|
|
KUALA LUMPUR 15 Mei - Rata-rata pengusaha kantin sekolah masih menjual pelbagai jenis makanan termasuk makanan ringan seperti kentang goreng, keropok lekor, sosej, bebola ikan dan burger walaupun kerajaan telah mengumumkan cadangan larangan penjualan makanan tidak berkhasiat baru-baru ini.
Hasil tinjauan wartawan unit khas Utusan Malaysia di 11 sekolah sekitar Kuala Lumpur mendapati, selain makanan tersebut, pihak kantin turut menyediakan makanan berat seperti nasi lemak, nasi goreng serta nasi berlauk.
Malah, masih terdapat sekolah yang menjual minuman berkarbonat kepada pelajar.
Mereka turut menjual buah-buahan seperti tembikai, jambu dan betik namun kurang mendapat sambutan daripada pelajar.
Pengusaha kantin, Zulkifly Jusoh, (gambar) 52, berkata, ketika ini pihak kantin belum menerima sebarang senarai makanan yang perlu disediakan sebagai makanan yang berkhasiat walaupun media sudah menghebahkan mengenai perkara itu.
Ditanya mengenai menu makanan sihat, katanya, dia pernah menyediakan menu pilihan seperti roti, sup dan sayur campur menggantikan makanan yang berminyak, namun langsung tidak mendapat sambutan daripada pelajar dengan alasan tidak mengenyangkan dan tidak sedap.
"Pelajar sesi pagi memilih makanan yang berat seperti nasi berlauk atau nasi lemak kerana mereka ingin makanan yang boleh mengenyangkan hingga tamat sesi sekolah.
"Memang benar mereka banyak makan nasi, tetapi mereka juga aktif di sekolah termasuk melakukan aktiviti bersukan, jadi saya tidak setuju jika dikatakan makanan di kantin punca pelajar gemuk," katanya yang sudah 10 tahun menjadi pengusaha kantin.
Dalam tinjauan tersebut, para pengusaha kantin turut mengakui tiada pemeriksaan dilakukan oleh pihak sekolah atau Kementerian Kesihatan mengenai khasiat makanan, namun pemeriksaan lebih tertumpu kepada soal kebersihan.Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan