2012/04/02
AYER KEROH: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) mencadangkan sastera diajar sebagai mata pelajaran wajib bermula peringkat prasekolah sehingga institusi pengajian tinggi.Ketua Satunya, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, ia menjadikan sastera yang kini diajar sebagai Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) dan elektif, sebagai subjek wajib seperti Bahasa Melayu. “Tanpa pengajaran sastera, generasi muda tidak diterapkan dengan nilai murni sejak kecil, sebaliknya akan terpengaruh dengan nilai materialistik.
“Nilai murni seperti sopan santun dan berbudi bahasa banyak dalam karya sastera termasuk sastera lama seperti Sejarah Melayu yang boleh dipelajari oleh rakyat pelbagai bangsa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Hari Sastera Nasional (HSN) Ke-15 di Seri Negeri di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad dan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah.
Abdul Latiff berkata, saranan yang juga tercatat dalam Resolusi HSN Ke-15 yang mengandungi 14 perkara itu, bakal dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Ini adalah untuk menjadikan negara ini sebagai model kepada negara lain untuk mengembangkan sastera dalam bahasa Melayu.
“Ia juga memerlukan kerjasama dan perkongsian bijak dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta untuk memantap dan membantu negara dalam memperkukuh sastera dan bahasa Melayu,” katanya.
HSN Ke-15 anjuran DBP dan GAPENA, bertemakan Melaka Sebagai Pusat Kesusasteraan Melayu dalam Peradaban Serantau dihadiri kira-kira 350 peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan Selatan Thailand. Acara itu membabitkan pembentangan ucaptama dan kertas kerja, dialog, baca puisi dan kenduri sastera.
Berita Harian Online: 2 April 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan