Sabtu, 24 Julai 2010

Guru belum disahkan jawatan selepas tujuh tahun bertugas

2010/07/24

KERJAYA sebagai guru bimbingan sekolah rendah memang mencabar. Selain daripada diamanahkan menjalankan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, guru bimbingan juga mengajar kelas peperiksaan yang membabitkan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Matematik.

Selain itu, guru bimbingan juga terbabit sebagai guru sukan, guru kelab dan persatuan dan juga sebagai guru unit beruniform. Tugas dan jawatan sama seperti guru lain.

Maknanya, guru bimbingan dan kaunseling sekolah rendah menanggung tugas lebih berbanding guru lain.
Tetapi tiada masalah, kerja tetap dijalankan dengan penuh amanah dan dedikasi. Walaupun begitu, sehingga kini lantikan sebagai guru bimbingan masih belum diperoleh.

Ketika menghadiri seminar sehari perkhidmatan kaunseling organisasi di SM Teknik 2 Sungai Petani, Kedah pada 14 Ogos lalu, ketika sesi soal jawab, guru bimbingan sekolah rendah yang belum dilantik diminta mengisi satu borang yang diedarkan oleh pihak penganjur program.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah bersetuju untuk melantik segera guru bimbingan yang belum lagi dilantik bermula daripada tarikh menjawat jawatan sebagai guru bimbingan.

Sehingga kini proses lantikan masih belum dilakukan. Pada 5 Januari lalu, pihak sekolah menghantar surat kepada JPN Kedah untuk memaklumkan mengenai lantikan yang belum dilakukan terhadap status guru bimbingan, namun masih tiada jawapan.
Persoalannya, saya menjalankan aktiviti sebagai guru bimbingan sejak 2003 dan selalu berurusan dengan murid ponteng tegar dan juga terbabit secara langsung menguruskan program motivasi dan sentiasa berisiko tinggi dengan ancaman membabitkan proses perundangan.

Masalahnya, sehingga kini saya belum lagi dilantik oleh mana-mana badan yang diamanahkan. Jika terjadi kes membabitkan penyelesaian melalui proses undang-undang.

GURU BIMBINGAN SEKOLAH RENDAH,
Kuala Kedah, Kedah

Berita Harian Online: 24 Julai 2010

Tiada ulasan: