2010/05/03
KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat ANN M, Kuala Lumpur bertajuk 'Lima kali mohon KPLI tak dilayan' yang disiarkan ruangan ini 17 April lalu.Bagi permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI), syarat dan kelayakan asas serta syarat tambahan untuk menduduki Ujian Calon Guru Malaysia (MTest) dan temu duga adalah berpandukan kepada dasar serta keperluan Kementerian Pelajaran yang berbeza pada setiap tahun.
Selain itu, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) juga menetapkan syarat tambahan seperti sihat fizikal dan mental; memiliki ijazah sarjana muda dengan PNGK 2.75 ke atas; memiliki ijazah yang bertepatan dengan bidang pengkhususan dipohon; memiliki pengalaman mengajar dan bersedia ditempatkan di mana-mana sekolah termasuk di kawasan pedalaman.
Sekiranya seseorang calon itu memenuhi syarat dan kelayakan asas serta syarat tambahan ditetapkan, peluang untuk seseorang calon dipanggil menduduki MTeST dan temu duga adalah lebih besar berbanding calon lain yang tidak menepati syarat dan kelayakan berkenaan.
Ujian MTeST yang diduduki bertujuan untuk melihat kesesuaian calon daripada aspek sahsiah keguruan mereka. Seseorang calon yang berpengalaman mengajar sepatutnya mampu untuk menjawab dan memperoleh tahap yang baik dalam ujian itu.
Pemilihan yang ketat adalah selaras dengan Teras Ke-5 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu untuk memartabatkan profesion perguruan agar terus dihormati dan melahirkan guru berkualiti.
Dengan jumlah permohonan yang tinggi iaitu hampir 70,000 orang bagi program KPLI, kementerian tidak berkompromi dalam soal pemilihan seseorang calon guru. Pelbagai aspek diambil kira dengan matlamat untuk melahirkan guru berkualiti dan berwibawa pada masa depan.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia
Berita Harian Online: 3 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan