TAIPING: Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) anjuran Berita Harian yang disertai lebih 80 guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dr Burhanuddin (SMKDB) di sini, semalam disifatkan mereka amat berguna, terutama membantu pelajar memperoleh kefahaman mendalam terhadap subjek dipelajari.
Mereka dari 35 sekolah di Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) mengakui penggunaan akhbar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah juga menjana minat dan motivasi pelajar untuk mendalami subjek dipelajari.
Bengkel itu dikendalikan Pengarang Berita Pendidikan (Unit Projek), Tamrin Anuar dan Penulis Khas Unit Pendidikan ADD, Sabri Said itu mendapat kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah LMS. Guru SMK Dato' Kamaruddin, Batu Kurau, Bahazin Bani Hashim, 44, berkata bengkel ini adalah yang kedua disertainya dan mendapati banyak manfaat boleh diperoleh kerana kaedah itu tidak membosankan pelajar.
“Melalui akhbar, guru dan pelajar mendapat banyak maklumat dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sastera dan bahasa, sukan, kesihatan dan pembangunan,” katanya.
Guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Anisah Abu Bakar, 25, berkata penyertaan kali pertama dalam bengkel ADD mendapati ianya begitu menarik kerana banyak membekalkannya pengetahuan dan pengalaman dalam proses P&P melalui akhbar.
“Saya melihat kaedah ini dapat menggalakkan pelajar mencari bahan sesuai dan relevan dalam akhbar untuk memantapkan pemahaman mata pelajaran dipelajari,” katanya sambil mencadangkan kepada guru kanan dan ketua jabatan melanggan Berita Harian atau New Straits Times untuk menjadi bahan P&P di sekolahnya. Guru Kanan Bahasa, SMK Tat Beng Sungai Tinggi, Trong, Khor Leong Keng, 52, berkata beliau menggunakan akhbar untuk mengajar Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) dengan menjadikan akhbar Berita Harian dan New Straits Times sebagai bahan bagi kaedah itu.
Guru SMK Hua Lian, Taiping, S Thevi, 32, berkata beliau menggunakan beberapa sisipan termasuk bercorak pendidikan dalam kedua-dua akhbar itu untuk mengajar subjek BM dan BI kepada pelajar tingkatan empat dan lima termasuk bagi mengukuhkan tatabahasa, kefahaman dan penulisan esei.
Guru SMK Redang Panjang, Selama, R Jeyenthan, 36, pula berkata melalui ADD guru dapat menggunakan akhbar sebagai bahan bantu yang terkini dan menarik, terutama mengajar BM atau BI.
SAYA menyokong penuh bantahan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad berkaitan cadangan memperkenalkan pendidikan kesihatan reproduktif sebagai satu subjek di sekolah.
Bantahan yang sama turut diutarakan Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM), Azam Md Atan, yang menegaskan usaha membanteras gejala seks bebas dan buang bayi harus bermula di rumah.
Cadangan dan gesaan pelaksanaan pendidikan seks dikemukakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kelmarin dilihat sangat tidak wajar dan seolah-olah terburu-buru dalam tindakan. Cadangan itu sebenarnya bukan penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja, sebaliknya hanya penyelesaian jangka pendek dan tidak memfokuskan kepada persoalan utama masalah yang berlaku.
Selain itu, ia pastinya akan menambahkan lagi beban pengajaran guru yang jelas memikul pelbagai tugasan pengajaran harian dan aktiviti pelajar di sekolah. Pihak kementerian berkenaan sepatutnya berbincang terlebih dulu serta berusaha mendapatkan pandangan semua pihak sebelum merangka mekanisme pelaksanaannya.
Kajian teliti dan mendalam amat perlu supaya hasil dilaksanakan nanti tepat kepada punca permasalahan dan sekali gus mendorong kepada penyelesaiannya secara tuntas. Adalah sangat tidak wajar sekiranya kita mengharapkan penyelesaian dengan sekelip mata terhadap masalah yang berlaku. Namun sekiranya ‘ubat itu kena pada penyakitnya’ pastilah masalah ini dapat diatasi dengan jayanya.
Gesaan melulu tanpa mekanisme jitu dan kesediaan pihak guru pasti menimbulkan permasalahan baru. Sekiranya subjek pendidikan kesihatan reproduktif atau pendidikan seks ini dilaksanakan tetapi tidak mencapai objektif digariskan, maka guru pula yang akan dipersalahkan. Cadangan penyelesaian akan datang pula pastinya melatih guru supaya memiliki kemahiran khusus dalam bidang pendidikan seks ini. Justeru, banyak pula kos yang akan dihabiskan bagi menyediakan latihan ini.
Ini tidak termasuk kos pelaksanaan subjek cadangan yang dikemukakan awal tadi. Maka di sini dapat dilihat, kebanyakan masalah yang berlaku dalam negara kita gagal diselesaikan dan pembaziran sumber negara berlaku. Puncanya adalah kegagalan mengenal pasti punca segala permasalahan yang timbul dan keduanya ‘memberi ubat yang salah kepada penyakit yang tidak berkenaan’.
Oleh Zainuddin Muhammad am@hmetro.com.my 2010/04/23
KUALA TERENGGANU: Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Manir, Engku Noor Wahidah Engku Anuar dikenakan tindakan buang sekolah bukan hanya kerana datang lewat.
Mengikut surat pemberitahuan salah laku disiplin sekolah dan tindakan tatatertib pelajar bertarikh 14 April yang dikirimkan kepada bapa pelajar, Engku Anuar Engku Abdullah, beberapa kesalahan lain menyebabkan jawatankuasa Lembaga Disiplin Tatatertib terpaksa mengambil tindakan membuang pelajar dari sekolah berkuat kuasa 18 April.
Surat yang ditandatangani Pengetua, Hassan Awang Mat turut menyenaraikan rekod ponteng kelas Pendidikan Islam pada 23 Mac dan lompat pagar untuk keluar sekolah pada hari sama. Kesalahan lain yang dinyatakan ialah tiba di sekolah pada jam 8 pagi pada 13 April, membawa lelaki yang mengaku bapa kepada pelajar yang kemudian menyerang seorang guru di bilik kaunseling, dan bercakap kasar serta bertindak biadab terhadap pengetua dan dua guru lain.
Surat yang ditunjukkan Engku Anuar berkenaan turut melampirkan laporan kejadian Selasa lalu di mana pelajar berusia 17 tahun yang menetap bersama keluarga di Taman Desa Putra, Manir, diarah pulang kerana datang lewat ke sekolah.
Engku Noor Wahidah juga dilaporkan membawa seorang lelaki yang mengaku bapanya masuk ke kawasan sekolah lebih sejam kemudian tanpa kebenaran pengawal keselamatan dan seterusnya menuju ke bilik disiplin untuk mencari guru berkenaan.
Menurut laporan itu, pelajar berkenaan bertemu dengan gurunya itu di bilik kaunseling dan mengajaknya bertumbuk di luar kawasan sekolah sebelum memaki hamun gurunya dengan kata-kata kesat.
Laporan itu juga menyebut lelaki yang mengaku bapa pelajar dilaporkan memasuki bilik kaunseling dan terus menolak kepala sebelum menampar pipi guru terbabit yang juga dicabar untuk memanggil suaminya agar dapat bersemuka dan ketika bertemu pengetua, lelaki berkenaan dikatakan meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada guru terbabit kerana sering berdendam dengan Engku Noor Wahidah sebelum berkata: “kalau saya tak sabar, dah lama saya terajang muka cikgu ****** sampai pecah hancur muka dia.” Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan ketika dihubungi Harian Metro enggan mengulas lanjut mengenai surat dan laporan yang dihantar kepada bapa pelajar.
“Sudah menjadi prosedur kami tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kepada media,” katanya.
Sementara itu, Engku Anuar dan anaknya berkata, surat dan laporan yang turut menyenaraikan nama saksi kejadian banyak yang ditokok-tambah.
Kata nelayan berusia 45 tahun itu, dia tidak pernah menampar pipi guru berkenaan dan sentuhan tangannya ke kepala guru itu memang tidak disengajakannya.
Engku Noor Wahidah pula berkata, laporan berkenaan lebih kepada fitnah dan bukannya fakta menyebabkan dia sekeluarga mencari keadilan dan membuat laporan polis.
“Mereka membuat keputusan untuk membuang saya daripada sekolah tanpa mengetahui perkara sebenar dan cuma berdasarkan pengakuan saksi yang semuanya terdiri daripada guru sekolah yang juga rakan cikgu bermasalah dengan saya,” katanya yang mengaku masih risau memikirkan sekolah mana yang sanggup menerimanya selepas ini,” katanya.
Oleh Syuhada Choo Abdullah choo@bharian.com.my 2010/04/22
Pelaksanaan secara terburu-buru timbulkan banyak masalah
KUALA LUMPUR: Pertubuhan guru membantah cadangan memperkenalkan pendidikan kesihatan reproduktif sebagai satu subjek di sekolah kerana ia disifatkan bukan penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja, sebaliknya hanya menambah beban guru.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata kesatuan itu terkilan dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menggesa pelaksanaannya dipercepatkan tanpa berbincang atau mendapatkan pandangan daripada kesatuan guru atau peringkat akar umbi. Beliau berkata, pelaksanaan secara terburu-buru akan menimbulkan banyak masalah sehingga merugikan pelajar, tambahan pula guru ketika ini tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang kesihatan reproduktif.
“Usaha membanteras gejala buang bayi yang semakin berleluasa ketika ini harus berpaksikan pengukuhan pendidikan agama dan moral secara lebih mendalam.
“Pegangan teguh kepada amalan agama dan nilai moral yang tinggi akan mencegah remaja daripada terpengaruh dengan gejala seks bebas yang menjadi punca utama peningkatan kes buang bayi,” katanya kepada Berita Harian.
Kelmarin, Shahrizat meluahkan hasratnya untuk menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminta supaya pendidikan kesihatan reproduktif sebagai subjek di sekolah diperkenalkan segera. Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM), Azam Md Atan, turut membantah cadangan itu dengan menegaskan usaha membanteras gejala seks bebas dan buang bayi harus bermula di rumah.
“Asas didikan fardu ain oleh ibu bapa di rumah amat penting untuk mengelakkan remaja daripada mudah terjebak dengan gejala itu.
“Justeru, PKPSMM tidak mempersetujui idea itu (memperkenalkan subjek pendidikan kesihatan reproduktif) kerana ia jelas bukan langkah penyelesaian sebenar. Tambahan pula, beban tugas guru sudah terlampau banyak di sekolah,” katanya.
SAYA adalah seorang guru sejak 1990 dan mengajar Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar Tingkatan Enam Rendah dan Enam Atas sejak 2004 di SMK Pandan Mewah, Ampang. Saya diluluskan cuti belajar bergaji penuh oleh Bahagian Tajaan Pendidikan Kementerian Pelajaran mulai Disember 2008 hingga Disember 2010.
Baru-baru ini, nama saya dipanjangkan oleh pihak sekolah untuk urusan pemangkuan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) bagi pengisian jawatan Gred DG44 di sekolah yang mempunyai Tingkatan Enam (Fasa 1).
Malangnya saya tidak berjaya kerana dimaklumkan bahawa saya tidak memenuhi salah satu syarat ditetapkan iaitu seseorang guru (PPPS DG41) perlu mengajar Tingkatan Enam, tiga tahun berturut-turut mulai 2007, 2008 dan 2009. Saya tidak mengajar pada 2009 kerana bercuti belajar. Menidakkan saya pemangkuan ke Gred DG44 atas sebab ini, bagi saya adalah tidak adil dan munasabah kerana saya sudah mengajar Tingkatan Enam sejak Ogos 2004 dan setahu saya ketika cuti belajar, pegawai adalah layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.
Saya merujuk perkara ini melalui panggilan telefon kepada Jabatan Pelajaran Selangor yang kemudian meminta saya merujuk kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran. Pada awal perbualan itu, saya dimaklumkan urusan pemangkuan PPPS bagi pengisian jawatan Gred DG44 di sekolah yang mempunyai Tingkatan Enam (Fasa 1) sudah tamat.
Perbualan kami berakhir di situ, dengan kekecewaan di pihak saya. Bagaimanapun, selepas setengah jam, pegawai terbabit menelefon saya kembali dan memaklumkan bahawa selepas meneliti kes saya, beliau dapati saya memenuhi semua syarat dalam urusan pemangkuan Gred DG44 berhak untuk dipertimbangkan memangku Gred DG44.
Beliau meminta saya mengemukakan semula surat pengesahan dan dokumen berkaitan daripada pengetua untuk pertimbangan semula pihak kementerian. Saya amat berterima kasih dengan sikap pegawai itu kerana cukup prihatin dan bertindak secara profesional ketika mengendalikan masalah saya. Syabas atas tindakan segera. Saya tidak pasti sama ada saya akan berjaya atau tidak di dalam urusan pemangkuan Gred Hakiki DG44 Fasa 1 ini kerana ia tertakluk kepada arahan semasa pihak kementerian.
MENTERI Pelajaran beberapa tahun lalu gah menyatakan hasrat kerajaan memperkasa sekolah kebangsaan, sama ada pada peringkat rendah atau menengah, dalam usaha menjadikan sekolah itu sebagai sekolah pilihan untuk kanak-kanak semua bangsa.
Ini dianggap sebagai usaha meningkatkan jumlah pelajar bukan Melayu menerima pendidikan awal dan menengah mereka di sekolah kebangsaan. Ini juga sebagai usaha positif mewujudkan suasana anak pelbagai bangsa bergaul sejak di bangku sekolah lagi untuk memupuk persefahaman. Tidak seperti yang berlaku sejak sekian lama sehinggalah sekarang apabila sekolah kebangsaan dipenuhi anak Melayu saja dengan penyertaan anak bukan Melayu khususnya Cina tidak sampai 10 peratus. Malah dikhabarkan ada sesetengah sekolah di kawasan perumahan di bandar yang hanya mempunyai tidak sampai lima peratus pelajar Cina daripada jumlah keseluruhan murid.
Walhal kawasan itu mempunyai jumlah penduduk berbilang bangsa dengan penduduk Cina melebihi Melayu. Dikhabarkan juga ibu bapa bukan Melayu khususnya Cina sanggup mengharungi kesesakan lalu lintas untuk menghantar anak mereka ke sekolah Cina yang jauh dari rumah padahal sekolah kebangsaan atau sekolah menengah kebangsaan terletak tidak sampai satu kilometer dari rumah mereka.
Apakah yang menyebabkan keadaan yang tentunya tidak sihat dari segi memupuk persefahaman antara kaum ini berterusan demikian. Malah dikatakan keadaan ini semakin teruk dan peratus anak bukan Melayu terutama Cina yang belajar di sekolah kebangsaan semakin merosot.
Dalam pada itu, ibu bapa Melayu sendiri banyak pula yang menghantar anak belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina. Jumlahnya dikatakan sudah mencecah tujuh peratus sekarang ini. Keadaan yang berlaku itu menimbulkan pelbagai persoalan. Selain merenggangkan lagi jurang pergaulan antara anak berbilang bangsa, perkembangan ini mungkin boleh pula menjejaskan persefahaman antara kanak-kanak pelbagai bangsa. Bayangkan keadaan yang mungkin wujud apabila mereka ini dewasa dan terpaksa bekerja dalam satu pejabat.
Ia juga menimbulkan persoalan apakah yang mendorong ibu bapa Cina tidak memilih sekolah kebangsaan untuk anak mereka belajar. Selain itu, persoalan juga timbul apakah yang ada atau tidak ada di sekolah kebangsaan hingga ibu bapa Melayu pun ada yang meminggirnya.
Tidak diketahui pula apakah Kementerian Pelajaran pernah mengadakan kaji selidik atau mengungkap sebab musabab perkara ini boleh berlaku dan terus saja berlaku walaupun Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menjawat jawatan Menteri Pelajaran beberapa tahun lalu pernah melaungkan bahawa kementeriannya akan berusaha memperkasakan sekolah kebangsaan bagi menjadikannya sekolah pilihan.
Kini menterinya sudah bertukar. Malah kementerian itu kini dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi tidak pula diketahui apakah menteri baru ini akan meneruskan hasrat menteri lama itu.
Dalam hal ini tidak pula diketahui apakah Jabatan Pelajaran pernah melakukan soal selidik bagi mendapatkan maklumat tepat apakah yang ada di sekolah jenis kebangsaan Cina, sama ada di peringkat rendah mahupun menengah yang membawa kepada tarikan bukan saja di kalangan ibu bapa Cina malah ibu bapa Melayu.
Pelbagai institusi pengajian tinggi awam sudah pun mempunyai fakulti pendidikan. Malah sudah wujud Universiti Pendidikan Sultan Idris. Apakah institusi ini tidak pernah mengadakan penyelidikan bagi mendapatkan jawapan terhadap satu persoalan yang amat penting ini dalam usaha memupuk persefahaman antara kaum di negara ini. Setahu saya tidak pernah pun kaji selidik demikian diadakan. Kenapa?
Kenapakah Jabatan Pelajaran tidak pernah pula mendedahkan trend mengenai peratusan kemasukan anak mengikut kaum di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Tentunya jabatan ini mempunyai maklumat itu. Apakah susah sangat untuk mengumpulkan statistik itu mengikut jajahan, negeri dan negara?
Apakah kita juga tidak kisah dengan keadaan iaitu sehingga 10,000 murid sekolah dari Johor Bahru melintasi Tambak Johor yang begitu sesak setiap hari hanya kerana mahu belajar di sekolah di Singapura.
Apa istimewanya sekolah Singapura itu hingga ibu bapa mereka sanggup memilihnya dan mengabaikan langsung sekolah di Johor Bahru. Apa implikasinya untuk jangka panjang bagi kanak-kanak ini yang mendapat pelajaran mengikut kurikulum republik itu. Bagaimana mahu memupuk perasaan patriotik dan cintakan negara ini di kalangan murid itu kalau demikianlah keadaannya.
Apakah Kementerian Pelajaran tidak kisah dengan perkembangan ini? Mungkin sudah ada soal selidik bahkan kajian mengenai pemilihan ibu bapa terhadap sekolah-sekolah itu tetapi malangnya tidak pernah pula dihebahkan. Mungkin pihak yang pernah mengadakan kaji selidik ini memeramnya untuk kegunaan sendiri saja?
Yang menariknya ada beberapa blog membincangkan persoalan ini. Malah pengendali satu blog mengenai pendidikan, seorang Cina pernah menimbulkan persoalan mana satu sekolah dia harus memilih untuk menghantar anaknya, apakah sekolah jenis kebangsaan Cina atau sekolah kebangsaan.
Juga ditimbulkan bagaimana sekolah kebangsaan terlalu menekankan pengajaran agama hingga boleh menyinggung perasaan ibu bapa Cina apakah sekolah itu sudah jadi sekolah agama?
Ini menimbulkan perbincangan bagaimana sekolah yang diusahakan puak Kristian waktu sebelum merdeka hingga tahun-tahun selepasnya seperti Sekolah St Johns di Kuala Lumpur, Sekolah St Xavier di Pulau Pinang atau pelbagai Sekolah Convent untuk murid perempuan yang kebanyakannya mempunyai prestasi baik tidak pula menekankan pengajaran agama Kristian kepada murid mereka.
Malangnya perbincangan itu tidak memberi sedikit pun penekanan terhadap pembelajaran bahasa Melayu seolah-olah bagi mereka ini ia tidak perlu diberi perhatian. Apakah yang boleh kita simpulkan daripada keadaan demikian?
Maka itulah tidak menghairankan kenapa bahasa Melayu terus saja diabaikan oleh sesetengah pihak. Apakah yang boleh dilakukan kerajaan untuk menangani keadaan yang tidak sihat ini?
Oleh Amir Hamzah Nordin upen@bharian.com.my 2010/04/22
Dua kesatuan sokong saranan Timbalan Menteri Pelajaran
DUA kesatuan guru menyokong penuh saranan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi untuk menyeimbangkan pengambilan calon guru lelaki pada tahun ini pada kadar sama iaitu masing-masing 50 peratus untuk guru lelaki dan perempuan.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd Sabri Arshad, berkata langkah mengambil lebih ramai calon guru lelaki dialu-alukan kerana jumlah guru perempuan begitu ramai dalam sektor perguruan. "Saya tidak mempersoalkan kemampuan guru perempuan sebaliknya menghormati mereka kerana mempamerkan mutu kerja dan komitmen yang tinggi di samping mempunyai sifat keibuan yang menjadikan tugas sebagai guru lebih konduksif.
“Selain itu, guru perempuan tidak begitu berkira dalam menjalankan tugas sebaliknya memberi buah fikiran yang begitu baik dalam meningkatkan mutu profesionalisme perguruan,” katanya menghubungi Berita Pendidikan.
Mohd Sabri mahu pengambilan lima puluh peratus guru lelaki dan perempuan diasingkan dan persaingan dilakukan dalam jantina yang sama serta yang terbaik saja dipilih untuk mengikuti latihan perguruan di institut di seluruh negara.
“Pemilihan dalam jantina yang sama bakal menjadikan persaingan yang sengit dan sihat tanpa melupakan keperluan yang adil dan saksama bagi penentuan kemasukan untuk mengikuti latihan perguruan. “Kegiatan kokurikulum dan sukan juga akan dapat dijalankan dengan baik sekiranya guru lelaki diberi tanggungjawab selari dengan dasar kementerian pelajaran mahukan Satu Murid, Satu Sukan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, berkata lima perkara dapat diatasi dengan lebih ramai calon guru lelaki diambil untuk mengikuti latihan perguruan.
“Keperluan untuk mempunyai guru lelaki adalah penting di sekolah terutamanya membabitkan aspek disiplin dan pembangunan sukan dalam menangani kekurangan tenaga yang diperlukan.
"Penempatan guru lelaki lebih mudah berbanding perempuan terutama kawasan pedalaman yang membabitkan soal keselamatan, serta penjimatan dan bakal mengurangkan berlaku perpindahan atau pertukaran,” katanya.
Katanya, penambahan kuota guru lelaki dari Sabah dan Sarawak harus dipuji kerana selesai tamat latihan di tempat masing-masing ,mereka lebih memahami budaya tempat mereka dan bertugas dengan penuh semangat untuk anak bangsa sendiri.
“Kalau guru dari Sabah dan Sarawak di tempatkan di kampung halaman mereka, semangat jati diri untuk berkhidmat lebih serta boleh mengubah landskap pendidikan tempatan.
“Masalah untuk ‘balik kampung’ bakal dapat dikurangkan sekiranya guru lelaki kedua-dari dua negeri ini dan secara tidak langsung penjimatan dan kekerapan pertukaran dapat dikurangkan.
Jemale berkata, peratusan penempatan guru iaitu 40 peratus di Semenanjung dan selebihnya di Sabah dan Sarawak perlu difikirkan sebagai langkah menyelesaikan masalah yang kerap kali berlaku apabila kerajaan menempatkan guru-guru dari Semenanjung di kawasan pedalaman.
"Bagaimanapun, tidak bermakna guru di Semenanjung tidak akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak, kerajaan tetap akan berbuat demikian sekiranya keadaan memerlukan," katanya.