Ahad, 23 Februari 2014

Ada Guru Enggan Guna E-Book Di Terengganu

KEMAMAN, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) kesal dengan segelintir guru di negeri ini yang enggan menggunakan e-Book setelah kerajaan negeri menyediakan kemudahan itu dengan peruntukan besar setiap tahun.

Pengarah jabatan itu Zakaria Husin berkata pihaknya masih menerima aduan ibu bapa mengenai guru yang tidak menggunakan kemudahan e-Book di sekolah.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana e-Book sudah mempunyai sukatan pembelajaran yang sama lengkap dengan buku teks. Jadi, ia lebih mudah dan tidak membosankan pelajar untuk sesi pembelajaran dalam kelas," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan buku kepada lima sekolah terlibat banjir di Kemaman oleh sebuah syarikat penerbitan di sini, Sabtu.

Zakaria berkata golongan pendidik di negeri ini perlu kreatif dalam menggunakan alat bantuan mengajar itu bagi menjadikan suasana dalam kelas lebih menarik dan interaktif.

Beliau berkata e-Book didapati berkesan melonjakkan prestasi akademik pelajar di negeri itu, dan sehingga kini, tiga buah sekolah menggunakan kemudahan itu 100 peratus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan SK Seberang Takir di Kuala Terengganu serta SK Telok Kalong di sini.

"SK Paya Bunga kini muncul lima sekolah terbaik di seluruh negara dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) malah kehadiran pelajarnya juga 100 peratus," katanya.

Bagi merungkai permasalahan itu, Zakaria berkata JPNT akan menemui 351 Guru Besar di seluruh Terengganu.

Setiap tahun, kerajaan negeri Terengganu membelanjakan RM25 juta untuk membeli e-Book dan menyelenggaranya.

BERNAMA: 22 Februari 2014

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...


Cikgu tak terima E-Book? Nanti cikgu nak terima e-book5 kot...