SAYA sering mengikuti perkembangan tentang isu yang membabitkan bahasa kebangsaan. Dan paling sensasi adalah isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) yang masih lagi diperkatakan hingga menimbulkan kontroversi apabila Gabungan Penulis Nasional atau Gapena berhajat untuk menyaman kerajaan kerana keengganan kerajaan memansuhkan PPSMI secepat mungkin.
Dan yang lebih mengejutkan apabila Gapena mengadakan tunjuk perasaan menentang PPSMI. Sebuah gabungan yang saya fikir sebuah pertubuhan pemikir telah bertindak emosional dalam menangani isu ini. Adalah lebih baik sekiranya Gapena berjumpa dengan Menteri Pelajaran dan berbincang dengan cara yang lebih 'dewasa'.
Saya menyokong apa yang disuarakan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkenaan dengan isu ini yang menurutnya kerajaan tidak boleh memansuhkan PPSMI sewenang-wenangnya.
Kajian sedang dan masih dijalankan. Saya berpendapat Gapena terlalu emosi dalam menangani masalah ini.
Perlaksanaan PPSMI masih terlalu awal untuk dihukum oleh pihak tertentu. PPSMI boleh dianggap sebagai budak tadika yang masih belum boleh membaca dengan lancar.
Memang benar, pendapat pelbagai pihak harus diambil kira terutamanya guru-guru yang terlibat secara langsung dalam isu ini.
Pada saya yang juga seorang guru dan juga pelaksana PPSMI malah bertugas di luar bandar, saya menjadi hairan mengapa semua pihak menyatakan bahawa murid-murid di luar bandar tidak boleh mengikuti program PPSMI ini.
Ramai juga yang berpendapat bahawa PPSMI menyebabkan pelajar di luar bandar jauh ketinggalan. Bahkan, Gapena sering menjadikan masalah ini sebagai masalah pokok untuk memansuhkan PPSMI.
Yang peliknya, pelajar saya tidak pernah merasa terasing dengan masalah ini. Mereka belajar dengan begitu baik. Mereka seronok belajar subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Lebih-lebih lagi apabila mereka dihidangkan dengan pelbagai sumber seperti adanya komputer riba dan perisian-perisian yang begitu menarik.
Saya terpanggil untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku terutama di kawasan pedalaman. Kerana apa yang dimaklumkan kepada orang awam tidak sama dengan apa yang berlaku. Adakah ini sekadar polemik pihak-pihak tertentu yang berkepentingan untuk menghapuskan PPSMI?
Malah anak didik saya yang mengikuti PPSMI ini telah berjaya dengan cemerlang dalam UPSR tahun lepas. Walaupun UPSR bukan kayu pengukur sebenar tetapi pandangan dan pendapat mereka yang hanya memandang dari luar pagar sekolah hanya tahu memberi komen sahaja.
Pada mulanya saya mengakui amat sukar pelajar-pelajar di luar bandar untuk mengikuti sesi P&P di dalam Bahasa Inggeris bagi kedua-dua mata pelajaran ini. Namun setelah enam tahun berjalan, pelajar-pelajar sekarang sudah kian sebati dengan penggunaan Bahasa Inggeris ini.
Gapena harus berfikiran positif dan bukan emosi. Malah ramai kalangan pelajar sekolah menengah yang ditanya sudah resah seandainya ia dimansuhkan memandangkan pertukaran yang bakal berlaku akan menambah beban untuk mereka. Jadi apa salahnya jika PPSMI ini dikekalkan. Maka pelajar-pelajar kita pun tidak terus tertekan dengan sikap kita. Saya percaya pelajar-pelajar di Malaysia sekarang masih tertanya-tanya apakah status PPSMI pada masa ini.
Saranan saya kepada Gapena juga supaya tidak hanya memandang PPSMI sebaliknya cuba mencari masalah lain yang lebih memerlukan pandangan dan tindakan seperti isu bahasa rojak.
PPSMI menggunakan bahasa yang lengkap dan tidak pernah membunuh mana-mana bahasa. Sedangkan zaman ini, kehadiran teknologi seperti telefon bimbit telah menjahanamkan bahasa kebangsaan. Malah bahasa di papan tanda seluruh negara begitu banyak yang mencacatkan bahasa kita. Saya kira Gapena perlu bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan bahasa.
PPSMI tidak wajar dimansuhkan.
GURU PEDALAMAN
Sarawak
Utusan Malaysia Online: 2 februari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan