KUALA LUMPUR: Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dijangka
dilaksanakan secara lebih berkesan pada April tahun depan bagi mengelak
ia menjadi bebanan kepada guru.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan memberi
jaminan bahawa sistem itu akan ditambah baik dan diperbaiki dengan kadar segera.
"Yang jadi masalah bukan dasar tetapi pelaksanaannya yang menjadi bebanan
kepada guru, saya ingin memberi jaminan bahawa perkara ini akan kita atasi
dengan sebaiknya," katanya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir
Perhimpunan Agung UMNO 2013, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari
ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan sudah mengarahkan pihak kementerian
supaya memperbaiki akses kepada sistem itu bagi guru-guru mengisi prestasi
murid-murid tanpa sebarang masalah.
Sistem itu adalah transformasi daripada berfokuskan peperiksaan
kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik, didakwa
membebankan guru berikutan sering tergendala menyebabkan data pelajar
terpaksa dimasukkan pada
lewat malam.
Bagi memperkasa pendidikan Islam, Muhyiddin berkata buat permulaan, modul
pendidikan Islam Ulul Albab akan diperluaskan di sebuah sekolah agama terpilih
di setiap negeri tahun depan.
"Pada masa ini ada empat sekolah agama bantuan kerajaan di Terengganu yang melaksanakan modul ini.
"Menerusi modul ini, selain dapat mempelajari mata pelajaran biasa,
ia juga dapat disasarkan untuk khatam hafazan (al-Quran) sebelum tamat
SPM dan ini sebahagian besar yang dituntut masyarakat Islam di negara
kita," katanya.
Beliau berkata program yang berasaskan prinsip quranik, ensiklopedik dan
ijtihad itu diharap dapat membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang
pencapaian akademiknya, tetapi juga cemerlang penghayatan agama Islamnya.
Selain bercadang mewujudkan kolej komuniti Islam, kolej komuniti sedia ada
juga akan diperluaskan peranannya dengan mengintegrasikan program latihan yang
ditawarkan kolej itu dengan pendidikan Islam sepanjang hayat.
"Sehingga ini, sudah wujud 85 kolej komuniti dan program-program
berkaitan pendidikan Islam akan kita masukkan ke dalam program latihan
di kolej
berkenaan.
myMetro: 7 Disember 2013
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan