Khamis, 3 Jun 2010

Rahsia kejayaan dua guru cemerlang



RAHANA Tawan (kanan) dan Hing Jen Soon pada Majlis Anugerah Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid Terbilang (JPNS) 2009 di Rembau, baru-baru ini.


REMBAU 2 Jun - Berkat kecemerlangan mentadbir dan menyediakan sistem pengurusan sekolah secara efektif dan kondusif, dua pengetua di negeri ini terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan 2009 di sini baru-baru ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abdul Samad, Rahana Tawan dan Pengetua SMK Dato' Mohd. Tahan, Hing Jen Soon pada Majlis Anugerah Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid Terbilang (JPNS) 2009.

Rahana dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan Pengurusan Kokurikulum JPNS 2009 manakala Jen Soon pula dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pengurusan Hal Ehwal JPNS 2009.

Mereka dipilih untuk menerima anugerah tersebut di atas khidmat sumbangan dalam melonjakkan kecemerlangan pada sistem pengurusan sekolah masing-masing.

Menurut Rahana, beliau akan menjadikan anugerah tersebut sebagai suntikan semangat ke arah memberikan perkhidmatan lebih baik pada masa depan.

''Kejayaan ini merupakan hasil usaha kami di pihak guru dan juga pelajar yang turut bekerja keras dalam membangunkan aspek kokurikulum SMK Dato' Abdul Samad, Port Dickson.

''Ini kerana sekolah saya merupakan antara sekolah di negeri ini yang terlibat dan mempunyai penyertaan yang tertinggi terhadap aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Jelasnya, SMK Dato' Abdul Samad sememangnya dikenali sebagai sekolah pembangunan kokurikulum yang aktif terutamanya menerusi persatuan pakaian seragam dan olahraga.

''Sekolah ini telah terpilih menjadi johan Kadet Polis peringkat kebangsaan tahun lalu dan pembangunan atlet olahraga.

''Ini kerana, kita mempunyai kemudahan yang lengkap untuk melatih serta mencungkil bakat pelajar dalam sukan olahraga dan untuk itu juga, kita turut melantik jurulatih khas dalam membimbing pelajar," ujarnya.

Sementara itu, Jeng Soon yang ditemui memberitahu, hasil usaha gigih untuk menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif dan membangunkan sahsiah pelajar secara komprehensif telah membuatkan dia terpilih menerima anugerah itu.

Katanya, kejayaan tersebut diperoleh ketika dia mentadbir SMK Pasir Panjang, Port Dickson yang mempunyai kira-kira 680 pelajar sebelum ditugaskan untuk menguruskan SMK Dato' Mohd. Tahan, Gemencheh, Tampin dua bulan lalu.

''Semasa saya menjadi pengetua SMK Pasir Panjang, saya mempunyai cabaran untuk menguruskan pelajar yang rata-rata berasal dari kawasan pedalaman.

''Maka cabaran utama saya adalah untuk mengatasi masalah disiplin dan kehadiran pelajar ke sekolah," ujarnya.

Menurut Jeng Soon, menerusi kempen dan program 3K yang dijalankannya dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan yang meliputi soal kebersihan, kesihatan dan keselamatan, ia dilihat mampu membentuk keperibadian unggul di kalangan pelajarnya.

''Apabila kita menyediakan persekitaran yang kondusif dan selesa, masalah disiplin dapat diatasi dan lebih menggembirakan saya, kehadiran pelajar sekolah meningkat secara konsisten berbanding sebelum ini," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 3 Jun 2010

Guru dinasihatkan jangan abai soal rohani



JAMALUDIN Darus (duduk, kanan) dan Chow Sek Khoon (duduk, kiri) memegang anugerah yang mereka menangi sambil bermesra dengan para pelajar pada majlis sambutan Hari Guru peringkat daerah Barat Daya di Balik Pulau, semalam.


BALIK PULAU 2 Jun - Para guru dinasihatkan supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada keputusan akademik pelajar tetapi turut menekankan pendidikan rohani.

Penerima anugerah Tokoh Guru Daerah Barat Daya, Jamaludin Darus, 78, berkata, pendidikan rohani penting terutama dalam membentuk akhlak seseorang pelajar menjadi yang terbaik.

Jamaludin yang telah bersara sejak 13 tahun lalu juga berpendapat, guru pada zaman sekarang sepatutnya mampu menjadi seorang pendidik yang lebih baik berbanding guru sebelum ini kerana diberi pelbagai insentif menarik.

Beliau yang bersara sebagai Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong Barat turut menyeru golongan ibu bapa supaya tidak terus menyalahkan guru apabila terjadi sesuatu kepada anak mereka.

''Saya ingin menasihatkan para guru supaya memberi tumpuan penuh kepada murid-murid dan pada masa sama pastikan apa sahaja yang diajar dapat sampai dengan berkesan kepada mereka," katanya.

Beliau yang mula menjadi guru pada tahun 1949 ditemui pemberita selepas menerima anugerah Tokoh Guru Darah Barat Daya yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.

Selain Jamaludin, seorang lagi bekas guru yang turut menerima anugerah pada sambutan Hari Guru peringkat daerah Barat Daya dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa ialah Chow Sek Khoon, 61.

Sek Khoon berkata, beliau tidak pernah menyesal memilih kerjaya sebagai pendidik malah berbangga kerana mampu mencurahkan segala yang ada kepada murid-muridnya.

Beliau yang berkhidmat sebagai Guru Besar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Cheng di Sungai Ara di sini sebelum bersara pada 2005 berkata, menjadi guru memberi satu kepuasan yang tidak dapat dirasakan orang lain.

''Apabila kita melihat anak murid kita berjaya ia merupakan satu pencapaian dan kepuasan yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit," jelasnya yang memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1973.

Utusan Malaysia Online: 3 Jun 2010

Rabu, 2 Jun 2010

Tiga dipilih Tokoh Guru Pulau Pinang

KEPALA BATAS 1 Jun - Bekas Penyelia Kanan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pulau Pinang, Baharul Azhar Omar, 59, antara tiga individu yang dipilih sebagai Tokoh Guru 2010 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini hari ini.

Turut menerima anugerah itu ialah bekas Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Transkrian Nibong Tebal, S. Poornachandran, 62, dan bekas Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling, Teh Kwan Liek.

Anugerah disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada majlis sambutan Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Menengah Sains Kepala Batas di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri Abdul Rahman, Toh Puan Majimor Shariff dan Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamed.

Baharul Azhar yang ditemui pada majlis itu terharu dengan anugerah tersebut yang disifatkannya amat bermakna sepanjang perkhidmatannya dalam bidang perguruan selama lebih 30 tahun.

''Saya amat terharu dengan penghargaan ini dan ia memberi dorongan lebih kuat untuk saya terus menyumbang kepada institusi perguruan walaupun sudah bersara," katanya yang bersara wajib pada 2008.

Baharul Azhar memulakan karier sebagai guru penolong di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Padang pada 1974 sebelum memegang beberapa jawatan penting di SK Telok Kumbar, SK Sg. Ara, SK Bayan Baru dan SK Padang Tembak.

Jawatan terakhirnya ialah sebagai Penyelia Kanan Unit Sekolah Rendah JPN dari 1998 hingga 2007 selain aktif dalam bidang kesukarelawan dan pernah menerbitkan bahan latihan untuk guru prasekolah.

Poornachandran pula berkata, guru yang baik bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek akademik tetapi juga cemerlang dari segi rohani agar mereka menjadi insan yang berkualiti.

''Bagi saya, ini adalah cabaran utama para guru kerana kita perlu melahirkan golongan masa depan yang terus berpegang kepada nilai-nilai positif di sebalik perkembangan dunia zaman moden," katanya.

Pandangan itu disokong Kwan Liek yang berpendapat, bidang perguruan semakin mencabar seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menuntut supaya guru lebih peka dan mendalami ilmu pengetahuan.

''Perkembangan dalam teknologi komunikasi sepatutnya memberi kelebihan dan dimanfaatkan oleh para guru untuk memberi pengetahuan yang pelbagai kepada murid dan pelajar mereka," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 2 Jun 2010

Guru ponteng sebelum cuti dikenal pasti

KOTA BELUD 1 Jun - Jabatan Pelajaran mengenal pasti terdapat segelintir guru di negeri ini 'ponteng' sekolah untuk pulang ke kampung masing-masing sebelum cuti sekolah bermula.

Pengarah Pelajaran Negeri, Dr. Muhiddin Yussin berkata, perkara itu dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari Kementerian Pelajaran ke sekolah-sekolah baru-baru ini.

"Jabatan kami sedang menunggu laporan rasmi bertulis daripada jemaah nazir itu sebelum mengambil tindakan yang perlu sebab guru-guru tidak dibenarkan meninggalkan sekolah mereka sebelum cuti penggal bermula.

"Jadi mulai sekarang Jabatan Pelajaran negeri akan lebih serius dalam menangani kes-kes disiplin (di kalangan guru-guru dan kakitangan) di semua sekolah di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan program 'Ke Arah Kecemerlangan Akademik' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai aduan ibu bapa bahawa terdapat sebilangan guru di negeri ini khususnya yang berkhidmat di pulau-pulau pulang ke kampung sebelum cuti penggal bermula.

Menurut aduan, guru berkenaan dikatakan meninggalkan sekolah mereka seawal 24 Mei sedangkan cuti sekolah bermula pada 5 Jun.

Muhiddin berkata, jabatan pelajaran sentiasa serius dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan di sekolah-sekolah di negeri ini dan akan mengambil tindakan tegas terdapat guru yang melanggar disiplin.

"Jika terbukti benar mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira siapa mereka.

"Jika ketidakhadiran mereka memerlukan tindakan disiplin kita akan melakukannya berdasarkan perintah Am Perkhidmatan Awam sedia ada," katanya.

Utusan Malaysia Online: 2 Jun 2010

Selasa, 1 Jun 2010

3 bebanan guru perlu perhatian

2010/06/01

GURU kini dibebani dengan tugas mendidik, perkeranian, pengurusan dan sebagainya. Tidak dinafikan guru kita amat komited dalam menjalankan tugas mereka berpegang kepada apa yang ditetapkan dalam falsafah pendidikan negara.

Perkara pertama, yang ingin saya bangkitkan ialah keadaan kebanyakan bilik guru di sekolah seluruh negara.
Kebanyakan guru gred DG27 ke atas bagi sekolah rendah dan DG41 bagi sekolah menengah, namun kemudahan bilik guru berada pada tahap daif.

Selain itu, terdapat bilik guru yang tiada penghawa dingin, susunan meja yang rapat serta sempit, itu belum lagi melihat keadaan perabot serta peralatan yang disediakan.

Jika kita bandingkan dengan pegawai awam lain, mereka menikmati kemudahan tempat kerja yang selesa dalam memastikan mereka memberi perkhidmatan terbaik. Saya lihat staf pentadbiran (N17/N22) di pejabat pentadbiran sekolah lagi selesa daripada guru.

Perkara kedua, berkaitan tugas perkeranian. Saya melihat guru terpaksa menjalankan tugas perkeranian yang begitu banyak termasuklah melakukan kerja-kerja fotostat atau stapler kertas peperiksaan untuk diberikan kepada pelajar.

Perkara ketiga, berkaitan kutipan wang untuk pelbagai program di sekolah. Biasanya setiap guru kelas akan diminta membuat kutipan pelbagai wang untuk aktiviti sekolah seperti untuk kegunaan hari sukan, hari guru dan kad jogaton.
Jika murid dalam kelas berkenaan tidak membayar, guru kelas terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk memastikan semua kutipan wang kelas yang dijaganya, cukup.

Harapan saya agar hasil kajian bebanan tugas guru oleh jawatankuasa khas yang sudah dilantik dapat mengambil perhatian terhadap tiga perkara di atas.

ANAK MURIDMU,
Kelantan

Berita Harian Online: 1 Jun 2010

Mengenali Awang Tokoh Guru Malaysia 2010



Awang Mohamad bergambar bersama dengan isterinya, Wan Shamsiah Yahya dan anak-anaknya selepas menerima Anugerah Tokoh Guru di Kuantan, baru-baru ini.


KOTA BHARU 31 Mei - Lebih 500 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan puluhan panggilan telefon diterimanya pada hari itu untuk mengucapkan tahniah kepadanya setelah menerima anugerah sebagai salah seorang Tokoh Guru Malaysia 2010.

Ia sangat menyentuh perasaannya yang berbaur dengan kegembiraan dan keharuan, apatah lagi sebilangannya mengutuskan kata-kata, ''Saya berbangga menjadi anak didik cikgu."

Bagi Awang Mohamad, 59, ia pengucapan yang sangat bermakna untuk ditatap dan didengar oleh seorang guru kerana ia sudah cukup sebagai penghargaan tidak ternilai daripada bekas murid-muridnya.

Menurut Awang, beliau tidak menyangka terpilih sebagai Tokoh Guru dan anugerah itu diterima dengan rasa bangga kerana menganggap perkhidmatannya dalam bidang pendidikan selama ini mendapat pengiktirafan.

Beliau berpendapat, penglibatannya dalam pelbagai aktiviti persatuan di peringkat kebangsaan kemungkinan menyebabkan beliau lebih menyerlah dan khidmatnya diikuti.

Justeru katanya, beliau percaya ia mungkin menjadi salah satu punca mengapa giliran beliau pula kali ini dipilih sebagai salah seorang Tokoh Guru Malaysia 2010.

Turut menerima anugerah itu ialah bekas Pengetua Maktab Perguruan Rajang Sarawak, Encharang Agas; bekas guru dari Pulau Pinang, Datuk Chuang Keng Kung dan bekas Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu, Ainun Jamilah Mohd. Ali.

Mereka menerima wang tunai RM10,000, pingat, trofi dan sijil penghargaan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru ke-39 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Awang aktif memperjuangkan nasib guru melalui penglibatannya sebagai Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran dan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab.

Selama tiga tahun beliau memperjuangkan nasib guru dan guru besar yang tidak mempunyai ijazah untuk mendapatkan kelayakan itu dan di bawah Program Pensiswazahan Guru dan Guru Besar, kini 80 peratus guru berkenaan mendapat ijazah yang diperoleh melalui kursus hujung minggu.

Beliau juga turut memperjuangkan kenaikan Gred Guru Besar Tertinggi yang satu masa dahulu hanya setakat DGA 34 tetapi kemudiannya meningkat kepada DGA 38.

Daripada perjuangannya juga, guru yang berkelayakan mendapatkan 'Pemberian Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (Golden Hand Shake)' memperolehnya untuk tempoh empat bulan dan kemudiannya menjadi lima bulan.

Di sebalik kesibukannya berpersatuan, bekas guru besar itu tidak melepaskan tanggungjawab menerajui sekolah dan mendidik murid-murid di lima buah sekolah sepanjang perkhidmatannya.

''Saya mahu memberikan sebaik-baik perkhidmatan supaya kejayaan boleh dinikmati oleh mereka yang berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Panji di sini semalam.

Walaupun terpaksa membahagi masa dalam persatuan katanya, beliau banyak dibantu oleh guru penolong kanan menjalankan tugas dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada guru-guru lain.

Menyingkap sejarah kerjayanya, sebaik sahaja mendapat Diploma Perguruan dari Sultan Idris Training College (SITC) Tanjung Malim, beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Hamzah, Machang pada 1974.

Beliau bertugas selama enam tahun sebagai guru Matematik dan semasa di sekolah itu, beliau memperkenalkan teknik pengajaran Matematik daripada seorang guru yang terkenal dengan nama Mr. Mahboh Mahyidin.

Dengan kemahiran yang ditimba, beliau kekal sebagai guru pakar Matematik sehingga ke akhir perkhidmatannya dan pernah dilantik sebagai Ketua Unit Matematik Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan.

Selama enam tahun beliau turut mendapat latihan di Pusat Perkembangan Matematik KBSR di Kementerian Pelajaran dan sepanjang tempoh itu juga beliau membimbing hampir 4,000 guru Matematik di Kelantan.

Awang menarik perhatian sikap yang tidak dapat dielakkannya sepanjang perkhidmatan ialah mahu setiap sekolah yang diterajuinya menonjol dalam apa jua bidang agar dapat dibanggakan oleh seluruh warga sekolah.

Selain mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama, beliau juga mengarahkan sekolah itu dicat semula apabila pemerhatiannya sebelum itu mendapati tiada seorang pun ibu bapa yang menoleh ke arah sekolah itu semasa melalui kawasan tersebut.

Setelah mendapat perhatian daripada ibu bapa, beliau mula memberi tumpuan kepada pengajaran bersama guru sehingga mencatatkan lonjakan kepada sekolah itu.

Beliau selepas itu berpindah ke SK Raja Bahar dan kemudian ke SK Islah, SK Kubang Kerian 3 pada 2001 sebelum bersara pada 2006.

Menurutnya, selepas memasuki alam persaraan, beliau masih sukar untuk mengikis sikap sebagai seorang guru yang membentuk keperibadiannya selama ini.

Utusan Malaysia Online: 1 Jun 2010

800 guru dapat e-Book

KUALA TERENGGANU 31 Mei - Sebanyak 800 guru sekolah rendah di seluruh negeri ini yang mengajar murid tahun enam menjadi kumpulan guru pertama menerima komputer riba atau e-Book.

Penyerahan e-Book kepada guru sekolah rendah berkenaan yang akan digunakan bagi membantu meningkatkan tahap pembelajaran calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam satu majlis di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini semalam.

Ahmad berkata, kira-kira 25,000 buah e-Book diagihkan kepada murid tahun lima pada tahun lepas yang mana mereka memasuki tahun enam pada tahun ini.

''Kita tidak mahu murid-murid menggunakan komputer manakala guru menggunakan buku.

''Dengan pengagihan e-Book ini akan membantu memantapkan keupayaan guru dalam mendidik murid-murid dalam mencapai kecemerlangan dalam UPSR nanti," katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM1.28 juta telah diperuntukkan untuk menyediakan kira-kira 800 e-Book untuk kemudahan guru-guru berkenaan.

Kata beliau, pihaknya juga telah melatih guru-guru untuk menggunakan kaedah 'secara talian' untuk pantau murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran dan juga peperiksaan.

''Sekarang ini, kita ada peperiksaan online dan setiap bulan akan ada latih tubi peperiksaan secara online," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 50,000 buah lagi e-Book akan diagihkan kepada murid tahun empat dan lima tidak lama lagi.

''Saya menjangka pengagihan kira-kira 25,000 e-Book untuk murid tahun lima akan mula diedar bulan depan manakala untuk murid tahun empat pada Julai nanti," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 1 Jun 2010