Khamis, 26 Julai 2012
Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?
Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.
Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.
Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu.
Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan.
Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan wang.
Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas ketika mereka berada di bangku sekolah.
Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas meninggalkan bangku sekolah nanti.
Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan atau corporal punishment. Tambah mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.
Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula. Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan.
Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dan sekolah.
Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.
Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan.
Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.
Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal.
Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.
Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut.
Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis.
Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan.
Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan tersebut.
Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.
Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2012
Isnin, 16 Julai 2012
Sikap biadab bongkar rahsia diperkosa abang
Difahamkan, guru wanita itu yang tidak tahan dengan murid berkenaan kerana masih mengulang sikap sama walaupun sudah berulang-kali ditegur supaya berkelakuan baik, membawa kanak-kanak itu untuk dirujuk kepada guru kaunseling, 12 Julai lalu.
Menurut sumber, pada sesi pertemuan dengan guru kaunseling, murid berkenaan hanya mendiamkan diri dan enggan menjawab ketika ditanya mengapa dia bersikap tidak menghormati guru dan rakan dalam kelas.
“Ketika disoal lagi, tiba-tiba murid itu menangis dan keadaan itu membuatkan guru kaunseling berkenaan semakin hairan. “Selepas didesak, budak perempuan itu mendedahkan rahsia dia dirogol abang kandungnya yang berusia 20-an sejak dia berusia lapan tahun,” katanya.
Katanya, pelajar berkenaan menyatakan perbuatan jijik itu dilakukan abangnya ketika keluarga mereka tiada di rumah di Taman Petaling Utama, di sini, dan kali terakhir dirogol, awal bulan ini.
“Berasakan dirinya sudah tidak berharga menyebabkan murid berkenaan memberontak. Sebenarnya kanak-kanak itu mahukan perhatian dan nasib baik gurunya mengesan masalah itu.
“Sebaik mengetahui perkara itu, guru kaunseling berkenaan membawa pelajarnya membuat pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan laporan itu dan pihak polis kini sedang memburu abang mangsa.
myMetro: 16 Julai 2012
Jumaat, 13 Julai 2012
Kesalahan paling berat
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kementerian sentiasa memandang serius kes begitu dan mahu pengurusan sekolah serta Jabatan Pelajaran Negeri membuat laporan menyeluruh sebelum tindakan tegas dapat diambil.
“Jika pelajar memukul guru memang kami kelaskan ia kes berat dan takkan berkompromi, namun dalam kes ini saya belum lagi menerima laporan lengkap. Tetapi mengikut amalan, jika ia sudah dilaporkan kepada polis, maka kami perlu menunggu sehingga siasatan selesai.
“Sebaik selesai, barulah keputusan dibuat, namun yang pasti jika terbukti mana-mana pihak bersalah maka tindakan tegas menunggu mereka. “Apapun, saya merasa dukacita dengan kejadian begini kerana ia tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini yang mana kami dapati disiplin pelajar dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Segamat Batu Anam, Segamat, Johor cedera di kepala dan menerima satu jahitan kerana cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan pelajarnya, Selasa lalu.
Difahamkan dalam kejadian jam 11 pagi itu, kebanyakan guru dan pelajar sedang menyertai kejohanan sukan di padang sekolah, sebelum guru Sains berusia 27 tahun itu melihat dua kumpulan membabitkan 10 pelajar bergaduh di tepi padang.
Berikutan itu, dia dikatakan bertindak menjadi orang tengah dan cuba meleraikan perbalahan berkenaan sebelum tiba-tiba seorang pelajarnya meluru sambil cuba memukul pelajar lain dengan penyapu, namun malangnya terkena kepala guru berkenaan.
Dr Mohd Puad berkata, tahap masalah disiplin pelajar di semua sekolah semakin menurun sekali gus menyaksikan satu perkembangan baik.
“Konsep ini penting selain bentuk hukuman kepada kesalahan dilakukan. Dan ini yang kami cuba wujudkan supaya murid dan pelajar tak merasa takut dengan guru bahkan mereka berasa seperti keluarga dan suasana cukup harmoni di sekolah,” katanya.
Jelasnya lagi, kes buli, gengsterism, merokok dan berambut panjang di sekolah juga tidak meruncing kerana masalah disiplin paling tinggi adalah daripada kategori ponteng sekolah, malah ia juga berpunca daripada banyak faktor termasuklah ketiadaan pengangkutan di sekolah pedalaman.
myMetro: 13 Julai 2012
Rabu, 11 Julai 2012
Tiada kompromi pelajar samseng
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya masih belum menerima laporan lengkap berkaitan kes membabitkan tindakan tiga pelajar lelaki memecah masuk bilik guru disiplin dan menyimbah cat merah di pagar sekolah mereka di Subang Jaya, jam 10 malam, Sabtu lalu.
“Ini sudah jadi kes polis dan kami perlu menunggu laporan siasatan pihak berkuasa sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap pelajar berkenaan,” katanya.
myMetro: 11 Julai 2012
Selasa, 10 Julai 2012
Pecah gegendang telinga ditampar senior
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi pada Khamis lalu itu, mangsa yang belajar di sebuah sekolah di Jalan Langgar di sini, dibuli dan dipukul oleh dua pelajar senior tersebut dalam asrama sekolah.
Nor Hapizah Putih, 39, mendakwa, insiden menimpa Mohd. Hazim Mohd. Zaid, 13, yang tinggal di asrama sekolah itu, disedari setelah anaknya mengadu sakit telinga Khamis lalu.
Katanya, Mohd. Hazim bagaimanapun tidak memaklumkan kisah sebenar dibuli oleh pelajar senior sekolah itu.
"Ketika dia (Mohd. Hazim) pulang ke rumah Sabtu lalu, dia masih mengadu sakit telinga lalu saya terus bawa dia ke klinik. Hasil pemeriksaan, doktor beritahu gegendang telinga dia pecah mungkin disebabkan anak saya dipukul atau ditampar dengan kuat.
"Ketika itu anak saya masih enggan beritahu dia dibuli, namun selepas dipujuk, baru dia ceritakan perkara sebenar kepada kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Teduh, Gunung Keriang di sini, semalam.
Menurutnya, dia dan suaminya telah berjumpa dengan pihak sekolah dan melaporkan perkara tersebut kepada polis.
"Saya lahirkan Mohd. Hazim dengan sempurna tanpa ada sebarang kecacatan tetapi disebabkan dia dibuli, gendang telinga dia pecah dan mungkin pada masa depan dia tidak dapat mendengar dengan baik.
"Saya berharap pihak sekolah akan mengambil tindakan segera kepada pelajar yang membuli anak saya kerana tidak mahu pelajar lain mengalami nasib sama seperti anak saya," katanya.
Mohd Hazim ketika menceritakan insiden itu memberitahu, kesemua pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga telah dipanggil oleh pelajar senior Tingkatan Lima untuk berkumpul di bilik asrama.
"Mereka suruh kami semua ketuk ketampi 250 kali dan suruh siapa yang ada buat salah di dalam asrama tampil ke depan.
"Saya yang tidak tegangkan cadar keluar ke depan dan dua pelajar senior tampar pipi kanan dan kiri dengan kuat sehingga saya berasa sakit di dalam telinga," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi berkata, dia belum menerima laporan mengenai kejadian buli di sekolah tersebut.
"Saya belum dimaklumkan mengenai kes buli ini namun saya akan menyiasat perkara ini dengan segera," katanya yang berada di Putrajaya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia Online: 10 Julai 2012
Kurang ajar
am@hmetro.com.my
ROSAK...bilik guru disiplin disimbah cat merah.
CONTENG...pelajar terbabit turut menconteng dinding kawasan sekolah.
Lebih berani apabila seorang pelajar berusia 17 tahun bersama dua lagi rakannya berusia 15 tahun itu turut menconteng bangunan sekolah berkenaan dengan pelbagai perkataan berbaur ugutan, selain nombor atau simbol dipercayai berkaitan dengan kumpulan kongsi gelap.
Dalam kejadian jam 10 malam Sabtu lalu, semua pelajar itu dikatakan mahu menunjukkan tanda protes kepada guru disiplin selain bertujuan menakutkan pelajar lain.
Bagaimanapun, keberanian mereka itu mengundang padah apabila mereka yang diburu sejak dua hari lalu dicekup polis kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Sumber polis berkata, laporan kejadian itu dibuat pengawal keselamatan sekolah berkenaan di Balai Polis USJ 8, di sini, selepas mendapati tiga pelajar terbabit menceroboh bilik guru, menyimbah cat merah dan menconteng bangunan.
Beliau berkata, ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit sedang melakukan rondaan rutin.
“Pengawal keselamatan itu terkejut apabila mendapati bilik guru disiplin di sekolah berkenaan berselerak akibat diselongkar,” katanya.
Sumber berkata, dia kemudian meneruskan pemeriksaan di kawasan sekolah sebelum menemui kesan conteng yang mempunyai pelbagai perkataan berbaur ugutan, simbol dan nombor dipercayai menjurus kepada kumpulan kongsi gelap.
“Walaupun berlaku pergelutan, namun pelajar berkenaan sempat melarikan diri,” katanya.
Katanya, ketika melalui pagar belakang sekolah, kumpulan pelajar terbabit sekali lagi menyimbah cat merah di kawasan berkenaan sebelum melarikan diri.
“Pengawal keselamatan itu kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber berkata, sepasukan anggota polis melancarkan usaha memburu kumpulan pelajar terbabit sebelum ditahan semalam di kawasan berhampiran sekolah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga pelajar terbabit.
“Semua mereka ditahan di kawasan berhampiran sekolah berkenaan (hari ini) semalam,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sudah merakam percakapan tiga pelajar itu dan siasatan awal mendapati kumpulan itu mahu menunjukkan tanda protes mereka kepada pihak sekolah selain menakutkan pelajar lain.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan 427 KK,” katanya yang turut mengakui pihaknya sedang menyiasat kemungkinan tiga pelajar terbabit dipergunakan mahupun menganggotai kumpulan kongsi gelap.
Katanya, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi menyelesaikan kes berkenaan.
Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan yang ditemui di pejabat sekolah itu enggan mengulas lanjut kejadian berkenaan kerana bimbang menganggu siasatan.
myMetro: 10 Julai 2012
Rabu, 20 Jun 2012
NUTP syor bendung segera remaja samseng
2012/06/20
Sambil melahirkan rasa kesal terhadap insiden di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di sini tengah hari kelmarin, NUTP juga mahu aspek keselamatan di sekolah diberi perhatian serius.
“Kejadian seperti ini harus dikawal mulai dari sekarang, walaupun ia adalah kes terpencil, tetapi harus diberi perhatian serius oleh semua pihak, ” katanya ketika dihubungi semalam.
myMetro: 20 Jun 2012
Isnin, 18 Jun 2012
Syor rekod disiplin syarat ke SBP
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2012/06/18
KUALA LUMPUR: Rekod disiplin dan sahsiah pelajar wajar dijadikan kriteria dalam mempertimbangkan permohonan biasiswa atau kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan universiti.
Yang Dipertua MPSM, Muhamad Khailani Abdul Jalil, berkata kriteria itu dapat mendidik dan memupuk pelajar supaya sentiasa peka kepada kepentingan sahsiah, sekali gus membantu mengatasi masalah disiplin di sekolah.
“Antara komponen penilaian boleh diambil kira dalam pemantauan terhadap sahsiah dan disiplin pelajar ialah sikap, tingkah laku dan kehadiran ke sekolah. Malah, boleh diperkenalkan sistem merit dan demerit untuk menilai disiplin pelajar.
“Sudah sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar sebagai mata pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui penilaian terhadap amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan berkesan oleh pelajar di sekolah dan ibu bapa.
“Ukuran kecemerlangan seseorang pelajar tidak harus terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu holistik meliputi kokurikulum, kepemimpinan dan kemasyarakatan, sahsiah serta disiplin yang dilihat penting untuk pembinaan karakter generasi muda negara.
“Semua pembaharuan ini mesti berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk masa depan. Falsafah sedia ada sudah bagus dan tidak perlu digugurkan, cuma pelaksanaannya boleh ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Dalam pada itu, Muhamad Khailani, berkata dalam memorandumnya, MPSM turut meminta kerajaan terus mengekalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.
“Ini berikutan melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang sedang berlangsung, dilihat ada kecenderungan sesetengah peserta yang mahu supaya diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris sebagai pilihan dalam sistem pendidikan negara.
“Kita tak setuju. MPSM akan bergabung usaha dengan pejuang bahasa untuk memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem pen-didikan negara seperti termaktub dalam Dasar Bahasa Kebangsaan dan Penyata Razak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata hasil perbincangan siri DNPN 2012 yang kini memasuki fasa pertengahan akan diserahkan kepada Pengerusi Panel Penilai Bebas Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara, Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Ogos depan.
Panel itu sudah menjelajahi lima tempat setakat ini, iaitu Putrajaya, Labuan, Miri, Shah Alam dan Pulau Pinang, manakala yang terakhir di Johor Bharu akan diadakan bulan depan.
Berita Harian Online: 18 Jun 2012
Tiada kaitan kongsi gelap
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, berhubung kecederaan seorang guru penolong kanan sekolah itu ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan, guru terbabit tercedera bukan kerana dijadikan sasaran kumpulan yang bergaduh, tetapi terkena objek yang dibaling seorang daripada kumpulan itu.
Menurutnya, siasatan polis mendapati guru berkenaan bukan sengaja dibaling atau dicederakan, tetapi terkena objek balingan seorang daripada remaja yang bergaduh ketika mangsa cuba meleraikan pergaduhan dan sehubungan itu tiada suspek tertentu yang dicari kerana mencederakan mangsa.
“Kami menahan 20 suspek berusia antara 15 dan 21 tahun di sekitar daerah berkenaan yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan itu dalam beberapa serbuan susulan pada hari kejadian.
“Seramai 14 suspek yang ditahan adalah pelajar sekolah berkenaan, manakala enam lagi remaja tidak bersekolah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Difahamkan polis menahan semua suspek berdasarkan keterangan daripada saksi kejadian dan pihak sekolah serta penemuan dua motosikal milik kumpulan remaja terbabit yang ditinggalkan selepas kejadian kerana rosak teruk, selain rakaman video melalui telefon bimbit seorang pekerja sekolah yang berada di lokasi ketika insiden pergaduhan itu berlaku.
Polis turut menegaskan pergaduhan itu tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap atau aktiviti gangsterisme, tetapi berpunca daripada salah faham antara dua pelajar hingga membawa pergaduhan.
Harian Metro kelmarin, melaporkan sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.
myMetro: 18 Jun 2012
Khamis, 5 April 2012
Perempuan samseng
am@hmetro.com.my
CHANGLUN: Gara-gara cemburukan seorang junior lebih rapat dengan seorang pelajar lelaki tingkatan empat, pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah sekolah di sini membelasah pelajar perempuan tingkatan dua dalam tandas sekolah hingga pengsan.
Kejadian berlaku jam 1.45 tengah hari, kelmarin apabila Noor Azwa Sabri, 14, dipanggil pelajar itu yang dipercayai mengesyakinya mempunyai hubungan dengan pelajar lelaki itu.
Menurut Noor Azwa, dia serta rakannya menunggu dijemput ahli keluarga selepas tamat sesi persekolagan untuk pulang ke rumah di Kampung Batu 13, Jalan Sintok, tiba-tiba didatangi beberapa pelajar perempuan, termasuk pelajar senior itu.
“Saya dipanggil masuk ke dalam tandas, dia terus melepaskan geram dengan memukul badan dengan fail berkali-kali dan mengetuk kepala dengan tangan hingga pandangan kelam dan kabur.
“Saya tidak melawan kerana bimbang dia akan memukul lebih teruk kerana dia banyak pengaruh di sekolah, selepas itu saya tidak ingat kerana pengsan dan apabila tersedar sudah berada di bilik guru,” katanya. Menurutnya, dia tiada hubungan dengan pelajar lelaki berkenaan yang hanya dianggap kawan biasa serta hanya bertegur sapa di sekolah. Beliau berkata, dia tidak tahu niat sebenar pelajar senior itu yang bakal duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini kerana tidak pernah buat salah atau menyakiti hatinya.
“Sejak saya di tingkatan satu, dia ada memberi amaran supaya tidak mendekati pelajar lelaki itu, tetapi saya hanya mendiamkan diri tidak memberitahu sesiapa termasuk keluarga.
“Kali ini, saya terpaksa membuat laporan kerana bimbang kejadian lebih buruk lagi,” katanya.
Menurutnya, itu bukan kali pertama dia dikasari pelajar terbabit sehingga takut untuk ke sekolah.
Dia mendakwa pelajar senior itu pernah menyerang beberapa lagi pelajar perempuan lain tetapi mereka mendiamkan diri kerana bimbang diketahui pihak sekolah atau keluarga.
Difahamkan, pergaduhan itu hanya berlaku antara dua pelajar terbabit kerana pelajar senior itu tidak mahu rakan mangsa dan rakannya sendiri mencampuri urusannya dengan meminta mereka menunggu di luar tandas.
Selepas pelajar itu beredar, rakan mangsa, Norashikin Amran, 14, masuk untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati mangsa pengsan lalu berlari ke bilik guru untuk memaklumkan kejadian.
Norashikin berkata, dia cuba masuk ke dalam tandas tetapi pelajar senior berkenaan menghalangnya berbuat demikian.
“Saya takut ke sekolah kerana bimbang dia (pelajar senior) tidak berpuas hati dan akan mengganggu kami,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Noor Shahida Abu Bakar, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu pagi semalam, selepas anak keempat daripada tujuh beradik enggan ke sekolah walaupun abang sulungnya yang berusia 18 tahun, menyuruhnya bersiap. Sejak bersekolah di situ, katanya, Noor Azwa seperti takut hendak ke sekolah dan sebelum ini pernah mengadu dibuli pelajar senior tetapi tidak ambil kisah kerana menganggap mungkin hanya salah faham.
“Tapi apabila pelajar senior itu mengasari Noor Azwa, saya tak boleh berdiam diri lalu membuat laporan polis. Saya harap pihak berkuasa, termasuk pengurusan sekolah mengambil tindakan terhadap pelajar berkenaan.
“Saya juga bercadang mengambil tindakan undang-undang kerana anak saya kini tertekan dan trauma,” katanya yang turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Datuk Zaini Japar, semalam.
Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi enggan mengulas sehingga laporan diterimanya.
Manakala jurucakap polis mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
myMetro: 5 Mac 2012
Rabu, 14 Mac 2012
Sembilan pelajar kena gantung sekolah
2012/03/14
SEREMBAN: Sembilan pelajar sebuah sekolah menengah, di sini digantung persekolahan dua minggu selepas didapati terbabit membuli dan memukul seorang murid Tahun Satu hingga lebam seluruh badan di Sikamat, di sini, awal bulan ini.Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Abdullah Hanapi, berkata pelajar terbabit adalah penghuni rumah anak yatim yang didiami mangsa.
Katanya, siasatan mendapati penyelia rumah anak yatim berkenaan hanya mengetahui kejadian itu selepas ibu mangsa, Suzianawati Mohamad, 33, datang ke rumah kebajikan berkenaan pada jam 7.30 petang 2 Mac lalu, iaitu tiga hari selepas kejadian.
“Dua daripada tujuh pelajar terbabit dihantar pulang ke rumah masing-masing manakala lima lagi dikenakan tindakan gantung persekolahan,” katanya, semalam.
Minggu lalu, akhbar ini melaporkan murid terbabit trauma untuk ke sekolah selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya lebam.
Abdullah berkata, pihaknya belum dapat bertemu mangsa dan ibunya untuk mendapatkan penjelasan lanjut kerana mereka pulang ke kampung di Jempol.
Berita Harian Online: 14 Mac 2012
Rabu, 7 Mac 2012
Anak saya nakal sangatkah?

SEREMBAN 6 Mac - Ibu mangsa buli, Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman, 7, hanya inginkan keadilan untuk anaknya yang dibuli dengan teruk oleh rakan-rakan mangsa sehingga cedera dan lebam di sebuah sekolah kebangsaan di Sikamat dekat sini Jumaat lalu.
Suzianawati Mohamad, 33, berkata, sehingga kini dia tidak tahu kesalahan yang dilakukan oleh anaknya itu sehingga dia diperlakukan sedemikian rupa.
Dia tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana apa yang diinginkan adalah kebenaran dan keadilan.
"Saya tak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana saya hanya nak tahu kenapa dia dipukul begitu dahsyat.
"Adakah anak saya jahat atau dia nakal sangat atau orang yang memukulnya mengalami tekanan mental," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Suzianawati yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang terkejut apabila mendapati anaknya cedera selepas disyaki dibuli rakan-rakannya sehingga lebam-lebam di seluruh anggota badannya.
Mangsa, Faqrul Hakimi mengalami kesan lebam pada muka, badan, paha dan betis yang disyaki akibat dipukul dengan objek keras.
Hari ini, Suzianawati bersama Faqrul Hakimi pergi ke sekolah tempat murid itu belajar dekat sini untuk bertemu dengan pengurusan sekolah dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Dua beranak itu kemudian pergi ke rumah anak yatim di Taman England dan turut mengadakan perbincangan dengan warden rumah tersebut.
Suzianawati bagaimanapun enggan mendedahkan butiran pertemuan tersebut.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, siasatan akan dijalankan daripada segenap aspek mengenai punca dan mereka yang terlibat.
"Kita masih lagi menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kes itu berlaku. Setakat ini kita masih menunggu laporan pihak hospital dan Jabatan Pelajaran negeri sebelum tindakan susulan diambil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abd. Halim Abd. Razak ketika diminta mengulas kes tersebut memaklumkan telah melawat ke sekolah berkenaan bagi mendapatkan maklumat.
Utusan Malaysia Online: 7 Mac 2012
Siasatan kes buli, pukul murid bermula
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bharian.com.my
2012/03/07
Jabatan Pelajaran jumpa guru besar, dapatkan penjelasan lanjut JKMSEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNNS) memulakan siasatan berhubung kejadian seorang murid Tahun Satu yang dibuli dan dipukul hingga lebam seluruh badan di Sikamat di sini, Jumaat lalu.
“Bagaimanapun, JPN masih lagi menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melakukan siasatan di asrama anak yatim yang dihuni mangsa,” katanya di sini, semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan, murid Tahun Satu trauma selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya lebam.
Kejadian itu hanya disedari ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, Jumaat lalu kira-kira jam 7.30 petang selepas mengambil anaknya berusia 7 tahun dari rumah anak yatim di Sikamat.
Berita Harian Online: 7 Mac 2012
15 dibelasah
IPOH: Seramai 15 pelajar sebuah sekolah di sini, dibelasah beramai-ramai lebih 30 pelajar lain menggunakan batang penyapu dan topi keledar hingga cedera selepas mangsa didakwa mengejek pelajar senior.
Dalam kejadian jam 10 pagi Rabu lalu, sekumpulan murid tingkatan empat dan lima sebuah sekolah menengah di sini, dilaporkan bertindak ganas menyerang sekumpulan murid tingkatan tiga.
Pergaduhan antara ‘geng senior’ dan ‘geng junior’ itu berlaku apabila seorang daripada pelajar tingkatan lima sekolah sama tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pelajar tingkatan tiga a mencaci sebelum pergaduhan tercetus.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Leong, 15, berkata, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah apabila mereka dikepung kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima itu.
Menurutnya, mereka dipukul beramai-ramai menggunakan batang penyapu selain ditumbuk dan ditendang berulang kali.
“Kami cuba melawan, namun bilangan mereka terlalu ramai. Mereka turut mendapat bantuan rakan di luar sekolah untuk memukul kami,” katanya.
myMetro: 7 Mac 2012
Rabu, 8 Februari 2012
46 pelajar sekolah ditahan tahun lalu
MELAKA 7 Feb. – Seramai 46 pelajar sekolah di negeri ini telah ditahan tahun lalu atas pelbagai kesalahan kesalahan termasuk jenayah rogol yang mencatatkan bilangan kes paling tinggi dalam tempoh tersebut.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, indeks jenayah keseluruhan membabitkan golongan itu namun menunjukkan penurunan iaitu 28 kes pada 2010 yang melibatkan tangkapan seramai 67 orang.
“Penurunan 15 kes atau 54 peratus itu menunjukkan kesungguhan dan komitmen pasukan polis dalam membendung jenayah membabitkan pelajar sekolah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Kempen Cegah Jenayah 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent di sini hari ini.
Menurut Ghee Lye, walaupun terdapat penurunan dalam statistik indeks jenayah, kerjasama yang holistik di antara pihak sekolah, ibu bapa dan polis perlu terus dipergiatkan bagi membendung salah laku pelajar sekolah daripada menjadi lebih serius.
Katanya, kempen pencegahan jenayah perlu diperluaskan ke semua sekolah bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada pelajar supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.
“Sesuatu perlu dilakukan bagi membendung salah laku pelajar yang kini terdedah kepada pelbagai jenis jenayah termasuk penyalahgunaan dadah, seksual, gengsterisme, vandalisme dan buli yang menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kepada masyarakat,” katanya.
Utusan Malaysia Online: 8 Februari 2012
Selasa, 7 Februari 2012
Pelajar ponteng diminta solat hajat
berita@kosmo.com.my

KOTA BHARU – Seramai 29 pelajar dari beberapa buah sekolah dicekup pada ‘Operasi Mencegah Ponteng Sekolah’ di sekitar bandar ini semalam.
Kesemua mereka ditahan di 12 kawasan ‘panas’ yang menjadi tempat tumpuan pelajar ponteng antaranya rumah tinggal, madrasah serta pasar raya.
Kawasan berkenaan termasuk Ketereh, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, Kedai Lalat dan sekitar bandar Kota Bharu.
Operasi yang pertama kali diadakan tahun ini itu dilancarkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu dengan kerjasama Polis, Rela, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Perbandaran Kota Bharu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Dalam operasi pada pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari itu, seorang pelajar tingkatan empat ditangkap ketika menghisap rokok di dalam sebuah rumah kosong di Kedai Lalat di sini.
Murid tersebut ketika ditanya pemberita mengakui ketagih rokok dan menghabiskan lima batang rokok setiap hari.
Kosmo Online: 7 Februari 2012
Khamis, 19 Januari 2012
Datuk mahu guru pukul cucu diambil tindakan

TELUK INTAN 18 Jan. - Jabatan Pelajaran negeri diminta mengambil tindakan terhadap seorang guru yang memukul seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong, di sini sehingga pengsan semalam.
Penjaga yang juga datuk kepada pelajar tersebut, Zulkefli Lop, 61, berkata, guru tersebut tidak sepatutnya menggunakan kekerasan dengan memukul cucunya sehingga pengsan dan dimasukkan ke hospital.
"Saya akui cucu saya nakal dan saya tiada masalah jika guru menggunakan rotan untuk mendidik, tetapi jangan pukul sampai dia masuk hospital.
"Pukul pula di tempat bahaya iaitu di tengkuk. Macam mana kalau terputus urat atau berlaku kematian, siapa yang hendak bertanggungjawab kerana bapanya tiada di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong di sini hari ini.
Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, pelajar berkenaan mendakwa dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.
Pelajar tersebut, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar lain di tingkat atas sekolah berkenaan.
Menurut Zulkefli lagi, dia kesal kerana tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kejadian yang menimpa Muhamad Ziqril dan hanya mengetahuinya melalui seorang rakan kepada cucunya petang semalam.
"Sampai pukul 6 petang saya tunggu cucu saya tidak pulang ke rumah. Selepas itu, seorang kawan dia beritahu Muhamad Ziqril ada di perhentian bas depan sekolah kerana baru keluar hospital akibat dipukul guru.
"Saya pun terus pergi ke sana untuk membawa cucu saya pulang ke rumah," katanya sambil menyatakan turut kesal kerana pihak sekolah tidak membuat laporan polis berhubung insiden itu.
Susulan kejadian itu, Zulkefli memberitahu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini tengah hari ini.
Dalam pada itu, seorang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Changkat Jong, Ayub Harun, 58, yang melawat pelajar itu berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana seorang guru sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada murid dan masyarakat.
"Memang ada sesetengah murid sangat nakal di sekolah, tetapi kita ada undang-undang. Kalau hendak pukul untuk mengajar, guna rotan supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada pelajar," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa ketika dihubungi berjanji akan menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika guru tersebut didapati bersalah.
Utusan Malaysia Online: 19 Januari 2012
Rotan jika salah, bukan belasah
berita@kosmo.com.my

TELUK INTAN – Datuk kepada seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini kecewa apabila cucunya yang mendakwa dipukul seorang guru sekolah kelmarin telah menjadi mangsa perbuatan pihak yang sepatutnya mendidik dan bukan bertindak di luar batas undang-undang.
Zulkefli Lope, 61, berkata, tindakan keterlaluan guru terbabit menyebabkan cucunya, Muhammad Ziqril Hakin Mohd. Farol pengsan dan terpaksa dirawat di Hospital Teluk Intan di sini.
Tambah mengecewakan Zulkefli ialah dia selaku penjaga pelajar itu hanya mengetahui kejadian tersebut daripada rakan sekelas Muhammad Ziqril Hakin selepas waktu sekolah.
“Sudahlah saya tidak dimaklumkan langsung, cucu saya itu pula ditinggalkan bersendirian di perhentian bas untuk pulang ke rumah selepas mendapat rawatan di hospital.
“Saya akui dia nakal sebab berkelahi di sekolah dan saya tak kisah dia dirotan tapi janganlah dibelasah sampai begitu sekali,” kata Zulkefli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam.
Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Ziqril Hakin mendakwa dipukul tiga kali di muka dan leher oleh seorang guru sehingga pengsan.
Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas pelajar berkenaan berkelahi dengan seorang pelajar lain hingga menyebabkan guru terbabit masuk campur.
Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak membuka kertas siasatan.
Kosmo Online: 19 Januari 2012
Rabu, 18 Januari 2012
Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan
MUHAMAD ZIQRIL HAKIN telantar di atas pengusung di Hospital Teluk Intan semalam. |
TELUK INTAN - "Kami berkelahi tetapi mengapa cikgu masuk campur dan pukul kami berdua sehingga saya cedera teruk."
Demikian luah seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong di sini yang mendakwa dia dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.
Pelajar berkenaan, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar di sekolah tersebut.
"Saya terkejut kerana guru itu menerpa datang dan memukul kami berdua dengan tangannya. Saya dipukul sebanyak tiga kali di muka dan sekali di leher sehingga menyebabkan saya terjatuh.
"Saya tidak ingat apa-apa lagi selepas itu dan sedar-sedar saya sudah terbaring di atas katil di hospital. Saya cuma rasa sakit di tengkuk dan kepala saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan di sini semalam.
Kosmo Online: 18 Januari 2012
Isnin, 26 Disember 2011
Pelajar berpindah sekolah akibat dibuli
Latar belakang
SARBINI anak penjual nasi lemak di Pasar Borong Selayang. Ibunya tukang jahit sambilan. Sarbini merupakan anak sulung tiga beradik. Sabrini telah berjaya mendapat 4A 3B 1D dalam peperiksaan PMR 2009 yang lalu. Sebagai anak sulung Sabrini selalu membantu ibunya menjual nasi lemak di Pasar Borong Selayang selepas pulang daripada sekolah. Kedudukan SMK Taman Selayang di tengah-tengah di antara pasar borong dan padang golf. Kedudukan itu memudahkan Sabrini membantu ibunya selepas sekolah.
Sabrini ditawarkan ke SM Teknik Seri Iskandar. Sabrini sangat gembira dan keluarganya membuat persediaan untuk ke Seri Iskandar. Hari pertama di sekolah, tiada masalah yang dihadapi. Pada sebelah malam semua murid baru dikumpulkan dalam satu bilik oleh semua murid tingkatan lima. Mereka dipaksa menonton gambar video lucah dan menghisap rokok. Mereka diberikan amaran, barang siapa yang membocorkan rahsia akan dipulaukan dan menerima hukuman paling berat.
Keesokan harinya selepas pulang daripada sekolah, Sarbini mendapati semua pakaiannya hilang, dia mengadu kepada rakannya yang sama-sama datang daripada Selangor. Kawannya kehilangan semua wang sakunya. Selepas makan dia mencari pakaian yang hilang termasuk mengadu kepada warden.
Selepas makan malam Sabrini diheret ke belakang dewan makan dan ditumbuk kira-kira 13 orang murid tingkatan lima sehingga pengsan. Warden mengejarkan Sabrini ke Hospital Raja Pemaisuri Ipoh. Sabrini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Ipoh. Sabrini sedar dua hari selepas dipukul. Mereka sepakat untuk memohon keluar atau berhenti sekolah dan kembali ke SMK Taman Selayang.
Hasrat Sabrini disampaikan kepada pengetua. Pengetua menasihati ibu Sabrini supaya Sabrini berhenti sekolah. Ibunya nekad mengambil keputusan memberhentikan Sabrini. Pengetua enggan menerima sebarang aduan, sebaliknya menyalahkan Sabrini sebagai seorang murid yang sombong dan tidak pandai menyesuaikan diri.
Tindakan:
Setelah meneliti semua dokumen dan mendapatkan maklumat, Jabatan menasihati Sabrini memohon bersekolah semula selepas keluar daripada hospital dan menganggap dia mendapatkan rawatan kesan kecederaaan.
Maklumat Sarbini dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan kemasukkan warganegara dengan bahagian sekolah untuk tindakan.
i. Pengetua SM Teknik enggan mengeluarkan sebarang kenyataan persekolahan Sabrini.
ii. Segala yuran dan bayaran yang telah dibayar tidak dikembalikan.
iii. Pengetua SMK Taman Selayang mengeluarkan surat sokongan untuk menerima kembali Sabrini.
iv. Sabrini dipanggil dan ditemubula untuk mendengar kenyataan sebenar dan perakuan murid mengenai kejadian sebagai teladan.
v. Jabatan menasihati ibu Sabrini kaedah untuk mendapatkan penempatan semula anaknya.
vi. Murid perlu menandatangani perjanjian berkelakuan baik di hadapan pengetua baru.
Pengajaran:
Bukan semua murid yang keluar daripada SMK Teknik dalam jangkawaktu yang singkat bermasalah, tidak berminat atau sakit. Pengawai dan warden perlu menyiasat punca kecenderungan murid keluar daripada sekolah berasrama. Pengetua SM Teknik tidak boleh menafikan bahawa masih kedapatan kegiatan liar seperti membuli secara ganas di SM Teknik.
Semua pihak perlu segera membuat penilaian, pemantauan, pengawasan dan kajian terperinci untuk membendung kegiatan ganas ini daripada terus berleluasa. Kejadian kematian, kecederaan parah yang telah berlaku masih tidak cukup menjadi pengajaran kepada pengetua dan warden di sekolah tersebut.
Persoalan:
i. Mengapa budaya samseng terus subur di SM Teknik? Apakah pengetua dan warden di sekolah tersebut merelakan budaya ini terus diwariskan sampai bila-bila?
ii. Apakah yang dibuat oleh warden asrama sekolah tersebut?
iii. Mengapakah kematian, kecederaan dan tindakan undang-undang masih tidak menjadi pengajaran kepada semua guru dan muridnya?
Akhirnya:
Sabrini kembali bersekolah di SMK Taman Selayang. Pengetua mengambil keputusan menempatkan Sabrini di kelas lamanya tingkatan empat Sains. Sabrini semakin rajin dan tekun walaupun terpaksa membantu ibunya menjual nasi lemak. Dia berazam menjadi seorang jurutera yang berjaya.
Sabrini sangat kesal kerana kesemua pakaian, yuran dan peralatan sekolahnya hilang dan tidak dikembalikan sehingga sekarang. Dia kesal kerana pakaian itu dibeli hasil wang yang dikumpulkan daripada upah menjual nasi lemak selama tiga tahun.
Nasihat:
Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengenai keselamatan murid di asrama adalah tidak wajar membiarkan kegiatan ini berlaku dan berleluasa tanpa sebarang tindakan wajar. Setiap murid yang memohon ke sekolah berkenaan telah menyimpan cita-cita dan keazaman tinggi untuk belajar.
Rata-rata ibu bapa murid mengorbankan sejumlah kewangan yang besar untuk tujuan pertukaran anak ke sekolah berasrama yang melibatkan jarak jauh tetapi musnah akibat kecuaian kawalan. Untuk mengelakkan kes berulang semua warden perlu mengambil langkah tegas untuk memastikan keselamatan penghuni dan tidak memandang mudah unsur yang melibatkan keselamatan murid.
Utusan Malaysia Online: 26 Disember 2011