Memaparkan catatan dengan label Buku teks. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buku teks. Papar semua catatan

Ahad, 23 Februari 2014

Ada Guru Enggan Guna E-Book Di Terengganu

KEMAMAN, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) kesal dengan segelintir guru di negeri ini yang enggan menggunakan e-Book setelah kerajaan negeri menyediakan kemudahan itu dengan peruntukan besar setiap tahun.

Pengarah jabatan itu Zakaria Husin berkata pihaknya masih menerima aduan ibu bapa mengenai guru yang tidak menggunakan kemudahan e-Book di sekolah.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana e-Book sudah mempunyai sukatan pembelajaran yang sama lengkap dengan buku teks. Jadi, ia lebih mudah dan tidak membosankan pelajar untuk sesi pembelajaran dalam kelas," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan buku kepada lima sekolah terlibat banjir di Kemaman oleh sebuah syarikat penerbitan di sini, Sabtu.

Zakaria berkata golongan pendidik di negeri ini perlu kreatif dalam menggunakan alat bantuan mengajar itu bagi menjadikan suasana dalam kelas lebih menarik dan interaktif.

Beliau berkata e-Book didapati berkesan melonjakkan prestasi akademik pelajar di negeri itu, dan sehingga kini, tiga buah sekolah menggunakan kemudahan itu 100 peratus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan SK Seberang Takir di Kuala Terengganu serta SK Telok Kalong di sini.

"SK Paya Bunga kini muncul lima sekolah terbaik di seluruh negara dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) malah kehadiran pelajarnya juga 100 peratus," katanya.

Bagi merungkai permasalahan itu, Zakaria berkata JPNT akan menemui 351 Guru Besar di seluruh Terengganu.

Setiap tahun, kerajaan negeri Terengganu membelanjakan RM25 juta untuk membeli e-Book dan menyelenggaranya.

BERNAMA: 22 Februari 2014

Khamis, 22 Disember 2011

Novel 'Konserto Terakhir' Ganti 'Interlok'

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Novel "Konserto Terakhir" karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain akan menggantikan novel "Interlok" sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) bagi pelajar Tingkatan 5 mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata penggantian teks Komsas bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia itu melibatkan pelajar bagi Zon Dua meliputi Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor.

"Novel Konserto Terakhir telah melalui proses penyaringan dan pemilihan yang ditetapkan, dan sesuai digunakan sebagai teks Komsas berdasarkan nilai-nilai dan mutu karya yang dihasilkan," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Pada 14 Dis lepas, kabinet memutuskan bahawa penggunaan novel Interlok, yang juga karya Abdullah, sebagai teks Komsas Tingkatan Lima tidak akan diteruskan mulai tahun depan.

Keputusan itu dibuat berikutan timbulnya rasa kurang senang sesetangah masyarakat selain bagi mengelak mana-mana pihak daripada terus mempolemikkannya.

Novel Konserto Terakhir, yang pernah dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima di Zon Dua dari tahun 2000 hingga 2010, berkisar mengenai perjuangan hidup dan kegigihan seorang anak muda dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara.



-- BERNAMA

BERNAMA: 22 Disember 2011

Sabtu, 17 Disember 2011

Interlok tak diguna tahun depan

MELAKA 16 Dis. - Kerajaan memutuskan tidak akan menggunakan novel Interlok sebagai buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, perkara itu telah diputuskan kerajaan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

''Saya harap penarikan balik novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekali gus menamatkan kontroversi yang timbul sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlawanan bola sepak Piala Datuk Seri S. Samy Vellu anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Utusan Malaysia Online: 17 Disember 2011

Selasa, 6 Disember 2011

DBP cetak 15.9 juta buku teks

Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my
2011/12/06

Termuzi (kanan) bersama Dr Azman merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih di DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Termuzi (kanan) bersama Dr Azman merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih di DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini.
DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mencetak kira-kira 15.9 juta buku teks termasuk 7.9 juta buku cetakan baru untuk edaran semua sekolah seluruh negara mengikut jadual.

Semua kerja berkenaan selesai sejak sebulan lalu dan semua buku berkenaan sedia diagihkan sebelum sesi persekolahan bermula awal tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata proses pengedaran buku teks ke Sabah dan Sarawak selesai sepenuhnya manakala di semenanjung proses penghantaran buku teks membabitkan cetakan baru akan selesai dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, DBP begitu mengutamakan penghantaran ke Sabah dan Sarawak memandangkan lokasinya jauh.

Proses penghantaran di kedua-dua negeri itu katanya, menggunakan perkhidmatan empat kapal terbang iaitu dua pesawat kargo Boeing 747 dan Airbus dengan kapasiti muatan masing-masing 100 tan dan 65 tan.

“Sebanyak 818,782 buku teks cetakan baru membabitkan 44 tajuk diedarkan ke Sabah manakala di Sarawak (673,164) sudah diedarkan.

“Sesi penghantaran di kedua-dua negeri itu selesai sepenuhnya pada 2 November lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih anjuran bersama Badan Keluarga DBP dan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Dr Azman Mat Isa dan Pengerusi Badan Keluarga DBP, Kusni Ahad.

Termuzi berkata, penghantaran buku cetakan baru ke sekolah di Semenanjung masih berbaki 20 peratus dan dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Proses penghantaran sudah 80 peratus selesai kerana kita mula mengedarkan ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sejak 15 November lalu dan ada dalam kalangan murid sudah menerima buku teks masing-masing sebelum cuti sekolah.

“Jika ada sekolah yang belum menerima buku teks ini. Itu mungkin atas pertimbangan JPN negeri yang belum memberikan kepada sekolah atas pelbagai sebab atau masalah banjir,” katanya.

Mengulas proses mencetak 15.9 juta buku membabitkan 200 tajuk buku cetakan semula, Termuzi berkata, pihaknya tiada masalah mengenainya kerana semua tajuk berkenaan termasuk 53 tajuk buku baru disiapkan mengikut jadual.

Kerjasama daripada Bahagian Buku Teks DBP dan Bahagian Kurikulum Kementerian Pelajaran begitu memuaskan dan mencetaknya dapat dipercepatkan.

Berita Harian Online: 6 Disember 2011

Jumaat, 2 Disember 2011

15.9j buku teks selesai diedar ke sekolah November lalu

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengedarkan 15.9 juta buku teks ke sekolah di seluruh negara bermula November lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7.9 juta buku teks judul baru.

"DBP juga telah mencetak semula sebanyak 200 buku teks judul lama, manakala 53 buku teks judul baru dan telah pun diedarkan di sekolah-sekolah bermula bulan lalu.

"Proses pengedaran yang akan mengambil masa selama tiga bulan ini telah bermula pada 1 November lalu untuk sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak, manakala di Semenanjung (15 November)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih anjuran bersama DBP dan pelajar semester lima Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Dekan FPM, Dr. Azman Mat Isa dan Pengerusi Badan Keluarga DBP, Kusni Ahad.

Ditanya mengenai krisis DBP dengan Dawama, Termuzi yang enggan mengulas lanjut berkata, beliau menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah.

Pada 17 Oktober lalu, Dawama memfailkan saman terhadap DBP dan Termuzi atas dakwaan ketua pengarah berkenaan telah mengeluarkan satu kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat terbabit ketika diwawancara dalam program terbitan Radio Bernama, Kerusi Panas pada 24 April lalu.

Menurutnya, jika tugasan mencetak dan menerbitkan buku teks ini tidak diambil alih oleh DBP maka akan timbul pelbagai masalah terutamanya ketiadaan buku teks apabila sesi persekolahan baru dibuka.

"Kami tidak mahu pihak sekolah mahupun ibu bapa 'menuding jari' kepada kerajaan sekiranya kegagalan mendapatkan buku teks ini berlaku di sekolah-sekolah anak mereka," katanya.

Utusan Malaysia Onlie: 2 Disember 2011

Rabu, 17 Ogos 2011

Topik buku teks BI tak menarik

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2011/08/16

Kurikulum lebih sesuai untuk pelajar bertutur bahasa Inggeris di rumah

KUALA LUMPUR: Buku teks Bahasa Inggeris (BI) terutama di sekolah rendah didakwa kurang menarik minat pelajar, sekali gus menjadi faktor mereka tidak mampu menguasai bahasa itu meskipun selepas 11 tahun belajar di sekolah.
Kandungan bahan juga dikenal pasti tidak mempunyai kesinambungan antara satu topik dengan yang lain mengakibatkan pelajar tidak faham, hilang fokus dan jemu seterusnya tidak berminat untuk belajar BI.
Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata bahan dalam buku teks sedia ada lebih sesuai untuk pelajar yang sememangnya datang daripada keluarga yang menuturkan BI di rumah.

Bagaimanapun, katanya di Malaysia, kira-kira lebih 80 peratus pelajar tidak menjadikan pertuturan BI sebagai amalan.

“Pendekatan ‘Communicative English’ (CE) yang menjadi bahan kurikulum dan kaedah pengajaran diamalkan di Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu kurang sesuai untuk keadaan sekarang kerana manfaat pendekatan itu lebih menjurus kepada pelajar dari negara yang sememangnya berkomunikasi dalam BI seperti Amerika Syarikat, England serta Australia,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran dilaporkan membuat penilaian semula kurikulum pengajaran Bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, langkah itu perlu kerana Kementerian Pelajaran meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Isahak berkata, pendekatan CE kurang sesuai untuk diajar kepada pelajar di luar bandar kerana kegunaan atau fungsi BI tidak meluas untuk komunikasi, pelajar hanya belajar BI kira-kira sejam sehari dalam bilik darjah dan tidak menggunanya sebagai bahasa komunikasi dalam kehidupan di luar bilik darjah.

Sebaliknya, katanya, modul pembelajaran dengan pendekatan alternatif iaitu bahasa Inggeris dalam konteks isi kandungan (English in context for content- ECC) lebih menarik dan mudah diterima pelajar.

“Modul ini memberi perhatian kepada tatabahasa, kosa kata dan budaya penggunaan bahasa. Terbukti, ia mudah dipelajari dan guru juga mudah menggunakannya sebagai bahan P&P apabila kajian dijalankan di UPSI.

“Murid Tahun Satu pun seronok menguasai kosa kata menerusi ECC, mereka mampu memahami kira-kira lima perkataan asas BI dalam masa hanya 10 minit dan tidak hairanlah jika mereka boleh faham 300 perkataan dalam enam bulan serta boleh membaca buku cerita asas BI,” katanya.

Sementara itu, Profesor Bahasa dan Linguistik yang juga Pengarah Pusat Penerbitan Universiti, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Dr Hajibah Osman, berkata penilaian itu perlu memberi tumpuan kepada kredibiliti tenaga pengajar sama ada benar-benar sudah menguasai bahasa kedua itu dengan baik.

“Cara penyampaian guru yang kreatif akan menarik minat pelajar kerana teknik pengajaran biasa akan membuatkan sesi P&P menjadi bosan seterusnya mengakibatkan pelajar tidak memberi tumpuan sepenuhnya,” katanya.

Berita Harian Online: 16 Ogos 2011

Rabu, 22 Jun 2011

Dewan Rakyat: ‘Cetak semula Interlok’

2011/06/22
Teknik tampalan didakwa menyusahkan guru, pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula 120,000 novel Interlok baru membabitkan kos RM600,000, termasuk penghantaran berikutan beberapa pindaan terhadap buku yang digunakan pelajar Tingkatan Lima di empat negeri.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata keputusan untuk mencetak semula diputuskan dalam satu mesyuarat selepas pihaknya menerima aduan guru bahawa pendekatan pindaan novel menggunakan teknik tampalan menyusahkan mereka.
Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian akan menarik semula buku sedia ada di sekolah terbabit dan menggantikannya dengan buku baru mengandungi pindaan beberapa frasa sensitif serta glosari.

“Sebelum ini, Kementerian Pelajaran dan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok bersetuju menggunakan teknik tampalan bagi meminda beberapa frasa untuk menjimatkan kos, namun langkah itu ternyata membebankan guru.

“Keputusan itu dipersetujui semua pihak kerana ia hanya membabitkan sembilan muka surat saja,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, semalam.
Mohd Puad berharap keputusan untuk mencetak semula novel yang digunakan sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) Bahasa Malaysia itu dapat menyelesaikan semua kontroversi yang menyelubungi buku berkenaan sejak Disember lalu.

Pada 28 Mac lalu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz dilaporkan, berkata pihaknya tidak akan mencetak semula novel Interlok walaupun kerajaan mengumumkan ada beberapa frasa sensitif bagi kaum India perlu dipinda dan disunting.
Beliau berkata, pendekatan itu bagi mengelakkan kerugian kerana frasa yang perlu dipinda tidak banyak sehingga perlu dicetak semula.

Kontroversi novel Interlok berakhir apabila frasa sensitif bagi kaum India diganti dengan frasa ‘golongan yang sama,’ yang diputuskan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok dan cadangan itu dipersetujui penulisnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Berita Harian Online: 22 Jun 2011

Khamis, 10 Mac 2011

Tiga pelajar samseng

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

NOREL AZMI...ambil keterangan tiga pelajar.
NOREL AZMI...ambil keterangan tiga pelajar.

HULU SELANGOR: Tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, bertindak samseng dengan mengugut untuk membunuh seorang guru disiplin, kelmarin.

Difahamkan, kumpulan terbabit bertindak demikian kerana tidak puas hati apabila guru terbabit enggan menerima buku teks yang mahu dipulangkan mereka.

Berikutan itu, ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan pihak berkuasa sejurus guru lelaki berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 11 pagi apabila tujuh pelajar sekolah berkenaan pergi ke pejabat sekolah bertemu pengetua untuk memulangkan buku teks yang enggan digunakan mereka.

Menurut sumber, tindakan tujuh pelajar itu yang berlagak samseng dengan meluru masuk ke pejabat sekolah tanpa meminta kebenaran bagaimanapun cuba dihalang guru berkenaan.

“Hairan dengan tindakan pelajar terbabit, guru disiplin itu bertanyakan tujuan mereka mahu berjumpa pengetua dan mereka memberitahu mahu memulangkan buku teks yang tidak mahu digunakan lagi.

“Guru itu menjelaskan kepentingan dan salah faham yang timbul mengenai buku berkenaan yang dianggap memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar,” katanya.

Namun, pelajar terbabit tidak puas hati dengan penjelasan guru itu dan menganggap dia sengaja menghalang mereka bertemu pengetua dan mula bertindak biadab dengan meninggikan suara.

Sumber berkata, guru disiplin yang tergamam dengan tindakan pelajar terbabit cuba menenangkan keadaan dan menjelaskan perkara sebenar.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi kecoh apabila tiga daripada pelajar terbabit mengugut guru itu kerana mendakwa dia menyinggung perasaan mereka,” katanya.

Bimbang keselamatan diri berikutan ugutan pelajar terbabit, guru berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga pelajar itu.

Menurutnya, semua mereka ditahan dalam tempoh 24 jam bagi mengambil keterangan berhubung insiden itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Bernama memetik Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, sebagai berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dan guru sekolah berkenaan esok berhubung isu buku teks itu.

“Saya akan pastikan pelajar menerima kembali buku berkenaan kerana itu arahan kerajaan yang mengekalkan novel berkenaan sebagai teks komponen sastera (Komsas) tingkatan lima,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Kamalanathan berkata, berikutan kejadian itu, guru berkenaan sudah membuat laporan polis kerana mendakwa diugut abang seorang daripada pelajar itu pada Isnin lalu, manakala pelajar terbabit turut membuat laporan polis kerana perkataan yang digunakan guru itu.

myMetro: 10 Mac 2011

Selasa, 8 Februari 2011

‘Kesilapan manusia’ tak patut berulang

Oleh Zainor Said
zaino@bharian.com.my
2011/02/08

Penarikan balik buku teks Bahasa Inggeris Tahun 1 wajar jadi pengajaran elak kecuaian

BARU-BARU ini Kementerian Pelajaran mengambil keputusan menarik balik kira-kira 400,000 buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) English Year 1 Sekolah Kebangsaan kerana mengandungi banyak kesalahan. Tindakan itu bermakna buku yang diterbitkan berkenaan terpaksa ‘dilupuskan’ dan Kementerian Pelajaran memerlukan kos tambahan untuk mencetak buku baru bagi menggantikannya.

Kesalahan kandungan buku itu disedari apabila akhbar New Straits Times menerusi halaman Letters, menyiarkan aduan seorang pembaca mengenai buku teks Bahasa Inggeris Tahun Satu yang mengandungi banyak kesalahan dari segi tatabahasa, kosa kata dan struktur ayat. Pembaca yang menggunakan nama ‘Sandra Rajoo’ dari Ipoh, Perak, turut memperincikan contoh kesalahan berserta muka suratnya sekali, selain mempersoalkan bagaimana kesalahan itu gagal dikesan tiga penulis dan empat editor yang terbabit menghasilkan buku teks berkenaan. Kesilapan itu turut diakui oleh Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA).
Berikutan itu, banyak pihak memberi pandangan dan mencadangkan agar Kementerian Pelajaran mengkaji semula penggunaan buku itu. Akhirnya pada 27 Januari lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud mengumumkan buku itu ditarik balik dan diganti dengan buku teks cetakan baru, Mac ini.

Bagaimanapun, buat masa ini buku yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu masih digunakan dan apabila buku baru siap dicetak dan diedarkan ke semua sekolah kebangsaan tidak lama lagi, barulah buku teks sedia ada yang mengandungi kesalahan itu ditarik balik dan dilupuskan.

Kita percaya keputusan menarik balik buku teks itu adalah tindakan yang terbaik dan tepat bagi menjaga kualiti bahan pembelajaran dan ilmu yang mahu disampaikan kepada murid. Adalah tidak wajar murid didedahkan dengan bahan yang mengandungi kesalahan, walaupun ia dianggap kesalahan kecil. Kita yakin tindakan itu diambil selepas Kementerian Pelajaran membuat kajian terperinci dan mendapatkan pandangan mereka yang pakar dalam bahasa Inggeris.

Dalam hal ini, kita patut memuji sikap pembaca kerana cepat mengesan kesalahan itu, kemudian tampil mendedahkannya kepada pihak media. Sikap itu membuktikan masyarakat kini amat prihatin dan turut mengambil tanggungjawab membetulkan sebarang kesilapan terutama berkaitan soal pendidikan membabitkan anak mereka.
Kita harus bersikap profesional dan menerima pendedahan yang dibuat pembaca itu secara positif. Tidak sepatutnya ada pihak menganggap pendedahan itu sebagai cubaan mencari kesilapan mana-mana pihak, sebaliknya anggaplah ia demi kebaikan pelajar dan ilmu yang ingin disampaikan. Bayangkan jika kesilapan itu tidak dibangkitkan, sedangkan ada pihak mengetahui wujud kesalahan dalam buku berkenaan. Apa akan terjadi jika murid terus menerima ilmu yang salah?

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, menyifatkannya sebagai ‘kesilapan manusia’ yang terlepas pandang kerana katanya, ia tetap berlaku walaupun sudah disaring panel penilai DBP dan Kementerian Pelajaran. Beliau juga tidak bercadang mengambil sebarang tindakan atau meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada mana-mana individu. Semua pihak terbabit bertanggungjawab kerana penerbitan buku itu membabitkan beberapa pihak dan tidak patut menyalahkan individu tertentu saja.

Kita difahamkan Kementerian Pelajaran mempunyai sistem dan prosedur yang sepatutnya dipatuhi dalam proses penerbitan sesebuah judul buku. Persoalannya bagaimana kesalahan itu boleh terlepas pandang? Apakah ada individu yang bersikap sambil lewa dan beranggapan tidak mungkin penulisnya melakukan kesilapan, memandangkan kandungan buku teks bahasa Inggeris Tahun Satu adalah mudah dan paling asas.

Dalam penerbitan sesebuah judul buku, perkara yang harus diutamakan ialah kandungan serta kualitinya. Buku teks diterbitkan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Mutu pendidikan bergantung kepada buku teks kerana sistem pengajaran dan pembelajaran kita masih sepenuhnya berpandukan buku teks. Oleh itu Kementerian Pelajaran harus memastikan mutu buku teks, iaitu dari segi kandungannya memenuhi matlamat sukatan pelajaran.

Kita tidak mahu disebabkan kecuaian segelintir individu, menyebabkan masyarakat hilang keyakinan dan mempersoalkan tahap kualiti bahasa Inggeris yang diajar di sekolah, termasuk kualiti guru yang mengajar subjek berkenaan. Ketika kerajaan berusaha memperkasakan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar, kesalahan dalam buku teks sekolah yang diterbitkan sendiri DBP tidak sepatutnya berlaku.

Mereka yang terbabit menyediakan buku untuk kegunaan pelajar sebenarnya memikul amanah besar, sama pentingnya dengan tugas pendidik kerana buku teks sekolah digunakan oleh ramai pelajar, apatah lagi kanak-kanak Tahun Satu.

Mereka masih baru belajar untuk mengenal huruf dan angka. Mereka juga belum mampu mengesan yang mana salah dan mana yang betul. Apa yang diajar guru di dalam bilik darjah, itulah yang menjadi ikutan dan panduan mereka.

Sikap berlembut Kementerian Pelajaran diharap tidak diambil kesempatan mana-mana pihak untuk bersikap sambil lewa menjalankan tanggungjawab pada masa depan. Walaupun tiada tindakan diambil terhadap mana-mana kakitangan, namun mereka yang terbabit termasuk penulis, editor dan panel penilai wajar menganggap penarikan buku itu sebagai satu tamparan kepada mereka di atas kepercayaan yang diberikan.

Kita harap kesalahan seperti yang berlaku itu tidak akan berulang bagi mengelak kerugian yang sia-sia. Jadikan ia sebagai iktibar dan pengajaran agar mereka yang terbabit dalam penerbitan buku sentiasa peka dan mengutamakan kualiti pada masa depan. Selain memastikan kesalahan sifar dalam buku teks sekolah, Kementerian Pelajaran juga mesti memantau semua buku kerja yang digunakan pelajar, terutama yang berbahasa Inggeris bagi memastikan penerbitnya tidak mengabaikan kualiti.

Berita Harian Online: 8 Februari 2011

Sabtu, 22 Januari 2011

Nota kaki elak salah faham mengajar guna novel Interlok

2011/01/22

LABIS: Penyediaan garis panduan kepada guru termasuk nota kaki dan glosari antara cadangan penyelesaian Kementerian Pelajaran bagi mengelak timbul kekeliruan dan salah faham ketika pengajaran mata pelajaran sastera menggunakan novel Interlok.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementerian akan terus mengadakan perbincangan dan dialog dengan MIC bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu dan setakat ini, beberapa perkara sudah diusulkan hasil perbincangan.

“Ia termasuk soal menyediakan glosari, nota kaki dan panduan guru supaya pihak yang mengajar novel itu dapat dipandu dengan satu bentuk agak jelas dan tidak timbul masalah," katanya selepas majlis pecah tanah bangunan tambahan Sekolah Agama Labis bernilai RM2.4 juta, di sini semalam.

Muhyiddin berkata, sebelum ini dialog berhubung isu Interlok antara panel Kementerian Pelajaran dan wakil MIC berlangsung dengan baik membabitkan perbincangan secara intelektual dan profesional, tetapi ada pihak mungkin sengaja mempolitikkan isu terbabit sedangkan jika diteliti, tiada perkara perlu dibimbangkan.

“Semua ahli hadir bersetuju Interlok novel yang baik, menyeru kepada perpaduan pelbagai kaum selaras gagasan 1Malaysia. Cuma ada kebimbangan MIC atau sesetengah masyarakat India berhubung beberapa perkataan, sedangkan penulis langsung tiada niat menghina atau memperkecil-kan mana-mana kaum dalam novel itu,” katanya.

Mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang kononnya haram mengundi UMNO pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, beliau berkata, pemimpin PAS sering mengeluarkan fatwa sedemikian bagi meraih undi.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat terus komited membantu meringankan beban kerajaan negeri dengan mewujudkan sekolah agama bantuan kerajaan bagi memastikan rakyat dapat menikmati pendidikan agama lebih baik.

Berita Harian Online: 22 Januari 2011

Selasa, 18 Januari 2011

2 kesatuan guru tak sepakat isu Interlok

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/01/18

  • Novel tidak perlu campur tangan politik: KGMMB
  • Perkataan sensitif jatuhkan maruah pelajar India: NUTP

  • KUALA LUMPUR: Dua kesatuan guru terbesar di negara ini berbeza pandangan mengenai penggunaan novel Interlok sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) untuk pelajar Tingkatan Lima. Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berpendapat novel itu tidak akan menjadi sensitif selagi tiada campur tangan politik, bagaimanapun Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat wujud isu perkauman dalam Interlok yang boleh menjatuhkan air muka atau maruah pelajar India.

    Timbalan Presiden KGMMB, Mat Jidin Ahmad, meminta jangan ada pihak yang berprasangka buruk terhadap karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sehingga isu berkenaan menjadi polemik.

    Berita Harian Online: 18 Januari 2010

    Jumaat, 7 Januari 2011

    Jawatankuasa khas kaji novel Interlok

    RAUB 6 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran mengkaji semula penggunaan novel bertajuk Interlok sebagai buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima sekolah menengah mulai tahun ini.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian itu perlu dilakukan secara serius supaya penggunaan novel itu tidak mendatangkan pelbagai masalah terutamanya membabitkan keharmonian kaum di negara ini.

    "Beliau yang juga Menteri Pelajaran berharap kajian itu akan merumuskan satu keputusan yang baik bagi memuaskan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gali dekat sini hari ini.

    Menurut Mohd. Puad, jawatankuasa itu akan menumpukan pada dua halaman yang dikatakan menyinggung perasaan kaum tertentu iaitu pada muka surat 211 dan 220.

    "Hanya dua pilihan yang akan ditentukan sama ada tarik balik buku tersebut atau gugur perkataan yang dikatakan menyinggung perasaan itu," katanya.

    Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mazlan Mohamad.

    Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mendakwa, buku teks sastera tingkatan lima itu mengandungi unsur sensitif yang boleh menyinggung perasaan sesetengah kaum.

    Mohd. Puad menjelaskan, novel itu telah melalui saringan yang ketat menerusi empat jawatankuasa pemilihan sebelum dijadikan buku teks sekolah.

    "Sepatutnya ia bukan sesuatu yang boleh dijadikan isu oleh sesetengah pihak kerana pemilihannya untuk dijadikan teks sekolah agak ketat.

    "Sepatutnya pihak yang mempertikai novel itu membaca dahulu novel terbabit sebelum mempolitikkannya," tegasnya.

    Tambahnya, penulis buku terbabit juga tidak bermaksud untuk menghina mana-mana pihak tetapi ia dipolitikkan oleh pihak yang berkepentingan.

    Menurut beliau, novel karya Abdullah Hussain itu hanya digunakan oleh pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

    Utusan Malaysia Online: 7 Januari 2010

    Khamis, 23 September 2010

    Buku teks tidak hanya tertumpu peperiksaan

    KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk surat daripada Zil Amri, Kota Bharu, Kelantan, dalam ruangan ini bertarikh 8 September 2010 bertajuk Mansuhkan penggunaan buku teks di sekolah.

    Buku teks merupakan salah satu bahan bantu mengajar yang disediakan untuk murid dan guru.

    Di samping buku teks, para guru juga digalakkan untuk menggunakan pelbagai sumber dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan anak didik mereka tidak ketinggalan dalam perkembangan ilmu dan teknologi pada masa kini.

    Buku teks yang disediakan oleh KPM ditulis berdasarkan Kurikulum, Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

    Penulisan kandungan buku teks juga akan memasukkan nilai dan harapan yang ingin dicapai oleh negara.

    Oleh itu, kandungan buku teks yang disediakan dapat menjelaskan kurikulum dan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan pada Tuhan.

    Selanjutnya, membentuk masyarakat yang berilmu, berbudaya, berkemahiran dan berintegriti selaras dengan hala tuju mencapai tahap negara maju dan wawasan 2020. Buku teks yang disediakan tidak hanya tertumpu kepada peperiksaan sahaja.

    Berkenaan masalah beg berat, bahagian ini telah pun menjalankan 'Kajian beg berat dalam kalangan murid-murid sekolah rendah mulai tahun 1 hingga tahun 6' pada tahun 2008 dan 'Tinjauan Beg Berat Tahun 2010' ke beberapa buah sekolah sekitar Negeri Selangor.

    Dapatan menunjukkan bahawa berat buku teks yang dibawa mengikut jadual adalah tidak melebihi 15% daripada berat badan murid, iaitu tahap selamat bebanan yang dibawa murid.

    Kadar ini merupakan kadar bebanan yang selamat dan telah dipersetujui oleh pertubuhan antarabangsa. Kedua-dua dapatan juga menunjukkan bahawa berat beg murid turut dipengaruhi oleh bahan-bahan lain.

    Bahagian ini juga mengambil maklum atas cadangan pengadu agar Kementerian menggunakan e-textbook atau e-book bagi menggantikan buku teks.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

    Kementerian Pelajaran Malaysia


    Utusan Malaysia Online: 23 September 2010

    Rabu, 8 September 2010

    Mansuhkan penggunaan buku teks di sekolah

    BARU-BARU ini, kerajaan telah mengumumkan suatu langkah drastik dalam sistem pendidikan di Malaysia iaitu cadangan untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekalipun ramai yang masih lagi membahaskan cadangan tersebut dari sudut pro dan kontranya, tentunya kerajaan mempunyai alasan tersendiri bagi melaksanakan cadangan tersebut.

    Setelah sekian lama kita bercakap tentang mengurangkan corak pendidikan berorientasikan peperiksaan, maka cadangan kerajaan tersebut merupakan satu-satunya langkah yang konkrit ke arah mencapai apa yang sekian lama hanya tinggal sebagai perbahasan di atas kertas atau di medan forum semata-mata.

    Sesungguhnya isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai isu yang melanda sistem pendidikan di Malaysia. Di antara isu yang masih belum selesai adalah isu beg berat yang di bawa oleh anak-anak kita ke sekolah.

    Setelah pelbagai cadangan dikemukakan dan dilaksanakan (sebahagiannya separuh jalan) oleh para menteri demi menteri, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah yang agak drastik (sebagaimana pemansuhan UPSR dan PMR) iaitu dengan memansuhkan penggunaan buku teks di sekolah.

    Pada hemat saya, membawa buku teks ke sekolah memberi sumbangan terbesar kepada berat beg yang dibawa oleh pelajar, walhal menurut pemerhatian penulis sebagai seorang guru, buku-buku teks tersebut tidak digunakan oleh sebahagian besar guru sebagai rujukan untuk mengajar.

    Guru-guru kebanyakannya lebih gemar menggunakan buku rujukan yang dibeli di kedai kerana ia menyediakan maklumat yang lebih ringkas, padat dan fokus kepada peperiksaan. Buku-buku latihan yang dijual di pasaran pula digunakan kerana menjimatkan masa guru-guru dan pelajar daripada terpaksa menyalin latihan di papan putih.

    Pada zaman sekarang di mana kita cuba menggalakkan pelajar untuk mencari dan meneroka maklumat di dunia nyata dan dunia maya (Internet), maka penggunaan buku teks sudah tidak relevan lagi. Guru-guru pula sudah diberikan Sukatan Pelajaran dan huraiannya serta latihan yang secukupnya agar tidak tersasar daripada segi kandungan dan skop pengajarannya.

    Konsep penerokaan ilmu melalui 'open-source' akan termendap sekiranya guru-guru masih lagi menggunakan buku teks untuk pengajaran. Bahkan perkembangan ilmu pada zaman ini terlalu pantas sehinggakan sesuatu ilmu di dalam buku teks boleh menjadi 'obselete' dalam masa dua tiga tahun sahaja.

    Sekiranya kerajaan masih mahu menggunakan buku teks, saya cadangkan Kementerian Pelajaran segera memperkenalkan konsep "e-textbook" di mana rujukan rasmi sesuatu mata pelajaran atau boleh dirujuk di dalam Internet.

    Apalah gunanya kerajaan menghabiskan jutaan ringgit saban tahun untuk menyedia dan menguruskan buku-buku teks sedangkan dari sudut penggunaannya amat minimum sekali.

    Alangkah baiknya jika peruntukan tersebut disalurkan kepada berbagai cabang lagi keperluan di bidang pendidikan di negara ini seperti pembangunan profesionalisme guru dan pembinaan sahsiah pelajar yang semakin luntur.

    ZIL AMRI

    Kota Bharu, Kelantan


    Utusan Malaysia Online: 8 September 2010

    Isnin, 9 Ogos 2010

    Mansuhkan penggunaan buku teks di sekolah

    BARU-BARU ini, kerajaan telah mengumumkan suatu langkah drastik dalam sistem pendidikan di Malaysia iaitu cadangan untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekalipun ramai yang masih lagi membahaskan cadangan tersebut dari sudut pro dan kontranya, tentunya kerajaan mempunyai alasan tersendiri bagi melaksanakan cadangan tersebut.

    Setelah sekian lama kita bercakap tentang mengurangkan corak pendidikan berorientasikan peperiksaan, maka cadangan kerajaan tersebut merupakan satu-satunya langkah yang konkrit ke arah mencapai apa yang sekian lama hanya tinggal sebagai perbahasan di atas kertas atau di medan forum semata-mata.

    Sesungguhnya isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai isu yang melanda sistem pendidikan di Malaysia. Di antara isu yang masih belum selesai adalah isu beg berat yang di bawa oleh anak-anak kita ke sekolah.

    Setelah pelbagai cadangan dikemukakan dan dilaksanakan (sebahagiannya separuh jalan) oleh para menteri demi menteri, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah yang agak drastik (sebagaimana pemansuhan UPSR dan PMR) iaitu dengan memansuhkan penggunaan buku teks di sekolah.

    Pada hemat saya, membawa buku teks ke sekolah memberi sumbangan terbesar kepada berat beg yang dibawa oleh pelajar, walhal menurut pemerhatian penulis sebagai seorang guru, buku-buku teks tersebut tidak digunakan oleh sebahagian besar guru sebagai rujukan untuk mengajar.

    Guru-guru kebanyakannya lebih gemar menggunakan buku rujukan yang dibeli di kedai kerana ia menyediakan maklumat yang lebih ringkas, padat dan fokus kepada peperiksaan. Buku-buku latihan yang dijual di pasaran pula digunakan kerana menjimatkan masa guru-guru dan pelajar daripada terpaksa menyalin latihan di papan putih.

    Pada zaman sekarang di mana kita cuba menggalakkan pelajar untuk mencari dan meneroka maklumat di dunia nyata dan dunia maya (Internet), maka penggunaan buku teks sudah tidak relevan lagi. Guru-guru pula sudah diberikan Sukatan Pelajaran dan huraiannya serta latihan yang secukupnya agar tidak tersasar daripada segi kandungan dan skop pengajarannya.

    Konsep penerokaan ilmu melalui 'open-source' akan termendap sekiranya guru-guru masih lagi menggunakan buku teks untuk pengajaran. Bahkan perkembangan ilmu pada zaman ini terlalu pantas sehinggakan sesuatu ilmu di dalam buku teks boleh menjadi 'obselete' dalam masa dua tiga tahun sahaja.

    Sekiranya kerajaan masih mahu menggunakan buku teks, saya cadangkan Kementerian Pelajaran segera memperkenalkan konsep "e-textbook" di mana rujukan rasmi sesuatu mata pelajaran atau boleh dirujuk di dalam Internet.

    Apalah gunanya kerajaan menghabiskan jutaan ringgit saban tahun untuk menyedia dan menguruskan buku-buku teks sedangkan dari sudut penggunaannya amat minimum sekali.

    Alangkah baiknya jika peruntukan tersebut disalurkan kepada berbagai cabang lagi keperluan di bidang pendidikan di negara ini seperti pembangunan profesionalisme guru dan pembinaan sahsiah pelajar yang semakin luntur.

    ZIL AMRI

    Kota Bharu, Kelantan

    Utusan Malaysia Online: 8 Spetember 2010

    Selasa, 18 Mei 2010

    Teks Sains, Matematik dalam bahasa Melayu siap

    PUTRAJAYA 17 Mei - Kerajaan sudah menyediakan buku teks untuk pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi tahun pertama pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persiapan keseluruhan bagi pelaksanaan program itu sudah di peringkat akhir yang akan bermula pada 2012.

    ‘‘Kita sudah sampai peringkat akhir persiapan, saya telah pun mempengerusikan mesyuarat tentang itu pada dua minggu lepas di mana kita sudah pun bersedia.

    ‘‘Sekarang ini adalah di peringkat penyediaan buku-buku teks untuk tahun pertama yang kita telah umumkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan, di sini hari ini.

    Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012 setelah kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 8 Julai tahun lalu.

    Bagaimanapun kerajaan mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

    Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2010

    Isnin, 3 Mei 2010

    Sedia tempat simpanan di sekolah

    SAYA merujuk kepada isu ‘beg sekolah berat’ yang banyak diperkatakan kebelakangan ini. Tanpa menyentuh akibat atau kesan kepada murid dan buku sekolah apabila murid membawa beg sekolah yang berat, saya terus kepada pandangan dan memberi cadangan bagaimana untuk mengatasi masalah ‘murid terpaksa membawa beg berat ke sekolah setiap hari’.

    Pandangan:

  • Setiap mata pelajaran yang diajar akan melibatkan sekurang-kurangnya sebuah buku teks, sebuah buku latihan dan sebuah buku tulis. Jika ada 10 mata pelajaran sehari, murid-murid sekolah akan membawa sekurang-kurangnya 30 buah buku setiap hari.
  • Bukan semua buku teks digunakan oleh guru-guru semasa sesi pembelajaran.
  • Setiap kali saya hendak menyusun buku-buku yang perlu dibawa oleh anak saya ke sekolah pada esok hari, hanya tiga atau empat buah buku sahaja yang akan ditinggalkan di rumah. Yang selebihnya akan dibawa ke sekolah. (Membawa buku mengikut jadual sekolah tidak banyak membantu dalam usaha mengurangkan bebanan beg sekolah ini).
  • Kebanyakan buku teks rosak adalah ketika hendak dimasukkan ke dalam beg sekolah dan ketika diambil keluar dari beg sekolah, bukan ketika ia digunakan. (Menyebabkan kos bertambah untuk membeli buku-buku teks yang baru).
  • Cadangan:

  • Di setiap dinding belakang bilik darjah disediakan satu pigeonhole yang mempunyai ciri-ciri berikut:
  • 1. Tidak terlalu canggih atau cantik, memadai yang kukuh, kuat, dapat bertahan lama.

    2. Ukuran setiap pigeon-hole boleh menampung jumlah buku yang dimiliki oleh setiap murid.

    3. Jumlah petak adalah berdasarkan jumlah maksimum murid yang akan belajar di dalam sesebuah bilik darjah.

    4. Setiap pigeon-hole hendaklah dipasang dengan pintu dan berselak mangga. (Setiap murid dikehendaki membeli sendiri kunci mangga tersebut dan pastikan di setiap hujung tahun mangga kunci tersebut dibawa balik.

    5. Setiap murid akan meninggalkan buku-buku teks atau buku-buku yang tidak diperlukan di rumah di dalam pigeon-hole tersebut sebelum balik ke rumah.

    Kesan:

  • Murid-murid tidak akan membawa buku-buku yang banyak di dalam beg sekolah setiap hari.
  • Buku-buku teks akan panjang hayatnya dan dalam jangka masa panjang dapat menjimatkan banyak duit rakyat.
  • Peruntukan hanya diperlukan sekali sahaja dan jangka-hayat pigeon-hole dapat bertahan antara 10 hingga 20 tahun.
  • Murid-murid dan ibu-bapa rasa lebih selamat jika setiap petak pigeon-hole dilengkapi dengan selak bermangga.
  • Risiko buku tertinggal di rumah dapat diminimumkan.
  • BAPAK

    UiTM Pahang


    Utusan Malaysia Online: 3 Mei 2010

    Jumaat, 5 Februari 2010

    Buku teks agama kelirukan pelajar

    Oleh Suraya Roslan
    bhkt@bharian.com.my

    Imam tegur kesalahan fakta jejas akidah

    KUALA TERENGGANU: Seorang imam masjid di sini merayu Kementerian Pelajaran meneliti semula kandungan buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Empat kerana berlaku kesalahan yang boleh mengeliru dan menjejaskan akidah pelajar.

    Nokman Zakaria, 58, seorang pesara guru agama berkata, dia menyedari kesilapan pada halaman 75 dan 134 buku itu sejak lima tahun lalu ketika bertugas sebagai guru agama di sekolah menengah di negeri ini.

    Beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Negeri dan kementerian, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil untuk mengatasi kesilapan itu, malah buku teks berkenaan masih diulang cetak sehingga kini.

    "Sebagai contoh, pada muka surat 134, menyatakan antara syarat sah sembelihan ialah 'tidak berada dalam ihram haji' dan ini salah kerana tidak ada pada mana-mana kitab Feqah menyatakan syarat itu. Cuma dalam bab haji ada menyebut larangan ihram iaitu dilarang memburu binatang buruan darat yang halal dimakan.

    "Jika binatang disembelih itu buruan seperti rusa dan kijang, ia termasuk larangan ihram haji tetapi jika disembelih itu seperti ayam, itik, lembu dan korban, dibolehkan kerana bukan binatang buruan.

    "Kesilapan ini tidak sepatutnya terjadi kerana membabitkan komuniti besar, iaitu hampir semua sekolah di negara ini guna buku teks ini dan kementerian perlu meneliti terlebih dulu kandungannya serta merujuk orang bertauliah dalam hal ini," katanya yang juga imam Masjid Padang Tengir, Manir, di sini.

    Nokman berkata, jabatan dan kementerian mengakui kesalahan pada buku berkenaan tetapi masih tiada tindakan diambil.

    Beliau berkata, kesilapan berhubung tafsiran penyembelihan dan hal berkaitan akidah yang ditulis dalam buku berkenaan patut diperbaiki kerana boleh mengelirukan pelajar dan guru.

    Berita Harian Online: 5 Februari 2010

    Isnin, 11 Januari 2010

    Buku teks baru

    Oleh Norliza Abdullah
    lizz@bharian.com.my


    MOHD ADENAN menunjukkan sebahagian buku teks yang digunakan sekarang bersaiz lebih besar.

    Kandungan menarik, saiz lebih kecil mulai persekolahan 2011

    JAWATANKUASA Inovasi Buku Teks akan membuat pembaharuan bagi memperkemaskan bentuk fizikal buku teks, termasuk mengurangkan saiz hingga 20 peratus berbanding sekarang.

    Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT), Mohd Adenan Deraman, berkata pembaharuan itu membabitkan buku teks cetakan baru berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah bermula sesi persekolahan 2011.

    Katanya, proses inovasi merangkumi usaha mengecilkan saiz buku teks itu diharap dapat mengurangkan masalah buku berat hingga menyukarkan pelajar membawanya.

    Beliau berkata, proses inovasi itu antara lain bertujuan memastikan bentuk fizikal buku teks lebih mesra pelajar dan mudah dibawa ke mana-mana, selain mengurangkan kos cetakan.

    “Pengstrukturan semula itu juga penting dalam usaha menghasilkan buku teks yang memenuhi aliran bahan bacaan semasa dengan memiliki ciri rekaan kreatif dan inovatif.

    “Perkembangan positif ini perlu dijadikan contoh supaya buku teks tidak bersifat tradisi hingga mengurangkan minat pelajar membacanya.

    “Perubahan ini diharap menjadikan buku teks bukan saja bahan rujukan pelajar, malah bacaan umum,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

    Mohd Adenan berkata, perubahan itu turut mengambil kira penggunaan ilustrasi dan grafik bagi memastikan persembahannya menarik dan menjadi sumber rujukan utama, selain buku tambahan.

    Perubahan fizikal buku teks ini, katanya, tidak menjejaskan kandungan berdasarkan silibus yang sudah ditetapkan mengikut tahap pelajar.

    “Kami akan memanggil ahli jawatankuasa pengstrukturan buku teks, antaranya wakil sektor teknikal BBT, Dewan Bahasa dan Pustaka serta penerbit terpilih.

    “Perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat bertujuan mengumpul idea sebagai panduan dalam menghasilkan buku teks bersifat kreatif dan inovatif,” katanya.

    Dalam perbincangan itu, Mohd Adenan menjelaskan pihaknya akan mengemukakan konsep diperlukan, antaranya kandungan, persembahan dalaman, kulit dan susun atur serta saiz yang lebih bersifat mesra pengguna.

    Katanya, berdasarkan konsep asas itu, penerbit diminta mengemukakan contoh terbaik bagi memastikan cadangan serta persembahan mereka dipersetujui.

    Beliau berkata, pengstrukturan itu sejajar dengan penetapan 2010 sebagai "Tahun Kreativiti dan Inovasi" bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan persembahan dalam memperkemas pengurusan sesebuah organisasi.

    “Kami mengharapkan proses ini membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara dengan menyediakan bahan bacaan berkualiti memenuhi keperluan pelajar dan membantu proses pengajaran dan pembelajaran berkesan,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Zainora Mohamad, berkata pihaknya yakin usaha kementerian itu menjadikan buku teks sebagai bahan rujukan utama di sekolah.

    Beliau berkata, rekaan inovasi perlu mengambil kira pelbagai faktor, antaranya penambahan kos, konsep dan pendekatan yang lebih bersifat mesra pelajar.

    Selain itu, bagi mata pelajaran tertentu contohnya Geografi atau Sains, katanya, ia turut mengambil kira faktor nilai ditambah.

    “Penyediaan sisipan atau lipatan antara muka surat juga perlu disediakan sesuai dengan topik dalam bab berkenaan, termasuk penggunaan gambar eksklusif,” katanya.

    Berita Harian Online: 11 Januari 2010

    Isnin, 14 Disember 2009

    Buku teks baru

    Oleh Norliza Abdullah
    lizz@bharian.com.my

    BAHAGIAN Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran mencetak 4.8 juta naskhah buku membabitkan 567 judul bernilai RM118 juta untuk kegunaan pelajar sekolah rendah dan menengah bagi sesi persekolahan baru tahun depan.

    Pengarahnya, Mohd Adenan Deraman, berkata daripada jumlah itu, 523 judul untuk cetakan semula, manakala 44 lagi baru merangkumi semua kelas daripada Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.

    Mulai tahun ini juga, beliau berkata, pihaknya menguruskan penerbitan buku teks Sijil Tinggi Agama Malaysia serta Antologi Komponen Sastera Inggeris dan Melayu dengan nilai keseluruhan RM37 juta.

    Katanya, jumlah cetakan itu merangkumi pesanan bagi menampung sekolah yang tersilap dan tercicir dalam membuat pesanan serta permintaan tambahan berikutan pembukaan sekolah baru bernilai RM776,365.

    “Semua bekalan buku berkenaan sudah diagih-agihkan pengedar berdasarkan enam zon seluruh negara.

    “Pengedaran bermula Oktober lalu dan ada sekolah sudah memberi buku berkenaan kepada pelajar Tingkatan Dua yang akan memasuki Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat yang akan belajar di Tingkatan Lima,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

    Untuk peringkat pertama pengedaran, Mohd Adenan berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada sekolah kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah dan Sarawak.

    Sambil menjelaskan buku berkenaan diedar sebaik saja siap dicetak, beliau berkata, peringkat kedua pengedaran pula membabitkan sekolah luar bandar dan pedalaman semenanjung dan seterusnya bandar dan kawasan mudah diakses.

    “Bagi memastikan proses pengedaran berjalan lancar, pegawai Skim Pinjaman Buku Teks di setiap pejabat pelajaran daerah (PPD) sentiasa membuat pemantauan.

    “Selain itu, perjumpaan dan perbincangan dengan penerbit diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan operasi berjalan lancar dan bekalan sampai mengikut jadual,” katanya.

    Mengulas proses pengagihan bekalan, Mohd Adenan berkata, bagi buku cetakan semula, pesanan dibuat sekolah menggunakan aplikasi dalam talian atau BTBT online.

    Berdasarkan pesanan, katanya, BBT akan mengeluarkan waran peruntukan untuk setiap jabatan pelajaran negeri (JPN).

    Beliau berkata, PPD pula akan membuat semakan awal terhadap setiap pesanan berkenaan dan seterusnya JPN memesan terus daripada pembekal dan penerbit.

    Buku teks berkenaan katanya, akan terus dihantar kepada pembekal atau ejen yang dilantik penerbit ke sekolah yang membuat pesanan.

    Berita Harian Online: 14 Disember 2009