ALOR SETAR, 21 Nov (Bernama) -- Seorang guru besar mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan menerima
suapan bernilai RM32,400 membabitkan bekalan pakaian seragam
ko-kurikulum sekolah pada 2008 dan 2009.
Zakaria Md Lazim, 54, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tandop Besar
(SKTB), Kuala Nerang dekat sini minta dibicarakan selepas semua
pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman.
Bagi pertuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya untuk
mendapatkan suapan dengan memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR)
sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 dan dia
didakwa mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya
sendiri, Ros Adimas Md Lazim.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh
menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR
sebagai pembekal set pakaian PBSM bernilai RM6,300, set pakaian TKRS
bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700.
Semua kesalahan itu dituduh dilakukan di SKTB pada November 2008 dan
didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997
(undang-undang Malaysia Akta No.575) dan boleh dihukum menurut Seksyen
16 Akta yang sama.
BERNAMA: 21 November 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan