Khamis, 30 April 2009

Struktur gaji pengetua, penolong kanan perlu disemak

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my


Penstrukturan gaji pengetua dan penolong kanan perlu mengambil kira sumbangan mereka mengurus kecemerlangan pendidikan di sekolah menengah seluruh negara. - Foto Supian Ahmad

Pendapatan pegawai pengurusan sekolah masih rendah berbanding gred khas Guru Cemerlang DG52 KUP

PERKHIDMATAN lebih lima tahun Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kementerian Pelajaran meninggalkan nota gembira untuk sebahagian besar guru, khususnya memberi kenaikan pangkat atau gred jawatan lebih tinggi menerusi penstrukturan semula kementerian berkenaan.

Antaranya elaun kritikal dikembalikan semula, guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah menerima kenaikan satu tangga gaji ke DG41 selepas mendapat ijazah dan guru DG41 yang mengajar di Tingkatan Enam selama tiga tahun dinaikkan ke DG44.

Namun, di sebalik keriangan itu, penstrukturan semula berkenaan terlepas pandang terhadap pegawai pengurusan sekolah kerana mereka tidak menerima sebarang tempias.

Pengetua dan penolong kanan yang menjadi penggerak utama untuk menjayakan semua dasar, wawasan dan strategi Kementerian Pelajaran 'agak tersepit' dari segi gred jawatan selepas penstrukturan berkenaan.

Perbincangan penulis dengan beberapa pengetua dan penolong kanan menunjukkan sejak 2000 hingga sekarang, pengisian jawatan pengetua baru dan penolong kanan sekolah menengah bukan lagi proses kenaikan pangkat.

Hampir semua pengetua yang dilantik selepas tahun berkenaan adalah daripada kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) gred DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP).

Ironinya, pengetua yang dilantik rata-rata adalah PPPS yang sudah dinaikkan gred ke DG48 secara KUP, walaupun gred jawatan pengetua adalah DG48 secara hakiki.

Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran, satu-satunya jabatan yang dimonopoli sepenuhnya kumpulan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang mengurus proses kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan, hanya perlu menukar status DG48 (KUP) kepada DG48 (Hakiki) ketika melantik PPPS menjadi pengetua.

Selesai proses itu, pegawai berkenaan mendapat elaun pengetua sebanyak RM150 sebulan. Tangga gaji dan elaun lain kekal seperti ketika mereka menyandang jawatan guru DG48 KUP. Lebih malang, pengetua baru yang dilantik di sekolah yang ada kemudahan kuarters pengetua, elaun rumah mereka dipotong separuh kepada RM350 kerana pengetua diwajibkan tinggal di kuarters.

Elaun Cola juga turut berkurangan separuh mengikut kategori tempat bertugas. Kementerian Pelajaran dapat menjimatkan kos jika kenaikan pangkat pengetua diteruskan dengan kaedah sekarang seperti yang ditetapkan oleh PTD.

Namun, kesannya ialah ramai calon pengetua yang berkelayakan dan berwibawa menolak tawaran dilantik sebagai pengetua hingga sanggup bertugas sebagai penolong kanan atau guru biasa hingga pencen.

Rasionalnya, mereka tidak mahu memikul beban tugas pentadbiran yang berat sedangkan faedahnya tidak setimpal, malah imbuhan kewangan semakin susut.

Ini bertentangan dengan amalan Jabatan Perkhidmatan Awam atau agensi kerajaan lain bahawa penentuan kadar gaji pegawai berpegang kepada prinsip semakin berat beban tugas dan tanggungjawab, semakin tinggi kadar upahnya.

Pengetua DG48 sudah tentu 'segan-segan' kerana di sekolah utama, biasanya ada seorang hingga lebih 10 guru DG48 KUP, guru biasa yang sama gred jawatan dengannya. Pengetua ini akan diaibkan (secara sengaja atau sebaliknya) jika ada guru sekolahnya dalam gred khas Guru Cemerlang DG52 KUP, DG54 KUP atau Gred Khas Jusa C (KUP).

Dengan itu, ramai yang menolak dilantik pengetua dan berlaku amalan tangkap muat untuk mengisi kekosongan jawatan, iaitu mencalonkan mana-mana guru DG48 (KUP) yang berminat tetapi kurang berkualiti untuk mengisi jawatan pengetua baru.

Berikutan amalan tidak sihat itu, dalam sesetengah kes, masih ada pengetua yang dilantik masih menyandang DG44. Ini akan menjejaskan mutu perkhidmatan pendidikan untuk pelajar kerana pengurusan sekolah diserahkan kepada pemimpin yang kurang berwibawa.

Secara ringkas, pelantikan pengetua bukanlah proses kenaikan pangkat, bahkan mereka 'didera' untuk kekal lama dalam satu tangga gaji. Ini disebabkan, PPPS perlu melalui tempoh perkhidmatan minimum sehingga 20 tahun sebelum menyandang gred DG48 KUP (10 tahun berada di gred DG44 dan 10 tahun DG44).

Berbanding dengan perkhidmatan lain seperti PTD yang hanya memerlukan tempoh tiga tahun berkhidmat dalam gred M41 sebelum dinaikkan ke gred M44 dan dua hingga tiga tahun berikutnya untuk dinaikkan ke gred M48 (keseluruhannya enam tahun saja).

Penolong kanan juga hampir sama keadaannya dengan pengetua dari segi gred jawatan.

Di sekolah menengah, biasanya ada tiga orang penolong kanan, iaitu penolong kanan pentadbiran dan akademik (DG44), penolong kanan hal ehwal murid (DG44) dan penolong kanan kokurikulum (DG41).

Penolong kanan adalah pegawai yang paling penting di sekolah dalam menggerakkan pentadbiran sekolah dari aspek pengurusan, akademik, pengurusan hal ehwal murid, mahupun aktiviti kokurikulum. Seperti juga perjawatan pengetua, gred jawatan penolong kanan setara dengan guru biasa, iaitu DG44.

Malah, sebelum menjawat jawatan penolong kanan, PPPS dari segi amalannya akan mendapat gred DG44 KUP terlebih dulu selepas berkhidmat melebihi 10 tahun dan lulus Penilaian Tahap Kecekapan. Jika dibandingkan dengan guru mata pelajaran yang mengajar Tingkatan Enam, ternyata gred jawatan penolong kanan sangat rendah.

Guru Tingkatan Enam hanya perlu tiga tahun berada di Gred DG41 dan tiga tahun pengalaman mengajar subjek Tingkatan Enam sebelum dinaikkan pangkat ke gred ke DG44. Penolong kanan perlu melalui tempoh perkhidmatan 10 tahun sebelum dilantik sebagai pentadbir sekolah.

Dari segi bebanan kerja, biasanya penolong kanan terpaksa pulang lewat petang untuk menyiapkan tugas pentadbiran, sedangkan guru Tingkatan Enam boleh pulang selewat-lewatnya 3 petang selepas selesai waktu persekolahan.

Mengikut amalan Kementerian Pelajaran sekarang, seseorang penolong kanan hanya akan dinaikkan pangkat ke jawatan pengetua selepas mendapat gred DG48 KUP ketika memegang jawatan penolong kanan dengan gred sama DG48 dengan ditambah perkataan 'hakiki' saja.

Ini juga bermakna tiada kenaikan pangkat untuk guru DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan. Penolong kanan adalah penggerak kepada sekolah kerana mereka akan melaksanakan arahan pengetua, menjalankan tugas pengetua ketika ketiadaannya, mewakili pengetua ke mesyuarat atau majlis rasmi, merancang dan melaksanakan program akademik, mengurus kewangan dan stok sekolah, mengurus hal ehwal akademik, hal ehwal murid, kokurikulum, asrama, perancangan prasarana dan sumber manusia, mengajar sebilangan waktu yang ditetapkan dan pelbagai tugas yang semakin bertambah saban hari.

Memetik kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 3 April lalu:

"Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi pendidik, meningkatkan kualiti hidup perwira tanah air, mahupun dalam memperkasa ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global."

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran yang baru sudah tentu mempunyai formula membetulkan nasib pengetua dan penolong kanan daripada terus diaibkan dalam keadaan sekarang.

Berita Harian Online: 30 April 2009

Rabu, 29 April 2009

Sekolah 4 sesi

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


RAWANG: “Cara ini memang mengarut dan saya sendiri hairan kerana tidak pernah pula mendengar ada sesi persekolahan dibuat sampai empat sesi,” keluh seorang bapa, Abdul Wahid Maidu, 46, mengenai tindakan Sekolah Rendah Agama (SRA) Tasik Puteri yang mengadakan empat sesi persekolahan sejak Jumaat lalu.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati rata-rata ibu bapa menyuarakan ketidakpuasan terhadap sistem persekolahan empat sesi itu yang menyukarkan mereka memantau pergerakan anak selain menjejaskan tumpuan ketika pembelajaran.

Malah, difahamkan sekolah itu hanya memiliki 18 bilik darjah saja sedangkan jumlah muridnya secara keseluruhan adalah 1,600 pelajar.

Malah lebih teruk lagi, akibat penggunaan empat sesi persekolahan itu, 120 minit masa pengajaran terpaksa dikurangkan bagi tempoh lima hari waktu pembelajaran selain murid terpaksa menerima pembelajaran dalam keadaan tertekan berikutan selepas saja tamat sesi persekolahan sekolah pagi (sekolah kebangsaan), mereka terpaksa mengikuti sesi sekolah agama selama dua jam tanpa rehat.

Abdul Wahid berkata, empat sesi persekolahan itu iaitu satu pada waktu pagi bermula jam 7.30 pagi hingga 10 pagi manakala tiga lagi pada waktu petang bermula jam 2.15 petang hingga 4.15 petang, jam 2.30 petang hingga 4.30 petang dan jam 4.15 hingga 6.15 petang itu menyebabkan anak mereka tidak dapat fokus pada pelajaran yang disampaikan guru.

“Bagaimana mereka ini hendak fokus pada pelajaran, kerana jika yang belajar pada sesi petang, waktu yang diperuntukkan hanya dua jam saja tanpa ada rehat sedikit pun kerana selepas tamat satu sesi, sesi lain pula diadakan.

“Ini sebenarnya tidak harus berlaku dan pihak yang berkaitan sepatutnya peka dengan masalah ini. Mereka sepatutnya tahu ini bukan saja membebankan pelajar malah, turut menyukarkan ibu bapa memantau pergerakan anak mereka terutama yang mempunyai anak yang terbabit dalam setiap sesi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pemandu van sekolah, Zulkarnain Mohd Zin, 49, masalah itu memang menyukarkannya untuk menghantar murid sama ada ke rumah atau ke sekolah berikutan sukar untuk mengikut waktu masuk sekolah dan pulang pelajar yang terlalu hampir.

Katanya, jika terlewat menghantar serta mengambil murid berkenaan, maka secara tidak langsung juga murid pada sesi lain akan terlewat masuk kelas.

myMetro: 29 April 2009

Bapa temui guru besar, PIBG

ALOR STAR: “Buat sementara waktu ini saya tak mahu komen lagi sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak terhadap pihak sekolah dan segalanya bergantung pada keadaan.

“Esok (hari ini) saya akan berjumpa dengan guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah anak saya untuk berbincang mengenai masalah ini,” kata Mohd Zaini Mohd Yunus, 34, bapa kepada Harris Sufian, 7, yang terjatuh ke dalam tangki kumbahan di sekolahnya di Bandar Darulaman, Jitra, Ahad lalu.

Mohd Zaini berkata, anaknya, Harris Sufian, 7, kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Kedah Medical Centre (KMC) tetapi masih mengalami cirit-birit dipercayai tindak balas akibat tertelan air kumbahan itu.

“Doktor sudah mengambil sampel najis anak saya dan laporan berikutan cirit-birit yang dialaminya itu akan diketahui dalam tempoh antara dua hingga tiga hari lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman ketika dihubungi, berkata beliau sudah menghantar pegawai melihat lokasi kejadian dan mengarahkan kawasan itu dipagar dan lubang tangki kumbahan itu ditutup bagi mengelak kejadian berulang.

Katanya, pihaknya akan berbincang dengan ibu bapa Harris Sufian bersama PIBG hari ini bagi menyelesaikan masalah itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengapa lubang tangki itu tidak ditutup sebelum ini dan hanya berbuat demikian selepas kejadian itu berlaku, kelmarin.

myMetro: 29 April 2009

Sekolah Terbilang: Transformasi sekolah

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


PELAJAR SMTT mencatat kejayaan membanggakan dalam bidang reka cipta dan robotik termasuk menjuarai Kejohanan Reka Cipta Antara Teknik tahun lalu.

SMTT fokus enam strategi capai kecemerlangan, muncul sekolah kluster terbilang menjelang 2011

DALAM tempoh hampir dua dekad penubuhannya, Sekolah Menengah Teknik Tawau (SMTT), Tawau berjaya melakukan transformasi drastik hingga mendapat pengiktirafan sekolah cemerlang di peringkat kebangsaan.

Bermula dengan status sekolah menengah vokasional pada April 1981, perkembangan memberangsangkan dicapai melayakkan ia dinaik taraf sekolah menengah teknik (SMT) pada Januari 1997 setelah diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Pendidikan Teknikal.

Kemuncak pencapaian SMTT yang menawarkan lapan kursus aliran vokasional dan 11 teknikal itu apabila tersenarai sebagai salah sebuah sekolah kluster kumpulan pertama pada Mac 2007.

Pengetuanya, Fitriani Wahid, berkata kejayaan SMTT terpilih dalam kelompok itu berdasarkan kerjasama kumpulan yang kukuh di kalangan warga sekolah, selain tahap pencapaian akademik tinggi.

Ini terbukti, katanya, apabila sekolah menerima pengiktirafan berprestij seperti Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan (Pengurusan Sekolah) pada 2001, Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik 2000, selain sekolah bertaraf enam bintang oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahmad Sipon.

TEKNOLOGI Maklumat dan Kursus Pengaturcaraan Komputer antara bidang kekuatan SMTT.

“Sekolah ini menitikberatkan protokol dalam setiap kegiatan dijalankan, selain mementingkan budaya kerjasama dalam kumpulan di kalangan lebih 1,000 pelajar serta 122 tenaga pengajar.

“Dari segi akademik, sekolah ini menjadi wadah kemenjadian pelajar kerana kebanyakan lepasan Penilaian Menengah Rendah yang memasuki sekolah dengan pencapaian akademik kurang memuaskan akan mencatat prestasi lebih baik daripada gred D kepada A.

“Antara pencapaian membanggakan sekolah ini ialah berjaya mengekalkan keputusan lulus 100 peratus dalam Sijil Pelajaran Malaysia selama 11 tahun berturut-turut sejak 1998,” katanya kepada Berita Harian.

Bagi mengekalkan kecemerlangan itu, katanya, pengurusan sekolah menggariskan enam strategi utama untuk dilaksanakan terutama bagi mencapai visi ‘Menjadi Sekolah Kluster Terbilang Menjelang 2011’ .

Fitriani Wahid

Enam strategi itu adalah mewujudkan Perancangan Strategik Sekolah Kluster, mengukuhkan peranan Majlis Perancang Sekolah, meningkat dan mengekalkan tahap kecemerlangan akademik dari aspek kualiti dan kuantiti.

Seterusnya, meningkatkan kecemerlangan secara keseluruhan merangkumi aspek kurikulum, kokurikulum, sahsiah dan pengurusan; mengadakan hubungan antarabangsa dengan sekolah luar negara serta meningkatkan kerjasama dengan universiti angkat iaitu Universiti Malaysia Sabah.

Beliau berkata, beberapa program khas turut dilaksana bagi mengekalkan suasana keharmonian sekolah menerusi usaha merapatkan hubungan warga sekolah serta pembentukan nilai disiplin dan sahsiah pelajar.

“Antara program dijalankan adalah Tender Loving Care bagi menyemai kasih sayang di kalangan warga sekolah, Student Voice Council sebagai saluran pelajar menyampaikan pendapat dan cadangan kepada pentadbir.

“Selain itu, One Stop Merit bagi menggalakkan pelajar membuat kebajikan dan diberi ganjaran dalam bentuk bahan keperluan dan kelengkapan persekolahan,” katanya.

INFO: Tujuh bidang kekuatan SMTT

  • Taekwando
  • Reka cipta
  • Robotik
  • Selam Skuba (Kadet Pertahanan Awam)
  • Cabaran F1
  • Kursus Pengaturcaraan Komputer
  • Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

    Kursus ditawarkan SMTT: Vokasional
  • Pengurusan Perniagaan
  • Elektrik
  • Elektronik
  • Automotif
  • Amalan Bengkel Mesin
  • Binaan Bangunan
  • Kimpalan Fabrikasi Logam
  • Pengaturcaraan Komputer.

    Teknikal
  • Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
  • Pengajian Kejuruteraan Awam
  • Pengajian Kejuruteraan Mekanikal
  • Pengajian Pakaian
  • Pengurusan Makanan dan Perdagangan
  • Katering
  • Rekaan Fesyen
  • Bakeri dan Konfeksionari
  • Asuhan Kanak-Kanak
  • Seni Kecantikan.

  • Berita Harian Online: 29 April 2009

    Selasa, 28 April 2009

    Terkini: 40 pelajar sekolah menengah di Kedah diserang histeria

    28/04/2009 6:43pm

    ALOR SETAR 28 April — Sekolah Menengah Langgar di sini, kecoh apabila 40 pelajar perempuan di serang histeria secara berperingkat selepas majlis bacaan Yasin diadakan di sekolah itu pagi semalam.

    Difahamkan 22 pelajar tingkatan satu hingga lima diserang histeria semalam, manakala 18 lagi hari ini.

    Seorang pelajar, Nor Junainah Ahmad Fauzi, 13, berkata kejadian bermula apabila sebilangan pelajar mendakwa terlihat kelibat wanita berambut panjang serta bayangan hitam dalam keadaan mengerikan berlegar-legar di kawasan sekolah itu.

    Pelajar yang terkena serangan histeria itu meracau-racau serta menjerit selepas mendakwa terlihat kelibat wanita yang tidak menampakkan wajah itu, katanya.

    Sementara itu, rata-rata ibu bapa pelajar yang ditemui di sini, melahirkan rasa bimbang jika kejadian itu berterusan kerana ia boleh menjejaskan persekolahan anak-anak mereka.

    Seorang ibu, Latifah Jaafar menyarankan agar pihak sekolah segera menyelesaikan masalah berkenaan kerana keadaan itu menyebabkan pelajar takut untuk ke sekolah.

    Pengarah Pelajaran Kedah Shahidan Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama megesahkan kejadian itu dan berkata majlis bacaan Yasin serta khidmat bomoh diguna untuk meyelesaikan masalah berkenaan.

    “Pihak sekolah tidak memutuskan untuk memberi cuti kerana ia hanya melibatkan pelajar perempuan, bagaimana pun keputusan lain akan dibuat jika perkara ini berlarutan,” katanya.

    BERNAMA: 28 April 2009

    Nyaris maut dalam lubang kumbahan


    HARRIS Sufian Mohd. Zaini ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Kedah, Alor Setar, semalam.


    ALOR SETAR 27 April - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun menempuh pengalaman menakutkan apabila terjatuh ke dalam lubang tangki kumbahan di sekolahnya di Jitra, dekat sini semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, mangsa, Harris Sufian Mohd. Zaini, pelajar tahun satu di sekolah tersebut hampir lemas dalam lubang yang dipenuhi sisa kumbahan sedalam kira-kira satu meter.

    Kanak-kanak itu bagaimanapun sempat berpaut pada bahagian tepi lubang tangki tersebut sebelum merangkak keluar dari 'perangkap maut' yang terletak di belakang kantin sekolah terbabit.

    Menurut bapa mangsa, Mohd. Zaini Mohd. Yunus, 34, anak bongsunya daripada dua beradik itu terjatuh kerana dipercayai tidak menyedari kewujudan lubang berkenaan.

    Katanya, ketika itu, dia dikatakan sedang mencari tong sampah untuk membuang sisa makanan pada waktu rehat.

    ''Nasib baik tiada kejadian buruk berlaku kepada Harris semasa terjatuh seperti terhantuk kepala yang mungkin boleh membuatkannya lemas di dalam lubang itu.

    ''Kami sekeluarga amat bersyukur kerana dia selamat dan tiada kecederaan serius,'' katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Kedah (KMC), di sini hari ini.

    Mohd. Zaini berkata, dia mengetahui kejadian menimpa Harris selepas diberitahu oleh anak sulungnya, Arrisa Sufia yang juga merupakan pelajar tahun tiga di sekolah sama sebelum dihubungi guru anaknya.

    Katanya, ketika meninjau lokasi kejadian sejurus selepas tiba di sekolah itu semalam, dia mendapati terdapat empat lubang yang tidak ditutup pada tangki kumbahan berkenaan.

    ''Saya difahamkan keempat-empat penutup besi lubang itu telah hilang kerana dicuri, tetapi kenapa tiada tindakan segera diambil bagi menutup lubang tersebut?

    ''Saya dedahkan perkara ini kerana tidak mahu ia berulang dan peringatan kepada semua pihak supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan pelajar,'' katanya yang telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Jitra di sini hari ini.

    Menurut peniaga itu, dia membawa Harris ke KMC untuk pemeriksaan kira-kira pukul 3 petang semalam dan laporan awal doktor mendapati paru-paru anaknya dijangkiti kuman dipercayai akibat tertelan air kumbahan.

    Justeru, dia meminta pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri memberi penjelasan bertulis mengenai kejadian menimpa anaknya itu selain membiayai kos perubatan Harris yang kini ditahan di KMC.

    Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd. Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan rapi termasuk kejadian yang menimpa Harris.

    Katanya, beliau juga mengarahkan pegawainya ke sekolah tersebut selain menemui waris mangsa berhubung kejadian itu.

    Utusan Malaysia Online: 28 April 2009

    Tarikh berbeza hapus hak guru

    KUALA LUMPUR: Perbezaan tarikh lantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membuatkan sebahagian besar guru negara ini terlepas peluang kenaikan pangkat.

    Malah, tarikh lantikan itu juga mengundang pelbagai kontroversi kerana ia dibuat pada hari cuti umum iaitu pada 1 Januari 2004.

    Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan berkata ramai guru menerima surat tawaran lantikan kenaikan pangkat bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG 41 ke Gred DG 44 lima tahun lalu.

    “Masalahnya ialah surat pelantikan dikeluarkan kementerian itu bertarikh 1 Januari dan ia serentak hari cuti umum sempena tahun baru.

    “Manakala surat pekeliling SPP pula bertarikh 2 Januari, maka wujud percanggahan di sini kerana perselisihan itu mengakibatkan kebanyakan guru kehilangan hak serta faedah sepatutnya diterima,” katanya.

    myMetro: 28 April 2009

    Masalah besar jika SMKBSP tidak siap

    SEBAGAI penduduk tetap di Bandar Seri Putera, berhampiran Bangi Lama, Kajang, saya meminta pegawai Kementerian Pelajaran turun padang untuk melihat kemajuan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putera (SMKBSP).

    SMKBSP boleh berbangga kerana menjadi sekolah menengah yang pertama dibina ketika Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berakhir 2010. Namun sehingga kini sekolah itu belum siap. Penduduk Bandar Seri Putera kini berhadapan dengan masalah untuk menghantar anak mereka ke sekolah, memandangkan sekolah menengah yang berhampiran terletak di Bandar Baru Bangi, kira-kira 18 kilometer dari bandar ini.

    Saya mohon Menteri Pelajaran yang baru dapat turun padang untuk melihat dan menyelesaikan masalah ini yang berlarutan begitu lama. Selain itu saya juga meminta Kementerian Pelajaran dapat membina sebuah lagi sekolah menengah di Bandar Bukit Mahkota, kerana tapak sekolah disediakan pemaju perumahan di situ.

    Difahamkan penduduk Bandar Bukit Mahkota juga terpaksa menghantar anak mereka bersekolah di Bandar Baru Bangi yang jauh. Kami perhatikan, Bandar Seri Putera pesat membangun dan pertambahan penduduknya begitu pantas sekali. Kalau SMK Bandar Bukit Mahkota tidak dibina dalam waktu terdekat ini, besar kemungkinan SMKBSP tidak dapat menampung pelajar yang ramai.

    Penduduk tidak mahu melihat bilangan pelajar di setiap bilik darjah di SMKBSP begitu ramai, sehingga melebihi 60 pelajar yang boleh menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

    SAARI SUNGEP,
    AJK Penduduk Bandar Seri Putera,
    Kajang, Selangor.

    Berita Harian Online: 28 April 2009

    Masalah guru diatasi segera

    Oleh Azrul Affandi Sobry
    azr@bharian.com.my


    MUHYIDDIN bersama Norainee melawat gerai di Plaza Angsana Johor Bahru, semalam.

    Muhyiddin janji selesai semua kelemahan pengurusan sekolah



    KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberi jaminan akan segera mengatasi semua kelemahan dalam sistem pengurusan di sekolah termasuk isu guru yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menguruskan program sekolah.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementerian akan melihat semua kemungkinan untuk mengatasi masalah itu termasuk menambah jumlah wang panjar runcit (petty cash) di sekolah supaya guru tak perlu mendahulukan wang sendiri.

    Beliau berkata, isu itu perlu diselesaikan dengan segera kerana adalah tidak wajar guru dibebankan dengan tugas berkenaan lantaran ia tidak termasuk sebagai antara kewajipan guru melaksanakan tugas.

    “Meskipun guru biasanya bersedia menjalankan tugas dengan rela hati demi kepentingan pelajar, namun sebagai manusia biasa, mereka juga sering tertekan jika diminta melakukan sesuatu yang di luar kemampuan.

    “Justeru, masalah itu perlu diatasi segera dengan kajian mendalam. Saya akan meninjau keadaan itu dengan melihat senario sebenar pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan pengurusan sekolah.

    “Semua program yang dirancang perlu perancangan lebih teliti dan mengelak daripada membebankan guru. Kita mahu guru berkhidmat dengan selesa supaya dapat menumpukan kepada tugas utama mereka dalam mendidik pelajar,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan khas Berita Harian, Ahad lalu berkenaan rungutan kebanyakan guru lantaran terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk menjalankan pelbagai aktiviti sekolah.

    Mengulas komen Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang bersetuju guru berhak menarik diri daripada melaksanakan program sekolah jika terpaksa mendahulukan wang sendiri, Muhyiddin berkata, ia adalah hak guru, namun mereka perlu mengutamakan tanggungjawab terhadap pelajar.

    “Jika ia program tidak wajib, tak salah jika guru mahu menarik diri jika mereka tak mampu. Namun, kebiasaannya apabila ada program yang berserta pekeliling, suka atau tidak, guru perlu mengikuti program itu.

    “Guru sering tersepit dalam hal ini. Nak hantar pelajar, tak ada duit dan tak mampu untuk keluarkan duit sendiri. Tak nak hantar, ia adalah arahan yang datang dengan pekeliling.

    “Justeru, sewajarnya penganjur iaitu JPN atau PPD memastikan adanya peruntukan untuk program itu supaya guru dapat melaksanakan tugas mereka dengan selesa tanpa ada bebanan lain. Jika tak ada duit, tak payah buat dan guru pun tak payah menyertainya,” katanya.

    Beliau berkata, antara misi utamanya sebagai Menteri Pelajaran adalah untuk meningkatkan profesion keguruan dengan melonjakkan imej mereka dalam menjalankan perkhidmatan serta tidak dibebani dengan pelbagai masalah sampingan yang boleh menjejaskan tumpuan mereka.

    Sementara itu di JOHOR BAHRU, Bernama melaporkan Muhyiddin semalam meluangkan masa kira-kira sejam bertemu peniaga kecil di Plaza Angsana, di sini selepas menghadiri majlis penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di padang bersebelahan plaza itu.

    Muhyiddin dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman yang diiringi Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan; Datuk Bandar Johor Baharu Datuk Mohd Naim Nasir dan beberapa Exco kerajaan negeri tiba di plaza itu kira-kira 12 tengah hari.

    Berita Harian Online: 28 April 2009

    SK Sri Kelana juara


    KESEMUA murid-murid dari sekolah- sekolah yang memenangi peraduan ini juga dihadiahkan beg hijau kitar semula.


    BERMULA Jun hingga November 2008, hampir 25,000 murid sekolah rendah dari 25 buah sekolah seluruh negara giat mengerah tenaga untuk memelihara alam sekitar dengan mengumpul, membersihkan dan mengitar semula kotak minuman terpakai.

    Mereka berusaha dan bekerjasama mengumpulkan kotak minuman untuk dikitar semula dan menyelamatkan alam sekitar daripada terus dicemari.

    Hadiah kepada kesungguhan mereka bukan sahaja untuk menjaga alam sekitar tetapi juga wang tunai.

    Pertandingan itu dianjurkan oleh Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd., bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Selepas lebih enam bulan dimulakan, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana, Selangor diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Peraduan Kitar dan Menang Tetra Pak.

    Menurut Pengetua SK Sri Kelana, Rohayah Mohamad Sarif, pondok bacaan yang diperbuat daripada kotak minuman yang dikitar semula di sekolahnya disumbangkan oleh Tetra Pak pada tahun 2007.

    Katanya, sumbangan itu telah mendorong murid-muridnya untuk mengumpul dan mengitar kotak minuman walaupun tiada peraduan diadakan.

    "Memenangi hadiah adalah ganjaran terhadap usaha mereka tetapi apa yang lebih memuaskan adalah murid-murid kami dapat melihat sendiri hasil daripada usaha mereka.

    "Ia mendorong mereka untuk terus mengitar semula kotak-kotak minuman walaupun pertandingan telah tamat," katanya.

    Dengan jumlah kutipan sebanyak 68,500 kotak minuman, SK Sri Kelana membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. Tempat kedua jatuh kepada SJK (C) Chung Hwa Wei Sin, Terengganu dengan kutipan 48,702 kotak minuman dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.

    Sementara itu, SRJK (C) Chung Shan, Perak membawa pulang RM2,000 sebagai pemenang tempat ketiga dengan kutipan 28,270 kotak minuman terpakai.


    SK Sri Kelana membina pondok bacaan daripada kotak minuman yang dikitar semula.


    Selain daripada hadiah wang tunai, sekolah-sekolah tersebut juga menerima komputer meja, komputer riba, pencetak laser, piala dan sijil. Kesemua murid-murid dari sekolah-sekolah yang memenangi peraduan itu juga dihadiahkan beg hijau kitar semula.

    Selain sekolah, Tetra Pak juga mengadakan peraduan kitar semula di kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan penduduk (RAs) dari sekitar Petaling Jaya dengan sokongan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

    Tempat pertama kategori NGO jatuh kepada HATI.org.my dengan jumlah kutipan 17,250 kotak minuman terpakai sementara Persatuan Pemilik dan Penduduk Damansara Jaya pula mengutip 12,750 kotak minuman terpakai.

    "Hasil usaha ini amat menggalakkan. Hampir 300,000 kotak minuman terpakai dikitar semula sepanjang tempoh enam bulan," kata Terrynz Tan, Pengarah Komunikasi dan Alam Sekitar Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd.

    Tetra Pak memulakan peraduan Kitar dan Menang pada tahun 2006 untuk menggalakkan amalan kitar semula kotak minuman dalam kalangan pengguna. - JULIA ISMAIL

    Kosmo Online: 28 April 2009

    Isnin, 27 April 2009

    NUTP Minta Kerajaan Selaraskan Dasar Ladap

    KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kerajaan menyusun semula dasar latihan dalam perkhidmatan (LADAP) agar ia tidak memberi tekanan kepada guru dan mengabaikan masa mengajar mereka.

    Presiden NUTP Hashim Adnan berkata dasar LADAP selama tujuh hari atau 42 jam kredit yang perlu disempurnakan setiap guru sekarang boleh memberi tekanan hebat kepada guru apabila berdepan dengan kesuntukan masa dan tenaga untuk mengajar.

    "Kita bersetuju, LADAP tujuh hari tersebut kerana ia bertujuan untuk membangunkan modal insan berkualiti dan meningkatkan produktiviti, namun di peringkat pelaksanaan, guru-guru menghadapi masalah dan tekanan sehingga mengabaikan masa mengajar mereka, " katanya dalam sidang media di pejabat NUTP di sini, Isnin.

    Ekoran itu NUTP mencadangkan agar kerajaan mengambil kira kursus yang telah dihadiri olehh para guru sama ada yang dianjurkan Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya diserapkan atau dikira sebagai LADAP, katanya.

    "Ini bermaksud guru yang telah menghadiri kursus, seminar ini tidak perlu lagi menghadiri LADAP. Jika dia telah pergi kursus selama tiga hari maka dia hanya tinggal empat hari saja untuk LADAP. Bukan apa, banyak masa guru lebih banyak dihabiskan menghadiri kursus dan program luar daripada pengajaran dan pembelajaran di sekolah," katanya.

    "Yang paling penting apabila guru tidak puas mengajar, sepanjang tahun sepatutnya tugas mereka mengajar tapi sebaliknya terpaksa membuat tugas-tugas pengkeranian, menghadiri kursus di sekolah dan di luar, sudah pasti yang rugi ialah pelajar-pelajar sekalian, kita mahu kelas dunia, kualiti, mahu standard yang tinggi terhadap pelajar. Tetapi malangnya guru tidak ada dalam kelas, salah siapa....," katanya.

    Hashim berkata memandangkan LADAP diadakan pada hari Sabtu serta ditambah dengan aktiviti ko-kurikulum yang wajib dihadiri guru ke sekolah pada setiap dua kali Sabtu, ia menyebabkan guru-guru terpaksa bekerja selama enam hari seminggu.

    "Ini bermakna guru-guru kini bekerja selama enam hari setiap minggu manakala kakitangan kerajaan lain hanya bekerja lima hari seminggu, suami kepada guru wanita banyak membuat aduan mengenai isteri yang tiada masa bersama keluarga, " katanya.

    LADAP diperkenalkan pada 1 Jan 2005 untuk membangunkan sumber manusia sejajar dengan kehendak yang terkandung dalam dasar wawasan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan cemerlang menjelang tahun 2020.

    NUTP turut meminta Kementerian Pelajaran untuk memberi kelonggaran syarat agar kumpulan guru Pendidikan Jarak Jauh Universiti Terbuka Malaysia (PJJ/OUM) yang ditawarkan lantikan pada 2 Jan 2004 diberi peluang memohon urusan pemangkuan kenaikan pangkat daripada DG 41 ke DG 44 bagi tahun 2009/2010.

    BERNAMA: 27 April 2009

    Kecoh 50 pelajar diserang histeria



    LEMBIK...seorang pelajar yang diserang histeria ditenteramkan
    guru, semalam.

    ALOR STAR: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langgar di sini, gempar apabila kira-kira 50 pelajar perempuan sekolah itu tiba-tiba diserang histeria selepas dipercayai ternampak kelibat wanita berambut panjang dalam keadaan mengerikan di kawasan sekolah itu, pagi semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, seorang daripada pelajar terbabit dikatakan meracau dan menjerit seperti terlihat sesuatu sebelum diikuti beberapa pelajar lain menyebabkan guru di sekolah itu terpaksa berbuat sesuatu termasuk membaca surah Yasin dan memanggil beberapa guru agama untuk membantu meredakan keadaan.

    Kejadian membabitkan pelajar perempuan tingkatan satu hingga tiga itu dipercayai berlaku selepas majlis bacaan Yasin di sekolah itu pagi semalam yang dihadiri sebahagian pelajar lelaki dan perempuan serta guru.

    Seorang daripada mangsa histeria, Nurul Atikah Ali, 13, berkata pada mulanya dia terdengar rakannya menjerit tidak jauh dari surau sekolah itu sebelum ternampak kelibat seperti seorang wanita berambut panjang berterbangan di kawasan sekolah berkenaan.

    “Saya tak sedar apa yang berlaku kerana ketika itu saya ternampak pelbagai benda yang menakutkan serta kelibat seorang wanita berambut panjang dan berpakaian putih melalui kawasan sekolah ini. Saya hanya tersedar apabila beberapa guru mengajar mengucap dua kalimah syahadah,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

    Pelajar tingkatan satu itu berkata, kejadian terbabit amat menakutkannya dan dia bercadang bertukar ke sekolah lain jika kejadian histeria itu berulang.

    Katanya, setiap hari ketika datang ke sekolah, bulu romanya meremang kerana kawasan sekolah itu dikelilingi hutan selain jalan di situ yang gelap.

    Rakannya, Nurul Izzah Othman, 13, berkata badannya seakan lemah selepas tersedar daripada serangan histeria itu kerana ‘dirasuk’ dan dia tidak berdaya untuk melawan menyebabkan dia hanya menjerit.

    “Sekarang, saya jadi takut dan tak berani untuk ke sekolah tetapi saya akan kuatkan semangat,” katanya.

    Bapa pelajar sekolah itu, Ali Hashim, 55, berkata ini bukan kali pertama kejadian histeria berlaku di sekolah itu kerana kejadian yang sama turut berlaku minggu lalu.

    Menurutnya, anak saudaranya turut menjadi mangsa histeria di sekolah itu sebelum ini terpaksa berhenti sekolah kerana trauma dengan apa yang berlaku walaupun sudah dibawa menjalani rawatan tradisional untuk memulihkan semangatnya.

    myMetro: 27 April 2009

    Fokus: Penilaian Sekolah

    Oleh Norliza Abdullah
    lizz@bharian.com.my


    SISTEM pendidikan berasaskan peperiksaan tidak dapat mengenal pasti individu yang mempunyai bakat luar biasa dalam bidang selain akademik, antaranya seni dan sukan.

    Guru semakin mudah kesan tahap pencapaian pelajar ikut minat, bakat

    CADANGAN kerajaan menstruktur sistem pendidikan dengan memberi tumpuan penilaian di peringkat sekolah memberi peluang guru menilai prestasi anak didik masing-masing berdasarkan kebolehan dan keupayaan mereka.

    Pengstrukturan itu perlu mengambil kira pelbagai aspek pencapaian dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan awam.

    Tokoh pendidik, Prof Datuk Dr Isahak Haron, berkata menerusi pendidikan holistik, guru dapat mengenal pasti tahap pencapaian serta kebolehan setiap pelajar berdasarkan minat dan kebolehan masing-masing.

    Katanya, pencapaian akademik, kecenderungan serta minat individu itu berbeza. Jika proses pembelajaran bersifat statik dengan mengukur prestasi berdasarkan peperiksaan, keadaan ini dikhuatiri tidak memberi peluang pelajar lemah akademik mengembangkan bakat dimiliki.

    Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, antara bakat yang dapat dinilai guru ialah seni dan sukan.



    Kelebihan itu perlu digilap di peringkat awal supaya kebolehan yang ada dapat menjana pelbagai kegiatan sebaik pelajar menamatkan proses pendidikan formal.

    “Proses pembelajaran tanpa bergantung kepada sistem peperiksaan ini dilaksanakan di negara maju dan hasilnya mereka dapat mengklasifikasikan murid berdasarkan kebolehan dan keupayaan pelbagai bidang tidak hanya kepada kecemerlangan akademik.

    “Peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lebih bersifat standard dan setara. Pencapaian diperoleh hanya memberi gambaran awal kepada kecemerlangan akademik semata-mata.

    “Sedangkan mereka yang kurang menyerlah dalam akademik mungkin mempunyai kebolehan serta bakat luar biasa yang tidak dimiliki individu yang cemerlang dalam peperiksaan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Isahak berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan kerajaan mengkaji keperluan tiga peperiksaan awam iaitu UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan yang dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong, baru-baru ini, berkata kementerian tidak menolak kemungkinan memansuhkan PMR dan UPSR dirombak semula menerusi proses transformasi pendidikan negara.

    Penelitian itu katanya, bagi mengubah sistem pendidikan negara yang kini bergantung kepada peperiksaan.

    Menerusi proses penilaian semula sistem pendidikan, Isahak berkata, guru perlu diberi latihan khas dalam menilai prestasi pelajar, selain mengenal pasti keistimewaan serta kelebihan dimiliki untuk dioptimumkan kebolehan berkenaan.

    Beliau berkata, sistem pendidikan perlu lebih anjal dengan memberi tumpuan keperluan perkembangan murid pada peringkat awal yang sesuai untuk individu berkenaan.

    Menerusi kaedah ini, katanya, proses pembelajaran menjadi lebih seronok dan tidak memberi tekanan kepada murid kerana mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada minat dalam sesuatu bidang.

    Apa yang lebih penting ialah, katanya, menerusi proses penilaian di peringkat sekolah, guru tidak boleh membandingkan pencapaian setiap murid kerana mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaannya sendiri.

    “Berbanding Kurikulum Baru Sekolah Rendah ia memberi penekanan kepada usaha memperkasakan kemahiran membaca, menulis dan mengira iaitu proses asas pembelajaran sebelum murid layak menduduki ujian pertama pada Tahun Enam iaitu UPSR, kemudian diikuti Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.

    “Pada peringkat peperiksaan sekolah rendah, guru dapat menggunakan ujian pusat bagi menapis murid yang hendak belajar ke sekolah berasrama penuh dan ia penanda aras dalam proses pemilihan berkenaan,” katanya.

    Mengulas sikap ibu bapa yang begitu mementingkan kecemerlangan akademik pula, Isahak berkata, keadaan kini menuntut perubahan sikap di kalangan masyarakat supaya tidak memberi penekanan kepada pencapaian baik dalam teori iaitu akademik sebaliknya lebih terbuka menerima tahap pencapaian anak masing-masing.

    Beliau berkata, penilaian di peringkat sekolah lebih sesuai berbanding peperiksaan berpusat kerana guru mengajar berdasarkan sukatan yang ditetapkan.

    Guru katanya, pula perlu kreatif dan inovatif dalam melaksanakan modul penilaian kepada murid berdasarkan kepada sukatan pelajaran.

    Proses penilaian murid tanpa bergantung kepada peperiksaan berpusat itu, diharap dapat melahirkan generasi muda berkebolehan dalam pelbagai bidang bagi memenuhi tenaga profesional, sekali gus sebagai penggerak ekonomi negara.

    Berita Harian Online: 27 April 2009

    Kementerian kenal pasti sistem baru pendidikan negara

    KEMENTERIAN Pelajaran sudah melaksanakan kajian terperinci dalam usaha memperbaiki sistem pendidikan negara dengan mengenal pasti pelbagai kaedah terbaik bagi menggantikan sistem sedia ada tanpa bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata kajian mengenainya sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu iaitu ketika kementerian menyarankan untuk mengkaji semula sistem sedia ada bagi memastikan proses penilaian pelajar dilaksanakan secara menyeluruh.

    Cadangan dikemukakan kerajaan menerusi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin itu, kata beliau boleh dilaksanakan tahun depan kerana perancangan sudah dilaksanakan lebih awal.

    Kementerian katanya, sudah bersedia selepas menjalankan kajian menyeluruh mengenainya dengan mengambil kira pelbagai aspek dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

    Beliau berkata, pihaknya serta pegawai berkaitan telah mengadakan lawatan ke beberapa negara dalam usaha membandingkan proses pendidikan sedia ada dan dipertingkat mengikut kesesuaian setempat.

    “Kajian serta penilaian mengenai sistem baru itu sedang dalam proses akhir menyiapkan dan kerajaan akan memaklumkan kepada umum pelaksanaannya.

    “Penelitian bagi membandingkan sistem sedia ada dan baru dilaksanakan secara teliti dengan mengambil kira pelbagai faktor dalaman serta luaran sesuai dengan standard dan kualiti murid serta keperluan semasa.

    “Transformasi ini juga perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak antaranya, pemimpin masyarakat, ibu bapa, penyedia dasar kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan serta tokoh pendidik,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

    Menerusi penilaian semula itu juga, Alimuddin berkata, pembabitan pelajar dalam bidang kokurikulum juga perlu diberi perhatian khusus sepanjang tempoh persekolahan murid.

    Kementerian juga mencadangkan penilaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah hanya menyumbang 30 peratus daripada pencapaian keseluruhan pelajar, manakala Penilaian Menengah Rendah (50 peratus) dan Sijil Pelajaran Malaysia (70 peratus).

    Berita Harian Online: 27 April 2009

    LPM diberi mandat urus proses penilaian awam kebangsaan

    LEMBAGA Peperiksaan Malaysia diberi mandat Kementerian Pelajaran menguruskan proses penilaian awam peringkat kebangsaan.

    Organisasi itu bertanggungjawab menjalankan peperiksaan serentak bagi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia.

    Penubuhannya jelas iaitu mewujudkan sistem peperiksaan sama di semua sekolah seluruh negara bagi menjayakan hasrat Penyata Razak, iaitu dasar pendidikan negara yang pertama.

    Proses penilaian berasaskan peperiksaan itu dilaksanakan mengikut keperluan sekolah atau penilaian luar seperti Overseas School Certificate, Malayan Secondary School Entrance Examination (MSSEE) dan Lower Certificate of Education (LCE)

    Ia berubah ketika pelaksanaan Laporan Rahman Talib (1960) dengan tempoh persekolahan sehingga berusia 15 tahun. Sistem naik darjah secara automatik dan pendidikan pelbagai jurusan.

    Pelaksanaan peperiksaan mewujudkan kemasukan mata pelajaran pilihan dalam LCE dan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Peperiksaan Penilaian Darjah V (PPDL), Ujian Diagnostik Darjah III.

    Sementara itu, menerusi Laporan Kabinet (1979) diwujudkan pula sistem kebangsaan bagi memenuhi keperluan ketika itu khususnya Kurikulum Baru Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

    Sistem peperiksaan yang dilaksanakan bagi memenuhi Falsafah Pendidikan Negara dengan mewujudkan UPSR bagi menggantikan PPDL, manakala PMR menggantikan SRP. Sistem itu juga menyesuaikan SPM selaras dengan kehendak KBSM.

    Berita Harian Online: 27 April 2009

    Sistem modular nilai calon STPM

    Oleh Norliza Abdullah
    lizz@bharian.com.my

    Pencapaian pelajar Tingkatan Enam dikaji sepanjang tempoh pengajian

    KUALA LUMPUR: Majlis Peperiksaan Malaysia akan melaksanakan sistem modular bagi menilai prestasi pelajar mengikut semester menggantikan kaedah terminal sedia ada untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

    Ketua Eksekutifnya, Omar Abu Bakar, berkata pihaknya sedang menyiapkan sistem itu dan pelaksanaannya akan diumumkan Menteri Pelajaran tidak lama lagi.

    Beliau berkata, sistem digunakan sedia ada dilaksanakan sejak 1982 menggantikan Higher School Certificate (HSC) itu perlu diubah bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa supaya terus berdaya saing.

    Kajian semula sistem sedia ada itu juga katanya, dilaksanakan berikutan kemerosotan jumlah calon yang mengambil peperiksaan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

    Kaedah taksiran modular yang akan dilaksanakan itu, kata Omar mengambil kira empat komponen iaitu penilaian berasaskan kurikulum dengan amalan peperiksaan biasa, projek sekolah, kerja amali dan ujian berasaskan sistem peperiksaan 'open book'.

    "Berbanding sistem peperiksaan terminal ini, pelajar perlu mengikuti pengajian selama tiga semester sebelum melayakkan mereka menduduki peperiksaan STPM.

    "Sistem baru ini akan menilai pencapaian pelajar berdasarkan prestasi mereka mengikut semester sepanjang tempoh pengajian Tingkatan Enam bawah dan atas.

    "Pendekatan sedemikian lebih berdaya saing dalam usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah. Ia selaras hasrat kerajaan mewujudkan sistem pendidikan holistik," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

    Berikutan perubahan itu, Omar berkata, kos taksiran dijangka meningkat dan pihaknya akan mengemukakan peruntukan baru kepada kerajaan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

    Beliau berkata, markah pelajar setiap semester dikumpul dan kecemerlangan mereka berdasarkan pencapaian tertinggi bagi ketiga-tiga penilaian.

    Berita Harian Online: 27 April 2009

    PIBG, sekolah bersama atasi gejala negatif

    KUALA PILAH 26 April - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) disaran supaya berganding bahu dengan pihak pengurusan sekolah bagi menangani gejala tidak sihat di kalangan pelajar.

    Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek, pembabitan pelajar sekolah di peringkat usia remaja dalam gejala sosial termasuk ponteng sekolah, penyalahgunaan dadah, lepak dan buli amat membimbangkan.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, semua pihak tidak sewajarnya menuding jari antara satu sama lain berhubung penyelesaian isu itu.

    ''PIBG dan pihak pengurusan sekolah mempunyai peranan dan tanggungjawab bersama untuk menerapkan nilai murni serta jati diri kepada pelajar agar gejala negatif dapat dicegah dari peringkat awal," ujarnya.

    Hasan berucap merasmikan Seminar PIBG peringkat daerah di Sekolah Menengah Teknik Juasseh dekat sini semalam.

    Hadir sama ialah Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof. Madya Datuk Dr. Muhamad Ali Hasan; Pengarah Pelajaran Daerah, Mat Rohani Kamar dan Pengetua Sekolah Menengah Teknik Juasseh, Nor Asikin Md. Shazilli.

    Sementara itu, beliau menambah, percambahan fikiran dalam membangunkan PIBG hendaklah digalakkan demi kecemerlangan pendidikan pelajar.

    ''Perbezaan pandangan dan ideologi tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk semua pihak memberi sumbangan positif kepada kemajuan PIBG.

    ''Sebaliknya perbezaan pandangan menjadikan kita bersikap lebih rasional dalam usaha mencapai satu matlamat bersama," jelasnya.

    Menurut Hasan lagi, PIBG dan pihak pengurusan sekolah perlu meningkatkan usaha menggilap potensi pelajar selaku generasi pewaris kepimpinan negara masa hadapan.

    Ujar beliau, langkah itu boleh membantu merealisasi hasrat kerajaan mewujudkan sebuah negara bangsa yang maju menjelang 2020.

    Utusan Malaysia Online: 27 April 2009

    Ahad, 26 April 2009

    Usah merokok depan pelajar

    CHERAS: Guru yang merokok dinasihatkan tidak berbuat demikian depan pelajar kerana tabiat itu boleh menjadi ikutan.

    Kajian Kementerian Kesihatan pada 2005 mendapati, kira-kira 42 peratus pelajar yang merokok mengaku terpengaruh oleh tindakan guru mereka, manakala 16 peratus lagi kerana pengaruh ibu bapa.

    Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata statistik itu menunjukkan guru lebih berpengaruh daripada ibu bapa.

    Menurutnya, mungkin kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah dan lebih rapat dengan guru hingga segala perbuatan, termasuk tabiat tidak baik, menjadi ikutan selepas terpengaruh.

    Katanya, pelajar mungkin menganggap tingkah laku guru mereka wajar dicontohi walaupun sebenarnya tabiat itu tidak baik dan boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri.

    “Ini dapat kita lihat mengenai peningkatan jumlah pesakit kanser, kini pada usia 20-an dan 30-an sudah menghidapnya,” katanya.

    myMetro: 26 April 2009

    Laporan Khas: Guru tertekan dahului wang sendiri tampung aktiviti sekolah

    Oleh Azrul Affandi Sobry
    azr@bharian.com.my

    Tanggungjawab 'terpaksa' sudah jadi tradisi bagi warga pendidik sejak dulu lama

    KUALA LUMPUR: Ramai guru mendakwa tertekan kerana terpaksa mendahulukan wang sendiri untuk menampung aktiviti sekolah dan keadaan itu lebih terasa dengan kegawatan ekonomi yang berlaku ketika ini, selain gaji guru yang dikatakan masih rendah.

    Kebanyakan guru yang dihubungi Berita Minggu mengeluh lantaran sering dibebani tanggungjawab 'terpaksa' itu kerana sudah menjadi tradisi sejak sekian lama, guru terpaksa berkorban segala aspek termasuk wang ringgit demi melaksanakan tugas sebagai pendidik.

    Mereka yang hanya bersedia menggunakan nama ringkas lantaran khuatir dikenakan tindakan atas pendedahan ini, mengakui senario itu sudah berlaku begitu lama tetapi belum ada sebarang tindakan meskipun sudah ramai guru merungut setiap kali menguruskan aktiviti sekolah.

    Seorang guru di Pulau Pinang, Khairul Zaki, berkata pengurusan sekolah yang tidak cekap menjadi punca utama menyebabkan ramai guru yang dianggap teraniaya kerana terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk aktiviti membabitkan pelajar.

    Guru kaunseling itu mendakwa pernah berlaku, beberapa rakannya ditugaskan mengiringi pasukan bola sepak ke kejohanan peringkat daerah terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk tujuan menyewa bas, makan minum pelajar untuk dua hari dan semua perbelanjaan runcit yang lain.

    "Khabarnya, mereka membelanjakan RM1,000 dan dikongsi bersama tiga orang guru. Memang selepas kejohanan, mereka boleh tuntut semula duit itu daripada pentadbir tetapi agak lambat untuk mendapatkannya. Ia nyata membebankan mereka.

    "Itu kes besar. Jika nak diperincikan, banyak lagi 'pengorbanan' terpaksa yang selalunya membebankan guru. Saya sendiri kerap terpaksa mengeluarkan duit sendiri jika mahu menyediakan bahan untuk program kaunseling, sedangkan ia adalah untuk aktiviti sekolah," katanya yang sudah hampir 10 tahun mengajar.

    Bagi Kamarul Azizi yang berpengalaman selama tujuh tahun mengajar di daerah Kuala Selangor, tekanan yang dihadapi guru di situ agak berat kerana setiap kali mereka dikehendaki membawa pelajar melakukan sebarang aktiviti, pasti duit poket mereka yang akan 'melayang'.

    "Pernah beberapa kali kami dikehendaki membawa pelajar ke kejohanan merentas desa peringkat negeri. Apabila kami meminta duit daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), mereka kata tak ada peruntukan. Atas rasa prihatin, kami terpaksa berkongsi semua perbelanjaan dan mengemukakan tuntutan selepas kejohanan tetapi malangnya ada yang tidak dibayar," katanya.

    Guru di Johor, Medan Malik, berkata akibat terlalu kerap menggunakan duit sendiri untuk aktiviti sekolah, ramai guru yang sudah hilang keikhlasan untuk memastikan pelajar mereka berjaya dalam sebarang aktiviti luar.

    Katanya, guru kini lebih selesa menumpukan kepada tugas utama mereka iaitu mengajar dan sering mengeluh jika dikehendaki menguruskan sesuatu aktiviti.

    "Aktiviti sekolah pula semakin banyak. Semuanya perlukan duit. Guru bukan ramai sangat. Jika aktiviti itu bertindan, suka atau tidak mereka terpaksa juga bawa pelajar," katanya.

    Guru di Kedah pula, Jasnie Nayan, berkata keadaan di sekolahnya lebih teruk kerana jika ada guru yang mengadu atau enggan menguruskan pelajar, mereka akan diugut oleh guru besar yang menggunakan kuasanya untuk mengambil tindakan, termasuk mengugut mereka boleh diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam.

    Apa yang lebih mengecewakannya banyak aktiviti di kawasannya hanya dimaklumkan oleh PPD atau Jabatan Pelajaran Kedah (JPNK) melalui telefon dan apabila aktiviti itu selesai, proses membuat tuntutan sangat rumit kerana tidak ada surat rasmi.

    "Jika ada surat sekalipun, ada aktiviti yang dianjurkan oleh agensi lain. Kami sebagai guru hanya mengikut arahan, apa lagi jika ia datang daripada PPD atau JPNK. Masalahnya, apabila ia aktiviti agensi lain, mereka kata PPD tak ada peruntukan untuk perbelanjaan itu. Guru juga yang teraniaya," katanya.

    Guru di Cheras, Shamsiah Hanif, berkata meskipun dia tak pernah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk aktiviti sekolah, hampir semua aktiviti yang diuruskannya memerlukan pengorbanan kewangan daripadanya.

    "Tidak lama lagi ada satu pertandingan tarian peringkat daerah. PPD hanya tahu menganjurkannya dan pihak sekolah pula mengarahkan guru menghantar pasukan. Masalahnya, nak menari mesti ada pakaian. Takkan menari pakai pakaian sekolah.

    "Apabila berbincang dengan penolong kanan atau pengetua, mereka kata tak ada peruntukan. Cikgu carilah sendiri. Pening kepala memikirkannya. Nak sewa, mana nak cari duit. Nak tarik diri nanti diberi amaran," katanya.

    Semua guru itu mahu kementerian bertindak segera mengatasi masalah berkenaan supaya guru tidak terus tertekan dan dapat melaksanakan aktiviti sekolah dengan lebih berkesan.

    Berita Harian Online: 25 April 2009

    Sekolah tak wajar bebankan pendidik

    PENTADBIRAN sekolah tidak sewajarnya membebankan guru dengan meminta mereka mendahulukan wang sendiri bagi melaksanakan sebarang program sekolah sama ada untuk aktiviti kokurikulum atau kurikulum pada semua peringkat.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom (gambar), berkata semua program yang dilaksanakan sama ada peringkat dalaman atau luaran yang membabitkan aktiviti rasmi perlu menggunakan sumber daripada peruntukan yang sudah disalurkan kementerian kepada setiap sekolah.

    Justeru, katanya, adalah tidak munasabah apabila guru terpaksa menggunakan duit sendiri untuk program sekolah kerana peruntukan disalurkan mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan itu dan boleh dikeluarkan daripada pelbagai saluran.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap sekolah diwajibkan mempunyai wang tunai sebanyak RM500 dalam peti panjar runcit (petty cash) yang boleh digunakan pada bila-bila masa bagi tujuan rasmi dan jumlah itu mesti kekal pada setiap masa.

    "Maksudnya, jika guru diminta melaksanakan apa saja program seperti membawa pelajar mengikuti sebarang aktiviti luar atau perlu membeli sesuatu untuk sekolah, wang itu boleh digunakan. Selepas digunakan, pentadbiran sekolah perlu menggantikan wang tunai itu supaya jumlahnya sentiasa genap RM500.

    "Jika jumlah yang diperlukan melebihi nilai RM500, banyak kaedah lain lagi boleh digunakan seperti menggunakan pesanan tempatan (local order) atau mengemukakan resit bayar kemudian selepas sesuatu perkhidmatan seperti bas untuk menghantar pelajar digunakan.

    "Peruntukan untuk semua aktiviti itu ada dan sekolah mempunyai banyak saluran untuk membayarnya. Paling tidak pun, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh membantu dengan syarat aktiviti itu membabitkan kebanyakan pelajar di sekolah berkenaan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan ramai guru mengenai tekanan yang dihadapi mereka akibat terpaksa mendahulukan duit sendiri bagi menampung aktiviti sekolah seperti membawa murid keluar untuk pertandingan sukan atau membuat persiapan sebarang sambutan yang diadakan di sekolah.

    Bagaimanapun, Alimuddin mengakui kebanyakan guru yang menjadi mangsa 'keadaan' itu disebabkan pengurusan pentadbiran sekolah tidak cekap serta tidak mengikut prosedur sepatutnya dalam menguruskan perbelanjaan mereka.

    Katanya, untuk menangani masalah itu, guru sewajarnya berterus terang mengenai jumlah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan setiap kali mendapat arahan untuk menguruskan sesuatu aktiviti.

    "Guru bagaimanapun bertanggungjawab dengan bidang tugas mereka. Jangan kerana alasan perlu mengeluarkan belanja sendiri, mereka tidak mahu melaksanakan tugas itu. Mereka perlu berterus terang dengan pihak pentadbiran dan menjadi kewajipan pentadbir pula untuk menyediakan perbelanjaan mencukupi sebelum mengarahkan guru melaksanakan tugas mereka.

    "Dalam isu ini, soal keikhlasan sangat penting. Jika setakat perlu membeli sebatang pen, apa salahnya guru dahulukan duit mereka. Namun, jika ia terasa membebankan, guru perlu memaklumkan kepada pentadbir dan mereka berhak mendapat peruntukan sebelum aktiviti dijalankan.

    "Pada dasarnya, kementerian tidak bersetuju jika pentadbir meminta guru mendahulukan duit mereka kerana ia tidak termaktub sebagai sebahagian daripada tugas guru. Gunakan peruntukan yang ada," katanya.

    Beliau berkata, pentadbir sekolah juga perlu memahami bahawa tugas utama guru ialah melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan serta tidak terlalu membebankan guru dengan aktiviti yang tidak penting.

    Lantaran itu, kementerian sudah mengurangkan aktiviti sampingan lain bagi memberi peluang kepada guru memfokuskan kepada aktiviti dalam kelas.

    Berita Harian Online: 25 April 2009

    'Tidak salah kalau tarik diri jalankan aktiviti'

    GURU berhak menarik diri atau enggan mematuhi arahan melaksanakan sebarang aktiviti sekolah jika terpaksa mendahulukan wang mereka kerana ia adalah tanggungjawab pihak sekolah menyediakan semua kemudahan untuk memastikan aktiviti itu dilaksanakan.

    Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata adalah menjadi hak guru menolak tanggungjawab itu jika berasakan ia membebankan serta tidak sanggup melaksanakannya.

    Ini kerana, kata beliau, sewajarnya pihak sekolah memastikan segala keperluan termasuk perbelanjaan sudah disediakan sebelum mengarahkan guru melaksanakan tugas mereka seperti membawa pelajar untuk aktiviti luar sekolah.

    "Banyak sumber yang boleh digunakan, malah tidak sekadar wang sekolah yang boleh digunakan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah juga boleh membantu untuk memastikan aktiviti itu dilaksana tanpa membebankan guru.

    Beliau meminta semua PIBG memantau aktiviti serta perbelanjaan supaya tidak terlepas pandang dan akhirnya memberi tekanan kepada guru.

    Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran, Jemali Paiman, berkata permasalahan itu disebabkan kelemahan pentadbir sekolah.

    Katanya, ada tiga sumber kewangan boleh digunakan menjalankan aktiviti sekolah iaitu wang sekolah melalui akaun sumber wang awam (Suwa) dan wang kerajaan; bantuan perkapita kerajaan serta melalui akaun PIBG.

    "Namun, ada ketikanya, wang itu tidak dapat dikeluarkan segera kerana notis yang diterima untuk sesuatu aktiviti terlalu singkat dan pada masa sama, kerani kewangan atau pengetua tidak ada di sekolah," katanya.

    Berita Harian Online: 26 April 2009

    Sabtu, 25 April 2009

    Guru patut dibenar ambil tindakan tegas atasi disiplin pelajar

    SEJAK awal 2009, berita yang dipaparkan di televisyen dan akhbar tidak pernah putus dengan masalah disiplin pelajar. Ke mana hala tuju anak dan warga Malaysia jika masalah seperti ini masih menular pada peringkat rendah dan menengah?

    Pepatah ada menyebut 'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Namun, akibat pekeliling, akta, undang-undang dan peraturan menyebabkan penularan masalah ini. Terbukti, halangan terhadap guru melaksanakan hukuman rotan dan denda lain menyebabkan masalah disiplin terus berlaku. Pelajar tahu, tiada panduan dan peraturan khas yang membolehkan mereka diambil tindakan.

    Kementerian Pelajaran perlu mengambil kira pelbagai faktor untuk merencanakan pelajar mengikut acuan negara seperti yang termaktub di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Ke-10. Pada pandangan saya, kerajaan harus menitik beratkan disiplin pelajar sebelum memantapkan pembangunan kurikulum dan kokurikulum pelajar.

    BELIA NEGARA,
    Kuala Rompin, Pahang.


    Berita Harian Online: 25 April 2009

    Sistem pendidikan Malaysia perlu kembali kepada amalan asas

    KETIKA penulis belajar di sekolah rendah dahulu, guru-guru sering menyuruh muridmurid membaca petikan atau karangan bahasa Malaysia di depan kelas. Seorang demi seorang.

    Begitu juga dengan mata pelajaran lain seperti menyelesaikan masalah Matematik dan membaca hafalan ayat-ayat al-Quran. Semuanya dibuat di depan kelas.

    Bagaimanapun, pada masa ini amalan seperti itu tidak lagi berlaku dan alasannya mudah. Terlalu ramai murid di dalam sesebuah kelas dan jika itu diamalkan, sudah pasti ia akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan sesuatu topik.

    Jika gagal menghabiskan semua topik sebelum peperiksaan, ia akan memberi kesan kepada persiapan pelajar dan sekali gus keputusan peperiksaan juga merosot.

    Begitulah terkongkongnya pelajar kita di Malaysia dengan sistem pendidikan yang berasaskan peperiksaan sehingga setiap program yang dilakukan oleh sekolah hanya bertitik tolak soal peperiksaan. Ia membuatkan usaha membentuk sahsiah pelajar terpinggir.

    Bagaimanapun penulis terkejut apabila kaedah seperti itu masih dipraktikkan di Indonesia.

    Anak-anak penulis yang belajar di sebuah sekolah agama persendirian di Jakarta, setiap hari membuat persiapan untuk membaca di depan kelas walaupun masih di peringkat sekolah rendah.

    Pada mulanya mereka kelihatan begitu gugup untuk berdepan dengan rakan sekelas, maklumlah ia jarang dilakukan ketika belajar di Malaysia, tetapi lama-kelamaan keyakinan mereka semakin meningkat.

    Kini dalam tempoh singkat mereka sudah biasa membaca di depan kelas, malah cukup tidak sabar bila ada aktiviti pembentangan atau persembahan di depan kelas.

    Mereka juga berkumpul bersama rakan-rakan untuk merancang bentuk persembahan atau pembentangan yang akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dalam suasana ceria.

    Rupa-rupanya membaca di depan kelas itulah asas kepada membentuk keyakinan diri bagi membuat pembentangan yang lebih besar ketika di peringkat universiti, mahupun ketika bekerja.

    Bagaimanapun ia semakin tidak dipraktikkan di sekolah-sekolah di negara kita.

    Jadi apabila mengetahui Kementerian Pelajaran mahu membuat satu transformasi ke atas sistem pendidikan negara pada tahun depan, penulis terfikir kembali perkara asas tersebut.

    Amalan yang diterapkan oleh guru-guru dahulu perlu digunakan kembali di sekolah bagi meningkatkan keyakinan pelajar.

    Mungkin ia dilihat terlalu remeh tetapi mempunyai kesan yang mendalam bagi membentuk sahsiah dan keyakinan pelajar.

    Satu lagi insiden menarik ialah apabila anak-anak penulis dengan bangga menunjukkan wang kertas "Ringgit Malaysia", tibatiba salah seorang rakan mereka bertanya gambar apa dan siapakah yang tertera pada semua wang berkenaan.

    Sekali lagi anak penulis gagal memberi jawapan yang pasti, berbanding rakan-rakan di Jakarta. Mereka dapat memberi penjelasan mengenai setiap gambar yang terpapar pada setiap wang kertas Indonesia kerana ia turut dipelajari di sekolah.

    Ini bermakna pendidikan kita terlalu luas skopnya sehingga kita gagal menerapkan pengetahuan persekitaran kepada pelajar.

    Bagi pelajar di Jakarta, mereka perlu belajar mata pelajaran khusus tentang Jakarta. Begitu juga bagi pelajar di kawasan lain, mereka akan belajar tentang bandar-bandar utama di kawasan mereka.

    Pelajaran berkenaan memberi pendedahan terhadap apa yang ada di persekitaran mereka, termasuk lokasi menarik atau tumpuan di kawasan setempat serta sejarahnya.

    Pelajaran berkenaan tidak hanya tertumpu di dalam bilik darjah, tetapi mereka perlu melawat dan melihat apa yang dipelajari melalui rombongan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

    Jadi tidak hairan jika setiap hari pasti ada sahaja ratusan murid-murid sekolah rendah melawat Muzium Nasional (Monas) di Jakarta dan kaedah berkenaan juga tidak lagi dipraktikkan di Malaysia.

    Penulis fikir rombongan sedemikian itu lebih bermanfaat daripada membawa para pelajar pergi berkelah di pantai dan air terjun yang berisiko tinggi kemungkinan berlaku kemalangan, apatah lagi terlalu sedikit ilmu pengetahuan yang diperolehi.

    Memang tidak dinafikan sistem pendidikan negara jiran juga mempunyai banyak kelemahan tetapi mungkin kita boleh mempelajari dan mengambil sedikit daripada aspek positif dalam sukatan pelajaran mereka bagi memantapkan sistem pendidikan negara.

    Utusan Malaysia Online: 25 April 2009

    Pelajar tidak terkecuali - Musa

    JOHOR BAHRU 24 April - Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk pelajar yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur hasutan dan perkauman di negeri ini.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ini kerana tindakan menyebar SMS itu boleh membangkitkan kegelisahan di kalangan orang ramai sekali gus menimbulkan masalah perkauman yang serius.

    Pada masa sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila membabitkan masalah disiplin anak-anak mereka di sekolah.

    "Dalam kes di Pontian ini, ia melibatkan isu pelajar yang tidak berdisiplin selain campur tangan ibu bapa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    "Hari ini, ibu bapa terlebih sayang anak-anak mereka hingga tidak boleh lagi didisiplinkan oleh guru di sekolah. Saya rasa cara ini salah.

    "Kita sepatutnya membiarkan guru mendisiplinkan anak-anak kita. Disiplin tidak bermaksud guru boleh melakukan apa sahaja cara tetapi menerusi pendekatan yang boleh diterima oleh ibu bapa," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pengarah-Pengarah Logistik PDRM, di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

    Musa mengulas penahanan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dipercayai kerana menghantar SMS berbaur perkauman berhubung satu kes pukul di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Nanas, Pontian, Isnin lalu.

    Pelajar terbabit yang menuntut di sekolah berlainan di pekan itu ditahan ketika menyerah diri sambil diiringi bapanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada pukul 12 tengah hari ini.

    Selasa lalu, seorang lelaki berusia 47 tahun membuat laporan di Balai Polis Pekan Nanas selepas menerima SMS berbaur perkauman tersebut sehari sebelum itu.

    Antara isi kandungan SMS tersebut menjurus kepada rasa tidak selamat berhubung kejadian pukul berkenaan sehingga boleh menimbulkan rasa ketegangan kaum.

    Bagaimanapun, lelaki tersebut yang kemudiannya menyedari SMS tersebut dihantar oleh anaknya sendiri kemudiannya membawa anaknya itu ke IPD Pontian hari ini sebelum pelajar perempuan tersebut ditahan.

    Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 yang boleh membawa hukuman didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

    Sementara itu, Mohd. Mokhtar berkata, polis berjaya menahan dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang sebelum ini menghilangkan diri di sekitar Pontian berhubung kes pukul itu.

    Katanya, susulan penahanan terbaru itu, polis kini masih mengesan seorang lagi lelaki berhubung kes tersebut.

    Semalam, seorang penyelia kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pontian atas empat pertuduhan berbeza termasuk menceroboh kawasan sekolah dan mencederakan dua pelajar serta seorang guru.

    Ker Pyad Earnn, 36, didakwa melakukan perbuatan itu bersama tiga lagi rakannya yang masih bebas pukul 1.40 petang Isnin lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Nanas di sini.

    Pada Isnin lalu, Balai Polis Pekan Nanas di Pontian kecoh apabila orang ramai berkumpul di pekarangan balai kerana tidak berpuas hati dengan satu kejadian pukul melibatkan seorang guru di sebuah sekolah menengah.

    Kejadian itu dipercayai rentetan daripada satu kes pukul berasingan melibatkan pelajar sekolah tersebut pada Jumaat lalu.

    Utusan Malaysia Online: 25 Mac 2009

    Jumaat, 24 April 2009

    Respons: Penilaian baru jadikan tugas guru makin mencabar

    Oleh Zainor Said

    JIKA segala-galanya berjalan seperti yang dirancang, mulai tahun depan Kementerian Pelajaran akan melaksanakan sistem baru dalam membuat penilaian terhadap prestasi pelajar iaitu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK), bermula dengan murid tahun satu.

    Menerusi sistem baru itu, prestasi pelajar bukan saja dinilai berasaskan peperiksaan, malah turut mengambil kira aspek rohani, jasmani dan emosi secara bersepadu termasuk pembabitan mereka dalam kegiatan kokurikulum. Matlamat kementerian adalah untuk mengubah sistem penilaian sekarang yang dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan kepada usaha untuk mencungkil potensi serta bakat pelajar dalam bidang dan kemahiran lain.

    Penilaian berasaskan sekolah dari tahun satu hingga enam meliputi 70 peratus daripada markah keseluruhan, manakala baki 30 peratus lagi adalah menerusi peperiksaan UPSR yang bakal mereka duduki pada 2015. Di peringkat PMR pula markah penilaian berasaskan sekolah merangkumi 50 peratus dan baki 50 peratus lagi menerusi peperiksaan PMR. Sementara di peringkat SPM pula, 30 peratus adalah markah penilaian berasaskan sekolah dan 70 peratus lagi menerusi peperiksaan SPM.

    Langkah baru Kementerian Pelajaran itu adalah satu daripada usaha transformasi pendidikan untuk melahirkan modal insan serba boleh dan holistik. Kerajaan bukan saja mahu melahirkan pelajar cemerlang akademik tetapi juga memiliki kemahiran lain seperti bijak berkomunikasi, bergaul, berakhlak, kreatif dan berpengetahuan luas.

    Buat masa ini, Kementerian Pelajaran sudah menjalankan projek perintis di beberapa sekolah terpilih untuk menguji keberkesanan sistem itu. langkah itu memberi mesej jelas kepada kita bahawa setiap projek sekiranya sudah melalui tempoh percubaan di beberapa sekolah bermakna ia hampir pasti akan dilaksanakan.

    Umum bersetuju bahawa sistem pendidikan hari ini terlalu menekankan peperiksaan kerana hanya dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan saja akan membolehkan seseorang pelajar mendapat laluan mudah sehingga ke peringkat universiti. Mereka juga ditawarkan pembiayaan pengajian berdasarkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan. Sebab itulah tumpuan sebahagian besar ibu bapa adalah ingin memastikan anak mereka berjaya merangkul semua A atau markah cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki.

    Sistem yang bakal dilaksanakan itu mempunyai sedikit persamaan di peringkat pengajian tinggi. Markah penilaian mahasiswa bukan bergantung seratus peratus pada peperiksaan akhir tahun yang mereka duduki kerana sebahagiannya sudah diagihkan, sama ada menerusi kerja kursus dan sebagainya.

    Bagaimanapun ibu bapa tidak harus beranggapan bahawa dengan kurangnya peratusan markah di peringkat peperiksaan UPSR, PMR atau SPM bermakna anak mereka tidak perlu belajar atau melakukan ulang kaji seperti yang dilakukan sekarang.

    Apa yang membezakan dengan sistem sekarang ialah tekanan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun enam, tingkatan tiga dan tingkatan lima itu berkurangan kerana sebahagian daripada markah mereka sudah diperoleh ketika mereka berada di tahap sebelumnya menerusi ujian bulanan, kegiatan kokurikulum serta aktiviti akademik berbentuk kajian yang diberikan oleh guru sebelum ini.

    Bagi melaksanakan sistem penilaian berasaskan sekolah ini kita tidak dapat lari daripada menagih komitmen tinggi daripada semua guru di semua peringkat daripada tahun satu hinggalah ke tingkatan lima. Merekalah yang menjadi penentu berjaya atau gagalnya sistem ini kerana setiap guru memainkan peranan penting dalam membuat penilaian terhadap murid masing-masing.

    Kita bukannya mahu memperkecilkan kewibawaan dan kemampuan guru tetapi dengan bilangan murid yang semakin ramai, sehingga sesetengahnya ada yang melebihi 40 orang dalam satu kelas, tugas serta tanggungjawab guru menjadi semakin berat dan mencabar. Apatah lagi apabila diberi tanggungjawab membuat penilaian penting prestasi murid seterusnya memberi markah yang merupakan sebahagian daripada skor keseluruhan murid dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

    Kita harap setiap guru harus dilengkapi dengan kemahiran dan kepakaran tertentu mulai sekarang supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab baru itu dengan berkesan seterusnya membantu kerajaan melahirkan modal insan kelas pertama. Kementerian juga harus memberi mesej jelas kepada guru apakah matlamat yang ingin dicapai agar sistem penilaian berasaskan sekolah ini dapat dilaksanakan dengan berjaya tanpa protes dan bantahan daripada mana-mana pihak seperti yang berlaku terhadap Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

    Biarlah sistem baru ini, kita bukan saja berjaya mengurangkan tekanan yang dihadapi murid, tetapi penting juga bagi kita mengurangkan tekanan yang dihadapi guru serta ibu bapa. Sekiranya guru diserahkan tanggungjawab yang terlalu banyak, kita bimbang mereka tidak mampu memberi fokus kepada tugas hakiki iaitu mengajar, sehingga boleh menjejaskan kualiti kerja yang mereka hasilkan.

    Sebagai bapa, penulis juga mempunyai anak yang menduduki peperiksaan di pelbagai peringkat. Penulis yakin setiap ibu bapa melalui perasaan sama apabila anak mereka bakal menghadapi peperiksaan, walaupun ia hanya di peringkat UPSR. Oleh itu, setiap ibu bapa yang anak mereka bakal menjejak kaki ke alam persekolahan tahun depan, eloklah bersedia mulai sekarang. Sekurang-kurangnya mengambil tahu tentang sistem baru yang bakal dilaksanakan Kementerian Pelajaran.

    Berita Harian Online: 24 April 2009

    Johor: Pelajar mesti tingkat disiplin, elak perangkap dadah

    Oleh Shahrizan Wahib
    bhnews@bharian.com.my

    JOHOR BAHRU: Pelajar sekolah diingatkan supaya sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling supaya tidak terjerumus dalam penyalahgunaan dadah yang akan merugikan mereka.

    Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru, Aminuddin Adam, berkata pelajar sekolah adalah bakal pemimpin yang akan meneraju negara satu hari nanti dan mereka seharusnya dididik supaya menjadi modal insan yang lebih berkualiti dari segi mental dan kemahiran.

    "Pelajar adalah aset terpenting kepada negara dan pihak sekolah diharap dapat membantu membentuk disiplin serta sahsiah diri pelajar.

    "Pelajar juga seharusnya aktif dalam meningkatkan kemahiran sosial mereka supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat apabila mereka keluar zaman persekolahan," katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah Peringkat PPD Johor Bahru, di SMK Modh Khalid, di sini, kelmarin.

    Selain itu, Aminuddin berkata, pelajar yang aktif dalam kokurikulum dan cemerlang dalam kurikulum juga akan menjadi pelajar yang produktif dan serba boleh.

    "Matlamat Kementerian Pelajaran yang ingin melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi pendidikan dan kecergasan mental akan tercapai jika pelajar dapat memenuhi masa mereka dengan kegiatan yang sihat.

    "Oleh itu, pelajar diharap sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan apabila mereka menempuh alam pekerjaan nanti," katanya.

    Mengulas mengenai karnival itu, beliau berkata, acara itu boleh mendorong pelajar ke arah perkembangan yang lebih positif.

    Katanya, penyertaan sembilan sekolah dalam karnival itu diharap dapat menyedarkan pelajar terbabit serta masyarakat amnya mengenai bahaya dadah.

    Berita Harian Online: 24 April 2009

    Muhyiddin lawat sekolah uzur dan mendap


    MUHYIDDIN Yassin melambai kepada pelajar-pelajar yang menunggu beliau ketika mengadakan lawatan singkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, Danau Kota, Kuala Lumpur, semalam.


    KUALA LUMPUR 23 April - Dua buah sekolah yang uzur dan berdepan masalah mendapan tanah menjadi institusi pendidikan pertama yang dipilih Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan lawatan kerjanya.

    Kunjungan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Bukit Jalil dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah di sini berlangsung dalam suasana santai tanpa sambutan besar-besaran walaupun beliau merupakan pemimpin nombor dua negara.

    Selain meninjau masalah sekolah berkenaan, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar sekolah dan guru-guru yang kelihatan begitu gembira menerima tetamu istimewa itu.

    Mengenai lawatannya ke SJK Tamil Ladang Bukit Jalil, Muhyiddin menyatakan perasaannya amat tersentuh melihat kira-kira 90 pelajar berketurunan India menuntut ilmu dalam keadaan tidak sempurna.

    Sehubungan itu, katanya, kementerian memutuskan untuk membina bangunan baru di kawasan berdekatan dengan kos RM2 juta.

    Katanya, kerja-kerja pembinaan menggantikan sekolah berusia 70 tahun itu akan dimulakan apabila urusan berkaitan kontrak diselesaikan dan ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan iaitu pada akhir 2010.

    "Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengeluarkan tender tetapi saya minta ia diubahsuai untuk menambah beberapa bilik lain supaya pelajar yang akan meningkat kepada 200 orang pada 2011 menikmati kemudahan yang lebih baik.

    "Saya lihat memang banyak kekurangan, kita sentiasa mengambil inisiatif dan perhatian kepada sekolah yang belum lengkap walaupun ia adalah SJK, selepas berpindah ke tanah milik kerajaan kita akan berikannya bantuan penuh," katanya pada sidang akhbar di SMK Setapak Indah di sini hari ini.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, masalah keretakan akibat mendapan di SMK Setapak Indah yang didirikan di atas tanah bekas lombong akan diselesaikan segera.

    Muhyiddin turut memberi jaminan sekolah berkenaan selamat digunakan berdasarkan laporan JKR bahawa masalah itu tidak menjejaskan struktur bangunan.

    "Kerja penambahbaikan di kawasan mendap akan dilaksanakan JKR, ia akan dimulakan serta merta kerana kementerian menyediakan peruntukan yang mencukupi," katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menyifatkan lawatan kerja ke dua buah sekolah itu sebagai amat berhasil kerana beliau berpeluang mendengar sendiri laporan daripada guru besar selain dapat meninjau hal ehwal pelajar dan kemudahan yang ada.

    Katanya, melalui tinjauan yang lebih dekat beliau dapat memahami dengan jelas isu dan masalah bidang pendidikan di negara ini.

    Utusan Malaysia Online: 24 April 2009

    SMK Chukai juara bahas pertandingan ala Parlimen

    BESUT 23 April - Peserta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cukai, Kemaman memikat hati juri dengan kepetahan berhujah sehingga membolehkan sekolah itu menjuarai Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Sekolah-sekolah Menengah Terengganu, semalam.

    Sekolah itu menewaskan pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, Kuala Terenganu pada pertandingan yang diadakan di SMKA Wataniah Jerteh.

    Peserta SMK Cukai yang diwakili oleh Zuhamizan Mohd. Azami, Mohd Zulfikar Mohd. Noor, Nur Adibah Zulkefali, Iffah Syahirah Hashim dan Fayadhah Nurul Ramli bertindak sebagai kerajaan.

    Manakala SMKA Tok Jiring yang bertindak sebagai pembangkang diwakili oleh Mohamad Faiz Mohd. Zuki, Mohd Halimi Mohamad Faudzi, Mohd. Khairi Azhar Mat Yassin, Wan Nur Syafiqah Izzati Wan Ibrahim dan Hasanah Mahmud.

    Bahas yang bertajuk Pertambahan Saluran Televisyen Meningkatkan Pengetahuan Masyarakat yang disertai wakil dari setiap daerah itu dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

    Zuhamizam turut terpilih sebagai pembahas terbaik dalam pertandingan tersebut.

    Dengan kemenangan itu, SMK Cukai akan mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada akhir bulan depan.

    Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Baharudin Ibrahim.

    Utusan Malaysia Online: 24 April 2009

    Masalah SMK Entilibon diatasi

    KINABATANGAN 23 April - Masalah kekurangan kemudahan infrastruktur yang dialami Sekolah Menengah Kebangsaan Entilibon di sini akan diatasi apabila bangunan baru sekolah berkenaan siap tidak lama lagi.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, walaupun sekolah baru itu dibina dua kilometer dari sekolah asal tetapi ia tetap sebahagian daripada SMK Entilibon.

    ''Ini adalah antara langkah drastik kementerian dalam menangani kekurangan kemudahan infrastruktur di sekolah berkenaan," katanya selepas meninjau beberapa sekolah di sini semalam.

    Beliau yang dalam lawatan kerja meninjau sekolah di kawasan pedalaman Sabah ditemani Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh.

    Selain kekurangan bilik darjah, SMK Entilibon turut mengalami kekurangan kemudahan asrama, rumah guru, bilik guru dan bilik multimedia.

    Mengulas mengenai masalah di bangunan SMK Elopura Bestari yang sebahagiannya terbakar baru-baru ini, Mohd. Puad berkata, pihaknya akan melantik juru perunding bagi meneliti kos membaik pulih bangunan asrama yang terbakar itu.

    ''Bagi SMK Gum-Gum pula kita akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk membuat kajian berhubung dua blok A dan B bangunan sekolah ini yang tidak selamat lagi untuk digunakan," ujarnya.

    Beliau menambah, sebaik menerima laporan daripada JKR, kementeriannya akan mengambil tindakan selanjutnya.

    Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, Kementerian Pelajaran akan berusaha memastikan sekolah-sekolah di luar bandar mempunyai kemudahan infrastruktur yang mencukupi.

    Katanya, tinjauan awal di beberapa sekolah luar bandar di sini mendapati masih banyak yang perlu dilakukan bagi merapatkan jurang kemudahan antara sekolah luar bandar dan bandar.

    ''Jurang pendidikan ini perlu dirapatkan lagi supaya pelajar-pelajar di luar bandar dan pendalaman di sini dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa," katanya.

    Utusan Malaysia Online: 24 April 2009

    Kisah Cikgu Apai, cikgu Sejarah saya

    PADA hari Isnin, 20 April lalu semasa saya menghantar kereta di sebuah pusat servis di Mutiara Damansara, secara kebetulan saya bertemu dengan seorang guru perempuan semasa saya di sekolah menengah dulu.

    Dalam pertemuan singkat itu saya sempat bertanya khabar mengenai guru-guru lama yang masih saya ingati.

    Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai seorang guru yang mengajar saya subjek Sejarah semasa di tingkatan 3 iaitu Cikgu Saparuddin (atau lebih dikenali sebagai Cikgu Apai).

    Saya dimaklumkan beliau telah ditukarkan ke sebuah sekolah rendah atas sebab-sebab yang mungkin telah ditetapkan oleh pihak kementerian dalam penyusunan semua guru-guru.

    Mengimbas kembali mengenai Cikgu Apai semasa saya bersekolah di Sekolah Menengah Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, beliau merupakan seorang guru disiplin yang tegas dan mengajar subjek Sejarah untuk tingkatan 3.

    Apa yang saya ingin sampaikan ialah mengenai cara beliau mengajar mata pelajaran itu dengan begitu berkesan. Subjek Sejarah mungkin agak membosankan bagi sesetengah pelajar kerana begitu banyak tarikh dan peristiwa yang perlu diingati.

    Namun Cikgu Apai mengajar subjek tersebut dengan penuh bersemangat dan berkobar-kobar dan cara penyampaiannya membuatkan kita seolah-olah sedang berada pada zaman sejarah tersebut.

    Sekiranya silibus sekarang masih sama seperti dulu, pembelajaran sejarah pada tingkatan 3 merangkumi hal-hal berkaitan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan soal kebangkitan nasionalisme di tanah air serta mengenai penubuhan Malayan Union. Ini merupakan sejarah negara yang amat penting untuk semua rakyat Malaysia memahaminya dengan betul.

    Cikgu Apai telah memainkan peranan dengan memberikan penerangan serba lengkap mengenai fakta-fakta sejarah yang terkandung dalam buku teks sehinggakan pada waktu itu saya mampu untuk memahami dan menghafal keseluruhan isi kandungan buku teks tersebut di samping menjadikan subjek Sejarah sebagai subjek pilihan.

    Keberkesanannya mengajar memang diakui bukan sahaja oleh pelajar-pelajar malah turut diakui di kalangan guru-guru lain.

    Hari ini selepas mendapat tahu Cikgu Apai telah ditukarkan ke sekolah rendah, saya rasa terkilan kerana memikirkan bertapa ruginya pelajar-pelajar di sekolah menengah yang tidak lagi diajar oleh seorang cikgu seperti Cikgu Apai.

    Semoga mereka mendapat guru sebaik Cikgu Apai yang dapat mengajar dengan penuh semangat mengenai sejarah negara.

    Adalah menjadi kerugian dalam institusi pendidikan apabila guru yang begitu berkebolehan dalam subjek Sejarah diletakkan di sekolah rendah yang tidak mengajar subjek itu.

    ARES SALIM (SMBG91)

    Kota Damansara

    Utusan Malaysia Online: 24 April 2009

    Guru perlu tingkatkan pengetahuan

    SUNGAI PETANI 23 April - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menasihatkan golongan guru supaya sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa bagi menghadapi situasi yang makin mencabar kini.

    Baginda bertitah, guru digalakkan berbuat demikian bagi mewujudkan nilai tambah dan perubahan paradigma dalam perkhidmatan awam.

    ''Tanpa peningkatan pengetahuan dan kemahiran, sukar bagi para lulusan dan guru sebagai kakitangan awam untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik.

    ''Oleh itu, peningkatan ilmu pada diri mereka perlu diberikan perhatian.

    ''Ini kerana, mereka akan memegang peranan sebagai pakar rujuk kepada para pelajar sekolah, rakan sejawat serta masyarakat keseluruhannya,'' titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-28, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

    Teks ucapan baginda dibacakan oleh Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.

    Seramai 334 graduan menerima Diploma Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) peringkat sekolah rendah pada konvokesyen yang berlangsung di Dewan Munsyi IPGM itu.

    Daripada jumlah tersebut, 187 orang lulusan mencapai pangkat cemerlang sementara selebihnya pangkat kepujian.

    Menurut Sultan Kedah, seseorang guru juga perlu memiliki sahsiah dan tingkah laku terpuji ketika

    melaksanakan tugas mereka sama ada di dalam ataupun luar sekolah.

    Malah, titah baginda, guru juga harus menjadikan diri mereka sebagai pendidik yang mempunyai pegangan agama kukuh.

    ''Dengan adanya nilai agama, guru akan menjadi pendidik yang lebih bertanggungjawab, berilmu dan berintegriti.

    ''Semakin tinggi iman dan takwa seseorang pendidik, maka tinggilah martabat dirinya pada mata masyarakat," titah baginda.

    Sementara itu, Pengarah IPGM Kampus Sultan Abdul Halim, Saadiah Bani berkata, nama kampus yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Perguruan Sultan Abdul Halim (IPSAH) ditukar kepada IPGM sejajar dengan penambahbaikan institusi latihan perguruan yang ditetapkan kerajaan.

    Katanya, bilangan kakitangan akademik turut

    ditingkatkan kepada 192 orang sementara kakitangan sokongan juga ditambah kepada 92 orang.

    ''Penambahan ini bukan saja berlaku terhadap kuantiti tetapi ke atas kualiti.

    ''Sehingga kini, bilangan guru pelatih yang mengikuti kursus Perguruan Sepenuh Masa dan Kursus Dalam Cuti adalah seramai 1,834 orang," jelasnya.

    Sementara itu, seorang graduan, Mohd. Soleh Hamid, 26, yang sebelum ini mengikuti kursus pengajian Pendidikan Jasmani dipilih sebagai pelatih terbaik keseluruhan pada majlis konvokesyen tersebut.

    Turut dipilih sebagai penuntut terbaik dalam bidang masing-masing ialah Azra Hiryani Salam (kokurikulum), Nasriah Hafizamamnullah (praktikum) dan Fatimatuzzahrah Fadzin (akademik).

    Utusan Malaysia Online: 24 April 2009

    Khamis, 23 April 2009

    Tapisan SPRM Wajib Untuk Naik Pangkat - JPA

    KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kerajaan sememangnya mewajibkan perisytiharan harta dan tapisan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai antara syarat-syarat kenaikan pangkat bagi penjawat awam, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Khamis.

    Langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan syarat mengkehendaki pegawainya dikenakan tapisan SPRM sebelum dipertimbangkan kenaikan pangkat adalah menepati peraturan sedia ada dalam perkhidmatan awam.

    Ketua Unit Komunikasi Korporat JPA Nik Noraini Nik Ya berkata calon-calon yang dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat juga perlu memenuhi syarat-syarat lain termasuk bebas daripada hukuman tatatertib selain penilaian prestasi.

    "Amalan oleh JPJ itu merupakan pematuhan terhadap Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 1993 bagi memastikan keutuhan seseorang penjawat awam, antaranya tidak terlibat dengan amalan rasuah.

    "Perenggan 37 (2)(c) menetapkan antara asas kenaikan pangkat adalah sifat-sifat peribadi pegawai termasuk kesesuaiannya dengan jawatan kenaikan pangkat, keutuhan, potensi dan kepimpinan pegawai," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

    Isnin lepas, JPJ yang dikritik hebat kerana rasuah sejak akhir-akhir ini, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SPRM dalam usaha membendung gejala rasuah dan meningkatkan integriti serta profesionalisme di kalangan warga kerjanya.

    Nik Noraini berkata Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, menetapkan semua penjawat awam (terpakai untuk semua gred jawatan) dikehendaki mengisytiharkan secara bertulis kepada Ketua Jabatan masing-masing segala harta yang dimiliki olehnya atau isteri, suami, anak, atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya, isteri atau suami atau anaknya.

    "Peraturan ini juga menetapkan pengisytiharan harta diwajibkan apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam, dikehendaki oleh kerajaan, memperoleh harta tambahan dan atau melupuskan harta," katanya.

    Beliau berkata penjelasan dan panduan lanjut mengenai pelaksanaan pengisytiharan harta dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Tiga Tahun 2002 di mana penjawat awam hendaklah membuat pengisytiharan harta setiap lima tahun sekali.

    BERNAMA: 23 April 2009