Sabtu, 24 Julai 2010

1,000 warga Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1 SKOT 1 raikan guru bersara


Adam Mat Deris diarak menaiki beca pada majlis persaraanya di Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1, Tendong, Pasir Mas, semalam.


PASIR MAS 23 Julai – Hampir 1,000 warga Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1 (SKOT 1), Tendong di sini berhimpun bagi meraikan persaraan Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah berkenaan, Adam Mat Deris, 58, dalam satu majlis di sini.

Cikgu Adam bersara wajib daripada bidang pendidikan yang sangat dicintainya itu selepas menabur bakti mendidik anak bangsa selama 36 tahun.

Sebagai tanda penghargaan ke atas khidmat bakti yang dicurahkan, majlis sempena persaraan beliau diadakan dengan meriah dan unik dengan Adam diarak pulang menaiki beca sambil diiringi muzik tradisional Kumpulan Reba Ubi Kampung Hutan Pasir.

Ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis itu, beliau terharu dengan sambutan yang diberikan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah berkenaan kerana ia diadakan di luar pengetahuan dan merupakan kejutan baginya.

Menurut Adam, penglibatannya selama ini dalam bidang pendidikan memberikan pengalaman cukup menarik dan sukar dilupakan.

“Selama lima tahun bertugas di SKOT 1, saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua guru dan kakitangan sekolah sehingga segala aktiviti sekolah dapat dijalankan dengan lancar.

“Kerjasama erat juga membolehkan segala perancangan dijalankan bagi memajukan sekolah sebagai gedung melahirkan lebih ramai generasi muda yang berkualiti,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Guru Besar SKOT 1, Harun Kadir dan Penyelia Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas, Nudin Che Cob.

Anak kelahiran Kampung Kubang Pak Amin Pasir Mas itu berkata, pengalaman sepanjang menjadi pendidik akan terus segar dalam ingatannya.

Ini kerana, penglibatannya dalam bidang tersebut turut membolehkannya bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris dan Jerman, selain mempunyai tahap penguasaan sederhana dalam bahasa Mandarin dan Tamil.

Mengimbau kenangan silam, Adam yang sangat meminati bidang pendidikan berkata, beliau mula terlibat dalam profesion perguruan ketika menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Kulit, Kuala Lipis Pahang pada 1974.

Tambahnya, selepas tamat kursus perguruan di bawah Maktab Perguruan Teruntum, Pahang beliau telah berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Benta juga di Pahang.

“Pada 1 Januari 1985, saya bertukar ke negeri Kelantan dan mula bertugas di SK Tok Sangkut, Pasir Mas sebagai Guru Penolong selama 22 tahun.

“Selepas itu, saya ditukarkan ke sekolah SKOT 1 dan memegang jawatan Penolong Kanan Kokurikulum pada 15 Mei 2005 sehingga bersara,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 24 Julai 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

MAAF...rasanya berita spt ini(mengenai individu) tak perlulah disiarkan dlm blog ni. TQ.
Kita mahu berita yg boleh dibincangkan bersama-sama sama ada pro atau kontra..tak kisah.

Tanpa Nama berkata...

MAAF...rasanya berita spt ini(mengenai individu) tak perlulah disiarkan dlm blog ni. TQ.
Kita mahu berita yg boleh dibincangkan bersama-sama sama ada pro atau kontra..tak kisah.