Bagaimanapun mulai hari ini guru siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenar melibatkan diri dalam politik. Sebelum ini hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan sahaja boleh memegang jawatan dalam politik selepas membuat permohonan bertulis kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran.
Tokoh akademik yang juga Chancellor UCSI University, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad menganggap peraturan baru itu sebagai satu penghormatan kepada golongan itu sekaligus mengisi kekosongan kepimpinan terutama di luar bandar.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran tahun 1985 menekankan supaya kebenaran melibatkan diri dalam politik itu hanya diberikan kepada guru siswazah yang terbaik dan prestasi mereka dipantau dari masa ke semasa.
“Saya langsung tidak fikir kerana kepentingan politik,” tegas beliau ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN di pejabatnya Jumaat lalu.
MINGGUAN: Apakah pandangan Tan Sri dengan peraturan baru yang membenarkan guru bergiat dalam politik?
Dr. Abdul Rahman Arshad: Saya setuju dengan peraturan baru yang membenarkan guru-guru siswazah menyertai politik. Kalau kita menoleh kembali kepada sejarah khususnya sejarah menuntut kemerdekaan, kita dapati guru antara golongan yang menjadi penggerak politik ketika itu. Guru berada pada kelas yang tinggi dalam masyarakat dan mereka membuktikan kemampuan sebagai pemimpin. Bagi saya memberi kebenaran kepada guru bergiat dalam politik adalah satu penghormatan kepada mereka dalam profesion perguruan selain kembali kepada sejarah awal dulu. Bagaimanapun mesti ada syarat-syarat tertentu. Ini bertujuan untuk mengekang supaya penglibatan guru dalam politik tidak menjejaskan profesion perguruan. Misalnya hanya guru-guru yang prestasi baik dalam perguruan diberi kebenaran menyertai politik. Mereka ini mempunyai perseimbangan antara perguruan dan politik. Bagi saya kalau guru yang kurang baik, dia akan terus menjadi kurang baik dalam kepimpinan. Saya berpendapat sekolah-sekolah di kampung yang memerlukan lebih pembelaan. Kalau guru tidak pandai mengimbangkan tugas antara guru dan pemimpin masyarakat, bagaimana hendak membela sekolah di kampung? Ketika ini banyak perubahan dilakukan. Perubahan kurikulum, perubahan peperiksaan dan untuk melaksanakan perubahan ini pengetahuan guru mesti ditambah, kemahiran juga perlu ditingkat. Tetapi tugas guru bukan bertambah berat sebaliknya bertambah profesional apabila ilmu dan pengetahuan bertambah.
Adakah guru berpolitik ini boleh memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat?
Dr. Abdul Rahman Arshad: Bagi saya boleh, sebabnya kebenaran itu ada beberapa syarat. Di luar bandar, guru adalah golongan elit dan berpendidikan. Mereka ini diharapkan boleh memimpin dan pada masa yang sama melahirkan modal insan untuk melahirkan cendekiawan. Tetapi mereka jangan lupa perguruan apabila menyertai politik kerana perguruan itu pilihan pertama. Bagi saya, dulu peranan guru memperjuangkan kemerdekaan tetapi sekarang guru perlu mengisi kemerdekaan dengan menyediakan modal insan. Kerana ada ruang untuk guru menyumbang itulah saya bersetuju dengan peraturan baru ini selain menyambung kepercayaan kepada guru yang ditunjukkan suatu masa dulu.
Adakah peraturan ini juga menjadi salah satu cara mengangkat martabat guru di mata masyarakat?
Dr. Abdul Rahman Arshad: Bagi saya sejak dulu lagi guru memang dihormati. Kerana itu saya fikir ini bukan mengangkat martabat guru sebab profesion ini sudah berada pada tahap yang tinggi di mata masyarakat. Saya melihat peraturan yang membenarkan guru menyertai politik boleh mengangkat martabat individu dari profesion perguruan. Ini bermakna dalam perguruan itu ada individu yang boleh menjadi pemimpin. Diberi kebenaran menyertai politik bererti adanya pengiktirafan kepada individu dalam profesion perguruan. Ini mengangkat martabat individu dalam perguruan yang berkebolehan dalam banyak bidang; sebagai pemimpin masyarakat dan pemimpin di sekolah.
Apakah yang menjadi kebimbangan Tan Sri apabila guru diberi kebenaran menyertai politik?
Dr. Abdul Rahman Arshad: Saya bimbang satu, kalau ada guru baik bila ada peluang dalam politik dia menjadi tidak baik lagi. Sebab itu saya menekankan bahawa kementerian mesti memantau prestasi supaya guru yang menyertai politik supaya tidak terjejas. Mesti ditegaskan hanya guru yang baik dan terus baik saja diberi kebenaran untuk menyertai politik. Saya bimbang kalau ada beranggapan, selepas nampak jalan dalam politik, dia sengaja memburukkan prestasi supaya boleh terus dalam politik. Kalau ini berlaku siapa yang tinggal di sekolah? Adakah hendak meminta dia berhenti politik? Hal-hal serupa ini memerlukan syarat-syarat yang agak ketat dan terperinci supaya kita tidak kehilangan guru yang baik.Utusan Malaysia Online: 1 Ogos 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan