Selasa, 3 Februari 2009

Bekas guru besar mahu seberang Selat Inggeris

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my


AZIZAN berenang sekeliling Tasik Putrajaya sejauh 22 kilometer sebagai persediaan untuk menyeberangi Selat Inggeris Julai depan.

Ingin cipta rekod warga Malaysia paling tua harum negara

PUTRAJAYA: Kejayaan berenang mengelilingi Tasik Putrajaya dan berbasikal di sekitar Putrajaya membabitkan jarak keseluruhan sejauh 44 kilometer selama kira-kira tujuh jam, menguatkan azam perenang veteran untuk mencipta rekod sebagai rakyat Malaysia paling tua berenang menyeberangi Selat Inggeris, Julai depan.

Azizan Ali, 62, memulakan renangan 22 kilometer selepas wisel permulaan dibunyikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainudin selaku Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh (Staroba) di Jeti Cruise Tasik Putrajaya, di sini, kira-kira jam 9.20 pagi semalam.

Beliau kemudian a mengambil masa lebih satu jam berbasikal mengelilingi Putrajaya sejauh 22 kilometer.

Azizan yang juga bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah dan ahli Staroba berkata, aktiviti itu adalah sebahagian program latihan sebelum melaksanakan misinya berenang menyeberangi Selat Inggeris bermula dari Pelabuhan Dover, England ke Pelabuhan Calais di Perancis sejauh 40 kilometer.

"Matlamat utama saya ialah mengelilingi Selat Inggeris dan untuk menunjukkan kepada orang Barat bahawa orang Melayu Islam Malaysia setanding dengan mereka.

"Justeru itu, saya mahu lakukan lebih baik daripada mereka (orang Barat) demi agama, bangsa dan negara. Mereka berenang saja, namun saya mahu buktikan bahawa warga emas seperti saya mampu melakukan lebih baik dengan memasukkan acara berkayak dan berbasikal," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

AZIZAN menyapukan losyen sebelum memulakan renangan.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, beliau menghadapi banyak kesukaran ketika berenang di Tasik Putrajaya berikutan arusnya yang deras dan sedikit berombak.

Namun, beliau berjaya mengharungi cabaran itu sekali gus warga emas sepertinya masih mampu mengharumkan nama negara pada masa depan.

Berita Harian Online: 2 Februari 2009

Kepala guru dipukul dengan batu, leher dijerut

KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki berusia 39 tahun dari sebuah sekolah rendah di Marang, dekat sini terpaksa menerima 12 jahitan dikepala akibat dibelasah oleh seorang lelaki, dalam satu kejadian pada awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner, Mohd Fauzi Abduri berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi di sebuah rumah kosong di Kampung Kelulut, Marang apabila guru terbabit menerima pelawaan daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang yang dikenali untuk bertemu di sebuah rumah tanpa menyatakan tujuannya.

Beliau berkata, tanpa mensyaki sesuatu, mangsa kemudiannya pergi ke lokasi yang ditetapkan suspek.

Mohd Fauzi berkata, bagaimanapun ketika sampai di lokasi pertemuan, mangsa diserang hendap dan suspek kemudian bertindak menjerut leher mangsa dengan seutas tali sebelum bertindak menghantuk kepala mangsa beberapa kali pada dinding rumah berkenaan.

"Tidak cukup dengan perlakuan itu, suspek terus bertindak ganas dengan memukul kepala mangsa menggunakan batu serta kayu menyebabkan mangsa yang kesakitan bertindak balas dengan melawan dan berjaya keluar dari rumah berkenaan," katanya.

Mohd Fauzi berkata, suspek kemudian bertindak meninggalkan lokasi selepas melihat mangsa yang berjaya melepaskan diri terbaring dalam keadaan cedera.

Katanya, mangsa bernasib baik kerana ada orang awam yang melihat kejadian dan kemudian memberikan bantuan serta menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Mohd Fauzi berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala serta bengkak di muka dan pipi serta calar di belakang badan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Satu laporan polis di buat di Balai Polis Marang kira-kira jam 6.20 pagi hari kejadian dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terbabit. Bagaimapun kami dimaklumkan mangsa tidak dapat melihat penyerangnya kerana suspek menyerang dari belakang ketika kejadian berlaku," katanya.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berita Harian Online: 2 Februari 2009

PPSMI: Guru dan Gapena

SAYA sering mengikuti perkembangan tentang isu yang membabitkan bahasa kebangsaan. Dan paling sensasi adalah isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) yang masih lagi diperkatakan hingga menimbulkan kontroversi apabila Gabungan Penulis Nasional atau Gapena berhajat untuk menyaman kerajaan kerana keengganan kerajaan memansuhkan PPSMI secepat mungkin.

Dan yang lebih mengejutkan apabila Gapena mengadakan tunjuk perasaan menentang PPSMI. Sebuah gabungan yang saya fikir sebuah pertubuhan pemikir telah bertindak emosional dalam menangani isu ini. Adalah lebih baik sekiranya Gapena berjumpa dengan Menteri Pelajaran dan berbincang dengan cara yang lebih 'dewasa'.

Saya menyokong apa yang disuarakan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkenaan dengan isu ini yang menurutnya kerajaan tidak boleh memansuhkan PPSMI sewenang-wenangnya.

Kajian sedang dan masih dijalankan. Saya berpendapat Gapena terlalu emosi dalam menangani masalah ini.

Perlaksanaan PPSMI masih terlalu awal untuk dihukum oleh pihak tertentu. PPSMI boleh dianggap sebagai budak tadika yang masih belum boleh membaca dengan lancar.

Memang benar, pendapat pelbagai pihak harus diambil kira terutamanya guru-guru yang terlibat secara langsung dalam isu ini.

Pada saya yang juga seorang guru dan juga pelaksana PPSMI malah bertugas di luar bandar, saya menjadi hairan mengapa semua pihak menyatakan bahawa murid-murid di luar bandar tidak boleh mengikuti program PPSMI ini.

Ramai juga yang berpendapat bahawa PPSMI menyebabkan pelajar di luar bandar jauh ketinggalan. Bahkan, Gapena sering menjadikan masalah ini sebagai masalah pokok untuk memansuhkan PPSMI.

Yang peliknya, pelajar saya tidak pernah merasa terasing dengan masalah ini. Mereka belajar dengan begitu baik. Mereka seronok belajar subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Lebih-lebih lagi apabila mereka dihidangkan dengan pelbagai sumber seperti adanya komputer riba dan perisian-perisian yang begitu menarik.

Saya terpanggil untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku terutama di kawasan pedalaman. Kerana apa yang dimaklumkan kepada orang awam tidak sama dengan apa yang berlaku. Adakah ini sekadar polemik pihak-pihak tertentu yang berkepentingan untuk menghapuskan PPSMI?

Malah anak didik saya yang mengikuti PPSMI ini telah berjaya dengan cemerlang dalam UPSR tahun lepas. Walaupun UPSR bukan kayu pengukur sebenar tetapi pandangan dan pendapat mereka yang hanya memandang dari luar pagar sekolah hanya tahu memberi komen sahaja.

Pada mulanya saya mengakui amat sukar pelajar-pelajar di luar bandar untuk mengikuti sesi P&P di dalam Bahasa Inggeris bagi kedua-dua mata pelajaran ini. Namun setelah enam tahun berjalan, pelajar-pelajar sekarang sudah kian sebati dengan penggunaan Bahasa Inggeris ini.

Gapena harus berfikiran positif dan bukan emosi. Malah ramai kalangan pelajar sekolah menengah yang ditanya sudah resah seandainya ia dimansuhkan memandangkan pertukaran yang bakal berlaku akan menambah beban untuk mereka. Jadi apa salahnya jika PPSMI ini dikekalkan. Maka pelajar-pelajar kita pun tidak terus tertekan dengan sikap kita. Saya percaya pelajar-pelajar di Malaysia sekarang masih tertanya-tanya apakah status PPSMI pada masa ini.

Saranan saya kepada Gapena juga supaya tidak hanya memandang PPSMI sebaliknya cuba mencari masalah lain yang lebih memerlukan pandangan dan tindakan seperti isu bahasa rojak.

PPSMI menggunakan bahasa yang lengkap dan tidak pernah membunuh mana-mana bahasa. Sedangkan zaman ini, kehadiran teknologi seperti telefon bimbit telah menjahanamkan bahasa kebangsaan. Malah bahasa di papan tanda seluruh negara begitu banyak yang mencacatkan bahasa kita. Saya kira Gapena perlu bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan bahasa.

PPSMI tidak wajar dimansuhkan.

GURU PEDALAMAN

Sarawak

Utusan Malaysia Online: 2 februari 2009

PPSMI: Gunakan saluran sah

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) dinasihatkan menggunakan saluran yang sah untuk menyuarakan pandangan mereka dan bukannya dengan mengadakan perhimpunan bantahan.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, melalui saluran yang diwujudkan kerajaan, keputusan terbaik mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dapat dicapai secara bersama.

"Ini berhubung kait dengan masa depan anak-anak kita, tak kan nak diputuskan dengan protes dan demonstrasi di tepi jalan.

"Malulah kita kepada orang ramai dan negara luar yang juga sedang merintis perkara (penggunaan bahasa Inggeris) yang sama," katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas rancangan GMP yang dianggotai pejuang bahasa untuk mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara pada 7 Mac ini dan menyerahkan memorandum memansuhkan PPSMI.

Pengerusi GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, seramai 100,000 orang dijangka menyertai perhimpunan tersebut.

Katanya, dengan cara itu, GMP percaya suara rakyat yang membantah PPSMI dapat disampaikan ke peringkat atasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin turut membidas GMP yang dilihat tidak sabar mendesak kerajaan membuat keputusan segera mengenai dasar berkenaan.

Beliau memberitahu, kerajaan telah sedia maklum dengan pendirian mereka dan sedang menelitinya secara serius.

"Mereka (GMP) juga telah diberi peluang untuk terlibat dalam siri rundingan meja bulat anjuran kementerian.

"Saya tidak tahu mengapa mereka tidak sabar, kalau kita buat keputusan sekarang sekalipun, ia tidak boleh dilaksanakan sehingga awal tahun depan," tegasnya.

Utusan Malaysia Online: 2 Februari 2009

Isnin, 2 Februari 2009

Sabah kurang guru Inggeris

KOTA KINABALU 1 Feb. – Kekurangan guru bahasa Inggeris merupakan faktor utama yang menyebabkan kelemahan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di negeri ini.

Exco Pelajaran Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, selain itu, ketiadaan prasarana dan kemudahan sekolah yang sempurna juga menyukarkan mewujudkan suasana pembelajaran dalam bahasa Inggeris yang berkesan di negeri ini.

“Bagi Sabah penyumbang besar kepada kelemahan ini ialah ketiadaan guru-guru bahasa Inggeris yang cukup di luar bandar.

“Guru-guru yang dilatih khusus untuk mengajar bahasa Inggeris juga tidak mencukupi malah guru-guru mata pelajaran lain terpaksa mengambilalih mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia Online: 2 Februari 2009

Mansuh PPSMI segera selamatkan pelajar luar bandar


HASSAN Ahmad (kanan) bersama penyokong GMP termasuk Sasterawan Negara Samad Said (dua dari kiri) berkumpul selepas dihalang oleh polis mengedar risalah Perhimpunan Raksasa 100 Ribu Mansuh PPSMI di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 31 Jan. - Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) menggesa kerajaan membatalkan dasar itu bagi menyelamatkan pelajar di luar bandar yang masih tidak dapat menguasai sepenuhnya bahasa tersebut.

Pengerusi GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad mendakwa, pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (PPSMI) banyak menimbulkan masalah daripada kebaikan.

"Dasar ini tidak munasabah malah menyebabkan beratus ribu murid di luar bandar gagal menguasai subjek tersebut.

''Bukan sahaja kepada pelajar Melayu bahkan kaum lain juga terasa tempiasnya. Mahu suruh pelajar belajar dalam bahasa yang 90 peratus daripada mereka tidak faham. Bagaimana mahu berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran GMP di sini hari ini.

Hassan menambah, PPSMI adalah satu dasar dan keputusan yang salah dilakukan oleh kerajaan.

"Lebih 30 tahun kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan, tiada apa masalah yang timbul.

''Malah pelajar kita dari pelbagai kaum belajar dalam bahasa Melayu juga boleh berjaya menjadi ahli sains, pakar perubatan dan macam-macam lagi," jelasnya.

Ditanya sama ada gerakan tersebut mempunyai motif politik untuk menolak PPSMI, Hassan menafikannya.

"Gerakan ini ditubuhkan untuk meminta kerajaan mengembalikan subjek tersebut dalam bahasa Melayu.

''Semua yang terlibat merupakan pejuang bahasa, ia tiada kena mengena dengan politik, perkauman dan sebagainya.

''Bagaimanapun UMNO Johor telah menunjukkan minat terhadap gerakan ini," jelasnya.

Sementara itu, Hassan memberitahu, GMP akan mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara pada 7 Mac depan bagi menyerahkan memorandum memansuhkan PPSMI.

"Kita jangka lebih 100,000 orang akan menyertai perhimpunan tersebut,'' katanya.

Menurut beliau, GMP mahu suara rakyat mengenai bantahan PPSMI dapat disampaikan ke peringkat atasan.

Utusan Malaysia Online: 1 Februari 2009

Segera arahkan bayar yuran sekolah

JERANTUT 31 Jan. - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) meminta Kementerian Pelajaran menyegerakan arahan pembayaran yuran bagi memudahkan pihak sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti.

Presiden KGGMMB, Mohd. Sabri Mohd. Arsad berkata, kelewatan mengutip yuran daripada pelajar membantutkan pelaksanaan banyak aktiviti khususnya pada awal sesi persekolahan.

Beliau berkata, sekolah memerlukan yuran ini untuk menampung segala perbelanjaan bagi menjalankan pelbagai kegiatan kokurikulum dan pengurusan lain.

"Yuran itu juga membabitkan pembelian kertas pendua atau fotostat untuk kegunaan guru menyediakan lembaran kerja bagi melancarkan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, pembekal peralatan berkenaan tidak mampu membekalkan pesanan peralatan tersebut berikutan kelewatan bayaran daripada pihak sekolah.

"Kelewatan pembayaran menyebabkan kesukaran pembekal menerima permintaan selain sikap pemborong yang menaikkan harga barangan berkenaan," katanya.

Mohd. Sabri menjelaskan, aktiviti PIBG juga terbantut berikutan ketiadaan dana untuk mengadakan kelas tambahan, sukan tahunan dan kegiatan lain untuk membantu pelajar dan pihak sekolah.

"Bagaimana hendak melaksanakan aktiviti sedangkan kutipan yuran sekolah akan dibuat selepas Mac dan yuran PIBG pada Julai ini," katanya.

Beliau menambah, dengan mempercepatkan arahan kutipan yuran, ia dapat menyegerakan aktiviti kokurikulum dan kelas tambahan yang dirancang berasaskan takwim persekolahan pada awal tahun.

Utusan Malaysia Online: 1 Februari 2009