Isnin, 18 Jun 2012

Tiada kaitan kongsi gelap

KUALA LUMPUR: Setakat ini hanya 20 suspek terdiri daripada kumpulan remaja dan pelajar sekolah menengah yang ditahan polis berhubung kes pergaduhan di luar kawasan sebuah sekolah di Cheras Perdana, dekat sini hingga mengakibatkan 16 cedera termasuk seorang guru penolong kanan sekolah berkenaan, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, berhubung kecederaan seorang guru penolong kanan sekolah itu ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan, guru terbabit tercedera bukan kerana dijadikan sasaran kumpulan yang bergaduh, tetapi terkena objek yang dibaling seorang daripada kumpulan itu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati guru berkenaan bukan sengaja dibaling atau dicederakan, tetapi terkena objek balingan seorang daripada remaja yang bergaduh ketika mangsa cuba meleraikan pergaduhan dan sehubungan itu tiada suspek tertentu yang dicari kerana mencederakan mangsa.
“Kami menahan 20 suspek berusia antara 15 dan 21 tahun di sekitar daerah berkenaan yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan itu dalam beberapa serbuan susulan pada hari kejadian.

“Seramai 14 suspek yang ditahan adalah pelajar sekolah berkenaan, manakala enam lagi remaja tidak bersekolah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Difahamkan polis menahan semua suspek berdasarkan keterangan daripada saksi kejadian dan pihak sekolah serta penemuan dua motosikal milik kumpulan remaja terbabit yang ditinggalkan selepas kejadian kerana rosak teruk, selain rakaman video melalui telefon bimbit seorang pekerja sekolah yang berada di lokasi ketika insiden pergaduhan itu berlaku.

Polis turut menegaskan pergaduhan itu tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap atau aktiviti gangsterisme, tetapi berpunca daripada salah faham antara dua pelajar hingga membawa pergaduhan.

Harian Metro kelmarin, melaporkan sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lebih 10 pelajar cedera manakala seorang guru kanan sekolah itu luka teruk di kepala akibat dibaling dengan topi keledar ketika cuba meleraikan pergaduhan terbabit selain dua motosikal rosak teruk.

myMetro: 18 Jun 2012

Sabtu, 16 Jun 2012

Geng samseng gempur sekolah

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


SIASAT...pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.
SIASAT...pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.
KAJANG: Sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lebih 10 pelajar cedera manakala seorang guru kanan sekolah itu luka teruk di kepala akibat dibaling dengan topi keledar ketika cuba meleraikan pergaduhan terbabit selain dua motosikal rosak teruk.

Kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham antara kumpulan remaja samseng terdiri daripada bekas pelajar sekolah berkenaan yang dibuang sekolah bersama kumpulan rakan dewasa mereka dengan beberapa pelajar sekolah itu.

Saksi kejadian yang juga pekerja sekolah berkenaan berkata, pergaduhan itu berlaku sebaik sesi pagi persekolahan tamat dan pelajar keluar dari perkarangan sekolah sebelum diserang kumpulan remaja samseng yang menunggu mereka di luar pagar.

“Sebaik beberapa pelajar yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan terbabit keluar dari pintu pagar, semua remaja yang berkumpul di luar itu menyerang mereka menggunakan senjata.

“Keadaan semakin kecoh dan ganas apabila puluhan pelajar lain yang berada di kawasan sekolah keluar membantu rakan mereka yang diserang,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.

Katanya, kejadian itu dimaklumkan kepada seorang guru kanan sekolah yang kemudian cuba meleraikan pergaduhan dengan menarik pelajar masuk semula ke kawasan sekolah.

“Guru itu cuba meleraikan pergaduhan dan menarik beberapa pelajar yang membelasah seorang daripada kumpulan terbabit.
“Ketika dia (guru) ingin membantu seorang remaja samseng yang terbaring atas jalan akibat dibelasah teruk, tiba-tiba seorang daripada kumpulan yang bergaduh itu membaling topi keledar dengan kuat ke arah guru berkenaan hingga terkena kepalanya,” katanya.

Menurutnya, kumpulan remaja yang melakukan serangan itu bertempiaran lari selepas beberapa anggota polis bermotosikal menuju tempat kejadian dan guru serta beberapa pelajar yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.

myMetro: 16 Jun 2012

Jumaat, 15 Jun 2012

Pecah peti besi PIBG

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
Idayu@hmetro.com.my


LICIK...empat penyamun masuk melalui siling sekolah Cina di Puchong, semalam.
LICIK...empat penyamun masuk melalui siling sekolah Cina di Puchong, semalam.
SUBANG JAYA: Empat lelaki bersenjatakan parang dan pistol mainan melarikan wang tunai RM30,000 dari sebuah sekolah Cina di Batu 14, Puchong, dekat sini, selepas memecahkan peti besi dalam bilik guru sekolah berkenaan, awal pagi semalam.
Dalam kejadian antara jam 2 pagi dan 6 pagi itu, kumpulan penjenayah bertopeng terlebih dulu mengikat tangan 12 individu iaitu tiga pengawal keselamatan, seorang tauke kantin bersama enam pekerjanya serta dua penghantar surat khabar menggunakan kabel elektrik dan mengarahkan mereka baring atas rumput sebelum menggeledah bilik guru berkenaan.
Selain melarikan wang tunai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penjenayah itu turut melarikan Toyota Camry milik tauke kantin serta lori akhbar.

Difahamkan, kumpulan penyamun terbabit dipercayai menceroboh masuk ke dalam bilik guru itu melalui siling tandas dipecahkan sebelum membuka peti besi mengandungi wang tunai.

myMetro: 15 Jun 2012

Khamis, 14 Jun 2012

Jaga sekolah sambil lewa

KUALA LUMPUR: Syarikat kawalan keselamatan yang bertanggungjawab membekalkan petugas mengawal kawasan sekolah diingatkan supaya tidak menyediakan kakitangan yang sambil lewa ketika bertugas hingga boleh membahayakan nyawa pelajar dan guru.
Amaran dibuat berikutan ada beberapa pengawal sekolah khususnya di bandar yang gagal berfungsi dengan baik, malah langsung tidak memberi perhatian terhadap kenderaan dan pelawat yang keluar masuk.

Perkara itu diakui Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang memberitahu berdepan situasi itu ketika mengadakan lawatan mengejut di beberapa sekolah, baru-baru ini.
“Sebagai contoh, ketika berkunjung ke sebuah sekolah di Putrajaya, pengawal keselamatannya bukan saja tidak melihat kenderaan yang masuk, malah duduk dalam pondok sambil baca surat khabar daripada saya mula-mula masuk hingga keluar semula.

“Sedangkan ketika melawat sekolah di kawasan pedalaman, kenderaan saya ditahan dan saya sendiri diminta mengisi rekod masuk. Saya tak marah pun apabila diminta buat begitu sebab saya tahu itulah prosedurnya dan sepatutnya dijalankan di semua sekolah.

“Bayangkan jika penjenayah atau pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk sedangkan pengawal keselamatan ada, tetapi tidak bertugas dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup Hari Mekar Bahasa dan Sastera 2012 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan.

Kira-kira 400 murid sekolah rendah dan menengah menyertai program dua hari itu menerusi pelbagai pertandingan termasuk pertandingan sahibba, jejak bahasa, membaca berita, roda kata, kuiz bahasa dan sastera selain pidato, deklamasi sajak serta syair.
Mohd Puad berkata, kementerian berhak mengambil tindakan tegas termasuk menarik semula kontrak sekiranya syarikat kawalan keselamatan sengaja membekal pekerja tidak menepati standard penyampaian perkhidmatan sepatutnya.

“Saya tak kata semua syarikat kawalan keselamatan gagal berfungsi, tetapi saya tidak mahu hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sebab itu, syarikat kena beri kerjasama lakukan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Beliau menyokong cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah anggota keselamatan termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk berkawal pada waktu puncak.

Menurutnya, persekitaran sekolah lebih selamat dan terkawal sekiranya pasukan keselamatan itu ditempatkan di pekarangan luar yang tidak mampu diselia pengawal keselamatan.

myMetro: 14 Jun 2012

Rabu, 13 Jun 2012

Sekolah wajar teliti syarikat keselamatan: Puad

2012/06/13

KUALA LUMPUR: Pihak pentadbiran sekolah seharusnya menawarkan kontrak kepada syarikat perkhidmatan keselamatan yang mempunyai kemampuan dan kepakaran dalam memastikan keselamatan pelajar sekolah terjamin.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihak sekolah seharusnya memilih syarikat keselamatan yang mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menjamin keselamatan pelajar sekolah ketika berada di dalam atau di luar kawasan sekolah.
"Saya minta setiap syarikat keselamatan yang mendapat kontrak perkhidmatan keselamatan di sekolah supaya memastikan anggota mereka terlatih, tiada rekod buruk, mengikut SOP...terutamanya pergerakan keluar masuk orang ramai ke kawasan sekolah.
"Selain itu, syarikat yang terpilih perlulah memberi perkhidmatan yang terbaik dan memberikan latihan secukupnya kepada anggotanya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah dan penutupan Hari Mekar Bahasa dan Sastera di sini, hari ini.

Mengenai cadangan menempatkan anggota RELA untuk mengawal keselamatan di luar sekolah, Mohd Puad berkata usaha itu amat dialu-alukan.

Terdahulu pada majlis itu, beliau berkata penggunaan Bahasa Melayu yang tinggi secara meluas di sekolah dapat menyemarakkan daya kreatif dan berfikir di kalangan penuturnya.

"Kita melihat pelajar bersaing dan ini akan memotivasikan mereka untuk menggunakan Bahasa Melayu tinggi menerusi pertandingan sama ada dalam bentuk syair, puisi, pidato dan perbahasan.
"Ini perlu diberi perhatian supaya ia dapat diperkembangkan di sekolah dengan lebih efektif dan meluas," katanya.

Penganjuran Hari Mekar Bahasa dan Sastera 2012 itu julung kali diadakan Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menggabungkan pertandingan kebahasaan dan kesusasteraan untuk kanak-kanak dan remaja bagi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. - BERNAMA

Berita Harian Online: 13 Jun 2012

5,500 guru interim patut diserap ikut subjek

2012/06/13

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta supaya menyerap 5,500 guru interim sebagai guru tetap di sekolah yang masih lagi mengalami kekurangan guru mengikut keperluan subjek kritikal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu meneliti secara terperinci penempatan guru supaya ia dilakukan secara seimbang bagi menampung kekurangan guru.
“Kita mahu kementerian memastikan guru berkenaan diberi keutamaan untuk ditempatkan di sekolah yang masih mengalami kekurangan guru mengikut keperluan subjek di sekolah berkenaan. Misalnya, jika sekolah berkenaan memerlukan guru bahasa Inggeris, maka kita perlu menempatkan guru subjek berkenaan.
“Hari ini ada sekolah yang mempunyai lambakan guru, lebih malang lagi guru ditempatkan di sekolah berkenaan pula tidak mengajar mata pelajaran sepatutnya beliau ajar kepada pelajar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan kira-kira 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temu duga antara Januari hingga Mac akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai bulan ini.

Selain itu, NUTP turut meminta pihak kementerian supaya memberi tumpuan berhubung kenaikan gred lebih 10,000 guru yang sudah mendapat ijazah, namun, masih lagi menikmati gaji peringkat diploma.

Berita Harian Online: 13 Jun 2012

Sekolah terbakar, tutup 3 hari


API membakar bilik-bilik di aras tiga bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Hua, Kajang, Selangor semalam.


KAJANG - Sesi pembelajaran 1,383 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Hua di Jalan Low Ti Kok di sini tergendala apabila satu blok tiga tingkat sekolah itu musnah dalam kebakaran semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu bermula dari sebuah bilik mesyuarat di tingkat tiga yang dijadikan bilik tuisyen bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini.
Api dikatakan berpunca daripada alat penyaman udara yang tiba-tiba mengeluarkan asap dan disusuli dengan percikan api yang menyambar bilik mesyuarat itu sebelum merebak ke bilik-bilik lain di blok itu.
Semasa kejadian, seramai 40 murid berada di bilik mesyuarat tersebut kerana menghadiri kelas tuisyen yang sepatutnya tamat pada pukul 3.30 petang.

Kosmo Online: 13 Jun 2012