Isnin, 16 Mei 2011

Guru akan nikmati 5 kaedah kenaikan pangkat: PM

2011/05/16

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Januari depan, dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.

Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di sini, beliau berkata kerajaan memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang dibuat guru.

Pelancaran sambutan Hari Guru bertema "Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara" itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.

Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan berkenaan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya berdasarkan tempoh perkhidmatan perlu diberi nafas baru.

"Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun," katanya.

Najib berkata, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.
Katanya, kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya.

"Pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya.

Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, Najib berkata laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

"Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya sambil menambah bahawa mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Najib berkata, guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.

"Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang membabitkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan.

"Manakala semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan," katanya.

Najib berkata, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang membabitkan sejumlah 99 jawatan.

"Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru," katanya. - BERNAMA

Berita Harian Online: 16 Mei 2011

Kantin sekolah masih jual makanan larangan


ANTARA makanan berat yang dijual di kantin ketika tinjauan mengenai pelajar yang mengalami masalah obesiti di Sekolah Menengah Tinggi, Setapak, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 15 Mei - Rata-rata pengusaha kantin sekolah masih menjual pelbagai jenis makanan termasuk makanan ringan seperti kentang goreng, keropok lekor, sosej, bebola ikan dan burger walaupun kerajaan telah mengumumkan cadangan larangan penjualan makanan tidak berkhasiat baru-baru ini.

Hasil tinjauan wartawan unit khas Utusan Malaysia di 11 sekolah sekitar Kuala Lumpur mendapati, selain makanan tersebut, pihak kantin turut menyediakan makanan berat seperti nasi lemak, nasi goreng serta nasi berlauk.

Malah, masih terdapat sekolah yang menjual minuman berkarbonat kepada pelajar.

Mereka turut menjual buah-buahan seperti tembikai, jambu dan betik namun kurang mendapat sambutan daripada pelajar.

Pengusaha kantin, Zulkifly Jusoh, (gambar) 52, berkata, ketika ini pihak kantin belum menerima sebarang senarai makanan yang perlu disediakan sebagai makanan yang berkhasiat walaupun media sudah menghebahkan mengenai perkara itu.

Ditanya mengenai menu makanan sihat, katanya, dia pernah menyediakan menu pilihan seperti roti, sup dan sayur campur menggantikan makanan yang berminyak, namun langsung tidak mendapat sambutan daripada pelajar dengan alasan tidak mengenyangkan dan tidak sedap.

"Pelajar sesi pagi memilih makanan yang berat seperti nasi berlauk atau nasi lemak kerana mereka ingin makanan yang boleh mengenyangkan hingga tamat sesi sekolah.

"Memang benar mereka banyak makan nasi, tetapi mereka juga aktif di sekolah termasuk melakukan aktiviti bersukan, jadi saya tidak setuju jika dikatakan makanan di kantin punca pelajar gemuk," katanya yang sudah 10 tahun menjadi pengusaha kantin.

Dalam tinjauan tersebut, para pengusaha kantin turut mengakui tiada pemeriksaan dilakukan oleh pihak sekolah atau Kementerian Kesihatan mengenai khasiat makanan, namun pemeriksaan lebih tertumpu kepada soal kebersihan.

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2011

Penjana transformasi pendidikan


Salah seorang urus setia Festival Hari Guru Kebangsaan 2011 memberi taklimat kepada beberapa pelajar sekolah menengah yang berkunjung ke pameran sempena festival tersebut di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.


Peranan guru dan pendidik amat diperlukan untuk menyemarakkan aspirasi negara dalam usaha melaksanakan transformasi negara ke arah melahirkan modal insan berprestasi tinggi.

Pengarah Pelajaran Sarawak, Abdillah Adam berkata, guru memainkan peranan amat penting untuk memastikan kejayaan proses transformasi itu tercapai.

Sejajar dengan tema Hari Guru tahun ini, Guru Penjana Transformasi Pendidikan, beliau berharap golongan guru bekerja dengan lebih keras dan bersama-sama membantu kerajaan dalam melaksanakan aspirasi negara kerana hubungan rapat para guru dengan pelajar sejak dari peringkat awal.

“Guru menggalas cabaran pendidikan pada masa kini melalui perubahan transformasi teknologi maklumat. Sikap dan perkembangan minda pelajar juga berubah seiring dengan peredaran masa.

“Semua ini memerlukan pergorbanan guru untuk turut sama bergerak dalam iringan perubahan global,” katanya ketika ditemui di Festival Hari Guru 2011, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Festival di Tebingan Sungai Kuching itu dianjurkan oleh Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan.

Komponen aktiviti sepanjang tempoh festival adalah pameran Hari Guru, pelbagai bentuk pertandingan, jualan dan demonstrasi produk oleh para pempamer.

Turut dianjurkan ialah permainan berasaskan pendidikan, jualan buku dan majalah yang melibatkan interaksi secara langsung antara warga pendidik, pelajar, sektor korporat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta masyarakat setempat.

Menurut Abdillah, guru bertanggungjawab mengaplikasi dasar pendidikan negara dengan berkesan di samping menjana transformasi pendidikan negara.

“Festival kali ini diharapkan dijadikan ruang untuk mengetahui catatan pembangunan perguruan di negara ini dalam menghargai perjuangan dan pengorbanan guru dari zaman sebelum, semasa dan selepas era deklarasi kemerdekaan bagi membangkitkan rasa insaf khususnya di kalangan generasi muda,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2011

BTP sedia bahan P&P pelbagai media

BAHAGIAN Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan peneraju transformasi generasi bestari melalui teknologi pendidikan.

Selaras dengan perubahan landskap pendidikan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengupaya, BTP telah menjadi penggerak utama dalam pembangu nan Dasar ICT dalam Pendidikan bagi mewujudkan anjakan transformasi untuk membina daya saing negara yang mempunyai masyarakat berpengetahuan abad ke-21.

BTP menerbitkan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam pelbagai media dan memantau pengurusan dan pembangunan pusat sumber sekolah serta program literasi maklumat.

BTP turut menyebarkan bahan pengurusan pendidikan serta P&P yang diterbitkan melalui pelbagai medium elektronik dan media cetak selain memantau dan menilai penggunaan teknologi pendidikan dalam pengajaran, pembelajaran dan pengurusan sekolah. Khidmat kepakaran dan nasihat juga ditawarkan bagi mempertingkatkan inovasi dan kreativiti teknologi pendidikan di sekolah.

Selain itu, BTP juga telah melaksanakan program-program pemantapan pembestarian sekolah dalam usaha membangun modal insan yang mampu bersaing di peringkat global, inovatif dan kreatif, bertepatan dengan peranannya sebagai peneraju teknologi pendidikan.

Di Festival Hari Guru 2011 yang berlangsung di Tebingan Sungai Kuching, Sarawak, BTP mempamerkan status penarafan sekolah menerusi Smart School Qualification Standards (SSQS), e-bahan di LMS dan video P&P dari portal EduwebTV yang diintegrasikan ke dalam P&P menerusi slot sesi P&P Bestari, program Kampus ASTRO dan pelbagai bahan multimedia serta educational games yang berkonsepkan Fun in Learning.

Pelajar dan guru boleh mendapatkan bahan-bahan tersebut menerusi spp.moe.edu.my dan eduwebtv.com.

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2011

Kementerian beku jawatan baru

2011/05/16

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) merujuk kepada laporan bertajuk ‘KKGM mohon naikkan gred 2,639 guru besar’ yang disiarkan 29 April lalu.

Sekolah Kurang Murid (SKM) adalah sekolah yang mempunyai 150 murid dan ke bawah. SKM dibahagikan kepada dua gred iaitu SKM Gred A dan SKM Gred B. Bagi SKM Gred A, jawatan guru besar adalah gred DGA34 dan SKM Gred B pula, jawatan guru besar adalah gred DGA32.

Di samping itu, kerajaan juga sudah meluluskan gred guru besar DGA38 kepada lima buah Sekolah Bestari dari SKM Gred B.

KPM sedia maklum perkara ini. Bagaimanapun, pada masa ini kerajaan memutuskan untuk membekukan pewujudan jawatan baru dalam usaha mengawal perbelanjaan kerajaan bermula 26 Mac 2010.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online: 16 Mei 2011

Transformasi guru kuasai ICT sejajar aspirasi negara

HARI ini amat istimewa buat warga pendidik. Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Sarawak diharap membawa berita gembira. Akan adakah insentif baru bagi meningkatkan profesionalisme perguruan. Bagaimana pula hala tuju dan masa depan kerjaya ini. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Adnan Hashim meluahkan pandangan dan harapan guru kepada wartawan Berita Harian, ROHANIZA IDRIS serta RASHIQAH ILMI ABD RAHIM.

APAKAH relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ dengan peranan pendidik dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar?
Tema ini mengingatkan kita pentingnya peranan guru sebagai penjana transformasi pendidikan negara yang memikul semua perancangan pendidikan dirancang kerajaan. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah melakukan transformasi seiring aspirasi negara seterusnya melaksanakan matlamat Hari Guru.

Tema ini mengingatkan kita pentingnya peranan guru sebagai penjana transformasi pendidikan negara yang memikul semua perancangan pendidikan dirancang kerajaan. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah melakukan transformasi seiring aspirasi negara seterusnya melaksanakan matlamat Hari Guru.
Bagi mencapai usaha ini, guru perlu menerapkan kaedah baru dalam pembelajaran kerana masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Justeru, sempena Hari Guru tahun ini, kami memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar mereka lebih kreatif dan inovatif dalam teknik pembelajaran di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas.

Transformasi ini perlu seiring dengan semangat 1Malaysia yang mementingkan perpaduan. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan sekali gus semangat kerjasama mereka. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Namun, bagi menggalakkan guru meningkatkan kecemerlangan pelajar, kerajaan harus menunaikan janji terhadap pendidik. Tahun lalu, kerajaan mencadangkan pemberian ganjaran kepada guru berkelulusan PhD tetapi belum dilaksanakan. Saya harap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Apabila transformasi berlaku, kerja guru bertambah kompleks. Apakah cabaran utama guru kini dalam melahirkan insan cemerlang?
Tidak dinafikan perkembangan semasa memberi kesan kepada proses pembentukan sahsiah terutama di kalangan anak muda. Saya melihat cabaran utama guru untuk melahirkan generasi seimbang rohani dan jasmani adalah perkembangan teknologi maklumat yang tidak terkawal. Kebanyakan pelajar mampu memiliki komputer sendiri bahkan pemahaman mereka terhadap aplikasi internet kadangkala melebihi pemahaman orang dewasa. Malangnya, kebanyakan bahan negatif disebarkan dalam internet. Dalam menangani masalah ini, guru harus mendidik pelajar cara menapis bahan negatif.

Isu negatif senario politik negara di media turut memberi kesan buruk kepada minda pelajar, apatah lagi akhbar sering dijadikan rujukan. Pelajar membuat rumusan terhadap isu dipaparkan sehingga menjadi bahan bualan dan jenaka. Keadaan ini menyukarkan tugas pendidik kerana tidak mudah menyingkirkan elemen negatif yang diterapkan kepada mereka tambahan pula jika isu politik.

Bagaimana NUTP melihat soal disiplin pelajar sekarang, apakah ia sudah sampai ke tahap membimbangkan?

Pelajar kini sering melakukan kejutan kepada masyarakat. Masalah sosial pelajar semakin membimbangkan kerana mereka bukan saja membuli atau ponteng, bahkan merogol, membunuh, mencederakan orang dan terbabit dadah. Isu disiplin pelajar harus diberi perhatian serius. Namun, ia bukan tugas pendidik semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti rakan terdekat anak agar pergerakan mereka dikawal. Usaha ini menuntut tanggungjawab semua pihak supaya salah laku anak dapat diperbetulkan daripada awal.

Saya juga percaya pelaksanaan hukuman rotan membantu mendisiplinkan pelajar. Hal ini tidak patut menjadi isu besar selagi pelaksanaannya berlandaskan panduan seperti pemberian surat amaran terhadap salah laku anak kepada ibu bapa. Ini penting kerana saya tidak mahu ada guru dihadapkan ke mahkamah gara-gara bertindak luar batas sedangkan pada awalnya mereka ikhlas untuk mengajar.

Dalam mengatasi masalah sosial pelajar, saya berharap semua pihak dapat memikirkan penyelesaian terbaik dan bukan menggalakkan masalah ini. Misalnya, sekolah untuk pelajar wanita terlanjur bukanlah langkah terbaik kerana ia seperti menggalakkan perbuatan itu. Bagaimana pula dengan pelajar lelaki yang melakukan kesalahan sama? Penyelesaian yang baik seharusnya adil kepada dua-dua pihak.

Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran dan pengurusan menjejas tumpuan terhadap tugas hakiki sebagai pendidik. Apakah langkah menanganinya.

Guru kini bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar, malah terpaksa menyediakan laporan tugas mereka. Kajian menunjukkan tugas dan tanggungjawab guru meningkat setiap tahun. Peningkatan ini kesan transformasi sistem pendidikan yang membabitkan penggubalan dasar dan sistem serta bertambahnya mata pelajaran. Antara pendekatan yang perlu dilaksanakan kementerian ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah.

Bagaimana isu perpindahan dan penempatan guru.

NUTP pernah menyatakan pendirian kepada kementerian bahawa masalah ini boleh memberi tekanan mental dan menjejaskan kualiti kerja guru. Amalan yang ada tidak menguntungkan guru dan kerajaan kerana lazimnya guru yang dihantar ke sesebuah sekolah adalah lulusan universiti atau institut perguruan. Kesannya, mereka kurang berpengalaman sekali gus menjejaskan sistem dan keberkesanan pembelajaran. Apabila sudah mendapat pengalaman dalam tempoh masa agak lama, mereka dipindahkan. Keadaan ini memberi kesan buruk kepada pelajar kerana sekolah luar bandar seolah-olah menjadi tempat bereksperimen.

Justeru, guru muda atau yang sudah lama berkhidmat harus ditempatkan di negeri kelahiran demi mengekalkan kualiti kerja. Kos penghantaran dan penempatan guru juga dapat dikurangkan kerana elaun berpindah guru dari Semenanjung ke Sarawak atau Sabah boleh mencecah ribuan ringgit. Masalah gangguan emosi dan prestasi guru yang tinggal berjauhan dari keluarga juga dapat diatasi. Begitu juga masalah membabitkan komunikasi, budaya dan cara hidup.

Berita Harian Online: 16 Mei 2011

NUTP syor perkenal skim khas beli buku

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/05/16

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Pelajaran memperkenal skim khas untuk guru membeli buku bagi menggalakkan budaya ilmiah dalam kalangan warga pendidik seluruh negara.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata menerusi skim itu, guru dibenarkan membuat tuntutan buku di sekolah masing-masing bagi memudah dan mempercepat urusan bayaran semula.

Beliau berkata, harga sesetengah buku rujukan terutama yang diimport agak tinggi dan skim buku guru berkenaan dapat meringankan beban mereka untuk mengikuti perkembangan ilmu.

“NUTP mahu guru sentiasa mengemas kini pengetahuan dalam bidang masing-masing atau memperluas ilmu mereka dalam bidang lain.

“Skim ini juga membolehkan guru membeli buku fiksyen seperti novel dalam bahasa Melayu atau Inggeris berdasarkan minat mereka,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adnan berkata, skim buku guru itu juga boleh meningkatkan pengetahuan guru selain merancakkan industri buku tempatan.

Beliau berkata, dengan lebih 400,000 guru di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran sekarang, jika mereka dibenarkan membuat tuntutan RM500 saja setahun, dana RM20 juta akan berlegar dalam industri buku negara ini.
“Dengan itu, proses jualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka atau penerbit lain lebih rancak sama ada di bandar atau luar bandar.

“Ini secara tidak langsung menggerakkan ekonomi luar bandar terutama di kedai kecil menerusi jualan bahan bacaan.

“Skim ini memberi keadaan menang-menang kepada guru dan juga kerajaan kerana kita dapat melahirkan guru yang sentiasa mengemaskinikan ilmu mereka” katanya yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Ramai, Manjung, Perak.

Berita Harian Online: 16 Mei 2011