Isnin, 3 Mei 2010

Guru bimbingan, kaunseling perlu sokongan kakitangan sekolah

2010/05/03

SAYA ingin mengulas surat bertajuk 'Guru disiplin perlu sokongan bukan dipersalahkan' oleh Shahruliman seperti disiarkan Jumaat lalu. Beliau membangkitkan peranan kaunselor dalam menangani masalah disiplin di sekolah.

Perlu saya jelaskan kepada Shahruliman penggunaan istilah ‘kaunselor’ hanya untuk mereka yang mempunyai lesen akuan amalan yang diiktiraf oleh Lembaga Kaunselor Malaysia di bawah Akta Kaunselor 1998.
Hanya istilah guru bimbingan digunakan di sekolah rendah dan guru kaunseling di sekolah menengah yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran.

Merujuk pada artikel yang disiarkan itu, sebenarnya peranan guru bimbingan dan kaunseling dalam menangani masalah disiplin sering disalah faham oleh guru yang mengajar. Antaranya mengenakan sekatan apabila pelajar yang bermasalah dipanggil mengikuti sesi kaunseling.

Alasan digunakan ialah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Malah ada pentadbir yang tidak membenarkan guru bimbingan dan kaunseling menjalankan sesi kaunseling pada waktu sekolah. Rugikah sekiranya pelajar ini dilepaskan mengikuti sesi kaunseling daripada mengganggu rakan dan menyebabkan guru mengajar ‘naik angin’ di dalam kelas?

Ada juga guru yang sudi melepaskan pelajar untuk mengikuti sesi kaunseling tetapi mereka mengharapkan pelajar berubah dalam jangka masa cepat.

Ilmu yang tidak faham boleh difahami dalam jangkamasa pendek tetapi adakah pembentukan sahsiah mampu dibentuk dalam sekelip mata? Selagi pelajar belum membuat perubahan sikap selagi itu pelajar tidak akan berubah.
Guru bimbingan dan kaunseling sering menjalankan program berbentuk pembinaan sahsiah diri pada waktu sekolah dan luar sekolah untuk membimbing murid tapi sayangnya berapa ramai guru yang sudi menghulurkan bantuan kepada guru bimbingan dan kaunseling.

INSAN PRIHATIN,
Klang, Selangor

Berita Harian Online: 3 Mei 2010

Kementerian tapis ketat calon KPLI

2010/05/03

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat ANN M, Kuala Lumpur bertajuk 'Lima kali mohon KPLI tak dilayan' yang disiarkan ruangan ini 17 April lalu.

Bagi permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI), syarat dan kelayakan asas serta syarat tambahan untuk menduduki Ujian Calon Guru Malaysia (MTest) dan temu duga adalah berpandukan kepada dasar serta keperluan Kementerian Pelajaran yang berbeza pada setiap tahun.
Untuk Ambilan Jun 2010, antara syarat dan kelayakan asas diperlukan ialah umur tidak melebihi 35 tahun pada 28 Jun 2010; memiliki ijazah sarjana muda yang diiktiraf kerajaan; memiliki kepujian Bahasa Melayu pada peringkat SPM/SPMV atau prinsipal Bahasa Melayu pada peringkat STPM dan lulus Bahasa Inggeris pada peringkat SPM/SPMV.

Selain itu, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) juga menetapkan syarat tambahan seperti sihat fizikal dan mental; memiliki ijazah sarjana muda dengan PNGK 2.75 ke atas; memiliki ijazah yang bertepatan dengan bidang pengkhususan dipohon; memiliki pengalaman mengajar dan bersedia ditempatkan di mana-mana sekolah termasuk di kawasan pedalaman.

Sekiranya seseorang calon itu memenuhi syarat dan kelayakan asas serta syarat tambahan ditetapkan, peluang untuk seseorang calon dipanggil menduduki MTeST dan temu duga adalah lebih besar berbanding calon lain yang tidak menepati syarat dan kelayakan berkenaan.

Ujian MTeST yang diduduki bertujuan untuk melihat kesesuaian calon daripada aspek sahsiah keguruan mereka. Seseorang calon yang berpengalaman mengajar sepatutnya mampu untuk menjawab dan memperoleh tahap yang baik dalam ujian itu.

