Khamis, 5 April 2012

Perempuan samseng

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

CHANGLUN: Gara-gara cemburukan seorang junior lebih rapat dengan seorang pelajar lelaki tingkatan empat, pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah sekolah di sini membelasah pelajar perempuan tingkatan dua dalam tandas sekolah hingga pengsan.

Kejadian berlaku jam 1.45 tengah hari, kelmarin apabila Noor Azwa Sabri, 14, dipanggil pelajar itu yang dipercayai mengesyakinya mempunyai hubungan dengan pelajar lelaki itu.


Menurut Noor Azwa, dia serta rakannya menunggu dijemput ahli keluarga selepas tamat sesi persekolagan untuk pulang ke rumah di Kampung Batu 13, Jalan Sintok, tiba-tiba didatangi beberapa pelajar perempuan, termasuk pelajar senior itu.

“Saya dipanggil masuk ke dalam tandas, dia terus melepaskan geram dengan memukul badan dengan fail berkali-kali dan mengetuk kepala dengan tangan hingga pandangan kelam dan kabur.


“Saya tidak melawan kerana bimbang dia akan memukul lebih teruk kerana dia banyak pengaruh di sekolah, selepas itu saya tidak ingat kerana pengsan dan apabila tersedar sudah berada di bilik guru,” katanya. Menurutnya, dia tiada hubungan dengan pelajar lelaki berkenaan yang hanya dianggap kawan biasa serta hanya bertegur sapa di sekolah. Beliau berkata, dia tidak tahu niat sebenar pelajar senior itu yang bakal duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini kerana tidak pernah buat salah atau menyakiti hatinya.


“Sejak saya di tingkatan satu, dia ada memberi amaran supaya tidak mendekati pelajar lelaki itu, tetapi saya hanya mendiamkan diri tidak memberitahu sesiapa termasuk keluarga.

“Kali ini, saya terpaksa membuat laporan kerana bimbang kejadian lebih buruk lagi,” katanya.


Menurutnya, itu bukan kali pertama dia dikasari pelajar terbabit sehingga takut untuk ke sekolah.

Dia mendakwa pelajar senior itu pernah menyerang beberapa lagi pelajar perempuan lain tetapi mereka mendiamkan diri kerana bimbang diketahui pihak sekolah atau keluarga.


Difahamkan, pergaduhan itu hanya berlaku antara dua pelajar terbabit kerana pelajar senior itu tidak mahu rakan mangsa dan rakannya sendiri mencampuri urusannya dengan meminta mereka menunggu di luar tandas.


Selepas pelajar itu beredar, rakan mangsa, Norashikin Amran, 14, masuk untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati mangsa pengsan lalu berlari ke bilik guru untuk memaklumkan kejadian.


Norashikin berkata, dia cuba masuk ke dalam tandas tetapi pelajar senior berkenaan menghalangnya berbuat demikian.


“Saya takut ke sekolah kerana bimbang dia (pelajar senior) tidak berpuas hati dan akan mengganggu kami,” katanya.


Sementara itu, ibu mangsa, Noor Shahida Abu Bakar, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu pagi semalam, selepas anak keempat daripada tujuh beradik enggan ke sekolah walaupun abang sulungnya yang berusia 18 tahun, menyuruhnya bersiap. Sejak bersekolah di situ, katanya, Noor Azwa seperti takut hendak ke sekolah dan sebelum ini pernah mengadu dibuli pelajar senior tetapi tidak ambil kisah kerana menganggap mungkin hanya salah faham.


“Tapi apabila pelajar senior itu mengasari Noor Azwa, saya tak boleh berdiam diri lalu membuat laporan polis. Saya harap pihak berkuasa, termasuk pengurusan sekolah mengambil tindakan terhadap pelajar berkenaan.


“Saya juga bercadang mengambil tindakan undang-undang kerana anak saya kini tertekan dan trauma,” katanya yang turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Datuk Zaini Japar, semalam.


Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi enggan mengulas sehingga laporan diterimanya.


Manakala jurucakap polis mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

myMetro: 5 Mac 2012

Muhyiddin pengerusikan mesyuarat penambahbaikan sistem pendidikan


MUHYIDDIN Yassin ketika hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Exco Pelajaran Negeri 2012 di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 3 April - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Exco Pelajaran Negeri bagi membincangkan dasar-dasar penambahbaikan dan sistem pendidikan negara.

Mesyuarat Menteri Pelajaran bersama Exco dan penyelaras pelajaran negeri itu bertujuan meningkatkan rangkaian kerjasama yang lebih sistematik antara kedua-dua pihak.

Antara yang dibincangkan di dalam pertemuan tertutup itu adalah dasar-dasar baru dan usaha penambahbaikan kepada dasar sedia ada, inisiatif kementerian serta prosedur dan garis panduan pelaksanaan dasar pendidikan negara.

Mesyuarat yang dijadual diadakan dua tahun sekali itu juga bertujuan memastikan pelaksanaan program pendidikan di peringkat akar umbi lebih teratur dan berkesan.

Melalui mesyuarat itu, Kementerian Pelajaran dikatakan akan memberi penjelasan dan penerangan kepada Exco pelajaran negeri mengenai perancangan dan dasar-dasar baru.

Atas platform yang sama, Exco pelajaran negeri dijemput memberi pandangan terhadap usaha penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Utusan Malaysia Online: 4 April 2012

Rabu, 4 April 2012

Pertimbang imbuhan pesara guru sebelum merdeka

TAHNIAH kepada kerajaan kerana telah memberi imbuhan kepada pesara Kemas sebanyak RM3,000. Mereka yang berkhidmat lima tahun pun dapat imbuhan tersebut. Imbuhan ini diberi bagi menghargai jasa mereka kepada rakyat.

Pesara guru juga saya rasa elok dipertimbangkan untuk diberi imbuhan. Bukan semua pesara guru wajar diberikan imbuhan. Barangkali hanya kepada mereka yang telah berkhidmat sebelum merdeka atau yang pernah berkhidmat di kawasan pedalaman sahaja boleh dipertimbangkan untuk diberikan imbuhan.

Sebagai contoh, saya adalah guru yang dilantik sebelum merdeka dan berkhidmat lebih daripada 41 tahun.

Saya pernah bertugas di sekolah yang jauh di pedalaman. Pergi ke sekolah ikut jalan balak menaiki kenderaan Land Rover. Kalau hari hujan kereta tak boleh jalan dan terpaksa berjalan kaki ke sekolah lebih kurang 20 kilometer.

Di sekolah tidak ada rumah guru. Kami terpaksa tinggal dalam stor berdinding serta beratap zink. Cuba bayangkan kalau hari hujan atau panas terik bagaimana suasana di stor tersebut?

Guru seperti saya menjadi mata dan telinga kerajaan di kampung yang jauh di pedalaman. Kamilah tempat rujukan orang kampung mengadu hal. Kalau dibandingkan dengan khidmat pegawai Kemas, khidmat kami lebih banyak dan mencabar kerana pada masa itu tidak ada kemudahan seperti yang ada pada pegawai Kemas hari ini.

Atas dasar ini, saya berpendapat kerajaan wajar membuat kajian dan mempertimbangkan apakah imbuhan yang patut diberi kepada pesara guru seperti saya. Jumlah pesara guru yang berkhidmat sebelum merdeka ini saya rasa tidak berapa ramai.

Utusan Malaysia Online: 4 April 2012

Isnin, 2 April 2012

Guru dipenjara 16 bulan rangsang dua murid lelaki

02/04/2012 6:08pm

PUTRAJAYA 2 April – Seorang guru Bahasa Inggeris terpaksa meringkuk dalam penjara selama 16 bulan atas dua kesalahan merangsang dua murid lelaki Tahun Enam untuk melakukan kelucahan melampau, selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk K.N. Segara yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Linton Albert sebulat suara menolak rayuan Muhammad Nizar Shuib, 31, terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap kesalahan.

Ketika kejadian lapan tahun lalu, perayu merupakan guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Kedah dan dia turut mengajar tuisyen mata pelajaran itu di rumahnya selepas waktu sekolah. Kedua-dua mangsa merupakan muridnya.

Keterangan kes menyatakan, guru berkenaan merangsang mangsa dengan memainkan filem lucah selain memegang kemaluan kedua-duanya.

Kuorum tersebut dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 9 Mei 2010 yang menjatuhkan hukuman tersebut dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya pada 20 Julai tahun lalu.

Muhammad Nizar disabitkan melakukan perbuatan itu terhadap dua murid berkenaan pada waktu yang berlainan di antara Mei 2003 dan April 2004 di rumahnya di Kubang Pasu.

Perayu diwakili oleh peguam G. Ravishankar manakala Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi mewakili pihak pendakwaan. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online: 2 April 2012

Kelas pemulihan perkasa BM, BI


Sebahagian daripada pelajar SK Tiong yang mengikuti kelas bahasa anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) Kampus Kesihatan USM di sekolah mereka di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


agenda pendidikan negara terutama di peringkat sekolah sememangnya memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan anjakan ke arah pendidikan bertaraf dunia terus berjalan dengan sempurna.

Dalam memenuhi tuntutan transformasi ini, perhatian kepada pelajar daripada kelompok yang agak lemah juga tidak boleh diabaikan dan harus diberi tumpuan khusus bagi memastikan mereka tidak ketinggalan berbanding rakan lain.

Sejak Julai tahun lalu, seramai 30 murid tahun tiga dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu, Kelantan dipilih menyertai kelas bahasa yang dikendalikan tenaga pengajar dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Kelas mingguan Bahasa Melayu dan Inggeris itu khusus buat murid kelas pemulihan iaitu yang mengalami masalah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira atau 3M dan ia merupakan program khidmat masyarakat USM di sekolah itu yang akan berakhir hujung tahun ini.

Menurut Guru Besar SK Tiong, Ismail Mat Akib, beliau amat menghargai bantuan pihak USM dan mencadangkan agar tempoh program dipanjang dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain.

"Sekolah pinggir bandar seperti SK Tiong memerlukan sokongan dan kepakaran universiti dalam meningkatkan keupayaan 3M pelajar.

"Apabila ada pihak yang dapat menumpukan perhatian kepada mereka tanpa terlalu terikat dengan sukatan pelajaran, ia sudah tentu memberi manfaat yang lebih besar," katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Sementara itu, guru penyelaras program peringkat sekolah, Noor Hayati Abdul Ghazi pula berkata, pihaknya mendapati ada sedikit peningkatan yang ditunjukkan para pelajar selepas mereka mengikuti kelas berkenaan.

Beliau yang bertanggungjawab memilih kumpulan murid terlibat berkata, 15 orang murid menyertai kelas Bahasa Melayu manakala selebihnya kelas Bahasa Inggeris yang dijalankan setiap Khamis dari pukul 1.30 petang hingga 3 petang.

"Mungkin konsep santai yang lebih banyak menggunakan permainan bahasa dan minda serta nyanyian telah membuat pelajar lebih berminat belajar bahasa, pihak sekolah berharap agar objektif meningkatkan kemahiran 3M murid-murid kami tercapai," katanya.

Ketua Projek Khidmat Masyarakat PPBLT, Helmey Zaneee Mohd. Zain, 27, pula memberitahu, tenaga pengajar seramai 14 orang dari Kampus Kesihatan USM bergilir-gilir datang ke sekolah itu setiap minggu untuk mengajar secara sukarela.

Katanya, selain bahan mengajar dan buku latihan, pelajar juga dibekalkan pihak USM dengan sedikit makanan sebagai alas perut memandangkan kelas diadakan sebaik sahaja tamat waktu persekolahan.

Salah seorang murid yang ditemui, Nur Zulfiqha Aina Zuki, 10, berkata, dia kini lebih yakin untuk menyebut perkataan dalam Bahasa Inggeris dan tidak berasa malu jika melakukan kesalahan kerana ia sebahagian daripada kaedah belajar.

Seorang lagi murid, Nor Irwan Shah, 10, pula berkata, dia tidak kisah terpaksa berada lebih lama di sekolah kerana berasa seronok belajar Bahasa Melayu dengan guru dari 'universiti.'

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Fauzi Ismail dalam satu majlis ringkas di sekolah itu pada September tahun lalu.

Utusan Malaysia Online: 2 April 2012

GAPENA syor sastera subjek wajib

2012/04/02

AYER KEROH: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) mencadangkan sastera diajar sebagai mata pelajaran wajib bermula peringkat prasekolah sehingga institusi pengajian tinggi.

Ketua Satunya, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, ia menjadikan sastera yang kini diajar sebagai Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) dan elektif, sebagai subjek wajib seperti Bahasa Melayu. “Tanpa pengajaran sastera, generasi muda tidak diterapkan dengan nilai murni sejak kecil, sebaliknya akan terpengaruh dengan nilai materialistik.

“Nilai murni seperti sopan santun dan berbudi bahasa banyak dalam karya sastera termasuk sastera lama seperti Sejarah Melayu yang boleh dipelajari oleh rakyat pelbagai bangsa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Hari Sastera Nasional (HSN) Ke-15 di Seri Negeri di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad dan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah.

Abdul Latiff berkata, saranan yang juga tercatat dalam Resolusi HSN Ke-15 yang mengandungi 14 perkara itu, bakal dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ini adalah untuk menjadikan negara ini sebagai model kepada negara lain untuk mengembangkan sastera dalam bahasa Melayu.
“Ia juga memerlukan kerjasama dan perkongsian bijak dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta untuk memantap dan membantu negara dalam memperkukuh sastera dan bahasa Melayu,” katanya.

HSN Ke-15 anjuran DBP dan GAPENA, bertemakan Melaka Sebagai Pusat Kesusasteraan Melayu dalam Peradaban Serantau dihadiri kira-kira 350 peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan Selatan Thailand. Acara itu membabitkan pembentangan ucaptama dan kertas kerja, dialog, baca puisi dan kenduri sastera.

Berita Harian Online: 2 April 2012

e-mel anda: Pensyarah kokurikulum tiada pendidikan sukan

SAYA pensyarah Kolej Matrikulasi di selatan tanah air yang bertugas sejak ia ditubuhkan. Untuk pengetahuan semua, syarat kemasukan menjadi pensyarah kokurikulum di Kolej Matrikulasi mesti berkelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan atau Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).

Sesuatu yang menghairankan saya, bagaimana terdapat pensyarah baru bukan opsyen Sains Sukan atau PJK boleh di tempatkan di Unit Kokurikulum Kolej Matrikulasi?

Malah, terdapat juga pensyarah baru berkenaan tidak tahu langsung hal berkaitan sukan.

Saya pelik bagaimana pensyarah baru mahu mengajar sedangkan mereka tidak tahu langsung hal sukan.


Saya berpeluang berbual dengan mereka, macam mana berminat memasuki matrikulasi?


Alangkah terkejut saya apabila diberitahu mereka masuk ke Kolej Matrikulasi disebabkan pelawaan orang tertentu di Bahagian Matrikulasi di Kementerian Pelajaran Malaysia hanya untuk memenuhkan kuota perjawatan DG 48 yang terdapat di kolej matrikulasi.

Persoalannya sekarang, kenapa perkara ini berlaku? Saya harap pihak berkenaan menjelaskan terutama pihak Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran berkaitan hal ini.


PENCINTA KMNS

myMetro: 2 April 2012