Isnin, 26 Julai 2010

Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem.

Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.

Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka - para guru sendiri.

Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.

Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK.

Namakan apa sahaja - evolusi, revolusi, penambahbaikan - tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti.

Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.

Secara asasnya, FPK - daripada dahulu sehingga sekarang - ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi.

Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.

Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka - bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya.

Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik - sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.

Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi.

Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan - Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.

Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan.

Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan.

Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR - juga peperiksaan awam lain - telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.

Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar - menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya.

Utusan Malaysia Online: 26 Julai 2010

KPLI tak terima calon hamil

2010/07/26

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk aduan Masrina Mohd Yunos pada 29 Jun lalu bertajuk Calon KPLI hamil terkilan rayuan tak dilayan.

Merujuk Surat Tawaran dan Buku Panduan Tawaran Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR), tawaran mengikuti kursus ini tidak sah bagi calon hamil atau baru melahirkan anak dan belum melepasi 60 hari bersalin. Ia membabitkan calon ditimpa nahas atau sakit yang memerlukan rawatan berpanjangan.

Penangguhan pendaftaran kursus tidak dibenarkan dalam kes seperti itu. Calon boleh memohon mengikuti kursus pada tahun berikutnya, mesti memenuhi syarat kemasukan tahun semasa serta mematuhi prosedur permohonan.
Permohonan calon untuk dipanggil semula tanpa syarat kemasukan seterusnya tidak dapat dipertimbangkan kerana calon perlu melepasi prosedur pemilihan seperti ujian kelayakan dan temu duga setiap kali permohonan dibuat.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 26 Julai 2010

Tiada elaun minta pindah

2010/07/26

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk aduan dalam ruangan ini pada 8 Julai lalu bertajuk Syarat caj kargo pindah tak adil.

Isu dibangkitkan bagi pertukaran Jun lalu, guru berpindah ke Semenanjung dikehendaki menanggung kos perpindahan walaupun memenuhi syarat. Perkara ini menggusarkan pengadu yang mahu memohon pertukaran pada 2011.

Berdasarkan Taklimat Anggaran Belanjawan Malaysia oleh Bahagian Kewangan Kementerian Pelajaran mengenai Cadangan Penjimatan 2010 antara kandungannya ialah tiada peruntukan bagi pegawai atau kakitangan yang menuntut elaun pertukaran atas permohonan sendiri untuk 2010. Perkara ini boleh dirujuk kepada Bahagian Kewangan Kementerian Pelajaran.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran


Berita Harian Online: 26 Julai 2010

Sabtu, 24 Julai 2010

1,000 warga Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1 SKOT 1 raikan guru bersara


Adam Mat Deris diarak menaiki beca pada majlis persaraanya di Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1, Tendong, Pasir Mas, semalam.


PASIR MAS 23 Julai – Hampir 1,000 warga Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1 (SKOT 1), Tendong di sini berhimpun bagi meraikan persaraan Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah berkenaan, Adam Mat Deris, 58, dalam satu majlis di sini.

Cikgu Adam bersara wajib daripada bidang pendidikan yang sangat dicintainya itu selepas menabur bakti mendidik anak bangsa selama 36 tahun.

Sebagai tanda penghargaan ke atas khidmat bakti yang dicurahkan, majlis sempena persaraan beliau diadakan dengan meriah dan unik dengan Adam diarak pulang menaiki beca sambil diiringi muzik tradisional Kumpulan Reba Ubi Kampung Hutan Pasir.

Ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis itu, beliau terharu dengan sambutan yang diberikan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah berkenaan kerana ia diadakan di luar pengetahuan dan merupakan kejutan baginya.

Menurut Adam, penglibatannya selama ini dalam bidang pendidikan memberikan pengalaman cukup menarik dan sukar dilupakan.

“Selama lima tahun bertugas di SKOT 1, saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua guru dan kakitangan sekolah sehingga segala aktiviti sekolah dapat dijalankan dengan lancar.

“Kerjasama erat juga membolehkan segala perancangan dijalankan bagi memajukan sekolah sebagai gedung melahirkan lebih ramai generasi muda yang berkualiti,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Guru Besar SKOT 1, Harun Kadir dan Penyelia Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas, Nudin Che Cob.

Anak kelahiran Kampung Kubang Pak Amin Pasir Mas itu berkata, pengalaman sepanjang menjadi pendidik akan terus segar dalam ingatannya.

Ini kerana, penglibatannya dalam bidang tersebut turut membolehkannya bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris dan Jerman, selain mempunyai tahap penguasaan sederhana dalam bahasa Mandarin dan Tamil.

Mengimbau kenangan silam, Adam yang sangat meminati bidang pendidikan berkata, beliau mula terlibat dalam profesion perguruan ketika menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Kulit, Kuala Lipis Pahang pada 1974.

Tambahnya, selepas tamat kursus perguruan di bawah Maktab Perguruan Teruntum, Pahang beliau telah berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Benta juga di Pahang.

“Pada 1 Januari 1985, saya bertukar ke negeri Kelantan dan mula bertugas di SK Tok Sangkut, Pasir Mas sebagai Guru Penolong selama 22 tahun.

“Selepas itu, saya ditukarkan ke sekolah SKOT 1 dan memegang jawatan Penolong Kanan Kokurikulum pada 15 Mei 2005 sehingga bersara,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 24 Julai 2010

Guru belum disahkan jawatan selepas tujuh tahun bertugas

2010/07/24

KERJAYA sebagai guru bimbingan sekolah rendah memang mencabar. Selain daripada diamanahkan menjalankan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, guru bimbingan juga mengajar kelas peperiksaan yang membabitkan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Matematik.

Selain itu, guru bimbingan juga terbabit sebagai guru sukan, guru kelab dan persatuan dan juga sebagai guru unit beruniform. Tugas dan jawatan sama seperti guru lain.

Maknanya, guru bimbingan dan kaunseling sekolah rendah menanggung tugas lebih berbanding guru lain.
Tetapi tiada masalah, kerja tetap dijalankan dengan penuh amanah dan dedikasi. Walaupun begitu, sehingga kini lantikan sebagai guru bimbingan masih belum diperoleh.

Ketika menghadiri seminar sehari perkhidmatan kaunseling organisasi di SM Teknik 2 Sungai Petani, Kedah pada 14 Ogos lalu, ketika sesi soal jawab, guru bimbingan sekolah rendah yang belum dilantik diminta mengisi satu borang yang diedarkan oleh pihak penganjur program.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah bersetuju untuk melantik segera guru bimbingan yang belum lagi dilantik bermula daripada tarikh menjawat jawatan sebagai guru bimbingan.

Sehingga kini proses lantikan masih belum dilakukan. Pada 5 Januari lalu, pihak sekolah menghantar surat kepada JPN Kedah untuk memaklumkan mengenai lantikan yang belum dilakukan terhadap status guru bimbingan, namun masih tiada jawapan.
Persoalannya, saya menjalankan aktiviti sebagai guru bimbingan sejak 2003 dan selalu berurusan dengan murid ponteng tegar dan juga terbabit secara langsung menguruskan program motivasi dan sentiasa berisiko tinggi dengan ancaman membabitkan proses perundangan.

Masalahnya, sehingga kini saya belum lagi dilantik oleh mana-mana badan yang diamanahkan. Jika terjadi kes membabitkan penyelesaian melalui proses undang-undang.

GURU BIMBINGAN SEKOLAH RENDAH,
Kuala Kedah, Kedah

Berita Harian Online: 24 Julai 2010

Kementerian serah siasatan kepada polis

2010/07/24

KUALA LUMPUR: “Kementerian Pelajaran menyerahkan kes berkenaan kepada polis kerana saya dimaklumkan kes ini sudah menjadi kes polis,” kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Menurutnya, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan lanjut berhubung kes itu.


“Ia sudah menjadi kes polis dan biar mereka (polis) menjalankan siasatan. Malah, kita bersedia memberi kerjasama kepada polis sekiranya mereka memerlukan bantuan kementerian untuk melakukan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan akhbar ini semalam apabila lima murid lelaki tahun tiga di sebuah sekolah di Simunjan, Sarawak terpaksa menahan kesakitan di dubur masing-masing selepas mendakwa dicucuk dengan kayu penyapu oleh ustaz mereka disebabkan gagal menghafaz surah al-Quran seperti diarahkan. Dalam perkembangan sama, Alimuddin turut mengulas mengenai dakwaan bapa kepada salah seorang pelajar sebuah sekolah menengah di ibu negara bahawa sekolah berkenaan mengenakan ‘tol’ RM1 sebagai denda ke atas pelajar yang lewat ke sekolah menerusi ruangan iM Lapor akhbar ini kelmarin.


“Saya sudah menerima laporan daripada sekolah berkenaan dan sudah pun mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan memastikan perkara atau pungutan sebegini tidak dibuat atau dilakukan pada masa akan datang,” katanya.

myMetro: 24 Julai 2010

Jolok guna batang penyapu

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
2010/07/24

KUCHING: Seorang ustaz yang didakwa menjalankan hukuman ‘pelik’ ke atas tujuh muridnya dipercayai menggunakan batang penyapu sebelum memasukkan alat itu ke dalam dubur salah seorang daripada tujuh muridnya.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Choo Yin Kok berkata, laporan diterima daripada salah seorang mangsa memaklumkan, ustaz berkenaan memasukkan batang penyapu ke dalam duburnya tapi kejadian itu berlaku sekali saja.


Beliau berkata, setakat ini, hanya dua laporan diterima manakala ustaz terbabit berusia 27 tahun kini ditahan untuk membantu siasatan.


“Dua kertas siasatan dibuka berhubung kes berkenaan membabitkan kes cabul dan hubungan seks dengan menggunakan objek.


“Laporan pertama diterima ibu bapa kepada murid perempuan manakala satu lagi dibuat ibu bapa murid lelaki. Bagaimanapun, polis masih belum menerima laporan daripada lima lagi murid lelaki yang didakwa menerima hukuman sama,” katanya.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan lima daripada enam murid lelaki mendakwa dubur mereka dicucuk dengan lidi penyapu sebagai hukuman akibat gagal menghafaz surah al-Quran seperti diarahkan. Manakala seorang lagi murid lelaki dikasari apabila lehernya dijerut dengan wayar kerana melakukan kesalahan sama.


Mereka didakwa dibogelkan dalam kelas sebelum dimasukkan objek berkenaan malah kejadian itu turut disaksikan rakan lain.


Seorang lagi mangsa adalah murid perempuan tapi dia mendakwa menerima hukuman di bilik berasingan apabila dibogelkan sebelum kemaluannya diraba ustaz terbabit.


Choo berkata, ustaz itu sudah berkahwin mempunyai dua anak direman tujuh hari bermula semalam.


“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul manakala satu lagi siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377 (C) (A), mengadakan hubungan seks dengan objek,” katanya.

myMetro: 24 Julai 2010