Pemilihan yang ketat adalah selaras dengan Teras Ke-5 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu untuk memartabatkan profesion perguruan agar terus dihormati dan melahirkan guru berkualiti.
Dengan jumlah permohonan yang tinggi iaitu hampir 70,000 orang bagi program KPLI, kementerian tidak berkompromi dalam soal pemilihan seseorang calon guru. Pelbagai aspek diambil kira dengan matlamat untuk melahirkan guru berkualiti dan berwibawa pada masa depan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online: 3 Mei 2010

Guru terbabit dadah, kurang disiplin tak layak jadi pendidik

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2010/05/03

TERKEDU! Harapkan pagar, pagar makan padi. Itu reaksi awal Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, mengulas mengenai kegiatan seorang guru lelaki menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di Betong, Sarawak, baru-baru ini.

Tanya siapa saja, khususnya ibu bapa pasti akan terus melenting menghamburkan kritikan pedas terhadap guru yang sepatutnya jujur serta amanah bukannya menyeleweng daripada tugas serta tanggungjawab hakiki mendidik pelajar menjadi insan cemerlang dan menyediakan barisan pemimpin pada masa depan.
Lebih meningkatkan emosi amarah ibu bapa, guru bukan saja terbabit dengan penagihan dadah malah, lebih buruk lagi mengedar dadah untuk pelajarnya sendiri. Guru dianggap sebagai penjaga atau pelindung apabila pelajar berada di pekarangan sekolah. Ibu bapa juga sudah meletakkan harapan menyerahkan anak mereka kepada guru untuk ditunjuk ajar menjadi orang berguna.

Seperti perumpamaan Melayu, jika guru sudah kencing berdiri, pelajar pula akan kencing berlari. Dalam konteks ini, guru sewajarnya menjadi pembimbing dan mengingatkan pelajar supaya menjauhi najis dadah.

Hakikat diketahui ramai, apa saja yang kesalahan dikaitkan dengan dadah, ia adalah jenayah berat. Kesalahan guru terbabit dengan penyalahgunaan dadah tidak boleh dimaafkan kerana ia jelas mencemarkan imej profesionalisme bidang perguruan dan menjerumuskan masa depan serta potensi pelajar.

Walaupun statistik guru terbabit dengan gejala penyalahgunaan dadah disifatkan kes terpencil, ia tetap kesalahan serius kerana dadah musuh utama negara. Menurut laporan, pada Februari lalu, seorang guru Sains Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, Batu Pahat, berusia 31 tahun, ditahan polis selepas dipercayai mengedar dadah secara sambilan kerana mahu menjalani hidup mewah dan bergaya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, ketika mengulas isu itu menyatakan, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan memberi pengampunan kepada guru yang didapati bersalah menjalankan aktiviti pengedaran atau penagihan dadah kerana ia menjejaskan imej profesionalisme perguruan.
Katanya, dadah adalah musuh nombor satu negara kerana bahana daripada aktiviti itu boleh melumpuhkan masa depan generasi pelajar yang bakal menjadi pemimpin negara. Masyarakat boleh terus hilang kepercayaan terhadap peranan dan kredibiliti jika mereka dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Kita sudah ada piagam yang jelas dalam Kementerian Pelajaran. Kita anggap penyalahgunaan dadah tidak kira membabitkan guru atau pelajar adalah kesalahan serius. Jika guru yang patut menjadi idola, tidak mempunyai tingkah laku dan disiplin yang bersih, bagaimana mahu mendidik pelajar menjadi insan berguna dan cemerlang,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan perangkaan, guru yang terbabit dalam kes pengedaran dadah adalah terlalu kecil serta dianggap kes terpencil jika dibandingkan 360,000 guru di seluruh negara.

Bagi PIBGN, pemimpin sekolah, khususnya pengetua dan guru besar perlu bijak menangani dan mengendalikan guru dengan memastikan mereka sentiasa berada pada landasan betul untuk terus meningkatkan martabat bidang perguruan.

Pada zaman ini, peranan pihak pentadbiran dan pengurusan sekolah semakin mencabar dalam pelbagai aspek termasuk berdepan kebarangkalian terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah amat tinggi sekali.

Prof Mohamad Ali mencadangkan supaya guru terus dihentikan perkhidmatan sekiranya sah disabitkan kesalahan mengedar dadah kerana ia menjejaskan kewibawaan institusi pendidikan di negara ini.

“Pada masa sama, kita mahu kepakaran guru besar dan pengetua juga dipertingkatkan dengan kemampuan mengenal pasti mana-mana guru bermasalah untuk membanteras gejala itu pada peringkat awal lagi. Tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka untuk mengelak pelajar menjadi mangsa.

“Guru yang terbabit dengan kes dadah, tidak layak ada di sekolah. Dunia perguruan tidak memerlukan tenaga pengajar yang begini. Mereka boleh menjadi duri dalam daging kepada pelajar. Kegiatan guru mengedar dadah adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal,” katanya.

Penyalahgunaan dadah adalah isu yang sangat besar dan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk menanganinya dengan lebih holistik.

Sebenarnya sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk memulakan kempen generasi ‘benci pada dadah’ kerana ia dihuni oleh murid seawal usia tujuh tahun sehinggalah ke peringkat menengah.

Sasaran negara untuk bebas daripada dadah menjelang 2015 seharusnya turut disahut oleh golongan pendidik di negara ini. Justeru, peranan guru amat besar untuk menanam dan memupuk kesedaran terhadap bahaya bahan itu kepada sistem kehidupan manusia.

Berita Harian Online: 3 Mei 2010

Ahad, 2 Mei 2010

Kesatuan guru mohon ditimbang 11 insentif

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyenaraikan 11 insentif bagi golongan pendidik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Penetapan insentif berkenaan dibuat pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan yang diadakan oleh Kongres hari ini untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Kongres, Jamale Paiman berkata, insentif itu termasuk mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, penambahbaikan struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 dan penambahan staf sokongan.

Menurutnya, permohonan insentif itu telah dikemukakan dua tahun lepas dan pernah dibincangkan di peringkat menteri.

''Perkara yang dipohon merupakan kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan. Ia bertujuan mengurangkan beban tugas guru,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Tambah Jamale, Kongres turut bersetuju supaya Kementerian Pelajaran mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengesahan jawatan gred DGA34 dan DGA48, memperluaskan gred DG38 untuk guru besar dan pengelola cemerlang kepada semua jawatan manakala kedudukan pegawai pendidikan daerah (PPD) pada gred DG52 dan DG54.

''Di samping itu, kami berharap kementerian tidak meletakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam Kementerian Pelajaran serta mengambil semula guru bagi program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF).

''Kami juga berharap kerajaan mengkaji peruntukan tuntutan perjalanan para pegawai kerana jumlahnya yang rendah menjejaskan tugasan pemantauan dan penyeliaan yang lebih kerap,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 2 Mei 2010

Sabtu, 1 Mei 2010

'Guru saya dulu tidak pernah merungut'

Admin: Saya ulang semula posting bahan ini. Kandungannya mendapat ulasan yang tertinggi setakat ini. Mungkin ada sesuatu yang tersirat dalam hati kita sebagai guru apabila orang luar cuba menyelami masalah yang kita tanggung.

_______________________________________________

SAYA terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah melihat pelbagai rungutan daripada golongan pendidik sekarang.

Saya juga merupakan seorang penjawat awam dan amat gembira bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya bersama-sama pengguna lain, berbanding dengan guru yang bekerja separuh hari sahaja.

Saya tidak dapat bayangkan betapa gembiranya jika saya tamat waktu bekerja pada pukul 1 tengah hari.

Sudahlah waktu bekerjanya separuh hari, waktu kelasnya pula mungkin 3 atau 4 waktu sahaja. Bersyukurlah. Dengan semua guru baru bermula dengan DG41 bertuahnya anda semua.

Saya merupakan bekas pelajar SBP di Sek. Dato Abdul Razak, Seremban. Saya ingin menyatakan bahawa komitmen guru-guru saya dahulu begitu jitu.

Saya masih teringat lagi bekas guru saya iaitu Cikgu Rahim yang sanggup datang meronda asrama pada waktu malam walaupun beliau tidak tinggal di dalam kuarters rumah guru di dalam kawasan sekolah, guru matematik saya di Sek. Men. Dato Hj. Hussein iaitu Puan Rodziah yang sanggup mengajar lebih waktu untuk para pelajarnya yang lemah dalam subjek itu. Itulah komitmen.

Kedua-dua ibu bapa saya merupakan guru dan saya tidak pernah melihat mereka merungut. Jika ada pelajar bermasalah, mereka akan pergi ke rumah pelajar tersebut bertanyakan masalah.

Malah sumbangan dari segi kewangan dan barang-barang dapur untuk keluarga pelajar bermasalah juga pernah diberikan beberapa kali.

Malah bapa saya kadangkala menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia walaupun sedang membuat kerja di rumah. Begitulah sayang dan bangganya beliau pada kerjayanya.

Akhir kata, selamat maju jaya kepada warga-warga pendidik. Jasamu dikenang selamanya.

IZRUL FARIS IDRIS


Utusan Malaysia Online: 29 April 2010

Tambah pengambilan guru Sarawak, Sabah

2010/05/01

SUDAH tiba masanya pihak Kementerian Pelajaran mempertimbangkan pengambilan lebih ramai guru pelatih dari Sarawak dan Sabah untuk menampung kekurangan di kedua-dua negeri itu khususnya di kawasan pedalaman.

Guru di kalangan masyarakat tempatan amat memahami bahasa dan budaya masyarakat setempat. Hal ini akan banyak membantu meningkatkan kemajuan bidang pendidikan di tempat mereka mencurahkan bakti. Guru dari Semenanjung pun perlu diberi peluang untuk berkhidmat di kedua-dua negeri berkenaan.

Saya pernah berkhidmat di Sarawak sekitar 1982 di daerah pedalaman Julau, Sarikei yang pada suatu ketika kawasan hitam (Rascom) banyak memberi makna dan pengertian yang mendalam mengenai kehidupan serta nilai pengorbanan seorang guru.

Pengalaman belajar bahasa dan budaya masyarakat Iban selama dua bulan adalah pengalaman begitu mahal sekali. Pengalaman ini adalah buku yang sebenarnya dalam kehidupan kita sebagai warga pendidik di daerah pedalaman.

Terlalu menyentuh hati kerana masyarakat Iban kaya dengan budi bahasa. Untuk menjadi guru yang dedikasi, sentiasa bersyukur, cintakan ‘periuk nasi’ dan memiliki jati diri, pedalaman adalah daerah paling sesuai untuk berguru.

Guru di pedalaman kini haruslah berterima kasih kepada pihak kementerian kerana akan diberi pembayaran insentif tambahan antara RM500 hingga RM1,000 selain pelbagai insentif peluang kenaikan pangkat, peluang sambung pelajar berdasarkan tempoh berapa lama mereka berkhidmat di pedalaman serta pelbagai peluang lagi.

Rebutlah peluang ini kerana ia hanya datang sekali. Guru yang bakal ditempatkan di pedalaman selamat berbakti dan teruskan perjuangan yang murni ini.

CUCU DATUK BENTARO,
Bahau, Negeri Sembilan


Berita Harian Online: 1 Mei 2010

Gotong-royong Hari Guru perkukuh ukhuwah

2010/05/01

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat 'Tsai Jin, Padawan Sarawak' dalam ruangan ini 24 April lalu bertajuk 'Aktiviti gotong-royong 15 Mei ganggu sambutan Hari Guru'. Kegiatan gotong-royong adalah aktiviti yang disarankan sebagai pengisian perayaan Hari Guru peringkat daerah dan negeri setiap tahun.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2010 pada 18 Mac lalu memutuskan supaya gotong-royong dilaksanakan serentak di semua sekolah rendah dan menengah pada jam 8.30 pagi 15 Mei 2010.

Kegiatan ini juga dapat menyemai ikatan kasih sayang, keprihatinan dan sokongan padu masyarakat kita kepada guru. Semua murid, ibu bapa dan kepemimpinan masyarakat boleh membina ikatan ukhwah dan perpaduan melalui kegiatan berkenaan.

Ia mampu menterjemahkan ikatan kekeluargaan, perpaduan dan kemesraan di kalangan masyarakat dan ini benar-benar membantu negara kita melahirkan masyarakat sihat dan selamat.

Aktiviti ini juga adalah pendekatan sambutan menjelang Hari Guru pada 16 Mei 2010. Panduan pelaksanaan program itu adalah dalam pengetahuan pentadbir sekolah kerana ia ada dalam pekeliling pengurusan aktiviti serta program murid dan Panduan Sekolah Selamat yang diterbitkan kementerian.

Dalam hubungan ini pihak kementerian tidak bertujuan membebankan malah sentiasa menghargai sumbangan guru sebagai tunjang pembangunan modal insan negara.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT, Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 1 Mei 2010