Selasa, 12 Jun 2012

5,500 guru interim diserap

Oleh Mohamed Farid Noh

2012/06/12

Surat tawaran penempatan graduan ke seluruh negara sedang diagih

BATU PAHAT: Seramai 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temuduga antara Januari hingga Mac lalu akan ditempatkan di sekolah seluruh negara, mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata surat tawaran penempatan kepada semua graduan berkenaan yang sebelum ini dilantik sebagai guru interim (guru sementara) itu sedang diagihkan.
“Daripada kira-kira 5,500 calon yang ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), hanya 62 calon gagal namun mereka kini dalam proses rayuan selepas wakil mereka bertemu saya kelmarin.
“Saya harap, semua guru yang berjaya dan sudah menerima surat tawaran penempatan itu menerima jawatan mereka dengan semangat tinggi untuk mendidik anak bangsa.

“Jika boleh tidak perlulah membuat rayuan untuk mendapatkan sekolah berhampiran rumah... jika dapat mengajar di Sarawak atau Sabah, terimalah dengan berlapang dada, demi mendidik anak bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian peruntukan RM1 juta kepada Sekolah Menengah Tinggi Cina Chong Hwa Rengit, dekat sini, semalam.

Mac lalu, Berita Harian melaporkan Kementerian Pelajaran giat mengumpul rekod terkini kekosongan guru di sekolah seluruh negara daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi calon graduan berkenaan yang selesai sesi temu duga oleh SPP, berakhir 16 Mac lalu.
Disember tahun lalu, 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Mereka mendakwa kementerian menganaktirikan mereka dan lebih mengutamakan GSTT untuk diserap sebagai guru tetap.

Sementara itu, Puad ketika ditanya sama ada pihaknya ada menerima permohonan pertukaran sekolah daripada guru yang sudah menerima surat tawaran penempatan itu berkata, buat masa ini tiada lagi permohonan sedemikian.

“Mungkin semua guru ini mempunyai semangat berkobar-kobar dan tidak kisah bertugas di mana saja mereka ditempatkan dan itulah yang kita harapkan daripada mereka,” katanya.

Berita Harian Online: 12 Jun 2012

Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/06/12

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Jawatankuasa Bersama, Persatuan Guru Sabah dan Sarawak menggesa pihak pengurusan sekolah menyelesaikan segera isu guru dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung gagal menikmati pelbagai imbuhan.

Segelintir guru terbabit mendakwa mereka masih belum dibayar elaun ditetapkan Kementerian Pelajaran yang didakwa berpunca kegagalan pembantu tadbir sekolah menjalankan tugas dengan dedikasi.
Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru terutama yang berkhidmat di bandar gagal menikmati kemudahan seperti Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Perpindahan Wilayah (EPW) dan Elaun Sara Hidup (COLA), tertekan berikutan kos sara hidup yang tinggi.
Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.
Katanya, keadaan ini dikhuatiri menyebabkan mereka gagal menumpukan perhatian kepada amanah mendidik yang dengan sendirinya menjejaskan prestasi akademik sekolah terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah mengambil tindakan segera membela nasib pendidik termasuk memastikan kerani atau pembantu tadbir menunaikan amanah mengurus dokumen kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan segera.

“Kerani di sekolah asal guru berkenaan juga hendaklah melengkapkan dokumen mengenai pendidik terbabit bagi memudahkan sekolah baru mereka menguruskan penyaluran kemudahan elaun berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan mengenai ada guru dari Sabah dan Sarawak yang berpindah ke Semenanjung gagal menikmati pelbagai kemudahan elaun iaitu elaun gangguan, ITP, EPW dan COLA selepas lebih setahun bertukar.
Elaun Gangguan sepatutnya dinikmati pada tempoh tiga bulan selepas berpindah, namun belum dinikmati pada tempoh setahun enam bulan serta lebih malang mereka gagal menikmati kemudahan lain termasuk bonus tahunan.

Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana menjadi tanggungjawab pentadbir menguruskan segala urusan berkaitan elaun dengan kadar segera dengan mengetepikan sentimen kenegerian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Gani Bina, berkata pihaknya mengharapkan sekolah mengambil perhatian serius termasuk memantau tugas kerani yang gagal menjalankan amanah ini.

Katanya, jika kerani gagal menunaikan amanah, Pengetua dan Guru Besar hendaklah bertindak membela guru terbabit dengan membawa masalah mereka kepada pengetahuan pihak PPD dengan segera.

Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.

“Negara kita sudah 55 tahun merdeka tahun ini, ibarat seorang penjawat awam yang berada di ambang persaraan, namun masih ada rakyat negara ini yang kolot dan bersikap kenegerian,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Berita Harian Online: 12 Jun 2012

Isnin, 11 Jun 2012

Perkhemahan kokurikulum pupuk kerjasama, bentuk disiplin

SERAMAI 100 orang ahli Unit Beruniform Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, Parit Sulong, Johor menyertai perkhemahan bersepadu kokurikulum untuk memupuk semangat kerjasama dan disiplin diri para peserta.
Pengetuanya, Mohsin Ibrahim berkata, perkhemahan yang disertai tujuh unit beruniform sekolah itu turut berjaya mencungkil bakat kepimpinan di samping menggalakkan peserta menyerlahkan potensi diri masing-masing.
"Objektif perkhemahan ini adalah untuk membentuk pelajar yang aktif, sihat dan mempunyai nilai berani serta berdisiplin.
"Malah ia juga diharap mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam kurikulum, kokurikulum dan memiliki sahsiah terpuji", ujarnya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Perkhemahan turut disertai 10 guru dan lima ahli Pengakap Kelana Parit Sulong.
Ia diadakan di Teluk Gorek Chalet and Campsite, Mersing, Johor baru-baru ini.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang perkhemahan seperti kembara hutan sambil membersihkan kawasan laluan, kawad kaki, sukaneka, malam kebudayaan, solat berjemaah dan kuliah subuh.
Salah seorang peserta, Mohamad Hakim Zamri memberitahu, perkhemahan tersebut amat menyeronokkan dan dapat memupuk nilai-nilai positif seperti yang dimatlamatkan.
Manakala Nur Syafiqah Asaha, 17, pula berpendapat, aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja mampu membentuk sifat kepimpinan, kerjasama dan disiplin malah turut menyemai sikap mencintai alam sekitar.

Utusan Malaysia Online: 11 Jun 2012

RELA kawal sekolah ditambah

Oleh Norakmah Mat Youb

2012/06/11

SERDANG: Anggota pasukan keselamatan termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang ditempatkan di sekolah akan ditambah bilangannya terutama pada waktu puncak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu sudah dibawa ke Kabinet berikutan kes seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar yang diculik ketika berjalan kaki ke sekolah, pada April lalu.
“Kita akan cuba membabitkan lebih banyak badan sukarela termasuk RELA kerana saya percaya dengan kehadiran lebih ramai mereka dapat mengurangkan kejadian jenayah.
“Inisiatif itu diharapkan memberi kepercayaan kepada ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka ketika di sekolah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Himpunan Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Lebih 15,000 sukarelawan muda berkumpul di perhimpunan itu sebagai permulaan kepada gelombang kesukarelaan negara, yang memberi ruang menyumbang bakti terhadap pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka melancarkan yayasan yang memberi peluang generasi muda menyuarakan pandangan dan hak bersuara, bulan depan.

Mengenai kes penculikan di pusat membeli-belah, Hishammuddin berkata, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk kementerian lain mengenai langkah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kompleks membeli-belah.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada kementerian jika terdapat kawasan tertentu yang perlu dimasuk ke dalam senarai lokasi panas supaya tindakan selanjutnya boleh diambil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata video perhimpunan BERSIH 3.0 akan disiar selepas dibentangkan kepada Panel Penasihat Bebas mengenai perhimpunan itu kerana tidak mahu dianggap mendahului panel terbabit.

Mengulas pengganti anggota panel itu yang menarik diri, katanya, panel yang dipengerusikan Tun Mohammed Haniff Omar diberi kebebasan untuk memilih penggantinya.

Berita Harian Online: 11 Jun 2012

Ahad, 10 Jun 2012

Kehadiran pihak berkuasa di sekolah ditambah

10/06/2012 8:19pm

SERDANG — Kehadiran pihak berkuasa di sekolah-sekolah di negara ini akan ditambah terutama pada waktu pelajar masuk dan keluar sekolah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas, susulan kes penculikan kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke sekolah berhampiran rumahnya.
"Kita akan cuba libatkan badan sukarela termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kerana saya percaya dengan kehadiran lebih ramai mereka di kawasan tertentu pada masa tertentu akan mengubah persepsi bercanggah dengan kadar jenayah yang menurun yang telah diumum sebelum ini,” katanya hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan majlis Himpunan Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang, di sini.
Mengenai kes penculikan di pusat membeli-belah, Hishammuddin berkata beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk kementerian lain mengenai langkah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup di kompleks membeli-belah. — BERNAMA

Kosmo Online: 10 Jun 2012

Jumaat, 8 Jun 2012

Polis cari Proton Saga guru parah disamun

08/06/2012 7:56pm

PETALING JAYA — Polis kini mencari kereta Proton Saga milik guru wanita, yang diculik dan koma, setelah mangsa disamun oleh penjenayah dan ditinggalkan di ladang kelapa sawit di Kuala Selangor Rabu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, polis sedang mencari kenderaan Proton Saga itu yang dilarikan penjenayah itu.
Beliau berkata, siasatan awal polis juga mendapati guru itu telah disamun sebelum dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan mangsa kini koma dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, dekat sini.
"Polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai guru itu yang ditemui dalam keadaan cedera teruk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai kehilangan guru itu, 51, oleh suaminya setelah beliau keluar dari rumahnya di Kinrara, Puchong pada Rabu lepas.
Guru itu ditemui pada hari yang sama dengan keadaan cedera teruk di bahagian muka sehingga sukar untuk suaminya mengecam mangsa.
Mohd. Adnan berkata, siasatan awal mendapati wanita itu telah keluar awal untuk berjoging sebelum dilarikan penjenayah.
"Polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika menyamun,” katanya. — BERNAMA

Kosmo Online: 8 Jun 2012

Rabu, 6 Jun 2012

Koperasi YGMB komited bantu warga pendidik

KOPERASI Yayasan Guru Malaysia Berhad (KYGMB) komited membantu ahli-ahli koperasi yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan perkhidmatan pelajaran di seluruh negara melalui pembiayaan pinjaman kredit.
Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, kewujudan KYGMB dilihat sebagai satu usaha murni untuk menyatukan kekuatan ummah dari segi usaha meningkatkan kepentingan ekonomi anggota koperasi.
Katanya, peluang pembiayaan kredit ini terbuka kepada anggota koperasi iaitu kakitangan di bawah Kementerian Pelajaran.
''Sehingga kini, sebanyak 10 permohonan pinjaman kredit koperasi diterima dan dijangka akan meningkat berikutan usaha berterusan mempromosi kepentingan koperasi.
"Kita berharap lebih ramai kakitangan di bawah Kementerian Pelajaran mendaftar sebagai anggota koperasi bagi menikmati kemudahan-kemudahan pembiayaan yang diwujudkan," katanya ketika ditemui pada majlis Pembiayaan Pinjaman Koperasi Kepada Anggota-Anggota Koperasi YGMB di pejabatnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, koperasi KYGMB turut digalakkan untuk terlibat secara langsung dengan fungsi koperasi itu sendiri seperti menyediakan pakej pinjaman kredit khas untuk kakitangan Kementerian Pelajaran.
Katanya, ia meliputi pinjaman hartanah, khas, biasa, pelajaran, pelancongan, umrah dan kecemasan.
Selain itu, katanya, koperasi sedang giat mempromosi produk terbaru iaitu pinjaman peribadi khas bagi kakitangan bersara dan pakej pembaharuan insurans motor takaful.
"Bagi semua tujuan itu, KYGMB mengenakan kadar caj yang lebih rendah antara dua hingga lima peratus daripada pinjaman pembiayaan kredit.
Alimuddin menegaskan, ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada seluruh ahli koperasi iaitu kakitangan Kementerian Pelajaran dan guru-guru yang memerlukan pembiayaan kredit kewangan dengan lebih sistematik.

Utusan Malaysia Online: 6 Jun 2012