Jumaat, 10 Jun 2011

Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah Dibentang Kepada TPM Dalam Masa Terdekat

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Garis panduan pemakanan sihat di sekolah akan dibentang kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran untuk diluluskan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata garis panduan itu kini dalam proses akhir untuk disiapkan dan beberapa mesyuarat antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran telahpun selesai.

"Insya-Allah apabila sudah siap nanti kita akan bawa kepada Timbalan Perdana Menteri untuk diluluskan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Garis panduan yang turut memberi tumpuan kepada beberapa perkara baru termasuk kekerapan sesuatu makanan itu dijual di kantin sekolah dihasilkan bagi memastikan amalan pemakanan sihat di kalangan murid dan menangani masalah kesihatan mereka, seperti masalah berlebihan berat badan.

Dalam perkembangan lain, Abd Ghafar berkata masa persekolahan yang ditetapkan pada hari Jumaat adalah memadai dan tidak sepatutnya menghalang pelajar-pelajar Islam menunaikan solat Jumaat.

Beliau berkata setiap hari Jumaat, waktu pelepasan pelajar adalah 12.15 tengah hari sedangkan waktu Zohor sekitar 1.20 tengah hari, justeru masa yang ada cukup untuk mereka mempersiapkan diri.

Abd Ghafar diminta mengulas mengenai beberapa aduan daripada ibu bapa bahawa masa persekolahan pada hari Jumaat menyebabkan anak mereka tidak sempat menunaikan solat Jumaat.

-- BERNAMA

BERNAMA: 10 Jun 2011

Rabu, 8 Jun 2011

Tidak dilantik guru walaupun tamat DPLI

NASIB isteri saya umpama yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran. Isteri saya adalah lepasan program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) pada Julai 2010, tetapi sehingga kini masih belum mendapat surat setuju pelantikan dan penempatan. Tidak seperti mana rakan-rakannya yang lain telah memulakan perkhidmatan sejak September 2010.

Hal ini adalah disebabkan beliau telah meletak jawatan Gred N17 kerana mendapat tawaran pengajian DPLI.

Pada mulanya, beliau beranggapan namanya tercicir daripada senarai guru yang akan ditempatkan pada September 2010.

Tetapi setelah disemak di Kementerian Pelajaran, barulah dimaklumkan beliau terpaksa memohon semula melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Sepatutnya, perkara yang sebegini perlu diberi penerangan yang jelas semasa taklimat oleh kementerian terbabit semasa pendaftaran sebagai pelajar iaitu apa yang perlu dibuat selepas tamat DPLI dan risiko bakal dihadapi ataupun menolak tawaran DPLI dan kekal pada jawatan lama.

Setelah permohonan baru dibuat kepada Kementerian Pelajaran dan dipanjangkan ke SPP, pihak SPP pula tidak memaklumkan perlu mengisi permohonan secara online. Dan permohonan online telah pun dibuat dan sehingga kini masih menunggu panggilan temu duga.

Utusan Malaysia Online: 8 Jun 2011

Surat: Guru kanan mohon cuti diluluskan untuk sambung belajar

2011/06/08

SEBAGAI guru di sekolah luar bandar yang menyedari mengenai kepentingan ilmu, saya sangat berminat menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana kedoktoran (PhD). Sudah lima kali saya memohon (dari 2006 hingga 2011), kecuali 2008 kerana permohonan ‘online’ disekat sebab terlebih had umur 40 tahun yang ditetapkan.

Saya sungguh gembira bila Kementerian Pelajaran mewujudkan program cuti belajar bergaji penuh tanpa biasiswa dengan had umur 44 tahun, dan saya sudah memohonnya sejak 2009 hingga 2011.
Pada Mac lalu, saya dipanggil temuduga dan sangat sedih apabila dimaklumkan pada 31 Mei lalu bahawa permohonan saya tidak berjaya.

Persoalan saya, mengapakah susah sangat untuk saya mendapat cuti belajar selepas saya memohonnya sebanyak lima kali? Apakah penggunaan bahasa Inggeris saya yang tidak lancar ketika sesi temuduga menjadi penyebab utama?

Dengan bebanan tugas sebagai guru kanan di sekolah menengah, di mana saya perlu mengendalikan dua bidang serentak iaitu bidang pengurusan dan pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran, saya sangat memerlukan cuti belajar untuk menyambung pelajaran, walaupun tanpa biasiswa.

Tambahan pula komitment terhadap keluarga dan kekangan masa untuk membuat kajian di luar kawasan turut menyumbang kepada sangat pentingnya cuti belajar ini kepada saya.

Saya mencadangkan pihak Bahagian Tajaan Kementerian Pelajaran turut mengambil kira faktor tanggungjawab dan kemampuan kewangan guru ketika membuat penilaian. Sehingga ke saat ini saya masih merayu pihak Kementerian Pelajaran terutama Bahagian Tajaan agar meluluskan permohonan yang sangat saya perlukan.
Tahun ini adalah peluang terakhir saya kerana tahun hadapan umur saya sudah pun melebihi had umur 44 tahun yang ditetapkan.

GURU SABAR MENANTI,
Bidor, Perak

Berita Harian Online: 8 Jun 2011

Sabtu, 4 Jun 2011

Minda: Guru pencetus transformasi

Oleh Datuk Dr Mashitah Ibrahim

PENDIDIKAN wadah utama menentukan kemajuan dan kemakmuran negara, sekali gus menjadi peneraju dalam membangunkan generasi pelajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia.

Sehubungan itu, pelbagai dasar dan pembaharuan pendidikan dilaksanakan kerajaan bertujuan memantapkan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Matlamat akhirnya sudah tentu untuk menghasilkan anak didik yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Tanggungjawab guru untuk melakukan transformasi atau perubahan dalam pendidikan negara sangat besar. Ia bermula daripada cara guru mengaplikasikan Dasar Pendidikan Negara secara berkesan.

Mereka mesti memahami agenda transformasi yang dilaksanakan. Justeru, jati diri guru mestilah tinggi supaya mampu mengikuti rentak dirancang kerajaan dalam bidang pendidikan.


Guru perlu mempunyai rasa pertanggungjawaban dan akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi institusi masing-masing.


Penulis yakin guru sekarang memiliki kemampuan dalam semua aspek perguruan sejajar kehendak negara kerana daripada peringkat pemilihan calon guru, latihan, fasa induksi, pembangunan profesionalisme berterusan sehingga ke peringkat penilaian serta pengurusan prestasi guru itu sendiri, dipastikan sentiasa berada pada tahap tinggi.

Dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) adalah rujukan dan panduan untuk memperkasa dan melestarikan guru berkualiti. SGM menggariskan kompetensi profesional perguruan atau piawaian yang patut dicapai guru dan keperluan yang patut disediakan agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu mereka mencapai tahap kompetensi ditetapkan.

Hasil satu soal selidik SGM yang dibuat pada 2010 menunjukkan tahap kompetensi profesional guru secara umumnya adalah cemerlang. Syabas dan tahniah cikgu semua!

Secara ringkasnya, ada tiga peranan utama seorang guru. Pertama, guru hendaklah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak murid. Kedua, mengajar kemahiran dan ketiga, menerapkan nilai serta akhlak mulia dalam diri pelajar.

Lantaran itu, guru yang hebat semestinya perlu mempunyai kemahiran mengurus dalam segala aspek duniawi serta ukhrawi secara sempurna mengikut sistem pengurusan yang disarankan ajaran Islam.

Ingin saya sebut konsep tawhidik iaitu keyakinan yang sebenar kepada Allah dan mengikut contoh Rasulullah. Konsep rabbaniyyah dan uluhiyyah merujuk kepada iman seseorang Muslim dan melaksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai ibadah serta bertakwa kepada Allah.

Islam juga membawa nilai itqaan (kesempurnaan) yang menuntut kita bersifat amanah dan mempunyai akauntabiliti dan integriti yang tinggi. Nilai itqaan ini sepatutnya menjadi budaya kerja bermutu tinggi bagi mencapai matlamat atau pelan transformasi diharapkan.

Tugas guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan saja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai ejen perubahan. Selain pendidik, pensyarah dan tutor, guru juga bergelar fasilitator, mentor, murabbi, mursyid, muaddid, musyrif, mudarris dan mualim.

Dalam menjana transformasi pendidikan, tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga berperanan membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan akhirat.

Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaan orang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.”

Diriwayatkan Imam Malik pernah menolak tawaran untuk mengajar di istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan, ilmu itu didatangi bukan mendatangi.

Sikap merendah diri dan rasa hormat seorang imam dan ulama terbilang juga ada pada Imam Syafie. Beliau pernah berkata: “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan Ibnu Uyainah, hilanglah seluruh ilmu ulama negeri Hijaz ini.”

Pada abad ke-21 ini, antara cabaran terbesar dihadapi guru ialah perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Tidak dinafikan perkembangan semasa memberi kesan kepada proses sahsiah, terutama pelajar.

Kebanyakan pelajar sudah mahir komputer bahkan pemahaman dan keupayaan mereka kadangkala melebihi guru. Disebabkan itulah guru perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, selain memahami tanggungjawab serta berikan komitmen dengan melaksana pendekatan baru ke arah meningkatkan kualiti pendidikan.

Di negara kita, terdapat 430,000 guru untuk mendidik 5.4 juta pelajar. Betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik bilangan anak dan pelajar yang begitu ramai. Pelajar sering melakukan kejutan kepada masyarakat dengan masalah sosial mereka.

Ada segelintir daripada pelajar yang malas belajar, suka tidur dalam kelas, ponteng atau terbabit kegiatan samseng, membuli, merempit, berzina, buang bayi, merokok, salah guna dadah, mencuri dan gejala lain.

Antara Januari dan Jun tahun ini, kira-kira 11,880 pelajar direkod terbabit dengan kegiatan jenayah. Kira-kira 40,000 pelajar terbabit dengan vandalisme, menonton dan menyimpan bahan lucah dan bertindak kasar manakala 24,000 lagi didapati ponteng dan lewat ke sekolah.

Isu disiplin pelajar memang satu perkara yang serius. Namun, ia bukan tugas pendidik semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti masalah atau keadaan tertentu yang dihadapi anak mereka serta lebih prihatin dan mengambil tahu hal anak mereka secara lebih mendalam dan terkawal.

Sesungguhnya, guru berada di saf hadapan untuk membangun bangsa cemerlang yang akan menentukan sebuah negara maju, aman dan dihormati.

Daripada perspektif Islam pun, profesion perguruan adalah suatu pekerjaan yang mulia di sisi Allah dan banyak hadis Rasulullah yang menyarankan manusia menjadi pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain.

Dalam Sirah Nabawiyyah sendiri, baginda menegaskan menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap individu dan hendaklah diajarkan kepada orang lain walaupun hanya satu ayat.

Tambahan pula ajaran Islam menekankan kelebihan amalan pendidikan dengan meletakkan seseorang berilmu pada darjat yang tinggi dan mulia. Maksud firman Allah dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 bermaksud:

“Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan imu pengetahuan dengan beberapa darjat (kemuliaan). Dan Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan.”

Bukan setakat itu kelebihannya, jika individu sedang menuntut ilmu pengetahuan tiba-tiba meninggal dunia, beliau dianggap sebagai gugur syahid. Betapa besar ganjaran yang diperoleh ketika di dunia, apatah lagi ganjaran yang menanti pada hari akhirat kelak.

Begitulah hebatnya seseorang berilmu dan menyampaikannya kepada masyarakat agar sesebuah komuniti tidak dibayangi dengan sifat jahiliah atau berada dalam kegelapan.

Transformasi perlu seiring dengan semangat 1Malaysia yang mementingkan perpaduan. Guru daripada pelbagai latarbelakang, anutan agama atau bangsa mestilah terbabit dalam proses membentuk perpaduan, sekali gus menjalin hubungan dan kerjasama yang kukuh dan berkekalan.

Maka, dalam menjayakan harapan tinggi bagi menjana transformasi sistem pendidikan negara, guru perlulah banyak berkorban, bekerja kuat dan ikhlas serta bersedia menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian serta maklumat supaya selari kehendak diperlukan bagi mencapai aspirasi negara.

myMetro: 4 Jun 2011

Rabu, 1 Jun 2011

Kenapa dibenar tukar opsyen?

ARKIB : 31/05/2011

Langkah kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk merealisasikan 60 peratus guru-guru sekolah rendah mempunyai ijazah menjelang 2015 adalah langkah yang amat disanjung tinggi.

Program Pensiswazahan Guru (PPG) telah mula diiklankan pada penghujung tahun 2010. Calon PPPBS (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah) yang berjaya mendapat tempat telah memulakan pengajian mereka mengikut institusi masing-masing secara mod PJJ bermula Mac dan Jun ini.

Walaupun begitu saya terpanggil untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak KPM berhubung pertukaran opsyen atau bidang calon semasa memohon program ini.

Mengikut syarat-syarat utama dalam iklan tawaran PPG, calon sama sekali tidak boleh menukar opsyen atau bidang mereka. Opsyen asal mereka mestilah kekal seperti di dalam sijil/diploma semasa pengajian di maktab.

Bagaimanapun ada di antara mereka yang memohon PPG tetapi tidak mengikut opsyen asal berjaya mendapat tawaran dengan opsyen yang baharu. Contohnya, opsyen utama di maktab ialah Sains tetapi memohon PPG opsyen Bahasa Melayu, dan berjaya ditawarkan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian(Bahasa Melayu Pendidikan Rendah).

Sehubungan itu saya merasakan pengambilan PPG secara besar-besaran ini tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan sendiri oleh pihak KPM. Saya juga antara ribuan calon yang berjaya mendapat tempat untuk PPG ini tidak berani melanggar syarat-syarat utama pengambilan kerana bimbang permohonan akan ditolak.

Jesteru saya dan rakan-rakan yang lain ingin mendapat kepastian dan penjelasan daripada pihak KPM adakah kami boleh atau layak membuat rayuan untuk bertukar opsyen bagi program ini?

Juga saya ingin tahu adakah mereka yang ditawarkan opsyen baru untuk program ini dapat menggugurkan opsyen lama mereka setelah tamat pengajian tahun 2015 nanti?

Saya amat berharap pihak KPM dapat mengambil perhatian dan meneliti perkara ini semula demi keadilan kepada semua calon, dan juga tidak akan berlaku kekurangan dan lambakan opsyen-opsyen tertentu apabila berakhirnya program ini tahun 2015 nanti.

Utusan Malaysia Online: 1 Jun 2011

Kementerian beri pelbagai insentif kekalkan guru berpengalaman di pedalaman

2011/06/01

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian bertarikh 21 April 2011 – Khidmat guru tempatan terlatih diperlukan di Sabah, Sarawak.

Dalam situasi yang ideal, penempatan guru tempatan bagi sesebuah negeri mungkin menjadi satu kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu keperluan guru. Namun, hakikatnya, ia masih tidak dapat dilaksanakan seperti yang dicadangkan dan sedang ditangani secara berperingkat oleh KPM.
Berhubung permohonan guru dari Semenanjung yang ingin kembali berkhidmat di Semenanjung, ia adalah satu amalan biasa dan dalam hal ini sebarang permohonan diteliti secara individu dan diberi pertimbangan sewajarnya oleh KPM. Sungguhpun demikian, perlu diingati bahawa masih terdapat ramai guru berpengalaman dari Semenanjung yang masih kekal berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Untuk memastikan guru berpengalaman ini kekal berkhidmat di kawasan pedalaman dan luar bandar, KPM melaksanakan pelbagai strategi termasuk menempatkan suami isteri di sekolah yang sama atau berhampiran di Sabah dan Sarawak disamping pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) sebagai salah satu insentif untuk mereka.

Ia juga mencerminkan satu bentuk pengiktirafan kerajaan terhadap khidmat bakti mereka selama ini terhadap pembangunan pendidikan pelajar di pedalaman dan luar bandar di seluruh negara.

Mengenai latihan guru pula, ia menjadi satu usaha berterusan yang dilaksanakan oleh KPM. Berhubung cadangan membina Institut Pendidikan Guru (IPG) baru di Sabah dan Sarawak, KPM berpandangan bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk berbuat demikian berdasarkan beberapa faktor.
Pertama, bilangan IPG sedia ada masih berupaya melatih bakal guru untuk keperluan pendidikan negara. Kedua, pembinaan sesebuah IPG tidak hanya khusus untuk masyarakat setempat tetapi lebih menjurus kepada memenuhi keperluan pendidikan guru bagi seluruh negara.

Oleh itu, faktor lokasi IPG dilihat tidak begitu kritikal dalam hal ini. Selain itu juga, pemilihan anak tempatan Sabah dan Sarawak untuk menjalani latihan di IPG di Semenanjung seperti amalan sekarang harus dilihat sebagai satu perkara yang positif khususnya bagi mereka untuk menimba pendedahan dan pengalaman yang amat bermakna dalam pembangunan profesionalisme keguruan mereka sendiri.

Ini juga sejajar dengan matlamat gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh kepemimpinan negara. Dari aspek jangka panjang, KPM berpandangan bahawa bagi memastikan lebih ramai guru tempatan terlatih di Sabah dan Sarawak, minat golongan belia tempatan perlu terus dipupuk untuk menyertai profesionalisme keguruan.

Sungguhpun begitu, KPM berpandangan bahawa faktor siapa dan dari mana asal negeri guru itu tidak begitu penting. Walau di sekolah mana pun mereka ditugaskan baik di Semenanjung, mahupun Sabah dan Sarawak, apa yang lebih penting adalah komitmen dan profesionalisme guru yang jitu terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan khususnya dalam mendidik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang buat anak bangsa.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita harian Online: 1 Jun 2011

Iltizam guru pendidikan khas


AKTIVITI belajar membuat aiskrim merupakan salah satu aktiviti yang dilakukan murid pendidikan khas di SK Bandar Jerantut.


RAMAI yang beranggapan bahawa mengajar murid pendidikan khas merupakan tugas yang sangat mudah.

Tanggapan itu timbul memandangkan murid di dalam kelas itu hanya sekitar lima hingga 10 orang berbanding kelas perdana yang menempatkan lebih 20 orang murid.

Namun, tinjauan di beberapa buah sekolah di Jerantut, Pahang mendapati tanggapan tersebut ternyata meleset.

Sebenarnya, tugas untuk mengajar dan mendidik murid pendidikan khas tidak semudah yang disangka kerana mereka merupakan golongan istimewa berbanding murid-murid di kelas perdana.

Murid pendidik khas terbahagi kepada tiga kategori iaitu masalah pembelajaran, masalah pendengaran dan masalah penglihatan.

Bagi guru-guru wanita, tugas mereka tidak ubah seperti seorang ibu kerana murid-murid pendidikan khas memerlukan layanan yang baik sebagaimana melayan anak-anak di rumah.

Bagi Fatimah Jantan, 38, yang kini memegang jawatan Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut, guru-guru yang mengajar pendidikan khas harus mempunyai tahap kesabaran yang tinggi, berdisiplin, bertolak ansur dan sentiasa berfikiran positif.

“Memang kami mengajar murid dalam jumlah yang sedikit iaitu di antara lima hingga 10 orang tetapi setiap murid mempunyai kerenah yang berbeza dan memerlukan perhatian yang sewajarnya.

“Keupayaan pemikiran mereka sangat lemah, tidak memiliki kecemerlangan akal dan kadangkala tidak dapat mengawal emosi selain gagal mematuhi arahan yang diberikan,” katanya yang telah menabur bakti selama sembilan tahun dalam dunia pendidikan khas.

Fatimah yang ditemui sempena sambutan Hari Guru ke-40 yang bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara baru-baru ini memberitahu, guru pendidikan khas harus mengenali murid dengan lebih rapat dan cuba menyelami perasaan mereka kerana golongan istimewa itu tidak dapat memberi perhatian yang sepenuhnya ketika pelajar.

“Guru mestilah berfikiran kreatif terutamanya dalam menyediakan alat bantu mengajar agar murid melahirkan rasa minat untuk belajar.

“Kita tidak hanya bercakap di depan ketika mengajar sebaliknya turut menggunakan kaedah nyanyian dan permainan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas,” ujarnya.

Menurutnya, biarpun sepenuh masa bersama murid-murid pendidikan khas, namun mereka turut melakukan tugasan lain yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

Pengurusan diri


PARA pelajar pendidikan khas juga mempunyai upaya berdikari yang baik jika dibimbing dan dilatih dengan penuh dedikasi.


Selain tumpuan terhadap akademik, murid-murid pendidikan khas turut diterapkan dengan kemahiran menguruskan diri dan pengurusan tingkah laku.

“Inilah yang paling penting bagi murid-murid pendidikan khas kerana mereka tidak harus bergantung sepenuhnya kepada orang lain apabila masuk ke alam remaja dan seterusnya,” kata Wan Mahizan Wan Mohamad pula yang kini bertugas sebagai guru pendidikan khas di SK Tebing Tinggi, Jerantut.

Beliau berkata, guru-guru akan mengajar mereka cara menguruskan diri termasuk memakai dan membuka pakaian, mencuci pakaian, membersihkan diri, pengurusan bilik tidur dan mencuci pinggan serta cawan.

“Kita ingin lihat mereka berdikari dengan sendiri. Sampai bila mereka hendak mengharapkan bantuan orang lain,” soalnya.

Bagi pengurusan tingkah laku pula, Wan Mahizan memberitahu, guru-guru akan mendidik murid agar mengelak daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh orang lain.

Setiap kesalahan yang dilakukan pula akan ditegur dan diubah serta-merta dan guru-guru akan menilai sejauh mana teguran tersebut dapat mengubah corak kehidupan anak didik mereka.

Kemahiran hidup

Sementara itu, murid-murid pendidikan khas turut mengikuti mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dan Kemahiran Hidup yang memberi penekanan kepada penggunaan peralatan yang ada di sekitar mereka.

Mereka turut diajar cara berkebun dan penggunaan setiap alatan dengan betul agar tidak mendatangkan kecederaan kepada mereka.

Seorang guru pendidikan khas di SK Kuala Tembeling, Syahrima Abdul Hamid berkata, beliau telah membuat projek Bumi Hijau dengan menggalakkan anak didiknya bercucuk tanam.

“Kami tanam pelbagai jenis pokok seperti bayam, terung, lada, bayam, kangkung, kailan, kacang tanah, betik, serai dan daun kesum.

“Sebelum proses penanaman bermula, murid-murid akan diberi penerangan mengenai cara untuk gemburkan tanah dan menanam bijih benih serta teknik menggunakan setiap peralatan dengan betul,” katanya yang telah berkhidmat selama lima tahun dalam dunia pendidikan khas.

Seterusnya, murid-murid itu diajar cara menyiram, membaja dan menjaga pokok daripada serangan serangga perosak. Akhir sekali, mereka dibimbing untuk memungut hasil tanaman itu.

Syahrima memberitahu, hasil tanaman yang telah dituai akan dijual kepada kakitangan sekolah, ibu bapa dan kedai runcit berhampiran.

Selain itu, terdapat sesetengah sekolah yang melaksanakan projek keusahawanan bagi mendidik murid-murid berdikari mencari kewangan sendiri.

Projek keusahawanan


SEBAHAGIAN daripada pelajar pendidikan khas menunjukkan kemahiran mereka menggoreng cekodok di SK Bandar Jerantut.


SK Pulau Tawar merupakan salah satu sekolah yang menjadi contoh di daerah Jerantut dengan menggerakkan projek keusahawanan pada tahun 2009.

Projek yang diketuai oleh Anisah Jaafar yang bertindak sebagai guru penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di sekolah berkenaan telah berjaya menghasilkan beberapa kraftangan seperti tudung saji, gubahan bakul, kotak serba guna diperbuat daripada kotak terpakai, tali makarami serta hiasan kulit kayu manis.

“Kami ada lima orang guru dan 13 orang murid yang bergandingan untuk menghasilkan sesuatu produk dan kebiasaannya setiap produk disiapkan dalam tempoh seminggu.

“Ada juga sesetengah kraftangan yang kami serapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti dalam subjek kemahiran manipulatif, kemahiran hidup dan pendidikan seni,” ujarnya.

Anisah berkata, selain kraftangan, murid-murid turut diajar membuat kuih dan memasak makanan yang ringkas.

“Masakan yang pernah diajar kepada murid termasuk membuat donat, piza, nasi goreng, sandwic, kuih puteri ayu dan mi kari. Roti sosej bersalut telur merupakan salah satu menu yang menjadi pilihan dan pernah ditempah oleh sekolah berhampiran,” kata beliau.

Beliau memberitahu, produk-produk yang dihasilkan akan dijual di sekolah dan kedai berhampiran selain menerima tempahan dari pihak luar.

Ternyata tugas guru pendidikan khas tidak semudah yang disangka biarpun mereka tidak mengejar kecemerlangan akademik seperti guru-guru di kelas perdana.

Bagi mereka, kebolehan murid untuk menguruskan diri dan tidak bergantung harap kepada orang lain sudah memadai untuk mengukir senyuman di bibir masing-masing.

Kosmo Online: 1 Jun 2011