Rabu, 7 Mac 2012

Pendidikan tunjang modal insan berkualiti

KULAIJAYA: Suasana pembelajaran selesa, tidak membebankan serta sokongan ibu bapa dalam pelajaran penting bagi membangunkan modal insan yang bakal menjadi tunjang kepada pengukuhan pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu sekali gus dapat menentukan hala tuju negara pada masa depan.


Beliau berkata, di samping itu, tugas mendidik bukan saja terletak di tangan guru, malah ibu bapa jturut menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan anak masing-masing mendapat pendidikan terbaik.

“Ini titik permulaan untuk kita membentuk sahsiah serta menimbulkan semangat dahagakan ilmu dalam diri anak supaya mereka menjadi insan cemerlang pada masa depan.


“Matlamat ini tidak tercapai jika tiada kerjasama jitu serta hubungan erat antara guru serta ibu bapa dalam usaha memperkasakan anak ini dengan ilmu pengetahuan,” katanya pada perasmian Program Jalinan Mesra Rakyat serta merasmikan Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya yang baru di sini, semalam.


Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghaffar Mahmud; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; exco kerajaan negeri serta pemimpin tempatan.

Menurut Muhyiddin, bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi lebih dinamik dan progresif bagi kemajuan negara.


“Proses pendidikan kaedah sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri selain mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan pendidikan kerana ia tunjang kepada proses pembangunan sesebuah negara kerana modal insan pemangkin yang bakal mencorak tahap kemajuan dan kemunduran masyarakat serta negara,” katanya.

myMetro: 7 Mac 2012

15 dibelasah

IPOH: Seramai 15 pelajar sebuah sekolah di sini, dibelasah beramai-ramai lebih 30 pelajar lain menggunakan batang penyapu dan topi keledar hingga cedera selepas mangsa didakwa mengejek pelajar senior.

Dalam kejadian jam 10 pagi Rabu lalu, sekumpulan murid tingkatan empat dan lima sebuah sekolah menengah di sini, dilaporkan bertindak ganas menyerang sekumpulan murid tingkatan tiga.


Pergaduhan antara ‘geng senior’ dan ‘geng junior’ itu berlaku apabila seorang daripada pelajar tingkatan lima sekolah sama tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pelajar tingkatan tiga a mencaci sebelum pergaduhan tercetus.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Leong, 15, berkata, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah apabila mereka dikepung kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima itu.


Menurutnya, mereka dipukul beramai-ramai menggunakan batang penyapu selain ditumbuk dan ditendang berulang kali.


“Kami cuba melawan, namun bilangan mereka terlalu ramai. Mereka turut mendapat bantuan rakan di luar sekolah untuk memukul kami,” katanya.

myMetro: 7 Mac 2012

Selasa, 6 Mac 2012

Bahasa Arab, Mandarin lemah

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
2012/03/06

MURID sedang mempraktik bahasa Mandarin pada pemidang.
MURID sedang mempraktik bahasa Mandarin pada pemidang.
Guru tak terlatih, tiada makmal bahasa punca pelajar gagal kuasai subjek

GURU tidak terlatih dan tidak tersenarai antara lima subjek dinilai peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikesan antara punca penguasaan murid bagi dua subjek elektif iaitu bahasa Arab dan Mandarin berada pada tahap kurang memuaskan.
Turut menyumbang kepada kekangan penguasaan bahasa antarabangsa itu ialah kebanyakan murid hanya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas sedangkan kegiatan itu perlu dijalankan di makmal bahasa.
Timbalan Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum, Dr Mohd Nor Mohd Taib, berkata pada keseluruhannya pencapaian murid mengikuti subjek itu hanya menguasai perkataan asas seperti nama, khabar, asal dan arah sesuatu tempat.

Katanya, pada dasarnya P&P dua mata pelajaran itu bergantung kepada kemampuan sekolah melaksanakannya dengan mengambil kira kepakaran guru.

“Bagi sekolah yang tiada kepakaran dan gagal menyediakan kemudahan makmal, sukar melaksanakan proses P&P dengan berkesan.

“Subjek elektif ini sebenarnya dikhususkan kepada murid bukan penutur bahasa terbabit dan mengikuti persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK),” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Mohd Nor berkata, berdasarkan statistik seramai 1.5 juta murid mengikuti pembelajaran bahasa Arab di 4,776 sekolah di seluruh negara sehingga 2010 manakala bahasa Mandarin seramai 34,449 di 461 sekolah sehingga awal tahun lalu.

Mengenai murid Cina dan India bukan Islam yang mengikuti pembelajaran bahasa Arab, beliau berkata jumlahnya terlalu rendah iaitu sekitar seorang hingga lima orang di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, ramai murid Melayu dan India mengikuti subjek bahasa Mandarin berikutan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan menguasai bahasa berkenaan.

Berita Harian Online: 6 Mac 2012

Isnin, 5 Mac 2012

SBP gah di peringkat dunia


Empat pelajar SBP Integrasi Tun Abdul Razak yang mewakili dua pasukan negara bersama guru pembimbingnya mempamerkan pingat emas yang dimenangi pada pertandingan IYIE 2012 di Tainan, Taiwan baru-baru ini.


Nama Malaysia sekali lagi harum di peringkat antarabangsa apabila kesemua empat pasukan yang mewakili negara pada pertandingan Pameran Reka Cipta Belia Antarabangsa (IYIE) 2012 di Tainan, Taiwan membawa pulang pingat emas dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan baru-baru ini.

Empat pasukan itu terdiri daripada pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah berasrama penuh (SBP) iaitu Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis; SMS Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah dan SBP Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang.

Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Rosland Hussein berkata, pertandingan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti ini merupakan pendedahan awal kepada pelajar untuk melihat dunia luar serta mencari pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Kementerian mahu melihat dan memperluaskan bakat para pelajar SBP ini bukan sahaja di peringkat nasional, malah menjadi pesaing hebat kepada negara-negara maju di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui di Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.

Pertandingan IYIE 2012 yang dianjurkan oleh World Invention Property Associations (WIIPA) itu diselaras oleh University Far East, Tainan serta Taiwan Invention Intellectual Property Association dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Hubungan Luar Republik China (Taiwan).

Sebanyak 1,275 penyertaan diterima dan 300 produk telah dipilih ke peringkat akhir dari pelbagai negara termasuk Australia, Kanada, Jepun, Korea, Hong Kong, China, Vietnam, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Menurut Rosland, penglibatan pelajar SBP di peringkat antarabangsa adalah sangat perlu bagi melahirkan feeder pool kepada modal insan berkemahiran tinggi dan mewujudkan jenama pelajar Malaysia yang terkenal dengan kualiti serta kebolehpasaran yang tinggi dan memiliki imej global.

"Kemenangan yang diperoleh oleh pasukan negara menjadi bukti jelas bahawa outcome pendidikan negara tidak lagi ketinggalan dan kini setaraf dengan negara-negara maju yang lain malah ada yang lebih baik," tegasnya.

Melalui program itu juga katanya, dapat meningkatkan minat pelajar untuk mempelajari sains dan mengatasi masalah kekurangan penuntut dalam aliran itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Utusan Malaysia Online: 5 Mac 2012

Ahad, 4 Mac 2012

Dialog Pendidikan Nasional


Muhyiddin Yassin bertanyakan sesuatu kepada Pengusaha Kraftangan Sinar Warisan, Naim Marjani yang menghasilkan Kuda Kepang pada Program Bersama Komuniti 1Malaysia Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Vokasional Jalan Sg. Abong di Muar, semalam. Turut sama, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. - BERNAMA


PAGOH 3 Mac - Kementerian Pelajaran akan memulakan siri jelajah Dialog Pendidikan Nasional ke seluruh negara pada bulan depan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan pelbagai pihak dalam menambah baik sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu kajian telah dilakukan sejak tahun lalu dalam usaha menilai sama ada sistem pendidikan negara mencapai matlamat bagi melahirkan rakyat yang terdidik dengan ilmu berkualiti.

"Banyak kemajuan telah kita capai tetapi dalam dunia yang lebih kompetitif sekarang, kita mahu melihat semula tentang apa yang telah kita lakukan dalam sistem pendidikan dan kekuatan serta kelemahan yang ada selain perkara yang perlu dilakukan untuk menambah baik mutunya.

"Kita akan mulakan bulan depan apa yang dipanggil Dialog Pendidikan Nasional bertujuan untuk mendapatkan pandangan yang boleh kita kumpulkan dari semua kaum dan keturunan serta mewakili mereka yang berkepentingan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Parlimen Pagoh melibatkan 516 penerima.

Katanya, pihak yang berminat akan dipelawa menyertai dialog itu dan tempoh dialog juga mungkin dilanjutkan selagi ada pihak mahu mengemukakan pandangan.

Jelasnya, ini adalah masa terbaik selari dengan Gagasan 1Malaysia 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' iaitu rakyat diminta tampil meluahkan pandangan tentang bagaimana sistem pendidikan dapat diperbaiki, diubah atau berkaitan dengan dasar.

"Boleh dikatakan ia mencakupi semua bidang, kita tidak mahu halang sesiapa dan semuanya akan diambil kira. Mungkin kita akan pergi satu-satu negeri selama sehari atau dua hari selagi ada pihak mahu memberi pandangan.

"Kalau orang Melayu ada pandangan atau ada perkara yang perlu diperbaiki, maka mereka boleh tampil ke depan. Begitu juga masyarakat Cina dan India, jika merasakan ada keperluan, mereka boleh kemukakan pandangan," katanya.

Tambah Muhyiddin, pihaknya juga melakukan banyak kajian melalui kumpulan pakar yang dilantik untuk mempertimbangkan cadangan dan dibentang kepada rakyat sebelum dibawa kepada kerajaan dan diterima pakai dalam bentuk laporan pelajaran terbaharu.

Utusan Malaysia Online: 4 Mac 2012

Rabu, 29 Februari 2012

Cikgu ‘kung fu’ guru besar

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Pelajar sebuah kelas di sekolah rendah di Air Itam, di sini, dihidangkan aksi ‘kung fu’ antara guru besar dan guru kelas selepas berlaku perselisihan faham antara dua pendidik itu, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pergaduhan antara dua guru lelaki terbabit dikatakan berpunca selepas guru besar lalu berhampiran sebuah kelas dan terdengar bunyi bising, sebelum dia membuat teguran kepada guru kelas itu.


Difahamkan, guru kelas berkenaan enggan menerima teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka dan guru besar itu seterusnya cuba merakam suasana dalam kelas berkenaan menggunakan telefon bimbitnya.

Menurut sumber, melihatkan tindakan guru besar itu, guru kelas terbabit secara tiba-tiba ‘naik angin’ sebelum dia terus menyerang dan memukul guru besar berusia 48 tahun itu.


“Berikutan itu, kedua-dua guru terbabit bergaduh dan kejadian itu diperhatikan murid kelas berkenaan dan murid lain,” katanya.


Menurutnya, suasana bertukar menjadi kecoh hingga memaksa guru lain campur tangan untuk meleraikan pergaduhan kedua-dua guru terbabit.

“Akibat pergaduhan itu, guru besar terbabit cedera di kedua-dua tangan dan juga belakang kepalanya,” katanya.


Sumber itu berkata, guru kelas juga cedera pada mata akibat terkena tikaman pen ketika bergelut dan kedua-duanya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, guru besar terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan dua guru berkenaan dipanggil memberi keterangan bagi membantu proses siasatan,” katanya. Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamaruddin yang mengikuti kursus ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

myMetro: 29 Februari 2012

Selasa, 28 Februari 2012

Guru tidak terlatih mohon jawatan tetap

SYUKUR Alhamdullilah, nasib Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akhirnya terbela apabila 7,079 Guru GSTT ditawarkan kursus perguruan 2012 untuk diserapkan ke jawatan tetap.

Namun, di sebalik berita gembira ini, masih ada guru GSTT yang tidak berjaya biarpun telah berkali-kali mengemukakan rayuan ke pihak Bahagian Pengambilan Guru (BPG). Harap pihak kementerian membela nasib GSTT yang terkandas agar diberikan peluang yang sama rata.

Daripada kajian yang dibuat, terdapat GSTT layak, ada juga tidak cukup pengalaman, ada mempunyai pengalaman mengajar selama dua tahun, tetapi hanya setahun sebagai GSTT dan setahun lagi bertugas sebagai guru kontrak. Biarpun jawatan berbeza, namun tugas diamanahkan tetap sama seperti GSTT.

Namun kami boleh terima hakikat jika terdapat ketelusan dan keadilan dalam memilih GSTT yang berjaya mengikuti kursus perguruan kerana terdapat kalangan GSTT yang tidak cukup syarat tetapi berjaya.

Kami yang tidak berjaya ini tidak iri hati kepada GSTT yang berjaya, sebaliknya tumpang gembira. Namun tidak dinafikan yang kami benar-benar kecewa kerana peluang kami sudah tertutup sama sekali untuk bergelar guru tetap.

Saya berharap pihak kementerian akan mempertimbangkan kami GSTT yang tidak terpilih ini kerana pengalaman mengajar yang kami miliki dan minat yang amat mendalam dalam profesion perguruan. Saya memetik kembali kata-kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong bahawa GSTT yang tidak berjaya mendapat kursus perguruan akan dipanggil bertugas secara contract for service.

Kami GSTT yang tidak berjaya amat mengharapkan agar diberikan peluang meneruskan kerjaya sebagai GSTT secara contract for service untuk tahun ini, dan akan diberikan peluang mengikuti kursus perguruan pada tahun hadapan.

Utusan Malaysia Online: 28 Februari 2012