KEMAMAN, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT)
kesal dengan segelintir guru di negeri ini yang enggan menggunakan
e-Book setelah kerajaan negeri menyediakan kemudahan itu dengan
peruntukan besar setiap tahun.
Pengarah jabatan itu Zakaria Husin berkata pihaknya masih menerima aduan
ibu bapa mengenai guru yang tidak menggunakan kemudahan e-Book di
sekolah.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana e-Book sudah mempunyai
sukatan pembelajaran yang sama lengkap dengan buku teks. Jadi, ia lebih
mudah dan tidak membosankan pelajar untuk sesi pembelajaran dalam
kelas," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan buku kepada
lima sekolah terlibat banjir di Kemaman oleh sebuah syarikat penerbitan
di sini, Sabtu.
Zakaria berkata golongan pendidik di negeri ini perlu kreatif dalam
menggunakan alat bantuan mengajar itu bagi menjadikan suasana dalam
kelas lebih menarik dan interaktif.
Beliau berkata e-Book didapati berkesan melonjakkan prestasi akademik
pelajar di negeri itu, dan sehingga kini, tiga buah sekolah menggunakan
kemudahan itu 100 peratus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan
SK Seberang Takir di Kuala Terengganu serta SK Telok Kalong di sini.
"SK Paya Bunga kini muncul lima sekolah terbaik di seluruh negara dari
segi Gred Purata Sekolah (GPS) malah kehadiran pelajarnya juga 100
peratus," katanya.
Bagi merungkai permasalahan itu, Zakaria berkata JPNT akan menemui 351 Guru Besar di seluruh Terengganu.
Setiap tahun, kerajaan negeri Terengganu membelanjakan RM25 juta untuk membeli e-Book dan menyelenggaranya.
BERNAMA: 22 Februari 2014
Ahad, 23 Februari 2014
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Cikgu tak terima E-Book? Nanti cikgu nak terima e-book5 kot...
Catat Ulasan