KEPALA BATAS 1 Jun - Bekas Penyelia Kanan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pulau Pinang, Baharul Azhar Omar, 59, antara tiga individu yang dipilih sebagai Tokoh Guru 2010 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini hari ini.
Turut menerima anugerah itu ialah bekas Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Transkrian Nibong Tebal, S. Poornachandran, 62, dan bekas Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling, Teh Kwan Liek.
Anugerah disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada majlis sambutan Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Menengah Sains Kepala Batas di sini hari ini.
Turut hadir ialah isteri Abdul Rahman, Toh Puan Majimor Shariff dan Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamed.
Baharul Azhar yang ditemui pada majlis itu terharu dengan anugerah tersebut yang disifatkannya amat bermakna sepanjang perkhidmatannya dalam bidang perguruan selama lebih 30 tahun.
''Saya amat terharu dengan penghargaan ini dan ia memberi dorongan lebih kuat untuk saya terus menyumbang kepada institusi perguruan walaupun sudah bersara," katanya yang bersara wajib pada 2008.
Baharul Azhar memulakan karier sebagai guru penolong di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Padang pada 1974 sebelum memegang beberapa jawatan penting di SK Telok Kumbar, SK Sg. Ara, SK Bayan Baru dan SK Padang Tembak.
Jawatan terakhirnya ialah sebagai Penyelia Kanan Unit Sekolah Rendah JPN dari 1998 hingga 2007 selain aktif dalam bidang kesukarelawan dan pernah menerbitkan bahan latihan untuk guru prasekolah.
Poornachandran pula berkata, guru yang baik bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek akademik tetapi juga cemerlang dari segi rohani agar mereka menjadi insan yang berkualiti.
''Bagi saya, ini adalah cabaran utama para guru kerana kita perlu melahirkan golongan masa depan yang terus berpegang kepada nilai-nilai positif di sebalik perkembangan dunia zaman moden," katanya.
Pandangan itu disokong Kwan Liek yang berpendapat, bidang perguruan semakin mencabar seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menuntut supaya guru lebih peka dan mendalami ilmu pengetahuan.
''Perkembangan dalam teknologi komunikasi sepatutnya memberi kelebihan dan dimanfaatkan oleh para guru untuk memberi pengetahuan yang pelbagai kepada murid dan pelajar mereka," jelasnya.Utusan Malaysia Online: 2 Jun 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan