Khamis, 1 April 2010

Pendidikan Muzik terjejas

Oleh Amir Hamzah Nordin
upen@bharian.com.my
2010/04/01

KEMENTERIAN Pelajaran diminta mengkaji semula rancangan untuk mengurangkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) mata pelajaran Pendidikan Muzik daripada satu jam kepada 30 minit seminggu. Pengurangan itu dikhuatiri akan menjejaskan pembentukan generasi celik muzik.

Presiden Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (Mame), Johami Abdullah, berkata pendidikan muzik dapat membantu melahirkan individu seimbang i serta berdisiplin.

"Kajian menunjukkan aktiviti berkaitan muzik membantu membentuk ketangkasan, kemahiran berfikir, mendengar dan meningkatkan disiplin diri selain membentuk keyakinan dan ekspresi diri," katanya.

Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Muzik, Institut Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur itu berkata, mata pelajaran berkenaan dapat melahirkan pelajar yang kreatif berfikir menggunakan seni dan bahasa serta logik.

Beliau berkata, Akta Pendidikan 1996 menjelaskan matlamat dan hala tuju pendidikan seperti kegiatan kokurikulum, kemahiran, nilai, kebudayaan dan kepercayaan.

Unsur berkenaan katanya membentuk perkembangan seseorang individu dan persefahaman antara kaum selaras dengan hasrat pembentukan 1Malaysia.

"Kementerian Pelajaran perlu memantau perjalanan mata pelajaran berkenaan di sekolah supaya usaha melahirkan generasi muda lebih berdaya saing mencapai matlamatnya.
"Pemantauan termasuk mengenal pasti guru bukan opsyen muzik mengajar mata pelajaran berkenaan diberi tugas berkenaan supaya pelaksanaannya berjalan lancar," katanya.

Pendidikan Muzik disenaraikan dalam Jadual 2 sebagai mata pelajaran wajib Kurikulum Kebangsaan 1997 dan dilaksanakan pada 1 Januari 1998.

Berita Harian Online: 1 April 2010

Tiada ulasan: