Jumaat, 2 April 2010

Guru dibebani tugas berat - betul atau salah?

TERTARIK sungguh apabila membaca komentar Wahid Hashim dalam laman Pendidikan, Utusan Malaysia bertarikh 29 Mac 2010 yang bertajuk 'Mencemburui gaji guru'. Terdetik hati saya untuk bersama-sama berkongsi pendapat dan pandangan tentang isu-isu yang dibangkitkan.

Tulisan beliau yang menjurus kepada reaksi KPPK untuk bersemuka dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas beberapa isu berkaitan bebanan tugas dan kenaikan gaji guru, sedikit sebanyak mampu membuka minda semua yang terlibat dalam profesion keguruan.

Bebanan tugas guru ibarat isu yang tidak ada kesudahannya, padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru tetapi oleh sebahagian guru terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, guru yang menjawat jawatan penting sekolah dan guru yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah dan sebagainya.

Namun yang pelik dalam 'gegak-gempita' isu bebanan tugas guru ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru tersebut menjawat 'dua profesion' dalam satu masa.

Sebenarnya 'atas kertas,' Kementerian Pelajaran telah imbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru-guru muda yang hanya mampu dicapai oleh guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif lain.

Akan tetapi yang peliknya, gaji lumayan seolah-olah membawa kesan negatif kepada dunia pendidikan apabila guru berkenaan hilang semangat untuk berkorban dan 'rasa susah' demi mendidik anak bangsa. Tuisyen berbayar hanya dipandang sebelah mata apatah lagi tuisyen percuma dan ditambah lagi dengan alasan suami tidak izin, anak sakit dan seribu satu alasan lain.

Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan, berjenis 'kabel' digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga 'jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi'.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang 'enggan susah' dan bersikap 'anak manja' maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru terbabit. Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani dengan pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru tersebut. Mereka akan dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari, sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain 'enak dibuai mimpi'.

Setiap profesion tentu ada cabarannya lebih-lebih lagi profesion keguruan. Namun, jika ia tidak diseimbangkan dengan adil, akan berlakulah bebanan tugas tersebut. Tentu amat terbeban jika seseorang guru yang mengajar kelas peperiksaan lebih tiga tahun secara berterusan, guru yang memegang lima jawatan utama sekolah dalam satu masa dan sebagainya.

Sebagai 'orang lama' dalam dunia pendidikan, KPPK kini dilihat semakin hilang 'sengat' terutama pada kaca mata guru-guru lama. KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak yang lain.

Jadi, untuk mengembalikan 'taring' KPPK, peranan sebenar KPPK adalah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan. Insentif berbentuk elaun mampu memberi keadilan kepada guru-guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu. Jangan hanya 'terjah' dan 'timbang kilo' tanpa fakta yang tepat kerana ini hanya merugikan guru-guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

Kerajaan pula hanya membazir wang negara andai kata memberi ganjaran seperti elaun dan bonus kepada kakitangannya yang tidak produktif. Eloklah kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mengkaji elaun-elaun yang telah diberikan kepada guru-guru agar dinikmati hanya oleh guru-guru yang benar-benar layak dan berhak.

Setiap sen wang negara yang diperoleh oleh para guru adalah ibarat titisan keringat ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak mereka demi kelangsungan hidup yang mendatang. Fikir-fikirkanlah.

IRMAZ DINI

Pendang, Kedah

Utusan Malaysia Online: 2 April 2010

Khamis, 1 April 2010

Guru Sarawak jawab artikel mySekolah

SAYA terpanggil untuk membalas artikel Mencemburui Gaji Guru yang disiarkan dalam ruangan mySekolah, muka 25 Utusan Malaysia 29 Mac 2010.

Gaji guru yang dikatakan ketiga terbaik itu bukan untuk kalangan guru senior dan guru yang menyambung pelajaran kerana senioriti tidak diambil kira tetapi kekananannya sering diguna dalam tugas atas dasar pengalaman lama berkhidmat. Maka terjadilah guru-guru senior ini dibebani dengan pelbagai tugas sebagai ketua tetapi tidak diiringi dengan gaji yang setimpal.

Sebagai contoh saya sudah berkhidmat lebih 20 tahun, sekarang dalam gred DG41 tatapi dilantik memegang jawatan Penolong Kanan. Sejak 2007 hingga sekarang saya terus dengan gred tersebut dan tidak dilantik ke Gred 44, alasannya saya hanya duduk di jawatan DG44 sehingga pegawai yang baru datang.

Apabila mohon untuk keluar dari jawatan tersebut maka ketua jabatan akan menggunakan alasan pengalaman, kebolehan dan saya pula kena patuh pada perintah 'Saya yang menurut perintah' kerana bimbang dikenakan tindakan ingkar arahan.

Pada masa yang sama, ramai guru muda dengan mudah mendapat Gred DG44 sama ada hakiki atau memangku tetapi tugasnya hanya mengajar, tidak lebih daripada itu.

Inilah isu yang sering menjadi delima guru senior. Limpahan kenikmatan seperti yang dinyatakan untuk guru pedalaman hanya segelintir sahaja itu pun untuk menggalakkan guru berkhidmat di pedalaman.

Tugas pengkeranian memang banyak, akhir-akhir ini guru dibebankan dengan KPI akademik, disiplin, NKRA dan kertas kerja itu dan ini. Memang benar kata penulis, guru muda mendapat gaji permulaan RM2,500 - RM2,700 sedangkan guru senior seperti saya masih terkial-kial dengan tahap gaji RM2,900 setelah berkhidmat lebih 20 tahun.

Akujanji pengetua sudah memadai untuk mengikat semua guru kerana sesiapa yang tidak patuh boleh dikenakan tindakan.

Bagi saya yang penting kerja adalah ibadah dan niat perlu ikhlas tapi pada masa yang sama jangan menganiaya hak orang yang sepatutnya.

WAKMAN

Sarawak

Utusan Malaysia Online: 1 April 2010

Seksa jadi cikgu

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/04/01

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri), bersalaman bersama Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan semasa Perjumpaan bersama NUTP di Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri), bersalaman bersama Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan semasa Perjumpaan bersama NUTP di Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
Jawatankuasa khas diberi dua bulan selesai tekanan hidup guru: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan aduan NUTP, selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.

“NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.

“Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana tidak mahu tugas hakiki guru, iaitu mendidik pelajar tidak terganggu disebabkan bebanan macam-macam tugas yang terpaksa dibuat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan NUTP di bangunan Parlimen, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.
“Piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi boleh kita contohi,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyedari tugas sebenar guru ialah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, bukannya melakukan tugas tertentu yang sepatutnya dilakukan kerani.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah mendapat maklum balas positif daripada NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

“NUTP turut menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan jaringan pendidikan kepada rakyat. Kementerian akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada guru dan rakyat,” katanya.

Berita Harian Online: 1 April 2010

20 pelajar dicop tak berdisiplin dapat sijil berhenti baru

ALOR SETAR: Dua puluh dua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan yang dilabel sebagai pelajar tidak berdisiplin dalam sijil berhenti sekolah diminta pergi ke sekolah itu untuk mendapat-kan sijil baru.

Difahamkan, selepas berita itu didedahkan akhbar ini kelmarin, beberapa pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Yan diarah ke sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah itu.

Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abdul Rahman, berkata perkara itu sudah diselesaikan kerana beliau sudah mengarahkan pihak sekolah mengeluarkan sijil berhenti sekolah baru kepada pelajar terbabit.

"Ia sudah selesai dan kita harap pelajar pergi mendapatkan sijil berhenti sekolah baru. Mungkin ketika ini sekolah menghadapi masalah untuk menghubungi sesetengah pelajar, oleh itu saya harap mereka boleh datang ke sekolah untuk berurusan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan 22 bekas pelajar SMK Yan itu menghadapi masa depan yang gelap berikutan dilabel sebagai pelajar tidak berdisiplin dalam sijil berhenti sekolah walaupun tidak melakukan kesalahan serius sepanjang tempoh persekolahan.

Malah ada di antara mereka menyertai acara sukan hingga berjaya mewakili negeri, tetapi sumbangan itu tidak diiktiraf kerana tidak dicatat dalam sijil berkenaan.

Berita Harian Online: 1 April 2010

Guru sastera diberi taklimat

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk aduan melalui SMS oleh MAAJDIE:BHA04483 dalam ruangan Rakan@bh, 15 Mac lalu mengenai ‘Teks baru Tingkatan Empat Tahun 2010 sudah diperkenalkan, tetapi Kementerian Pelajaran belum menyediakan panduan guru.’

Untuk makluman, menjadi dasar kementerian, Buku Panduan Guru tidak disediakan untuk mata pelajaran komponen sastera.

Bagaimanapun, kementerian mengadakan taklimat mengenai Teks Baharu Tingkatan Empat Kegunaan 2010 kepada pegawai bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Negeri pada 22 Disember 2009 di Putrajaya.

Jerayawara turut diadakan untuk guru Bahasa Melayu Tingkatan Satu dan Empat bermula Zon Sabah, Sarawak dan Labuan pada 2 hingga 5 Mac di Kota Kinabalu, Sabah. Zon Semenanjung pada 9 hingga 12 Mac lalu di Kuala Lumpur.

Bagi guru Kesusasteraan Melayu (elektif) Tingkatan Empat dan Lima, jerayawara diadakan di Kuala Lumpur pada 6 hingga 9 April ini untuk Zon Semenanjung, diikuti Zon Sabah, Sarawak dan Labuan.

Semua guru yang hadir perlu menjalankan kursus dalaman kepada guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu (elektif) di daerah dengan perbelanjaan ditanggung Jabatan Pelajaran Negeri.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran


Berita Harian Online: 1 April 2010

Cikgu produktif dibeban tugas berat tanpa terima insentif

BEBANAN tugas guru ibarat isu yang tiada kesudahannya padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru, tetapi sebahagian saja terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, yang menjawat jawatan penting sekolah dan yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah.

Namun yang pelik dalam gegak-gempita isu bebanan tugas mendidik ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru ini menjawat ‘dua profesion’ pada satu masa. Sebenarnya, di ‘atas kertas’ Kementerian Pelajaran sudah mengimbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru muda yang hanya mampu dicapai guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif.

Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan atau berjenis ‘kabel’ digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang enggan susah dan anak manja, maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru berkenaan.

Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru berkenaan.

Mereka dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain enak dibuai mimpi.
Sebagai orang lama dalam dunia pendidikan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) kini dilihat semakin hilang sengat terutama pada kaca mata guru lama.

KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak lain.

Untuk mengembalikan taring KPPK, peranan sebenar KPPK ialah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan.

Insentif berbentuk elaun boleh memberi keadilan kepada guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu.

Jangan hanya terjah dan timbang kilo tanpa fakta tepat kerana ini hanya merugikan guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

IRMAZ DINI,
Pendang, Kedah

Berita Harian Online: 1 April 2010

Pendidikan Muzik terjejas

Oleh Amir Hamzah Nordin
upen@bharian.com.my
2010/04/01

KEMENTERIAN Pelajaran diminta mengkaji semula rancangan untuk mengurangkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) mata pelajaran Pendidikan Muzik daripada satu jam kepada 30 minit seminggu. Pengurangan itu dikhuatiri akan menjejaskan pembentukan generasi celik muzik.

Presiden Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (Mame), Johami Abdullah, berkata pendidikan muzik dapat membantu melahirkan individu seimbang i serta berdisiplin.

"Kajian menunjukkan aktiviti berkaitan muzik membantu membentuk ketangkasan, kemahiran berfikir, mendengar dan meningkatkan disiplin diri selain membentuk keyakinan dan ekspresi diri," katanya.

Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Muzik, Institut Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur itu berkata, mata pelajaran berkenaan dapat melahirkan pelajar yang kreatif berfikir menggunakan seni dan bahasa serta logik.

Beliau berkata, Akta Pendidikan 1996 menjelaskan matlamat dan hala tuju pendidikan seperti kegiatan kokurikulum, kemahiran, nilai, kebudayaan dan kepercayaan.

Unsur berkenaan katanya membentuk perkembangan seseorang individu dan persefahaman antara kaum selaras dengan hasrat pembentukan 1Malaysia.

"Kementerian Pelajaran perlu memantau perjalanan mata pelajaran berkenaan di sekolah supaya usaha melahirkan generasi muda lebih berdaya saing mencapai matlamatnya.
"Pemantauan termasuk mengenal pasti guru bukan opsyen muzik mengajar mata pelajaran berkenaan diberi tugas berkenaan supaya pelaksanaannya berjalan lancar," katanya.

Pendidikan Muzik disenaraikan dalam Jadual 2 sebagai mata pelajaran wajib Kurikulum Kebangsaan 1997 dan dilaksanakan pada 1 Januari 1998.

Berita Harian Online: 1 April 2010