Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2012/06/18
Muhammad Khailani Abd Jalil (kiri) dan Alimuddin Mohd Dom
Kementerian dicadang perkenal mekanisme pantau tingkah laku pelajarKUALA
LUMPUR: Rekod disiplin dan sahsiah pelajar wajar dijadikan kriteria
dalam mempertimbangkan permohonan biasiswa atau kemasukan ke sekolah
berasrama penuh (SBP) dan universiti.
Bagi tujuan itu, Kementerian Pelajaran dicadang memperkenalkan
mekanisme untuk memantau dan merekod secara berterusan melalui penilaian
di sekolah untuk mengenal pasti perkembangan sahsiah dan disiplin
setiap pelajar bermula dari Tahun Satu.
Sudah sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar
sebagai mata pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui
penilaian terhadap amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan
berkesan oleh pelajar di sekolah dan ibu bapa. - Muhamad Khailani Abdul
Jalil, Yang Dipertua MPSM
Cadangan itu adalah sebahagian daripada kandungan memorandum
dikemukakan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) kepada kerajaan
sebagai input kepada transformasi sistem pendidikan negara yang sedang
dirangka.
Yang Dipertua MPSM, Muhamad Khailani Abdul Jalil,
berkata kriteria itu dapat mendidik dan memupuk pelajar supaya sentiasa
peka kepada kepentingan sahsiah, sekali gus membantu mengatasi masalah
disiplin di sekolah.
“Antara komponen penilaian boleh diambil
kira dalam pemantauan terhadap sahsiah dan disiplin pelajar ialah sikap,
tingkah laku dan kehadiran ke sekolah. Malah, boleh diperkenalkan
sistem merit dan demerit untuk menilai disiplin pelajar.
“Sudah sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar
sebagai mata pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui
penilaian terhadap amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan
berkesan oleh pelajar di sekolah dan ibu bapa.
“Ukuran kecemerlangan seseorang pelajar tidak harus terbatas
kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu holistik meliputi
kokurikulum, kepemimpinan dan kemasyarakatan, sahsiah serta disiplin
yang dilihat penting untuk pembinaan karakter generasi muda negara.
“Semua pembaharuan ini mesti berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
untuk masa depan. Falsafah sedia ada sudah bagus dan tidak perlu
digugurkan, cuma pelaksanaannya boleh ditambah baik dari semasa ke
semasa,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Dalam pada itu,
Muhamad Khailani, berkata dalam memorandumnya, MPSM turut meminta
kerajaan terus mengekalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar dalam sistem pendidikan negara.
“Ini berikutan
melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang sedang
berlangsung, dilihat ada kecenderungan sesetengah peserta yang mahu
supaya diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris sebagai pilihan dalam
sistem pendidikan negara.
“Kita tak setuju. MPSM akan bergabung
usaha dengan pejuang bahasa untuk memastikan bahasa Melayu kekal
sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem pen-didikan negara seperti
termaktub dalam Dasar Bahasa Kebangsaan dan Penyata Razak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri
Alimuddin Mohd Dom, berkata hasil perbincangan siri DNPN 2012 yang kini
memasuki fasa pertengahan akan diserahkan kepada Pengerusi Panel Penilai
Bebas Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara, Profesor Tan Sri Dr
Dzulkifli Abdul Razak, Ogos depan.
Panel itu sudah menjelajahi
lima tempat setakat ini, iaitu Putrajaya, Labuan, Miri, Shah Alam dan
Pulau Pinang, manakala yang terakhir di Johor Bharu akan diadakan bulan
depan.
Berita Harian Online: 18 Jun 2012