Isnin, 2 Ogos 2010

Wujudkan akuan bersumpah guru berpolitik

APABILA kerajaan memutuskan para guru siswazah layak berpolitik tentulah mereka telah membuat kajian yang betul agaknya. Namun begitu janganlah tergopoh-gapah kita membenarkan para guru mencebur diri dalam politik.

Saya tidak sedikit pun iri hati mendengarnya tetapi ingin memberi nasihat berdasarkan pengalaman saya mencebur diri dalam politik khasnya UMNO.

Saya cadangkan, para guru yang dibenarkan aktif dalam politik ini dihadkan aktiviti mereka. Mereka tidak digalakkan memegang jawatan sebagai pengerusi atau setiausaha JKKK, masjid, pegawai adat bagi majlis nikah kahwin dan ahli majlis perbandaran.

Jika di peringkat UMNO bahagian pula, mereka sekadar menjadi ahli jawatankuasa atau pemeriksa kira-kira sahaja kerana, jika mereka memegang jawatan yang penting dan aktif, kita semua jangan menyesal apabila ramai guru yang memegang jawatan penting ini akan meninggalkan sekolah mereka apabila ada mesyuarat/majlis penting yang menjemput mereka hadir.

Malah lebih merisaukan jika mereka dilantik menjadi ahli majlis perbandaran yang mana mereka perlu menghadiri banyak majlis dan mesyuarat kerana dibayar elaun bulanan hingga RM1,000 sebulan dan mendapat kemudahan lain.

Apabila mereka menjadi ahli jawatankuasa mana-mana UMNO bahagian pula, yang bernasib baik dilantik pula menjadi ahli lembaga pengarah anak-anak syarikat kerajaan negeri dan menerima elaun khas lagi.

Jadi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran harus berhati-hati membenarkan para guru yang memohon berpolitik. Wujudkan satu akuan bersumpah supaya mereka boleh diambil tindakan tata-tertib jika melanggar akuan bersumpah itu.

Ini kerana jika hendak memberi sumbangan dan pandangan, mereka boleh menyalurkan pendapat melalui mesyuarat di peringkat cawangan, bahagian dan jika terpilih menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO, carilah peluang untuk berhujah dengan bernas malah jika menghantar e-mail pada Perdana Menteri kita pun boleh juga.

AHLI SETIA UMNO

Klebang Besar, Melaka


Utusan Malaysia Online: 3 Ogos 2010

Tingkatkan keselamatan pelajar


Keselamatan dan kesihatan murid di luar kawasan sekolah perlu diberi perhatian serius daripada kerajaan, ibu bapa dan masyarakat. - gambar hiasan


KISAH tragis seorang pelajar perempuan ditarik ke dalam kereta dan cuba dirogol ketika beliau sedang menunggu ibunya datang di luar kawasan sekolah memang sangat menakutkan para ibu bapa. Begitu juga dengan kisah pemandu van sekolah 'gila seks' yang sanggup merogol kanak-kanak yang ibu bapa telah memberikan rezeki kepadanya. Terbaru, kes mencabul kehormatan serta deraan yang dilakukan oleh guru-guru 'hilang akal' terhadap pelajar-pelajar yang begitu menghormati mereka di sekolah.

Malah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah mengeluarkan kenyataan supaya masalah samseng di kalangan remaja sekolah diambil tindakan yang serius. Malah setiap hari kisah keselamatan pelajar yang pergi balik sekolah semakin mendapat tempat di media utama negara.

Maka di sinilah pendidikan berkaitan keselamatan diri sangat penting. Melalui pendidikan pelajar seharusnya dibina keinsanan melalui program-program pembinaan diri secara teratur, berkala dan penilaian yang berterusan. Sebagai contoh apabila sekolah melaksanakan minggu suai kenal untuk pelajar baru di asrama, dua perkara pokok yang perlu ditekankan ialah kasih sayang dan perkongsian.

Selain masalah buli, gaduh dan serangan fizikal, ada juga isu-isu lain mengenai tahap keselamatan di sekolah yang juga perlu diberikan perhatian sewajarnya. Misalnya, laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan daripada 40,124 buah bas sekolah yang diperiksa oleh Puspakom sebanyak 16,697 gagal dalam ujian keselamatan.

Walaupun Akta Pengangkutan Jalan 1987 mewajibkan setiap bas diperiksa setiap enam bulan sekali, ada pemilik bas sekolah yang gagal untuk melaksanakan peraturan tersebut atas faktor kos atau kealpaan mereka sendiri.

Bagaimana pula dengan bas, van serta 'kereta sapu' yang 'melarikan diri daripada diperiksa' walaupun kenderaan ini pada setiap hari mengangkut anak-anak ulang-alik ke sekolah. Jumlahnya tentulah lebih besar daripada jumlah yang dinyatakan oleh pihak JPJ.

Jika pembaca membuat pemerhatian rambang, cara dan budaya penggunaan bas pun amat berbahaya sekali. Malah ada pelajar yang tersungkur di dalam bas kerana belum sempat duduk, bas sudah memecut laju. Penulis sendiri pernah melihat peristiwa seorang pemandu bas yang memandu laju sehingga seorang pelajar perempuan yang berdiri di tangga bas terhumban keluar daripada bas dan mengalami kecederaan parah di kepala gara-gara sikap pemandu bas yang cuai.

Malah bilangan pelajar di dalam bas juga biasanya melampaui bilangan yang dibenarkan. Keuzuran bas juga sangat mencemaskan dan kebanyakan bas sekolah yang beroperasi ini menggunakan bas mini wilayah yang terkenal sekitar tahun 1970-an di Bandaraya Kuala Lumpur dulu.

Selain itu, keselamatan sekolah kita juga merujuk kepada masalah keracunan makanan yang kerapkali berlaku. Malah sesetengah ahli masyarakat sudah tidak mengambil pusing berkaitan isu keracunan makanan di sekolah disebabkan selalu sangat mendengar kisah tersebut di kaca televisyen serta di dada akhbar.

Pada tahun 2008 dilaporkan kes keracunan makanan di sekolah adalah 448 kes di seluruh negara, bertambah daripada tahun 2007 sebanyak 412 kes. Daripada jumlah tersebut 31 peratus berlaku di sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah.

Malah dua bulan pertama bagi tahun 2009 telah mencatatkan kes keracunan makanan di sekolah sebanyak 31 kes yang melibatkan 3 buah sekolah rendah. Kes-kes ini nampaknya semakin meningkat tanpa sebarang kenyataan yang tegas oleh pihak Kementerian Pelajaran tentang cara menangani serta jaminan bahawa kes seumpamanya tidak akan berulang lagi.

Tahap keselamatan sekolah juga diragui oleh pihak ibu bapa apabila beberapa laporan akhbar berkaitan dengan kelakuan pelajar lelaki dan juga kes-kes guru lelaki yang bertopengkan manusia melakukan pencabulan kehormatan dan rogol terhadap pelajar perempuan. Walaupun kes-kes seperti ini masih terpencil tetapi ini tidak bermakna salah laku ini tidak akan meningkat jika tiada usaha membendungnya dilakukan oleh pihak sekolah.

Soalannya sekarang, apakah kes-kes keselamatan sekolah ini boleh diatasi? Apakah langkah segera, jangka pendek serta jangka panjang yang harus diambil oleh pihak sekolah. Di pihak Kementerian Pelajaran, apakah pula dasar dan peraturan yang boleh disemak semula agar tahap keselamatan sekolah menjadi keutamaan dan dilihat sedang melakukan tindakan yang sewajarnya. Berikut mungkin beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan.

Sebagai langkah segera, pihak sekolah perlu mengenal pasti kawasan dan masa yang berpotensi untuk sesuatu perlakuan yang boleh menggugat keselamatan sekolah boleh berlaku.

Utusan Malaysia Online: 3 Ogos 2010

Tambah baik UPSR, PMR

2010/08/02

KEPUTUSAN muktamad belum lagi dirumuskan sama ada untuk mengekalkan UPSR dan PMR kerana itu hanya akan ditentukan Menteri Pelajaran dalam masa terdekat ini.
Bagaimanapun diharapkan kedua-dua peperiksaan dikekalkan seperti pendapat kebanyakan orang bertujuan menjaga kualiti pendidikan di negara ini.

Apa yang perlu ialah penafsiran semula seperti mengurangkan mata pelajaran wajib dalam peperiksaan itu sendiri. Dalam UPSR, lima subjeknya wajib biar dikekalkan, tetapi dalam PMR subjeknya dikurangkan daripada lapan kepada lima iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Agama atau Sejarah sebagai subjek wajib.

Untuk SPM pula kekalkan 10 mata pelajaran saja.

Dicadangkan juga murid sekolah rendah tidak perlu membawa buku teks ke sekolah dan boleh disimpan di kabinet khas atau dalam laci meja masing-masing.
Begitu juga untuk sekolah menengah dan pelajar hanya perlu membuat kerja di rumah melalui online.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN,
Ampangan, Seremban

Berita Harian Online: 3 Ogos 2010

Guru aktif politik mampu lahir pemimpin berilmu

Oleh Datuk Manja Ismail
manja@bharian.com.my
2010/08/02

LANGKAH kerajaan meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik, berkuat kuasa semalam, adalah permulaan positif ke arah mewujudkan kematangan berpolitik dan ruang penyertaan lebih luas daripada pelbagai kerjaya dalam bidang itu di negara ini.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam kumpulan sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik menyandang apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan. Bagaimanapun, di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dulu.

Kita melihat pindaan peraturan itu adalah langkah mengembalikan semula hak guru, yang memberi sumbangan besar dalam perjuangan merebut kemerdekaan dan kemudian membina negara, untuk terbabit secara cergas dalam politik. Ramai pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union, yang kemudian menjadi pemimpin parti politik Melayu selepas merdeka adalah terdiri di kalangan guru, khususnya lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, yang kini menjadi universiti. Kaum gurulah, selaku golongan berilmu dan pemimpin masyarakat, menyedarkan orang Melayu di luar bandar mengenai pentingnya mereka bersatu untuk mencapai kemerdekaan dan selepas itu, membantu kerajaan baru merdeka, mengisi kemerdekaan. Malah, ramai pemimpin kanan kerajaan dan parti politik Melayu pada awal kemerdekaan daripada kalangan guru termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba.

Hakikatnya, guru sudah lama berpolitik. Sebelum peraturan itu dipinda pun, sebahagian besar mereka terbabit dalam parti politik di kawasan masing-masing, sama ada secara terbuka menyokong parti pemerintah atau secara rahsia bekerja untuk pembangkang. Mereka hanya tidak boleh memegang jawatan dalam parti dan larangan itu dianggap menafikan hak mereka untuk sama-sama menyuburkan proses demokrasi.

Dakwaan pembangkang kononnya langkah membenarkan guru berpolitik ini sebagai strategi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, itu hanyalah mainan politik mereka, yang terpaksa sentiasa mengambil pendirian sedemikian, walaupun peraturan baru ini turut menguntungkan pembangkang. Jika semua guru menyokong parti pemerintah, tidak mungkin lima negeri jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Lebih penting lagi, peraturan baru ini dilihat dapat menangani masalah ketandusan pemimpin politik berilmu dan berhemah pada peringkat akar umbi. Sejak sekian lama, akibat peraturan pentadbiran, pimpinan politik pada peringkat cawangan dan bahagian hanya diisi oleh kalangan usahawan dan kontraktor. Lebih malang lagi, sebahagian usahawan dan kontraktor ini muncul sebagai pemimpin bukan kerana ilmu dan kepakaran, tetapi kerana penyertaan mereka dalam politik, khususnya parti yang memerintah sesebuah negeri, tidak kira parti mana pun. Sebahagian besar masalah politik wang, membeli undi, suka berpuak dan mengaut semua projek kecil luar bandar, yang memualkan rakyat sekarang, adalah kesan daripada ketandusan pemimpin berilmu dan berhemah ini.

Golongan ini pun tidak boleh disalahkan kerana kebanyakan lepasan universiti, jika tidak meninggalkan kampung kerana mengejar kerjaya di kota, menjadi guru di tempat asal, tetapi dilarang memegang jawatan dalam parti. Kerana itu, langkah membenarkan semula guru lepasan ijazah memegang jawatan dalam parti dijangka mampu melahirkan generasi pemimpin akar umbi yang lebih dekat dengan rakyat. Guru, sebagai golongan pendidik yang dibekalkan dengan disiplin moral yang tinggi, diharap dapat meningkatkan semula mutu berpolitik rakyat negara ini, yang semakin merosot sekarang. Kerana profesion perguruan juga tertakluk kepada peraturan yang melarang mereka daripada menjalankan perniagaan, guru yang menduduki jawatan dalam parti nanti, tentu sukar untuk menggunakan kedudukannya bagi kepentingan diri.
Kita cuma berharap satu garis panduan yang jelas dikeluarkan berhubung langkah terbaru ini supaya ia dilihat memberi keadilan kepada semua pihak – guru, rakyat dan semua parti politik. Pada masa sama, peraturan itu juga harus memastikan penyertaan mereka dalam politik, jangan sekali-kali menjejaskan tugas utama mereka sebagai guru iaitu mendidik anak bangsa menjadi manusia yang sempurna.

Berita Harian Online: 3 Ogos 2010

Ahad, 1 Ogos 2010

Siling Sekolah Menengah Tinggi Melaka runtuh



YAAKUB Md. Amin (kanan) mengatakan sesuatu kepada Gan Tian Loo semasa melawat runtuhan sebahagian siling Pusat Sumber SMK Tinggi Melaka akibat dimakan anai-anai, Banda Hilir, semalam.


MELAKA 31 Julai - Siling pusat sumber Sekolah Menengah Tinggi Melaka di Banda Hilir dekat sini runtuh awal pagi ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan dilaporkan kerana ia berlaku sebelum pelajar menggunakan pusat sumber tersebut.

Kejadian itu hanya disedari seorang guru bertugas yang membuka pintu pusat sumber itu kira-kira pukul 8 pagi dan mendapati sebahagian silingnya runtuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md. Amin yang mengunjungi tempat kejadian lega kejadian itu berlaku sebelum pusat sumber itu beroperasi.

"Jika ia berlaku ketika pelajar sedang menggunakan pusat sumber ini, mungkin ada pelajar yang akan tercedera," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Yaakub, kejadian itu dipercayai berlaku akibat kayu alang siling tersebut reput dan dimakan oleh anai-anai.

Beliau berkata, pusat sumber itu ditutup serta-merta buat sementara waktu bagi membolehkan Jabatan Kerja Raya negeri menyiasat punca kejadian.

"JKR akan melihat keseluruhan siling dan bumbung di sekolah tersebut bagi memastikan adakah ia selamat untuk digunakan," katanya.

Sekolah Menengah Tinggi Melaka yang mempunyai kira-kira 1,400 pelajar dan 125 guru itu adalah sekolah tertua di negeri ini dan mula dibina pada 1826.

Tiga Ketua Menteri iaitu Datuk Adib Adam, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pernah bersekolah di situ.

Utusan Malaysia Online: 1 Ogos 2010

Etika guru dalam berpolitik

Guru adalah antara golongan yang memperjuangkan kemerdekaan selain wartawan menerusi penglibatan mereka dalam politik. Tetapi selepas mencapai kemerdekaan, sedikit demi sedikit golongan guru disekat daripada melibatkan diri dalam politik. Akibatnya guru yang dianggap golongan elit di luar bandar terpinggir daripada arus politik.

Bagaimanapun mulai hari ini guru siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenar melibatkan diri dalam politik. Sebelum ini hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan sahaja boleh memegang jawatan dalam politik selepas membuat permohonan bertulis kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran.

Tokoh akademik yang juga Chancellor UCSI University, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad menganggap peraturan baru itu sebagai satu penghormatan kepada golongan itu sekaligus mengisi kekosongan kepimpinan terutama di luar bandar.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran tahun 1985 menekankan supaya kebenaran melibatkan diri dalam politik itu hanya diberikan kepada guru siswazah yang terbaik dan prestasi mereka dipantau dari masa ke semasa.

“Saya langsung tidak fikir kerana kepentingan politik,” tegas beliau ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN di pejabatnya Jumaat lalu.

MINGGUAN: Apakah pandangan Tan Sri dengan peraturan baru yang membenarkan guru bergiat dalam politik?

Dr. Abdul Rahman Arshad: Saya setuju dengan peraturan baru yang membenarkan guru-guru siswazah menyertai politik. Kalau kita menoleh kembali kepada sejarah khususnya sejarah menuntut kemerdekaan, kita dapati guru antara golongan yang menjadi penggerak politik ketika itu. Guru berada pada kelas yang tinggi dalam masyarakat dan mereka membuktikan kemampuan sebagai pemimpin. Bagi saya memberi kebenaran kepada guru bergiat dalam politik adalah satu penghormatan kepada mereka dalam profesion perguruan selain kembali kepada sejarah awal dulu. Bagaimanapun mesti ada syarat-syarat tertentu. Ini bertujuan untuk mengekang supaya penglibatan guru dalam politik tidak menjejaskan profesion perguruan. Misalnya hanya guru-guru yang prestasi baik dalam perguruan diberi kebenaran menyertai politik. Mereka ini mempunyai perseimbangan antara perguruan dan politik. Bagi saya kalau guru yang kurang baik, dia akan terus menjadi kurang baik dalam kepimpinan. Saya berpendapat sekolah-sekolah di kampung yang memerlukan lebih pembelaan. Kalau guru tidak pandai mengimbangkan tugas antara guru dan pemimpin masyarakat, bagaimana hendak membela sekolah di kampung? Ketika ini banyak perubahan dilakukan. Perubahan kurikulum, perubahan peperiksaan dan untuk melaksanakan perubahan ini pengetahuan guru mesti ditambah, kemahiran juga perlu ditingkat. Tetapi tugas guru bukan bertambah berat sebaliknya bertambah profesional apabila ilmu dan pengetahuan bertambah.

Adakah guru berpolitik ini boleh memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat?

Dr. Abdul Rahman Arshad: Bagi saya boleh, sebabnya kebenaran itu ada beberapa syarat. Di luar bandar, guru adalah golongan elit dan berpendidikan. Mereka ini diharapkan boleh memimpin dan pada masa yang sama melahirkan modal insan untuk melahirkan cendekiawan. Tetapi mereka jangan lupa perguruan apabila menyertai politik kerana perguruan itu pilihan pertama. Bagi saya, dulu peranan guru memperjuangkan kemerdekaan tetapi sekarang guru perlu mengisi kemerdekaan dengan menyediakan modal insan. Kerana ada ruang untuk guru menyumbang itulah saya bersetuju dengan peraturan baru ini selain menyambung kepercayaan kepada guru yang ditunjukkan suatu masa dulu.

Adakah peraturan ini juga menjadi salah satu cara mengangkat martabat guru di mata masyarakat?

Dr. Abdul Rahman Arshad: Bagi saya sejak dulu lagi guru memang dihormati. Kerana itu saya fikir ini bukan mengangkat martabat guru sebab profesion ini sudah berada pada tahap yang tinggi di mata masyarakat. Saya melihat peraturan yang membenarkan guru menyertai politik boleh mengangkat martabat individu dari profesion perguruan. Ini bermakna dalam perguruan itu ada individu yang boleh menjadi pemimpin. Diberi kebenaran menyertai politik bererti adanya pengiktirafan kepada individu dalam profesion perguruan. Ini mengangkat martabat individu dalam perguruan yang berkebolehan dalam banyak bidang; sebagai pemimpin masyarakat dan pemimpin di sekolah.

Apakah yang menjadi kebimbangan Tan Sri apabila guru diberi kebenaran menyertai politik?

Dr. Abdul Rahman Arshad: Saya bimbang satu, kalau ada guru baik bila ada peluang dalam politik dia menjadi tidak baik lagi. Sebab itu saya menekankan bahawa kementerian mesti memantau prestasi supaya guru yang menyertai politik supaya tidak terjejas. Mesti ditegaskan hanya guru yang baik dan terus baik saja diberi kebenaran untuk menyertai politik. Saya bimbang kalau ada beranggapan, selepas nampak jalan dalam politik, dia sengaja memburukkan prestasi supaya boleh terus dalam politik. Kalau ini berlaku siapa yang tinggal di sekolah? Adakah hendak meminta dia berhenti politik? Hal-hal serupa ini memerlukan syarat-syarat yang agak ketat dan terperinci supaya kita tidak kehilangan guru yang baik.

Utusan Malaysia Online: 1 Ogos 2010

Ustaz tayang video lucah


INILAH sekolah di Rembau yang didakwa seorang ustaz menayangkan video berunsur lucah kepada murid-muridnya.


REMBAU – Tugas seorang ustaz sepatutnya membimbing murid ke jalan benar melalui pembelajaran agama, tetapi perkara sebaliknya berlaku di sebuah sekolah kebangsaan dekat sini.

Sehubungan itu, seorang ustaz di sekolah itu dikatakan tergamak menayangkan video berunsur lucah kepada murid-muridnya.

Sehubungan itu, seorang bapa yang diberitahu oleh anaknya mengenai perangai buruk ustaz itu tampil membuat laporan polis pada Khamis lalu.

Bapa yang mahu dikenali sebagai Azman, 40, mendakwa, dia terkejut apabila anaknya yang berada di darjah lima sekolah itu memberitahu ustaz berkenaan menayangkan satu video lucah kepada lebih 20 murid di sebuah bilik multimedia baru-baru ini.

Katanya, dia dimaklumkan bahawa video itu mengandungi adegan-adegan tidak senonoh seperti pasangan mengadakan hubungan seks dan pelakon wanita turut mendedahkan payu dara.

“Untuk kepastian, saya bertanyakan perkara itu kepada rakan-rakan sekelas anak saya dan mereka mengiyakannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Kosmo Online: 1 Ogos 2010