Rabu, 4 April 2012

Pertimbang imbuhan pesara guru sebelum merdeka

TAHNIAH kepada kerajaan kerana telah memberi imbuhan kepada pesara Kemas sebanyak RM3,000. Mereka yang berkhidmat lima tahun pun dapat imbuhan tersebut. Imbuhan ini diberi bagi menghargai jasa mereka kepada rakyat.

Pesara guru juga saya rasa elok dipertimbangkan untuk diberi imbuhan. Bukan semua pesara guru wajar diberikan imbuhan. Barangkali hanya kepada mereka yang telah berkhidmat sebelum merdeka atau yang pernah berkhidmat di kawasan pedalaman sahaja boleh dipertimbangkan untuk diberikan imbuhan.

Sebagai contoh, saya adalah guru yang dilantik sebelum merdeka dan berkhidmat lebih daripada 41 tahun.

Saya pernah bertugas di sekolah yang jauh di pedalaman. Pergi ke sekolah ikut jalan balak menaiki kenderaan Land Rover. Kalau hari hujan kereta tak boleh jalan dan terpaksa berjalan kaki ke sekolah lebih kurang 20 kilometer.

Di sekolah tidak ada rumah guru. Kami terpaksa tinggal dalam stor berdinding serta beratap zink. Cuba bayangkan kalau hari hujan atau panas terik bagaimana suasana di stor tersebut?

Guru seperti saya menjadi mata dan telinga kerajaan di kampung yang jauh di pedalaman. Kamilah tempat rujukan orang kampung mengadu hal. Kalau dibandingkan dengan khidmat pegawai Kemas, khidmat kami lebih banyak dan mencabar kerana pada masa itu tidak ada kemudahan seperti yang ada pada pegawai Kemas hari ini.

Atas dasar ini, saya berpendapat kerajaan wajar membuat kajian dan mempertimbangkan apakah imbuhan yang patut diberi kepada pesara guru seperti saya. Jumlah pesara guru yang berkhidmat sebelum merdeka ini saya rasa tidak berapa ramai.

Utusan Malaysia Online: 4 April 2012

Tiada ulasan: