Oleh Amir Hamzah Nordin
upen@bharian.com.my
2010/04/22
Dua kesatuan sokong saranan Timbalan Menteri PelajaranDUA kesatuan guru menyokong penuh saranan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi untuk menyeimbangkan pengambilan calon guru lelaki pada tahun ini pada kadar sama iaitu masing-masing 50 peratus untuk guru lelaki dan perempuan.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd Sabri Arshad, berkata langkah mengambil lebih ramai calon guru lelaki dialu-alukan kerana jumlah guru perempuan begitu ramai dalam sektor perguruan. "Saya tidak mempersoalkan kemampuan guru perempuan sebaliknya menghormati mereka kerana mempamerkan mutu kerja dan komitmen yang tinggi di samping mempunyai sifat keibuan yang menjadikan tugas sebagai guru lebih konduksif.
“Selain itu, guru perempuan tidak begitu berkira dalam menjalankan tugas sebaliknya memberi buah fikiran yang begitu baik dalam meningkatkan mutu profesionalisme perguruan,” katanya menghubungi Berita Pendidikan.
Mohd Sabri mahu pengambilan lima puluh peratus guru lelaki dan perempuan diasingkan dan persaingan dilakukan dalam jantina yang sama serta yang terbaik saja dipilih untuk mengikuti latihan perguruan di institut di seluruh negara.
“Pemilihan dalam jantina yang sama bakal menjadikan persaingan yang sengit dan sihat tanpa melupakan keperluan yang adil dan saksama bagi penentuan kemasukan untuk mengikuti latihan perguruan.
“Kegiatan kokurikulum dan sukan juga akan dapat dijalankan dengan baik sekiranya guru lelaki diberi tanggungjawab selari dengan dasar kementerian pelajaran mahukan Satu Murid, Satu Sukan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, berkata lima perkara dapat diatasi dengan lebih ramai calon guru lelaki diambil untuk mengikuti latihan perguruan.
“Keperluan untuk mempunyai guru lelaki adalah penting di sekolah terutamanya membabitkan aspek disiplin dan pembangunan sukan dalam menangani kekurangan tenaga yang diperlukan.
"Penempatan guru lelaki lebih mudah berbanding perempuan terutama kawasan pedalaman yang membabitkan soal keselamatan, serta penjimatan dan bakal mengurangkan berlaku perpindahan atau pertukaran,” katanya.
Katanya, penambahan kuota guru lelaki dari Sabah dan Sarawak harus dipuji kerana selesai tamat latihan di tempat masing-masing ,mereka lebih memahami budaya tempat mereka dan bertugas dengan penuh semangat untuk anak bangsa sendiri.
“Kalau guru dari Sabah dan Sarawak di tempatkan di kampung halaman mereka, semangat jati diri untuk berkhidmat lebih serta boleh mengubah landskap pendidikan tempatan.
“Masalah untuk ‘balik kampung’ bakal dapat dikurangkan sekiranya guru lelaki kedua-dari dua negeri ini dan secara tidak langsung penjimatan dan kekerapan pertukaran dapat dikurangkan.
Jemale berkata, peratusan penempatan guru iaitu 40 peratus di Semenanjung dan selebihnya di Sabah dan Sarawak perlu difikirkan sebagai langkah menyelesaikan masalah yang kerap kali berlaku apabila kerajaan menempatkan guru-guru dari Semenanjung di kawasan pedalaman.
"Bagaimanapun, tidak bermakna guru di Semenanjung tidak akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak, kerajaan tetap akan berbuat demikian sekiranya keadaan memerlukan," katanya.
Berita Harian Online: 22 April 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan