felda dalam daerah pendidikan Baling/Sik.

Sumber berkata, pertukaran yang secara 'suka sama suka' itu adalah sebagai tindakan alternatif awal yang diambil bagi meredakan suasana hubungan antara komuniti setempat dengan pengetua berkenaan.

"Langkah itu difikirkan sesuai untuk masa ini dan ia adalah proses pertukaran biasa," kata sumber itu yang memberitahu siasatan terhadap pengetua tersebut dijalankan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan yang dikendalikan Penolong Pegawai Pelajaran (Hal Ehwal Murid), Salmah Hamdan.

'Balik ke China'

"Secara lisannya, pengetua berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan beliau menunggu surat rasmi untuk berbuat demikian," katanya.

Selain murid, beberapa guru SMKBS dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan juga memberi kenyataan dan bermesyuarat bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Turut menyiasat kes itu ialah jemaah nazir dari Putrajaya dan polis cawangan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Pengetua berkenaan didakwa mengeluarkan kata-kata "balik ke China" kepada pelajar bukan Islam sekolah berkenaan dalam majlis perhimpunan pagi, baru-baru ini kerana menegur mereka yang tidak menghormati pelajar Islam yang berpuasa.

Tindakan itu mendapat respos segera daripada partai politik - MCA dan Gerakan - yang mahu tindakan diambil terhadap pengetua berkenaan termasuk menukarkan ke tempat lain.

Sumber itu berkata, pengetua berkenaan juga telah meminta maaf kepada sekumpulan pelajar terbabit dalam pertemuan khas di sekolah berkenaan beberapa hari lalu.

Rujukan: http://www.malaysiakini.com/news/141303

Malaysiakini: 27 Ogos 2010

Elaun pindah permohonan sendiri ditangguh

2010/08/27

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada Guru Lama, Gua Musang, Kelantan dalam ruangan ini bertarikh 23 Ogos 2010, 'Guru gesa beri semula elaun pindah'.

Elaun tuntutan perpindahan diberi kepada semua pegawai awam di bawah Pekeliling Perbendaharaan Bil. 4 Tahun 1995. Namun, aduan ini didapati pengadu mencadangkan memohon pertukaran dari Sarawak ke Semenanjung. Justeru, tuan perlu merujuk surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ruj: JPA(S)63/163/(30) bertarikh 23 Ogos 1994, Tatacara Menimbangkan Permohonan Bayaran Perpindahan dan Pertukaran Bagi Kes-Kes Pertukaran Atas Permohonan Sendiri dan surat KPM bertarikh 5 Januari 2001 iaitu ‘pemohon yang berkhidmat sekurang-kurangnya empat tahun pada tarikh permohonan di stesen terakhir sebelum bertukar atau sekurang-kurangnya tiga tahun di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak layak menuntut bayaran pertukaran dan perpindahan’. Namun, memandangkan KPM menghadapi kekangan peruntukan pada tahun ini pihak kementerian terpaksa menangguh pembayaran permohonan elaun perpindahan atas permohonan sendiri. Walau bagaimanapun, perpindahan atau pertukaran atas kepentingan perkhidmatan boleh dipertimbang Bahagian / Agensi untuk dibuat bayaran tuntutan elaun pertukaran / perpindahan selaras dengan para 2.2.1 (e) di dalam surat JPA bertarikh 23 Ogos 1994.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online: 27 Ogos 2010

Khamis, 26 Ogos 2010

Pasangan guru kerugian hampir RM1,000 sebulan kerana bertugas berasingan

2010/08/26

SAYA adalah seorang guru yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Perak. Dalam suasana Ramadan yang penuh berkat ini, saya rasa terpanggil untuk meluahkan rasa isi hati saya selaku seorang guru yang terpisah dengan isteri dan keluarga atas faktor penempatan tempat berkhidmat yang berbeza.

Tahun ini adalah tahun ketiga saya bertugas di Perak sementara isteri saya yang juga seorang guru berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.

Sejak 2006, saya dan isteri memohon pertukaran dari Kuala Lumpur ke Perak. Alhamdulillah, pada awal 2008 permohonan saya diluluskan tetapi agak malang bagi isteri saya kerana gagal dalam permohonan pertukarannya.

Saya bertukar ke Perak dan isteri masih di Kuala Lumpur dengan harapan isteri akan menjejak langkah saya pada tahun berikutnya. Setiap dua kali setahun sesi permohonan pertukaran dibuka, isteri saya tidak ketinggalan untuk membuat permohonan pertukaran.

Walaupun isteri saya mempunyai kesemua alasan dan faktor yang membolehkannya bertukar termasuk menghadapi masalah kesihatan, permohonan isteri masih gagal.

Dalam tempoh hampir tiga tahun ini, saya atau isteri terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak pada setiap minggu dengan tempoh perjalanan hampir empat jam. Biasanya saya yang akan ke Kuala Lumpur kerana isteri menghadapi masalah untuk menguruskan anak kecil sambil memandu.

Dalam usia menjangkau 45 tahun, saya rasakan fizikal saya sudah tidak mampu untuk menahan beban dan penat yang ditanggung setiap kali saya berulang alik ke Kuala Lumpur dan Perak. Ditambah dengan faktor kewangan turut menghambat tumpuan dan mental saya.
Saya kehilangan hampir RM1,000 sebulan hanya untuk pembayaran sewa rumah kedua di Kuala Lumpur dan pembelian minyak petrol ketika berulang alik. Dengan jumlah sebanyak itu, saya merasakan ia sebagai satu kerugian dan penganiayaan kepada orang yang senasib seperti saya.

Atas dasar perikemanusiaan, saya memohon agar Kementerian Pelajaran lebih peka dengan nasib dan masalah yang dialami oleh warganya seperti saya. Untuk Kementerian Pendidikan, saya sarankan agar jawapan untuk keputusan surat permohonan pertukaran iaitu pertukaran anda tidak diluluskan atas kepentingan pendidikan hendaklah dimansuhkan.

Kementerian bolehlah fikirkan jawapan yang lebih rasional. Sudah berbelas tahun saya memberi perkhidmatan terbaik untuk kepentingan pendidikan dan amatlah wajar giliran saya pula untuk menerima perkhidmatan terbaik dari pihak kementerian untuk kepentingan saya pula.

GURU PENAT,
Perak

Berita Harian Online: 26 Ogos 2010

Rabu, 25 Ogos 2010

Najib umum duit raya untuk petugas awam dan pesara

2010/08/25

KUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan hari ini mengumumkan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam satu kenyataan hari ini bahawa bayaran itu adalah untuk petugas dalam Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.


"Keputusan ini diambil selepas mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara Kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.


Menurut beliau bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara. -Bernama


myMetro: 25 Ogos 2010

Selasa, 24 Ogos 2010

Kereta guru hangus angkara khianat

2010/08/24

BACHOK: Seorang guru hanya mampu memendam perasaan apabila melihat dua kereta miliknya dan isteri musnah dalam kebakaran dipercayai angkara perbuatan khianat di rumah mereka dekat Jelawat di sini, awal pagi semalam.

Kebakaran pada jam 4 pagi itu, memusnahkan kereta jenis Toyota Wish dan Perodua Myvi, bernilai RM150,000 milik guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kemudi dekat sini, Marzuki Ahmad Fatani, 35.

Dalam kejadian ketika semua penghuni rumah sedang nyenyak tidur itu, kereta Perodua Kancil milik ibu mangsa, Nor Asyikin Awang, 53, terselamat apabila tidak diapa-apakan penyerang.

Marzuki berkata, kebakaran kenderaan itu asalnya disedari adiknya, Siti Nor Farhana, 23, sejurus dikejutkan oleh bunyi letupan di halaman rumah.

Saya tinggal bersama ibu dan sembilan ahli keluarga. Kejadian disedari adik saya yang mendengar bunyi letupan kuat dari garaj kereta sebelum mengejutkan suaminya, Mohd Zain Husin, 34, untuk meninjau keadaan.

Sejurus menyedari api sedang marak, mereka bergegas mengejutkan kami. Saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan kereta yang sedang terbakar kerana api marak dengan pantas.

Toyota Wish saya yang terbakar dulu, sebelum meletup dan menyambar Myvi milik isteri, menyebabkan seluruh keluarga menjadi cemas dan bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri, katanya yang enggan gambarnya dirakam ketika ditemui, semalam.
Marzuki berkata, sejurus keluar menyelamatkan diri di jalan raya depan rumah, mereka mendapatkan bantuan dua remaja bermotosikal yang lalu di situ kira-kira 15 minit kemudian untuk menghubungi bomba.

Saya mengesyaki kejadian ini perbuatan khianat kerana selepas anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran, saya menjumpai dua bekas berisi petrol di belakang Toyota Wish, katanya.

Berita Harian Online: 24 Ogos 2010

Kakitangan ramai anak rayu kaji semula cuti bersalin tanpa gaji

2010/08/24

SAYA tertarik aduan oleh Perlu Bantuan yang mohon penjelasan mengenai cuti bersalin anak keenam disiarkan dalam ruangan ini pada 19 Ogos lalu.

Bagi saya masalah ini bukan membabitkan guru saja, tetapi kakitangan awam yang mempunyai lebih lima anak dengan cuti bersalin tidak bergaji untuk kelahiran anak keenam dan seterusnya.

Pihak bertanggungjawab patut sudah lama memperjuangkan perkara ini. Bagi kami yang kebanyakan pekerja bawahan dan mempunyai ramai anak terpaksa melalui detik sukar apabila menyambut kelahiran anak keenam dan seterusnya.

Allah akan memberi rezeki setiap anak yang dilahirkan cuma dalam masa sama keperitan yang dialami kami ialah tidak dibayar gaji untuk dua bulan cuti bersalin. Bayangkan bagaimana pekerja bawahan ini hendak menyara enam anak dengan tidak dibayar gaji.

Dengan harga barang yang semakin meningkat, perbelanjaan seharian amat memeritkan. Bayangkan harga susu bayi sekarang menjangkau RM60 untuk setin yang berat hanya 900 gram.

Sememangnya hati amat gembira dengan kehadiran bayi keenam tapi pada masa sama terdetik juga kebimbangan dengan ketiadaan gaji selama dua bulan.

Saranan saya dan kebanyakan kakitangan awam yang mempunyai ramai anak, tidak perlu diperjuangkan cuti bersalin sehingga 90 hari.
Apa guna cuti sehingga 90 hari sedangkan kepala berserabut memikirkan masalah kewangan.

Perkara yang perlu diperjuangkan ialah cuti bersalin bergaji penuh untuk kelahiran anak yang keenam dan seterusnya.

Harap perkara ini mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya mengkaji cuti bersalin untuk anak keenam dan seterusnya. Perintah Am Bab C (26) yang sedia ada perlu dipinda, bukan setakat lima kali saja.

SUKA BERSALIN
Ipoh

Pendapat Pembaca "Penghinaan Namewee lebih dahsyat tapi tiada tindakan diambil"

Tanpa Nama Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Saya masukkan pendapat pembaca ini setelah mendapati tulisannya menunjukkan beliau menjiwai tugas guru. Biar siapa kita, tak kira parti mana yang disokong, tugas guru mendidik anak bangsa untuk menjadi warga yang berguna kepada negara perlu diutamakan.

Alangkah bagusnya kalau beliau dapat memberikan pendapat dengan menggunakan identiti beliau yang sebenar, bukannya Tanpa Nama.

Tanpa Nama berkata...

Merujuk tulisan En. Norhisyam Bin mohamad.Saya berpendapat ruangan blog perkhidmatan pelajaran ini tidak sesuai untuk memperkatakan soal-soal fahaman politik sama ada dari parti kerajaan atau parti pembangkang. Jadi saya menyangkal tulisan encik Norhisyam kerana ia lebih kepada tujuan menghuru-harakan keadaan dan bukan memberikan idea yang boleh menjernihkan suasana dalam warga sekolah.

Sepatutnya sebagai warga guru kita memberikan pendapat bagaimana dan kenapa sesuatu perkataan yang sepatutnya tidak boleh diucapkan di sekolah boleh terjadi dikalayak ramai. Tetapi encik Norhisyam lebih menjurus kepada cakap-cakap orang politik dan bukan orang-orang pendidikan.

Sepatutnya juga apabila memberikan idea, berilah idea yang tidak menjurus kepada melaga-lagakan kaum, agama atau terlebih-lebih menonjolkan kaum ini atau kaum itu. Kita dalam pendidikan sebenarnya tiada istilah engkau Cina, engkau Melayu, engkau India, engkau orang Sabah atau engkau orang Sarawak. Apa yang ditekankan dalam pendidikan ialah mengajar murid dadlam kelas-kelas secara menyeluruh tanpa mengiran siapa engkau...Sedangkan orang asing pun berhak mendapatkan pendidikan apa lagi orang Malaysia dan sekarang ini slogan kerajaan ialah 1MAlALAYSIA. Apabila kerajaan mengwar-warkan GAGASAN 1MALAYSIA apakah perlu kita hendak membeza-bezakan kaum-kaum dalam Malaysia dari segi hak mendapatkan ilmu dalam pendidikan?Tentu sekali jawapannya tidak kerana sebagai guru tugas kita ialah bukan menjaga satu kaum sahaja tetapi semua kaum tanpa mengira agama,status dan fahaman politik diberikan pengajaran yang adil,saksama dan lain-lain lagi.

sebab itu marilah kawan-kawan semua dalam ruang blog perkhidmatanpelajaran ini luahkanlah pendapat yang ada nilai-nilai yang menyeluruh..

2010 Ogos 24 03:54

Isnin, 23 Ogos 2010

Penghinaan Namewee lebih dahsyat tapi tiada tindakan diambil

SATU laporan polis telah dibuat terhadap Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor iaitu yang dikatakan memarahi pelajar-pelajarnya dengan perkataan berbaur perkauman. Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Lim Kit Siang awal-awal lagi mendesak pihak Kementerian Pelajaran supaya mengambil tindakan keras terhadap pengetua sekolah ini yang disifatkannya amat rasis.

Terbaru, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua mendakwa Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menghayati konsep 1Malaysia apabila gagal bertindak terhadap pengetua itu.

Sebagai seorang guru, apa yang diluahkan oleh pengetua itu adalah satu teguran dan nasihat kepada pelajar-pelajarnya yang pasti seringkali ingkar arahan dan peraturan-peraturan di sekolah. Namun ahli politik pembangkang sering mensensasikan sesuatu isu terutama apabila ia melibatkan kaum bukan Melayu.

Ahli politik pembangkang seperti Lim Kit Siang akan segera mendesak kerajaan kerana insiden tersebut kononnya telah menghina dan menghiris hati kaum bukan Melayu.

Mengapa Lim Kit Siang mensensasikan isu ini sedangkan ia boleh diselesaikan secara dalaman oleh pihak Jabatan Pelajaran Johor.

Inilah petunjuk betapa kiasunya Lim Kit Siang dan DAP. Apabila orang Melayu menyentuh kaum dan keturunan bukan Melayu, itu adalah perkauman. Sebaliknya apabila ahli politik pembangkang bukan Melayu mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam itu dinamakan pandangan hak asasi dan kesamaan!

Politikus pembangkang sengaja memperlihatkan seolah-olah pemikiran mereka dangkal iaitu tidak pernah terlintas memikirkan hati dan perasaan orang Melayu terhadap segala tindakan mereka mempersoalkan hak orang Melayu termasuk menyentuh agama Islam.

Siapa yang tahan apabila setiap kali bangun dari tidur, lantang kedengaran bangsa dan agamanya asyik dikecam dan dihina! Inilah bukti bahawa politik mainan pembangkang terutama DAP telah membunuh rasa kasih sesama rakyat Malaysia. Sebaliknya hanya membarakan lagi perasaan marah dan geram antara sesama rakyat berbilang kaum.

Namun sebelum tindakan diambil ke atas pengetua itu, kita perlu rujuk kembali kes seorang pelajar Cina, Namewee yang telah melakukan penghinaan yang menyeluruh melibatkan agama, bangsa Melayu, organisasi kerajaan dan negara menerusi klip video nyanyian lagu kebangsaan Negaraku yang di beri 'nafas baru' iaitu Negarakuku!

Pun begitu tiada sebarang tindakan yang diambil ke atas Namewee sedangkan penghinaan yang dilakukan oleh Namewee 900 peratus lebih dahsyat dari apa yang dilakukan oleh pengetua terbabit.

Mungkin sebab Namewee adalah berbangsa Cina justeru perbuatan biadap itu dianggap tidak apa-apa, sekadar luahan kemarahan seorang anak muda iaitu ayat yang sering diguna pakai oleh pemimpin-pemimpin pembangkang apabila mempertikaikan hak-hak istimewa bumiputera dan agama Islam!

Sebaliknya nasib pengetua itu agak malang kerana beliau berbangsa Melayu dan beragama Islam, justeru semua pemimpin politik Cina terus mendesak agar beliau dikenakan hukuman.

Justeru elok rasanya jika syor Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Noordin agar parti politik jahat seperti DAP dipertimbangkan oleh kerajaan untuk diharamkan kerana membahayakan rakyat dan negara ini.

NORHISYAM BIN MOHAMAD

Kuala Kedah


Utusan Malaysia Online: 23 Ogos 2010

SK Tenglu rai Bulan Kemerdekaan



PELAJAR dan guru bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang pada program Sambutan Bulan Kemerdekaan di Sekolah Kebangsaan Tenglu, Mersing, baru-baru ini.


MERSING - Seramai 284 pelajar dan 28 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu mengambil bahagian dalam sambutan Bulan Kemerdekaan bertema Sehari Mengenal Malaysia di sekolah itu, baru-baru ini.

Menurut Guru Besarnya, Sohaila Jabbar, 48, program tersebut bertujuan memupuk rasa kecintaan kepada pemimpin negara di samping mengukuhkan jati diri dalam diri setiap murid.

"Progam ini adalah aktiviti tahunan sekolah dan padat dengan pelbagai program," jelanya.

Antaranya ialah pertandingan mewarna Jalur Gemilang dan logo Hari Kebangsaan 2010, nyanyian lagu patriotik serta pertandingan bercerita tentang Tokoh kemerdekaan.

Turut diadakan kuiz sejarah dan pertandingan pakaian seragam bagi murid-murid tahap satu.

Pada sambutan itu, Kumpulan Utusan menyumbangkan bahan-bahan bacaan terbitannya kepada murid sekolah berkenaan yang disampaikan oleh Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Malaysia Zon Selatan, Mohd. Asri Jantan.

Utusan Malaysia Online: 23 Ogos 2010

Hari Kokurikulum SMK Sultan Mansor


SALAH seorang pelajar menerima sijil dan hadiah kecemerlangan pada majlis Hari Kokurikulum dan Temu Murni 2010 SMK Sultan Mansor di Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor berjaya menganjurkan sambutan Hari Kokurikulum dan Temu Murni 2010 dengan tema "Kokurikulum Pemangkin Kecemerlangan Sahsiah Pelajar" di sini, baru-baru ini.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Shaharuddin Abdullah berkata, kegiatan kokurikulum merupakan komponen penting dalam proses pembinaan dan pembangunan pelajar.

Menurut beliau, ia adalah sebahagian daripada bidang pendidikan yang membantu memantapkan keupayaan dan prestasi pelajar.

"Program ini adalah salah satu usaha menggalakkan semua pelajar menjayakan aktiviti luar bilik darjah secara langsung atau tidak langsung selain memberi mereka pengalaman dan pengetahuan," katanya.

Majlis yang dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Datuk Senator Abdul Rahman Bakar ini padat dengan pelbagai aktiviti seperti pameran luaran yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta, gerai jualan, permainan, pertandingan ko-akademik serta persembahan oleh para pelajar.

Manakala Program Temu Murni, kata Shaharuddin, diadakan supaya ibu bapa atau penjaga kepada pelajar yang hadir ke sekolah dapat menyemak rekod kemajuan akademik anak masing-masing di samping berpeluang bertanyakan hal-hal berkaitan disiplin mereka.

Utusan Malaysia Online: 23 Ogos 2010

Prasekolah kerajaan perlu nilai tambah

PENDIDIKAN prasekolah sangat penting kepada perkembangan dan kemajuan akademik anak-anak kita. Ia menjadi sebuah institusi untuk menyiapkan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun dengan kemahiran asas menulis, membaca serta mengira.

Di negara kita, terdapat dua jenis pendidikan prasekolah. Satu dikendalikan oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Manakala yang satu lagi diusahakan oleh pihak swasta sama ada secara persendirian atau melalui sistem francais.

Kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama tetapi berbeza kurikulum. Hal ini menyebabkan standard kualiti muridnya juga tidak selaras. Murid prasekolah kerajaan begini, murid prasekolah swasta begitu.

Melalui program transformasi kerajaan, pendidikan prasekolah kini dijadikan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran.

Semua prasekolah - kerajaan dan swasta - diwajibkan menggunakan kurikulum yang sama iaitu Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Tenaga pengajar dan pembantunya juga perlu mengikuti latihan yang disediakan oleh KPM. Mereka juga perlu mempunyai ijazah. Guru yang belum memenuhi syarat itu perlu menyambung pelajaran.

Penyeragaman ini menjadikan padang permainan kembali sama rata antara prasekolah kerajaan dan swasta. Isu kualiti siapa lebih baik sepatutnya tidak timbul.

Bagaimanapun, pengusaha prasekolah swasta pasti akan menawarkan pelbagai inovasi sebagai daya tarikan untuk mencari seramai mungkin pelajar di tadika masing-masing. Maklum saja kelangsungan perniagaan mereka bergantung kepada bilangan murid yang ada. Semakin ramai murid semakin banyak untung.

Usahawan prasekolah swasta akan membawa masuk pelbagai methodologi dan pedagogi pendidikan Barat atau dari negara maju lain sebagai nilai tambah kepada kurikulum standard yang sedia ada. Selain sebagai 'modal' menarik pelanggan, ia juga satu justifikasi untuk mengenakan yuran yang tinggi.

Segalanya demi memastikan prasekolah mereka melahirkan kanak-kanak yang lebih cerdas dan menguasai kepintaran pelbagai. Ia juga untuk menjadikan prasekolah mereka menjadi pilihan utama ibu bapa.

Dalam hal ini, prasekolah kerajaan juga perlu mengambil pendekatan yang serupa tetapi menggunakan bahan bantu mengajar yang diterbitkan oleh syarikat tempatan. Kelebihannya, bahan tersebut menepati aspirasi negara dan sesuai dengan nilai-nilai murni masyarakat negara kita.

Paling utama, prasekolah kerajaan yang diberi nilai tambah ini akan dapat mengecilkan jurang antara murid di desa atau kawasan pedalaman dengan murid di bandar.

Tambahan pula, prasekolah kerajaan merupakan satu-satunya pilihan pendidikan prasekolah yang ada di kawasan kampung dan pedalaman.

Adalah menjadi tanggungjawab pengendali prasekolah kerajaan ini untuk melengkapi murid-muridnya dengan kecerdasan dan kemahiran tambahan melalui alat bantu mengajar yang sesuai serta berkualiti.

Sekiranya bajet mengizinkan, proses mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga boleh dilaksanakan. Namun, ia bukan sekadar projek membekal perkakasan dan perisian.

Selain itu, guru dan pembantunya juga perlu diberi latihan secara berkala untuk dilengkapi dengan teknik atau kaedah P&P terkini di samping menambah pengetahuan baru.

Melalui pendekatan ini, prasekolah kerajaan akan dilihat dinamik dan tidak boleh diperlekehkan. Malah tidak mustahil ia akan kembali menjadi pilihan utama ibu bapa kerana yurannya rendah dan kualiti pendidikannya setanding dengan prasekolah swasta.

Utusan Malaysia Online: 23 Ogos 2010

Guru gesa beri semula elaun pindah

2010/08/23

SAYA ada melayari portal sistem perpindahan guru secara online yang dinamakan eg-Tukar. Alangkah terkejut apabila terlihat di laman web itu maklumat yang menyatakan elaun perpindahan tidak dapat dituntut.

Berita ini mendukacitakan warga pendidik terutama yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak. Mengapakah kemudahan yang sangat diperlukan ini ditarik ketika ekonomi negara berada di kedudukan yang baik?

Bayangkan guru yang sudah lama berkhidmat di Sabah dan Sarawak memerlukan kemudahan kargo untuk membawa pulang semua barang. Bukankah kosnya terlalu tinggi? Manalah kami mampu menanggungnya.

Perkara ini sangat merisaukan kami sehinggakan takut untuk mohon berpindah ke Semenanjung. Adakah ini helah Kementerian Pelajaran untuk menghalang kami mohon berpindah?

Harap kerajaan menimbangkan semula pemberian elaun perpindahan seperti dilaksanakan pada tahun sebelum ini sebagai membuktikan komitmen slogan 1Malaysia. Kami juga menunggu berita baik mengenai bonus yang dituntut oleh CUEPACS.

MUALIM,
Daro, Sarawak

Berita Harian Online: 23 Ogos 2010

Sabtu, 21 Ogos 2010

Kementerian Pelajaran diminta selaras cuti sekolah sempena Aidilfitri

2010/08/21

SAYA memohon kepada Kementerian Pelajaran agar dapat mengeluarkan tarikh cuti yang selaras bagi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Saya mempunyai seorang anak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), seorang anak di sekolah harian biasa, tetapi menetap di asrama dan seorang lagi bersekolah di sekolah rendah.

Setiap anak saya ini, mempunyai tarikh cuti yang berbeza. MRSM mengumumkan tarikh cuti daripada 7 hingga 19 September, sekolah harian biasa 4 hingga 13 September dan di sekolah rendah 4 hingga 12 September.

Saya dan suami menghadapi masalah untuk mengatur cuti dan juga jadual pulang ke kampung kerana permasalahan ini. Saya berasal dari Beseri, Perlis, manakala suami dari Johor Baharu.

Kami amat berharap agar Kementerian Pelajaran dapat menyemak kembali tarikh cuti berkenaan dan minta diselaraskan seluruh negara di semua sekolah termasuk MRSM bagi kemudahan ibu bapa dan juga kakitangan pelajaran sendiri.

Saya cadangkan agar cuti sekolah ini bermula pada 4 September ini kerana hampir semua sekolah di seluruh negara kecuali MRSM mula bercuti pada tarikh itu dan dilanjutkan sehingga 19 September kerana cuti umum Hari Malaysia 16 September yang jatuh pada Khamis.

Cuti ini bolehlah diganti pada Sabtu, seperti langkah proaktif yang diambil oleh beberapa sekolah yang menggantikannya lebih awal.
Sambutan Aidilfitri seharusnya tidak sekadar Hari Raya saja kerana pada masa inilah anak-anak dibawa pulang ke kampung untuk bertemu dan mengeratkan silaturahim dengan datuk, nenek serta keluarga yang jauh.

Ini adalah selaras dengan falsafah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya institusi keluarga diperkukuhkan.

HANYA INSAN,
Beseri, Perlis

Berita Harian Online: 21 Ogos 2010

Jumaat, 20 Ogos 2010

Pengetua di Sg Petani pula buat kenyataan perkauman

Muhamad Abdul Qayyum
Ogos 20, 10
6:15pm

Beberapa hari selepas pengetua sebuah sekolah menengah di Johor dituduh mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, kejadian yang sama turut berlaku di sebuah sekolah di Sungai Petani.

Pengetua berkenaan didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dalam majlis perhimpunan rasmi di sebuah sekolah luar bandar di Sungai Petani, Ahad lalu.

Kata-kata itu diluahkan di depan lebih 500 murid tingkatan satu hingga lima serta kira-kira 45 guru pelbagai kaum semasa membuat teguran terhadap pelajar bukan Islam agar menghormati pelajar Islam yang berpuasa di bulan Ramadan.

Antara frasa yang mencetuskan kontroversi itu ialah "pindah ke negeri lain" dan "balik ke China."

Menurut sumber, pengetua yang berasal dari negeri Johor itu dikatakan telah mengingatkan pelajar bukan Islam di sekolah berkenaan yang mempunyai tiga kaum minoriti iaitu Cina, India dan Siam supaya menghormati rakan-rakan beragama Islam yang sedang berpuasa agar tidak makan di depan mereka.

Sumber itu berkata, pengetua berusia awal 50-an itu menegur perbuatan yang tidak wajar dilakukan oleh pelajar bukan Islam iaitu makan di depan pelajar Islam dan jika mereka tidak mahu menghormatinya, mereka boleh "pindah ke negeri lain" atau "balik ke China."

"Para pelajar dan guru yang berada di dewan terbuka sekolah itu dapat mendengar dengan jelas kata-kata berbaur rasis itu.

"Selaku pentadbir organisasi, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjarakkan hubungan etnik sekolah itu yang agak unik," kata sumber itu.

Menurutnya, komposisi kaum di sekolah itu yang rata-rata dari kalangan pelajar berlatarbelakangkan taraf sosioekonomi yang rendah agak menarik kerana memiliki empat kaum iaitu Melayu/Islam, Cina/Buddha, India/Hindu dan Siam/Buddha.

"Sejak sekolah itu wujud di kawasan yang di kelilingi estet getah, kelapa sawit, kebun sayur dan kampung pada 1980-an, belum ada peristiwa buruk melibatkan etnik terbabit berlaku di situ," katanya sambil menambah pelajar di situ amat akrab antara satu kaum dengan yang lain.

Malahan. beberapa pengetua yang bersilih ganti di situ juga tidak pernah menimbulkan kontroversi.

"Hubungan murid, ibu bapa dan guru amat baik. Malah, beberapa siri pertemuan bersama,waris seperti mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta hari Konferensi Waris mendapat respon yang baik daripada ibu bapa dan waris," katanya.

Pengetua lelaki itu dikatakan pernah berkhidmat di daerah pendidikan Kulim/Bandar Bharu sebelum memulakan perkhidmatan di sekolah luar bandar yang terletak di pekan kecil Bukit Selambau, kira-kira 26 km dari Sungai Petani itu mulai awal 2009.

http://www.malaysiakini.com/news/140703

malaysiakini: 20 Ogos 2010

Pengetua 'rasis': TPM arah pasukan petugas

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan sebuah pasukan petugas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan pengetua sebuah sekolah di Kulai, Johor secara terbuka menghamburkan ucapan rasis pada pelajar.

Beliau yang juga menteri pelajaran berkata, pasukan petugas itu dibentuk bagi mendapatkan fakta berkaitan dan merancang tindakan lanjut ekoran emosi pelbagai pihak semakin bergelora.

Menurut laporan polis yang tersebar, pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Siti Inshah Mansor didakwa mengeluarkan kata-kata berkenaan pada 12 Ogos ketika mengulas masalah disiplin pelajar.

Beliau didakwa menyatakan bahawa pelajar Cina "tidak diperlukan" dan perlu "pulang" ke China manakala pelajar India patut membuang ikatan tali di pergelangan tangan mereka.

Beliau juga didakwa berkata hanya anjing yang memakai tali seperti itu.

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata, terdapat banyak kenyataan bertentangan berhubung apa sebenarnya yang berlaku.

"Ada banyak perbezaan maklumat antara apa yang dikatakan dan apa yang dimaksudkannya.

"Dan kedua-dua pihak buat laporan masing-masing," katanya merujuk kepada laporan polis oleh pelajar, ibu bapa dan pengetua itu sendiri.

Muhyiddn juga hari ini mendedahkan bahawa pengetua berkenaan telah memohon maaf.

http://www.malaysiakini.com/news/140637

malaysiakini: 20 Ogos 2010

Khamis, 19 Ogos 2010

Paksa berbuka

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
2010/08/19

KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah rendah di ibu kota kecoh apabila seorang ustaz yang juga guru disiplin memaksa satu kelas terdiri daripada lebih 20 murid tahun empat untuk meminum air jampi yang didakwanya mampu menurunkan bala kepada mereka yang meneguk air berkenaan, kelmarin.

Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan separuh murid terpaksa berbuka puasa, sebaliknya mereka takut selain enggan pergi ke sekolah, semalam. Difahamkan, tindakan ustaz berusia lewat 30-an itu bertujuan menjejaki ‘toyol’ dipercayai di kalangan muridnya yang mencuri telefon bimbit milik seorang guru sekolah berkenaan.


Malah, ustaz terbabit individu bertanggungjawab menyediakan air jampi itu kerana dia mendakwa dirinya mempunyai kebolehan luar biasa.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, ustaz terbabit mendakwa setiap murid yang bersubahat dan enggan menyerahkan semula telefon bimbit berkenaan akan jatuh sakit selain muntah darah.


Menurut sumber, bagaimanapun tindakannya itu mengundang padah apabila beberapa waris yang tidak berpuas hati menyerang pengurusan sekolah berkenaan sebelum tampil ke balai polis untuk membuat laporan.


“Semuanya bermula apabila seorang guru wanita berusia pertengahan 20-an mendakwa kehilangan telefon bimbit dan yakin dia tertinggal telefon itu di dalam kelas berkenaan.


“Namun, guru berkenaan gagal menemui semula telefon itu selepas melakukan pemeriksaan dalam kelas itu.


“Dia (guru wanita) melaporkan kejadian itu kepada ustaz terbabit,” katanya.


Sumber berkata, ustaz terbabit masuk ke dalam kelas berkenaan sebelum meminta murid bertanggungjawab menyerahkan telefon bimbit itu.


“Disebabkan semua murid berkenaan mendiamkan diri, dia mendakwa akan menyediakan air jampi yang mampu menurunkan bala.


“Selepas melakukan jampi ke dalam beberapa botol air, dia memaksa semua murid kelas itu meneguk air berkenaan.
“Biarpun selepas minum air itu, tiada seorang murid mengaku mencuri telefon bimbit berkenaan. “Berang dengan kejadian itu, ustaz terbabit mendakwa Tuhan tidak akan menurunkan bala kepada seorang individu saja, sebaliknya jika berlaku bencana ia akan menimpa semua orang.


“Mereka semua bagaimanapun dibenarkan pulang sebaik tamat waktu persekolahan,” katanya.


Sumber berkata, kerana bimbang mengenai bencana yang bakal menimpa mereka, sebilangan murid menceritakan kejadian itu kepada waris masing-masing.


“Beberapa waris tampil ke sekolah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan, namun mereka tidak berpuas hati dengan keterangan diberikan.


“Mereka (waris) membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.


Difahamkan, telefon bimbit guru berkenaan belum ditemui dan sehingga kini, tiada murid jatuh sakit atau memuntahkan darah.


Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.


myMetro: 19 Ogos 2010

Rabu, 18 Ogos 2010

Penilaian guru cemerlang berdasar hubungan baik tak tepat

2010/08/18

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk aduan ‘bekas guru’, dalam ruangan ini bertarikh 9 Mei lalu bertajuk ‘Jemaah Nazir wajar semak guru cemerlang’.

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) diamanahkan untuk mentadbir urus hal berkaitan penilaian calon guru cemerlang dan pemantauan guru cemerlang.

Dakwaan sesetengah guru memperoleh markah tinggi dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) asalkan menjalin hubungan baik dengan penilai tidak tepat.

Aspek lain yang dinilai JNJK ialah keterampilan profesional, pengurusan kurikulum, peranan dalam aktiviti bukan akademik, keperibadian dan pembabitan guru terbabit dalam bidang kepakarannya di peringkat antarabangsa, negara, daerah dan sekolah.

Nazir penilai juga akan menemubual pengetua atau guru besar, guru penolong kanan, ketua panitia, guru dan murid bagi mengesahkan kepakaran calon.

Data kekosongan kuota guru cemerlang gred DG44 di sekolah rendah dan menengah yang diberikan juga tidak tepat. Kuota kekosongan yang diiklankan pada 25 Jun 2010 bagi gred DG44 sekolah rendah adalah 1531, manakala sekolah menengah 476.

Saranan ‘bekas guru’ supaya kuota guru cemerlang gred DG44 lebih banyak di sekolah rendah berbanding di sekolah menengah tidak bersesuaian kerana bilangan guru DG41 lebih ramai di sekolah menengah. Data terkini guru cemerlang DG44 di sekolah menengah (5379) dan sekolah rendah (7137).
JNJK amat prihatin isu berkaitan kualiti guru cemerlang bagi memastikan mereka berupaya mengekalkan kecemerlangan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 18 Ogos 2010

Selasa, 17 Ogos 2010

Cuti Sabtu, Ahad sudah ditetapkan kementerian

2010/08/17

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada aduan ‘Norhisyam Mohamad, Kuala Kedah, dalam ruangan ini bertarikh 22 Julai lalu bertajuk ‘Tetapkan cuti Sabtu, Ahad’.

Kementerian sudah memaklumkan kepada semua agensi di bawahnya iaitu Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah berkaitan cuti Sabtu.

Makluman itu disiarkan melalui surat siaran bertarikh 5 Disember 2005 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8 tahun 2005. Surat siaran ini dikeluarkan ekoran daripada Surat Pekeliling Pentadbiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia melalui Surat Pekeliling Pentadbiran 2005 dan isi kandungan surat berkenaan menyatakan bahawa:

Sabtu Minggu Pertama dan Ketiga adalah hari cuti bagi semua pekerja di agensi kerajaan mahupun agensi swasta. Sabtu minggu kedua dan keempat dibenarkan pihak agensi melaksanakan tugas mengikut keperluan.

Jelas sekali surat siaran itu tidak membenarkan kakitangan kerajaan mengadakan aktiviti atau program pada Sabtu minggu pertama dan ketiga. Pihak kementerian juga sudah mengeluarkan surat arahan kepada sekolah yang masih ingkar agar mematuhi Arahan Pekeliling Pentadbiran berkaitan cuti Sabtu yang diwartakan.

Kementerian boleh mengambil tindakan kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mengingkari arahan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 17 Ogos 2010

Drama Qalesya musim baru rendahkan martabat guru

2010/08/17

BARU-BARU ini saya menyaksikan drama bersiri Qalesya musim baru yang disiarkan Astro Prima pada jam 9 malam. Saya ada mengikuti drama ini sebelum ini dan ternyata ia membawa pengajaran dan jalan ceritanya masuk akal.

Bagaimanapun, untuk musim baru ini, saya melihat terlalu banyak kelemahan dalam drama ini, selain ia seperti mahu merendah-rendahkan martabat guru dan memperlecehkan peraturan sekolah. Adegan murid membawa telefon, membawa gitar ke dalam kelas, selain aksi murid ‘gengster’ dipaparkan di dalam drama ini, sedangkan kita mengetahui semua perkara ini tidak dibenarkan dibawa ke sekolah.

Amat malang bagi Kementerian Pelajaran membenarkan penggambaran drama ini dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama, sedangkan plot dramanya memaparkan perlakuan tidak wajar pelajar di sekolah, selain memperlihatkan karektor guru yang tidak sepatutnya. Pada saya, banyak perlakuan buruk ditonjolkan drama ini supaya diikuti pelajar lain, bukannya untuk mendidik mereka supaya jangan mengikut contoh tidak baik.

Sudah sampai masa Kementerian Pelajaran atau khususnya, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP) mengkaji semula kebenaran kepada syarikat pengeluar drama yang menggunakan sekolah untuk tujuan komersial tetapi memaparkan sikap negatif pelajar dan menggambarkan guru dengan karektor yang tidak masuk akal atau ‘bodoh’.

Pada saya, drama sebegini tidak sesuai untuk ditayangkan di TV1, TV2 atau TV3 kerana ia gagal mencerna murid supaya menjadi pelajar yang baik. Saya juga hairan bagaimana stesen televisyen berbayar menerima drama sebegini untuk tontonan pelanggannya.

GURU LAMA,
Setapak, Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 17 Ogos 2010

Isnin, 16 Ogos 2010

ADaP sesuai di sekolah



SEBAHAGIAN peserta ADaP SK Tengku Mahmood Iskandar 1, Pontian, Johor membuat latihan daripada sisipan pendidikan ADaP baru-baru ini.


JOHOR BAHRU - Pengisian Bengkel Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) Utusan Malaysia sesuai sebagai bahan sokongan akademik di sekolah, kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Ulu Tebrau, Zakaria Bahron.

Menurut beliau, dalam masa dua jam, bengkel itu berlangsung dengan padat, sangat membantu dan dapat mengembangkan minda peserta daripada senaskhah akhbar yang selama ini hanya dianggap bacaan santai orang dewasa.

"Menyedari akan hal itu, selama ini pun saya memang menggalakkan guru sekolah menggunakan akhbar, khususnya sisipan ADaP Utusan Malaysia pada setiap Selasa," katanya di sini baru-baru ini.

Katanya, dalam masa yang singkat itu, peserta ADaP - sama ada guru atau pelajar - boleh mengolah kandungan akhbar Utusan Malaysia menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan.

Sekolah itu mempunyai seramai 741 murid yang kebanyakannya kini ialah cucu para peneroka dan penduduk berhijrah.

Keputusan peperiksaan ujian pencapaian murid kali ketiga baru-baru ini menunjukkan peratusan pencapaian melebihi sasaran.

Menurut Zakaria, pihak sekolah sentiasa berusaha meningkatkan bidang akademik, serta menarik warga Felda untuk bersama-sama pihak sekolah meningkatkan pencapaian sekolah itu.

SK Felda Ulu Tebrau merupakan salah sebuah sekolah yang dikunjungi Unit Pendidikan Utusan Malaysia dalam siri jelajah Johor Bahru, baru-baru ini.

Sekolah lain yang turut mengikuti ADaP ialah SK Kopok, SK Taman Cendana dan SK Seri Alam 2 di Pasir Gudang dan SK Tengku Mahmood Iskandar 1 di Pontian.

Sebelum ini, program turut diadakan SMK Tengku Aris Bendahara di Kluang dan SK Bukti Soga di Batu Pahat.

Sementara itu, di SK Tengku Mahmood Iskandar 1, di Pulai, guru besarnya, Saniah Mohd Khalid memberitahu, pihaknya menggunakan sisipan ADaP pada setiap minggu - iaitu pada setiap Selasa.

"Saya sendiri menggalakkan guru menggunakan bahan akhbar kerana apa yang disajikan ialah bahan terbaru," katanya.

Seramai 99 calon menduduki UPSR tahun ini. Bilangan murid di situ ialah 598 orang. Pencapaian tertinggi adalah pada 2008 apabila 29 calonnya mendapat 5A.

Semua bengkel dan ceramah ADaP dikendalikan oleh Pengarang Pendidikan, Wahid Hashim.

Sedikit pendedahan tentang kerjaya dan cabaran kewartawanan turut menjadi pengisian di sekolah itu.

Utusan Malaysia Online: 16 Ogos 2010

Mengamuk ibu khalwat

Oleh Zuliaty Zulkiffli

2010/08/16

JITRA: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berang apabila mendapati ibunya dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kubang Pasu (PADKP) di rumah mereka di Taman Teja, Changlun di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun dia ditenteramkan penguat kuasa yang melihatnya dalam keadaan marah.


Sebelum kejadian, remaja itu tidur dalam bilik di rumah itu sebelum dikejutkan penguat kuasa yang membuat pemeriksaan kira-kira jam 1.30 pagi selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di situ.


Ibu remaja itu, ustazah berusia 40 tahun yang mengajar di sebuah sekolah rendah di daerah itu dicekup berkhalwat dengan seorang kakitangan kerajaan yang sudah berkeluarga.


Sumber berkata, anak lelaki wanita itu langsung tidak mengetahui ibunya membawa masuk lelaki berkenaan pada hari kejadian.


Katanya, wanita itu dikatakan sudah lama menjanda dan mengenali lelaki itu yang sudah berkeluarga itu sejak beberapa bulan lalu.


“Wanita itu berasal dari Kampung Pulau Nyior, di sini juga pemilik rumah berkenaan, manakala pasangannya berusia 50 tahun berasal dari Langgar, Alor Setar.


“Kami terpaksa menunggu kira-kira 20 minit kerana pemiliknya enggan membuka pintu sehingga memaksa kami menggunakan alat pembesar suara sehingga mengejutkan jiran berhampiran,” katanya.

myMetro: 16 Ogos 2010

Ahad, 15 Ogos 2010

Beri kuasa polis bebankan guru - NUTP

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Saranan agar guru disiplin diberi kuasa polis tambahan tidak akan mampu membendung masalah disiplin pelajar di sekolah sebaliknya memberi bebanan baru kepada guru terlibat.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, tanggungjawab guru bukan sekadar menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

Menurutnya, malah mereka perlu mendidik dan berperanan sebagai ibu bapa dengan menasihati serta membimbing pelajar agar menjadi manusia berguna.

"Tanggungjawab yang dipikul oleh guru-guru pada hari ini amat berat dan tidak wajar sekiranya mereka terpaksa menggalas tanggungjawab baru pula iaitu polis tambahan bagi membendung masalah disiplin di kalangan pelajar.

"Kita tidak mahu nanti tugas guru yang lebih penting iaitu mengajar terpaksa dikesampingkan akibat memikul tanggungjawab lain. Ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran pula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres), Jemale Paimen yang menggesa kerajaan mengkaji pemberian kuasa polis tambahan kepada guru disiplin bagi menghindari pengaruh samseng di sekolah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina berkata, saranan tersebut tidak mampu mengubah sikap pelajar yang tidak berdisiplin menjadi lebih baik malah ia menyebabkan pelajar tidak menyenangi guru mereka.

"Sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak mampu dilaksanakan dengan baik jika saranan itu diwujudkan kerana pelajar akan kurang menghormati tetapi berasa takut terhadap guru-guru mereka.

"Tidak sepatutnya tanggungjawab membendung masalah disiplin pelajar diletakkan di bahu guru sahaja. Seharusnya semua pihak iaitu pengetua, guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat bekerja sebagai satu pasukan bagi menangani masalah tersebut," katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan pula mengalu-alukan saranan tersebut dan mencadangkan diwujudkan jawatan baru bagi menangani masalah disiplin pelajar.

"Perlu diwujudkan satu jawatan baru iaitu penolong kanan disiplin bagi menyelaras dan memantau hal-hal berkaitan disiplin pelajar serta guru-guru di bawah penyeliaan guru besar atau pengetua.

"Perlindungan undang-undang juga wajar disalurkan kepada guru-guru ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan terjadi seperti dicederakan atau disaman," katanya.

Tambahnya, sebelum membenarkan mereka menjalankan tugas dalam membendung masalah disiplin pelajar, guru-guru tersebut perlu diberikan latihan dan penerangan terlebih dahulu bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Utusan Malaysia Online: 15 Ogos 2010

Pendidikan bentuk insan bermoral

Oleh Dr Zakaria kasa

2010/08/15

Pelajar wajar diajar kemampuan berfikir untuk beza tindakan baik atau buruk

KEJADIAN membabitkan murid melakukan jenayah di sekolah dan di luar sekolah sering dipaparkan beritanya di dalam akhbar dan media massa lain. Peristiwa ini boleh dibahaskan daripada pelbagai sudut sama ada berkaitan dengan pendidikan, kemasyarakatan, kekeluargaan dan sebagainya.

Dalam penulisan ini, saya ingin memfokuskan kepada pendidikan. Adakah wajar masalah yang berlaku ini disalahkan kepada sistem pendidikan negara semata-mata? Tidak akan ada manusia yang menyatakan peristiwa yang berlaku itu disebabkan pendidikan semata-mata. Faktor lain yang berkaitan dengan keluarga, masyarakat dan media massa juga boleh kaitkan.

Dari sudut pendidikan, persoalan yang timbul ialah adakah pendidikan mampu membanteras peristiwa ini daripada berlaku? Hendak dinyatakan tidak, tidak tepat dan hendak dikatakan mampu 100 peratus pun tidak tepat.

Pendidikan boleh sedikit sebanyak mengurangkan tindakan tidak bertamadun ini berlaku di kalangan remaja. Pertama, biar kita lihat kepada kurikulum. Adakah kurikulum pendidikan negara – KBSR dan KBSM mampu mendidik pelajar kita menjadi baik dari segi kelakuan dan tingkah laku?

Ada dua mata pelajaran khusus untuk tujuan ini, iaitu Pendidikan Moral diambil pelajar bukan Islam dan Pendidikan Islam untuk pelajar Islam. Adakah Pendidikan Moral mampu melahirkan pelajar bermoral tinggi dengan mempelajari nilai murni dalam mata pelajaran itu?

Adakah pelajar mempelajari mata pelajaran ini untuk menerima nilai murni atau untuk lulus dalam peperiksaan seperti mata pelajaran akademik yang lain. Bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, soalannya ialah sejauh mana akhlak Islam diajar atau diterap di kalangan pelajar? Jika ya, adakah masa yang diperuntukkan untuk mata pelajaran ini membolehkan akhlak Islam diterapkan dengan baik dan berkesan? Bagaimanakah caranya guru Pendidikan Islam menerapkan akhlak Islam kepada pelajar?
Jika soalan ini dapat dijawab dengan baik dan berkesan, saya berasa tiada masalah dalam usaha kita melahirkan insan baik yang dikehendaki. Jika jawapan yang diberikan tidak jelas dan penuh dengan alasan, saya berasa kita masih tidak dapat membentuk insan yang kita kehendaki itu. Ini bermakna dalam sistem pendidikan negara kita sudah ada unsur melahirkan insan baik ini. Bukan saja melalui dua mata pelajaran itu, tetapi juga menerusi mata pelajaran Sivik dan Kenegaraan serta beberapa usaha lain seperti penerapan nilai murni merentas kurikulum.

Jika semua ini dilaksanakan dengan baik, mungkin sebahagian masalah berkaitan dengan melahirkan insan baik melalui sekolah atau sistem pendidikan dapat dilaksana. Masalahnya mungkin sekolah sudah biasa dengan memberi tumpuan kepada hal akademik sehinggakan perkara berkaitan dengan hal melahirkan insan baik tidak dapat dilaksanakan.

Mungkin juga usaha menerapkan nilai murni merentas kurikulum yang tidak diambil kira dalam peperiksaan dianggap tidak penting oleh sekolah. Juga ada guru menyalahkan silibus yang perlu dihabiskan dan kekurangan masa untuk memberi tumpuan kepada aspek ini.

Penambahan pengetahuan, iaitu hal kognitif, boleh dilakukan oleh pelajar sendiri menerusi pembacaan dan pelbagai cara lain. Sebaliknya kemahiran memerlukan peralatan dan perkakasan yang tinggi kosnya. Peralatan dan perkakasan ini juga akan luput ditelan masa. Yang kekal dalam diri pelajar dan dikehendaki masyarakat dan majikan ialah insan baik, insan berkelakuan baik dan mempamerkan nilai murni serta mempunyai kemahiran kebolehdapatan kerja atau kemahiran sosial.

Oleh itu, sistem pendidikan tidak seharusnya mengabaikan unsur penting ini dalam kurikulum dan pentaksiran. Walaupun aspek kognitif dan psikomotor tidak kekal lama dan menjadi luput ditelan masa, konsep dan prinsip asas perlu diberikan kepada pelajar supaya mereka boleh menggunakannya dalam mempelajari sesuatu pada tahap lebih tinggi. Pada tahap sekolah rendah, fokus utama pendidikan seharusnya baca, tulis dan kira. Selain itu, penerapan nilai murni serta kemahiran sosial boleh mula diterap pada peringkat persekolahan ini.

Perkara asas ini sangat perlu sebab dengan kebolehan membaca, menulis dan mengira, pelajar dapat menambah ilmu pengetahuan mengikut masa. Tanpa kemahiran asas ini, pelajar gagal menambah ilmu pengetahuan dan terus ketinggalan. Peperiksaan bukan kayu pengukur pada tahap ini, tetapi penguasaan murid dalam menulis, membaca dan mengira adalah aspek penting kepada setiap murid.

Jangan ditambah dengan pelbagai ilmu pengetahuan lain kerana kemungkinan ada pelajar yang tercicir dan gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Fokus guru ialah pemulihan murid bermasalah dalam pembelajaran.

Semua murid pada Tahun Enam, iaitu tahun akhir persekolahan ini boleh membaca, menulis dan mengira. Guru juga perlu membabitkan murid secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna saiz kelas perlu kecil.

Jika perlu guru harus mempunyai guru pembantu untuk memastikan murid diberi perhatian khusus sama ada dari segi penguasaan kemahiran asas dan insaniah serta adab. Jika mata pelajaran tertentu hendak diajar, biarlah berpaksi kepada membantu penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Sebagai contoh mengajar sains melalui baca, tulis dan kira. Jika pelajar dapat menguasai kemahiran ini, masa depannya dalam penguasaan ilmu pengetahuan lain tidak menjadi masalah. Banyak masalah pembelajaran pelajar pada hari ini ialah tidak menguasai sepenuhnya kemahiran membaca, menulis dan mengira. Selain itu mereka tidak tahu teknik belajar dengan berkesan.

Sepatutnya pelajar wajar dibekal dengan kemahiran belajar menggunakan teknik belajar tertentu. Seperti dinyatakan, pengetahuan yang menjadi asas kepada sesuatu disiplin wajar diberikan kepada pelajar untuk membolehkan mereka terus mencari dan mendalami ilmu dalam bidang berkenaan. Pemberian pengetahuan saja tidak memadai dan perlu disertakan dengan penggunaan pengetahuan berkenaan serta boleh membantu dalam berfikir.Kebolehan individu berfikir membolehkan mereka berada pada barisan hadapan.

Memang tidak dapat dinafikan kebolehan berfikirmampumembentuk individu mempunyai tingkah laku baik. Jika hanya pengetahuan untuk hafalan semata-mata tidak membantu berfikir. Pelajar seharusnya diajar berfikir. Dengan kebolehan berfikir mereka dapat mempertimbangkan tindakan yang mereka ambil atau lakukan sama ada baik atau buruk.

Kebolehan berfikir membolehkan mereka menjadi kreatif, inovatif dan menyelesaikan masalah. Atas sebab itu dikatakan individu yang boleh berfikir mampu mempamerkan tingkah laku yang baik seperti dikehendaki masyarakat.

Penulis ialah Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara

Berita Harian Online: 15 Ogos 2010

Sabtu, 14 Ogos 2010

Mohd Puad setuju beri kuasa polis tambahan kepada guru




BATU PAHAT – Cadangan oleh Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres), Jemale Paimen untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru terutamanya guru disiplin dipersetujui tetapi kajian yang mendalam perlu dilakukan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Walau bagaimanapun, tindakan berkenaan perlu kajian mendalam sebelum diluluskan kerana pelaksanaannya memerlukan masa dan pihak kementerian tidak mahu sesuatu kejadian sebaliknya berlaku.

:Menurutnya, pihak yang mencadangkan untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru juga perlu menghantar satu memorandum berkaitan dengan permintaan itu.

“Perkara tersebut sememangnya baik dan saya sendiri bersetuju tetapi kita perlu lihat kesannya terutamanya kepada guru kerana berkemungkinan ia akan menambah beban tugas guru yang sedia ada.

“Guru disiplin berkenaan juga perlu di beri jaminan keselamatan terutamanya ketika di luar kawasan sekolah jika mahu di beri kuasa terbabit kerana guru berkenaan hanya berkuasa di dalam sekolah sahaja,” katanya ketika melawat mangsa ribut di Minyak Beku, semalam.

Puad berkata, jika guru diberi kuasa berkenaan kebaikannya memang banyak seperti pelajar akan lebih takut untuk melakukan kesalahan di dalam sekolah seperti bertindak balas melakukan kerosakan kepada barangan milik guru termasuklah membakar dan sebagainya.

Katanya, tetapi perkara ini perlu dikaji dan pertimbangan yang sewajarnya akan dilakukan supaya dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan masalah disiplin di kalangan pelajar.

“Bagaimanapun, bukan guru sahaja perlu membendung masalah ini, peranan ibu bapa dan masyarakat juga penting untuk mengatasi masalah pelajar yang terlibat dengan salah laku terutamanya jika berada di luar kawasan sekolah," katanya.

Sinar Harian: 14 Ogos 2010

110 guru Labuan terima anugerah cemerlang

LABUAN 13 Ogos - Seramai 110 pegawai dan guru menerima anugerah pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2009 peringkat Jabatan Pelajaran Labuan yang diadakan di Dewan Serbaguna SJKC Chi Wen, kelmarin.

Mereka ialah pegawai dan kakitangan Jabatan Pelajaran Labuan, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) dari 21 buah sekolah menengah dan rendah di pulau ini.

Dua orang pegawai iaitu Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Ag Marten Abd Rahman dan guru cemerlang SMK Pantai, Noraini Abdul Rahman menerima APC 2009 daripada Kementerian Pelajaran.

Penerima APC menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang, hadiah prestasi sebanyak RM1,000, peluang dan keutamaan untuk memajukan kerjaya, peluang bagi pencalonan untuk menerima pingat serta nama dan gambar akan dipamerkan di pejabat di lokasi yang strategik.

Semua anugerah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Labuan, Mohammad Zaki Mohd Yusof di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Mohd. Salekhan Othman selaku pengerusi AJK Penganjur APC 2010, pegawai kanan Jabatan Pelajaran Labuan, Pengetua dan Guru Besar.

Dalam ucapannya, Mohd Zaki berkata pencapaian prestasi yang cemerlang dan kejayaan sepanjang 2009 adalah hasil daripada keazaman dan komitmen oleh individu itu sendiri.

Katanya, sikap positif berkenaan yang dimiliki oleh penerima APC sewajarnya dibudayakan dan diteruskan untuk meningkatkan imej organisasi.

"Melalui kaedah pembudayaan perkhidmatan cemerlang mampu merealisasikan matlamat Wilayah Persekutuan Labuan untuk menjadi pusat kecemerlangan pelajaran di negara ini,'' katanya.

Beliau menasihatkan semua warga pendidik supaya meneruskan usaha mendidik anak bangsa tanpa rasa jemu dan putus asa.

Mohd. Zaki berharap, kecemerlangan yang dicapai sekarang akan menjadi nadi dan perangsang untuk terus meraih kejayaan serta kecemerlangan pada masa akan datang.

"Semoga dengan kasih sayang yang kita curahkan untuk mendidik anak bangsa akan mendapat keberkatan daripada Tuhan," katanya.

Majlis APC itu diserikan lagi dengan persembahan koir oleh kakitangan Jabatan Pelajaran Labuan.

Utusan Malaysia Online: 14 Ogos 2010

Guru bebas tuduhan cabul 3 pelajar pekak

2010/08/14

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang membebaskan seorang guru lelaki daripada lima pertuduhan mencabul kehormatan tiga pelajar perempuan berusia 15 tahun yang cacat pendengaran, awal tahun lalu.

Hakim Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Klang tidak tersilap ketika memutuskan Mohd Rizal Reboo, 29, tidak bersalah atas semua pertuduhan itu. Pada 22 Februari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Datuk Anita Harun membebaskan tertuduh yang berasal dari Seksyen 18 di sini, daripada pertuduhan mencabul kehormatan pelajar kelas khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Bukit Kuda, Klang, dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap dua daripada mangsa di bilik komputer sekolah antara jam 12 dan 1 tengah hari, 25 Julai 2005.

Atas perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan. Difahamkan, pelajar berkenaan mengadu dicabul tertuduh yang mengambil ukuran pakaian seragam sekolah.

Tertuduh ketika itu mengajar subjek Kemahiran Hidup.

myMetro: 14 Ogos 2010

Jumaat, 13 Ogos 2010

SRJK (C) Jalan Davidson juara robotik

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kehebatan robot yang mampu membancuh teh tarik dan menghidangkan muruku membolehkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Jalan Davidson di sini muncul juara Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) peringkat Wilayah Persekutuan 2010.

Pertandingan tersebut di Pusat Sains Negara di sini hari ini.

Guru sekolah tersebut, Thien Lee Yin berkata, pasukannya memilih muruku dan teh tarik kerana ia adalah makanan popular rakyat Malaysia.

"Tema bagi kategori terbuka adalah 'robot mempromosikan pelancongan' dan kami telah lama berfikir apakah idea yang patut dimasukkan dalam robotik.

"Akhirnya, kami mendapati muruku dan teh tarik paling bagus untuk diaplikasikan serta ia berpotensi menceritakan budaya Malaysia," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu yang disampaikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Abdul Halim Ismail.

Menurut Lee Yin, kemenangan itu melayakkan pasukannya mewakili Wilayah Persekutuan pada pertandingan robotik peringkat kebangsaan di Kuantan pada 25 hingga 27 September ini.

"Kami akan bekerja keras membolehkan pasukan ini menjadi johan bagi peringkat kebangsaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, Kementerian Pelajaran sedang mengubah sistem pendidikan kepada satu transformasi baru untuk membina sistem kurikulum yang teratur.

"Sains telah menjadi aspek yang penting dalam pendidikan kerana kerajaan ingin menerokai inovasi dalam teknologi untuk bersaing di arena antarabangsa," tegasnya.

Katanya, bidang robotik adalah unsur yang wujud daripada kreativiti dan inovasi serta memerlukan perhatian berterusan semasa penciptaan.

Utusan Malaysia Online: 13 Ogos 2010

Khamis, 12 Ogos 2010

SK Chepor dapat premis baru



IR. ABU Bakar Mohamed Said menyerahkan replika kunci Ainon Mahfud ketika majlis penyerahan bangunan tambahan dan kerja-kerja berkaitan di Ipoh, semalam.


IPOH 11 Ogos - Kedatangan Ramadan tentunya disambut dengan penuh keceriaan oleh warga Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, dekat sini apabila mereka kini mempunyai bangunan baru bernilai RM5.67 juta.

Bangunan baru itu mula dibina pada 23 April 2009 dan siap 13 Julai lalu, dua bulan lebih awal daripada tempoh yang dijangkakan iaitu 8 September ini.

Menurut Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kinta, Ir. Abu Bakar Mohamed Said, projek tersebut dilaksanakan bagi menggantikan dua blok bangunan lama yang sudah tidak selesa digunakan.

''Projek SK Chepor mempunyai empat blok iaitu blok A dan B setinggi tiga tingkat, blok C (dua tingkat) dan seunit blok D untuk pra-sekolah yang mampu menempatkan lebih 530 murid.

''Mengenai bangunan lama sekolah, sebahagiannya akan diruntuhkan untuk dijadikan padang sementara kerana kawasan padang sekolah telah digunakan untuk membina sekolah baru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek SK Chepor di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Abu Bakar mewakili Pengarah Kerja Raya negeri, Datuk Dr. Safry Kamal Ahmad.

Sementara itu, Guru Besar SK Chepor, Ainon Mahfud berkata, Jabatan Pelajaran negeri sedang berunding dengan sebuah syarikat untuk membeli sebidang tanah di belakang sekolah untuk dijadikan padang.

Utusan Malaysia Online: 12 Ogos 2010

Rabu, 11 Ogos 2010

Percepat pengeluaran garis panduan peraturan sekolah

11/08/2010 6:12pm

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) hari ini menggesa Kementerian Pelajaran mempercepatkan pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah yang baru bagi melindungi guru berikutan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing.

Setiausaha Agongnya, Lok Yim Pheng berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, kesatuan guru, para akademik dan ibubapa pada 2007, namun, masih belum menerima maklum balas mengenainya.

"Garis Panduan Peraturan Sekolah telah dibincangkan lama dulu, tetapi sehingga kini, masih belum siap dan kami masih lagi menunggu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi menangani masalah disiplin pelajar yang kian meruncing, Lok berkata pihaknya berpendapat lebih ramai guru lelaki diperlukan dan jawatan Ketua Guru Disiplin di setiap sekolah, dijadikan sebagai jawatan baru untuk kenaikan pangkat.

"Bagi melayakkan diri, setiap guru dengan kelayakan DG44 boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut bagi sekolah menengah dan DG32 bagi sekolah rendah,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai persediaan, beliau berkata mereka yang ditawarkan ke jawatan itu perlu menghadiri latihan intensif dalam aspek undang-undang dan cara menangani masalah disiplin sebelum mula bertugas.

Lok juga berkata pihaknya mencadangkan agar kuasa merotan pelajar diberikan semula kepada guru bagi mengawal pelajar yang mempunyai masalah disiplin kronik.

"Syarat boleh diletakkan, tetapi kuasa merotan perlu dipulangkan semula bagi memudahkan kawalan terhadap segelintir pelajar “tegar” yang kerap menimbulkan masalah di sekolah,” katanya.

Beliau berkata perkara itu penting diberikan perhatian untuk melindungi golongan pendidik berdasarkan tindakan “berani” segelintir pelajar pada mutakhir ini yang mencetuskan kebimbangan.

"Sebilangan pelajar kadangkala bertindak terlalu agresif sehingga mencederakan guru, khasnya guru wanita.

"Minggu lepas, seorang guru diserang oleh seorang pelajar yang bertindak agresif di Sarawak,” katanya. — Bernama

Utusan Malaysia Online: 11 Ogos 2010

Isnin, 9 Ogos 2010

Mansuhkan penggunaan buku teks di sekolah

BARU-BARU ini, kerajaan telah mengumumkan suatu langkah drastik dalam sistem pendidikan di Malaysia iaitu cadangan untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekalipun ramai yang masih lagi membahaskan cadangan tersebut dari sudut pro dan kontranya, tentunya kerajaan mempunyai alasan tersendiri bagi melaksanakan cadangan tersebut.

Setelah sekian lama kita bercakap tentang mengurangkan corak pendidikan berorientasikan peperiksaan, maka cadangan kerajaan tersebut merupakan satu-satunya langkah yang konkrit ke arah mencapai apa yang sekian lama hanya tinggal sebagai perbahasan di atas kertas atau di medan forum semata-mata.

Sesungguhnya isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai isu yang melanda sistem pendidikan di Malaysia. Di antara isu yang masih belum selesai adalah isu beg berat yang di bawa oleh anak-anak kita ke sekolah.

Setelah pelbagai cadangan dikemukakan dan dilaksanakan (sebahagiannya separuh jalan) oleh para menteri demi menteri, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah yang agak drastik (sebagaimana pemansuhan UPSR dan PMR) iaitu dengan memansuhkan penggunaan buku teks di sekolah.

Pada hemat saya, membawa buku teks ke sekolah memberi sumbangan terbesar kepada berat beg yang dibawa oleh pelajar, walhal menurut pemerhatian penulis sebagai seorang guru, buku-buku teks tersebut tidak digunakan oleh sebahagian besar guru sebagai rujukan untuk mengajar.

Guru-guru kebanyakannya lebih gemar menggunakan buku rujukan yang dibeli di kedai kerana ia menyediakan maklumat yang lebih ringkas, padat dan fokus kepada peperiksaan. Buku-buku latihan yang dijual di pasaran pula digunakan kerana menjimatkan masa guru-guru dan pelajar daripada terpaksa menyalin latihan di papan putih.

Pada zaman sekarang di mana kita cuba menggalakkan pelajar untuk mencari dan meneroka maklumat di dunia nyata dan dunia maya (Internet), maka penggunaan buku teks sudah tidak relevan lagi. Guru-guru pula sudah diberikan Sukatan Pelajaran dan huraiannya serta latihan yang secukupnya agar tidak tersasar daripada segi kandungan dan skop pengajarannya.

Konsep penerokaan ilmu melalui 'open-source' akan termendap sekiranya guru-guru masih lagi menggunakan buku teks untuk pengajaran. Bahkan perkembangan ilmu pada zaman ini terlalu pantas sehinggakan sesuatu ilmu di dalam buku teks boleh menjadi 'obselete' dalam masa dua tiga tahun sahaja.

Sekiranya kerajaan masih mahu menggunakan buku teks, saya cadangkan Kementerian Pelajaran segera memperkenalkan konsep "e-textbook" di mana rujukan rasmi sesuatu mata pelajaran atau boleh dirujuk di dalam Internet.

Apalah gunanya kerajaan menghabiskan jutaan ringgit saban tahun untuk menyedia dan menguruskan buku-buku teks sedangkan dari sudut penggunaannya amat minimum sekali.

Alangkah baiknya jika peruntukan tersebut disalurkan kepada berbagai cabang lagi keperluan di bidang pendidikan di negara ini seperti pembangunan profesionalisme guru dan pembinaan sahsiah pelajar yang semakin luntur.

ZIL AMRI

Kota Bharu, Kelantan

Utusan Malaysia Online: 8 Spetember 2010